Thursday, 4 February 2016

Scarlet Cinta Raya (Bahagian 4)

NAFAS hangat terasa menampar lembut wajahku. Mengeluarkanku dari lena. Kucelikkan kelopak mata yang perit dengan kesan tangis.Dan aku serta-merta terdiam bila melihat wajahnya berada terlalu hampir denganku.
Tak sampai seinci jaraknya,bahkan hidung kami hampir saja berlaga. Bantal peluk yang jadi pemisah tempat tidur kami semalam menghilang entah ke mana. Aku sendiri tak pasti, siapa yang mengalihkan.
Cuba kujauhkan diri darinya. Tapi tak terdaya disebabkan tubuhnya yang sedikit menindih tubuhku. Berat. Kakinya terletak elok atas kakiku. Tangannya pula berlingkar kemas di tubuhku, menjadikan aku tenggelam dalam pelukannya.
“Malam ni...” Terngiang-ngiang janji semalam di ruang dengar.
Berderau darahku. Segera kupandang tubuh. Masih lengkap berpakaian, lantas terlepas keluhan lega dari bibir.
Tak mampu kubayangkan jika Shah langsung tak berperasaan hingga ke tahap itu.
Dalam kepayahan itu, aku letakkan telapak tangan di dadanya. “Abang.”
Tiada respons.
Aku usap-usap sedikit dadanya. “Abang...” Memanggil lagi.
“Mmm...” Terlalu perlahan sahutannya, antara dengar dan tidak.
“Bangunlah, dah nak masuk subuh.”
Dia tidak membalas, hanya mendengus halus tanda masih perlukan rehat. Entah disebabkan kepenatan atau apa.
Aku mahu bangkit, lantas kutolak sedikit dadanya. Tapi terhenti bila dia tiba-tiba mengemaskan semula rangkulan pada tubuhku. Aku terdiam. Makin terpanar bila bibirnya pula mendarat di bibirku.Hangat.
Terlerai kucupan sesaat kemudian.
“Awal lagi, Sya.” Perlahan berbisik. Dia lena kembali sesudah itu.
Dalam darah yang berderau, aku cuba kawal rasa keliru dalam diri.
Jarang dia bertindak begini bila dikejutkan dari lena. Selama ini, dia hanya akan melakukannya bila kami berjumpa semula selepas berjauhan beberapa hari. Kucupan itu sebagai tanda rindu dan meminta agar diberikan sedikit lagi waktu.
Tapi saat ini...
Aku menggeleng kecil. Perlahan-lahan terlepas nafas dalam.
Bingungnya aku dengan semua ini...
Sukar kutafsir erti perlakuannya, kerana hatiku lebih terkesan dengan apa yang berlaku semalam. Situasi ketika itu terlalu tak masuk akal untuk dilabel salah faham. Aku sendiri melihat, dia yang mengajak Liza berbual. Seperti dia sengaja mahu tunjuk padaku, mereka sudah mula rapat.
Dia pula menyalahkanku kembali. Menuduhku cemburu buta.Hingga aku rasa seperti hilang suami yang jadi tempat aku bergantung selama ini.
Tapi... apa yang berlaku waktu ini...
Ah, entahlah...
Aku tak berani menjangka. Bimbang tersalah, akhirnya nanti aku juga yang terluka.

SEGALANYA seakan tiada makna. Membuatkan aku makin patah semangat untuk meraikan Aidilfitri tahun ini.
Sejak subuh pagi tadi, masing-masing bawa haluan sendiri. Dia pula nampak sibuk hingga tiada masa mengambil peduli soal diriku. Sesekali aku lihat dia berbalas SMS tapi tak juga kutahu siapa yang sedang dilayannya itu.Sedangkan aku di hadapannya sejak tadi lagi menguruskan serba-serbi keperluannya.
Sudah macam gundik pula aku dibuatnya.
Pedih hatiku tersiat-siat. Dia langsung tak fikir perasaanku. Pelukan hangat dan perlakuan rindunya pagi tadi pun entah apa maknanya.
Akhirnya bila rasa tak kuat lagi menahan sabar, aku hentikan kerja menyemat butang pada baju melayu yang tersarung di tubuhnya. Berkalih, beredar segera dari situ tanpa mengendahkan pandangannya. Aku keluar dari bilik itu. Sibukkan diri di dapur, tak peduli lagi soal dirinya.
Dia ke masjid bersolat hari raya dengan siapa pun aku tak tahu.
Biarlah. Aku sudah terlampau penat menanggung rasa sakit hati selama ini. Masalah tak juga selesai, bahkan ada waktunya makin rumit pula. Jadi kali ini, baik aku biarkan saja segalanya.
Hati tak pedih, kepala takletih.

“SYA.”Dalam keriuhan ruang tamu, aku terdengar panggilan itu.
Terhenti pergerakanku mengatur juadah di atas meja makan lantas menoleh. Shah sedang melangkah masuk ke dalam rumah. Baru pulang dari masjid. Tenang saja wajahnya tanpa sebarang riak.
Aku jadi sedikit mengharap bila dia sudah mahu bersuara semula denganku. Kuukir senyuman untuknya. Tapi bila mata terpandang saja Liza yang mengekori tidak jauh di belakangnya, luput serta-merta senyumanku. Pedih terguris.
Apa yang dia cuba tunjukkan?
“Ikut abang kejap.”
Teralih perhatianku dari gadis itu. Kembali pada Shah yang sedang menghala ke bilik. Ada rasa berbelah-bagi dalam hatiku untuk mengikut lelaki itu. Tak kutahu apa yang mahu dia katakan. Dan aku lebih tak sanggup jika berita darinya nanti hanya akan membuat aku makin terluka.
Tapi untuk menjaga pandangan keluarga dan dalam masa yang sama enggan Liza sedar kewujudanku di rumah itu, aku turutkan juga kehendak Shah. Dalam rasa berat aku menapak ke bilik.

BILA pandangannya terus tajam bertumpu padaku, aku jadi sedikit janggal. Cuba kulindungi dan berlagak tenang merapatkan daun pintu. Kemudian berkalih menghadap dirinya. Balas pandangannya, seolah tiada apa-apa.
“Kenapa?”
Dia tidak menjawab. Terus juga merenungku, membuatkan aku makin tak selesa. Hangat wajahku, tak mampu selindung lagi isi hati. Kualihkan pandangan akhirnya.
Dia senyap juga. Cuma ekor mataku melihat dia melangkah ke meja solek.Kembali semula kemudiannya bersama sebuah beg kertas di tangan. Dia capai tanganku, letakkan beg kertas atas telapak tanganku.
“Pakai baju ni.” Tenang.
Aku terdiam. Melihat baju kurung sutera di dalam beg itu, aku jadi berbolak-balik.
Dia belikan juga baju itu dan sekarang meminta aku memakainya. Sedangkan di antara kami, hanya kedinginan jadi pengantara. Aku sendiri tak tahu cara meruntuhkannya.
Bagaikan tiada erti semua ini.
Tapi jika terus dibiarkan kehambaran ini, aku sendiri yang terseksa.
Antara rela dan terpaksa, aku memilih untuk akur saja pada kehendaknya. Biarlah. Jika mengalah dan patuh akan membuatkan dia dekat semula denganku, aku sanggup meskipun sakit.
Dalam keadaan begini, aku tahu kedudukanku di sisinya terlalu terancam. Membalas keegoan dengan kedegilan hanya akan memakan diri.
Cuma yang aku harapkan, dia mampu melihat kesungguhanku mempertahankan hubungan ini. Apa pun juga, aku tetap tak sanggup jauh darinya. Moga dia juga begitu.
Disebabkan rasa janggal yang masih kuat terhadapnya, aku beredar ke bilik mandi untuk menukar pakaian. Selesai itu, aku masuk semula ke bilik. Shah sedang menantiku, kali ini dia duduk di birai katil.
Sekali imbas, mudah saja aku faham fikirannya.
Aku masih belum menyalami dan memohon ampun darinya. Sedangkan itulah perkara yang cukup dinantikan saban tahun. Lebih-lebih lagi, ini merupakan Syawal pertama kami sebagai suami isteri. Dan di Syawal yang pertama ini juga, sudah ada perselisihan faham antara kami.
Aku melutut di hadapannya. Capai tangannya, genggam dan tunduk menciumnya. “Maafkan Isya, bang.” Perlahan suaraku melafazkan. Bercampur rasa mengharap pengertiannya supaya dia berusaha menjauhi Liza.
Kalaulah dia boleh faham betapa tersaingnya akudi sisi gadis itu...
Bila dia membisu, aku angkat kepala. Dia tetap senyap, kosong saja anak mata membalas pandanganku. Tak kutahu apa isi hatinya. Pasrah saja dayaku, tak mampu mendesak lagi. Lantas aku bangun dari situ.
Tapi terhenti bila dia tiba-tiba mengemaskan genggaman pada jari-jemariku.Aku terdiam, duduk semula. Mendongak sedikit, balas pandangannya. Cuba kubaca maksud perlakuannya ini melalui anak matanya.
“Isya nak abang maafkan Isya?” Tenang nadanya.
Aku terdiam, jatuh pandangan ke lantai. Tak pasti apa tujuan dia menyoal begitu. Kuzahirkan saja anggukan tanpa berfikir panjang lagi.
Dia kemaskan lagi genggaman. “Isya sendiri dah maafkan abang?”
Berderau darahku mendengarnya lantas mengangkat semula wajah. Temukan semula anak mata dengannya. Menatapnya dalam, mengharap.
Dia balas tatapanku, penuh erti. “Minta maaf tu biasanya sama maksud dengan mengaku salah. Tapi sekarang ini pada pandangan Isya, abang salah dengan Isya. Isya sendiri tengah marahkan abang.”
Aku terdiam.
“Isya sendiri sakit bila terpaksa lawan perasaan macam ni, kan?”
Terdiam juga. Dan kali ini bibirku mula bergetar dengan ketulusan yang dia pamerkan. Mata mula rasa hangat.
Bertukar redup tatapannya untukku. “Betul kan, sayang...” Lembut dan terlalu dalam maksudnya.
Dia mendengar jeritan hatiku. Dia merasai hatiku yang menangis enggan dia biar Liza menghampirinya. Dia mengerti betapa perlunya aku pada dia. Dia mengerti semua itu!
Tanpa diminta, air mataku merembas. Sebak. “Abang...” Pecah esakan dan aku segera tunduk melindungi wajah.
Dia mengusap-usap lembut bahuku, makin menjelaskan betapa dia sebenarnya faham rintih dan raung hatiku. Membuatkan aku makin sebak. Teresak-esak aku di situ, di atas tangannya yang menggenggam jari-jemariku. Kuhamburkan sepuas-puasnya air mata kesakitan yang kupendam selama ini.
Sungguh, aku tak sanggup dia menjauh...
Terasa dia turun dari birai katil. Duduk di hadapanku, tarik tubuhku ke dalam dakapannya. Makin berhamburan tangisku lantas membalas pelukannya. Rasa seperti dia kembali semula padaku.
“Kenapa ni...” bisiknya lembut di telingaku. Memujuk, membuatkanku benar-benar terasa dekat dengannya. Rasa disayangi dan diberi perhatian.
Merembas lagi air mataku.Aku menggeleng. “Isya tak kuat bila abang tak ada...”
Terasa dia mengeratkan dakapan. Tapi tiada sebarang kata darinya sebagai jawapan pada rayuanku. Membuatkan aku tertanya-tanya dan kecewa, dalam masa yang sama mula merasai betapa sakitnya ditinggalkan. Diamnya itu bagai mengiyakan perkara tak enak yang selama ini cukup kujauhi.
Merembas semula air mataku, tak sanggup berdepan semua ini.
“Sya...” panggilnya setelah beberapa ketika membisu. Perlahan saja suaranya, hampir kepada bisikan.
“Ya...”
Dia leraikan dakapan. Tatap wajahku dalam. Kuangkat wajah. Balas tatapannya, menanti. Rasa takut dan tak sanggup makin berbaur dalam diri.
Lembut jarinya menyeka air mataku. “Takkan abang sanggup persiakan apa yang terlampau abang sayang selama ni...”
Bergetar bibirku mendengar ungkapan itu.Semakin mengharap, tapi dalam masa yang sama tetap cemas. Aku tak tahu apa sebenarnya yang dia cuba sampaikan.
“Dia cuma mintak tolong abang, Sya. Bukan saja-saja abang bersembang dengan dia, apatah lagi nak cuba sakitkan hatiIsya.”
Aku diam sesaat, ragu-ragu. “Habis tu malam tadi...”
“Adik dia hilang.” Lembut suaranya memintas.
Aku terdiam, lebih-lebih lagi bila mendengar gelaran yang dia gunakan untuk Liza. Sepertimana dulu, dia tak pernah menyebut nama gadis itu di hadapanku. Dia tahu hatiku cukup pedih setiap kali mendengar sebaris nama itu. Bukti yang cukup jelas, dia berusaha menjaga perasaanku.
Tapi aku tetap tak mampu faham satu demi satu tindakannya semalam.
“Dia tak tahu nak buat apa. Bila ternampak abang ada kat situ, dia cuba mintak tolong,” terangnya lagi. Bagai faham apa yang mengasak benakku.
Aku senyap.
“Dia terlampau cemas sampai tak boleh bercakap. Jadi abang suruh dia bertenang, minta ceritakan satu-satu. Itu aje sebenarnya, Sya.”
Senyap juga.
Berubah sayu anak matanya menatapku. “Semuanya bukan macam yang Isya fikir...”
Penerangannya kali ini membuatkan pandanganku jatuh. Mula serba salah dengan apa yang kudengari.
Jika benar apa yang dikatakannya, bererti kemesraan yang aku lihat semalam bukan disebabkan dia yang memulakan perbualan. Tapi kerana dia mahu memudahkan keadaan.
“Hari ni dia datang beraya, tapi dia datang bukan dengan abang. Bukan nak jumpa abang pun, Sya.” Dia menerangkan lagi.
Kuangkat semula pandangan. “Habis tu?” Perlahan.
Dia senyap sesaat, sebelum terukir senyuman nipis di bibirnya. “Dia terpaksa sebab terserempak dengan Kak Mas waktu kat masjid tadi.”
Aku terdiam. Makin dalam menatap wajahnya. Maknanya...
Terlepas nafas halus dari bibirnya, mengiyakan telahanku. “Dia tak ada kaitan apa-apa dengan abang.”
“Betul?” Perlahan suaraku, teragak-agak.
Dia tersenyum semula. “Abang tetap diri abang yang dulu, Sya.” Lembut.“Kalau Isya tak ada erti pada abang, dari dulu lagi abang dah lupakan Isya.Nak cari Isya pun mustahil rasanya.”
Aku makin terdiam.
Dia tersenyum lagi, seolah-olah faham celaru yang mengasak benakku.Dia tarik tubuhku ke dalam dakapannya. Usap-usap lembut belakangku.“Abang tetap pilih Isya.Bukan mana-mana perempuan lain, sayang.” Perlahan berbisik. “Percayakan abang. Mmm?”
Bergetar perasaanku, namun tetap ada rasa musykil yang mengganggu. “Tapi kenapa abang tak nak balik rumah orang tua Isya?”
Terhenti tangannya yang mengusap belakangku.
Aku rasa tak enak semula. “Abang tak suka keluarga Isya?”
Dia mendengus halus, tersenyum dan menggeleng. Usap-usap semula belakangku. “Bukan...”
“Habis tu?”
Dia tersenyum lagi, eratkan lagi dakapan. “Nanti Isya akan tahu.”
Aku membisu, tak puas hati.
Akan tahu nanti? Kenapa tak sekarang?
“Bersiap, Sya. Malam ni kita bertolak balik Penang.”
Aku makin terdiam. Makin tak faham.
Semalam kata mahu beraya di sini saja. Tapi sekarang, tiba-tiba fikirannya berubah. Lebih membingungkan, kenapa tak bertolak petang nanti atau awal pagi esok saja? Sedangkan  dia sendiri tahu, dia tak tahan memandu waktu malam. Mudah mengantuk.


Apa sebenarnya yang dia fikirkan?


14 861 komen:

*~ Jiwa Bulan~* said...

Tq...best2... Huh...kiranya si liza ni dah x harap pada shah lg la kan???

Anonymous said...

Fuhh. Nasib baik dah berbaik. Sedih kalau raya gaduh2

itu_aku +_^zue said...

thanks..nice..xmo gado2 dh

Ilman Nafia said...

huhu.lagi lagi...tq :)

Ilman Nafia said...

bila nak sambung T.T

itu_aku +_^zue said...

Sambung la,cik writer syg

Siti Hanisah said...

ermm.....
entahlah! hehe ;)

soffy malik said...

Akak..bila nak update lg?? Dah x sabar hehe :)))

Siti Hanisah said...

Jap... last entry ni susah sikit nak buat. akak kena 'belasah' betul-betul Shah dengan Isya tu dulu, baru boleh naikkan kat blog. hehe

Azian Elias said...

salam kenal...

boleh membaca di sini ye.. thanks for sharing.

Siti Hanisah said...

Welcome.
Salam kenal jugak n selamat membaca... :)

fadihaj said...

Mana last entry. Dah sebulan tunggu. Sobs cepatla. Tak suka nunggu2 nii ;((

soffy malik said...

Dah sebulan o.O

Ibu Anita said...

Assalamualaikum.wr.wb. perkenalkan nama saya Ibu Anita Tki Malaysia, saat menulis ini saya teringat memory masa lalu.saya sangat tergugah hati melihat coretan hati yang Ibu tulis. saya jadi teringat tentang masa-masa sulit dulu,karena iktiar dan usaha , seolah2 menjadi dendam bukan lagi motivasi, cuma satu tujuan saya pada saat bagaiman caranya untuk bangkit..singkat kata berbagai macam iktiar dan cara yang saya lalui, mengingat pada saat itu hutang saya 1,2m yang tidak sedikit, belum lagi bunga renternir yang bertambah. karena usaha, kesungguhan hati, akhirnya menemukan jalan /solusi . saya percaya ALLAH ITU TIDAK DIAM MAHA PENYAYANG , cobaan itu bukan lah ujian tapi hadiah yang tersilmut untuk kebahagiaan yang sebenar2nya. Sudah banyak para normal yg kami mintai angka togel dan uang gaib cuma Ki Witjaksno yg berhasil alhamdulillah itu betul-betul terbukti tembus. jika anda ingin seperti saya silahkan hubungi Ki Witjaksno: +62852_2223_1459. ingat kesempatan tidak akan datang untuk yang kedua kalinya
UNTUK LENGKAP SILAHKAN KLIK-> PESUGIHAN TOGEL DAN PELARI USAHA

Post a Comment

Assalamualaikum. Hai!
Terima kasih baca.
Cer komen sikit?

.

.