Tuesday, 2 February 2016

Scarlet Cinta Raya (Bahagian 2)


TERKUAK saja daun pintu, Kak Yati sudah sedia tercegat di hadapan kami. Senyuman nakal meleret mekar di bibirnya, membuatkan dahiku berkerut. Curiga.

“Lain kali kalau nak bersembang hal dalam kelambu, jangan berdiri dekat sangat dengan pintu. Orang luar boleh dengar.”

Meruap bahang ke wajahku.

“Akak curi-curi dengar kenapa!” Tegang nada Shah membantah.

Kak Yati semakin nakal. Kenyit mata pada Shah. “Malam ni ya...” Dengan kata-kata itu, Kak Yati berlalu.

Tinggal kami di situ, menanggung wajah yang makin hangat. Ikutkan hati, nak saja aku masuk bilik semula. Malu!

Kuhinggapkan cubitan bahu Shah. “Abang punya pasallah ni.” Separuh berbisik lafazku sebelum beredar dari situ. Menghala ke dapur.

Terasa pandangannya mengekori langkahku. Tak kuendahkan. Mungkin dia rasa tak puas hati, lantas sesaat kemudian terasa dia mengekori rapat di belakangku. “Salah abang?” Hampir kepada bisikan juga suaranya.

Aku buat selamba. “Kalau tak sebab abang, Kak Yati takkan...”

Tiba-tiba pinggangku dirangkul dari arah belakang. Drastik menghentikan langkahku. Aku terkejut lantas menoleh. “Apa ni?”

Nakal wajahnya. “Salah abang?”

Aku terdiam. “Abang tahu tak kita kat mana ni?” Kutekan suara yang separuh berbisik. Gelabah bila menyedari beberapa pandangan yang terhenti pergerakan dek aksi kami. Senyap sunyi rumah itu.

“Tahu...” Penuh bersahaja jawapannya.

Aku telan liur. Teruknya Shah ni... nekad tak bertempat!

Makin nakal senyuman di bibirnya. “See...” bisiknya. “Isya pun salah sama.”

“Apa pulak!” Lebih kutekan suara. Makin tak keruan bila menyedari ada yang mula tersenyum-senyum sesama sendiri.

“Isya tak cuba pun lepaskan diri dari abang.”

Aku terdiam spontan mengingati tangannya yang masih kemas merangkul pinggangku. Serentak itu senyuman Shah semakin nakal. “Isya tak bagi, tapi tak tahu cara nak halang abang dari buat yang bukan-bukan...”

Makin berbahang wajahku!

Pantas kutampar-tampar tangannya. “Lepas!”

Dia tertawa dalam, penuh makna. Terlalu hampir dengan telingaku. Hatiku bergetar tapi rasa malu pada keluarga jauh lebih kuat menguasai diri. Kukerah tenaga untuk melepaskan diri sebelum dia sendiri yang meleraikan rangkulannya.

Dia cuit hidungku. Mesra. “Kita sama-sama tanggung malu.” Berbisik.

Hangat semula wajahku. Dia tersenyum, kenyit mata padaku dan kemudian beredar dari situ. Menuruni anak-anak tangga ke dapur.

Aku yang tak selesa bersendirian di situ segera mengikut langkah Shah. Pandangan kaum keluarga dan suasana dapur yang seperti memberi tumpuan nakal padaku tak langsung kupedulikan. Pura-pura tenang, sedangkan wajah sudah tebal yang amat.

Tiba di dapur, aku pura-pura sibuk. Shah pula bagai memahami, ikut membantu menyibukkanku. Minta aku sediakan itu dan ini untuknya.

Berkerut dahiku bila dia tiba-tiba menarik tanganku. Sedangkan sebelah kakinya sudah pun memijak lantai bilik mandi.

“Kenapa?”

“Mandi dengan abang.”

Aku terdiam. Serba-salah.

Penuh makna senyuman di bibirnya. “Isya nak sibukkan diri, kan?”

Aku terdiam lagi, kali ini mula faham tembelangnya.

Dia tengah mengejek aku rupanya!

“Tak payahlah!” Kurentap tangan dari genggamannya. Terlepas.

Dia tertawa. Aku cepat-cepat pergi dari situ, tahan malu. Makin tak tahu mana patut dihalakan muka. Ke mana pergi serba tak kena. Ergh!


DISEBABKAN hal itu, sepanjang hari aku tidak lagi pedulikan Shah. Dia pula kebetulannya sibuk menolong bapa mertuaku menyiapkan panjut. Bertambah mudah kerjaku. Bawa haluan masing-masing.

Aman dunia!

Tapi petang itu sewaktu sedang menanti waktu berbuka, aku menerima sebuah pesanan ringkas. Berkerut dahiku bila membaca nama yang tertera di skrin telefon.

Shah.

Aku angkat kepala, pandang dia yang sedang berada di kalangan sepupu-sepapatnya. Kedudukannya benar-benar bertentangan denganku yang berada di tepi ruang tamu ini. Selamba saja dia berbual. Tidak sedikit pun menoleh ke arahku walau tahu aku sedang memandangnya.

Apa kena, sampai berSMS-SMS segala ni?

Segera kutekan butang baca.


Jenuh abang tunggu Isya masuk bilik, tapi Isya tak buat tak tahu aje.

Bersiap-siap, Sya. Malam ni lepas isyak, ikut abang.


Aku senyap seketika dengan mesej yang disampaikan. Agak tertanya-tanya. Kupandang dia semula tapi dia tetap juga seperti tadi.

Bersama satu nafas halus, aku balas SMS itu.


Pergi mana?


Ekor mata melihat dia terhenti berbual bila telefon bimbit di tangannya berbunyi. Dia senyap membaca balasan dariku. Tak lama kemudian telefon milikku pula yang berdering.


Buat anak.


Terketap gigiku bersama senyuman yang gagal kutahan. Hangat wajahku dengan jawapan penuh bersahaja itu.


Abang!


Ekor mata melihat dia tersenyum sendiri, kerling diriku penuh erti. Aku buat-buat tak perasan, sedangkan wajah sudah semakin hangat. Bila telefon bergetar, dengan rasa sanggup tak sanggup saja aku membukanya. Tak mampu jangka apa jawapan lelaki itu kali ini.


Keluar jalan-jalan... kita berdua je.

Rindu, sayang.


Meresap ayat terakhir itu ke dalam perasaanku. Halus mendamaikan. Membuatkan aku semakin tersenyum.


Ok.


Sesaat kemudian masuk lagi SMS.


Ok je?


Terbantut hasrat membalas bila tiba-tiba lenganku disiku. Serta-merta aku berpijak di bumi nyata. Suara-suara berbual kembali mengisi ruang dengar, bukti yang tadinya aku sudah terlalu jauh hanyut dalam duniaku.

Aku menoleh. Fiza sedang tersenyum penuh makna. Angkat-angkat kening. “Kalau rindu, bersembang ajelah depan kitorang ni. Tak payah sorok-sorok.”

Tersirap darahku, lebih-lebih lagi bila menyedari beberapa pandangan yang sedang bertumpu ke arah kami. “Curi-curi baca, eh!”

Meletus tawa nakal di bibirnya. Aku tampar bahunya. Geram!

Fiza usap-usap bahu yang pedih. Bersisa tawanya. “Tak payah curi-curi bacalah. Tengok gaya aje pun dah boleh tahu!”

“Entah! Sekejap, senyum-senyum baca SMS. Sekejap lagi pulak, menjeling-jeling orang tu.” Satu lagi suara menyambut.

Aku terdiam.

Argh, kenapalahh...

Susah sangat ke untuk aku lepas dari perhatian-perhatian nakal tu semua? Hah?


“KELUAR tu biar lama-lama, tau? Lepaskan semua rindu tu!”

Mati serta-merta langkahku bila Fiza melaung begitu. Pantas menoleh, menjeling. Fiza yang sedang duduk bersantai di tangga bersama beberapa lagi sepupu Shah itu tersenyum penuh makna ke arahku.

Beberapa perhatian ahli keluarga yang turut berada di laman rumah itu tertarik ke arah kami. Ada tawa kecil yang mula kedengaran dari mereka, nakal. Hangat wajahku.

Kupandang semula Fiza, jegil mata padanya.

Fiza tergelak menyakat. “Cuma cadangan.” Nakal.

Aku mencebik, malas melayan. Dalam suasana laman yang meriah dengan cahaya pelita dan anak-anak kecil bermain bunga api itu, kuatur semula langkah ke arah Shah yang sudah pun tiba di kereta.

Lelaki itu sedang menantiku. Dari jauh, aku dapat melihat dia tersenyum sendiri dengan usikan Fiza.

Apa taknya!

Disebabkan tertangkap berSMS rahsia petang tadi, sampai sekarang kami disakat-sakat. Akulah yang teruk kena!

Sebab masa berSMS tadi, aku terlupa yang aku tengah duduk sebelah Fiza, sepupu Shah yang paling, paling, paallingg nakal!

Memang riuhlah satu rumah dikerjakannya tadi. Mujur kali ni dah tak ada lagi scene tolak-tolak kat serambi. Kalau tak, agaknya tadi memang dah terus patah pinggang aku.

Yang Shah pulak tersenyum-senyum bila orang usik aku. Bukannya nak tolong!

“Fiza suruh kita keluar lama-lama?”

Berderai lamunanku lantas menoleh. Shah sedang memandangku penuh erti, sengaja menyambut ketibaanku di kereta dengan soalan sebegitu.

Aku mencemik. “Tak tahulah sepupu abang tu.”

Shah tersenyum, tapi seakan ada rahsia tersembunyi di sebaliknya. Aku enggan peduli. Segera buka pintu kereta dan masuk ke dalamnya.


“KITA nak pergi mana ni?” soalku setelah agak lama kereta meluncur di atas jalan raya. Takbir raya sedang berkumandang di corong radio ketika itu. Segera kurendahkan volumenya, enggan perbualan terganggu.

Ekor mataku melihat Shah menoleh sekilas. “Isya nak pergi mana?” Dia pula yang menyoal.

Aku pantas memandang wajahnya.

“Cakap aje.” Tenang, sebelum kemudiannya ada senyuman penuh erti yang mula terukir di bibirnya. ”Tapi lepas tu kena bayar baliklah...” Sedikit perlahan suaranya kali ini, nakal.

Terlepas keluhan dari bibirku, lantas kubawa pandangan ke luar tingkap. “Dah agak dah.”

Dia tertawa kecil. “Tahun ni kita raya kat sini ajelah, Sya.”

Aku terdiam. Berkerut dahi lantas menoleh kembali padanya. Pelik kerana dia tiba-tiba saja menukar topik. “Tahun ni giliran Isya, kan?”

Dia mengangguk sedikit. “Iya, abang tahu...” Sengaja dia gantung di situ.

Makin berkerut dahiku, tajam merenung wajahnya. Mula merasakan ada yang tidak kena. “Tahun ni Kak Mas raya sekali dengan kita, bang.” Aku cuba mengingatkan, sekali gus memberitahu rasa tak bersetuju.

Shah senyap, mengiyakan apa yang kufikir. Aku mengeluh berat, patah semangat. Bawa kembali pandangan ke luar. Berpeluk tubuh.

“Jadi abang sengaja nak jumpa Lizalah, kan?” telahku dalam suara yang sedikit perlahan. Sakit hati untuk menyebut nama itu. “Kalau Kak Mas ada, mesti Liza pun ada jugak.”

Dia senyap lagi, bagai mengiyakan juga.

Patah lagi semangatku. Menggeleng-geleng kecil bersama senyuman sinis. Hati tiba-tiba rasa mendongkol. “Masa dia datang rumah tu nanti, abang nak Isya menyorok kat mana?”

“Siapa suruh menyorok?”

Tersirap darahku mendengarnya. Pantas menoleh. Shah tetap tenang memberi tumpuan pada pemanduan. Tak langsung rasa bersalah dengan apa yang baru saja keluar dari bibirnya.

Perlahan-lahan aku lepaskan nafas, cuba tahan hati yang bengkak. Hanya kerana mahu bertemu Liza, sanggup dia bersuara sesinis itu terhadapku. Sanggup ketepikan perasaanku, padahal dia tahu betapa terhinanya aku setiap kali berdepan Kak Mas.

Patutlah beria sangat dia mahu pulang bercuti di sini. Rupanya atas sebab ini.

Aku menggeleng-geleng lagi. Benar-benar tak kusangka, tewas juga dia di tangan wanita itu.

Yang Liza pula, entah kenapa kerenahnya makin menyakitkan hati akhir-akhir ini.

Terlepas lagi keluhan berat dari bibirku.

Liza... Liza... sanggup kau ya.

2 861 komen:

Anonymous said...

Aishhh shah ni.. suka saspen2.

Ilman Nafia said...

Akak.cptlah smbungggg

Post a Comment

Assalamualaikum. Hai!
Terima kasih baca.
Cer komen sikit?

.

.