Monday, 1 February 2016

Scarlet Cinta Raya (Bahagian 1)

Assalamualaikum. Hai! :)

Sebelum baca entry Scarlet Cinta versi raya ni, pastikan dah baca Scarlet Cinta sampai bab 25 sekurang-kurangnya tau. Kalau tak nanti takut tak faham. Haha saya tak tauuu...

Selamat membaca ;)

*******



~ Bab 1 ~
TANPA mempedulikan aku dan Fiza di serambi, laju saja Shah melangkah ke dalam rumah. Kak Yati yang sedang memasang langsir pada tingkap ruang tamu itu segera menoleh.
“Hah, dah balik?”
Shah tak menjawab. Terus melangkah ke bilik.
“Agak-agak, tahun ni berapa banyak panjut boleh dapat, Mi?”
Shah menoleh sekilas sambil melangkah luas ke arah bilik. Acuh tak acuh. “Tak tahu. Ikut abahlah.”
“Eh, bukan kau ke yang ikut abah masuk hutan tadi?” pintas Kak Yati sambil turun dari bangku. Tangan ligat memasukkan dawai pada kepala langsir sementara mata semakin berpusat pada Shah. Berkerut dahinya, nampak musykil.
Langkah Shah terhenti berhampiran pintu bilik. Pandang semula Kak Yati, tapi kali ini dia nampak seperti terganggu. Dia garu-garu sedikit belakang tengkuknya bersama satu keluhan halus. “Cadang nak buat dalam dua puluh batang, tapi tadi kayu dengan buluh dapat sikit aje.”
Kak Yati mengangguk. “Ohh...” Diam sesaat. “Orang lain dah ambik dulu gamaknya.”
“Iyalah kut.” Serentak dia tolak daun pintu.
“Kenapa tak beli aje pelita kat kedai?”
Shah menggeleng laju. “Entah, tanya abahlah!” Terus dia menghilang ke dalam bilik. Tergesa-gesa.
Kak Yati terdiam sesaat, nampak tak puas hati. “Apasal kelam-kabut sangat tu, weh!”
“Badan orang gatal-gatallah! Miang ni!” laung Shah dari dalam bilik.
Pecah tawa Kak Yati mendengarnya. “Hai, baru cari buluh dah tak tahan?”
“Diamlah!”
Kak Yati ketawa lebih galak. Panjat semula kerusi sebelum memasang langsir pada tingkap. Tergeleng-geleng kepalanya. “Haihh... nasiblah kau, Sya... dapat si Mi tu...”
Shah di dalam bilik tidak membalas kali ini. Hanya daun pintu yang terkuak semula. Terjengul kepalanya. Liar mata meneroka ruang tamu yang riuh dengan suara anak-anak kecil bermain.
Kak Yati menoleh pada Shah bila menyedari kelibat lelaki itu di pintu. “Apasal pulak tu?”
Shah menoleh. “Isya mana?”
Kak Yati ketawa semula, menggeleng-geleng. Kembali ditumpukan perhatian pada langsir yang sedang digantung. “Baru sekarang teringat nak tanya.” Mengomel. “Dia dah balik Penang. Kau tinggal dia lama sangat.”
Shah berdecit, bosan dipermainkan.
Fiza di sebelahku sudah tergelak-gelak nakal. Ditepuknya pahaku. “Pergilah kat cik abang awak tu. Kesian pulak tengok.”
Aku yang sejak tadi jadi pemerhati di serambi itu hanya tersenyum dengan usikan Fiza. Kuketepikan bunga yang sedang digubah. Bingkas dari situ, melangkah dapatkan Shah.
Bagai sedar diri sedang dihampiri, Shah segera menoleh. “Dari mana?”
“Ada kat beranda.”
Shah terdiam. “Abang tak nampak pun tadi?”
“Baru lepas menggatal dengan cik buluh, memanglah dah tak boleh nampak orang rumah sendiri!” Selamba saja Kak Yati menyampuk tanpa memandang kami.
Shah terdiam. Tajam pandangannya menikam Kak Yati.
“Sental Clorox kat badan dia tu biar banyak sikit, Sya!” tambah wanita itu lagi. Tetap tidak menoleh ke arah kami.
Shah senyap juga. Aku tersenyum sendiri, geli hati dengan kerenah kakak iparku itu. Kuatur langkah masuk ke bilik tapi terbantut bila Shah tiba-tiba menghala ke dapur.
Aku terdiam di tepi pintu bilik. Bingung. Tidak lama kemudian, Shah muncul semula. Satu jag berisi air berada di tangannya. Laju dia meluru ke arah Kak Yati, membuatkanku terdiam.
Aku telan liur. Ah, sudah...
Dush!
“Ya Allah!” Bergema satu rumah dengan pekikan. Semua yang ada di situ terus terhenti pergerakan. Menoleh.
Habis! Lencun Kak Yati disimbah Shah.
Pantas Kak Yati berpusing. Mencerlung mata sebaik terpandang Shah. “Bertuah punya budak!”
Shah buat muka puas. “Padan muka!”
“Hakimi!” Serentak dia melompat turun dari kerusi.
Shah tergelak nakal, tak tunggu lagi. Campak jag atas kerusi rotan, cepat-cepat pergi dari situ. Disambarnya tanganku, tarik masuk ke dalam bilik. “Cepat, Sya!”
Aku cuma patuh. Shah segera kunci pintu. Kemas. Kak Yati terhalang daripada masuk.
Dung! Dung!
“Hakimi!” laung wanita itu.
Shah tak menjawab sebaliknya berusaha tahan gelak daripada tersembur.
Aku pandang wajahnya. “Tak apa ke, bang?”
Dia menoleh, balas pandanganku bersama senyum nakal yang masih terlakar di bibir. “Dia yang cari pasal.”
“Weh! Keluar kau, Mi!” laung Kak Yati di luar bilik.
Shah tahan gelaknya.
Kak Yati ketuk-ketuk lagi daun pintu. Lebih kasar. “Hakimii!!!” Macam nak terkeluar anak tekak!
Meledak tawa Shah sudahnya.
“Lap balik air tu, weh!”
Shah tergelak lagi.
Dung! Dung!
“Weh, dengar tak ni!”
Shah tak juga membalas. Berusaha sudahkan tawa, kemudian berlalu pergi. Melangkah ke arah bagasi di hujung bilik. “Mi dah tidur!” laungnya, menyakat.
Kak Yati di luar terdiam panas hati. Aku pula hanya mampu senyap, cuma jadi pemerhati kenakalan suamiku itu.
Shah tarik tuala di penyidai kemudian melangkah ke arahku yang masih berdiri di pintu. Tiba berhampiran pintu, dia capai tombol. “Dah jadi mak orang, tapi perangai mengalahkan budak-budak jugak.”
“Abang pulak pergi layan dia,” balasku. “Dua kali limalah tu, kan?”
Dia terdiam spontan terhenti pergerakannya. Menoleh, merenungku. Aku lempar senyuman nakal, angkat kening dengan maksud menyindir.
Perlahan-lahan, dia ikut tersenyum. Faham maksudku. Dia berkalih, kali ini berdiri menghadapku. Dia sandar belakang tubuhnya pada daun pintu. Santai. “Abang tak apa...” Digantungnya sesaat. Kerlingannya semakin bererti ke wajahku. Kemudian dia menyambung dengan nada yang lebih dalam, “sebab abang belum ada anak...”
Zzup!
Aku terlihat rancangan nakal di fikirannya. Hangat wajahku.
Ah, sudah...
Dia tersenyum lagi, menampakkan lekuk di pipi kirinya. Bergetar hatiku, mula hilang arah. Tapi aku tidak kuat untuk membawa anak mata pergi dari wajahnya.
Entah kenapa, dia sentiasa nampak menggoda di dalam senyuman begitu. Dari dulu lagi. Rugi jika tak kunikmati senyumannya itu.
“Dah berapa bulan Isya tidur dengan abang?”
Makin jelas betapa benarnya sangkaanku bila dia tiba-tiba menyoal begitu. Kutautkan semula anak mata dengannya. “Kenapa?”
Dia balas pandanganku, tapi akalnya seperti sedang berusaha mengingat sesuatu. “Dua bulan dua puluh lapan hari.” Perlahan suaranya, seperti tidak pasti. “Betul?”
“Dua puluh tujuh hari.” Aku membetulkan.
Mekar semula senyuman nakal di bibirnya. “Jadi Isya memang ingatlah, kan?”
“Abang nak cakap apa sebenarnya ni?” soalku semula, mula curigakan fikirannya. Dalam masa yang sama aku mula berhati-hati. Berwaspada dengan sebarang ‘serangan’ darinya.
Dia bukannya boleh dipercayakan sangat!
Dia senyap, semakin nakal tersenyum. Tanpa kujangka, mesra saja tangannya berlingkar di pinggangku.
Aku gelabah. “Abang!”
“Mmm?” Sambil mengemaskan rangkulannya.
“Badan abang tengah miang-miang ni, kan? Pergi mandi dululah!”
Makin nakal senyuman di bibirnya. “Kalau miang abang ni berjangkit pada Isya, kita boleh cepat dapat anak.” Bergetar suara yang dibisikkan ke telingaku.
Berderau darahku. Sah, dia dah mula.
Laju akalku mencari helah. “Tak ada maknanya.”
“Kenapa?” Romantis, umpama bayu lembut saja menampar ruang dengarku.
Aku makin tak keruan. Tak terdaya lagi aku kerah akal mencari helah seterusnya. Dia pula segera menggunakan kesempatan yang ada. Dia tunduk. Menjalar hidungnya di tengkukku.
Aku telan liur.
Tolonglah...
Oksigen! Oksigen!
“Isya puasa, bang.” Terpacul tiba-tiba dari bibir.
Dia terhenti. Aku pejam mata serapat-rapatnya, makin sukar bernafas. Berdebar jantungku menanti tindakan dia yang seterusnya. Takkan terlalu mudah dia berhenti.
Mendarat sesaat bibirnya di leherku, hangat. Aku membisu, gigit hujung bibir. Terus berdebar. Tapi anehnya, selepas itu tiada lagi kucupan yang dapat kurasakan. Lengang ruang bilik.
Agak lama begitu, aku jadi tertanya-tanya. Teragak-agak aku mengintai di sebalik kelopak mata yang tertutup. Dia sedang menatapku penuh erti. Tiada lagi riak-riak nakal di wajahnya.
Perlahan-lahan, baru kuberanikan diri untuk mencelikkan mata. Dalam diam aku lepaskan lega. Cuba kuleraikan tangannya yang merangkul pinggangku.
“Sekarang memang boleh lepas, sayang,” bisiknya.
Terhenti pergerakanku serentak berderau darah. Jelas, dia sengaja mengocak kembali hatiku yang mula tenang. Ungkapannya itu penuh dengan nada muslihat seorang lelaki. Tak mampu kubayangkan, apa yang sedang dia fikirkan.
Dia tersenyum lagi sebelum mendaratkan satu kucupan di telingaku. Aku senyap juga di dalam jantung yang tak tentu hala rentaknya.
Bertaut anak mata kami sesaat kemudian. Berbalas tatapan. Dia angkat kening, penuh dengan maksud tersendiri. “Mmm?”
Aku tahu dia sedang menuntut persetujuan sekali gus janji dariku. Dan aku juga tahu, aku tidak langsung dapat lari dari dirinya. Setuju atau tidak, aku tetap akan setuju juga akhirnya.
Pesona dirinya terlalu kuat terhadapku. Bila-bila masa saja dia boleh membuatkan aku tewas. Usia pernikahan yang hampir mencecah tiga bulan ini membuatkan aku faham benar dirinya.
Dalam wajah yang berbahang, aku mengangguk akhirnya. “Okey.”
Meleret senyuman menggoda di bibirnya. “Malam ni.” Serentak mendarat lagi satu kucupan di leherku sebelum rangkulan pada pinggangku dileraikan.
Dia berkalih. Berpusing menghadap pintu yang sudah tidak lagi bergegar ditumbuk-tumbuk Kak Yati

7 861 komen:

baby mio said...

best 3x.

call me ziana said...

Best..ada lagi sambungan x?? Hihi

Nor Zulaikha Zulkifli said...

Puas hati even bab 30 terpaksa dibatalkan.Harap2 cepatlah novel ni diterbitkan. Tak sabar betul dah ni. Good luck, Siti! ;)

Siti Hanisah said...

Ada, insya-Allah. Dalam 2-3 bab lagi... :)

Siti Hanisah said...

Ye... terima kasih banyak... (lama tak dengar citer pasal awak :) )

siti zanariah said...

Sayangnya bab 30 ni x ada dlm buku.Mmg seronok menghayati novel ni.

Shaze Alma said...

Haha. Kalau scene tu nampak macam tak relevan dengan jalan cerita, memang diorang akan potong. Kite memang la sayang sebab bnyak part yang tak dapat dibaca. Rasa macam ter miss something. Saya lagi laa... hahaha. Memang macam tak bernyawa dah time tu. Haha. Tapi nak buat cemana. Mungkin masa2 akan datang boleh diusahakan kot.. biar xde part langsung yang relevan dipotong! Haha

Post a Comment

Assalamualaikum. Hai!
Terima kasih baca.
Cer komen sikit?

.

.