Wednesday, 13 January 2016

Scarlet Cinta (Bab 8 & 9)

~ BAB 8 ~

SEJAK terkantoi dengan Shah, aku dah tak berani lagi pandang dia. Bila dia minta tolong carikan buku, aku patuh saja. Tak melawan, tak juga menjawab. Takut tersalah cakap, nanti malu lagi depan dia.
Dia pula macam sengaja menyakat aku. Dah tahu aku malu dengan dia, lagi dia suka suruh aku buat itu ini. Sengaja!
Dengan muka serius sambil menyorok senyuman, dia bagi arahan. Aku ni dengan hati yang mendongkol, terpaksalah patuh. Bila dapat apa yang dia nakkan, penuh lebar dia senyum pada aku.
“Terima kasih...” ucap dia dengan suara lembut. Baik sangatlah kononnya.
Eleh, macamlah aku tak tahu. Baik dia tu baik yang ada makna. Seronok agaknya dapat menyakat aku. Bukan aku tak kenal Shah tu!
Bila waktu perpustakaan beroperasi berbaki beberapa minit saja, aku dan Sahabat Perpustakaan yang lain mula menyusun buku. Tapi daripada celah-celah rak buku, aku lihat Shah masih belum berganjak dari tempatnya. Terus juga sibuk dengan kerja, seolah lupa segalanya. Sedangkan pengunjung lain kebanyakannya sudah lama keluar.
“Rish, apasal that guy ada lagi kat situ?”
Aku tersedar, menoleh. Ketua Harian sedang serius memandangku.
“Err... F.Y.P....” Ya, Final Year Project.
“Tapi library dah nak tutup ni, kan? Patutnya dari sepuluh minit yang lepas lagi you dah suruh dia keluar.”
Aku terdiam.
“Dia dalam kawasan you, kan?” Dah... dia dah mula buat suara kuku besi dia tu. Saja nak cari salah akulah tu. Tak boleh gamaknya kalau sehari tak marah orang.
Aku cepat-cepat mengangguk, malas melawan. Tak menunggu lagi, aku bergegas ke meja Shah. Kuketuk-ketuk sedikit hujung meja sebaik tiba.
Library dah nak tutup...” Ringkas suara. Sejurus, aku kembali ke rak. Buku-buku yang bertimbun di atas troli memaksa aku menyegerakan perbuatan. Tapi waktu tangan mula meletakkan buku-buku di atas rak, terbantut pergerakanku bila terpandang Shah.
Dia belum pergi lagi dari situ? Tak dengar ke aku suruh dia pergi tadi? Atau dia sengaja nak kenakan aku lagi?
Terlepas keluhan lemah dari bibirku. Disebabkan dia dalam kawasan akulah, terpaksa juga aku mengalah. Pergi ke meja dia yang terletak paling hujung tu. Kalau dia bukan dalam kawasan aku, jangan haraplah aku nak senang-senang pergi jumpa dia. Silap-silap nanti aku campak aje buku dari rak ni! Biar benjol kepala dia!
Aku ketuk-ketuk papan meja sebaik tiba.
“Shah... library dah nak tutup ni... tak nak pergi ke...” Penuh malas.
Aku tunggu sesaat dua. Tapi seperti tadi, dia tak langsung terganggu. Berkerut dahiku. Biar betul mamat ni.
“Shah!”
Baru dia angkat kepala, berkerut dahi pandang aku.
“Dengar tak ni?”
Dia tak terus menjawab, sebaliknya menanggalkan earphone dari telinga dia yang membuat aku terdiam. Aduhai...
“Kenapa?” soalnya. Aku pandang semula mata dia, agak hangat hati.
Library dah nak tutup ni.”
Pantas dia pandang jam tangan. Mengeluh berat kemudiannya, tersandar lemah.
“Lah... ye ke...” Sedikit lesu nada. Penat agaknya.
“Sambung esoklah,” cadangku.
Dia senyap. Bagai sedang kusut. Dia garu-garu sedikit kepalanya, membuatkannya kelihatan tak terurus. Dia tanggalkan kaca mata, letak atas meja. Raup-raup wajah, kemudian mengeluh lagi.
“Cepatnya masa berjalan...” Perlahan, seolah untuk diri sendiri.
Tidak lama meraup-raup wajah, dia berpeluk tubuh pula. Angkat kepala memandangku, tapi waktu itu juga aku tersentak. Berdetak kencang jantung tiba-tiba. Ah, kenapa ni?
“Isya?”
Aku tersedar, balas pandangannya. Terangkat sedikit keningnya.
“Kenapa?”
Aku tak berupaya menjawab. Entah apa puncanya. Cepat-cepat aku alih mata dari wajahnya, pura-pura pandang jam di tangan. Aku telan liur dengan harapan mampu juga bertenang. Ukir senyuman nipis, tapi cukup ketara kelatnya.
“Saya tak pernah tengok awak tanggalkan spec. Muka awak nampak lain.” Bergetar suara.
Dia terdiam, berkerut dahi memandangku. Aku tahu dia keliru.
“Err... tt... tak apalah, Shah. Saya tengah sibuk.” Kalut, dan aku terus pergi dari situ. Membiarkan dia yang terpinga-pinga.
Berpeluh-peluh dahiku. Ya Allah... tak tahulah apa kena dengan aku ni...
Entah kenapa, bila pandang Shah yang tak pakai spec tadi aku tiba-tiba teringat Abang Mi. Kuat sangat ingatan itu. Semacam yang ada depan aku tadi memang Abang Mi. Padahal bila aku sedar yang aku cuma tersalah pandang, hati aku juga yang pedih.
Bila mengingatkan pula Abang Mi yang bakal berumahtangga, bertambah-tambah kuat rasa sakit dalam hati. Aku berusaha teruskan hidup selama ini pun disebabkan harapan dan semangat dari dia. Memang dia jauh, tapi kenangan-kenangan itu semua selalu buat aku rasa dekat dengan dia.
Bila sekarang dengan terangnya dia sendiri tinggalkan aku, langsung tak fikir betapa mengharapnya aku pada dia, langsung tak menganggap serius janji-janji dia dulu... tak tahulah apa lagi yang patut aku buat. Hidup jadi kosong tiba-tiba.
“Isya.”
Aku tersedar, menoleh. Shah berdiri tak jauh dariku yang sedang menyusun buku.
“Mmm?” Aku pura-pura selamba.
“Awak nak saya tunggu? Hujan kat luar tu.”
Aku menggeleng. Mata tidak lagi memandangnya.
“Tak payahlah. Saya balik dengan kawan aje nanti.”
“Betul ni?”
Aku mengangguk sambil terus menyusun buku.
“Tak apalah kalau macam tu.” Perlahan sedikit suaranya kali ini.
Aku senyap.
“Kalau ada apa-apa nanti, call saya.”
“Okey.” Laju menjawab. Yang sebetulnya, aku enggan membiarkan dia terus berada di sisiku. Hati jadi tak tenteram!
Bila dia berlalu, aku semakin menyibukkan diri. Enggan ingat apa-apa, baik berkenaan dia mahupun Abang Mi. Kedua-duanya mahu kulupakan!

TIDAK lama tenggelam dalam dunia sendiri, telefon bimbit dalam poket seluar bergetar. Aku segera keluarkannya. Nama Liza terpampang di skrin.
“Helo, Rish.” Laju dia menyapa sebaik talian bersambung.
“Helo.” Acuh tak acuh, sambil sebelah tangan terus menyusun buku.
“Malam ni aku mungkin tak balik. Nanti kau lock ajelah pintu, tak payah tunggu aku.”
“Kau nak ke mana?” pintasku. Kurang selesa mendengar suara Liza yang bergetar. Bagai sedang menahan tangis.
“Aku nak keluar.” Dia semacam cuba mengelak.
“Ye la, aku tahu tapi nak keluar ke mana...”
Liza diam sesaat, hela nafas dalam.
“Aku dengan Fariz dah break, Rish... dia yang mintak...” Seiring itu tangisannya berderai.
Aku terdiam, serentak tangan yang menyusun buku juga terhenti. Tiba-tiba rasa tersepit dan bersalah. Selama ini memang Liza tak pernah tahu rancangan itu. Aku tak pernah kongsikan dengan sesiapa. Tapi sekarang... tidak boleh tidak, aku terpaksa mengakui, ada risau yang mula menggangguku.
“Kenapa?” soalku.
“Tak tahu...” Pecah esakannya. Dia segera menutup mulut dengan telapak tangan untuk mengawal tangis. Tapi bertambah galak pula esakannya.
Aku semakin simpati. Bagaimanapun dalam masa yang sama rasa lega juga kerana Fariz tidak menceritakan apa-apa mengenai rancangan itu. Memang selama ini, soal Lizalah yang paling mengganggu duniaku.
“Aku pun tak tahu kenapa tiba-tiba dia berubah macam ni, Rish... dulu dia yang mintak aku kuat bila family aku nak jodohkan aku dengan orang lain. Tapi sekarang ni dia yang...” Dia tidak mampu meneruskan. Makin ketara esakannya, meresap ke dalam hatiku.
“Apa aku patut buat sekarang ni, Rish... aku tak nak jauh dari dia...”
Aku diam juga. Makin runsing. Liza dengan kesetiannya, keluargaku di kampung pula dengan harapan yang terlalu tinggi.
“Rish...” Liza memanggil. Sayu.
“Iya...”
“Kenapa senyap...”
“Cubalah kau pujuk dia baik-baik...”
“Dah... tapi dia tetap jugak nak putus...”
Aku diam semula. Jika Fariz sendiri yang bertegas mahu akur pada kehendak orang tuanya, apa lagi dayaku.
“Kalau dulu, boleh jugak aku tangguh-tangguhkan kehendak orang tua aku, Rish... sebab masa tu Fariz ada. Dia yang hantar aku balik kampung tiap-tiap kali cuti. Boleh aku tunjukkan pada diorang yang dia betul-betul serius nakkan aku. Tapi sekarang bila dia dah tak ada, macam mana aku nak bagi alasan lagi pada orang tua aku tu, Rish... diorang bukannya nak faham aku ni...” Makin lama makin pilu suaranya. Makin ketara esakannya.
“Aku tak nak dengan orang tu... aku nak Fariz...”
Untuk seketika aku senyap juga. Jenuh mencari jalan tengah. Seboleh mungkin, aku mahukan keadaan yang selamat untuk semua pihak. Tapi tidak tahu bagaimana, kerana aku sendiri sedang tersepit.
“Sabarlah, Liza...”
“Nak sabar macam mana lagi, weh... kau tak ada kat tempat aku, bolehlah kau cakap macam tu.”
Aku diam semula, agak berkecil hati dengan tuduhan itu.
“Tak apalah, Rish. Aku cuma nak bagitau kau pasal tu aje. Malam ni aku tak balik.” Dia kembali ke topik asal.
“Kau nak ke mana sebenarnya?”
Dia senyap. Risau aku dibuatnya.
“Bagitaulah, Liza. Senang aku cari kau kalau ada apa-apa hal nanti. Dahlah hujan tengah lebat ni.”
Liza senyap juga. Aku terpaksa membiarkan, mengharap dia berlembut hati akhirnya.
“Jalan-jalan kat bandar, tenangkan fikiran.”
Aku diam, sedikit lega. Nampaknya dia masih tidak keluar dari kebiasaan dirinya. Dia cuma mahu bersendirian di tengah-tengah kesesakan manusia setiap kali fikiran runsing.
“Tak apalah kalau macam tu.” Ringkas jawapanku.
Senyap sesaat antara kami.
“Rish.”
“Mmm?”
“Kalau family aku desak suruh terima calon pilihan diorang tu, kau rasa aku patut buat apa?”
Aku senyap sesaat. Serba salah sebenarnya, kerana aku juga sedang bergelut dengan perkara yang sama. Cuma bezanya, aku kenal Fariz. Liza pula tidak pernah kenal calon pilihan keluarganya itu.
“Kalau aku, mungkin aku akan balik kampung. Jumpa sendiri calon tu. Tengok, serasi ke tak. Kalau tak serasi, bincanglah balik dengan family.” Perlahan suaraku, tidak begitu pasti.
“Maknanya aku kena balik kampunglah ni?”
“Mmm...” Aku mengangguk sedikit.
Liza mengeluh berat, tak rela.
“Tak apa, Liza... jumpa aje dulu, bukan setuju terus...”
Dia diam. Beberapa ketika begitu, dia mengeluh lagi.
“Tak apalah kalau macam tu. Tengoklah macam mana nanti.” Perlahan suaranya. Dan kemudian dia mengakhirkan perbualan.
Sesudah itu, senyap-sunyi semula duniaku. Ingatan pada Liza semakin kuat. Terbayang-bayang di benakku betapa kecewanya dia. Dia dan Fariz sudah terlalu lama berhubungan istimewa. Sejak di sekolah menengah lagi. Aku cukup faham perasaannya bila berlaku keadaan seperti ini.
Cuma sekarang, aku tak faham mengapa Fariz terlalu mudah mengalah. Sepatutnya dia boleh saja bertegas mahu terus dengan Liza. Jika dulu dia boleh minta Liza kuat, kenapa sekarang dia sendiri tak boleh?
Tiba-tiba aku rasa seperti Liza itu diriku sendiri. Liza terluka ditinggalkan. Dalam masa yang sama tertekan dengan perihal jodoh aturan keluarga.
Cuma bezanya, keluargaku tergesa-gesa mahu aku bernikah hanya untuk memastikan harta pusaka itu tidak jatuh ke tangan Abang Mi. Dalam kes Liza, aku tidak begitu pasti. Entah mengapa keluarganya begitu bersungguh mahu menjodohkan dia dengan lelaki itu. Entah apa yang istimewanya lelaki itu.

TAMAT waktu bertugas, aku berjalan sendirian keluar dari perpustakaan.
“Betul kau tak nak tumpang aku, Rish?” Suara salah seorang Sahabat Perpustakan tiba-tiba kedengaran di belakang.
Aku menoleh, menggeleng kecil bersama senyuman tipis.
“Habis tu kau nak balik dengan siapa?”
“Aku balik sendiri.”
“Kau ada transport sendiri?” Laju dia memintas.
Aku tersenyum saja. Dia nampak keliru tapi tidak lagi mempelawa aku menumpangnya. Aku pula kelegaan. Sememangnya aku enggan bertemu sesiapa waktu ini. Fikiranku sedang dikusutkan dengan terlalu banyak perkara.
Ujian esok malam, majlis pertunangan yang akan berlangsung dua minggu dari sekarang, Liza yang terluka ditinggalkan, Fariz yang aku kenal sebagai seorang lelaki yang cukup menyayangi sahabatku itu, keluargaku di kampung yang sedang dalam keadaan meresahkan... ah, segalanya!
Dan yang paling mengubah duniaku adalah Abang Mi. Makin aku cuba lupakan dia, makin sakit pula jadinya. Bahkan aku seperti sengaja membunuh diri jika cuba membuang dia dari hatiku. Padahal sudah terlalu jelas segalanya- aku tidak pernah diperlukan lelaki itu.
Entahlah. Entah apa lagi yang harus aku lakukan.
Keluar dari perpustakaan, kelihatan beberapa gadis berlari-lari anak meredah hujan mendapatkan kereta yang terparkir. Aku pula beredar ke bilik locker, ambil beg dan payung. Tergesa-gesa aku keluar dari situ, mahu segera pulang memandangkan hujan sudah sedikit reda berbanding tadi.
“Isya,” panggil seseorang sebaik saja kakiku menapak melepasi pintu.
Aku terkejut lantas berpusing. Bertemu pandangan dengan Shah yang sedang bersandar di dinding bilik locker sambil berpeluk tubuh. Terlihat riak-riak bosan di wajahnya. Boleh jadi sudah terlalu lama dia menunggu begitu.
Terlepas keluhan dari bibirku. Ingatkan siapalah tadi!
Shah tertawa kecil dalam kepenatan. Bangkit dari sandaran dan melangkah hampiri aku.
“Jom, saya hantar balik.” Tenang, sambil melintasiku dan terus menuju ke keretanya.
“Tak payahlah, Shah. Saya boleh balik sendiri.”
Dia terhenti melangkah, berpusing memandangku. Jelas riak tak faham dan kelesuan di wajah.
“Hujan ni, kan?”
Aku mengeluh berat. Menggeleng dan berpusing, malas peduli lagi.
“Tak payah, Shah.” Sejurus itu aku mula melangkah.
“Bahaya, Isya.”
Waktu itu juga aku tergelincir pada lantai yang licin. Cepat-cepat aku berpaut pada tiang berhampiran. Sempat, mujur. Terlepas nafas lega dari bibir. Tapi dalam masa yang sama, duniaku mula rasa berpusing. Kepala berdenyut-denyut bagai mahu pecah.
Ah, tolonglah jangan sekarang...
“Tengok. Baru aje cakap.” Lemah dan penat nada lelaki itu.
Aku pekakkan telinga. Kugagah kaki untuk kembali berdiri sendiri. Dunia masih rasa berpusing. Aku pejam mata, menggeleng sedikit untuk meyakinkan diri. Sesaat dua begitu, baru rasa stabil semula lantas aku melangkah kembali.
“Isya...” Shah mengeluh lagi.
Tak peduli juga.
“Isya!” laungnya tiba-tiba dan beberapa perhatian tertarik ke arah kami. Aku tahu dia sengaja. Sengaja mahu menampakkan burukku di mata mereka.
Terhenti langkahku akhirnya. Aku lepas nafas dalam, cuba bersabar dengan sikap mengongkong lelaki itu. Entah mengapa, dalam waktu-waktu begini pula dia mahu menguji kesabaranku.
“Sampai bila awak nak hidup macam ni?” Hampir suaranya di belakangku kini. Tegang dan tajam, tanda dia sememangnya mahu aku sedar diri. Dia sudah hilang sabar dengan kerenahku.
“Tak sudah-sudah ego!”
Tersiat-siat aku dengan tuduhan lancang itu. Tak faham kenapa mesti dia marah sangat. Aku ni isteri dia ke apa?
Dalam gigi yang terketap menahan sakit hati, aku berpusing menghadapnya. Lawan renungan dia yang sudah berdiri benar-benar di hadapanku.
“Apa masalahnya?” Tajam suaraku. Mencabar.
“Saya risaukan awak, Isya. Bahaya berjalan sorang tengah-tengah malam macam ni.”
“Sampai bila saya nak bergantung dengan awak?”
“Sekurang-kurangnya awak tak sendiri...” Kendur sedikit, masih mahu cuba memahamkan.
Tersungging senyuman sinis di bibirku, tak percaya ada manusia sebaik itu dalam dunia ini. Lagilah kuat kehendakku untuk segera pergi dari sini. Mahu kuakhirkan segera semuanya. Aku dah penat! Nak rehat!
“Awak tak ada harga diri, Shah?” Tajam nadaku.
Menyala renungannya.
“Tak payah berlagak baik depan sayalah, saya bukan perempuan macam tu.”
“Awak ni kenapa, Isya?” Meninggi suaranya.
Aku diam. Tahan hati yang terbakar.
“Semua yang saya buat, semuanya salah pada awak!”
“Saya tak suruh buat apa-apa.”
“Isya.” Dia seperti memberi amaran.
“Bila masa...”
“Apa lagi yang awak nak dari saya, Farisya? Baru boleh lembut hati awak tu! Apa lagi!” Menengking akhirnya. Wah, mengungkit?
Lantas kurentap zip beg kuliah. Selongkar. Jumpa saja telefon bimbit, rakus kukeluarkan. Kuhempas ke dadanya.
“Ambik balik.”
“Isya!”
“Jangan panggil lagi nama tu!” Meledak akhirnya tengkinganku. Sungguh, inilah akhirnya! Benar-benar musnah segala sabar terhadapnya. Mata-mata yang memandang kuketepikan. Biarlah!
Dia terdiam. Nampak kecewa denganku tapi aku tak mahu peduli lagi. Terus aku berpaling, tinggalkan tempat itu. Telefon kubiar jatuh ke lantai begitu saja.
Kalau kesombongan yang layak dilabelkan pada aku, aku sanggup. Kalau tak kenang budi juga yang nak dituduhnya pada aku, maka silakan juga. Silakan! Aku takkan peduli lagi!

Sekarang aku cuma kena fikirkan Fariz! Ya! Fariz! Sebab dia yang dituliskan sebagai jodoh aku. Bukan Shah, bukan Abang Mi. Bukan mana-mana lelaki lain! Jangan semakkan lagi dah kepala aku ni!




*******




~ BAB 9 ~

AKU tak tahu kenapa, tapi waktu ini seluruh alam bagai sengaja menghukumku. Terdengar-dengar suara Shah walau berkali-kali kuhapuskannya. Langkah terus kuatur di dalam hujan yang nampaknya semakin lebat ini. Lopak-lopak air enggan kupedulikan. Aku mahu segera tiba di bilik, mahu rehatkan fikiran.
“Sekarang ni saya gentleman sikit, kan?” Ah, kedengaran lagi suara itu.
Test kali ni jauh lebih susah daripada test pertama hari tu. Siapa yang dapat markah kurang dari dua puluh, kemungkinan besar akan repeat subject ni sem depan.”
“Mama dengan abah kirim salam. See? Isya dah buatkan diorang senang hati...”
“Tunggu abang, Isya. Untuk abang jadikan Isya hak abang...”
“Aku dengan Fariz dah break, Rish...”
Aku berdecit. Cuba kubuang segala ingatan yang makin menyesakkan benak. Kugeleng-geleng kepala. Rimas begini terus!
“Isya nak abang... abang janganlah pergi...”
“Tak boleh... abang kena pergi juga... nanti abang baliklah, jangan menangis, Isya...”
“Abang Mi dah nak kahwin, Isya...”
“Apa lagi yang patut saya serah untuk buat awak nampak saya, Farisya? Apa lagi!” Terbayang-bayang wajah kecewa Shah.
“Apa lagi yang patut saya serah, Farisya...”
“Apa lagi yang patut saya serah...”
“Apa lagi...” Argh!!!
Terhenti akhirnya langkahku. Aku merengus kasar. Rasa seperti mahu saja menjerit semahuku, biar pergi semua beban dalam benak. Argh!
Bingit duniaku bila tiba-tiba terdengar bertalu-talu bunyi hon. Segera aku menoleh. Mati detak jantung bila melihat sebuah kereta meluncur laju ke arahku.
“Isya!” Drastik tanganku direntap dari belakang. Payung terlepas dari pegangan. Tika itu juga kereta memecut melintasiku, nyaris merempuhku. Tubuhku diragut lagi dan kali ini aku terjatuh.
Segalanya terlalu pantas. Hingga aku rasa seakan-akan inilah waktunya nyawaku diakhirkan. Terawang-awang diriku dalam dunia yang entah di mana hujungnya. Dan di dunia itu, hanya ada Abang Mi yang menemaniku. Mengiringi dan mewarnai duniaku seperti dulu.
Cuma kembali aku ke dunia nyata bila lutut dan dua telapak tanganku terasa pedih. Bila kuperhati, mengalir cecair merah ke pergelangan tangan sebelum gugur ke atas jalan.
Sekali lagi kesakitan menggigit. Aku tahan nafas, cuba mengawalnya. Tenaga lesap sepenuhnya hingga aku hilang kekuatan untuk bangkit. Dalam tubuh yang sedikit menggigil, aku capai beg kuliah yang berada tidak jauh dariku. Sudah agak basah objek itu. Boleh jadi sudah lencun juga segala isi di dalamnya.
Kutarik beg itu. Terketar jari-jariku dan aku rasa terlalu berat beg itu. Tak kuat untuk menggerakkannya walau sedikitpun, seakan tenagaku sudah benar-benar pergi direntap kereta itu. Pemandu kereta itu pula tidak langsung berhenti apalagi bertanya keadaanku. Laju saja menonong pergi.
Entahlah, orang luar agaknya.
“Biar saya yang buatkan, Farisya.” Lembut satu suara menyentuh ruang dengarku.
Berderai duniaku. Serentak itu juga aku melihat seseorang mengambil dan meletakkan beg itu di pangkuanku. Menghilangkan rasa bersendirianku. Bila kuangkat kepala, Shah yang sudah kebasahan kelihatan berada hampir di hadapanku.
Bagaikan sedar pandanganku, dia menoleh. Terukir senyuman di bibirnya, tapi ada terlihat riak pedih di matanya.
“Saya hantarkan awak balik.” Perlahan suaranya, hampir tak kedengaran.
Aku membisu. Entah mengapa, dia masih bersikap seperti biasa saat ini. Seolah tak pernah berlaku segala yang di hadapan perpustakaan tadi.
“Jom, Isya?” Lebih lembut dan dalam nadanya. Nada seorang pelindung, seolah dia terlalu menyayangiku. Makin mengingatkanku pada Abang Mi.
“Sakit ke?”
“Sakitlah! Abang yang tolak Isya!”
Abang Mi tergelak.
“Isya yang tolak abang dulu.”
“Abang!” Kutampar geram bahunya. Dia tergelak lagi.
“Okey, okey.” Dia capai beg sekolahku yang tersadai di atas jalan kampung.
“Isya naik basikal dengan abang. Abang bawak Isya balik rumah.”
“Boleh bangun, Isya?”
Aku tersedar. Shah di hadapanku saat ini, bukan lagi Abang Mi seperti yang berlaku sepuluh tahun lalu. Jelas riak bimbang di wajahnya, sedangkan aku bukan sesiapa padanya.
Hampir saja terlepas tangisanku. Dulu Abang Mi yang buatkan semua ini untukku...
Kutahan air jernih yang sudah mula menghangatkan mata. Kuzahir anggukan kecil lalu bangun dari situ. Beg kuliah kusangkut ke bahu dan mula melangkah.
“Isya.” Perlahan suaranya memanggil.
Aku terhenti, menoleh. Dia sedang menatapku dalam. Ada sesuatu yang tak mampu kutafsirkan pada sepasang anak mata itu.
“Saya hantarkan awak balik.”
Aku terdiam tanpa mampu faham mengapa mesti berderau darahku dengan nada yang dia perdengarkan. Segera aku menggeleng sambil tertawa kecil.
“Tak apa, saya boleh balik sendiri.”
“Isya...” panggilnya lagi, lemah.
Aku segera menggeleng dan tersenyum lagi.
“Terima kasih selamatkan saya.”
“Awak tengah tak stabil sekarang ni, Isya. Tolonglah jangan buat saya macam ni...” Ada sedikit nada menekan kali ini.
Aku senyap.
“Isya...” Lebih lemah. Dia seakan merayu kali ini.
Aku menggeleng juga, makin tidak selesa mendengar cara dia memanggilku.
“Baliklah, Shah... jangan risaukan saya, saya boleh balik sendiri...” Perlahan, cuba membendung suara yang bergetar.
“Saya risaukan awak, Isya.”
“Tak apa, saya okey.” Sejurus itu aku mula melangkah. Tapi terhenti serta-merta pergerakanku bila dia tiba-tiba meraih lenganku. Tersirap darahku lantas berpusing semula menghadapnya. Kurentap tangan, tapi dia semakin kemas menggenggam. Aku cemas.
“Apa ni, Shah?”
“Ikut saya.” Tajam dia memberi amaran, tiada lagi kelembutan pada tutur katanya bahkan dia mula menarikku ke arahnya. Aku mula terasa dikhianati.
“Shah!”
“Ikut!” Keras suaranya.
Aku terkelu, terkejut dengan perubahan mendadaknya.
“Saya bukan siapa-siapa pada awak, Shah.” Kurentap lagi tangan tapi masih gagal. Tenaganya jauh lebih menguasaiku. Aku makin takut, makin tidak berdaya. Tapi dalam masa yang sama enggan kubiarkan tubuhku diheretnya. Tak mampu kujangka apa sebenarnya yang ada di benaknya.
Kukerah tenaga dan dengan sepenuh daya merentap lagi tanganku. Terlepas kali ini. Dia kembalikan mata ke wajahku, tajam.
“Kenapa degil sangat ni!”
“Awak tak ada hak nak paksa-paksa saya, Shah!”
“Saya cuma nak hantar awak balik, Isya.”
“Tak payah!”
“Farisya!”
“Jangan pedulikan sayalah, Shah!!!” Meledak akhirnya tengkinganku, serentak berhamburan air mata tanpa mampu lagi kutahan. Tidak berupaya lagi melindungi hati yang parah.
Dia terdiam. Aku berundur beberapa langkah, menjauh darinya.
“Saya tak nak simpati awak. Tak nak simpati sesiapa! Jangan buat-buat baik depan saya! Pergi!” Makin keras suara, namun air hangat yang merembas di pipiku bertambah galak. Segera kuseka, rakus. Sudah terlalu benci diperlakukan begini.
Dia terdiam lagi, buatkan aku semakin benci melihat ketenangannya. Ketenangan itulah senjata yang dia gunakan untuk memaksaku mengikut segala kehendaknya selama ini!
“Bukan macam ni caranya, Isya...”
“Habis tu macam mana lagi!” bentakku keras.
Dia terdiam.
“Awak tahu apa, Shah? Paksa saya? Ugut? Konon itu tanda awak ambil berat hal saya? Hah?!” hamburku. Tidak langsung mempedulikan suara yang sudah hampir tidak mampu kulepaskan gara-gara dikuasai tangisan.
“Beban hidup saya selama ni pun saya yang tanggung semuanya. Tak pernah ada sesiapa pun teringin ambik tahu. Susah senang saya selama ni pun atas bahu saya! Kenapa baru sekarang awak nak pedulikan saya, Shah? Orang yang saya harapkan pun tak pernah peduli apa yang saya tanggung...” Tertahan, sebaik ingatan pada Abang Mi makin mengoyak-ngoyak perasaanku.
“Saya tak nak semua tu, Shah... sudahlah... pergi... jangan datang lagi dalam hidup saya...” Makin deras air hangat berjuraian dari tubir mata, sama derasnya dengan hujan yang menimpaku.
Aku akhirnya terduduk di situ, di bawah sebatang pokok. Tidak berupaya lagi kutampung tubuh. Juga sudah tidak lagi berupaya memikul segalanya. Aku tertunduk, menongkat dahi dengan tangan yang terletak pada lutut yang tegak. Teresak-esak di situ, di dalam suasana dingin malam yang makin berangin.
“Awak tak sorang-sorang, Isya...”
“Jangan buat saya macam ni, Shah...” rayuku, cuba memahamkannya.
“Awak buatkan saya mengharap... padahal saya ni bukan sesiapa pada awak...” Makin pilu, tidak mampu lagi melindungi perasaan sebenarku.
“Jangan main-mainkan perasaan saya... hati saya dah terlampau banyak disakitkan selama ni... tolonglah, Shah...” Terputus akhirnya, tenggelam di dalam esakan yang semakin galak berhamburan.
Memang, memang saat ini aku terpaksa juga mengaku, hati di dalam ini sudah mula bergetar aneh setiap kali dia ada di sisiku. Cuma aku saja yang setiap masa cuba menafikannya.
Sikapnya akhir-akhir ini selalu saja mengusik hati wanitaku, membuat aku seringkali tak betah untuk berdepan dirinya. Lagi kuat aku berusaha menepisnya, lagi kemas perasaan itu menyusup ke dalam hatiku. Dan kini hatiku sudah semakin kerap terpesong, mengharap agar dia sudi dipertemukan dengan keluargaku di kampung. Lagi-lagi setelah mengetahui, Abang Mi tergamak mengkhianati kesetiaanku. Semakin kuat harapanku beralih pada Shah.
Terbayang-bayang segala yang pernah kulalui bersamanya. Memo-memo yang dia serahkan... bersamanya terkepung dalam hujan di perpustakaan... lamaran yang meresahkan... panggilan bertalu-talu di awal pagi hanya untuk memaksaku ke klinik...
Semua itu cukup menghukumku bila dia sudah tidak lagi melakukannya.
Aku sedar, perkenalan selama tiga minggu ini tidak langsung cukup untuk aku kenal hati budinya. Dia pula pasti akan menganggap aku salah faham terhadap kebaikannya. Lantas apa lagi pilihan yang aku ada... dia akan terus menyeksa perasaanku selagi kubiar dia berada di sisiku...
“Pergilah, Shah...”
“Isya...” Lembut suaranya memanggil, suara bernada pujukan yang selama ini menemani hari-hariku. Suara yang tanpa kusedari telah sebati dalam hatiku. Hinggakan ada waktunya, aku rasa seperti mahu setiap masa mendengar suaranya.
Mengalir lagi air mataku, tidak sanggup diperlakukan seperti ini. Lantas, panggilan itu tidak langsung kuendahkan. Enggan kubiarkan dia sedar betapa aku memerlukan dirinya.
Kurasakan seperti dia menapak menghampiriku, kemudian berlutut di hadapanku. Aku tahan juga diriku dari mengangkat kepala.
“Jangan macam ni, Isya... kalau awak nakkan kawan, saya ada. Luahkanlah, saya boleh dengar...”
Kata-kata itu makin melukakan perasaanku.
Kawan.
Ya, aku dan dia cuma berkawan. Aku hanyalah sahabat di matanya, dan dia pula menganggap sifat ambil berat dan kehadirannya setiap waktu di sisiku selama ini juga hanya sebagai teman biasa. Tidak lebih dari itu. Maka aku... aku amat perlu sedar seperkara itu.
“Isya...” panggilnya lagi dengan nada yang membuatkan hatiku bergetar.
Tidak sanggup membiar lagi hati di dalam ini mengharap sesuatu yang tidak pasti, akhirnya kuangkat kepala. Di dalam titis-titis hujan yang sedikit reda berbanding tadi, di bawah sinaran lampu jalan yang kekuningan itu, pandangan yang berbalam bertembung dengan anak mata Shah. Jelas terpamer kebimbangan di wajahnya.
Kuseka air mata yang masih lagi mengalir.
“Awak dah cukup baik selama ni, Shah. Baliklah... tak payah risaukan saya...”
Dia senyap. Dalam kepayahan, aku cuba mengukir senyuman. Berusaha meyakinkan dia yang aku sudah lebih tenang berbanding tadi.
“Awak kan tengah sibuk...”
“Saya tak boleh tinggalkan awak, Isya.”
Aku tersenyum pahit, tersiat-siat pedih dengan sifat ambil berat yang dia pamerkan. Namun aku tahu, selama mana pun aku menolak, dia tetap akan berada di sini. Tetap akan memujukku walau banyak lagi perkara lebih penting yang patut dia uruskan. Sedangkan aku benar-benar enggan berdepan lagi dirinya. Lebih-lebih lagi bila pandanganku yang berbalam ini dapat melihat sinar redup di anak matanya.
Kalaulah sinar itu bermaksudkan cinta...
“Apa pun masalahnya, saya takkan boleh tinggalkan awak,” pujuknya lebih lembut.
Aku menggeleng terseksa.
“Awak tanggungjawab saya, Isya...” Sebagai kawan, bukan?
Mengalir lagi air mataku. Jelas, makin aku berdegil, makin perit hatiku di dalam. Lantas akhirnya, dalam penuh terpaksa aku mengangguk.
“Hantarkan saya balik.”
Tika itu juga sinar di matanya bertukar mekar. Dia seperti lega lantas tersenyum.
“Jom.” Lembut, seakan terlalu penting diriku ini padanya. Aku tersenyum lagi di dalam hati yang semakin rabak. Mengangguk lagi dan mula bangun.
Biarlah. Biarlah jika ini mampu melegakannya. Harapanku, inilah kali terakhir aku melihat dirinya. Biarlah selepas ini tiada lagi Shah dalam duniaku.
“Isya.” Pantas dia raih lenganku bila aku tiba-tiba rasa seperti berpusing duniaku. Aku tak selesa, segera menepis tapi tika itu juga kakiku hilang upaya. Pantas kupaut pokok berhampiran sambil tertawa kecil, sedangkan hati semakin merayu simpati Tuhan.
Sungguh, aku hanya perlukan sedikit kekuatan waktu ini. Sedikit saja! Agar dapat kuakhirkan segera semua ini. Tak sanggup kususahkan lagi dia dengan bermacam-macam hal mengenaiku. Tiba di bilik nanti, tak mengapa jika aku terus rebah tak sedarkan diri. Dicabut nyawa ketika itu pun aku sanggup. Asalkan bukan saat ini, ketika dia masih ada di sisiku.
“Isya...” Pandangan yang berbalam melihat dia menghampirkan lagi diri denganku. Resah. Aku lempar senyuman walau mata mula tak mampu melihat dia. Dunia bagaikan menggelap.
Terasa jari-jemariku diraih semula. Aku tak selesa, segera leraikannya tapi dia sudah lebih kemas menggenggam.
“Jom.” Lembut nadanya, kedengaran terlalu hampir di telingaku.
Aku terdiam, tak enak. Dia kemaskan genggamannya.
“Cuma kali ni, Isya. Awak dengar cakap saya, saya pimpin awak. Kita balik. Ya?” Lebih lembut pujukannya. Lebih lembut juga tatapannya.
Aku segera larikan pandangan. Cuba lagi leraikan tangan darinya tapi dia semakin kemas menggenggam.
“Isya...” Lembut, seperti berusaha melawan perasaan. Seperti ada sesuatu sedang dipendamnya.
“Awak tengah tak kuat ni...” Semakin lembut suara tapi dalam masa yang sama mula terdengar getar pilu di dalamnya. Ah, dia sedang menahan tangis? Untukku?
Makin enggan kulayan lalu kulepaskan tangan dari pegangannya dan mula melangkah.
Dia raih bahuku tiba-tiba. Aku terkejut, pantas menepis tapi tak berdaya.
“Shah...” Serentak kaki mula gagal menampung tubuh. Kelam pandangan. Segera kukerah tenaga bila rasa mahu rebah.

Dia tidak menjawab sebaliknya mula bergenang air jernih di tubir matanya. Dia menggeleng sayu dan akhirnya dia menyambut tubuhku bila aku terjatuh. Tenggelam aku di dalam dukungannya. Aku cemas tapi tak mampu melakukan apa-apa bila duniaku terlebih dahulu gelap.

2 861 komen:

Eijan said...

Geram Pulak kat isya ni....degil dan ego yg amat.....

Fara Alicia said...

Isya bkn ego la, sis eijan. Kena baca cerita ni lebih lanjut. So, sis akan faham kenapa hati Isya sekeras ni.

Post a Comment

Assalamualaikum. Hai!
Terima kasih baca.
Cer komen sikit?

.

.