Monday, 11 January 2016

Scarlet Cinta (Bab 7)

SEJAK itu, aku dah tak pernah lagi berurusan dengan Shah. Bila sesekali bertembung di kelas, dia cuma berlagak selamba. Di perpustakaan pun itu juga gaya dia. Macam tak pernah kenal aku.
Aku pula, bila orang dah buat macam tu lagilah aku malas nak ambik tahu. Lagi-lagi pula, dia orangnya. Aman hidup aku.
“Isya.” Serentak, sebuah buku rujukan berkulit keras diletakkan seseorang berhampiran kalkulator yang sedang kutekan-tekan. Musnah terus tumpuanku lantas mendongak. Tercegat Shah tidak jauh dariku. Berkerut dahiku bila melihat riak serius pada wajahnya.
“Kenapa?” soalku.
“Tolong cari buku pasal coding.”
Aku terdiam, agak berat untuk akur. Memanglah malam ni aku bertugas di perpustakaan ni, tapi esok aku ada test penting. Killer subject pulak tu.
Tambahan pula, untuk Sahabat Perpustakaan yang sibuk dengan test, diberi kelonggaran. Cuma datang ke perpustakaan untuk tandatangan kehadiran, lepas tu boleh mengulangkaji. Bila perpustakaan dah sampai ke hujung waktu beroperasi, baru tolong susun buku. Maknanya Shah dah tersalah tempat minta bantuan.
Tapi berat pula rasa untuk menolak. Dari tadi lagi aku nampak, dia betul-betul sibuk dengan kerja. Pilih meja pun jauh dari orang, semacam nakkan privacy. Lagi pula, cuma aku yang duduk sini sebab tak nak jauh dari rak yang ditugaskan untuk aku - rak yang paling hujung dalam perpustakaan ni. Maknanya memang logiklah kalau dia cuma ternampak aku untuk minta tolong.
“Dengar tak ni?”
Aku tersedar. Bertembung pandangan dengan dia yang dah berkerut dahi. Aku tersengih, mengangguk.
Sorry, sorry.” Lantas bangun dari kerusi dan terus menuju ke rak berkaitan.
Tiba-tiba telefon bimbit di dalam poket seluarku terasa bergetar. Aku segera keluarkan. SMS dari angah. Segera kubuka.
Pelamin nak warna apa, Isya?
Berkerut dahiku. Apahal sampai ke pelamin bagai ni?
Tak sedap hati tiba-tiba. Lantas aku percepatkan langkah, mahu segera tiba di rak. Kucari buku yang Shah mahukan dan terus hulur pada dia sebaik menemuinya. Sesudah itu aku beredar. Cari kawasan yang agak tersorok sebelum menghubungi angah.
Entah mengapa, berpeluh dahiku tiba-tiba. Seperti ada yang tidak kena.
“Nak warna apa?” soal angah sebaik saja talian bersambung. Salam entah ke mana, bertanya khabar lagilah.
“Kenapa tanya pasal pelamin?”
“Lah, nak bertunang kan?”
Aku tersentak.
“Habis tu Isya tak nak pakai pelamin? Nak mengapa? Fariz tu bukan calang-calang orang, tau?”
“Tapi mama baru nak buat makan-makan, kan?” Serius nadaku. Makin tak sedap hati.
Angah di hujung talian mengeluh panjang, sinis.
“Alahai... itu tandanya bertunang teruslah...”
“Tapi mama kata baru nak berkenalan, kan? Isya pun tak bagi kata putus lagi, kan?” Lebih tegang suaraku. Serius aku tak suka dengan cara angah. Nampak sangat berlebih-lebihan. Padahal ini soal masa depan aku.
“Eh, nak kenal apa lagi? Korang memang dah lama kenal, kan? Isya pun dah pergi kursus kahwin, kan?”
“Tapi Isya dah lama lost contact dengan dia!”
“Berapa tahun sangat? Tak sampai lima tahun pun, kan?” bidasnya, buatkan aku terdiam.
“Alah, tak payah nak beria sangat berkenal-kenalanlah. Banyak lagi masa, dah kahwin nanti pun boleh berkenalan.”
Tersiat-siat aku mendengarnya. Tak tahulah kenapa dalam waktu macam ni angah boleh sibuk timbulkan semua ni. Betul-betul merosakkan mood aku. Dahlah esok aku kena berperang dengan soalan-soalan lecturer!
“Hah, nak warna apa ni? Cepat sikit, orang tengah sibuk ni.”
Aku diam lagi. Ketap gigi kegeraman.
“Helo...” Angah memanggil. Nada sinisnya itu saja sudah cukup membuatkan hatiku bengkak. Lantas kuputuskan talian. Malas melayan lagi!
Tapi baru saja berpusing, pergerakanku terhenti.
“Awak buat apa kat sini?” Tegang. Dalam masa yang sama agak risau kalau-kalau tadi dia dengar perbualanku dengan angah.
“Saya nak buku pasal coding.”
“Itu?” Kutunjukkan buku yang kuberi padanya tadi.
Dia tersenyum lemah di dalam keserabutan wajahnya. Buku di tangannya itu dihulur. Terpampang besar perkataan Project Management di kulitnya, membuat aku hampir saja mengeluh berat.
Buku tu tadi aku jumpa di rak Perisian Komputer. Entah macam manalah boleh ada di situ. Itu tak lain, mesti ada orang yang salah letak! Suka hati laki mak tiri bapak dia aje!
Malas fikir panjang lagi, aku capai buku dari tangan Shah. Berlalu segera dari situ. Telefon bimbit di tangan mula terasa bergetar-getar, tanda ada panggilan masuk.
Aku tahu itu angah. Dan aku tak teringin langsung untuk menjawab. Lantaklah, tak kuasa aku nak layan. Sesuka hati dia aje nak atur-aturkan hidup aku. Diri sendiri tu pun tak kahwin-kahwin lagi, sibuk nak carikan calon untuk orang. Menyampah betul aku dengan orang macam tu.
Tiba di bahagian Perisian Komputer, aku letakkan telefon bimbit yang sedang menggigil-gigil di atas bilah rak. Biar mudah kerjaku mencari.
Sakit telingaku bila telefon itu tidak henti-henti bergetar. Hati di dalam dah makin hangat dibuatnya. Rasa macam nak aje aku campak telefon tu ke dinding, biar berkecai.
“Ada orang call awak, Farisya.” Shah yang berdiri tidak jauh di sebelahku bersuara.
“Tahu.” Laju pintasku. Spontan mata tertancap pada sebuah buku yang tersusun. Pantas kucapai sebelum menghulurnya pada lelaki itu. Dia menyambut.
“Hal penting kut tu.”
“Ada apa-apa lagi tak?” pintasku laju.
Dia senyap. Aku malas menanti reaksi dari dia. Terus kucapai telefon bimbit dan menuju semula ke tempat yang agak tersorok tadi.
“Helo.”
“Orang call sekali tak reti-reti nak angkat ke?” Tinggi suara angah menyumbat telinga. Menggelegak hatiku.
“Angah nak apa sebenarnya ni? Orang banyak kerjalah.”
“Tahu pun banyak kerja! Dah tu bila orang tanya sekali, jawab ajelah. Itu pun susah?”
Aku ketap gigi, makin tersiat-siat.
“Nak warna apa ni?”
“Hitam!”
“Eh, jangan nak buat mainlah benda-benda macam ni!”
“Habis tu Isya dah cakap yang Isya tak suka, yang angah nak paksa-paksa lagi ni kenapa!” Meledak tengkinganku akhirnya dalam suara tertahan. Turun naik nafasku, tak tahu lagi dah macam mana nak hadap betina sorang ni.
“Isya ingat Isya tu dah besar sangatlah? Dah boleh buat keputusan sendiri?”
“Sekurang-kurangnya Isya tak bodoh melulu pasal jodoh!”
“Oh, Isya sukalah tengok abah jatuh sakit?”
Aku terbungkam.
“Kalau Abang Mi kahwin dulu, jangan harap harta-harta pusaka tu dapat pada kita.”
“Masalahnya Abang Mi tu dah nak kahwin ke?”
“Memang dah nak kahwin pun!”
Aku terbungkam terus, kali ini dengan perasaan yang aku sendiri tak tahu apa maksudnya. Terluka, marah, kecewa. Semua berbaur. Entahlah!
“Tunggu abang, Isya.” Terngiang-ngiang suara lelaki itu.
“Kenapa?”
“Sebab abang pun akan terus tunggu untuk waktu tu sampai.”
“Untuk?”
“Jadikan Isya hak abang.”
Seriously?”
“Isya nak sekarang jugak abang peluk Isya ke?”
“Eh, tak, tak, tak!”
Dan lelaki itu tertawa. Tawa terakhir yang aku lalui bersamanya sebelum dia menghilang lapan tahun lalu. Tapi hingga ke waktu ini, semua yang dia janjikan waktu itu tidak pernah sedikitpun luput dari ingatanku. Bahkan janji itulah yang membuatkan aku sanggup menunggu. Aku tolak semua pinangan lain.
Memang tidak pernah ada yang pasti antara kami. Segalanya kabur. Baik janjinya, kelainan sikapnya di saat-saat akhir dia bersamaku dulu, malah lamaran tak rasminya. Tiada yang benar-benar jelas.
Tapi selama ini aku terus kuat menanti kerana aku tahu, sekurang-kurangnya harapan itu masih ada. Tapi sekarang... tak sangka, ini balasan yang aku terima. Mudahnya dia lupakan semua janji itu.
“Angah tahu Isya tengah runsing...” Lembut nada angah kedengaran setelah agak lama talian sunyi, mematikan ingatanku pada masa silam. Angah bagai sedang memujuk.
“Semua orang kat sini pun tengah runsing ni, bukan Isya sorang aje...”
Aku membisu.
“Angah buat semua ni sebab angah tak nak Isya susah. Dah terdesak sangat dengan masalah kita ni sampai terburu-buru pilih calon kat sana. Angah tak nak macam tu, Isya.” Dia diam sesaat, seperti sengaja membiarkan kata-katanya itu meresap ke dalam hatiku.
“Kita betul-betul dah tersepit ni. Angah harap sangat Isya boleh faham.”
“Tapi Isya belum sedia...” Bergetar suaraku.
“Semua orang akan kata macam tu...” Semakin lembut nadanya.
“Nanti bila dah selesai akad nikah, perasaan tu akan hilang sikit-sikit. Fariz tu budak baik, Isya...” Dan kata-kata itu akhirnya membuat air mataku mengalir tanpa mampu lagi kutahan. Aku menggeleng, tak rela dengan semua ini.
“Fikirkanlah orang tua kita, Isya. Mama dengan abah dah bersusah payah untuk kita selama ni. Takkan nak berkorban sikit kali ni pun kita dah tak sanggup.”
Aku diam lagi.
“Terimalah Fariz tu, Isya...” Penuh harap.
“Tak apa, hal persiapan tu semua biar angah dengan along yang uruskan. Angah cuma nak Isya selamatkan keluarga kita ni. Isya aje yang tinggal sekarang. Kitorang ni cuma boleh tolong aje yang mana mampu.”
Aku diam juga.
“Boleh ya, Isya?”
Diam.
“Isya?”
“Mmm?”
“Kenapa senyap?”
“Tak ada apa.” Sedaya upaya kuselindungkan riak pilu dalam suara, enggan biar angah sedar gejolak hatiku.
“Boleh terima Fariz?”
Aku diam semula. Sememangnya setiap kali disoal mengenai hal ini, aku jadi cukup berat untuk menjawab. Tapi bila memikirkan kata-kata angah, aku tahu aku sudah tiada pilihan. Aku harapkan Abang Mi, tapi akhirnya aku sendiri yang kecewa.
“Isya cuba.” Dalam rasa terpaksa, aku mengangguk juga.
“Alhamdulillah...” Penuh lapang nadanya.
Aku tersenyum kelat di dalam hati yang meronta-ronta terseksa. Berusaha mengalah. Apa lagi yang boleh kulakukan jika ini saja yang mampu membahagiakan mereka.
“Isya nak warna biru.” Perlahan suaraku.
“Okey!”
Mendengarkan kemesraan pada suara angah, air mataku mengalir lagi. Sebak. Tak sangka, begini sudahnya ketentuan hidupku.
Bila tiada apa lagi yang mahu dibincangkan, aku segera meminta diri. Tidak sanggup berterusan melawan hati yang menangis tak rela. Telefon bimbit kusimpan di dalam poket seluar sebelum berpusing. Tapi terhenti lagi pergerakan bila bertembung anak mata dengan Shah yang sedang memandangku dari rak buku tadi.
Aku tahu dia tidak mendengar perbualanku dengan angah. Tapi daripada pandangannya yang serius itu, aku tahu ada sesuatu yang tidak kena. Lantas untuk berpura-pura tiada apa-apa yang berlaku ke atas diriku, aku segera mendapatkan lelaki itu. Tersenyum padanya.
“Kenapa?”
“Saya nak coding book, Farisya. Fikiran awak melayang ke mana sebenarnya ni?”
Aku terdiam. Jatuh pandangan pada buku di tangannya. Jauh di dalam hati, ada sedikit rasa terkejut mendengar cara dia bersuara. Tidak pernah dia seserius ini, dan tidak pernah dia memarahiku seperti ini.
“Saya nak buku coding!” Semakin tegas suaranya.
Aku terdiam lagi. Perasaan yang masih belum stabil dengan perbualan angah tadi membuatkan aku rasa sedikit berjauh hati dengan Shah. Lantas kusambut buku itu. Berlalu semula ke rak. Bertinggung membelakangi dirinya dan mula mencari.
Tiba-tiba telefon bimbit di dalam poket seluar bergetar. Aku segera keluarkan dan membaca SMS dari angah.
Mama dengan abah kirim salam. See? Isya dah buat diorang senang hati. Thanks...
Perlahan-lahan, mengalir semula air mataku membacanya. Segera kuseka, enggan disedari Shah yang masih berada di belakangku.
Ekor mataku melihat, dia sedang membelek-belek buku. Mungkin dia juga sedang mencari apa yang dikehendakinya. Sesekali aku lihat dia tersenyum kecil membaca isi naskhah itu. Beroleh apa yang dia mahukan mungkin.
Aku pula, bila melihat senyuman lelaki itu, tiba-tiba aku rasa sayu. Alangkah bagusnya jika hidupku bahagia seperti dia. Boleh tumpukan perhatian pada pelajaran tanpa perlu dirunsingkan dengan soal jodoh.
Entahlah... antara kehendak sendiri dan kebajikan keluarga, aku sudah benar-benar sesak berada di tengah.
“Ada?” soalnya.
Aku tersedar. Kalut.
“Kejap.” Cepat-cepat menyambung semula kerja mencari. Liar mata membaca satu demi satu tajuk buku yang tersusun di situ sebelum terhenti. Jumpa! Pantas kucapai dan membaca kulitnya untuk memastikan kali ini benar-benar buku yang diperlukan lelaki itu. Sejurus itu aku bingkas.
“Nah.” Kuhulur pada Shah.
Dia menoleh, balas pandanganku sambil meletakkan semula buku di tangannya pada tempatnya. Aku ukir senyuman tapi dia tidak membalas, sebaliknya mengerutkan dahi.
“Kenapa berair mata tu?”
Aku terkejut. Cepat-cepat kuseka mata yang bersisa dengan air mata sambil ketawa kecil. Aduh... macam mana boleh tercuai pulak ni!
“Mintak tolong carikan buku pun nak menangis?”
“Mana ada...”
Dia senyap. Buku dari tanganku disambutnya.
“Terima kasih.”
Aku angguk. Mula berkalih untuk beredar dari situ.
“Sekejap, Isya.”
Terbantut pergerakan lalu menoleh.
“Kenapa?”
“Kejap.” Dia mengoyak sekeping kertas memo dan menulis sesuatu di atasnya. Kemudian dia hulurkan padaku.
“Sebijik macam muka awak.”
Aku sambut hulurannya. Dan sebaik terpandang lakaran alien yang hodoh itu, penuh bengang kupandang semula wajahnya.
“Apa ni, Shah!”
Pecah tawanya.
“Shah!”
“Macam tulah muka awak bila tengah stress, Isya.” Ya Allah, sukati dia aje!
“Awak ni! Orang dah susah-susah tolong, bukannya reti nak berterima kasih. Teruk betullah!”
“Betul ke teruk?”
“Betullah! Ingat saya main-main?”
“Tapi tak seteruk awak...” Bertukar lembut kali ini, bagai ada maksud tersendiri.
“Suka hati awaklah. Tak kuasa saya nak layan.” Terus aku berpusing, mahu cepat-cepat pergi.
“Awak percaya pada kawan?”
Terbantut semula hasratku. Mula geram bila dia menghalang lagi. Hei... tak habis lagi gamaknya dia nak kenakan aku.
Tapi aku malas melawan, sebab aku tahu dia ni jenis ego. Kang buatnya dia pergi laung nama aku, tak pasal-pasal bergema satu library. Aku balik yang malu. Jadi nak tak nak, aku berpusing jugaklah pandang dia.
“Kenapa?”
Dia tersenyum tenang, nampak agak lain.
“Jangan simpan masalah sorang-sorang.”
Berderau darahku mendengar nada yang dia lontarkan. Dia dengar aku bergaduh dengan angah tadi?
“Tiga minggu kita kenal, saya tengok awak ni jenis yang keras hati.”
Tajam kupusatkan anak mata ke wajahnya. Cuba faham maksud yang dia cuba sampaikan.
“Jadi bila sekali awak menangis, tandanya masalah tu berat.”
Aku terdiam semula, makin terasa kelainan dalam dirinya. Bila bertemu anak mata dengannya, tiba-tiba bergetar hatiku di dalam. Hilang arah tapi segera kukawal.
“Saya ingatkan awak ni memang jenis yang tak boleh faham hati perempuan, Shah.” Bersulam tawa kecil di hujungnya, cuba tutup perasaan.
“Hati awak senang aje saya baca, Farisya.”
Makin bergetar hatiku.
“Sebab bila awak susah hati, habis terkeluar semua rasa runsing tu pada muka awak. Sebijik macam alien tu.”
Hati yang baru nak sentimental terus bertukar bengang.
“Shah!”
Pecah tawanya.
“Dah, pergi sambung buat kerja awak tu. Buat tambah masalah aje selagi awak duduk sini.”
“Cair jugak rupanya awak.”
“Sakit kepala saya layan kerenah awak ni, Shah.” Tanpa menunggu lagi, aku terus pergi dari situ. Tidak lama melangkah, seseorang menyaingiku. Siapa lagi kalau bukan dia. Tapi aku cuma buat tak tahu.
“Sekarang saya dah boleh dapat title gentleman sikit, kan?” Penuh erti nadanya, seperti berbisik saja di ruang dengarku.
Aku tahan wajah yang semakin meruap-ruap kehangatan. Tak sangka dia ingat lagi kata-kata aku minggu lepas. Adoi...
Tapi aku tetap senyap. Tiba di meja, aku tarik kerusi dan duduk. Shah berlalu ke mejanya. Kukerling dirinya yang nampak kembali serius itu.
Dia duduk dan kemudian mula membelek-belek buku. Khusyuk. Bila dia membaca dan mencatat isi dari buku itu, aku terus memerhati. Dalam diam, perilakunya itu membuatkan aku ralit dan berfikir-fikir.
Waktu kerja berpasangan dulu, dia cukup berbeza dari dirinya yang kulihat waktu ini. Dahulu dia nampak kosong, langsung tiada fungsi. Tapi sekarang...
Kenapa aku rasa... Shah yang ada di hadapanku ini seakan memiliki dua personaliti yang berbeza?
Cara dia bersuara tadi... cara dia memberi nasihat...
Dan sekarang, cara dia pandang aku...
Cara dia pandang aku?
Aku tersedar. Bertembung anak mata dengan Shah yang sedang memandangku dari mejanya. Ada senyuman penuh erti yang diukirkan buatku, menjadikan aku gelabah. Terus kularikan pandangan. Macam mana boleh terlajak pulak ni!
Hangat pijar wajahku, lagi-lagi bila ekor mata melihat dia tersenyum sendiri sambil menggeleng-geleng kepala. Aku rasa seperti seluruh alam ini juga sedang tergelak sama menyakat aku. Ergh!

Cepat-cepat aku kemas buku-buku di atas meja. Terus pergi dari situ!


*******

Assalamualaikum. Hai :D
Esok takde entry tau. Sebab esok nak gi berjimba jap ngan kengkawan, sempena hujung sem nih. Nak merelease tension n membuang toksik dalam badan. Haha
Rabu baru ada entry balik, insya-Allah
Jumpa lagi!


3 861 komen:

Yoon Eunhye said...

..Daebaakkk..sis.. <3 <3 jatuh sedalam-dalamnya..huarghh...dh blh tdo nyenyak..hehehe

Azida Aqm said...

Suka pulak dh dgn shah ni , best .

syazo muneeroh said...

Heheheh daebak!! mesti shah terdengar and jeles!! Smpai 3 hah hero dlm crita ni xD #shahforisya

Post a Comment

Assalamualaikum. Hai!
Terima kasih baca.
Cer komen sikit?

.

.