Wednesday, 27 January 2016

Scarlet Cinta (Bab 24 & 25)

~BAB 24~

SAMPAI ke sudah, cuma kebisuan yang jadi pengantara aku dan Shah. Langsung tak bersuara, sedangkan semua yang ada di sekeliling kami riuh bercerita.Bila bertemu pandangan secara tidak sengaja, aku hanya mampu melarikan anak mata. Berlagak tenang seolah tiada apa-apa.
Sungguh, hingga ke waktu ini aku masih belum berupaya membiasakan diri dengan lelaki itu.
Cukup sukar untuk kupercayai, Abang Mi dan Shah sebenarnya orang yang sama. Dan aku tidak mampu langsung menganggap lelaki yang berada di hadapanku ini sebagai seseorang yang pernah kunanti dahulu.
Abang Mi dan Shahterlalu jauh berbeza. Abang Mi yang kukenali dahulu merupakan seorang abang yang bersifat melindungi. Tenang dan agak peramah.
Tapi Shah yang mengisi duniaku akhir-akhir ini berperwatakan sebagai seorang pasangan yang menjagaku. Nakal, tapi boleh berubah serius bila keadaan memaksa. Peribadinya sukar kujangka. Kematangannya juga seringkali menyentuh hatiku.
Dan yang lebih penting, dia menerima dan menghargaiku dengan cara yang tak pernah aku terima daripada mana-mana insan lain.Terlalu jauh bezanya walau peribadi hampir sama.Aku sendiri buntu dengan semua ini. Lebih teruk jadinya bila aku seringkali keliru dengan diri sendiri.
Ada waktu, aku melihat lelaki yang berbual mesra dengan kaum keluargaku itu sebagaiAbang Mi. Tapi di waktu yang lain pula, lelaki yang sedang bersuara di hadapanku ini kupandang sebagai Shah. Satu jasad tapi dimiliki oleh dua lelaki yang berbeza.Ah, celarunya!
“Isya.”
Berderai lamunanku. Serentak telinga kembali mendengar hiruk-pikuk di dapur ini. Suasana sedang meriah dengan kaum wanita yang sibuk menyediakan juadah tengah hari. Kuangkat kepala. Teragak-agak balas pandangan Shah yang duduk di hadapanku.
“Tolong buat air. Ada tetamu.” Tenang ungkapnya.
Aku terdiam, baru teringat pada permintaannya sewaktu dia mula-mula tiba di dapur ini tadi. Hangat wajahku, sedar betapa celarunya benak hingga berkhayal entah ke mana.
“Okey.” Perlahan suaraku. Kuhentikan tangan yang menyiang ikan, letak pisau di tepi. Aku bangkit, cuci tangan di singki, capai jag di rak sebelum melangkah ke meja makan dan mula membancuh air.
Ekor mataku melihat Shah menghampiri mak long. Bertinggung dia di situ. Menghadap mak long yang sedang duduk bersila di atas lantai dengan sebelah kaki dilunjurkan.
“Nak masak apa timun ni, ma?” soalnya. Sehiris timun dari dalam besen kecil diambil.
“Buat ulam aje.” Acuh tak acuh jawapan mak long tanpa mengangkat kepala. Kulit timun terus dikupasnya. Sesaat kemudian, baru dia pandang Shah di hadapannya.
“Kata tadi ada orang datang. Tapi ma tak dengar apa-apa pun kat depan tu? Bunyi riuh budak-budak main adalah.”
“Diorang duduk kat luar, kat pangkin bawah pokok rambutan.”
“Siapa yang datang?”
“Ogie anak Pak Husin jambul.”
“Husin jambul?”Berkerut dahi mak long.
Shah angguk. Diambilnya lagi sehiris timun dari dalam besen, tapi terbantut bila tiba-tiba mak long menampar tangannya.
“Janganlah, ni ma nak buat ulam!”
“Alah, orang ambik sikit aje kut!”Shah nampak tak puas hati.
“Sikit pun? Duk cuit, cuit. Lama-lama nanti habis jugak!”
Shah terdiam, mengeluh lemah.
“Okey...”
Mak long senyap, disambung kembali kerja. Berkerut semula dahi, seperti cuba mengingat.
“Husin jambul?” Perlahan, menyoal diri sendiri.
Tiba-tiba laju tangan Shah menyambar timun di dalam besen. Terbeliak biji mata mak long.
“Hakimi!”
Tapi Shah terus menyumbat semua timun yang dikautnya tadi ke dalam mulut.Serupa anak kecil kebuluran.
“Ya Allah, budak bertuah ni!” Laju tangan mak long menampar bahu Shah.Shah tergelak keanakan.
“Ma tak kasi, Mi curik la,” ujarnya, sedang timun memenuhi mulut.
“Pergi main jauh-jauhlah! Kacau aje orang buat kerja.” Mak long mendengus kasar. Pantas dia angkat besen, jauhkan dari Shah.
Shah tergelak lagi. Terpaksa dia tutup mulut dengan telapak tangan, menahan gelak. Mak long menggeleng-geleng.
“Dah nak kahwin pun duk buat lagi perangai budak-budak!”
“Alah, bukan selalu pun.” Selamba Shah menjawab bila timun di dalam mulut habis ditelannya.
“Dah. Pergi main jauh-jauh!”
Shah tergelak semula. Nakal. Dia bingkas, melangkah ke meja makan. Capai paket tepung gandum yang terbuka separuh. Dia tuang sedikit tepung ke telapak tangannya, kemudian dicampak ke wajahku.
Aku tersentak tapi tak sempat mengelak. Laju serbuk-serbuk halus tersedut ke rongga hidung. Pecah batukku!
“Ya Allah! Hakimi!”pekik mak long semula.
“Isya berangan!”Shah ketawa.
“Sudah-sudahlah perangai tu!”
Tergelak lagi lelaki itu.Aku urut dada yang pedih. Tajam menjeling lelaki itu. Geram!
“Nah, dah siap!”Kutolak jag yang sudah siap berisi sirap ais ke arahnya. Dia tergelak lagi.
“Terima kasih, Isya...” Lembut.
Aku mendengus geram dengan sikapnya. Angin tak ada, ribut tak ada. Tiba-tiba pula jadi mesra. Pagi tadi waktu mula-mula berjumpa, beria sangat senyapnya. Sampai saudara-mara pun sakan menyakat. Sekarang ni?Kan lebih baik kalau dia kekalkan perangai ‘baik dan sopannya’ tu?
“Abang Mi, ada orang telefon!” laung satu suara dari arah tangga.
Teralih perhatian kami spontan terhenti tangan Shah yang mahu mencapai jag.Seorang budak lelaki menuruni bilah-bilah tangga, kemudian berlari anak mendapatkan Shah. Dihulurkan telefon bimbit.
Shah menyambut dan wajahnya serta-merta bertukar keruh sebaik mata memandang skrin telefon. Dia senyap. Nampak seperti berkira-kira sebelum ditekannya butang jawab. Serentak itu juga dia beredar. Daki tangga dan menghilang ke ruang tamu, membuatkan aku terdiam.
Dia sedang menyorokkan sesuatu.
Tidak lama kemudian, dia muncul kembali di dapur ini. Tika itu, telefon bimbitnya berbunyi semula. Dia keluarkan dari poket jeans, pandang skrin. Terlepas akhirnya sebuah keluhan berat dari bibir.
Aku pura-pura tidak mempedulikan. Kususun gelas di atas dulang. Tapi ekor mata tidak mampu langsung kutahan dari memerhati tiap satu gerak-gerinya.Dia tekan butang di bahagian tepi telefon untuk mematikan. Sesudah itu, dia simpan objek berwarna hitam itu di dalam poket seluar.
“Dah siap?” soalnya.Aku menoleh sekilas. Tersenyum nipis menutup perasaan.
“Dah.”
“Tolong bawak ke depansekali, Isya.”
Terdiam aku spontan memandangnya semula. Tak bersetuju dengan permintaan itu.
“Kenapa tak bawak sendiri?”
“Tolonglah...” Lembut memujuk.
Makin berkerut dahiku.
“Dah lama sangat abang tak jumpa Isya. Dah dapat jumpa ni, apa salahnya kalau abang mintak Isya tolong lebih sikit.”
Aku senyap. Tutur katanya itu kedengaran seperti biasa saja. Tapi bagi aku yang sudah mengenal rapat dirinya, nada yang dilontarkannya itu jelas mempunyai maksud tersendiri.
Masakan sebuah perpisahan saja sudah membuatkan dia meminta bantuan hingga sebegini. Sedangkan dia boleh membawa sendiri minuman ini ke laman rumah. Tambahan pula, hanya kaum lelaki yang berada di sana.
“Boleh tak?” Dia meminta lagi. Kali ini bila bertemu anak mata kami, jelas ada sesuatu yang cuba dia sampaikan.
Sesaat aku membisu sebelum mengangguk kecil. Terpaksa juga akur pada kehendaknya. Kutatang dulang berisi gelas dan jag itu mendaki tangga. Dia mendahului beberapa langkah.
Tiba di ruang tamu yang riuh dengan kanak-kanak, dia berhenti lalu berpusing menghadapku. Aku ikut mematikan langkah, cuba faham maksud tindakannya.
“Bila kita nak bagitau semua orang tentang kita, Isya?”
Terbit tanda tanya dalam benakku, makin keliru.Entah mengapa secara tiba-tiba pula dia membuka topik ini.
“Saya pun tak tahu.”
“Kalau sekarang, boleh?”
“Sekarang tak sesuai, Shah,” pangkasku laju.
“Habis tu bila?” Sudah bernada desakankali ini.Aku terdiam semula, serba salah. Kuzahir lagi gelengan.
“Saya tak tahu... tapi sekarang memang tak boleh. Kita kena beransur-ansur sebelum bagitau hal sebenar.”
Dia mengeluh lemah,hampa.
“Kita belajar kat U yang sama pun diorang tak tahu, Shah. Inikan pulak kalau nak bagitau benda yang lebih jauh dari tu.”
Diasenyap, semakin jelas riak pasrah di wajah. Membuatkanku bertambah yakin, ada sesuatu yang menekan dia untuk segera menimbulkan soal ini. Lalu aku mendongak sedikit, cari anak matanya.
“Liza yang call tadi?”Teragak-agak kulontar soalan.
Dia diam sesaat membalas pandangankusebelum mengangguk.Terlepas lagi keluhan lemah dari bibirnya.Tepat jangkaanku. Nampaknya kali ini Liza benar-benar nekad memperjuangkan ‘haknya’.Aku pula yang rasa tergugat.
“Tak apalah. Tu aje yang abang nak tanya.”Sekali lagi Shah mengeluh.
Berderau darahku bila dia tiba-tiba membahasakan diri begitu, tapi segera kufahami bila angah melintasi kami. Ada jelingan tajam yang sempat dilemparkan pada kami.Aku tahu, dia tidak suka aku rapat semula dengan Abang Mi-ku ini. Dan itu semakin menyukarkan kami untuk berterus terang mengenai hal sebenar.
“Bagi sini talam tu, Isya. Biar abang yang hantarkan.” Lemah suara Shah meminta. Tanda dia juga terkesan dengan jelingan angah tadi.
Aku akur pada permintaannya. Kusuakan dulang. Dia menyambut, tapi tidak segera berlalu.Aku angkat kening, menyoal maksud perlakuannya.
“Bersihkan muka tu.”
Segera aku teringat pada tepung yang dibalingnya tadi. Serta-merta pecah tawaku, serentak hujung jari menyentuh wajah yang terasa kesat dengan serbuk-serbuk halus.
“Abang ingatkan bila balik sini, boleh tenangkan fikiran jumpa Isya. Tapi rupanya tak jugak. Ada aje yang mengacau.”Hambar Shah mengungkapkan. Hanya ada senyuman nipis di bibirnya, membuatkan tawaku perlahan-lahan mati. Terkesan mendengarnya.
Kata-kata itu cukup jelas memberitahu soal tekanan yang sedang ditanggungnya. Dia tidak sanggup untuk terus terikat dengan Liza. Kerana ikatan itu membuatkan aku dan dia semakin berjurang. Maka itulah sebabnya dia mahu segera mengumumkan hubungan kami pada keluarga. Biar mudah sedikit semuanya.
Aku kerling seketika keadaan di ruang tamu. Angah sudah tiada berhampiran kami. Lalu kupandang Shah semula.
“Sabarlah...”
“Tapi sampai bila, Isya?” Dia menekan sedikit.Aku diam sesaat, simpati mendengarnya.
“Mungkin esok atau lusa, Shah. Kita cuba terangkan beransur-ansur pada semua orang.” Lembut nadaku, cuba memujuk.
Dia senyap.
“Ya?”
Dia senyap juga. Tapi perlahan-lahan, kulihat dia paksa juga dirinya untuk mengangguk. Ada senyuman pahit di bibirnya.
“Asalkan Isya tak pergi lagi dari abang.”
Aku ukir senyuman walau kekok dengan bahasa yang dia gunakan. Mungkin dia fikir angah masih berada di sekitar kami.
“Saya selalu ada dengan awak, Shah. Insya-Allah.”
Dia senyap, tersenyum nipis lagi.
“Pergi dulu.” Lemah nadanya.
Aku tersenyum juga. Mengangguk sedikit. Baru dia berlalu dari situ. Tika itu, abah melangkah masuk ke dalam rumah. Mereka berselisih, tapi Shah seperti tak langsung menyedari. Terus saja melangkah pergi tanpa menoleh apatah lagi bertegur sapa dengan abah. Senyap saja dia, tenggelam dalam dunia sendiri.
Ketara benar runsingnya.

*******

~BAB 25~

KAK Mas tiba malam itu, sama sepertimana yang dikatakan angah. Dan sebaik saja terpandang Shah, terus soal Liza yang dia ajukan.
Terdiam Shah yang menyambut ketibaannya di serambi itu, bertemu sekilas pandangan denganku yang berada di dalam rumah. Akucuma berlagak selamba, konon tak mendengar apa-apa. Tumpuan kukembalikan pada anak-anak buah yang mengelilingiku di meja kopi ini. Ligat tangan mereka melukis dan mewarna sambil mulut becok bercerita sesama mereka.
“Biasa aje.” Datar jawapan Shah kedengaran.
“Oh, ya? Baguslah macam tu, senang hati akak dengar.”Kak Mas teruja.
Shah senyap. Begitu juga dengan mak long dan pak long yang turut berada di serambi.
“Akak ni kalau boleh, memang nak sangat lekas-lekaskan akad nikah korang. Biar cepat sikit lekatnya. Kalau bunting pelamin pun lagi elok, tak payah nak bersaing-saing dengan orang lain dah.” Penuh bersahaja kata-kata itu, tapi darah hangat tiba-tiba saja menyirap ke kepalaku.
Aku tahu kata-kata itu cuma bertujuan menyakitkan hati. Dan aku juga tahu, dia sedar aku mendengar perbualan mereka.
‘Adik aku dah nak menikah. Dengan orang aku pilih lagi! Kau ada?’ Itu, maksud sebenar yang cuba disampaikan. Mahu bagitau yang peluangnya sudah semakin cerah untuk membolot harta pusaka itu.Sebab itulah dia tak menyempat-nyempat bertanya. Padahal belum seminit pun dia sampaidi rumah ini.
Tapi aku tetap juga berlagak selamba. Dengan penuh bersahaja aku lempar pandangan pada kaca televisyen yang terletak di penjuru ruang tamu. Agak jauh kedudukan peti hitam itu dari diriku yang berada di meja kopi ini.
Entah cerita apa yang tersiar itu, aku tak tahu. Kerana di hadapan televisyen sana, kaum keluargaku sedang rancak bersembang sesama sendiri. Ada juga yang tidak henti-henti tergelak besar. Tenggelam suara para pelakon dramadibuatnya.
“Kalau bersaing pun buat penat aje, ye tak?” Tutur kata Kak Mas kedengaran lagi.
Aku yang sudah mula meluat dengan kesinisan itu cuma mampu mengeluh perlahan. Terusberusaha menahan telingayang semakin hangat. Tapi aku memang takkan sesekali bangun dari tempat dudukku ini. Pasti akan terpampang hati aku yang sedang sakit. Kak Mas pula tentu saja akan tersenyum puas. Jadi lebih baik aku tunjukkan yang aku langsung tak kisah.
“Macam mana setakat ni? Serasi tak?”
“Dah lekat dengan Farisya, nak buat apa fikirkan yang lain?” Selamba sela Shah.
Kak Mas terdiam. Dalam diam aku tersenyum mengejek. Padan muka!
Ekor mataku melihat Shah melangkah masuk ke dalam rumah. Menuju ke arah kerusi rotan yang terletak berhampiranku dan duduk di situ. Bersandar.Mak long dan pak long juga melangkah masuk ke dalam rumah. Tapi kedua-dua mereka masih senyap, terus saja berlalu ke dapur. Menjadikan aku bersoal-soal sendiri.
Mereka tahu atau tak apa status sebenar Shah?
Jika tahu yang Shah sudah terikat dengan Liza, mengapa mereka cuma membisu? Mereka sendiri tahu, bukan Liza yang jadi pilihan Shah. Lantas mengapa dibiarkan juga nama itu wujud?
Dan jika mereka masih belum tahu apa status terkini Shah, mengapa senyap juga? Mengapa tidak dipersoalkan, siapa Liza hingga Kak Mas sibuk benar bertanya, sama ada Shah serasi atau tak dengan gadis itu?
Memang, tak terjawab aku dengan semua kemusykilan ini.Aku sendiri makin pelik sebenarnya.Tidakkah mak long terfikir, Farisya yang berbual dengannya di telefon minggu lepas itu adalah aku?
Ramai lagi orang dalam dunia ni yang bernama Farisya?
Okey, logik.
Jadinya, kalau terlintas di benak mak long yang nama bakal isteri Shah sama dengan nama aku, mak long enggan pedulikan.
Memang logik sangat-sangat.
Tapi kenapa sampai sekarang, tak ada sesiapa pun yang bertanya, aku belajar di universiti mana? Padahal kalau diikutkan, itulah soalan yang paling lazim diajukan bila sesekali sanak saudara berkumpul.
Kalau ada yang bertanya, mungkin senang saja aku menjawab. Dan mak long dengan nada terkejut akan menyatakan, aku dan Shah belajar di tempat yang sama.Dah tentu aku akan mengangguk. Kemudian mengiyakan bila mereka bertanya sama ada aku kenal Shah sewaktu di kampus.
Ya, itulah jalan paling selamat sebelum aku dan Shah sama-sama mengakui hubungan sebenar kami.Malangnya, semua yang kuharapkan itu tidak langsung berlaku.
“Kamu dengan Farisya tu dah kenal berapa lama, Mi?”
Berderai lamunanku. Suara Kak Mas kedengaran agak lantang dari kerusi yang terletak betul-betul di belakangku.
Aku terpaksa berganjak sedikit untuk mengelakkan kakiku daripada berlaga dengankakinya. Kubetulkan dudukku di atas lantai papan itu, pura-pura tidak peduli pada urusan keluarga mereka.
“Lama dah.”
“Memanglah dah lama tapi sejak bila? Bulan lepas? Minggu lepas? Semalam? Hah?” Laju Kak Mas memintas. Ada riak tidak puas hati yang mula kedengaran.
Shah tidak menjawab sebaliknya melepaskan satu keluhan dalam. Dari atas kerusi, dia turun ke lantai. Hampiri aku yang berada di meja kopi, membuat aku berdebar.Apa yang dia fikirkan?
Dia angkat seorang anak kecil yang bersila di hadapanku. Didudukkan atas ribaannya.
“Pak su nak pinjam colour pencil, boleh?” Lembut dia menyoal.
“Boleh!” Laju anak itu mengangguk. Pantas bangkit, tarik bekas pensel warnanya dan duduk semula di ribaan Shah. Anak itu mendongak, pandang wajah lelaki itu.
“Pak su nak lukis?”soalnya.
“Aiman nak gambar apa?” Mesra Shah mengangguk.
“Tengok tu, mengelat. Mi, akak tanya ni!”Kak Mas memintas.Tapi Shah tidak langsung memberi respons, sebaliknya memusatkan lagi tumpuan pada anak kecil di pangkuannya. Dia tersenyum.
“Nak gambar apa, Aiman?”
“Pak su pandai lukis?” Aiman makin teruja. Shah tersenyum lagi.
“Tanya Cik Isya.”
Anak itu segera menoleh ke arahku. Menagih jawapan. Aku tersenyum kecil walau benak masih bingung dengan tindakan Shah. Kuzahir anggukan kecil.
“Pandai...”
Bersinar-sinar mata anak itu. Pantas dia mendongak semula, cari mata Shah.
“Pak su lukislah gambar Ultraman. Aiman nak kasi kawan kat sekolah tengok.”
Shah tersenyum lagi.
“Boleh tak?Pak su lukis gambar Ultraman tu tengah lawan raksasa. Raksasa tu besar sangat-sangat!” Tergawang-gawang tangan anak itu cuba menggambarkan.
Shah tersenyum saja.
“Dia nak makan Ultraman tu. Ultraman tu pulak dah habis power. Lampu kat dada dia dah berkelip-kelip, warna merah dah.”
“Kalau dah habis power, macam mana nak lawan?” Shah melayan.
“Dia kena jugak lawan sampai menang!”
“Kalau kalah?”
“Tak boleh!!!” jerit beberapa anak-anak lain serentak. Bingit telingaku lantas pecah gelak halus. Geli hati dengan telatah mereka.
“Kalau kalah, nanti Ultraman tu mati! Lepas tu raksasa tu letupkan bumi ni.”
“Haah. Nanti habislah semua orang kat bumi ni pun mati jugak!” Bertubi-tubi sokongan mereka.
Shah tergelak akhirnya. Diusap-usapnya kepala Aiman sebelum tangan mula mencapai sebatang pensel warna.
“Okey, okey... tapi kalau nak jadi superhero, mesti jadi orang baik. Baru boleh tolong orang, baru semua orang boleh senang hati.”
“Haah. Ultraman tu baik kan, pak su?”
“Mestilah...” Lembut. Tangannya mula melakar.
“Kalau tak baik, semua orang benci. Kalau hidup suka kongkong-kongkong orang, buat keputusan ikut suka hati... tak ada sesiapa yang suka. Pak su pun tak suka, nak bercakap pun dah malas.”
Dengar saja kata-kata itu, Kak Mas di belakangku merengus kasar.
“Tak payah nak sindir-sindir akak, Mi. Akak buat semua ni untuk kebaikan kamu, tahu! Kamu sanggup tengok hak kamu terlepas ke tangan orang lain? Hah? Kalau orang tu baik tak apa lagi!”
Berdesing telingaku mendengarnya. Macamlah aku ni kemaruk sangat dengan harta-harta tu semua. Aku pun tak inginlah!Kalau nak mewah, aku boleh usaha sendiri. Kerja kuat, tak payah jadi pengemis yang cuma tunggu harta nenek moyang jatuh bergolek depan mata.
“Dengar tak ni, Mi?” Makin tegang nada Kak Mas.
Kaum keluarga yang duduk di hadapan televisyen sudah mula berbisik sesama sendiri. Tapi tidak ada yang memberi tumpuan penuh pada apa yang sedang berlaku di sini. Mungkin masing-masing sudah maklum dengan pertelingkahan dalam keluarga mak long. Mereka enggan campur tangan.
Anak-anak kecil di sekeliling meja kopi mula berkerut-kerut dahi memandang Kak Mas. Sesaat kemudian, beralih pandangan mereka pada Shah.
“Kenapa mak cik tu marah-marah pak su? Kan dia baru aje sampai?” soal Aiman.
“Mak cik tu lapar ke?” Seorang lagi anak kecil menyoal.
Shah angkat bahu, selamba.
“Tak tahu. Dia nak suruh pak su lukis gambar dia kut. Dia nak jadi raksasa dalam cerita Ultraman ni. Boleh makan Ultraman ni. Besar, mesti kenyang.”
Mengekek anak-anak itutergelak. Shah ikut ketawa. Kak Mas di belakangku merengus lagi. Dia bingkas akhirnya.
“Sakit hati aku bercakap orang yang tak reti berterima kasih ni!” Sejurus dia melangkah. Tiba-tiba tersepak pergelangan kakiku, tapi dia pergi begitu saja. Menuju ke bilik tanpa bertegur sapa dengan sesiapa yang ada di ruang tamu ini.
Aku hanya memandang dia berlalu. Tahan rasa sakit hati. Dapat kurasakan, dia sebenarnya sengaja menyepakku.
“Jangan layan sangat dia tu, Isya.”Perlahan kedengaran suara Shah di hadapanku.
Aku menoleh.Dia tidak memandangku. Terus juga memberi tumpuan pada lakarannya di atas kertas.
“Saya pun dah tak tahu nak buat macam mana lagi. Semua kehendak dia kita kena ikut.”
Aku senyap.
“Sebab tu ma kecik hati dengan dia. Sampai sekarang ma dengan abah bawak diri ke tempat orang. Soal kita nak nikah ni pun baru dua hari lepas ma bagitau dia. Itupun lepas saya call ma, sebab Liza serang saya kat konsert tu.”
Aku senyap lagi.
“Dia balik ni pun sebab nak kita batalkan majlis akad nikah tu. Dia nak saya ikut kehendak dia.” Tiba di situ, dia senyap sesaat. Terlepas keluhan dari bibirnya, menggeleng-geleng kecil.
“Memang saya takkan layanlah... saya nak awak yang jadi isteri saya, bukannya perempuan lain.”
“Pak su nak kahwin dengan Cik Isya?” Aiman tiba-tiba menyoal. Nyaring suaranya memecah suasana ruang tamu itu. Perhatian keluarga yang berpusat pada televisyen serta-merta tertarik ke arahkami. Berkerut dahi masing-masing.
Aku terbungkam, telan liur. Pandang Shah yang sudah terlepas kata. Tidak kusangka, rupa-rupanya anak itu faham apa yang kami bualkan.Tapi Shah tenang cuma. Bahkan terukir sebaris senyum di bibirnya. Aiman di pangkuan dipandangnya.
“Kenapa cakap macam tu?” Dikuatkan sedikit suaranya tapi tidak ketara. Dia seperti sengaja mahu membiarkan mereka yang lainnya mendengar.
“Habis tu? Aiman dengar pak su cakap macam tu tadi.”
Shah tersenyum lagi sambil mengusap-usap kepala anak itu.
“Pak su tengah bagitau Cik Isya pasal mak su Aiman tulah...”
“Ye ke?” Ragu-ragu.
“Iya... nama Cik Isya sama dengan nama mak su Aiman tu. Aiman salah dengar ni.”
“Tapi kenapa pak su panggil Cik Isya tu awak aje? Bukan ke siang tadi pak su panggil...”
Shah ketawa halus, memintas celoteh anak itu.
“Pak su tersilap. Kan dah lama pak su tak jumpa Cik Isya?”
Aiman terdiam, kerut dahi. Nampak tak puas hati. Tapi aku tetap lega kerana perhatian kaum keluarga kami sudah mula beralih kembali ke kaca televisyen. Ada yang menyambung semula perbualan mereka.
“Kita kena cari waktu lain untuk bincangkan hal ni, Isya.” Suara Shah kedengaran semula tidak lama kemudian.
Aku kembali memandang lelaki itu.Dia masih dengan kerjanya. Susunan pensel warna di dalam bekas dibeleknya, kemudian dia pilih pensel warna bermata merah. Kembali mewarna.
“Kalau nak bersembang dalam phone, orang kiri kanan 24 jam pandang kita. Nak berbincang depan-depan macam ni pun tak boleh jugak. Ada aje telinga yang mendengar.” Senyap sesaat. Dia mengerlingku sekilas.
“Bila Isya free?”
“Kita nak berbincang kat mana?”
“Nanti abang SMS. Tengok kat mana yang sesuai.”
Aku terdiam. Cuba kunilai gelaran yang terzahir dari bibirnya. Mungkin dia sengaja mengubahnya, kerana merasakan terlalu banyak telinga yang sedang mencuri-curi dengar perbualan ini.
Memang topik perbualan kami akan tetap kedengaran mencurigakan. Tapi tidak mengapa. Sekurang-kurangnya pendengaran anak-anak itu akan terjaga. Kurang sedikit risiko untuk mereka mengesyaki hubungan sebenar kami.
“Esok kita pergi pasar sama-sama. Boleh, Isya?” Suara Shah kedengaran semula. Menarik perhatianku untuk kembali memandangnya.
“Diorang takkan syak apa-apa ke?”
Shah senyap, masih memberi tumpuan pada kerjanya. Sesaat kemudian, tersungging senyuman penuh erti di bibirnya sebelum dia angkat kepalanya. Bertemu anak mata denganku.
“Mungkin takkan ada yang rasa pelik, sebab masa kecik dulu Isya tak boleh berenggang langsung dari abang.” Senyap sesaat. Bertukar nakal wajahnya.
“Sampaikan tidur pun nak sebantal.”
“Shah!” bentakku dengan suara tertahan. Hangat wajah bila mengingati semua itu.
“Abang.” Dalam gelengan kecil dia membetulkan.
Aku senyap di dalam hati yang malu, mengakui silap diri.
“Tapi bukan sebagai Abang Mi.”
Berkerut dahiku mendengarnya. Kenapa bukan sebagai Abang Mi? Bukankah lelaki itu pun dirinya juga?
Dia angkat kening penuh erti, menjawab kemusykilan benakku. Meleret senyuman nakal di bibirnya.
“Nama tu cuma kenangan.”
Makin berkerut dahiku.
“Bila Isya anggap gelaran abang tu untuk diri abang yang Isya kenal sekarang, itu lagi abang suka.”
Aku terdiam.
‘Cause I’m really yours, sayang.”Dalam suaranya kali ini, hampir kepada bisikan.Berderau darahku. Segera kularikan anak mata. Tidak mampu lagi menerima tatapannya.
“Cuba cakap macam tu dalam bahasa melayu, biar budak-budak tu faham.” Kuseriuskan suara, dan ekor mataku melihat Shah semakin tersenyum.
“Betul ni? Nak dengar?” duganya.
Aku membisu.
“Abang boleh aje. Lagi abang suka, biar semua orang tahu hal sebenar.”
Pantas kukembalikan pandangan ke wajahnya.Dan dia sudah tersenyum nakal.
“Nak dengar?”
“Tak payahlah!” Laju kupintas. Cemas melihat dia bersungguh, menjadikan dia tertawa halus. 
“Tahu pun takut.”
Aku senyap, mendongkol hati disakat begini.Dia sudahkan baki tawa, kemudian menggeleng-geleng kecil.
“Tapi tak sangka Isya boleh berubah jauh sangat. Masa kecik dulu bukan mainmanja. Bila kenal kat U, dah jadi garang. Pedih telinga abang ni asyik kena basuh.”
Hangat semula wajahku.
“Saya tak kenal awak masa kat U la, Shah. Sebab tu saya jadi macam tu.”
“Habis tu kalau kenal akan jadi manja?”
Aku terdiam. Dia mengerlingku, angkat kening penuh erti.
“Mmm?”
Aku mengeluh akhirnya, tidak tahu apa lagi yang patut kujawab.
“Suka hati awaklah.”
Dia tertawa halus.
“Tapi untung jugak sebenarnya, Isya.”
Aku senyap, enggan membalas. Kerana aku tahu, dia masih mahu menyakat. Dalam masa yang sama, ekor mataku menyedari kelibat mak long yang melintasi kami untuk ke pintu utama.
Aku jeling Shah, hantar isyarat supaya dia tak lafazkan apa-apa. Bimbang jika mak long mendengar sebarang perkara yang bakal memecahkan rahsia kami.Tapi Shah tetap selamba, bahkan dengan penuh bersahaja dia membisikkan.
“Sebab Isya yang manja tu akan ajak abang tidur sebantal balik...”
“Tak mau la!”Hangat pijar wajahku!
Pecah tawanya. Nakal!
Tak betah aku dibuatnya. Lantas kucapai kusyen di atas kerusi rotan, campak padanya. Dia mengelak. Kusyen laju melayang, mendarat tepat di kepala mak long.
“Ya Allah, budak bertuah!” Melatah.
Aku tergamam. Shah segera matikan tawa lalu menoleh ke arah mak long, tapi sesaat kemudian dia memandangku kembali. Terhambur semula gelaknya. Besar gila!
Perhatian seluruh isi rumah berpusat ke arah kami.Aku telan liur.Mak long pula memicit-micit kepalanya. Pening.
“Pagi tadi masing-masing tak nak bercakap. Macam ada emas dalam mulut tu. Sekarang ni tengoklah! Habis kepala aku dikerjakannya!” Panjang wanita itu merungut.
Aku teragak-agak.
“Sekejap aje dibiarkan. Dah boleh main baling-baling kusyen pulak ni, hah,” rungutnyalagi sambil memungut kusyen yang terjatuh di lantai.Aku makin serba salah. Segera bingkas, dapatkan wanita itu.
Sorry, mak long. Isya tak sengaja...” Teragak-agak aku ungkap.Mak long mendengus geram.
“Nah!”Dihulurnya kusyen padaku.
Aku menyambut dalam rasa bersalah.
“Jangan dilayan sangat Abang Mi tu, Isya!”
“Itu kalau dibiarkan, entah berapa banyak kepala pulak yang jadi mangsa lepas ni.” Along di hadapan televisyen menyampuk.
Berderai tawa seisi rumah.Dengan wajah yang hangat, aku beredar semula ke tempat tadi. Kusyen kususun di tempatnya. Bila kujeling Shah, lelaki itu masih tersenyum memandangku.
“Isya takkan boleh kalahkan abang...” Penuh dengan riak nakal.
Aku mencebik, segera beredar dari situ.Malas melayan lagi!

15 861 komen:

baby mio said...

Best.

Nor Zulaikha Zulkifli said...

Huhu.. lmenye nk tggu entry ni

Audra Sazreena said...

Hmm... banyak suspen ni... and jugak banyak misteri...

Siti Hanisah said...

Hehe. Tq :)

Siti Hanisah said...

Dia jadi lama sebab kena siapkan dua bab sekali gus. Hehe ;)

Siti Hanisah said...

Haah. Sebab diorang terpisah lama sangat, n Isya tak tahu banyak giler benda kat belakang dia selama ni.

Nor Zulaikha Zulkifli said...

Oh.. trus kn usaha. Tgh bce hyks.. rse skit hati pulak kt firdaus skeluarge. Kesian kat azrul ngan farhah

Siti Hanisah said...

ok. Terima kasih skongan. ;)

Oo dah smpai kat situ eh? Haha. Teruskan2. Mmg mnyakitkan hati anak branak tu. Ambik kesempatan pada ksusahan orang lain.

Nor Zulaikha Zulkifli said...

Ending die bez. X sabar nk tggu bila hati perlukanmu pulak. Jln cerita awk mng nenarik. Ape y diorang lalui kita akan terase real je. Tahniah!

ashiqin austen said...

Best

Siti Hanisah said...

Hehe. Terima kasih banyak2, Zulaikha. Bila Hati Perlukanmu insyaAllah, lepas ni. Paling awal pun tahun depan terbitnya. Kena sabor lagi la... haha

Siti Hanisah said...

Terima kasih, shiqin. ;)

Syafiqah Nor Fatin Anuar said...

thanx .. akhirnye dpt jgk bace entry ni walaupun lme tnggu .. best :D .. xsabar nk tnggu next entry .. <3 :D

Siti Hanisah said...

Same2 dik... ;) thanx jgak sbb follow citer ni. InsyaAllah esok naik bab baru. Ad kejutan sket, insyaAllah. Tnggu ye. ;)

materman mangangar said...



Friv 2

kizi

Post a Comment

Assalamualaikum. Hai!
Terima kasih baca.
Cer komen sikit?

.

.