Tuesday, 26 January 2016

Scarlet Cinta (Bab 23)

SEWAKTU kereta memasuki laman, aku lihat pekaranganrumah pusaka itu sedang riuh dengan anak-anak kecil. Ada yang bermain pasir, ada yang bergayut-gayut di dahan pokok rambutan, malah ada juga yang menangis berebutkan anak patung. Meriah.
Aku tersenyum sendiri. Tiba-tiba teringat pada kenangan bersama Abang Mi. Semakin lama, aku semakin ditenggelami nostalgia zaman itu. Kalaulah soal harta tak wujud... mungkin perpisahan itu tidakpernah berlaku.
“Penuh gila.”Pecah kesunyian di dalam kereta. Aku menoleh pada angah yang nampak serius.
“Mana nak park kereta ni, weh?” Dia membebel sendirian.
“Semua orang dah balik ke ni?” soalku bila melihat lamanrumah yang tidak seberapa luas itu kelihatan penuh dengan kereta. Empat belas buah kesemuanya.
“Kakak si Mi yang dua ekor tu aje belum. Esok gamaknya.”
“Tapi kenapa banyak sangat kereta? Macam ramai aje?”
“Mana tak ramai! Habis semua family belah ipar duai, tok nenek orang tu pun balik sama!”
Bermakna sekarang ini, Abang Mi pun ada sama di rumah itu?
Tak semena-mena berdebar jantungku. Tak tahu bagaimana mahuberdepan lelaki itu.
“Ah, kalau diikutkan, tak ramai mana pun sebenarnya!” Angah menambah.
Aku kembali memandangnya.
“Mama dengan mak long tu dua beradik aje. Along dengan family dia naik satu kereta. Angah, mama dengan abah naik satu kereta. Family mak long datang terus dari KLIA. Naik teksi aje, bukan pakai kereta pun. Kak Mas dengan Kak Yati balik esok. Patutnya sekarang ni, ada satu kereta aje kat laman tu.” Serius nadanya menceritakan. Tapi dalam banyak-banyak nama, Abang Mi saja yang tidak disebut.
Aku pula yang ternanti-nanti dalam dada yang berdebar. Mahu juga kutahu gambaran awal, bagaimana keadaan lelaki itu sekarang. Sudah semakin pendiam atau semakin nakalkah. Masih ingatkan aku atau tidakkah...
Sekurang-kurangnya dapat juga aku bersiap sedia untuk bertemu.
“Tapi disebabkan harta, sanggup diorang yang lain tu turun padang. Dah macam anak raja pulak si Mi tu aku tengok.” Mendengus kasar angah di hujungnya. Dan dia tidak juga bercerita tentang Abang Mi, membuatkan aku semakin berdebar.
Entah mengapa, susah pula aku rasa tiba-tiba.

BILA angah akhirnya berjaya mencari kawasan meletak kereta, kami sama-sama melepaskan keluhan. Lega! Segera aku keluar dari kereta. Terus ke boot mengambil bagasi.
“Nenek, ada orang datang!” laung salah seorang anak kecil di bawah pokok rambutan.
“Haah!” Beberapa suara lain menyambut. Tiga budak perempuan berlari-lari ke arah serambi.
“Nenek!!!” Nyaring mereka melaung.
“Iya...” sahut satu suara dari dalam rumah. Serentak muncul seorang wanita di muka pintu. Mak long. Berubah serta-merta wajahnya sebaik terpandang diriku.
“Sampai dah?” Bernada terkejut. Dia melangkah ke serambi.
Tersungging senyuman di bibirku lalu mengangguk sedikit. Dengan rasa penat aku berjalan ke arahnya. Kelibat Abang Mi tidak kelihatan berada di mana-mana. Makin lama aku makin resah, cuba mengagak di mana lelaki itu saat ini.
Agak-agak, dia akan keluar jumpa aku tak?
“Lajunya angah kamu bawak kereta?” Soalan mak long mengalih perhatianku.
“Entah angah tu.” Bersama tawa kecil aku menjawab.Mak long menggeleng-geleng. Bila aku hulurkan tangan, dia menyambut. Aku menyalaminya.
“Sihat?” soalnya.
Aku angguk saja. Bila angah meminta laluan, aku berganjak sedikit. Angah naik ke rumah, menghilang di balik dinding ruang tamu. Tika itu juga mama muncul di muka pintu. Nampak terkejut juga memandangku.
“Aih, cepatnya sampai?”
“Tanya driver.”
Mama menggeleng-geleng bersama keluhan. Aku enggan bersuara banyak lagi. Bila tidak muncul juga lelaki itu di hadapanku, aku tahu aku tak perlu fikirkan apa lagi tentangnya.Dia sudah lupakan aku.Jika bertemu semula nanti, aku hanya perlu berlagak selamba.
Kusalam mama, berpelukan seketika sebelum mengheret bagasi naik ke rumah. Aku mahu berehat. Penat!
“Abang Mi tak ada. Kalau ada, agaknya dia dulu yang keluar jumpa Isya.” Kedengaran suara mak long sewaktu aku menapak ke sebuah bilik.Berderau darahku mendengarnya. Mak long bagaikan sedar hatiku yang sejak tadi tercari-cari kelibat Abang Mi.
Aku menoleh, tersenyum menutup perasaan.
“Mana dia?”
“Ada hal kat KL katanya. Esok sampailah tu.”
Aku tersenyum lagi dalam hati yang pedih tiba-tiba. Segera aku berpaling dan terus menghala ke bilik.
Ada hal kat KL...
Berjumpa bakal isteri agaknya.Entah mengapa, aku seperti tidak kuat untuk menerima kenyataan itu.Tapi enggan kulayan rasa hati.
Biarlah. Biarkan dia dengan hidupnya, kerana aku sendiri pun sudah punya Shah yang jauh lebih menghargaiku.
“Isya nak makan ke?” laung mama tidak lama selepas aku mengunci pintu.
“Tak apalah, ma. Isya nak rehat.” Hambar suaraku tanpa mampu berselindung. Entah disebabkan penat berjalan jauh atau kerana berat melepaskan Abang Mi.

MALAM itu, aku terus tertidur selepas menunaikan solat isyak. Tidak langsung berganjak sewaktu mama mengejutkan untuk makan malam. Terlalu penat hingga tak terlarat lagi untuk bangkit.Bangun keesokannya, barulah perut rasa lapar. Selesai saja solat subuh, aku terus ke dapur.
Beberapa wanita kelihatan sibuk menyediakan sarapan. Tak dapat kucam siapa mereka, mungkin kerana sudah terlalu lama tidak bertemu. Bila mereka menoleh, aku tersenyum nipis sambil tangan laju mengangkat tudung saji.Memandang cucur saja pun sudah buat aku terliur.
“Lapar, Isya?” sapa satu suara.
Perhatianku teralih, tapi tangan tidak langsung terbantut dari menyambar cucur. Aku angguk bersama sengihan sambil menyuap cucur ke mulut.Mereka tersenyum, berpandangan penuh erti sesama mereka. Bagaikan aku ini anak kecil yang kelaparan pula, padahal dua tiga hari lagi gelaran isteri bakal tersandang di bahuku.
Orang tengah sibuk memasak, yang aku ke dapur cuma makan.Buruk benar.Malu pula rasa. Lantas bila reda sedikit rasa lapar, aku sertai mereka. Ruang dapur mula dipenuhi sanak-saudara, dan kami mula ‘berkenalan’.
Rupa-rupanya sebahagian besar mereka cukup kukenali sewaktu zaman kanak-kanak dahulu. Berjumpa setiap kali musim perayaan. Tak sangka dah besar masing-masing. Ada yang dah berkeluarga pun.
“Hah,tuMi kan?” Mak long segera memecah suasana bila terdengar bunyi hon kereta.Tertarik semua perhatian yang adadi dapur itu. Terhenti setiap tangan yang lincah berkerja.
“Mi ke tu?” Mama menyoal dengan dahi berkerut, ragu-ragu.
“Iyalah gamaknya.” Serentak itu mak long menghentikan kerjanya menyusun juadah di atas tikar lalu bingkas. Bersama-sama beberapa wanita lain, mak long mendaki tangga ke ruang tamu.
Lengang ruang dapur itu.Aku meneruskan kerja mencuci pinggan mangkuk di singki. Enggan kuturut hati yang meronta-ronta mahu pergi menemui lelaki itu, bahkan aku pura-pura tidak peduli pada detak jantung yang mula celaru.
Tiba-tiba kedengaran latah seorang wanita di ruang tamu.Tika itu juga meledak tawa seorang lelaki.
“Hakimi!” Jelas nada geram mak long tapi suara tawa itu semakin galak pula kedengaran.
Abang Mi. Nampaknya masih tidak hilang kenakalannya itusetelahketiadaan aku.
Ya, perpisahan itu tidak menjejaskan hidupnya walau sedikitpun.
“Nanti turun sarapan.” Suara mak long kedengaran lagi. Tapi kali ini tiada jawapan yang dapat kudengar. Mungkin lelaki itu cuma mengangguk atau bersuara perlahan.
Dan perlahan-lahan, suasana rumah kembali reda. Aku meneruskan kerjaku, dalam masa yang sama cuba memujuk hati yang tersisih.
Dia tidak bertanyakan soalku apatah lagi tercari-cari kelibatku. Tidak walau sedikitpun. Lalu apa lagi yang cuba aku harap? Dia benar-benar sudah melupakanku.
“Isya.”
Berderai lamunanku. Dalam hati yang pedih aku menoleh.Angah yang baru tiba dari ruang tamu kelihatan melangkah ke arahku sambil menyuakan telefon bimbit milikku.
“Shah call.”
Aku terdiam, kerut dahi kebingungan.Aku aje yang boleh call dia, kan? Kan semalam dia dah janji?
Memikirkan ada hal penting yang mendesak, akusambut juga huluran angah.Dalam masa yang sama telinga mula mendengar keriuhan di ruang tamu. Gamat mereka bergelak ketawa, ada yang sampai terbahak-bahak. Entah apa yang lucu sangat sampai jadi sekecoh itu.Seronok sangat nampaknya bila Abang Mi sudah ada di rumah ini.
Tanpa mempedulikan kebisingan yang memenuhi rumah, aku tekan butang hijau pada telefon bimbit. Serentak tangan kananku mula menyusun pinggan mangkuk yang sudah siap dicuci di atas rak.
“Helo, assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam, Isya.Sibuk ke?”
“Tengah susun pinggan. Kan semalam dah janji nak tunggu saya SMS?” Ada nada kurang senang aku selitkan, sekadar mahu mengingatkannya.
Dia tertawa penuh erti, tapi tenggelam dalam kebisingan ahli keluargaku yang mula beralih ke ruang dapur ini. Nampaknya mereka sudah bersedia untuk bersarapan. Bererti aku perlu segera menyudahkan perbualanku dengan Shah jika enggandisakat mereka.
“Dapat dengar tak, Shah? Bising sangat kat belakang saya ni.”
“Dengar...” akunya lembut.
“Ada hal penting, ya?” Aku terus ke topik asal, membuatkan dia mengeluh.
“Kalau tak penting, mungkin saya kena teruskan bersabar tunggu SMS dari awak.”
Hangat wajahku, terasa diperli.
“Saya kat kampunglah, Shah. Bukan saja-saja saya tak contact awak.”
“Tapi awak kena tahu, Isya. Saya tengah sorang-sorang ni.”Misteri nadanya kali ini.Berkerut dahiku.
“Apa masalahnya kalau sorang-sorang?”
Dia tidak segera menjawab. Bahkan telingakudapat mendengar, dia semakin tersenyum. Kali ini beriak nakal.
“Abangtengah rindu ni, sayang...”
“Mengada-ngada.” Hangat wajahku sewaktu mengungkapkan.
Dia tertawa dalam, makin membuai perasaanku.
“Hari Jumaat ni keluarga awak jadi datang rumah saya,kan?” Aku segera kembali ke perkara pokok. Enggan membiar dia makin melalut.
Shah tu bukannya boleh dilayan sangat.Tambahan pula, suasana di dapur ini sudah semakin riuh dengan pelbagai kerenah kaum keluargaku. Susah untuk terus berbual dengan lelaki itu.
“Insya-Allah, jadi. Sebab tu saya call ni.” Tenggelam-timbulsuara lelaki itu di hujung talian. Bersusah payah aku berusaha mendengar satu demi satu perkataan yang disebutkannya.Berkerut sedikit dahiku.
“Kenapa, Shah?”
Shah menjawab, tapi tiba-tiba meledak tawa besar kaum keluargaku. Tenggelam terus suara lelaki itu di hujung talian.
“Apa dia?” soalku sambil jari menyumbat sebelah telinga. Cuba mendengar apa yang cuba disampaikan lelaki itu.
Dia bersuara lagi tapi aku tetap juga tidak dapat mendengar.Aku terdiam, mengeluh lemah akhirnya.
“Saya tak boleh dengarlah, Shah.”
“Mana Mi? Tak nak turun sarapan ke?” Suaragarau abah makin mengganggu perhatianku terhadap Shah.
“Kejap lagi kut tu, penat sangat gamaknya.” Satu suara lain menjawab.
“Dia berjalan sorang-sorang waktu malam. Mana tak penat. Kalau ada kawan, sekurang-kurangnya tak adalah letih sangat.”
“Dia kan memang gitu dari dulu. Mana nak sangat orang temankan...”Suara-suara mereka berbual terus kedengaran.
Aku mengeluh lagi. Ikutkan hati, mahu saja aku beredar dari sini. Mahu kutumpukan perhatian pada apa yang ingin dibincangkan Shah.Tapi bimbang pula jika ada yang pelik dengan kelakuanku. Semakin bimbang jika ada yang berkata tidak-tidak tentangku.
“Err... Shah,” panggilku akhirnya, terpaksa.
“Mmm?”
“Boleh tak kita berhenti kejap?”
Dia terdiam.Aku makin teragak-agak.
“Nanti bila ada masa lapang, saya SMS awak. Sekarang ni sibuk sikitlah.”
“Okey, tapi bila?”
Giliranku pula terdiam, ligat mengerah otak. Selepas ini aku akan terus disibukkan dengan pelbagai perkara. Sediakan juadah untuk tengah hari, kemudian kemas rumah, kemudian sediakan makan malam pula.
“Malam ni. Boleh?” Kulembutkan suara untuk meraih pengertiannya.
“Okey. Nanti awak SMS saya dulu.”
“Okey...”
“Dia tak dengar, sebab tengah bersembang dengan abang dia tu.”
Terlerai tumpuanku terhadap Shah bila mendengar kata-kata bernada nakal along. Hangat wajahku.
“Mintak diri dulu, Shah.” Bergetar sedikit suaraku.
“Mmm...” Dia akur, tapi aku pula yang rasa serba salah kerana menolak permintaannya untuk berbincang. Rasa seperti mengabaikan dirinya pula. Ah, segalanya serba tak kena!
Kuputuskan talian. Simpan telefon bimbit dalam poket seluar dan kembali meneruskan kerja. Tak kupedulikan kaum keluargaku yang sedang berbual-bual nakal bercerita tentang diriku dan Shah.
“Jom sarapan sekali, Isya.”
Aku menoleh bila mendengar pelawaan mak long. Angguk sedikit.
“Ye, kejap. Sikit aje lagi pinggan ni.”
Mereka senyap. Aku kembali ‘mengerjakan’ pinggan mangkuk di atas singki yang sudah siap dicuci.
“Hah, Mi. Meh sini turun, sarapan sama-sama.” Suara abah pula kedengaran tidak lama kemudian.
“Nasi goreng kampung pun ada sekali ni. Isya yang buat tadi, sebab dia tahu Mi nak balik hari ni.” Suara mak long pula menyambut, penuh erti bunyinya. Bagai sengaja mengusik aku yang masih mengingati makanan kegemaran lelaki itu.
Aku yang mula terasa hangat wajahitu pura-pura tidak mendengar. Terus kupantaskan tangan menyusun pinggan mangkuk. Dalam pada itu, aku cuba mengagak. Apa sebenarnya yang mahu dibincangkan Shah tadi? Jarang benar lelaki itu menghubungiku kecuali jika ada hal yang benar-benar penting.
Kenapa? Liza mengganggu lagi?
“Isya takkan dengar kalau kita cakap apa-apa, sebab dia tengah sibuk fikirkan abang dia tu.”
Berderai semula lamunanku bila mendengar kata-kata along yang semakin nakal bunyinya.Makin hangat wajahku. Jelas, lamunanku nampak begitu ketara di mata mereka.
Shah! Shah! Shah!
Aku tahu diorang sengaja nak sindir keluarga Abang Mi. Konon aku akan teruskan persaingan merebut harta tu, jadi keluarga Abang Mi tak payahlah berlagak sangat.
Tapi kalau iya pun, janganlah tunjuk sangat!
Dalam masa yang sama, aku mula merasakan ada seseorang yang sedang menghampiriku. Abang Mi mungkin.
“Isya... abang nak pinggan dengan cawan.” Kedengaran satu suara di belakangku.Abang Mi, tepat seperti yang kuagak. Tapi entah mengapa, cara dia memanggil itu kedengaran seperti teragak-agak.
Aku pula tidak berani berdepan dirinya. Tanpa menoleh, aku pantas mencapai apa yang dia mahukan dan hulurkan padanya.Dia menyambut tapi terhenti sesaat kemudian. Makin kalut aku dibuatnya.Alah... ambiklah cepat!
“Isya?” Perlahan dia menggumam.
Aku semakin tidak keruan, tapi terpaksa menyorokkan rasa tidak betahku ini daripada pandangan kaum keluarga. Pura-pura tenang aku menoleh. Bertembung pandangan dengan Shah.
Aku tersentak, terlepas pinggan dari tangan dan aku terundur setapak!
Shah?Ya Allah, apa semua ni!
Shah tu Abang Mi?Shah?!
“Eh, apa kena ni?” Mama cemas.
Serta-merta aku dan dia tersedar. Pantas aku bertinggung diikuti Shah. Celaru benakku, laju tangan mengutip serpihan kaca pinggan dan gelas. Ketara menggigil jari-jariku. Semangat hilang bagai direntap. Rasa seperti mahu pitam.Arghh... apa ni!
“Tak apa, tak apa. Biar saya yang buat, Isya.” Suara Shah kedengaran.Tidak kupedulikan, terus juga mengutip.Mama menerpa ke arah kami. Aku makin kalut, makin kelam-kabut mengutip serpihan kaca.
“Kenapa ni?” Cemasnada mama.Aku yang masih putus semangatjadi sedikit terkejut dengan jerkahan itu. Tidak semena-mena sekeping kaca menghiris jari.Pedih!
“Tak apa, Isya... biar abang yang buat ni.” Lebih bernada desakan lelaki itu mengulang. Kali ini dengan gelaran yang berbeza untuk menjaga pendengaran mama.
Aku tidak berupaya lagi melawan. Segera bingkas, cuci jari yang luka di bawah aliran air paip. Sesudah itu aku beredar tanpa mempedulikan perhatian yang tertumpu padaku.
Kudaki tangga ke ruang tamu, kemudian masuk ke bilik.Jari yang luka kubalut. Masih ketara menggigilnya hingga aku terpaksa berkali-kali melepaskan keluhan berat.Cuba buang sesak dalam dada. Lutut pula lemah, bagai tak berupaya lagi menampung tubuh.
Shah ituAbang Mi...
Lelaki yang menemani hari-hariku di waktu aku setia menanti Abang Mi... lelaki yang kusangka Abang Mi ketika dia menanggalkan kaca matanya di perpustakaan tempoh hari... lelaki yang menangis ketika menyelamatkan aku yang rebah di dalam hujan gara-gara terluka dengan Abang Mi...
Dalam masa yang sama, Abang Mi yang cuba kubenci itu rupa-rupanya setiap masa ada di hadapanku...
Macam mana boleh jadi semua ni, ya Allah...
Duduk akhirnya aku di birai katil. Tak kuat lagi melawan lemah. Kurapatkan kelopak mataku, pejam serapat-rapatnya. Kutelan liur, hela nafas sedalam mungkin sebelum melepaskannya.Berulang kali.
Berkali-kali insiden di dapur tadi bermain di mataku. Berkali-kali juga benakku mengimbas riak tak percaya yang jelas terpamer di wajah Shah tadi.
Ya Allah, benarkah semua ini...
“Dah,Isya?”
Pecah suasana lengang bilik. Aku yang sedang bersendirian itu segera mengangkat wajah, menoleh pada angah yang tercegat di muka pintu. Kosong pandanganku, masih cuba keluarkan diri dari rasa bingung.
“Jomlah, semua orang tengah tunggu tu.” Dia mempelawa lagi, bagai sedar riak kelirupada pandanganku.
Aku mengangguk kecil.
Angah berlalu. Muka pintu ditinggalkan kosong. Pandanganku terus berpusat di situ, bersama perasaan yang tak tentu hala.
Tidak lama kemudian, muncul semula angah di muka pintu yang terbuka luas. Berkerut dahinya.
“Jomlah?”
Aku pandang gadis itu. Senyap seketika, cuba gagahkan lisan untuk bersuara.
“Apa kena dengan Isya ni?” soalnya. Makin berkerut dahi.
“Apa nama penuh Abang Mi?” Terpacul akhirnya soalan di bibir, tapi perlahan cuma.
Angah terdiam, nampak bertambah bingung.
“Kenapa tanya?”
Aku senyap. Tajamkanrenungan padanya, menagih jawapan.Lebih berkerut dahinya.
“Khairul Shah Hakimi. Kenapa?”
Berdetak kencang jantungku mendengar jawapan itu. Jatuh pandangan pada lantai papan rumah.
Tepat.
Hakimi. Mi.
Tapi aku tak pernah langsung terfikirkan kemungkinan itu. Walhal selama ini, aku sendiri sedar persamaan-persamaan yang ketara antara Shah dan Abang Mi.
“Kenapa ni?”soal angah lagi, memecahkan lamunanku.
Aku angkat kepala, menggeleng kecil.Buatkan dia terdiam, menggeleng-geleng kemudiannya.
“Pelik betullah Isya ni.”
Aku membisu.
“Dah, jomlah. Nanti lama pulak diorang tunggu.” Dengan ayat itu, angah berlalu dari situ. Tanda dia serius dengan arahannya. Tidak lagi peduli pada apa yang sedang kulalui. Dan aku, mahu atau tidak aku perlu juga menghadap hakikat sebenar.
Dengan rasa terpaksa, aku gagahkan juga diri. Sewaktu tiba di muka pintu ke dapur, bertembung anak mataku dengan Shah. Tajamrenungan lelaki itu, menjadikan aku tak keruan. Kularikan pandangan, ekori langkah angah menghala ke tikar yang terhampar.
“Isya duduk sebelah mak long.” Angah mengarah.
Aku terpaksa akur walau hati tak rela. Mak long duduk benar-benar di hadapan Shah, dan mereka seakan sengaja mahu aku berbual dengan lelaki itu.
Duduk di atas tikar itu, aku rasa seperti semua mata sedang tertumpu ke arahku. Makin tidak selesa dibuatnya. Cuba kulawan dengan berpura-pura tenang menyenduk nasi goreng ke dalam pingganku. Kemudian tuang air ke dalam cawan, sebelum aku mula menjamah sarapan.Bila mereka berbual-bual, aku sedikit lega. Sekurang-kurangnya tidak lagi diriku diperhatikan.
Tiba-tiba seseorang menepuk lembut pahaku. Aku tersedar spontan menoleh.Mak long tersenyum ke arahku.
“Senyap aje Isya dari tadi. Kenapa?”
Aku terdiam, tersengih sumbing dan menggeleng kecil untuk menutup perasaan.
“Tak ada apa-apa.”
“Semalam mak long tengok Isya macam tak sabar nak jumpa Abang Mi. Ni, Abang Mi dah ada depan Isya. Kenapa tak bercakap apa-apa?”
Aku terdiam lagi. Terkial-kial mencari jawapan. Aduhai...
“Mi pun sama. Senyap aje dari tadi. Kenapa korang berdua ni?”
“Entah, dulu beria sangat rapatnya. Sampai tak boleh berenggang langsung dari Abang Mi tu.” Mama menambah.
“Itulah pasal. Dulu, jangankan arwah nenek. Kita sendiri pun tak tertangan dengan diorang berdua.” Along pula menyampuk, membuatkan mereka yang berada di situ tertawa nakal.Hangat wajahku.
“Manja Abang Mi...” Mereka terus mengusik.
“Haah... makan nak dengan Abang Mi, tidur nak sekali dengan Abang Mi, pakai baju nak sama warna dengan Abang Mi... menangis sikit, Abang Mi yang pujuk... sakit sikit, nak Abang Mi yang ubatkan. Orang lain dia tak nak...” Makin nakal suara yang kedengaran.
“Ni bila dah berjumpa balik, masing-masing senyap pulak!”
“Malulah tu.”
Berderai tawa mereka.Makin hangat wajahku, makin jatuh pandangan pada nasi di dalam pinggan. Ikutkan hati, mahu saja aku menyorok di mana-mana. Asalkan aku tidak diperdengarkan lagi dengan usikan-usikan mereka.
Sungguh, bila mengingati yang semua kenangan itu pernah kulalui bersama-sama lelaki bernama Shah di hadapanku ini, aku jadi tidak betah.
Selama ini dia lelaki asing yang baru sebulan kukenali. Selama ini juga, di mataku dia seorang lelaki yang sukar dijangka.Tapi bila waktu ini dia muncul di hadapanku sebagai lelaki yang pernah hidup denganku suatu masa dahulu...
“Tengok tu. Senyap lagi?”
Berderai lamunanku. Kuangkat wajah akhirnya, bertemu pandangan dengan Shah. Lelaki itu tersenyum nipis sebelum menoleh ke arah abah yang menyoal.
“Tak tahu nak cakap apa.”
Mereka tergelak nakal.
Shah terdiam.Wajahku pula semakin hangat.Ya Allah, tolonglah...
Shah menoleh semula ke arahku. Tersenyum nipis lagi, nampak teragak-agak.
“Abang dengar, Isya tengah belajar sekarang ni.” Aduhai... janggalnya bila dengar dia membahasakan diri begitu...
“Tahun berapa dah?” soalnya.Aku telan liurlagi, paksa diri ukir senyuman.
“Dua.”
Dia mengangguk faham.
“Okeylah tu. Tak lama lagi graduate.”
Aku mengangguk saja, tidak tahu apa yang harus kubalas. Bila menyedari tumpuan semakin berpusat ke arah kami, aku hanya mampu membisu. Terus menjamah.
Bila keadaan di dapur itu terus lengang, aku jadi makin tidak keruan.Tadi beria sangat bersembang sampai gelak terbahak-bahak. Sekarang ni?Janganlah disebabkan nak aku bersembang dengan Shah, korang buat aku macam ni. Tak adillah!
“Dah? Itu aje?” Along tiba-tiba memecah suasana.Pantas akuangkat wajah,mula geram dengan nadamenyakat yang ketara dalam suaranya.
“Habis tu?”
Along nampak nakal memandangku. Tapi sebelum sempat menambah, abah sudah terlebih dahulu menepuk bahunya.
“Sudah-sudahlah tu...lepas makan nanti pun boleh sambung.” Tenang nada, tapi aku tak tahu kenapa mereka yang lainnya ketawa penuh erti.Teruknya!

12 861 komen:

Audra Sazreena said...

Kan saya dah kata.. Shah ada kaitan dengan Abang Mi.. tapi Shah = Abang Mi? Hmmm... which means, Shah@Abang Mi dah tau siapa Isya sebenarnya masa di kampus?

Siti Hanisah said...

Hehehe... memang Shah dengan Abang Mi tu orang yang sama.

Shah tau ke sape Isya sebenarnya?
Ntahlah, saya pun xtahu nak jawab cane... huhuu

Audra Sazreena said...

Masa bab yang awal-awal tu ada mention pasal henfon Isya yang Abang Mi bagi pada dia.. so I wonder masa Shah tengok henfon tu, tak terdetik pun dalam hati dia ke Isya tu Isya yang dia kenal dulu?
Dorang tu sepupu kan.. mesti lama betul terpisah sampai tak perasan each other..
And lagi satu, dalam bab ni.. saya confuse sikit.. Shah ada call Isya .. time the rest of the family riuh rendah sambut abang Mi balik.. then lepas tu, terjumpa? Terkejut? Tak terkata? Hmm..
And kalaui betul masa kecik-kecik/zaman remaja Isya dan Abang Mi sangat rapat.. cemana Isya tak tau nama penuh Abang Mi?

Sorry.. benda2 macam ni keluar kalau tetiba saya buat critical thinking.. and cari logic.. ;)

Siti Hanisah said...

Oohh... haa... ok2. ad 4 point yg sy nmpak.

Yg psal terpisah lama, berjumpa n xknal, nama penuh abang mi dgn yang Shah call wktu org tgah riuh tu akan terjawab lepas ni. tunggu.

Yang pasal hadiah henfon tu... ok yang ni memang lambat skit. kat hjung cerita nnt baru akan dijelaskan, insyaAllah.

Xpe, soalan tu mmg mencabar tp sy suke. sebb sgt membantu utk sy berfikir lbih skit hehe.

Terima kasih tau.

Audra Sazreena said...

Sama-sama.... so mak Long Isya tu mama Shah yang Isya pernah cakap dalam telefon? Ohh confuse lagi... heheh

Siti Hanisah said...

Haha lawak la.
xpe citer ni panjang lagi. Akan diterangkan satu per satu insyaAllah. Xmuat nak citer sume dalam satu bab hehe. Takut makin serabut nnt.

Nor Zulaikha Zulkifli said...

No wonder la kalau suare mak syah ngan isya tu serupa. Adik beradik.. da dapat agak mase syah tanggal cermin mata depan isya dlm library. Cume mase tu ingat kan syah, abg mi and khairuru tu org y same. Hihi..

Safiah Ahmad said...

Eerrmmm...... Kalu suma org panggil guna nama singkat or samaran.... nama penuh memang tak dapek nk nolong eh.... Cm sepupu sy, asyik dipanggil Kechil..... Bila dia kawen baru tau nama dia Rashidah.... Ha ha ha

Siti Hanisah said...

Hah, hah. memang tu la maksud saya! saya pun ada sepupu. rapat dari kecik tapi sampai sekarang sy xtau nma penuh dia. yg sy tahu cume Lan. Lan ape, sy pun x dpt teka sampai sekarang. Hehe

Siti Hanisah said...

Haha. Betul2. Memang itu hint nye. Terima kasih sebab ingat part2 tu semua... :)

Nor Zulaikha Zulkifli said...

Mesti la saye ingat. 2, 2 novel awak pun saya suka Siti.. :)

yepi said...

wow! is wonderful. it's the inventor or very good and keep trying possibility. y8

juegos friv

friv yepi

Post a Comment

Assalamualaikum. Hai!
Terima kasih baca.
Cer komen sikit?

.

.