Sunday, 17 January 2016

Scarlet Cinta Bab 16 & 17

~BAB 16~

SEWAKTU semula di kawasan parkir perpustakaan, aku lihat kereta Zara dan Ika sudah tiada di tempatnya. Lega aku dengan keadaan itu. Tak menanti lagi, terus kubuka pintu kereta.
“Sebelum tu, Isya.”
Terhenti pergerakanku. Seperti biasa, Shah masih juga memanggilku di setiap kali aku mahu pergi. Tapi kali ini aku enggan bertelingkah banyak lagi dengannya. Lalu aku berpaling padanya, menyoal dengan pandangan.
Dia tidak segera menjawab. Hanya kelihatan dia mengeluarkan sesuatu dari beg duitnya sebelum dihulurkan padaku. Berkerut dahiku sebaik terpandang kad di tangannya.
“Tiket konsert?”
Dia angguk sedikit.
“Tapi saya bukannya minat konsert, Shah.”
Dia senyap. Serba salah pula kurasa, bimbang dia salah faham.
“Saya cuma dengar lagu waktu nak tenangkan fikiran aje, itupun lagu-lagu yang ringan.” Perlahan suara, sedikit teragak-agak. Aku angkat wajah, membalas pandangannya.
Band Diamond tu... rock, kan?”
Dia senyap juga. Perlahan-lahan kulepaskan nafas dalam.
“Baik awak bagi tiket ni pada orang lain, Shah. Cakaplah pada orang tu yang awak sibuk, tak dapat pergi konsert nanti. Tak adalah dia fikir yang bukan-bukan...”
“Tapi saya memang sengaja belikan tiket ni untuk awak.”
“Belikan?” Terkejut.
Dia mengangguk.
“Oh, maknanya ini bukan tiket awaklah?” tembakku makin terkejut. Belum sempat dia menjawab, aku segera menambah.
“Bukan ke tadi awak kata pada Zara yang awak tak boleh pergi konsert tu?”
“Saya memang kena pergi konsert tu, Isya. Wajib.”
Wajib? Tengah sibuk dengan FYP pun wajib lagi? Dia AJK konsert ke apa? Ke... ahli Diamond?
Ahli Diamond?
Kujeling Shah. Macam tak logik aje...
“Jangan fikir bukan-bukanlah.” Segera dia mencantas, bagai dapat membaca bebelan-bebelan benakku.
“Kalau ada orang tahu saya akan pergi konsert tu, habislah awak.”
“Kenapa?” Makin berkerut dahiku.
Dia tidak terus menjawab kali ini, sebaliknya mengukirkan senyuman penuh erti.
“Saya kan hot...”
“Hisy, perasannya!”
“Habis tu tadi kenapa beria sangat cemburu?” Bersama tawa dia mengungkit.
“Tadi tu...” Tergantung, kerana tidak tahu apa yang sesuai untuk kujadikan sambungannya.
“Tadi tu apa?” soalnya nakal, sengaja menjerat.
Aku ketap gigi sedangkan bibir tidak mampu menahan senyum. Dia pula nampak semakin nakal memandangku, menagih jawapan. Berpandangan kami sesaat dua. Shah angkat kening dan kemudian mengangguk-angguk penuh erti bila aku gagal membalas. Bagai merai kemenangan bila berjaya mengalahkanku.
See... memang saya hot, kan...” Perlahan ungkapnya. Bernada mencabar walau bibir masih tersenyum nakal.
Hot tapi kalau perasan pun tak ada maknanya,” bidasku.
“Sekurang-kurangnya ada orang yang nak, kan?”
“Eleh!” Serentak kubetul-betulkan beg di pangkuan, sudah tidak tahu bagaimana mahu mematikan hujahnya.
“Apa eleh? Tadi tu siapa yang marah sampai ugut nak pergi cari mamat Bangla?”
Aku angkat semula pandangan ke wajahnya. Bertembung anak mata sesaat dua. Penuh erti, sebelum kami akhirnya sama-sama tertawa. Hangat berbahang wajahku.
“Shah!” Sambil tangan menepuk beg di pangkuan, cuba melindungi hati yang malu.
Makin galak tawanya. Menyakatku yang jelas sudah tewas berdebat.
“Eii... ye la, ye la! Bagi sini tiket tu!” Terpaksa juga mengalah. Baru dia redakan tawa lalu menyua tiket padaku.
“Jangan tak pergi pulak nanti. Tiket VIP ni, mahal saya beli.”
“Siapa suruh belikan?” Masih cuba berlawan kata, sambil menyambut hulurannya. Kubelek sepintas lalu tiket itu. Sedikit keras kertasnya dan tertera nombor kerusi di situ.
“Ada surprise untuk awak.” Tenang suaranya.
“Tak ada maknanya. Kalau betul surprise, bagilah benda yang saya suka. Konsert ni awak sorang aje yang suka, Shah. Bukannya saya.”
“Tengok ajelah nanti...”
Aku senyap.
“Silap-silap nanti dia yang menangis...”
Aku segera mengangkat pandangan bila suara yang dia lontarkan kedengaran sedikit berlainan. Bertembung pandangan kami. Terangkat sedikit keningnya, penuh erti. Tapi raut wajahnya itu kelihatan sedikit misteri. Berdebar tiba-tiba kurasakan.
“Jumpa kat konsert nanti, sayang.” Dalam suaranya kali ini, makin menggetar perasaan.
“Err...” Gugup.
“Untuk orang yang saya sayang...” pintasnya, semakin dalam menatapku.
“Awak patut tahu diri sebenar saya.”
Aku terdiam.
“Sebelum kita berkenalan lebih jauh.”
Terdiam juga. Berderau darahku dengan tatapannya. Sinar matanya yang jelas menunjukkan kasih dan harapan itu membuatku hilang arah. Aku mengeluh halus, segera jatuhkan wajah. Tidak betah lagi berada di sini. Kutelan liur, cuba mengawal perasaan.
“Saya keluar dululah, Shah. Dah lambat ni, takut Ketua Harian bising nanti.”
Dia tidak menjawab, sebaliknya aku dapat merasakan dia tersenyum. Mungkin kerana melihat kegelabahanku.
“Jumpa kat dalam nanti.” Perlahan suaraku. Tanpa menanti lagi, aku tolak pintu kereta yang sudah tidak berkunci. Menapak keluar dan terus pergi dari situ bersama degupan jantung yang masih celaru rentaknya.
Dalam hati, terbit rasa syukur kerana dia akan sibuk bermula esok. Sekurang-kurangnya aku tidak perlu lagi bertentang mata dengannya. Dan bila dia jauh dariku, tenang sedikit hidupku. Tidak perlu aku tercungap-cungap mahu mengawal perasaan dek sikapnya yang selalu bertukar tanpa diduga itu.
Sungguh, bergegar jantungku bila menerima tatapannya yang sedikit luar biasa tadi. Masih terasa-rasa getarnya hingga ke saat ini.
Nampaknya aku sudah tersalah. Rupa-rupanya Shah bukanlah lelaki yang kaku terhadap wanita. Dia jauh lebih menggoda daripada itu. Bahkan sekarang ini, dadaku pula yang sesak hingga rasa sukar bernafas.

SEPERTI yang dirancang, Shah muncul di perpustakaan itu tidak lama selepas aku mengisi borang kedatanganku. Bersama-samanya, aku mengambil meja yang terletak di sudut paling hujung. Lebih privacy begitu.
Aku hubungi abah. Berbahasa sekadarnya saja sebelum masuk kepada tujuan asalku.
“Abah, sebenarnya Isya call ni sebab nak cakap pasal...”
“Shah?”
Aku terkelu, spontan bertembung pandangan dengan Shah. Dia yang seakan menyedari perlakuanku segera mengalihkan tumpuan dari buku yang sedang dibacanya. Terangkat keningnya, menyoal. Tapi aku tak mampu bersuara, hanya menggeleng kecil. Jatuh pandanganku pada meja.
“Mm... mana abah tahu?” Gugup.
Pecah gelak abah di hujung talian. Makin berdebar jantungku. Bermacam-macam andaian bermain dalam benak, dan semuanya sudah tentulah yang buruk.
“Isya.”
“Iya.” Aku betulkan dudukku di kerusi untuk mengawal resah.
“Isya dekat mana ni?”
“Perpustakaan.”
“Shah ada sama dengan Isya?”
“Hmm...” Perlahan suara, makin resah. Dan aku ‘mendengar’ abah tersenyum.
“Cuba tanya dia, siapa yang called abah petang tadi.”
Terdiam aku. Dengan dahi berkerut, hinggap semula matapada Shah. Tapi lelaki itu tetap tenang bahkan sudah kembali memberi tumpuan pada buku di tangannya.
“Dia yang call abah, ya.” Perlahan suaraku,buatkan abah ‘tersenyum’ lagi.
“Kali ni abah serahkan semua keputusan pada tangan Isya. Shah call mama tadi, nak bercakap dengan abah. Katanya, nak pinang anak dara abah ni kalau belum ada yang punya.”
Aku terdiam semula.
“Helo?”
“Iya...”
“Kenapa senyap?”
“Tak ada apa-apa...”
Abah tertawa kecil, penuh erti.
“Kalau dia boleh percepatkan, lagi bagus.”
“Abah tak kisah?” Teragak-agak aku memintas, dalam masa yang sama sedikit terkejut. Setahu aku, selama ini abah dan mama cukup tegas terhadap kami adik-beradik. Masakan mudah benar mereka bertolak ansur dalam soal yang terlalu besar ini.
Abah ketawa.
“Mula-mula memanglah kisah... sebab dia tiba-tiba aje muncul. Lepas tu, boleh pulak kata nak nikah waktu Isya cuti nanti. Mama yang tengah minum teh pun tersedak.”
“Mana tak tersedak? Dah orang bagitau benda mengejut macam tu!” Kedengaran sayup-sayup suara mama di hujung talian. Abah tergelak.
“Kami ni cuma risau... dia tergesa-gesa tu, ingatkan sebab dah jadi apa-apa pada Isya kat sana...”
“Eh, mana adalah!” pintasku laju. Macam manalah abah boleh terfikir sampai ke situ!
“Iya, abah tahu... dia dah terangkan tadi...”
Sekali lagi mataku hinggap pada Shah yang terus membisu di hadapanku. Selamba saja dia, tak langsung nampak gementar.
Pelik pula aku rasa. Biasanya lelaki cukup takut jika bercakap soal mertua. Lagi-lagi di waktu meminta izin untuk menyunting anak gadis orang. Tapi dia tidak pula kelihatan begitu.
Tak mampu kujangka, apa yang ada dalam fikiran lelaki itu.
“Shah dah terangkan semua pada abahlah, ya?”
“Iya... jadi sekarang, pandai-pandailah Isya nilai.” Lembut jawapan abah.
“Habis tu... Fariz...”
Pecah lagi tawa abah, kali ini lebih panjang. Seketika aku terdiam semula dengan hati yang resah. Biar betah abah ni... macam ada yang tak kena aje...
Selesai gelak yang panjang, abah melepaskan keluhan panjang. Penat barangkali.
“Itulah, gelakkan Isya lagi.”
“Bukan... cuma geli hati.”
“Isya serius ni, abah,” tekanku mula geram. Abah semacam menganggap aku ini budak hingusan saja. Sebab tu dia boleh tergelak sakan bila aku tiba-tiba bercakap soal nikah.
Eh, tapi semua ni bukan salah aku pun! Diorang yang beria sangat nak aku kahwin cepat. Sekarang ni dah ada calon, kira okeylah. Kenapa nak gelak-gelakkan aku pulak?
“Iyalah, abah pun serius ni.”
“Habis tu kenapa abah gelak-gelakkan Isya?”
Kedengaran lagi tawa abah, agak halus kali ini. Dapat kubayangkan, abah sedang menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Haihh... Isya... Isya...” keluhnya.
“Isya sepatutnya dah boleh fikir, siapa yang lebih bersungguh nakkan Isya.”
“Mmm?” Spontan terangkat tubuhku dari sandaran. Sedikit terkejut mendengarnya. Terus anak mataku tertumpu pada Shah.
Maksud abah...
“Iya.” Tenang kata-kata abah, menjawab soalan benakku.
Makin terdiam aku. Betul-betul sukar percaya. Shah yang terus tenang membaca itu kupandang tajam. Cuba menilai isi hatinya. Juga aku cuba menjangka isi hati abah. Menghitung-hitung, sama ada semua ini gimik atau apa.
“Mama memang tersedak bila orang yang entah datang dari ceruk mana tiba-tiba telefon kata nak pinang Isya. Sampai terbatuk-batuk mama, habis basah baju abah ni dibuatnya.”
“Abang.” Sayup-sayup suara mama. Abah ketawa mengusik, kemudian menyambung.
“Abah sendiri pun terkejut. Tapi lama-lama, bila dia perkenalkan diri dia... jelaskan satu-satu...” Berjeda sesaat.
“Rasanya lega dah kami ni. Dah bolehlah pindahkan tanggungjawab pada orang yang boleh diharapkan...”
Senyap juga. Ayat terakhir itu membuatkan darahku berderau.
“Dia memang tak pernah tunjukkan diri dia depan kami. Tapi bila dia berani tunjukkan kematangan dengan kesungguhan dia...sekurang-kurangnya abah tahu, dia boleh jaga anak abah ni nanti.”
Makin berdebar jantung di dalam. Shah pula bagai mendengar apa yang disebutkan abah. Dia angkat pandangannya dari buku, membalas pandanganku. Serius dan dalam, buatkan aku makin tidak betah. Segera kularikan anak mata, pura-pura tenang.
“Habis tu, abah... Fariz macam mana? Kan kita dah rancang semua tu?” Perlahan suaraku.
“Fariz tu terpaksa aje sebenarnya. Kakak dia dengan angah Isya tu punya rancangan. Mama dengan abah ni nak tak nak terpaksalah mengikut. Orang dah beria sangat, nak buat macam mana lagi. Sebab tu sampai sekarang Fariz langsung tak tunjuk muka depan kami ni. Bertanya khabar lagilah tak.”
Aku senyap, begitu juga abah. Lengang talian untuk seketika sebelum abah mengeluh panjang.
“Fikir sudah-sudah, Isya. Ini soal masa depan. Anak abah ni dah besar, patut dah boleh fikir sendiri. Abah dengan mama cuma boleh perhati dari jauh aje sekarang. Kalau ada apa-apa yang kurang berkenan, abah bagitau. Tapi nak memaksa Isya ikut... memang payah sikitlah. Anak-anak sekarang ni bukan macam anak-anak zaman dulu...”
Aku senyap juga.
“Katanya kalau boleh nak menikah lagi dua minggu, ya?” Mesra sedikit nada abah kali ini.
“Err... mmm...” Perlahan suaraku.
“Tak apalah kalau gitu.” Senyap sesaat.
“Dia pun kata nak bawa orang tua dia jumpa kami nanti. Kita bincang semuanya waktu tu ajelah.”
“Mmm...” Mengangguk.
“Dah nak kahwin rupanya anak abah ni...”
Aku hanya mampu tersengih dalam rasa malu.
“Tak apalah, Isya. Abah dengan mama terima aje...”
Hampir terlepas keluhan lega dari bibirku. Alhamdulillah...
“Tapi jangan pula sia-siakan kepercayaan kami ni.” Sedikit tegas kali ini, memaksa aku berpijak di bumi nyata.
“Erkk... okey, bah.” Mengangguk sekali.
“Jaga diri baik-baik. Awak tu belum sah lagi dengan dia.”
“Ye... Isya faham...” Sedikit sayu kali ini.
Sudah lama aku tidak mendengar nasihat dari abah. Selama ini aku lebih banyak berbual dengan mama. Tak sangka atas nama mahu bernikah, akhirnya abah berlembut hati juga dengan anak bongsunya ini.
Sudah tentulah aku terharu.

 *******








~BAB 17~

SELESAI berbual dengan abah,aku hanya mampu termenung sendirian. Jauh kutatap Shah sambil cuba mengerti fikirannya. Tapi setelah beberapa waktu, aku tetap gagal membaca akalnya. Diapula bagai tak sedar langsung perlakuanku. Tetap juga dia tumpukan perhatian pada buku di tangannya.
“Awak dah bercakap dulu dengan orang tua saya, Shah,” tuturku akhirnya.
Dia tidak mengangkat pandangan dari buku. Hanya sebuah senyuman terukir di bibir.
“Kenapa tak tunggu saya?”
“Itu hal lelaki, takkan awak nak dengar.” Acuh tak acuh jawapannya.
“Memanglah... tapi awak tak tahu mak ayah saya tu jenis yang macam mana.”
Dia senyap.
“Mujur awak tak tersalah cakap. Kalau tak, sia-sia aje awak kena reject, Shah.”
“Tak sanggup kehilangan saya?”
Aku terbungkam. Shah angkat wajahnya sambil menolak kaca mata yang sedikit terlucut. Selamba dia angkat kening, menyoalku dengan senyuman nakal.
Aku terdiam lagi, terjerat dengannya. Makin nakal senyuman di bibirnya, membuatku hilang arah. Cepat-cepat aku kawal hati yang gelabah.
“Jangan buat muka macam tulah, Shah.”
“Kenapa?” Makin nakal.
Aku mencuka, berpaling dari wajahnya sambil menyandar tubuh di bangku.
Dah kahwin nanti baru buat macam tu! Hati membentak. Geram, kerana dia tak sudah-sudah menjadikanku hilang arah.
Shah tertawa kecil. Aku menjelingnya. Dia menggeleng-geleng sambil menutup buku.
“Saya lelaki biasalah, Isya.”
“Sebab lelaki biasalah saya tak bagi awak buat muka macam tu.”
“Oh, seksi ya?” Serentak kerlingan nakalnya hinggap padaku.
Mencerlung pandanganku ke wajahnya.
Dia tertawa lagi, menyakat. Aku yang makin tak tahu bagaimana mahu mengawal hati, akhirnya terpaksa melepaskan keluhan berat. Pura-pura kuselak buku di atas meja.
Nampaknya ini cara terbaik untuk mengelakkan eye contact antara kami. Cukuplah. Dada aku dah terlampau sesak dibuatnya. Ada saja kelakuannya yang buat aku tak senang duduk.
“Balik pada topik asal.” Serius suaraku tanpa mengangkat pandangan dari buku.
Dia senyap, tapi ekor mataku dapat melihat senyuman yang masih tersungging di bibirnya.
“Kenapa awak call dulu orang tua saya, Shah? Tak nak tunggu saya bagitau apa-apa pasal diorang?” Aku kembali pada topik utama.
“Apa yang saya patut tahu?”
“Mak ayah saya tu cerewet.”
Dia tidak terus menjawab soalanku, sebaliknya tersenyum sendiri dan kembali memberi tumpuan pada bukunya.
“Saya tahu.” Tenang.
Berkerut dahiku.
“Semua mak ayah macam tu.”
Aku senyap, menanti dia meneruskan. Kerana aku memang benar-benar mahu tahu, mengapa dia terlalu berani menghubungi orang tuaku tanpa terlebih dahulu memberiku ruang bercerita tentang mereka. Aku fikir, bila dia telah tahu serba sedikit tentang bakal mertuanya, dia boleh bersiap sedia dengan sebarang soalan.
“Tapi rasanya, kalau awak bagitau setiap pantang larang keluarga awak... mungkin saya akan jadi lebih takut nak bercakap dengan orang tua awak, Isya.” Dia menambah.
Aku terdiam kali ini. Mula merasakan Shah serius dalam berkata-kata.
“Bukan senang orang tua nak lepaskan anak perempuan yang dah susah-payah dia besarkan selama ni. Pada orang yang betul-betul dia percaya aje berani dia pindahkan tanggungjawab seberat tu.”
Aku terdiam lagi.
“Saya tak nak tahu betapa cerewetnya mak ayah awak. Yang saya tahu, saya akan cuba minta mak ayah awak percayakan saya. Itu aje pun dah cukup susah rasanya.”
Diam.
“Lagipun saya takut, kalau awak ada depan saya... makin berdebar jadinya. Silap-silap nanti habis berterabur semuanya, Isya.” Ada tawa kecil di hujungnya.
“Cukuplah kalau saya jadi diri sendiri.”
Dan aku terus-terusan terbungkam. Dalam diam, hatiku benar-benar tersentuh dengan kematangan yang dia pamerkan. Daripada tutur katanya yang teratur itu, aku dapat rasakan dia benar-benar sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai pelindungku.
Aku pula yang rasa lapang mendengarnya. Beruntungnya aku kerana dipertemukan dengannya. Sekurang-kurangnya aku tahu, dia boleh diharapkan sebagai tempat aku bersandar.
Ya, aku tahu aku tidak tersalah membuat keputusan kali ini.
Tersungging senyuman nipis di bibirku, syahdu. Tapi enggan kubiar Shah sedar apa yang sedang kurasa ini lantas kuberanikan diri memandangnya.
“Mana awak tahu nombor phone mak saya, Shah?”
Dia mengerlingku sekilas.
“Minggu lepas, waktu awak nak pulangkan phone pada saya.”
Aku terdiam kembali.
“Sebenarnya waktu tu lagi saya dah terfikir nak berterus-terang dengan awak, Isya. Tapi terpaksa tangguhkan dulu sebab masa tu kita belum berbaik lagi.”
Aku diam.
Phonenumber mak awak tu saya hafal. Mujur senang aje nak ingat.”
Aku senyap, agak kagum mendengarnya. Sungguh, tak kujangka langsung perkara sebegitu boleh berlaku. Terimbau-imbau di benakku peristiwa di taman berhampiran kafeteria tempoh hari. Juga ‘lamaran’ tak rasmi yang dia hulur padaku.
Patutlah waktu itu dia adamengugut mahu menghubungi mama...
“Sejak bila awak mula terfikir nak serius dengan saya?” soalku lagi.
“Sejak awak ajak saya jadi partner.”
Aku terdiam. Maknanya dah dekat sebulanlah?
“Waktu tu saya dah mula rasa, awak jujur dengan diri sendiri.”
Aku terdiam juga, tapi kali ini kata-katanya tidak mampu kufahami.
“Dulu saya cuma pandang awak dari jauh, Isya. Tak berani nak dekat, sebab awak nampak tenggelam dengan dunia awak sendiri.”
Berkerut dahiku mendengarnya. Dan dia mengangguk bersama senyuman penuh erti.
“Belajar, belajar, belajar. Tak ambik tahu pun benda lain. Skema namanya tu, tahu?”
Aku mencebik.
“Sesuka hati awak aje tuduh orang skema. Awak tu pakai spec, tak skema pulak?”
“Tapi saya tetap hot.” Langsung tak mahu kalah!
Aku ketap gigi bersama bibir yang gagal menahan senyuman.
“Shah,” panggilku geram.
“Iya, sayang...” sahutnya romantis, mencairkan hati sesiapa saja yang mendengar.
Disebabkan mahu mengawal hati di dalam, aku semakin kejap mengetap gigi. Tapi dia kelihatan semakin nakal bahkan mengenyit mata padaku. Hangat wajahku, gagal juga akhirnya melindungi perasaan.
“Sudahlah! Penat saya layan awak ni!” Lantas aku bangun dari kerusi. Dia tertawa.
“Nak ke mana?”
“Susun buku.” Ringkas tanpa menoleh.
“Tunggulah dulu.”
“Kita dah berbincang dengan keluarga, kan?”
“Saya memang dah.”
Serta-merta terhenti tanganku yang menolak kerusi ke bawah meja. Aku pandang wajahnya.
“Awak yang belum.”
“Mmm?” Berkerut dahiku, sementara dia tersenyum penuh erti.
“Giliran awak bercakap dengan mak saya.”
“Hah?”
Pecah tawanya. Aku telan liur. Macam mana aku boleh tak teringat langsung ni?
Tanpa diminta, dahi mula dibasahi peluh. Aku kembalikan tumpuan pada Shah.
“Saya takutlah, Shah.” Perlahan suaraku. Dan dia tersenyum lagi.
“Mak saya yang beria sangat nak bercakap dengan awak, Isya.”
Aku terdiam.
“Cakaplah... sekejap aje pun tak apa...” Seakan memujuk, sambil tangannya mula mengeluarkan telefon bimbit dari poket jeans.
“Tapi saya tak tahu nak cakap apa...”
“Tak apa, mak saya okey. Lebih kurang macam mak awak, Isya. Suara pun nak dekat sama.”
Aku membisu. Langsung tak percaya dengan apa yang dia katakan. Mustahil suara boleh sama. Kalau nak menipu pun biarlah logik sikit!
“Waalaikumussalam.” Tenang suara Shah, memusnahkan suara-suara resah dalam hati aku. Dengan rasa terpaksa, aku tarik kerusi dan duduk semula di hadapan Shah. Hanya kupandang bila dia berbual mesra dengan wanita yang sedang di hujung talian itu. Semakin tidak selesa. Berdebar, takut, gementar. Semuanya berbaur. Ya Allah...
Kalau mama dengan abah boleh terima Shah, tolonglah...
“Isya.”
Berderai lamunan. Shah menghulur telefon bimbitnya padaku. Aku terdiam, telan liur. Menggeleng sedikit pada Shah.
“Takutlah, Shah...” Perlahan, hampir kepada bisikan. Dia tersenyum lembut.
“Sekejap aje, Isya. Mak saya tengah tunggu ni.”
Aku diam, pandang semula telefon bimbit di tangannya. Telan liur lagi. Teragak-agak aku sambut hulurannya. Sedikit menggeletar. Telefon kubawa ke telinga.
“Assalamualaikum...” Perlahan, entah mampu didengari pihak sebelah sana entah tidak.
“Waalaikumussalam... Farisya, ya?”
Aku tersentak. Mama!
Spontan bertembung anak mata dengan Shah. Dia sedang tenang menatapku. Aku terdiam, jatuhkan semula pandangan ke meja.
Betul apa yang dikatakan Shah. Memang suara wanita ini mirip mama. Terlalu mirip.
“Helo?”
“Hh... helo...” Teragak-agak aku menjawab, buatkan wanita itu tertawa halus.
“Kenapa senyap aje?” Mesra.
“Tak... tak ada apa...” Aku tersengih sumbing. Menggeleng kecil di dalam debar.
“Jadi inilah pilihan Shah, ya?”
“Tak...”
“Hah?”
Duh, aku dah tersalah cakaplah!
“Eh... err... tak... err... iya...”
Wanita itu terdiam. Aku makin hilang arah. Berpeluh-peluh dahi. Ya Allah... tolonglah!
Tiba-tiba kedengaran tawa Shah. Beralih tumpuanku. Dia sedang menggeleng-geleng, seakan terlalu lucu dengan sesuatu. Aku tajamkan pandangan padanya.
“Jangan kalut sangatlah, mak saya tak makan orang pun!”
Aku tunjukkan penumbuk padanya, memberi amaran. Tapi dia bukannya senyap, sebaliknya makin kuat tergelak.
Beberapa perhatian tertarik ke arah kami. Baru dia sedar kami masih di perpustakaan. Segera dia kawal tawa. Tangan kanannya melindungi mulut, tertahan-tahan. Kepala tergeleng-geleng.
Hangat hati aku melihatnya. Mentang-mentanglah dia dah lepas, sesuka hati aje gelakkan orang! Bertuah betul!
“Helo?” Lembut suara di hujung talian. Aku tersedar, menggelabah.
“Erkk... iya... saya ni.”
“Bising aje auntydengar. Shah yang gelak tu, ya?”
“Haah...”
Wanita itu tertawa kecil.
“Dah lama aunty tak dengar dia gelak macam tu. Apa yang seronok sangat?”
“Tak tahulah, aunty. Dia memang macam tu, suka sakat orang.” Laju saja aduanku terpacul. Tidak lagi tergagap-gagap. Mungkin sebab bengang dengan anak terunanya itu.
Kujegil mata pada Shah yang sedang berusaha mengakhirkan tawa. Tersandar dia sambil menggosok-gosok dada. Penat agaknya terlalu banyak menggelakkanku. Kemudian bila pandangan kami bertemu lagi, tawanya yang bersisa itu berderaian semula. Bengkak hati aku dibuatnya!
“Nakal Shah tu rupanya, ya. Patutlah tak sabar-sabar nak kahwin.”
Perhatianku kembali pada wanita itu.
“Macam tulah agaknya, aunty.” Perlahan. Aku sudah tidak tahu apa lagi yang patut dijawab. Wanita itu tersenyum lagi.
Midterm break nanti, ya? Tak apa, nanti aunty ajak uncle balik Malaysia. Kita jumpa nanti, ya?”
Aku terdiam. Balik Malaysia? Oh, maknanya sekarang orang tua Shah kat luar negara? Patutlah mak Shah kata tadi, dah lama tak dengar Shah gelak besar macam tu. Padahal kalau dengan aku, sampai dah naik penat aku dibuatnya. Tak habis-habis disakat.
Tapi perkara itu hanya kudiamkan dalam hati.
“Ya... insya-Allah, aunty...”
“Cuba passkan kejap phone tu pada Shah, sayang. Aunty nak bercakap sikit dengan dia.”
Sejuk hatiku mendengar kalimah sayang yang dia gunakan. Tulus saja bunyinya.
“Okey.” Lembut suaraku membalas kemesraannya. Pantas aku hulurkan semula telefon bimbit pada Shah. Shah tenang menyambut. Beralih saja objek berwarna hitam itu ke tangannya, aku terus lepaskan nafas lega. Telapak tangan yang berpeluh kutekap-tekap pada pipi, cuba dapatkan haba.
Shah tergelak lagi. Aku menjelingnya tajam. Dia menggeleng-geleng bersama tawa yang bersisa.
“Tak ada apa. Farisya takut bercakap dengan bakal mak mertua.”
Aku mencebik. Menyampah!
“Haah. Okey...” Tenang Shah menjawab, mengangguk kemudiannya.
Dia bisu sesudah itu. Ibunya sedang berbicara di hujung talian. Shah mengerlingku sekilas. Barangkali wanita itu sedang berkata sesuatu mengenaiku. Berdebar pula kurasakan. Entah apalah yang dikritik wanita itu.
Kuusap-usap pipiku. Shah mengerlingku lagi. Kali ini ada senyuman penuh erti di bibirnya, sebelum dia mengenyit mata penuh erti, buatkan aku terdiam.
Beberapa ketika kemudian, perbualan dengan orang tuanya berakhir. Aku senyap, menanti dia memulakan kata.
“Mak saya kata awak terlampau menggelabah.”
“Habis tu?” Cemas sedikit.
“Habis tu?” Bertukar nakal senyuman di bibirnya.
Aku berdecit.
“Awak kalau bercakap straight aje boleh tak? Penatlah saya asyik kena buli aje dengan awak, Shah!”
Pecah tawanya. Geram aku melihatnya. Dahlah aku tengah gelabah ni. Dia boleh lagi nak main-mainkan aku. Menyampahnya!
“Tak... tak ada masalah...”
“Tapi?” pintasku bila terasa ada yang tidak kena dalam suaranya. Berkerut dahinya.
“Kenapa ada tapi pulak?”
“Ye la, mak awak tak ada kata apa-apa dah lepas tu?”
Dia tersenyum, penuh erti.
“Kalau ada pun cuma untuk saya... awak okey, mak saya suka...” Tulus bunyinya.
Terus aku mengangguk kelegaan. Ya Allah...
“Awak nak balik dengan saya, Isya? Saya boleh tunggu sampai awak habis bertugas.” Dia mengubah topik.
Aku menggeleng.
“Kenapa?”
“Saya boleh balik sendiri.”
“Bahayalah.”
Aku terdiam. Wajahnya kupandang, agak segan untuk memberitahu.
“Awak tak rasa apa yang saya rasa, Shah?”
“Rasa apa?” Berkerut dahinya.
Aku diam sesaat. Telan liur, kemudian mengeluh halus.
“Bila awak ada dengan saya, Shah... sebenarnya saya selalu rasa tak senang duduk. Saya takut kalau kita selalu berdua-duaan, nanti tak mampu kawal diri, Shah.”
Dia senyap.
“Lagipun kita dah nak kahwin. Makin lama, makin susah nak jaga. Perasaan tengah tak menentu sekarang.”
Senyap lagi.
“Awak tak rasa macam tu?”
Dia senyap juga, tapi sesaat kemudian tersungging senyuman penuh erti di bibirnya.
“Rasa...” Lembut.
Aku diam.
“Sebab tu saya selalu ajak awak bersembang. Sebab kalau sunyi, akal akan mula melayang fikir yang bukan-bukan.”
Aku diam juga, faham pada apa yang dia cuba sampaikan. Tapi aku masih belum mampu untuk akur pada kehendaknya. Kulepaskan dengusan halus.
“Saya tahu awak risau saya berjalan sorang-sorang waktu malam macam ni. Tapi kalau balik dengan awak, saya lebih risau, Shah.” Perlahan suara, cuba mengharapkan pengertiannya.
Dia senyap semula.
“Kita tak mampu jangka hati kita. Bila-bila aje boleh berubah, lebih-lebih lagi perempuan macam saya ni.”
Senyap juga. Aku kerling wajahnya.
“Awak faham, kan?”
Dia senyap, tapi sesaat kemudian ada anggukan kecil terzahir darinya. Tersenyum nipis. Kubalas senyumannya, lega bila dia mengerti.
“Tak apa, jangan risaukan saya. Saya dah biasa balik sorang-sorang.”
“Kalau ada apa-apa nanti call saya.”
Aku tersenyum lagi tanda akur.
“Terima kasih, Shah. Ambil berat diri saya.”
Dia juga tersenyum sambil mula bangun dari kerusi.
“Ambil berat ada makna sebenarnya.” Penuh erti, membuatkan wajahku berbahang.

TIDAK lama selepas pemergiannya, aku mula menjalankan tugasku untuk malam itu. Tapi sebentar saja duniaku sepi. Tidak lama menyusun buku di rak, telefon bimbit bergetar, tanda ada sebuah pesanan ringkas masuk.
Dari Shah. Aku sedikit tertanya-tanya lantas membacanya.
Jumpa lagi, sayang.
Aku terdiam. Tanpa mampu dikawal, bibir mengukir senyum. Menggeleng-geleng kecil. Aku faham apa yang sedang dirasakan Shah, kerana aku juga sedang melalui perasaan yang sama.
Selepas ini kami tidak akan bertemu selama seminggu. Jauh di dalam hati, rasa rindu itu sudah mula terbit. Lantas kubalas SMS darinya itu.
Jumpa lagi.
Sesudah itu telefon bimbitku tidak lagi bergetaran. Dia tidak membalas SMSku. Aku faham, dia enggan membiarkan perasaannya melalut.
Sepertimana diriku, aku pasti dia juga begitu. Semakin pasti yang kami bakal disatukan, semakin susah dan payah rasanya untuk mengawal hati di dalam.

Ya, terlalu susah. Dan kami perlu juga sedaya-upaya membendungnya. Maka perpisahan selama seminggu ini bagiku merupakan jalan terbaik. Walau hati terseksa rindu, tak mengapa. Biar rindu itu kami lepaskan setelah punya ikatan yang sah nanti.

**********************************************************************

Tetttt....... (Siaran tergendala)

Assalamualaikum. Hai!

Hari ni saya bagi extra, terus dua bab. Bab 12 dengan bab 13.

Sebabnya, saya nak stop dulu untuk sementara.

Untuk beberapa minggu ni, saya tak akan wujud kat sini. Sebab ada beberapa hal. Sibuk sikit, dah hujung sem.

Lepas tu akan balik kampung, insya-Allah. Kat kampung nanti tak ada wifi. CC serius jauh dari rumah. Kena meredah jalan raya tu semua. Saya ni pulak spesies yang fobia pada jalan raya. So tak ada sebarang lesen memandu (sila jangan gelak).

Encik Driver pulak belum tentu free. Jadi, memang tak boleh nak buat apa-apalah. Hehe...

Sorry...

Dalam bulan Februari nanti baru akan balik sini, insya-Allah. Jadi kenalah bersabar sampai saya update bab seterusnya (kalau ada yang dah jatuh cinta kat Shah la...).

Okey...

Hah, sebelum tu.

Dah 13 bab ni kan?

Jom main teka-teki sikit nak?

Setakat ni, ada tak sesiapa yang boleh agak atau syak, siapa sebenarnya Shah?

Sebenarnya dari bab 1 sampai bab 13 ni, banyak jugak sebenarnya hint yang saya dah bagi. Tapi tak tahulah ada yang perasan ke tak.

Manatau, kalau-kalau kat sini ada yang ada instinct macam Detective Conan ke... haha. Ada tak? Ada tak? Boleh drop comment kat bawah ni.

Tapi kalau belum ada lagi yang boleh agak, takpe... Akan terbongkar kemudian rahsia Shah. Hehe.

Okey...

Jumpa lagi. Assalamualaikum. J

11 861 komen:

Safiah Ahmad said...

Aduh....dahla sy memang tunggu update citer nie hari hari... Februari????? Lama tu.... Parah, Parah.

Siti Hanisah said...

Hehe...

Tak boleh nak elak.

Tapi nanti, kalaulah En Driver sy tu free, sy cuba mintak tolong dia bawak g CC. Saya cuba usahakan update, tapi tak janjilah.

Rindu-rindulah pada Shah tu hehe..

Tyara Sakura said...

Saya akan tetap menanti syah. Sabar , sabar.
Syah tu abang mie tu ke? And dia ada kena mengena dengan band diamond tu ke?

Anonymous said...

saya rasa syah tu sebenarnya abg kimi.. betul tak??

baby mio said...

Lama tu nanti rindu kat shah.

Anonymous said...

shah tu gitaris tu kan..

dia tu ada hubungan dgn Prof err apa ke namanya tu..hehe

adik beradik dgn kimi kot

SYA said...

best nye cerita nie.....

Siti Hanisah said...

Tq ;)

Siti Hanisah said...

Untuk tekaan yang ni, akan terjawab nanti. Tunggu tau! ;)

Luxury Indian Train Tours said...

Thanks for sharing..Eastern Voyage Pvt. Ltd. is one of the leading Travel Agents & Tour Operators in India with branch & associate offices all over India and in Nepal.
Luxury Indian Train Tours

Travel Agents in Odisha said...

Thanks for sharing...Eastern Voyage Pvt.Ltd. offers the complete guide of tourism of Tribal in Odisha and Chhattisgarh. We are specialists in worldwide travel and tourism Odisha tour and admired highly for its quality services.
Travel agents in Odisha

Post a Comment

Assalamualaikum. Hai!
Terima kasih baca.
Cer komen sikit?

.

.