Friday, 15 January 2016

Scarlet Cinta Bab 12 & 13

~ BAB 12 ~

KETIKA kereta yang dipandu Shah memasuki kawasan kampus, hujan sudah reda sepenuhnya. Suasana juga benar-benar lengang, semua penghuni sudah hanyut dalam lena.
Sama juga dengan aku dan Shah yang di dalam kereta ini. Masing-masing membisu sejak tadi. Entah mengapa, tiba-tiba seperti tiada perkara untuk dibualkan. Dan bila dia mematikan enjin kereta di kawasan parkir itu, dalam kesenyapan yang sama juga aku membuka pintu kereta.
“Sebelum tu, Isya.”
Terhenti tanganku, tertarik perhatian padanya. Kututup semula pintu kereta.
Dia tidak segera menjawab sebaliknya keluar dari kereta. Aku yang tak mengerti itu hanya membisu. Ikut keluar dari situ dan mendapatkan dia yang mula menyelongkar boot.
Terbeliak biji mataku bila terpandang isi di dalam boot itu. Lantas mataku beralih pada lelaki itu yang masih sibuk mencari.
“Hak awak semua ni?”
Dia mengangguk kecil, acuh tak acuh.
Aku membisu, kembali pandang boot yang penuh dengan pelbagai keperluan peribadi itu. Cuba kuagak aktiviti hariannya. Berdasarkan buku-buku, beg pakaian dan segala perkakas lain yang nampak pelik di mataku itu, tidak dapat kubayangkan betapa padatnya jadual dia.
“Dah tahun akhir ni memang sibuklah memanjang. Kadang-kadang sampai tak sempat nak makan.” Tenang ujarnya, menarik perhatianku. Dia hulurkan sebuah buku catatan.
Berkerut dahiku lantas memandangnya semula.
“Awak belum habis study, kan?” duganya.
Aku terdiam. Dan dia tersenyum dengan reaksiku.
“Orang workholic macam awak ni senang aje saya baca. Selagi tak habis study, penat macam mana pun awak takkan tidur. Kan?”
Aku terdiam lagi. Dan dia sekali tersenyum nipis. Diangkat keningnya penuh bersahaja, sua buku itu padaku.
“Dalam ni ada nota. Mungkin boleh tolong awak sikit-sikit.”
Makin terdiam aku, kali ini benar-benar sukar percaya. Shah catat nota? Setahu aku, selama ni dia ke kelas hanya dengan sehelai kertas A4 dan sebatang pen. Itupun dalam kelas dia cuma termenung ke luar tingkap. Earphone menyumbat telinga. Bila pula masanya dia mencatat?
Teragak-agak aku menyambut pemberiannya.
“Tapi buku ni cuma terangkan konsep, Isya. Saya dah mudahkan, biar senang faham.” Dia menambah. Bila aku diam, dia meneruskan.
“Untuk kiraan, saya tak fikir awak boleh catch up kalau study last minute.”
Aku terdiam juga, makin keliru dengan tutur katanya. Dia tidak langsung kelihatan seperti pelajar yang pernah mengulang.
“Terima kasih, Shah.” Perlahan aku ungkapkan.
Dia tersenyum nipis. Boot kereta ditutupnya sebelum kembali memandangku.
“Malam ni tak payah study teruk-teruk. Test esok malam, jadi esok pagi aje sambung study. Boleh?”
“Kadang-kadang awak ni macam stalker pulak, Shah,” balasku dalam tawa kecil, buatkan keningnya terangkat sedikit bagai tertanya.
“Semua benda awak tahu.” Aku menjelaskan. Dan dia akhirnya tersenyum penuh erti. Berpeluk tubuh lalu bersandar di boot, menghadapku.
“Tak payah jadi stalker. Awak sendiri yang bagitau semua tu pada saya.”
“Mmm?” Berkerut dahiku.
“Mmm...” Dia mengangguk sedikit.
“Minggu lepas, waktu awak tanya pasal assignment. Bila saya kata belum siap, awak mengamuk. ‘Awak ingat awak sorang aje ke yang sibuk, Shah! Saya ni assignment berlambak nak kena siapkan. Rabu depan pulak ada test. Bapak punya susah Thermo tu. Sibuk saya ni berking kong-king kong lebih besar dari awak, Shah. Awak tahu tak!’”
“Ye ke saya ada cakap macam tu?” Pecah gelakku.
“Mana saya tahu. Yang saya dengar macam tulah, tak tahulah pulak kalau ada jin dalam badan awak masa tu.”
Aku tergelak lagi, malu bila mengingati hal itu. Teruk rupanya ayat aku bila tengah bengang.
“Marah sayang agaknya awak masa tu. Saya tak sampai hati nak balas balik, sebab sayang juga.”
Aku segera mengakhirkan tawa. Hangat wajah bila mendengar kata-kata itu, lebih-lebih lagi bila menyedari cara pandangannya yang sudahpun berbeza. Segera kukawal hati yang bergetaran.
“Kalau saya tak marah, awak akan ulang lagi perangai yang sama. Bila nak lulus kalau macam tu.” Lembut suara tanpa mampu dikawal.
“Saya tahu.” Tenang jawapannya.
“Jadi sekarang, buku ni tanda perhatian saya pada awak. Adil, kan?”
Aku tersenyum lagi. Mengangguk. Itu saja yang mampu, kerana hati di dalam sudah berkembang-kembang mekar. Bijak dia mengambil hatiku.
Mekar senyuman di bibirnya dan dia mengangguk sekali. Aku senyap membalas tatapannya. Dia nampak kacak di mataku walau rambutnya masih basah. Berjuntaian di dahi begitu membuatkannya kelihatan lebih menawan di mataku. Menggetar perasaan di dalam...
Tiba-tiba dia mengeluh berat, segera menyedarkanku. Dia bawa pergi anak matanya, membuatku keliru.
“Kenapa, Shah?”
Dia menggeleng, tapi aku tahu ada sesuatu yang dia sembunyikan. Dia telan liur sambil mengusap sedikit belakang tengkuknya. Tersenyum sinis untuk diri sendiri.
“Tak tahu kenapa tiba-tiba jadi susah macam ni. Sebelum ni, bersembang macam mana pun tak apa.”
Berkerut dahiku, kurang faham. Mungkin sedar reaksiku, dia mengerling.
“Dah mula susah nak kawal diri.”
Aku terdiam.
“Mungkin sebab kita dah saling tahu perasaan kita...” keluhnya. Diusap-usap lagi belakang tengkuknya.
Serba salah pula kurasa. Memang berdua-duaan begini amat bahaya untuk kami. Dalam keadaan malam yang berangin sepoi-sepoi bahasa begini, baru lepas hujan, masing-masing kedinginan pula... mustahil tidak bergegar iman. Aku sendiri hampir hanyut tadi.
“Kalau macam tu saya pergi dululah, Shah.”
Dia terdiam menatapku. Nampak seperti berat pula untuk menyudahkan perbualan ini. Tapi di dalam satu keluhan, dia mengangguk juga.
Aku tak menunggu lagi. Segera beredar dari situ.
“Isya,” panggilnya sebelum sempat aku menjauh, membantutkan langkahku lalu berpusing. Menyoal dengan pandangan.
“Simpan ni.” Dia hulur telefon bimbit padaku.
Terdiam aku.
“Hak awak. Memang selamanya hak awak walaupun selama ni saya yang pegang.”
Aku terdiam lagi. Keliru dengan kiasan itu.
“Simpan.” Dia menghulurkan lagi.
Dalam perasaan berbaur aku menyambutnya. Terbayang-bayang segala memori kami. Seakan telefon ini memang tercipta untuk jadi penghubung antara kami.
“Saya nak phone ni selama-lamanya ada dengan awak, Isya. Jangan pernah pulangkan lagi pada saya.”
Aku angkat wajah, balas pandangannya.
“Boleh?” Jelas terlihat kesungguhan di situ. Akhirnya aku mengangguk dalam rasa syahdu, buatkan dia tersenyum lapang. Semakin redup tatapannya.
“Jumpa esok, sayang.” Romantis.
Bagai mahu melompat keluar jantungku! Tapi segera kukawal hati lalu mengangguk. Dia tersenyum lagi, menampakkan lekuk di pipi kirinya. Berkocak perasaanku. Ah!
Aku tak menunggu lagi. Cepat-cepat pergi dari situ!

SUASANA kelam menyambutku ketika aku tiba di bilik. Liza masih belum pulang. Entah di manalah dia sekarang. Ikutkan hati, mahu saja kuhubungi dirinya, bertanya keadaan.
Tapi dalam masa yang sama aku rasa tak wajar pula. Dalam waktu-waktu begini, biasanya dia enggan diganggu. Akhirnya kubiarkan saja dia. Bila reda rasa sakit dalam hati nanti, pasti dia sendiri yang akan ‘mengembalikan’ dirinya dalam dunia ini.
Selesai menukar pakaian, aku duduk di birai katil. Menyelongkar beg kuliahku yang basah. Buku-buku juga sudah sedikit lembab. Nampaknya perlu dijemur esok.
Kubelek-belek sebuah buku rujukan sebelum terhenti pada satu halaman. Sekeping nota yang diberikan Shah sewaktu di perpustakaan tadi terselit di muka itu. Kuambilnya, kuperhati gambar alien yang hodoh itu tanpa mampu mengawal senyuman di bibir.
Shah...
Berseru indah nama itu dalam hatiku. Telefon bimbit pula kukeluarkan. Kurenungnya seketika, sebelum bibir sekali lagi tersenyum sendiri.
Aku menggeleng-geleng kecil. Tidak sangka, akhirnya pemilik asal telefon bimbit ini yang bakal jadi teman hidupku. Sepertimana telefon ini yang pada asalnya cuma sebagai pengganti namun akhirnya kini kekal terikat denganku, begitu juga Shah. Dia seakan-akan membawa satu warna baru dalam duniaku. Mengeluarkanku dari belenggu ingatan terhadap Abang Mi.
Terbayang-bayang redup matanya yang menatapku tadi.
“Jumpa esok, sayang...” Lafaz penuh erti itu berlegar-legar di ruang dengar. Ikutkan hati, mahu saja kubiar ungkapan indah itu terus bermain-main dalam duniaku. Mahu kubawa ke alam mimpi.
Bagaimana untuk aku luahkan apa yang sedang kurasa ini? Segalanya terlalu indah.
Ah, Farisya dah dilamun cinta! Cis!
Akhirnya aku bingkas, menapak ke meja belajar. Sebuah buku rujukan kucapai. Kuselak-selaknya sehingga menemui kertas-kertas memo yang pernah diberikan Shah sebelum ini.
Tekadku, aku mahu menyimpan memo-memo ini. Kerana semua nota ini seakan-akan cerita di sepanjang perkenalan kami.


 ******* 



~ BAB 13 ~

SEKALI lagi kami diberikan tugasan. Kali ini, kami perlu berkerja dalam kumpulan. Dengar saja arahan itu, terus kupandang Zara di sebelah.
“Aku join korang, tau?”
Zara angguk tanpa menoleh. Terus mencatat sesuatu di dalam bukunya.
“Cari lagi sorang.”
“Lagi sorang?” soalku pelik. Barulah Zara memandangku.
“Kau nak ambik siapa?” soalnya.
Aku terdiam, semakin pelik. Kalau empat orang satu kumpulan, aku mahu berkumpulan dengan Shah saja. Kerana untuk assignment kali ini, kami perlu sediakan video berdasarkan eksperimen yang kami jalankan.
Boleh aku biarkan Zara dan Ika kerja berdua untuk satu topik. Aku dan Shah pula berdua menjalankan eksperimen untuk satu lagi topik. Sekurang-kurangnya selepas cuti nanti, aku dan Shah sudah punyai ikatan yang sah. Mudah sedikit keadaan itu bagi aku.
Tapi bila Zara bertanya seakan-akan nama Shah tidak terlintas langsung dalam benaknya, aku jadi serba salah pula. Memang dari sebelum ini pun aku tahu, dia tidak mahu berkerja dengan lelaki itu. Lantas sekarang, mana mungkin aku sesuka hati mempelawa Shah menyertai kami.
“Kalau empat orang satu kumpulan, nak tak nak kita mesti bertiga ajelah. Sebab aku berani jamin, orang lain akan berkumpulan dengan partner yang sama macam assignment hari tu.”
“Shah?” Ika di sebelah Zara memberi cadangan. Tapi tika itu juga Zara menyiku lengan gadis itu.
“Jangan nak mengada-ngada. Prof tolak markah nanti, naya aje.”
Aku terdiam. Kenapa Prof Syikin nak tolak markah pulak?
Tiba-tiba telefon bimbitku di dalam beg bergetar. Segera kukeluarkannya. Nama Shah terpampang di skrin. Aku tersenyum sendiri walau masih belum membaca isi SMS yang dia hantarkan. Ah, memang aku macam ni pun!
Sejak mengakui secara rasmi perasaan sebenarku pada dia, terus duniaku berubah. Melihat namanya pada skrin telefon saja pun sudah rasa berbunga hati. Jika dengar suara atau baca kata-kata dari dia, lagi teruk gamaknya.
“Oi, apa kena ni?” Tiba-tiba lenganku disiku Zara. Aku tersedar, hangat pijar muka.
“Tak ada apa.” Laju kuzahir gelengan, serentak jari menekan butang baca di telefon.
Satu group dengan saya, Isya? Boleh kita berkepit buat eksperimen sama-sama lepas cuti nanti.
Tanpa mampu lagi dikawal, mekar bibirku mengukir senyuman. Haih... Shah... Shah...
Segera kubalas SMS itu.
Janji jangan ulang lagi perangai macam hari tu?
Seketika kemudian, dia pula membalas,
Iya, sayang... abang janji. Hari tu abang betul-betul tak ingat, sibuk sangat dengan FYP...
Hah, ambik kau! Sekali dia guna ayat macam tu!
Hangat wajah dibuatnya. Tapi segera kusedarkan diri, aku sedang di dalam kelas. Lantas aku menoleh pada Zara yang nampak pelik memandangku.
“Shah nak join kita.”
“Hah? Seriously?” Serentak Zara dan Ika menyoal.
Aku mengangguk. Sedangkan hati makin digaru rasa pelik. Yang diorang terkejut sangat ni apahal?
“Kau berani ambik dia jadi group member? Tak takut kena tolak markah?”
“Kenapa Prof nak tolak markah pulak?” Aku makin tak faham.
“Ye la, nanti mesti Prof tuduh kita ni ambik kesempatan. Mentang-mentang Shah ada dalam kelas ni, dia aje yang kita cari. Kau bukan tak tahu Prof tu, strict yang amat.” Sedikit berbisik Zara di hujungnya.
“Habis kalau semua orang fikir macam ni, dia nak berkumpulan dengan siapa?”
“Isy... dia tak payah berkumpulan dengan siapa-siapalah... aduh...” Zara memicit-micit dahi.
“Weh, kita bertiga aje cukuplah. Aku tak berani nak ambik risiko.” Ika menambah. Tergeleng-geleng kepalanya, serius dengan keputusannya. Dia segera membetulkan duduk, kembali memandang hadapan dan terus mencatat di dalam buku.
Aku terdiam juga. Terlepas akhirnya keluhan berat dari bibir.
Mentang-mentanglah Shah cuma mengulang subjek, semua orang ketepikan dia. Cuba kalau dia budak genius? Dekan tiap-tiap sem? Entah-entah dialah yang orang duk serbu sangat. Malang betul.
“Okey, siapa lagi yang belum ada kumpulan?” Suara Prof Syikin kedengaran.
Suasana kelas yang tadinya sedikit hingar-bingar segera bertukar senyap. Prof Syikin kelihatan menoleh ke satu arah. Berkerut seketika dahi wanita itu, bagai kebingungan. Sesaat kemudian dia memandang ke seluruh kelas.
“Ada sorang kawan awak belum ada kumpulan.”
“Siapa, Prof?” Suara-suara pelajar menyoal.
Dia kerling ke arah hujung kelas, nampak musykil.
Senior awak... Shah...”
Kelas kembali sunyi. Aku sedar, ada yang berpandangan sesama mereka malah ada juga yang saling berbisik.
“Siapa lagi yang tak cukup ahli?”
“Tak apa ke kalau Shah join kitorang, Prof?” Zara teragak-agak.
“Okey aje, asalkan buat kerja sama-sama. Tak mahu ada yang jadi sleeping partner.”
“Kalau macam tu, biar Shah joint kitorang ajelah!” Laju Zara menjawab kali ini. Bersemangatlah pulak!
“Haah. Kitorang pun baru bertiga ni.”  Ika pula menambah, teruja.
Okaynoted.” Ringkas Prof Syikin menyudahkan.
Yes!” Serentak Zara dan Ika berpandangan. Aku yang memerhati jadi makin bingung dibuatnya.
Pelik betullah budak berdua tu.

TERKIAL-kial kularikan mata pen di atas kertas A4, menjawab soalan Quiz yang tak sempat kujawab minggu lepas. Jam di pergelangan tangan kuperhati. Lagi dua minit!
Makin laju aku mengisi jawapan. Walau cuma Quiz yang hanya menyumbang beberapa peratus saja dalam markah keseluruhan, aku tahu aku tetap perlu mengusahakan yang terbaik. Markah tetap markah. Tak boleh dibazirkan!
Okay, time’s up.” Titik! Fuh... sempat pun!
Kuisikan ruangan nama dan ID pelajar. Sesudah itu bangun dan membawa kertas jawapan ke meja pensyarah. Kelihatan Shah sedang berbincang sesuatu dengan Prof Syikin. Perlahan saja suaranya.
“Prof,” panggilku.
Mereka menoleh serentak. Aku hulurkan kertas jawapan.
“Okey.” Prof menyambut, tersenyum.
“Terima kasih, Prof,” ungkapku.
Dia angguk, pandang Shah semula sambil meletakkan kertas jawapanku dalam failnya.
So. Have you done it?
Perfectly done. Cuma semalam saya perasan, ada yang tak kena dengan data tu.”
Need some helps from them? I boleh call diorang, suruh masuk lab petang ni. You tinggal berapa jam lagi dengan I? Kalau tak silap dah nak habis, kan?”
Serius. Memang serius. Shah seakan tidak sedar langsung kewujudanku di situ. Terus juga dia berbincang dengan Prof. Aku yang pada asalnya mahu memperkatakan sesuatu padanya, terpaksa mematikan hasrat. Kerana setahuku, bila Shah serius, tandanya perkara yang dibincangkan itu memang penting. Tidak berani pula kuganggu.
Lantas aku menapak semula ke tempatku. Kemas-kemas barang, keluar dari dewan kuliah. Mungkin lain kali saja aku berbincang dengannya. Lagipun malam esok kami ada perjumpaan kumpulan di perpustakaan.
“Isya.”
Kaki yang baru beberapa langkah keluar dari dewan terus terhenti sebaik mendengar panggilan itu. Aku berpusing. Shah sedang menghampiriku sambil mengenakan cap di kepalanya.
“Ada nak cakap apa-apa ke?” soalnya sebaik tiba berhampiran. Berkerut dahiku.
“Nak cakap apa?” soalku semula. Memang ada perkara yang mahu kuperkatakan, tapi bagaimana pula dia boleh tahu? Ada tertulis apa-apa pada muka aku?
Dia tersenyum penuh erti.
Your heart is mine, remember... Lembut, mengocak perasaan.
Segera kularikan mata dan ketawa kecil untuk melindungi isi hati. Aku menapak semula.
“Mengada-ngadalah awak.” Berlagak selamba. Padahal sebenarnya, hati di dalam sudah berbunga-bunga mendengar ayatnya itu. Mujur kawasan kaki lima ini lengang. Kalau ada orang, alamatnya matilah aku.
Bukan aku tak perasan, selama ini terlalu banyak mata yang pandang aku semacam setiap kali aku berurusan dengan Shah. Di kafe, di perpustakaan. Seolah aku pelaku jenayah berat saja. Sedangkan waktu itu aku dan Shah cuma berbincang soal kelas.
Kalaulah ada yang terdengar lontaran maut Shah tadi, agaknya mahu terjojol terus biji mata. Heh!
Mungkin budak-budak perempuan tu semua cemburu. Yalah... siapa tak seronok bila dapat berdamping dengan final year student sekacak dan semisteri Shah.
Heh! Bagi diorang seronoklah... tapi bagi aku...
Tak ada apa-apa pun semua tu. Aku tak bangga pun. Dulu, lagi aku rasa nak larikan diri adalah. Sebab dulu bagi aku, Shah terlampau menyemakkan kepala. Nak-nak lagi bila dia tunjuk perangai caring dia tu. Ergh... masa tu, rasa macam sempit yang amat bumi ni!
Tapi sekarang... perasaan aku bila dia tunjukkan sifat ambil berat...
Ermm... entahlah! Hehe...
Berderai lamunan bila terasa Shah mengiringi langkahku. Ada tawa kecil darinya.
“Kalau tak ada benda nak cakap, Isya... kenapa buat muka frust waktu saya bersembang dengan Prof tadi? Mmm?” Tenang nadanya.
Aku tersenyum saja. Menggeleng-geleng. Ada-ada sajalah dia. Boleh pula dia perasan raut wajah aku waktu itu. Sedangkan seingat aku, tadi dia ralit benar berbincang.
“Bila awak free?” Tanpa memandangnya aku menyoal.
“Sekarang ni free aje.”
“Tak. Maksud saya, free yang panjang. Ada benda nak dibincangkan ni.”
“Tentang?”
“Kita.”
Dia diam sesaat.
“Malam esok, insya-Allah. Lepas kita jumpa Zara dengan Ika.”
Aku senyap.
“Boleh?”
“Boleh.” Aku mengangguk, buatkan dia tersenyum semula.
“Okey, saya nak pergi bilik Prof ni. Ada hal.”
Aku mengangguk lagi. Tiba di luar bangunan kuliah, kami berpisah membawa haluan masing-masing.
“Isya,” panggilnya, mematikan langkahku. Mengeluh penat aku dibuatnya.
“Shah...” Dalam rungut aku berpusing, renung geram dirinya.
“Awak suka sangat cakap tak habis, kan? Dah jauh-jauh macam ni baru nak panggil.”
Tapi dia sebaliknya tertawa kecil.
“Jangan marahlah.”
“Nak cakap apa?” Serius. Dan dia bahkan tersenyum penuh erti.
All the best test malam ni.”
Aku terdiam.
“Jawab baik-baik. Lupakan semua masalah lain.”
Terdiam juga. Bila dia angkat keningnya menanti reaksi, perlahan-lahan, akhirnya kuukir senyuman. Terharu dengan perhatiannya. Selama ini aku tidak pernah kisah pun pada ucapan selamat seperti itu. Ada atau tidak, sama saja. Keluarga aku sendiri pun tak pernah peduli pada semua itu. Cuma Abang Mi...
Ya, Abang Mi saja yang selalu beri semangat padaku. Bila dia pergi, semua itu turut lenyap dari hidupku.
Kupandang Shah, berusaha membuang bayang Abang Mi dari ruang mata. Senyuman tipis kulontar padanya.
“Terima kasih.”
Dia tidak menjawab. Sebaliknya dengan penuh bersahaja dia betulkan cap di kepalanya sebelum mengenyit mata padaku. Aku terdiam, hangat wajah. Dia senyum melirik, menampakkan lekuk di pipi kirinya. Kemudian dia berpusing dan melangkah ke arah bangunan fakulti.
Tinggal aku berseorangan di situ.
Sesaat, aku tunduk merenung bayang-bayang sendiri. Kulepaskan nafas dalam, makin tak mampu faham perasaan di dalam.
Perilaku Shah penuh bersahaja dan selamba saja setiap masa, tapi hati aku tetap juga bergetaran, bagaikan terlalu hebat dikocak.
Entahlah...
Kadangkala aku mengharap, biarlah cepat waktu berjalan. Tidak sanggup lagi kutanggung perasaan yang serba menyeksakan ini.

Benar kata orang, lebih mudah bercinta selepas nikah. Tidak perlu begini, segalanya serba salah.

17 861 komen:

Didie Alimen said...

Best giler...

Siti Hanisah said...

Terima kasih ;)

Anonymous said...

Best!! Setiap kali saya baca mesti tersengih-sengih.. alaaaa..... swetnya..!!!!! Akak buat yg terbaik...^_^
.

Siti Hanisah said...

Hehe
terima kasih..
tunggu plak bab 11 eh ;)

Audra Sazreena said...

Wohh... Shah yang ni pun ada lesung pipit?? I kalau tengok guys ada lesung pipit ni memang mudah cair.. haha.. tak boleh nak imagine handsome macam mana Shah ni.. nak kena baca balik earlier chapters..
But this one really a good chapter... siapa yang baca sure berbuai perasaan dia..

Siti Hanisah said...

Haah. Sy pun xtau mcm mn blh bnyak psmaan. Bila awk crtkn psal Shah wktu zmn klej awk dlu, mmg kbnyaknnye sm. 0_o

Siti Hanisah said...

Cume Shah yg dlm n pkai spec. Yg tu x sm kot.
Hehe

baby mio said...

Best sangat-2 nak lagi.

Siti Hanisah said...

Terima kasih. InsyaAllah nnt sy update :)

Umra Haj said...

Awesome sis! Garapan cerita yang sentiasa menarik utk tunggu & baca cerita seterusnya....Luv it semua karya sis...
(Hehe...Umra selalu jadi pemerhati saja...tidak suka utk memberikan komen. Tapi rasanya perlu kot utk berikan semangat agar sis terus berkarya...<3 )

Siti Hanisah said...

Waaa... Haha
alhamdulillah...
Terima kasih sangat2.
Terharu :') huhuu

Audra Sazreena said...

Betul. Shah di kampus saya dulu tu tak pakai spek. Nanti saya nak tanyala budak2 batch saya.. kot kot dorang tu tau kat mana Shah tu sekarang ni.. dah kawin beranak pinak ke apa ke.. hahaha...

Tyara Sakura said...

Best sangat. Nak lagi , nak lagi , nak lagi :)

Siti Hanisah said...

Hahaha... okey2. Tak sabar saya nak tahu perkembangan Shah tu. :D

Siti Hanisah said...

Hehe.
Terima kasih...
Insya-Allah nanti saya update ;)

Safiah Ahmad said...

Foohh...... Melting.... Melting...... Eerrr.... Adakah semua aweks yg bc novel suka ngan lelaki yg ada lesung pipit?....... Hensem eehh??? Nk tau sesanggattt nih.

Siti Hanisah said...

Haha

entah la...

orang kata(orang kata, bukan saya yang kata), lelaki yang ada lesung pipit ni nampak seksi/cute. Lebih-lebih lagi bila senyum. hmm

Post a Comment

Assalamualaikum. Hai!
Terima kasih baca.
Cer komen sikit?

.

.