Thursday, 14 January 2016

Scarlet Cinta Bab 10 & 11

~ BAB 10 ~

SEDIKIT demi sedikit, telingaku dapat menangkap suara-suara berbual. Daripada sayup-sayup dan jauh, bunyi itu semakin dekat dan semakin jelas di ruang dengar. Hingga akhirnya aku tahu, aku sudah kembali berada di dunia nyata.
Kucelikkan kelopak mata yang berat dan perit. Spontan suara berbual itu terhenti. Aku legarkan mata ke sekitar, mencari arah suara tadi. Gagal menemui sesiapa, aku berpaling pula ke sebelah kanan.
Dalam pandangan yang bersisa kabur, terlihat ruang serba putih di hadapanku. Peralatan perubatan berada di mana-mana, juga berwarna putih. Hanya satu susuk tubuh yang memakai pakaian berwarna, memudahkan aku untuk membezakan dirinya dengan yang lain.
Kelihatan dia juga sedang memandangku, begitu juga lelaki yang berdiri di hadapannya. Barangkali suara mereka yang kudengar tadi.
“Faham, ya?” Lelaki yang berkot putih itu memecahkan suasana.
Shah menoleh padanya. Mengangguk bersama senyuman nipis. Lelaki berkot putih itu tersenyum juga sebelum berlalu. Aku perhati hingga hilang susuk tubuhnya di balik pintu.
Good morning...” Berderai kesunyian wad dengan sapaan itu.
Tertarik anak mataku padanya. Dia ukir senyuman. Tenang, seperti tiada apa pernah berlaku antara kami. Seperti semua itu cuma mimpi yang sudah berlalu pergi.
“Tak faham english?” Dia bersuara lagi, masih selamba.
Aku tetap membisu. Dia tertawa halus akhirnya. Menggeleng-geleng penuh erti sambil melangkah ke hujung katil. Dia tegakkan sebahagian katil hingga aku berada dalam keadaan separuh duduk.
Jatuh rambutnya ke dahi ketika dia tunduk melakukan kerja. Beralun kecil seiring dengan pergerakannya. Gerak laku penuh kelelakian, menyerlahkan lagi kekacakannya. Terus juga dia bersahaja, sedangkan aku mula rasa tak kuat untuk berada dalam keadaan ini.
Tak kutahu mengapa mesti hatiku tersentuh dan tertawan dengan apa juga yang berkaitan dirinya, walhal aku tahu dia cuma menjadi dirinya sendiri. Tak pernah langsung dia berniat menarik perhatianku apalagi meminta aku menyerahkan hati padanya.
Ohayou...”
Aku tersedar. Dia sedang menapak menghampiriku. Tenang menarik kerusi dan duduk sisi katil, menghadapku. Ada senyuman yang mahu terukir di bibirnya tapi dia tahan dari terzahir. Dia mencebik sedikit.
“Orang dah ucap selamat, dia pulak tak nak jawab...”
“Sekarang ni malam lagi.” Kupintas akhirnya bila dia terus-terusan menyindir.
Dia terhenti mencapai plastik makanan yang terletak di kabinet kecil bersebelahan katil. Dia jeling diriku. Pantas kularikan pandangan pada tingkap yang terletak di belakangnya. Kuseriuskan wajah.
“Saya tahu, sebab kat luar tu gelap lagi.”
Dia diam tapi tiba-tiba tercetus semula tawa halus dari bibirnya. Menggeleng-geleng sambil tersenyum sendiri penuh erti. Kembali ditumpukan perhatiannya pada kerja. Keluarkan air kotak dari plastik sebelum mengoncang-goncangnya sedikit.
Aku tak tahu kenapa, tapi aku sememangnya makin tak betah dengan keadaan ini. Dia seperti sedang mentertawakanku, sedang mengejek. Seperti luahanku padanya tadi hanyalah permainan anak kecil yang mengundang rasa kelakar saja.
“Saya kat hospital?” soalku, enggan biar dia terus-terusan menyindir.
“Klinik.” Dia menggeleng sedikit tanpa memandangku.
Aku diam, faham. Memang ada klinik 24 jam terletak tak jauh dari kawasan kampus.
“Awak tengah sibuk, Shah. Kalau awak nak balik sekarang pun tak apa. Saya boleh call kawan, mintak tolong ambik saya nanti.”
Call?” soalnya, masih tidak memandangku.
Aku mengangguk.
Call guna apa?”
Aku terdiam. Teringat pada telefon yang kuhempas ke dadanya tadi.
Public phone? Ada ke kat area ni?”
Aku makin terdiam. Makin hangat wajah. Jelas benar lemahnya aku hingga terpaksa bergantung setiap sudut kehidupanku padanya.
“Tapi saya dah susahkan awak, Shah.”
“Tahu pun.” Bertukar serius nadanya.
Aku membisu.
“Saya nak pimpin awak dah tadi tapi awak tak nak. Berlagak, konon boleh berjalan sendiri.”
Aku diam, mengaku salahku.
“Sekarang...” Mula bertukar sinis nadanya sambil mengoyak plastik pembalut straw.
“Jangan salahkan saya kalau lepas ni tak ada lelaki yang nakkan awak lagi dah.”
Berkerut dahiku bila dia tiba-tiba bersuara begitu. Kurenung wajahnya, dapat rasakan ada sesuatu telah berlaku. Sesuatu yang wajib kutahu apakah bendanya.
“Lain kali jangan degil cakap orang, tau?” Lebih sinis nadanya.
Aku makin terdiam. Makin rasa tak enak.
Dia mendengus, tersenyum menyindir.
“Ye la, saya kan repeat paper aje...”
“Awak cakap apa ni, Shah?” pintasku akhirnya, tak selesa.
Dia jeling tajam wajahku, jelas dengan maksud tak puas hati.
“Apa dah jadi sebenarnya?” Dan dengan soalan itu, semakin tajam renungannya.
“Satu klinik ni syak saya dah apa-apakan awak, Isya.”
Aku terdiam semula. Berderau darah.
“Atas bawah diorang pandang saya tadi. Nyaris diorang nak call polis.”
“Dah tu?”
“Dah tu apa lagi? Tiru drama tv ajelah, mengaku suami.”
Aku semakin terdiam. Entah kenapa mesti timbul istilah itu di waktu aku sedang mengharapkan dirinya.
“Lepas ni diorang akan tanya awak sendiri, betul ke kita ni suami isteri atau saya yang cuba rosakkan awak.” Diam sesaat di situ dan dia nampak makin kusut dengan semua ini.
“Kalau awak kesiankan saya, awak bohonglah diorang. Tak sanggup saya tidur lokap.”
“Kenapa awak tak bagitau aje hal sebenar tadi, Shah?” soalku akhirnya.
Dia terhenti mencucuk straw pada kotak air. Angkat kepala memandangku, makin ketara riak tak puas hati.
“Bila dah sedar ni, saya boleh terangkan pada diorang yang awak cuba tolong saya...”
“Badan awak luka-luka, Isya.” Tajam dia memintas, mendiamkanku.
“Lengan awak pun ada kesan cengkaman tangan saya. Dah tu awak meracau punyalah teruk, sampai saya langsung tak boleh nak ke mana-mana. Siap menangis lagi bila saya cuba lepaskan awak.”
Aku terdiam semula. Makin tak tahu ke mana mahu dihalakan muka.
“Macam tu nak berterus-terang? Awak fikir diorang nak percaya?”
Aku makin terdiam.
“Abang... Isya nak abang...” Dia mengejek.
“Macam budak kecik.”
“Awak yang peluk saya.” Aku segera membela diri.
“Bila masa, Isya!”
“Masa saya nak pengsan tadi.”
Terdiam dia sudahnya. Bertambah ketara riak geram di wajahnya.
“Dia ni la...”
Aku diam.
Tergeleng-geleng kepalanya. Sakit hati barangkali. Dia kembalikan tumpuan pada air kotak di tangannya. Cucuk straw sebelum menyedut minuman. Direnungnya aku yang masih serius memandangnya. Jelas, dia tak puas hati denganku tapi sudah kehabisan modal untuk membalas dendam.
Tapi sesaat kemudian, tak semena-mena terukir semula senyuman di bibirnya. Dan ada riak dendam yang tersirat di wajahnya kali ini.
“Tapi okey jugaklah... kalau tak mengaku suami isteri tadi, rugi pulak. Tak dapat saya tukarkan pakaian awak.”
“Hah?!” Spontan bangkit dari sandaran. Tika itu juga aku baru tersedar pakaian pada tubuhku waktu ini. Sepasang pijama dan haruman tubuh lelaki cukup kuat terlekat padanya!
Pantas kupandang lelaki itu semula. Cuba kutilik wajahnya, sama ada pengakuan itu sekadar bertujuan membalas dendam atau apa. Tapi dia selamba saja mengangkat kening. Terus juga menyedut straw.
“Tudung tu aje yang orang klinik ni boleh bagi, tudung staf diorang. Tapi baju yang Isya pakai tu baju abang, Isya kena pulangkan balik pada abang nanti.”
Aku makin terdiam.
“Pakaian dalam Isya pun abang sempat keringkan ala kadar aje. Sebab tu lembab sikit jadinya.” Berhenti sesaat dan dia nampak semakin puas dengan reaksiku. Tersungging senyuman dendam di bibirnya.
“Itupun kalau sekarang ni Isya boleh perasanlah...”
Makin hangat hatiku. Dan dia tersenyum lagi.
“Lain kali jangan melawan, okey? Abang boleh buat apa aje yang abang nak.”
“Kenapa tak suruh diorang yang tukarkan pakaian saya, Shah?” Tak terkawal suaraku.
Memang, pakaian dalamku sedikit lembab. Aku dapat rasakannya. Tapi itulah yang makin membuktikan betapa benar dakwaannya! Memang dia yang tukarkan pakaian aku!
Dia tersenyum menyindir. Berhenti menyedut straw lalu meletakkan kotak air di atas kabinet kecil.
“Abang kan suami Isya...”
“Shah, jangan nak main-mainlah!”
Dia ketawa, makin menyakitkan hati. Dan dia tidak juga menjawab soalanku, bahkan mencapai pula bungkusan roti dari beg plastik. Ditepuknya.
Pomm! Bungkusan roti meletup.
“Macam nilah bila Farisya mengamuk.”
“Shah!”
“Oh, my wife panggil.” Terhenti pergerakannya mengeluarkan roti dari bungkusan. Lantas dia angkat kepala, tersenyum untukku.
“Iya, sayang?”
Aku ketap gigi, genggam buku lima seketat-ketatnya. Dan bila memandang saja muka tak bersalahnya itu, makin lama makin sakit hati aku!
Dia tertawa penuh erti akhirnya.
“Macam budak kecik aje awak layan saya, Shah!”
Dia tak menjawab sebaliknya terus mentertawakanku. Menggeleng-geleng sebelum terlepas satu keluhan halus dari bibirnya. Aku sendiri sudah makin sakit hati. Sudahnya kubiarkan saja dia. Paling muka arah lain. Menyampah!
Kalau bukan sebab aku tak ada telefon sekarang ni, dah kuhalau dia dari sini! Biar balik dia, tak payah tunjuk lagi muka depan aku. Esok aku boleh call Zara atau Liza, mintak jemput aku kat sini. Kalau doktor tanya, jawab aje dah bercerai. Talak tiga!
“Isya...” keluhnya beberapa ketika kemudian bila reda tawanya.
Aku enggan menoleh, hanya menjeling tajam. Tapi waktu itu, aku dapat melihat kelainan yang mula terpancar pada dirinya.
Dia lemparkan pandangan pada pintu wad yang tertutup rapat. Termenung. Perlahan-lahan hilang senyuman di bibir sebelum keluhannya terzahir lagi. Lebih panjang kali ini, bagai ada sesuatu sedang membeban dadanya.
“Staf klinik ni semuanya lelaki, Isya. Waktu siang aje ada staf perempuan.” Perlahan.
Aku diam.
“Kalau saya biarkan dia yang tukarkan pakaian awak, mungkin dia akan ambik kesempatan. Daripada macam tu, baik saya buat sendiri.”
“Habis awak tu tak ambik kesempatan?”
Dia tersenyum hambar.
“Awak anggap saya lebih dari kawan, kan.” Perlahan dia mengungkit, tapi cukup kuat menggoncang perasaanku.
Terdiam aku di situ. Segera kukawal lalu merenung dirinya lebih tajam. Dia angkat kepala, temukan pandangan denganku.
“Maknanya awak percayakan saya.”
Lebih kencang detak jantungku.
“Rasanya tak salah kalau saya jaga awak lebih sikit.”
Aku tergelak kecil, pedih dengan apa yang dia cuba sampaikan.
“Dahlah, Shah.”
“Saya cuma buat apa yang saya tahu betul.”
“Awak memang macam ni dengan semua perempuan, Shah?”
Dia terdiam.
“Tapi sekarang ni awak dah tahu yang saya tak pandai nak lawan perasaan sendiri. Jadi janganlah buat saya macam ni lagi.”
Dia tak menjawab. Seolah angin lalu saja kata-kataku, tidak langsung bererti padanya. Aku tersenyum lagi, semakin pedih.
“Sakit saya tau, Shah?”
Dia tetap juga membisu. Terus memandangku tanpa kutahu apa sebenarnya yang dia fikirkan. Tak mampu menerima lagi tatapan itu, aku segera berpaling.
“Awak boleh pilih, tak payah lagi pedulikan saya. Takkan ada sesiapa yang nak susahkan awak lagi dah. Saya pun lebih selesa macam tu.”
Dia tertawa sinis tiba-tiba. Bila aku menjeling, dia kelihatan menggeleng-geleng. Bangun dari tempat duduk, kemudian melangkah ke tingkap. Berpeluk tubuh. Roti dan air entah sejak bila dia letakkan dalam plastik di atas meja.
Dia lepaskan pandangan ke luar tingkap. Gelap, hanya cahaya lampu jalan yang menerangi malam. Aku membisu, menanti apa yang mahu dia katakan. Kerana aku benar-benar sudah bersedia kini. Sakit bagaimana pun aku sanggup terima, asalkan dia tidak beri harapan palsu padaku lagi.
Tapi setelah beberapa ketika membisu, dia tidak juga mengungkapkan apa yang terkandung di hatinya. Terus juga lengang antara kami. Dia termenung jauh pada suasana di luar. Seakan-akan tembus pandangannya memecah kegelapan itu. Dia seperti tenggelam dalam dunianya, sedangkan aku sudah makin terseksa.
“Tak tahu bila hujan ni nak berhenti.” Hampir tak kedengaran lafaznya, seperti dia sedang bersuara untuk diri sendiri.
Aku terdiam, tak faham mengapa itu yang dia katakan. Bagai sengaja menukar topik.
“Kalau kita tunggu pun mungkin sia-sia.”
Semakin terdiam aku, tapi kali ini disebabkan perkataan ‘kita’ yang meluncur dari bibirnya. Seolah-olah itulah jawapan pada permintaanku.
Dia berkalih, temukan anak mata denganku tapi sesaat cuma. Dia lempar pandangan ke arah lain, kosong tanpa perasaan. Memberitahuku, dia sudah mula jauh dariku.
“Bersiap. Kita balik.”
Tepat telahan sekaligus patah semangatku. Nyata dia masih mahu bertegas dengan pendiriannya. Tak peduli langsung sakit yang perlu kutanggung.
“Dah siap nanti, tunggu kat lobi. Saya ambik awak kat situ,” ungkapnya lagi. Masih dengan nada hambar sambil melepaskan tangan yang memeluk tubuh. Dia melangkah ke pintu tanpa memberiku peluang bersuara.
“Awak nak pergi mana?” soalku ketika dia menarik tombol.
“Bayar bil.” Sejurus, hilang sekujur tubuhnya di balik daun pintu.


 *******



~ BAB 11 ~~

DARI jauh lagi dia sudah sedar kewujudanku. Segera dia menoleh dan serta-merta terhenti perbualannya bila bertemu pandangan kami. Ada riak tak setuju di wajahnya tapi dia segera sembunyikan. Kembali diberikan perhatian pada staf di kaunter.
Bila aku berada tidak jauh darinya, baru dia menoleh semula padaku. Sehelai resit dan beberapa keping not berwarna merah dia masukkan ke dalam beg duit.
“Kenapa tak tunggu kat lobi?” soalnya.
Aku menggeleng sambil tersengih sumbing. Enggan kulayan rasa kekok dan berjurang yang mula menguasai kami.
“Tak ada orang. Sunyi.”
Dia diam. Lepaskan nafas halus sebelum memasukkan beg duitnya ke dalam poket belakang jeans. Sesudah itu dia capai sekaki payung yang tersandar di kaunter, kemudian menapak menghampiriku. Dia ambil alih beg kertas berisi pakaian dari peganganku dan melangkah semula.
“Baju awak ni minggu depan kut baru saya pulangkan, waktu kelas Prof Syikin,” ungkapku sambil melangkah seiringan dengannya.
Dia diam.
“Nak pulangkan esok macam tak sempat aje. Saya tak larat nak main air sangat hujan-hujan macam ni. Tengah-tengah malam pulak tu. Bilik air biasanya dah mula lengang waktu-waktu macam ni.”
Diam lagi.
“Saya ni penakut sikit.” Tergelak kecil di hujungnya, berusaha raih pengertian.
“Tak apa...” Tenang nadanya membalas.
Aku menoleh. Dia masih memandang hadapan.
“Simpan aje baju tu, anggap saya memang sengaja hadiahkan pada awak.”
Berderau darahku mendengarnya, tapi aku segera ketawa untuk mengawal perasaan.
“Mana bolehlah!”
Dia diam.
“Tak apa, jangan risau. Saya akan basuh betul-betul baju awak ni. Gerenti takkan ada kesan langsung yang saya pernah pakai baju ni. Okey?”
Dia hanya menyambut dengan senyuman nipis, tidak langsung bersuara.
Ada rasa jauh hati dalam diriku dengan reaksinya itu. Mungkin dia sememangnya enggan berurusan denganku lagi. Dia mahu waktu ini jadi saat terakhir dia melihat diriku.
Dalam diam, terlepas keluhan dari bibirku. Entahlah...
Kalau boleh, aku mahu dia lukakan aku sesungguhnya sebelum dia pergi. Biarlah kejam macam mana pun, aku sanggup. Aku cuma enggan ditinggalkan ketika hatiku masih terkesan dengan perhatian dan layanan yang dia tumpahkan buatku. Hingga ke akhir hayat aku akan menanggung rasa terkilan dan mempersoalkan takdir.
Sungguh, kelukaan dan benci itu lebih memudahkan aku untuk melupakannya.
“Sekejap, Isya.”
Berderai duniaku spontan terhenti langkah. Kami sudah berada di luar klinik- di kaki lima. Dia buka payung di tangannya sambil menghampirkan lagi diri denganku. Berdiri bersebelahan, menjadikan haruman pada tubuhnya terasa lembut menyentuh deria hiduku.
“Jom.” Serentak itu dia mula menuruni bilah-bilah tangga. Terhenti semula langkahnya bila sedar aku tidak mengiringinya. Dia berkalih, pandang wajahku.
Aku diam, serba salah.
“Tapi payung ada satu aje, Isya. Nak tak nak kita kena jugak berkongsi.” Tenang dia menjelaskan, faham isi hatiku.
Aku masih serba salah. Tapi mahu atau tidak, aku tahu aku perlu juga mengalah. Lalu aku turun dari kaki lima itu, sertai dirinya di bawah payung dan mula melangkah seiringan dengannya. Berduaan kami di bawah langit malam.
“Awak parking kereta kat mana?” soalku bila lengang antara kami.
“Bawah tu.” Dia tunjuk ke arah pokok besar yang terletak di hujung bangunan.
“Jauhnya.”
Dia senyap. Lengang semula.
“Biasanya kalau musim hujan macam ni, dah ada dua tiga tempat yang banjir.” Aku bersuara lagi, benar-benar tak mahu melayan rasa kekok terhadapnya.
Dia diam.
“Tapi kali ni tak ada pulak dengar apa-apa berita.”
Dia diam lagi.
“Kampung awak tak banjir, Shah?”
“Saya bukan orang Pantai Timur.” Tenang dia menjawab.
“Orang mana?”
“Perak.”
“Saya pulak Penang. Maknanya tak jauhlah...” Mati di situ bila tersedar keterlanjuranku. Tika itu juga aku rasa seperti mahu menampar bibir.
Biarlah dekat ke jauh! Dia tak tanya pun!
“Saya memang tak nak orang jauh pun.”
Seriously?” Tertoleh aku padanya tanpa sempat dikawal. Dan dia mengangguk sedikit.
“Paling jauh pun belah-belah utara Perak aje.”
Pecah serta-merta tawaku, segera pandang jalan semula sedangkan hati di dalam semakin tersiat-siat pedih.
Utara Perak... dari situ saja aku sudah patut faham maksud yang dia cuba sampaikan.
“Awak bukan anak jati Penang kan, Isya?” Tenggelam-timbul suaranya melawan kebingitan hujan.
Aku menggeleng, pura-pura tenang.
“Orang luar. Lepas SPM baru pindah sana.” Perlahan suaraku.
“Sebab?”
“Masalah tempat.”
Dia senyap, menanti penjelasan.
“Saya tak boleh tinggal lagi kat tempat lama tu. Jadi doktor pesan pada mak ayah saya, kena pindah. Biar saya happy-happy balik walaupun mungkin dah takkan sama lagi dengan yang sebelum tu.” Diam sesaat, cari nafas sebelum mengeluh dalam kemudiannya.
“Pendek kata, saya kena lupakan semua benda yang dah lepaslah...”
Dia diam.
“Saya collapse tadi pun sebab benda lama tulah. Duk teringat jugak, padahal orang tu tak pernah nak kisah pun.”
Dia senyap.
“Pastu sekarang ni saya dah jadi budak lembik, senang sangat jatuh sakit. Pastu terpaksalah pulak saya susahkan semua orang. Susahkan awak, susahkan kawan-kawan saya... macam gedik aje rasa.” Tertawa di hujungnya.
“Sebelum tu awak duduk kat mana?”
Aku ketawa lagi seraya menggeleng.
No, no, no... benda tu dah lepas, saya dah padam dari kotak memori.”
“Bukan memori manusia tak boleh dipadam ke?”
“Ye ke?” Spontan aku menoleh padanya. Tertarik dengan penyataan itu.
Dia angguk.
“Manusia cuma boleh sibukkan diri bila nak lupakan kenangan lama, tapi memori tu tetap ada. Perasaan yang ada dalam memori tu lagilah, Isya. Awak takkan boleh padam dari otak. Bila-bila masa aje awak boleh rasa balik emosi tu. Lagi-lagi bila awak dengar muzik yang sama emosi dengan kenangan tu.”
“Dahsyatlah awak ni, Shah.” Bersulam tawa lafazku.
Dia cuma tersenyum sendiri.
“Kenapa tak ambik course neuroscience aje? Agaknya sebab tak serasi dengan engineeringlah awak asyik repeat paper, Shah.”
“Awak dah tukar topiklah.”
“Hah? Tukar ke mana?” Dengan dahi berkerut kupandang wajahnya.
“Tadi saya tanya pasal kampung awak, kan?”
Pecah semula tawaku. Kembali pandang hadapan.
“Okey, kalau macam tu awak tekalah sendiri! Saya malas nak jawab.”
Dia tersenyum sendiri, seolah aku ini anak kecil saja. Kupandang lagi wajahnya.
“Cepatlah teka? Saya duduk kat mana sebelum pindah Penang dulu?”
“Kuala Kangsar.” Selamba dia menjawab.
Aku terbungkam, lenyap serta-merta senyuman dari bibir.
“Kuala Kangsar tu dalam kawasan Perak lagi, kan?” Masih selamba.
Aku terdiam lagi. Makin tak sanggup dengan permainan demi permainan yang dia aturkan ini.
Dia mengerlingku bila tiada jawapan dariku, nampak nakal. Aku mencebik untuk mengawal perasaan.
Stalker!” bentakku.
“Hah?” Bersulam tawa, bagai tak percaya.
Tak mampu bertahan lagi, aku segera luaskan langkah. Tinggalkan dirinya di belakang tanpa mempedulikan hujan yang terus lebat.
“Awak semak profile saya dalam website U, kan Shah? Tu sebab awak boleh tahu macam-macam benda pasal saya. Stalker la namanya tu!”
“Kenapa mesti saya jadi stalker?”
Terhenti serta-merta langkahku. Berdetak kencang jantung. Aku berpusing, renung tajam wajahnya.
“Sebab awak memang suka main-mainkan saya.”
Dia diam. Masih tenang.
“Awak tunjukkan yang awak ambil berat, tapi lepas tu awak kata semua tu atas dasar kawan.”
“Itu aje?”
Tersirap darahku dengan kesinisan itu.
“Ada sebab lain?” cabarku.
Dia diam sesaat dan renungannya mula bertukar tajam menikamku.
“Kalau nak main-mainkan awak, saya takkan buat macam tu, Isya.”
Aku renung lebih tajam wajahnya. Dia masih juga membalas renunganku. Dia hampiri diriku, payungkan tubuhku yang sudah mula basah. Di bawah cahaya lampu yang kekuningan itu, anak matanya bertukar redup. Menatapku dalam.
“Jadi isteri saya, Isya.” Dalam suaranya membisikkan.
Tumpah air mataku tika itu juga. Kuzahirkan gelak, terluka yang dah tak tahu bagaimana lagi mahu kusorokkan.
“Okey, sekarang awak dah betul-betul tunjukkan. Memang macam ni cara nak main-mainkan hati perempuan.”
Dia diam.
“Sekarang awak baliklah, saya dah tak boleh nak fahamkan hati lagi saya.”
Dia membisu, tiada tanda langsung mahu bertolak ansur denganku. Aku tertunduk akhirnya. Semakin gagal mengawal sebak.
“Tolong jangan buat saya macam ni, Shah...”
Diam.
“Orang tua saya nak tunangkan saya dengan orang lain. Awak datang depan saya, awak buat saya macam ni...” Tertahan di dalam sebak yang semakin mencengkam. Kuangkat wajah memandangnya.
“Macam mana saya nak teruskan hidup kalau ini caranya...”
Diam juga.
“Saya tak sekuat yang awak nampak, Shah!” Terputus akhirnya di dalam esakan dan aku pantas menjatuhkan semula wajahku. Tak termampu lagi kutanggung segalanya.
Cuba kuselindung tangisan di sebalik telapak tangan tapi tetap gagal. Aku menggeleng lemah. 
“Jangan buat saya macam ni, Shah...”
Dia tetap juga diam. Menghiris kejam perasaanku.
Ya, aku tahu memang aku yang salah. Memang salah aku! Tapi bila dia dah tahu betapa lemahnya aku, kenapa terlampau susah untuk dia faham? Aku tak mahu dia terus bermain dengan perasaan. Buat aku rasa istimewa di sampingnya, jaga aku seolah-olah akulah cinta di hatinya. Aku hanya mahu dia layan aku seperti teman biasa. Itu saja sudah cukup. Sungguh!
“Saya serius, Isya.” Dalam suaranya menenggelamkan bunyi hujan. Ada sedikit getar di situ.
Segera aku menggeleng, sedang air mata terus juga berhamburan. Entah mengapa hati di dalam mahu terus menyeksaku. Membuak-buak naluri meminta aku percaya dan memberi lelaki itu ruang. Seluruh alam pula seperti tak mahu langsung berpihak padaku. Terus juga menghamburkan air dari langitnya, terus juga meniupkan angin menampar tubuhku. Bagai sengaja mengurungku dalam keadaan ini.
“Kalau setakat nak main-main, saya takkan bahayakan diri selamatkan awak. Banyak lagi benda yang boleh saya buat.”
“Tapi semua tu cuma sebab kawan, Shah...” tekanku, semakin pedih untuk menerangkan.
“Isya...” Dia tertawa kecil, tapi kedengaran pedih seakan terluka.
Berderau darahku dengan nada yang seakan-akan rayuan itu, dan itu membuatkan air mataku makin galak mengalir.
Hati di dalam menjerit minta aku percaya, suara lembut dan penuh pujukan itu sememangnya diciptakan untukku. Tapi tak sampai sedetik, hati yang lain segera menafikannya. Aku sedang mengharapkannya, sebab itulah terlalu mudah aku salah faham.
“Selama ni saya cuba cari kepercayaan awak, Isya.” Serentak itu dia mara setapak, menghampirkan lagi dirinya denganku.
“Supaya awak boleh faham apa yang saya rasa...” Ditekannya sedikit kali ini.
Mengalir lagi air mataku.
“Belum cukup sebulan pun kita kenal. Mustahil awak boleh terima bila tiba-tiba saya mengaku sayangkan awak.”
“Tapi sayang saya pada awak bukan setakat kawan, Shah...” tekanku bila tak sanggup mendengar lagi.
Dia diam.
“Awak jaga saya macam ni...” Tertahan, sukar mencari kata.
“Tt... takkan ada kawan yang sanggup buat sejauh ni, Shah...”
“Memanglah.” Giliran dia memintas. Tenang.
Aku terdiam.
“Saya pun tak pernah anggap awak kawan saya.”
Aku semakin terdiam. Dia ikut membisu, bagai mengiyakan apa yang akalku faham saat ini. Dan nafas hangatnya terus menampar wajahku.
Teragak-agak kuberanikan diri mengangkat kepala. Dalam pandangan yang berbalam itu, bertemu anak mata kami. Berderau darahku bila sedar tatapan redup yang dia hadiahkan untukku. Entah sejak bila dia begitu, bahkan sinar yang terpancar di matanya saat ini terlalu luar biasa meresap ke dalam perasaanku. Terlalu menenangkan namun dalam masa yang sama amat meresahkan.
Tak kutahu perasaan apa yang sedang melandaku ini sebenarnya.
“Saya tahu awak sayangkan saya, Isya.” Dia berbisik, menggetar perasaan.
Tolong terangkan pada aku, ya Allah... semua ini benar-benar niatnya atau aku yang masih tenggelam dalam salah fahamku...
“Tapi memang itu pun yang saya usahakan sejak dulu. Tak mungkin boleh saya lamar awak waktu kita tengah asing sesama kita.”
Tiada lagi kata mampu kulontar. Dalam rasa yang serba celaru itu, aku cuba menilik sedalam mungkin isi hatinya. Cuba mencari jika ada niat bergurau terselit di situ.
Tapi yang nyata, semakin lama anak mata kami bertautan, kurasakan semakin jauh dia menyelam ke dasar hatiku, memiliki perasaan yang terlalu halus itu. Hanya ada keikhlasan di wajahnya. Dan dengan nada yang paling dalam, dia membisikkan.
“Saya sayang awak, Isya... and I’m in love with you.”
Bergenang semula air hangat di tubir mataku.
“Jadi isteri saya, Isya?” bisiknya lagi, lebih jauh meresap ke dalam perasaan.
“Bagi saya ruang jaga awak, kalau awak percaya saya mampu bahagiakan awak.”
“Shah...” pintasku segera dan tika itu juga berhamburan air mata. Kurampas beg kertas dari pegangannya, kuhempas ke dadanya.
“Isya...”
“Sudah-sudahlah, Shah!”
Dia diam. Beg kertas yang menekan dadanya kugenggam kejap, tak tertahan lagi menanggung segalanya.
“Dah terlampau jauh awak pendam, baru sekarang awak nak luah!”
Dia tidak menjawab.
“Masa depan saya dah lama hancur, Shah...” Berderai lebih galak tangisanku, hingga aku mula tak mampu melihat dirinya. Pandangan sudah dikaburkan oleh air jernih.
Dia tidak juga bersuara.
“Majlis bertunang tu lagi dua minggu. Saya tak setuju tapi keputusan tetap dah dibuat. Ke mana lagi saya nak pergi?”
Dengan kata-kata itu, aku lihat tatapannya untukku semakin dalam. Buatkan aku semakin lemah dan pilu. Kujatuhkan wajah akhirnya, semakin terluka.
Aku dikhabarkan dengan sesuatu yang memang kuharapkan selama ini. Tapi belum sempat berbahagia, aku sudah perlu sedar yang aku takkan dapat bersamanya. Jodohku sudahpun ditetapkan dengan lelaki lain.
Kesudahannya, akulah yang akan lebih terkilan kerana terpaksa melepaskan dia dan kemudian mengecewakannya pula. Ya Allah, apakah yang lebih memeritkan daripada semua ini!
“Sudahlah, Isya...” Dalam suaranya memujuk, hampir kepada bisikan. Tapi hakikatnya pujukan itu semakin menghukumku. Aku semakin tak sanggup berjauhan darinya.
“Tak ada apa pun yang terlambat,” bisiknya lagi.
Aku diam.
“Majlis tu lagi dua minggu. Ada masa lagi kalau kita batalkan.”
Aku tertawa pedih. Berlinangan lagi air mata.
“Nak ke mak ayah saya terima...”
“Kita boleh usahakan sama-sama...” Lembut dia memintas.
Aku terdiam.
“Saya boleh tolong awak terangkan pada keluarga, Isya...” Lebih lembut nadanya, benar-benar terselit kesungguhan di dalamnya.
Aku terdiam lagi. Teragak-agak kuangkat kepala, cari anak matanya.
“Awak... aa... awak berani, Shah?”
“Kenapa tak?” Tulus senyuman yang terukir di bibirnya.
Aku terdiam semula.
“Dah bersusah payah saya rebut awak, sekarang ni saya nak lepaskan macam tu aje?”
Berbalam semula pandanganku, tak menyangka ini yang bakal kudengar darinya.
Dia tersenyum lagi, lebih menenangkan. Bila aku menatapnya lebih dalam meminta kepastian, dia mengangguk kecil. Yakin dengan kata-katanya.
“Belum ada apa yang terlambat, Isya. Asalkan awak tak jauhkan lagi diri awak dari saya.”
Aku membisu.
“Kita selesaikan sama-sama hal ni. Mmm?”
Aku membisu juga.
Lebih lembut senyuman terukir di bibirnya, seakan dia mahu menitipkan kekuatan padaku. Memberitahuku, dia sentiasa ada untukku. Asalkan aku percaya padanya, itu sudah memadai.
Makin berbalam pandanganku dan akhirnya berlinangan semula air mata di pipi. Aku jatuhkan wajah.
“Saya harapkan awak, Shah...” Perlahan, tenggelam dalam rasa sebak.
Dia diam. Hanya ekor mataku yang dapat melihat senyuman lapang di bibirnya.
“Tapi awak bukan buat semua ni untuk saya, Shah?” pintasku segera.
Dia terdiam. Dapat kurasakan, dia bingung dengan soalan itu.
“Awak tahu saya tersepit. Awak kesian, jadi awak paksa diri awak tolong saya.”
Dia diam tanpa sebarang reaksi yang boleh kubaca. Aku mula teragak-agak.
“Bukan sebab tu, Shah?”
Dia diam juga. Aku jadi sedikit tertanya lalu memberanikan diri mengangkat kepala, pandang wajahnya. Sudah ada senyuman penuh erti terlakar di bibirnya. Agak nakal pandangannya untukku.
“Sekarang dah pukul berapa?” soalnya.
Berkerut dahiku.
“Tengah-tengah malam macam ni, lagi awak nak saya buktikan perasaan saya?”
Aku terdiam.
“Awak harapkan apa dari saya sebenarnya ni?”
Hangat serta-merta wajahku lantas kupaling wajah ke arah lain. Hati di dalam cukup dahsyat mengutuk diri sendiri. Kau ingat ni drama Inggeris ke apa, Isya!
Dan lelaki itu tertawa akhirnya. Penuh makna. Makin berbahang wajahku.
“Tak maulah, Shah.” Kuseriuskan suara memberi amaran. Tapi dia sebaliknya semakin nakal pula mentertawakanku. Semakin dahsyat hatiku menyumpah diri sendiri. Tak tahu ke mana lagi mahu disorokkan muka, aku segera berkalih. Sapu air mata di pipi.
“Jomlah balik.” Terus berganjak pergi bersama-sama beg pakaian di tangan.
“Nanti dulu.” Pantas dia menahan. Diakhirkan tawanya di situ juga.
Aku terhenti, jeling wajahnya. Tapi entah mengapa, ada rasa tenang yang mengalir ke dalam diriku bila mendarat saja anak mataku ke wajahnya. Dan senyuman yang masih terukir di bibirnya itu seakan-akan suatu anugerah yang membuat aku tak mampu mengalih pandangan darinya. Dia nampak... nampak menggoda.
Ah, entahlah. Dulu, akulah yang paling menjauhkan diri darinya.
Dia matikan langkahnya berhampiranku, menyedarkanku dari lamunan. Dia berdiri di sebelahku, kembali payungkan tubuhku.
“Jom.” Dalam suaranya, dan aku dapat merasakan bergetar perasaanku dengan ungkapan ringkas itu.
Aku mengangguk sedikit dan kami mula melangkah.
“Cuma satu, Isya.” Dia bersuara semula tidak lama kemudian.
“Mmm?” sahutku, terlalu halus suara tanpa berani mengangkat wajah.
Midterm break ni kita nikah?”
Tersentak aku spontan mati langkah di situ juga. Dia ikut berhenti, pandang diriku yang terpinga-pinga.
“Lagi dua minggu?” Teragak-agak aku meminta kepastian.
Dia diam tanpa menafikan.
“Kenapa cepat sangat?”
“Sebab saya takut tak boleh nak kawal diri.” Penuh bersahaja, sedangkan mukaku dah makin menghangat. Kutelan liur.
“Awak dah nampak semuanya, Shah?”
Berkerut sedikit dahinya. Aku segera jatuhkan pandangan, makin gelisah menanggung wajah yang terus menghangat.
“Waktu tt... tukarkan pakaian saya tadi.” Hampir tak kedengaran. Ekor mataku melihat dia tersenyum sendiri. Penuh dengan maksud yang tak mampu kutafsir. Bertambah hangat wajahku.
“Awak fikir disebabkan saya dah tengok, jadi saya cepat-cepat nak ikat awak?”
“Mana saya tahu,” jawabku bersama hati yang makin resah.
Dia tertawa halus. Aku bingung lantas memandang semula dirinya, tapi masih dalam keadaan teragak-agak. Dia menggeleng-geleng, geli hati.
“Saya yang tak bagi doktor tu ambik kesempatan, tapi lepas tu saya pulak yang ambik kesempatan?”
Aku terdiam. Dia akhirkan tawa, mendengus lembut.
“Saya selimutkan awaklah.”
Lega aku mendengarnya.
“Kenapa? Takut?”
Aku diam. Tak tahu patut jawab apa.
Pecah semula tawanya, kali ini sambil menggeleng-geleng penuh erti. Ada kerlingan nakal hinggap di mataku. Hangat wajahku bila faham maksud yang dia cuba sampaikan. Sah, dia sengaja mengenakanku. Dia mahu lihat, gelabah atau tidak aku terhadapnya.
“Shah!” bentakku sambil menghentak sebelah kaki. Terpercik air hujan.
Makin galak tawanya. Nakal!
Makin tak tahu ke mana mahu dihalakan muka, akhirnya kucampak beg kertas padanya. Mendarat tepat di dadanya tanpa sempat dia mengelak. Dia terundur setapak dan beg jatuh ke tanah yang basah.
Dalam tawa yang bersisa lelaki itu mengusap dadanya.
“Isya...” Ada kemanjaan di situ, menjadikan aku tidak betah mendengarnya. Argh... teruklah kalau terus begini...
Dia betulkan kaca matanya yang sedikit terlucut. Kemudian mengutip beg yang berada di hujung kakinya. Dipandangnya.
“Kesian kau, beg...” Konon memujuk sambil mengusap-usap beg.
“Dia yang malu nak cakap pasal kahwin dengan aku, kau pulak yang jadi mangsa.”
“Dah. Pergi baliklah, Shah!”
Dia mengerling semula diriku. Nakal.
“Awak halau saya, Isya?” Aduh... ini yang lemah ni...
“Tolonglah, Shah... jangan buat macam ni...” Terpaksa merayu akhirnya.
“Kenapa?” soalnya, sedangkan di bibirnya sudah terukir senyuman yang semakin nakal. Aku tahu, dia sengaja buat-buat tak faham maksud aku. Kalau dah nama pun Shah, memang tak sah kalau tak menyakat!
“Kita ni tak ada apa-apa pun lagi... nanti orang fikir bukan-bukan kalau kita duduk lama-lama kat sini...”
“Disebabkan tak ada apa-apalah saya nak ikat awak waktu cuti ni. Lagi cepat lagi bagus.”
Hangat semula wajahku. Dan anak matanya bertukar redup, menatapku dalam. Dan di wajahnya saat ini mula terlihat riak serius.
“Kalau awak rasa awak percayakan kasih sayang saya, saya tak mahu tunggu lama lagi, Isya. Saya nak jaga awak.”
Berderau darahku dengan lafaz itu. Dia menatapku lebih jauh dan dengan nada yang paling dalam, dia membisikkan.
“Jadi isteri saya, Nur Farisya Lokman.”
Bergetar perasaanku. Alam juga bagaikan terhenti dengan lafaz keramat itu. Dan aku bagaikan sedang berada di dalam sebuah hikayat cinta. Dilamar ketika titis-titis hujan semakin sayup ke penghujung, di bawah sepohon rendang dan di bawah sinaran kekuningan cahaya lampu.
Air yang bertakung di tanah pula kedengaran mengalir ke dalam longkang, mencipta suasana yang mirip dengan sebuah kawasan anak sungai. Mendamaikanku, walau aku sendiri tidak pasti entah dari mana datangnya perasaan itu.
Aku tidak tahu apa reaksi yang harus aku tunjukkan saat ini. Tapi yang pasti, aku terlalu malu untuk bersuara apalagi berterus-terang menyatakan persetujuan. Ah, persis gadis melayu terakhir pula!
Akhirnya di dalam senyuman yang semakin membahangkan wajah, aku mengangguk dan terus jatuh pandanganku. Dapat kurasakan dia tersenyum bahagia. Aku tersenyum juga. Mengangguk kecil lagi.
“Saya percayakan awak, Shah.”
Semakin mekar senyumannya. Dihampirkan lagi diri denganku.
“Jom. Kita balik.” Dalam suara, hampir kepada bisikan.
Aku mengangguk lagi. Dan dia mula mengiringi langkahku ke kereta. Terdengar satu keluhan lega darinya.
“Tak sangka sampai jugak ke waktu ni. Ingatkan selamanya boleh pandang dari jauh aje.”
Hangat wajahku mendengarnya. Jauh di dalam hati, ada rasa syahdu menyentuhku. Tidak pernah aku duga semua ini akan berlaku. Bahkan tadi ketika menyangka di hatinya itu langsung tiada ruang untukku, aku fikir itulah kali terakhir aku melihat dirinya.
Aku sendiri tidak pernah sedar, sejak bila dia di dalam diam mengisi hatiku. Hingga rasa kecewaku terhadap Abang Mi jadi makin mencengkam pun mungkin disebabkan aku cuba membohongi perasaanku terhadap Shah.

Entahlah... aku sendiri tidak tahu, bagaimana aku boleh tidak sedar kewujudan perasaan itu, hinggalah akhirnya perasaan itu terluah dengan sendirinya.

23 861 komen:

Am_Mir said...

ok2x. Goodluck Shah!! =D
Goodluck jugak untuk Cik Writer! -^^- <3

Nurul Fatin Farhanah Anuwar said...

Terbaik kak!! Saya mmg suka kalau Farisha and Sya!! Sweet couple... ayatnya pun romantik!! Teruskan berjuang......

Siti Hanisah said...

Tq... ;)

Siti Hanisah said...

Hehe... Akhirnya..
Shah la hero sbna cerita ni ;)

Audra Sazreena said...

Membuatkan saya teringat kisah di kampus dulu.. memang ada seorang Shah masa tu.. sangat misteri tapi bila tengok muka dia memang mendamaikan..

Siti Hanisah said...

Oo ye ke?

Kebetulan la ni, tersama... ;)

Azilah said...

Terbaik...

Audra Sazreena said...

Bila nak terbit dua dua novel ni? Patut dah layak untuk diterbitkan dah ni...

Siti Hanisah said...

Hati Yang Kau Sentuh, insya-Allah tahun depan. Sekarang diorang tengah edit cerita tu.

Bila Hati Perlukanmu... sekarang ni tengah bergelut menyiapkan. Hehe

Doa-doakanlah, biar lancar semuanya... ;)

Siti Hanisah said...

Terima kasih... ;)

Audra Sazreena said...

Alhamdulillah.... saya akan tunggu 2 2 novel ni!! Tapi yang saya perasan.. watak utama hero dua dua novel ni macam ada persamaan sikit dari segi sikap/style... hmm

Siti Hanisah said...

oo ye ek?

Hehe... terlepas pandang ;)

Siti Hanisah said...

Takpe2. Nanti saya try bawak Shah tu lari jauh2 dari style/sikap Azrul. Heh! ;)

Siti Hanisah said...

Tapi... jap...

Mana yang sama eh?

Boleh bagi contoh tak?

Seriously saya tak perasan...

Audra Sazreena said...

Sorry.. baru baca your comment... Pada awal cerita.. dua dua watak ni - Shah dan Azrul ni jenis mysterious.. and "lone ranger" .. orang anggap dia ni lain dari yang lain.. dia suka pada seseorang.. tapi dia pendam sorang-sorang dan tak berapa nak tunjukkan.. sehingga ada situasi yang "trigger" dia untuk menunjukkan apa yang sebenarnya dia rasa..

Itu yang saya nampak la...

Siti Hanisah said...

Oooo... Okey2, terima kasih.

Sebenarnya memang saya sengajakan macam tu. Hehe
Sebab cerita kali ni dari sudut pandangan Isya. Apa yang dia nampak, itulah yang dia fikir.

Shah bukan macam tu sebenarnya. Isya tak kenal Shah, so dia fikir Shah something.
Mungkin sebab baru bab 9, jadi watak Shah tu mungkin belum terkeluar habis depan Isya.
Takpe2...
Diorang dah declare nak kahwin ni kan, keh3x.
Lepas ni, Isya akan kenal Shah lebih dekat...

Apapun, terima kasih... ;)

baby mio said...

Best sangat.

Audra Sazreena said...

Ahh.. okay... saya tunggu update seterusnya... makin syok ni ;)

Tapi seorang Shah yang saya kenal di kampus dulu memang jenis misteri orangnya.. but very smart fella. Low profile tapi kalau perati dia ni macam kat library ke kat cafe ke memang "sejuk hati" ... his best feature is senyum senget dia.. sebab bila dia senyum senget nampak lesung pipit sebelah.

Siti Hanisah said...

terima kasih... ;)

Siti Hanisah said...

Ooo... hahaha...

Shah... Shah...

Anonymous said...

Isya..... Isya...... Hurmmm....... Naseb baek abg mi nk kawen dgn org lain. He he he
Yanshi

Siti Hanisah said...

Tu la pasai haha

Siti Hanisah said...

Shah kita macam lebih kurang je... ;)

Ke dia masuk dalam mimpi saya, suruh saya buat cerita pasal dia? Keh3

(Bab2 merepek memang serah pada saya! haha!)

Post a Comment

Assalamualaikum. Hai!
Terima kasih baca.
Cer komen sikit?

.

.