Tuesday, 5 January 2016

Scarlet Cinta (Bab 1)

Assalamualaikum. Hai!

Alright,

Pada yang dulu pernah follow citer ni, untuk versi cetak nanti akan ada perubahan tau. Boleh tahan banyak jugak la tukarnya... bab satu ni sendiri pun.

And pada yang lama sangat sabar tunggu citer ni terbit, ni hadiah untuk korang. Korang memang terbaiklah! Saya mungkin takkan siapkan pun citer ni kalau tak ada yang betul-betul push. Korang sendiri pun tau dulu saya cemana sepanjang nak update citer ni. Hahaha (Saya tersengih je sorang-sorang bila ingat2 balik time tu. Hadoiii)

Pada yang baru pertama kali baca citer ni, happy reading. Terima kasih n rajin-rajin la datang lagi. Try comment kat bawah ni. Esok boleh saya update lagi, insya-Allah. ^_^Y

*****************


BAB 1 


DEWAN kuliah sedang sibuk dengan pelajar yang mahu keluar. Waktu Fluid Mechanics baru selesai, jadi masing-masing mahu ke kelas lain. Ada yang terburu-buru sampai sanggup berlari-lari anak menuju pintu, mencelah-celah dalam kesesakan laluan.

“Ingat ya, class? Esok sebelum mula lecture, pastikan saya dapat semua assignment.” Sempat pensyarah mengingatkan untuk kali terakhir.

“Okey...” Sepakat seluruh kelas menyambut, dan keadaan kembali sibuk.

Di hadapan dewan, dua tiga orang pelajar kelihatan mengerumuni pensyarah. Sibuk bertanya itu ini. Di tangan ada buku dan pensel. Masing-masing nampak bersemangat, masing-masing nampak faham apa yang belum faham.

Tapi aku, di hujung dewan kuliah itu, dengan penuh malasnya aku kemas barang-barang atas meja aku. Tanggalkan kad matrik dari tengkuk, lilit tali pada kad. Aku letak kad atas buku. Lembik, tak bermaya. Pensyarah ajar apa sepanjang satu jam tadi pun aku tak tahu.

Laparnya...

“Kitorang pergi dulu, Rish. Ada kelas lain lepas ni.” Teman di sebelah memberitahu.

“Mmm...” Aku angguk saja, tak semangat. Pandang dia pun tidak.

“Kalau lapar sangat, pergi makanlah, weh. Jangan tahan diri sangat.” Seorang lagi temanku menambah.

“Mmm...” Angguk lemah juga.

Terdiam sudahnya dua gadis itu. Berpandangan, angkat bahu dan beredar pergi. Aku teruskan mengemas barang-barang aku. Masukkan dalam beg kuliah.

Siap, aku bangun. Semacam ada magnet yang menarik pandangan, aku menoleh ke hadapan dewan. Waktu ini, sudah giliran pelajar lain berbincang dengan pensyarah. Pelajar lelaki. Nampak serius dan... ya... dikelilingi pelajar perempuan.

Selesai berbincang, dia beredar dari situ. Tapi belum sempat keluar dewan, pelajar-pelajar perempuan itu segera menahannya. Giliran dia pula yang diserbu, bukan lagi pensyarah. Pensyarah keluar begitu saja dari kelas itu, sempat melambai dan tersenyum penuh makna padanya.

Tersengih sumbing dia pada pensyarah, sebelum dia kelihatan menggaru-garu sedikit belakang tengkuknya. Bagai serba salah dengan permintaan gadis-gadis itu. Tapi gadis-gadis itu tetap juga mendesak bantuannya. Mungkin sebab dia paling senior dalam kelas ini, jadi dia dianggap paling sesuai dijadikan tempat rujukan.

Tersenyum sinis aku dibuatnya.

Diorang tak tahu kut siapa sebenarnya mamat tu. Kalau tahu, agaknya dan-dan tu jugak diorang bertempiaran lari. Seriously. Aku dah faham sangat fiil mamat tu. Dia tu harapkan rupa aje, tapi perangai hancur. Aku kelaparan hari ni pun sebab dialah. Dunia aku porak-peranda sekarang ni pun sebab dia.

Tapi dalam waktu-waktu macam ni, aku dah tak larat nak peduli lagi semua tu. Lantak mamat tulah nak hancur ke nak okey. Yang aku tahu, sebelum habis semua benda aku telan, baik pergi cari makan.



KAFETARIA sedang sibuk waktu aku tiba. Aku tak peduli, terus saja dengan kerja aku. Senduk nasi, pilih lauk. Kemudian beratur untuk bayar. Tiba giliran aku, aku letak pinggan atas kaunter. Sementara tunggu cashier mengira, aku seluk beg kuliah.

“Tujuh setengah.”

Waktu tu juga terhenti gerak laku. Bukan sebab harga yang akak tu sebut, tapi sebab tangan aku tak jumpa apa yang kucari. Ah, sudah.

Cepat-cepat aku luaskan bukaan zip beg. Selongkar lebih menyeluruh, tapi tak jumpa juga. Kau jangan, weh... ini bukan drama tv! Tak ada hero yang nak datang selamatkan kau!

“Tujuh setengah!” Lebih kuat suara akak tu.

“Kejap, kejap.” Makin kalut aku selongkar beg kuliah. Tapi tak jumpa juga benda alah tu. Duh... tolonglah jangan buat hal!

“Eh, cepat sikit. Orang tengah ramai ni.” Akak tu bersuara lagi. Terhenti sudahnya aku. Mahu tak mahu, aku pandang juga akak tu.

“Saya tak bawak duit.”

Berubah terus muka akak tu.

“Boleh tak hutang...”

“Pergi balik!” Meninggi suara dia tiba-tiba.

Aku terdiam.

“Bayar dulu baru boleh makan!”

Walaweh, aku tengah lapar gila kut! Bilik pulak bukannya dekat. Sempat aku pengsan dulu tengah jalan!

“Tolong kira, kak.”

Terpaksa aku berganjak ke tepi bila orang belakang macam dah hilang sabar. Ikutkan hati, nak aje aku telan akak tu hidup-hidup. Aku tengah lapar ni! Yang dia kedekut sangat apahal? Macamlah aku nak sangat makan kat kafe dia ni. Dahlah mahal, tak sedap pulak tu! Ptuih!

“Nah, ambik ni.” Akak tu tolak pinggan nasi tadi ke arah aku.

Terbeliak biji mata aku. Dia dengar aku kutuk dia?

“Nasi dia tu harga tujuh setengah, Shah.”

Aku makin terdiam, lagi-lagi bila dengar aje nama tu. Cepat-cepat aku menoleh dan terus patah selera dibuatnya.

Di sebelah aku sekarang ini, seseorang tengah keluarkan sekeping not dari purse. Siapa lagi kalau bukan classmate aku tu. Classmate yang tadi serius berbincang dengan pensyarah, yang keliling dia ada budak-budak perempuan menunggu tu. Dia jugaklah classmate yang setiap masa buat hati aku hangat tahap gunung berapi!

Cepat-cepat aku pandang balik akak cashier.

“Tak payah, kak.”

Akak tu terhenti. Tegang balik muka dia, tajam jeling aku.

“Biar saya balik hostel dulu, ambik duit.”

“Orang dah tolong bayar tu ambik ajelah!” Melengking suara dia tiba-tiba.

Aku terdiam.

“Dah, tepi sikit! Orang tengah sibuk ni!” Ditepisnya pinggan nasi aku ke hujung kaunter. Kasar benar, sampaikan aku jadi tertanya-tanya.

Dia ni tengah mintak penampar ke penendang sebenarnya?

“Orang tengah ramai ni, Farisya.” Satu suara segera mematikan fikiran aku yang dah membayangkan rupa akak cashier dengan gigi berterabur kena terajang.

Aku menoleh. Jeling tajam mamat tu.

“Ambik aje nasi tu.” Dengan ayat tu, dia menapak lintasi belakang aku. Tenang, macam tak pernah buat salah dengan aku. Gedik aje aku tengok hipokrasi dia tu.

“Awak ingat kalau awak tolong saya macam ni, saya boleh senang-senang lepaskan awak, Shah?”

Terhenti langkah dia yang mahu pergi. Dia menoleh pandang aku, berkerut sikit dahi.

“Sebab awaklah dunia saya huru-hara sekarang ni, awak tau?” tambahku.

“Awak tak naklah nasi tu?”

“Tak nak!”

Dia diam, tambah berkerut dahi. Aku terus tajamkan renungan, tak peduli pada mata-mata yang memandang.

Mamat tu yang melampau! Takde pasal la aku nak mengalah!

“Oh, tak nak rupanya...” Perlahan mamat tu menggumam.

Memang aku tak nak pun!

“Saya ingatkan tadi awak lapar...” Semakin perlahan suara dia, tapi mula terdengar riak-riak menyindir.

Diambilnya pinggan nasi yang masih tersadai di hujung kaunter. Dia pandang juadah tu. Tak sampai sesaat, dia pandang aku balik.

“Terima kasihlah pilihkan lauk-lauk ni untuk saya, Farisya.”

Aku terdiam. Dapat rasa yang usaha untuk sedarkan dia soal hati aku yang tengah sakit ni langsung tak berkesan. Dia lagi rasa yang dia dah menang dan aku kalah.

“Saya pun memang tak tahu nak makan apa hari ni...” Dengan ayat tu, dia mula berkalih. Melangkah mahu pergi. Nampak sangat yang dia tengah mengejek.

Geram benar aku dengan keselambaan dia tu. Tak tunggu lagi, aku cepat-cepat meluru ke dia.

“Ni nasi saya!” Rampas pinggan dari tangan dia.

Dia terhenti. Pandang aku, dan ada senyum di bibir yang dia cuba tahan. Senyuman mengejek. Hei... sabar aje aku!

Tak tunggu lagi, terus aku pergi dari situ. Menyampah!

Tapi tak sempat semeter pun menapak, aku tersedar ada sesuatu terlekat di bawah pinggan. Mati langkah aku. Cepat-cepat aku intai buntut pinggan.

Sekeping kertas memo. Aku ambik, baca tulisan di situ.


Anggap ini hadiah sebab siapkan assignment.


Terbeliak biji mata aku. Tak guna!

Waktu tu juga aku rasakan, Shah di belakang aku dah tersenyum kemenangan. Cepat-cepat aku menoleh.

Memang, mamat tu tengah tersenyum. Senyum nakal sebab berjaya perangkap aku.

Tersirap darah aku. Tapi belum sempat aku buat apa-apa, dia berundur setapak dengan maksud mentertawakanku. Makin tersirap darah aku!

Sekali lagi dia tersenyum. Dia kenyit mata pada aku, berpusing dan melangkah keluar dari kafe itu. Begitu saja.



2 861 komen:

Azida Aqm said...

Menyakitkan hati Shah ni, serius nk tau apa sebenarnya cerita diaorg .

rosiah roslan said...

Best

Post a Comment

Assalamualaikum. Hai!
Terima kasih baca.
Cer komen sikit?

.

.