Sunday, 24 January 2016

Scarlet Cinta (Bab 21)

PINTU bilik ditolak kasar dari luar. Aku yang ketika itu sedang memasukkan pakaian ke dalam bagasi serta-merta terhenti pergerakan lantas menoleh.
Masuk Liza. Aku kerut dahi. Bingung, kerana setahuku konsert belum berakhir. Tapi sebelum sempat aku bertanya, dia sudah terlebih dahulu menghempas pintu. Berdentum.
Aku terdiam. Cuba baca riak wajahnya yang nampak tegang itu.Dia cabut tudung dari kepala, hempas ke kerusi. Kemudian dia lempar tubuh atas katil.
“Tak guna!!!” Lantang pekikannya sambil menumbuk bantal.
Aku terdiam lagi.
“Benci! Benci!” Ditumbuk-tumbuknya lagi bantal.
“Benci!!!”
“Kenapa ni?” celahku, mula risau.
Terhenti tangannya yang menumbuk itu lalu menoleh. Tajam pandangannya padaku bersama nafas yang turun naik.Aku menyoal lagi, kali ini dengan pandangan bingung.
“Kau tahu, ini konsert paling teruk aku pernah jumpa!”
“Kenapa?”
“Kairuru tak guna!”
Aku terdiam, tak faham.Dia makin kejap mengetap gigi. Dengan nafas yang masih turun naik dia turun dari katil. Melangkah ke tingkap yang terbuka. Bengis wajahnya, bagaikan tembus renungan merentas kegelapan malam.
Dia genggam buku lima, ketat. Sesaat kemudian, perlahan-lahan dileraikan. Kemudian dia genggam lagi buku lima sebelum meleraikan kembali. Berkali-kali begitu, tanpa kutahu apa maksud sebenar perlakuan itu.Tapi yang pasti, dia sedang berdendam terhadap sesuatu. Aku pula yang rasa tak enak.
“Aku pergi konsert tu sebab nak jumpa dia. Sebab aku nak bagitau, siapa diri aku pada dia.” Perlahan tuturnya sambil terus merenung ke luar, namun riak tegang cukup jelas kedengaran.
“Tapi ini yang aku dapat!” Meledak tengkingan.Aku langsung tak mampu faham punca sebenar kemarahannya.
“Kenapa sebenarnya ni?”Teragak-agak kuaju soalan.
“Kau kenal Shah?” Serentak itu dia menoleh. Serius.
Final year guy yang selalu orang sebut-sebut tu? Kenapa dengan dia?”
Dia tidak terus menjawab sebaliknya kembali melempar pandangan ke luar. Dia peluk tubuh, makin kejap mengetap gigi.
“Dia bukan Kairuru.”
Aku diam, masih tak mampu faham. Masakan itu yang buat dia marah hingga begini.
“Padahal selama ni semua orang ingat Kairuru tu dia.” Dia menambah.
Aku senyap juga.
“Kau tahu macam mana aku boleh tahu yang dia bukan Kairuru?” soalnya lagi sambil menoleh.
“Tak.”
Dia merengus kasar, kembali pandang ke luar.
“Masa slot solo untuk Kairuru tadi, ada orang ternampak Shah dating kat belakang dewan.” Makin jelas ketegangan dalam suaranya, bagaikan itulah punca sebenar amukannya.
Aku terdiam, telan liur. Mula rasa tak enak.
Ada orang ternampak aku berjumpa Shah.Ertinya? Aku akan semakin didendami?
Berderau darahku. Kupandang Liza yang nampak bagai sudah hilang waras itu.Adakah dia juga akan bertindak seperti gadis-gadis lain?
“Semua yang ada kat dalam dewan tu tadi, semua keluar. Pergi serbu dia. Waktu tu jugak baru semua orang tahu, yang dia tu sebenarnya drummer Diamond.”
Jelas, rahsia Shah sudah terbongkar. Tak mampu kujangka apa yang berlaku padanya waktu ini.
Melihatkan Liza yang terus emosi itu, segera kukerah akal untuk cuba menenangkan keadaan.
“Dalam Diamond, agaknya dia yang dah nak kahwin tu...”
“Itu aku tahu!” pintasnya keras.
Aku terdiam, sedikit terkejut dengan tengkingan itu. Tapi dalam masa yang sama aku tertanya-tanya.
Setahu aku, hubungan aku dan Shah masih jadi rahsia hingga kini. Tiada siapa di kampus ini yang tahu termasuk Liza. Dia juga tidak pernah tahu, sebenarnya Shahlah pelajar tahun akhir yang kukutuk-kutuk dulu. Selama ini aku tidak pernah menyebut nama Shah setiap kali di hadapannya. ‘Mamatfinal year’, ya itu saja gelaran yang kuguna.Dan tadi, aku ke konsert pun tanpa pengetahuan gadis itu.Lantas bagaimana dia boleh tahu status Shah?
“Masalahnya dia tu yang tak sedar diri!” bentak gadis itu lagi.
“Dah nak nikah, tapi duk menggatal lagi dengan betina lain!”
Berkerut dahiku. Mula rasa ada yang tak kena dalam kata-katanya.
“Betina tu bernasib baik sikit aje. Sebab waktu orang serbu tadi dia dah tak ada kat situ. Kalau tak tadi memang aku dah maki dia cukup-cukup!”
“Kau cakap apa ni?” Terpacul akhirnya soalan itu dari bibirku. Tidak setuju dengan Liza yang mula nampak berlebihan.
Dia menoleh. Tajam merenungku, sebelum kemudiannya dia tunjukkan jari manis di tangan kirinya. Cincin belah rotan kemas tersarung di situ.
“Shah?!” Sepantas kilat aku bingkas menghampiri Liza. Benar-benar tak menyangka.
“Bulan tujuh ni nikah.” Dia menambah, buat aku lebih tak keruan.
“Shah calon yang keluarga kau pilih selama ni?”
“Hah!” bentaknya.
Aku terdiam. Ada lagi yang Shah rahsiakan dari akurupanya!
“Lima hari lepas bila aku tahu yang sebenarnya dia calon tu, berhari-hari aku fikir.” Dia menambah.
“Sebab aku tahu betapa susahnya hidup aku kalau jadi wife dia. Dia bukan calang-calang orang kat U ni.”
Aku diam memerhati dirinya, sedangkan fikiranku sudah mula celaru memikirkan Shah. Ikutkan hati, sekarang juga aku mahu menghubungi lelaki itu. Biar jelas segalanya!
“Alih-alih bila aku dah setuju, ini pulak yang aku dapat? Mainan apa yang keluarga aku nak sangat sebenarnya ni? Hah?” Meninggi semula suara Liza. Dia berkalih, berpeluk tubuh menghadap ruang tengah bilik.
“Shah tahu kau belajar kat sini?” soalku.
“Entah!” Kasar.
Aku terdiam.
“Empat tahun, Rish. Aku pekakkan aje telinga bila diorang kutuk Fariz macam-macam. Konon pilihan diorang tu yang terbaik. Sekarang ni? Diorang ingat kalau aku sakit hati dengan Shah, aku boleh lepaskan dia macam tu aje? Boleh biarkan aje Shah main-mainkan aku? Macam tu?”
Terdiam lagi, cemas dengan kata-katanya kali ini.Pecah tawa sinis dari bibirnya. Dia menggeleng, berpeluk tubuh.
“Memang taklah...” Sambil mengetap gigi.
“Salah keluarga aku sebab buat Fariz tinggalkan aku. Tapi Shah pun aku takkan lepaskan kali ni! Tengoklah!” Meledak semula kemarahannya.
“Jangan ingat kalau aku diam, diorang boleh buat macam-macam. Aku dah cukup sabar selama ni!” Dengan kata-kata itu, dia melangkah pantas dan terus keluar dari bilik itu. Berdentum pintu dihempasnya.
Tika itu juga telefon bimbit di atas meja belajar berdering.Aku diam sesaat, masih sukar percaya dengan semua yang baru berlaku. Teragak-agak kudapatkan objek berwarna hitam itu. Dan sebaik saja terpandang sebaris nama di skrin, pantas kutahan diri dari menekan butang jawab.
Shah.Bagai dapat kujangka tujuan dia menghubungiku ini. Tapi aku tak tahu bagaimana untuk berdepan dirinya saat ini. Fikiranku sedang celaru dengan satu lagi rahsia yang baru pecah ke pengetahuanku ini.
Deringan mati. Lengang dunia. Aku bisu.
Sesaat kemudian telefon berdering lagi. Kupandang semula skrin. Nama yang sama. Aku diam lagi.Telefon terus menjerit dan memekik minta diangkat, hingga aku jadi sakit hati mendengarnya.
Akutahu kali ini aku benar-benar tidak mampu lagi mengawal perasaan. Lantas aku keluar dari bilik itu. Butang hijau pada telefon bimbit kutekan.
“Helo, assalamualaikum.” Dingin suaraku menyapa.
“Waalaikumussalam.” Lemah suara di hujung talian. Jelas terselit nada resah di situ.
Aku diam. Daripada caranya itu, aku semakin dapat menjangka tujuannya.
“Isya,” panggilnya, setelah beberapa ketika talian sunyi.
Aku senyap, melangkah terus ke taman yang terletak di belakang kolej kediaman. Duduk di salah satu bangku yang tersedia.
“Kenapa?” soalku. Dia diam sesaat, bagai serba salah.
“Awak ada dengar apa-apa pasal konsert tadi?”
Bagai yang sudah dijangka. Memang ini tujuan dia menghubungi.Aku mengangguk.
Roommate saya. Bakal tunang awak sendiri yang bagitau.” Sedikit sinis.
Dia terdiam.
“Itu pun awak rahsiakan jugak dari saya, Shah?”
“Tak.”
“Habis tu?”Cuba kutenangkan suara, sedangkan hati di dalam sudah hilang sabar dengan satu demi satu sikapnya yang sukar dijangka.
“Saya tak kenal dia pun, Isya.” Wah, semudah ini dia melepaskan diri?
“Shah, dah lama keluarga dia dengan keluarga awak teringin jodohkan...”
“Tapi saya tak pernah kenal dia, Isya. Takkan saya nak terima?” Laju dia memintas, kali ini sedikit tegang. Makin sakit hati aku mendengarnya.
“Sebab tulah awak cepat-cepat cari calon sendiri?” tebakku.
Dia diam.
“Untuk lepaskan sesak diri?”
“Tak, Isya!” Tinggi suara dia akhirnya.
“Habis tu?”
Dia diam, tertekan. Aku ikut membisu, cuba bersabar.Ikutkan hati, mahu saja aku hamburkan sakit yang sedang kutanggung.
Kenapa mesti begini cara dia mengendalikan hubungan kami!Dia fikir soal nikah kahwin sama macam jual beli ikan di pasar? Boleh tawar-menawar, boleh tolak-tarik sesuka hati?
“Saya betul-betul tak faham dengan awak ni, Shah. Lagi tiga bulan dah nak nikah dengan orang lain, tapi saya satu apa pun tak tahu!”tekanku dalam suara tertahan.
“Awak fikir saya ni apa sebenarnya, Shah? Hah?”
“Okey... tolong dengar dulu,Isya... saya boleh terangkan.”Lemah dia memintas.
Aku senyap. Sebelah tangan memeluk tubuh, mencabar.
Dia senyap sesaat. Bagai cuba menyusun ayat.
“Sebenarnya kakak saya memang pernah cuba jodohkan saya dengan pilihan dia, tapi saya tak setuju.”
Diam.
“Sejak tu kakak saya senyap. Tapi saya tak tahu kenapa dalam diam dia pergi meminang.”
“Keluarga awak tahu pasal kitakan, Shah?” pintasku, mempertikai.
“Orang tua saya aje yang tahu. Kakak saya tak.”
Aku terdiam semula, makin sukar menerima.Takkan orang tua dia tak hebahkan urusan sepenting itu pada kaum keluarga?
“Isya...” keluhnya berat.
Aku enggan menyahut.
“Ada selisih faham sikit hari tu. Sampai sekarang kakak saya bawak diri. Jadi sekarang ni, kakak saya aje yang ada kat sini. Mak ayah saya uruskan business kat overseas.” Bersungguh nadanya, bagai dapat membaca pertikaian dalam benakku.
“Tapi saya tak terfikir pun orang tua saya boleh diamkan aje hal kita...”
Aku senyap.
“Saya sendiri pun terkejut bila tadi semua yang ada kat dalam dewan tu serbu saya. Liza ada sama masa tu. Mengamuk dia pada saya sebab tahu saya jumpa perempuan lain.”
Senyap.
“Masa tu awak baru aje pergi, Isya.”
Aku senyap juga, enggan menjawab walau sepatah pun. Mahu kulihat sejauh mana dia berterus-terang kali ini.
“Untuk hal yang ni, saya memang tak pernah rahsiakan langsung dari awak. Sebab saya sendiri tak pernah terfikir semuanya akan jadi macam ni.”
Aku bisu juga.
Dia terdiam, bagai faham hatiku yang masih curiga. Terlepas keluhan berat darinya.
“Isya, saya...” Terhenti. “Saya tt...” Terhenti lagi, celaru. Dia hempaskan nafas sesak akhirnya.
“Saya tak ada waktu kakak saya pergi pinang dia. Saya tak tahu apa-apa pun,Isya. Semua tu kakak saya sendiri yang aturkan.”
Aku senyap juga.Dia mengeluh lagi, lebih berat.
“Isya...” panggilnya lagi sesaat kemudian, kali ini bernada rayuan.
“Hmm...” Kupaksa juga diri untuk menyahut bila melihat dia semakin hilang arah. Tapi dingin cuma suaraku.
“Boleh tak tolong percayakan saya?”
“Kalau saya percayakan awak sekalipun, apa aje yang boleh kita buatsekarang ni?”
Dia terdiam.
“Awak dah nak jadi hak orang.”
“Tolong jangan mengalah macam ni, Isya.”
“Habis tu macam mana lagi?”
“Insya-Allah, akan selesai jugak masalah ni nanti.” Semakin runsing nadanya.
Aku senyap.
“Saya call ni pun sebab saya tak nak awak salah faham, Isya.” Penuh dengan nada mengharap kata-katanya kali ini.
Senyap.
“Kita baru sebulan kenal, memanglah mudah sangat salah faham. Tapi saya dah usahakan untuk betul-betul jujur dengan awak. Semua yang kita bincangkan belakang dewan tadi, memang cuma itu yang saya rahsiakan dari awak. Tak ada lain dah.” Ditekan sedikit suara dihujungnya.
Aku senyap lagi.
“Tolong saya, Isya...jangan diam macam ni...” Semakin cemas nadanya berbaur dengan suara lemah.
“Bercakaplah, Isya...”
Aku senyap juga, jatuh pandangan akhirnya bersama satu keluhan halus.
Jauh di dalam hati, memang aku tidak mampu menafikan. Satu demi satu penerangannya tadi sebenarnya sudah cukup untuk meyakinkan aku terhadap kejujurannya.
Dia tidak bersalah dalam hal ini. Aku sedar. Bahkan daripada emosi dan tutur katanya yang tidak teratur itu, aku tahu dia juga sedang runsing.Tapi bila memikirkan betapa teruknya keadaan Liza dahulu dan bagaimana dia cuba bangkit, waktu ini aku jadi cukup tak tentu arah.
“Isya...” panggil lelaki itu lagi, semakin lemah.
“Percayakanlah saya, Isya... tolonglah...”
“Saya tak salahkan awak, Shah.” Perlahan aku memintas, tidak sampai hati membiar dia terus di dalam rasa tertekan.
Dia terdiam.
“Saya tahu awak runsing.”
Dia diam. Aku juga ikut membisu. Perlahan-lahan kulepaskan keluhan. Buntu.Rumit berdepan caci-maki warga kampus, rumit lagi masalah kali ini. Kerana aku setiap masa perlu bertemu Liza, dan dia antara yang penting dalam hidupku.
Hidup bermadu dengannya? Oh, tolonglah... aku tak yakin Shah mampu. Dan aku sememangnya lebih tidak mampu untuk menerima semua itu.
“Saya cuma minta awak faham saya, Isya.” Lemah suara lelaki itu meleraikan lamunanku, membuatkanku semakin simpati.
“Iya, Shah... saya faham...”
Dia mengeluh halus, lega.
“Saya betul-betul tak tahu kenapa kakak saya senyap-senyap pergi meminang. Padahal dari dulu lagi saya dah kata pada dia, saya boleh cari sendiri.” Bersungguh nadanya, mengadu bagai anak kecil.
Aku senyap mendengar.
“Saya sendiri pun... penuh Liza pun saya tak ingat, Isya. Dia belajar kat sini pun saya tak pernah tahu. Macam mana saya...”
“Tak apa, Shah...” Lembut suaraku, cuba memujuk rasa bersalah yang ditanggungnya.
Dia senyap. Benar-benar seperti anak kecil, membuatkan aku tersenyum lagi dalam rasa hati yang pedih.
“Liza pernah bagitau hal ni pada saya dulu,” tambahku.
Dia diam.
“Dia tak pernah tahu pun yang calon tu sebenarnya awak. Urusan orang tua, dia sendiri tak faham apa-apa.”
Dia senyap, mengakui benarnya perkara itu. Untuk seketika, lengang antara kami.Jauh kulontar pandangan pada hutan yang gelap menghitam di luar kawasan kolej kediaman. Perlahan-lahan kulepaskan nafas halus.
“Mungkin jalan untuk selesaikan masalah ni dah ada sebenarnya, Shah.Sekarang ni mungkin kita yang belum nampak jalan tu.” Perlahan suaraku, lebih kepada diri sendiri.
“Tak tahulah, Isya,” keluhnya lemah.
“Tak apalah,” putusku, sudah tidak tahu apa lagi yang harus kuperkatakan. Memang aku sudah mula terasa beratnya situasi ini.
“Kat kampung nanti kita boleh berbincang.”
“Tolong percayakan saya, Isya.”
Pecah gelak kecilku, hambar di bibir.
“Ini kali pertama awak nampak susah hati, Shah.”
Dia terdiam. Malu agaknya.Aku tersenyum nipis.
“Tak apa, Shah... saya tahu awak tak salah.”
Serta-merta terlepas keluhan lega darinya.
“Tapi bila dah jadi macam ni, rasanya esok tak payahlah awak hantar saya. Saya boleh pergi terminal bas tu sendiri.” Segera aku menambah.
“Tapi saya risaukan awak, Isya.” Dia bernada runsing semula.
“Shah...” Aku mengeluh lembut, cuba mengharap pengertian.
“Orang kiri kanan kita baru aje tahu yang awak tu sebenarnya drummer. Memanglah jangkaan diorang tak tepat, tapi tak lari jauh. Awak tetap ada kaitan dengan Diamond.”
“Jadi?”
“Mestilah orang akan semakin perhatikan awak, Shah. Lebih-lebih lagi, semua orang dah tahu yang awak tu dah nak bertunang dengan Liza tak lama lagi. Kalau esok ada yang nampak awak hantar saya, awak rasa diorang akan senyap aje ke?”
Dia terdiam, hampa.
“Sabarlah, Shah... tak lama pun lagi,” tambahku, berusaha memujuk.
“Lepas cuti seminggu nanti, bila saya dah jadi isteri awak, awak boleh temankan ke mana jugak saya pergi. Saya akan layan semua kehendak awak.”
Dia terdiam lagi.
“Rehatlah, Shah. Dah jauh malam ni.”
Diam.
“Mmm? Saya pun kena tidur awal ni, esok nak berjalan jauh.”
Dia diamjuga, sebelum kemudiannya mengeluh.
“Nanti bila dah sampai George Town, bagitau.”Penuh terpaksa saja bunyinya, buatkan aku tersenyum sendiri.
“Iyalah, sayang,” ungkapku, dan dia terdiam sesaat bila mendengarnya.
“Nakal.” Pura-pura serius nadanya.
Aku tergelak kecil, benar-benar terusik dengan sifat manjanya yang jelas terpamer saat ini. Cuba kubayangkan raut wajah lelaki itu. Selalunya dia yang menyakat. Bila sekali dia diusik, lain benar jadinya.
Goodnight, Isya.” Tiada kalimah sayang seperti yang selalu diselitkan dalam kata-katanya. Bererti dia memang sedang tertekan dengan masalah ini.Aku tersenyum sendiri, penuh erti.
Goodnight, sayang.”
Dia terdiam lagi. Tapi aku dapat mendengar, ada senyuman yang terukir di bibirnya. Bagai termalu sendiri, membuatkan aku menggeleng-geleng dengan sikapnya. Terhibur.
Shah... Shah...
Tak sangka. Bila berdepan tekanan, dia akan berubah perwatakan hingga begini.
“Tak apalah, Shah. Dah jauh malam ni,” lafazku setelah agak lama talian sepi.
“Okey...”
Berakhir perbualan kami tidak lama kemudian, tapi aku tidak segera beredar dari situ. Jauh kulempar pandangan pada hutan tebal yang terletak di luar kawasan kampus. Cuba tenangkan fikiran dan berusaha menilai semua yang sedang berlaku ini.
Entah mengapa, kusut pula kurasa tiba-tiba.Cerita apakah ini?Liza dijodohkan dengan Shah sedangkan hatinya pada Fariz. Aku pula dijodohkan dengan Fariz walhal aku mengharapkan Shah.Abang Mi pula... ya, tidak lama lagi Abang Mi akan pulang ke tanah air dan berkahwin.
Benar, seakan-akan satu rancangan yang rapi semua ini. Cukup cantik dan kemas, hinggakan akal luar sedarku mula bersangka-sangka- ada campur tangan yang penuh muslihat dalam hal ini. Tiap satunya berkait rapat dengan harta pusaka itu.
Benarkah sangkaanku ini? Atau cuma aku yang terlampau jauh membuat andaian. Begitu?

Aku menggeleng. Tiada jawapan.

10 861 komen:

*~ Jiwa Bulan~* said...

Arghhhh... Geram la plak...kesian shah...

Siti Hanisah said...

Hehe. Nak buek camno... Shah tu mmg jd rbutan..

baby mio said...

BEST.

Audra Sazreena said...

Wohh.. dalam ramai2 perempuan kat kampus tu.. si Liza jugak jadi target.. konflik berat ni..

Siti Hanisah said...

Agenda hehe

Anonymous said...

makin berdebar pula...tak sabar nk tunggu next n3

*~ Jiwa Bulan~* said...

Cerita ni da keluar dkt psaran ea??

Siti Hanisah said...

Terima kasih. :)

Siti Hanisah said...

Belum lagi. Yang dah keluar tu novel lagi satu. Hati Yang Kau Sentuh. (Tajuk lebih kurang, sebab saya lemah bab nak bagi tajuk novel hehe.)

Siti Hanisah said...

Tunggu nanti saya up kan ek. InsyaAllah. :)

Post a Comment

Assalamualaikum. Hai!
Terima kasih baca.
Cer komen sikit?

.

.