Friday, 4 December 2015

Kahwin Dengan Dia? (Bab 8)

SAMPAI ke petang, sudahnya Ashriq jadi pengiring Datin Rozie dan Salina. Ke mana saja mereka pergi, dia cuma mengikut. Dah macam bodyguard pulak.
Tiba di bazar, Datin Rozie nampak beria sangat terujanya. Macam tak pernah nampak orang berniaga. Padahal kat KL tu berlambak aje gerai-gerai macam tu!
Ashriq yang berjalan di belakang, penuh kemalasan mengeluh-ngeluh. Mata meliar-liar ke merata tempat. Pelawaan para peniaga agar membeli barang jualan mereka hanya dibalas dengan pandangan lesu. Fikirannya cuma tertumpu pada Salina dan mummynya yang nampak masih bertenaga itu.
‘Adoi... diorang puasa ke tak ni...’
Tiba di gerai nasi ayam, Datin Rozie singgah. Ashriq ikut mematikan langkah. Datin Rozie rancak tawar-menawar dengan peniaga. Salina pula hanya senyap di sisi wanita itu.
Ashriq lepaskan nafas penat. Penuh lesu dia hampiri Salina. “Lama lagi ke ni?” Perlahan suaranya, tenggelam dalam suasana riuh bazar itu.
Tapi Salina tetap dapat mendengarnya lalu menoleh sekilas. Bertembung pandangan mereka. Segera Salina larikan pandangan sambil menggeleng kecil tanda tidak tahu.
Ashriq mengeluh. Datin Rozie dipandangnya. “Mummy.”
Tiada respons.
Mummy...” Kuat sedikit kali ini. Barulah Datin Rozie menoleh.
“Ash bawak Salina beli barang lain dululah.”
Datin Rozie senyap, ragu-ragu. Salina pula dah jadi serba tak kena. Penuh harap pandangannya dihala ke arah puan Rozie. ‘Tolonglah... Ina tak nak...’
“Nanti kita jumpa kat kereta.” Ashriq menambah, sudah malas mentafsir maksud pandangan mummynya itu.
Datin Rozie senyap juga. Tapi bila melihat anak lelakinya itu seperti sudah benar-benar kepenatan, akhirnya dia pujuk juga hati untuk mempercayai.
Dia mengangguk sedikit. “Jaga Ina baik-baik.”
Ashriq mengangguk sekali, lemah. Dia pandang Salina yang sudah nampak keresahan itu. “Jom, beli barang lain.”
“Err...” Salina cuba menolak.
“Tak apa... abang belanja...” Dan dengan ayat itu, Ashriq mula melangkah pergi.
Salina terdiam. Ashriq nampak benar-benar lesu. Mungkin lelaki itu memang tidak berniat jahat terhadapnya.
Sesaat, Salina telan liur. Dengan hati yang masih takut-takut, dia ekori Ashriq. Beberapa langkah dia mengikut, Ashriq berhenti menapak lalu berpusing. Bila dia tiba benar-benar di sebelah, baru lelaki itu melangkah semula.
“Jangan jauh dari abang. Orang tengah ramai ni. Karang kalau Lin hilang, susah abang.” Hambar.
Terdiam Salina mendengarnya. ‘Abang... Lin...’ detik hati. ‘Dia tersalah sebut agaknya,’ telahnya.
Senyap antara keduanya sesudah itu. Salina sesekali memusatkan mata pada beraneka jenis air dan kuih-muih yang sempat hinggap pada pandangan. Ashriq pula senyap saja, pandangan lurus ke hadapan.
“Ada nak beli apa-apa ke?”
Salina tersedar. Ashriq sedang memandangnya, menanti jawapan. Dia segera menggeleng. “Tak.”
“Cakap ajelah, tak payah malu-malu. Orang belanja hari ni, kan.”
Salina senyap.
Ashriq pula, bila Salina membisu begitu, dia enggan memaksa. Lebih senang kerjanya, kerana tidak perlu menanti lama lagi di bazar ini. Sekarang matanya sudah terbayang-bayang bantal di bilik. Tapi bila mengingati yang sekarang dia sekarang sedang berada di kampung, segera bayangan bilik di ruang matanya diganti dengan ruang tamu rumah Salina.
Ah, tetap sedap kalau dapat tidur. Mata tengah mengantuk ni. Letak kepala kat mana pun dah takkan sempat nak fikir apa-apa lagi.
“Ina!” laung satu suara.
Serta-merta langkah Salina terhenti tetapi tidak Ashriq. Terus saja lelaki itu melangkah, bagai tak sedar langsung apa yang berlaku dalam dunia nyata.
Salina serba-salah. “Abang.”
Barulah Ashriq kelihatan seperti tersedar lalu menghentikan langkah. Berpusing semula dan menghampiri Salina. “Mmm? Nak beli apa?” Sambil mengusap-usap belakang tengkuknya.
Salina tidak bersuara. Hanya ditunjukkan saja ke arah sebuah gerai. Ashriq menoleh. Kelihatan seorang lelaki lebih kurang sebaya Salina sedang tersenyum ke arah mereka.
“Tak nak singgah beli roti canai?”
Salina tersenyum mendengarnya. Ashriq dipandangnya sekilas. “Jom kejap, bang.”
Ashriq mengangguk saja. Salina yang sudah melangkah itu cuma diekori. Sempat dia menyedari pandangan lelaki penjual roti canai itu yang sedikit berlainan untuknya. Tapi dia enggan melayan. Tenang saja dia matikan langkah di sebelah Salina.
“Siapa ni?”
Salina tertawa kecil dengan soalan Hafiz. “Sepupu Ina...” Mesra. “Diorang la yang Ina cakap semalam...’
Hafiz diam. Ashriq dipandangnya, sebelum terukir senyuman di bibirnya.
Ashriq membalas sekadarnya. Kemudian menoleh ke arah Salina. “Nak beli berapa keping?”
Salina menoleh. Tersenyum lebar, membuatkan Ashriq terdiam. Pelik, sebab tak pernah-pernah Salina semesra ini dengannya.
‘Apa kena ni?’
“Abang makan roti canai?”
Ashriq terdiam dengan soalan itu.
Makin lebar senyuman Salina. “Hafiz ni kawan sekelas Lin. Roti canai dia sedap tau, bang!”
Ashriq terdiam. Rasa tak percaya dengan kemesraan Salina. Tapi bila melihat Salina seakan menanti reaksinya, mahu tak mahu dia ukirkan juga sebaris senyuman. “Kalau macam tu, Lin belilah. Abang nak rasa.”
“Okey.” Lantas Salina pandang Hafiz semula. “Lapan.”
“Lapan?” soal Hafiz berbaur tawa, nampak terkejut.
“Kat rumah tu sekarang ni ada enam orang. Mak makan dua, Ina pun makan dua.”
“Abang?”
Terhenti perbualan mereka. Salina menoleh sekilas, kemudian tersenyum lagi pada Hafiz. “Kalau macam tu, kasi sembilan!” Berbaur tawa. “Wah... banyaklah untung awak hari ni, kan!”
Berderai tawa Hafiz dan Salina. Ashriq yang memerhati mula terasa dipinggirkan.
Bila reda tawa, Hafiz menyoal, “Ina nak kerja, tak?”
Bersinar-sinar mata Salina. “Ada kerja kosong, ek? Kerja apa? Kat mana?”
“Kerja dengan saya.”
Merah padam wajah Salina. “Jangan nak main-mainlah, saya betul-betul ni!”
“Betul-betullah ni!” Bersulam tawa kata-kata Hafiz. Ligat tangannya membungkus roti canai. “Tolong uli doh. Tapi gaji ikut banyak mana roti lakulah.”
Salina senyap sesaat, tapi bibir masih lagi tersenyum. “Ina kena tanya ayah dulu.”
“Saya dah tanya ayah Ina.”
“Ye ke?”
Hafiz mengangguk.
“Ayah kata apa?” Makin teruja.
“Ayah Ina...”
“Berapa semuanya?” pintas Ashriq tiba-tiba, membuatkan kedua-dua mereka tersedar.
Serius wajah Ashriq.
Hafiz terdiam, kerling Salina sesaat. “Erkk... sembilan ringgit.”
Keep the change.” Ringkas suara Ashriq sambil tangan menyuakan sekeping not berwana merah.
Hafiz terdiam menerimanya.
Ashriq pula menyambut plastik roti canai sebelum sebelah lagi tangannya pantas menarik bahu Salina agar beredar dari situ.
Salina pantas menolak tubuh Ashriq. “Apa ni?”
Ashriq melepaskan, tapi serius wajahnya. “Tahu pun marah. Yang bersembang dengan orang tu tak malu pulak.”
“Kitorang kawan sekelas ajelah.”
Ashriq masih serius. Pandangan lurus ke depan sambil terus melangkah. “Jangan bersembang sesuka hati dengan mana-mana lelaki selain abang.”
Salina terhenyak, makin tajam merenung wajah Ashriq. “Kenapa pulak?”
“Lin tu bakal isteri abang.”
Salina tersentak. “Siapa kata?”
“Semua orang kata.”
“Tapi Lin tak nak kahwin dengan abang!”
Ashriq tersenyum sinis. “Tapi tadi Lin yang setuju nak bagi ukuran baju pada Kak Mas.”
“Tadi tu Lin terpaksalah!”
“Mula-mula memanglah, tapi lama-lama nanti Lin akan rela.”
“Lin takkan pernah rela!”
Tersungging lagi senyuman sinis di bibir Ashriq. Dia balas pandangan Salina. “Siapa yang tak rela?”
“Lin!”
“Lin?”
“Ya!”
“Lin???” Ashriq menyoal lagi, membuatkan Salina mengetap gigi kegeraman. Dipalingkan wajahnya dari Ashriq sambil merengus kasar.
Ashriq tersenyum penuh erti. “Selain abang, siapa lagi yang panggil Lin guna nama tu?”
Salina terdiam, hampir terhenti langkahnya. Baru sedar keterlanjurannya. Entah sejak bilalah dia sendiri menggunakan gelaran itu.
Argh... ikutkan hati, nak saja dia tampar-tampar bibirnya!
“Bukan itu tanda dah mula rela ke?”
Salina terdiam lagi dengan soalan Ashriq yang bernada nakal itu. Rasa tidak sanggup mendepani kenyataan itu.
Melihatkan Salina yang terus-terusan hilang arah itu, akhirnya Ashriq angkat kening penuh erti. “Padahal baru hari ni abang guna nama tu, Lin dah mengikut.”
Terdiam juga.
Ashriq kembali memandang hadapan, tersenyum sinis. “Dah. Jom cepat. Entah-entah mummy dah tunggu kita.” Dengan kata-kata itu, dia makin meluaskan langkahnya.

“HAI, tadi beria sangat penatnya? Ni kenapa tersengih-sengih pulak?”
Ashriq yang masih tersenyum cuma angkat bahu. Penuh selamba melangkah ke bahagian pemandu. “Tanya Salina.”
Salina yang tertinggal beberapa langkah di belakang Ashriq, serta-merta mencuka. Geram dengan sikap Ashriq yang suka melepaskan beban ke bahunya. “Jangan buat perangai macam-macam dengan Lin lagilah, bang. Abang jawablah soalan mak ngah tu, kenapa nak suruh-suruh Lin pulak!”
Ashriq yang baru membuka pintu kereta itu terus terhenti pergerakan, menoleh semula ke arah Salina. Tersenyum penuh erti. “Lin?”
“Apa?”
“Memang Lin betul-betul suka bila abang panggil nama tu, ya?”
Tersirap darah ke kepala Salina bila sekali lagi menyedari keterlanjurannya. Sah, Ashriq sengaja mengenakannya di hadapan Datin Rozie.
Dia ketap gigi. “Hiee... abang!”
Ashriq tertawa, membuatkan Salina makin sakit hati.

Datin Rozie yang memerhati dari tadi, terus-terusan terdiam. Hampir tercengang melihat kedua-dua anak muda di hadapannya itu.

9 861 komen:

Anonymous said...

wajah baruuu....
thumbs up...
good job...

Zuriah Jalaludin said...

Best next n3

Zuriah Jalaludin said...

Best next n3

Shaze Alma said...

Hahaha.. tq tq.
Dah jemu dgn rupa lama. Hehe

Shaze Alma said...

Okeyy.. insyaAllah otw

sa zam said...

Semakin comel cerita ni

sa zam said...

Semakin comel cerita ni

Shaze Alma said...

Tq ;)

Miss Violet said...

wah...xsabarnya nak tau apa jadi next...

Post a Comment

Assalamualaikum. Hai!
Terima kasih baca.
Cer komen sikit?

.

.