Friday, 27 November 2015

Kahwin Dengan Dia? (Bab 7)

RANCAK Datin Rozie berbincang dengan pemilik butik. Salina di sofa hanya melihat dan menanti. Tidak tahu apa lagi yang patut diperbuatnya.
“Kau mimpi apa tadi, weh?” Satu suara tiba-tiba kedengaran, seakan terlalu hampir dengan telinganya. Membuatkan dia cemas lantas menoleh.
Kelihatan Ashriq sedang bersandar dengan sebelah tangan didepangkan di atas penyandar. Memandangnya dari sofa yang tidak jauh darinya, dan bukannya duduk di sebelahnya. Lega sedikit dia rasa.
Dia menggeleng kecil.
“Habis tu kenapa sampai menangis-nangis takut dengan aku?”
Salina membisu juga. Tapi tika itu juga dia terfikir, Ashriq jenis yang nekad. Jika dia tidak menjawab soalan yang diajukan, pasti Ashriq akan memaksanya. Dan itu membuatkan dia menelan liur. Mengalir peluh di dahi walau butik itu dilengkapi penghawa dingin.
Tanpa memandang Ashriq, dia menjawab, “mimpi pasal nama.” Perlahan.
“Nama?”
Salina mengangguk sedikit.
“Kenapa?” Mula nampak tertarik.
Salina menelan lagi liurnya. “Awak tanya nama sebenarnya saya.”
Tiba-tiba Ashriq ketawa, agak galak hingga menarik perhatian Datin Rozie yang sedang berbincang di hujung butik. Berkerut dahi wanita itu, tapi enggan terlalu menunjukkan rasa musykilnya. Dia segera mengembalikan tumpuan pada pemilik butik di hadapannya.
“Aku baru je terfikir nak tanya pasal benda tu kat kau. Tengok-tengok kau dah termimpikan dulu.” Tergeleng-geleng kepala Ashriq, agak kagum. “Nama penuh kau apa, hah?”
Tiba-tiba Salina terasa kecut. Merasakan yang mimpinya tadi berkemungkinan menjadi kenyataan. Terlalu ketara kegelisahannya, hingga Ashriq yang memandang pun rasa pelik.
Terangkat kening lelaki itu. “Kenapa? Dalam mimpi tu, apa yang jadi?”
Makin tertunduk Salina dibuatnya. Takut untuk berterus-terang. Risau pula dia kalau Ashriq bertindak galak, mengikut sebiji yang macam dalam mimpi. “Nama sebenar saya... Salina...”
“Salina?”
Dia mengangguk.
“Binti?”
“Ismail...”
Ashriq mengangguk-angguk. “Ohh... what a typical malay...” Senyap, sambil benak cuba mengganding-gandingkan namanya dengan gadis itu tanpa diketahui tujuannya. Sesaat kemudian, dia kembali memandang Salina. “Nama aku, Wan Ashriq. Daddy aku tu, Wan Mohd Kamil.”
Senyap.
“Kalau gitu, aku panggil kau Lin ajelah. Padan sikit dengan nama aku.”
“Kenapa nak kira padan ke tak?” Terpacul dari bibir Salina, bernada pertikaian.
Bila Ashriq memandangnya tajam, dia tersedar yang dia sudah terlajak kata. Segera dia teringat mimpi tadi. Terngiang-ngiang amaran Ashriq agar dia menjaga lisannya. Lantas dia jatuhkan anak matanya, menyalahkan diri sendiri.
“Ina tu nama kampunglah. Kan kita dah nak kahwin. Nanti lepas kahwin, kau akan ikut aku pergi ke merata-rata tempat. Takkan orang nak panggil bini orang-orang ternama macam aku ni Ina je? Low class la, weh.” Beriak angkuh. Padahal dalam hati, punyalah lega sebab berjaya mencari jawapan itu.
Memang dia sendiri pelik sebenarnya. Soalan Salina tadi ada betulnya.
‘Kenapa nak kisah, nama kitorang padan ke tak? Macamlah betul-betul akan jadi plan mak bapak aku tu. Sekarang ni pun budak ni dah makin takut dengan aku. Buat apa nak risaukan lagi?’
Dia menjawab soalan Salina tadi pun cuma untuk menutup malu. Tak nak Salina tersedar yang dia dah terlajak kata. Padahal dia sendiri pun tak tahu apa tujuan dia nak nama diorang sepadan.
Terangkat keningnya, jengkel dengan fikiran sendiri yang tiba-tiba saja merepek tu.
“Salina cuba pakai baju ni. Mak ngah berkenanlah, sayang. Nampak macam padan je dengan Ina.”
Berderai kebisuan antara mereka, serentak mengangkat kepala. Datin Rozie sedang menghampiri mereka bersama-sama beberapa pasang baju kurung dan jubah yang tersangkut di tangan.
Salina cuma akur bila Datin Rozie menarik tangannya.
Ashriq pula hanya memandang. Tidak langsung berganjak dari tempatnya bahkan mula memeluk tubuh.

JAM tangan dikerling lagi, entah untuk kali yang ke berapa. Terlepas akhirnya decitan dari bibir.
‘Masalah betullah kalau keluar dengan orang perempuan ni!’
Bersama keluhan kemalasan, dia bangun lalu menghampiri Datin Rozie dan pemilik butik yang sedang menanti Salina keluar dari bilik persalinan.
Tiba berhampiran mereka, pemilik butik dan mummynya itu menoleh serentak ke arahnya. Mekar senyuman terukir di bibir mereka.
“Ini pengantin lelakinya?” Mesra nada pemilik butik itu.
Datin Rozie ketawa. “Insya-Allah...”
Terdiam Ashriq mendengarnya. ‘Hai, over pulak mummy ni! Pengantin lelaki bagai. Orang belum apa-apa pun lagi!’
Tiba-tiba berdering telefon Datin Rozie.
“Tunggu kejap, ya?”
Pemilik butik itu mengangguk bersama senyuman.
Datin Rozie mengalih pula anak matanya ke arah Ashriq. “Tolong tengok-tengokkan Salina.” Sejurus mengucapkan, wanita itu terus berlalu.
Ashriq di situ makin terdiam. ‘Aku pulak yang kena?’
Dia semakin bosan. Digaru-garu kepalanya. ‘Adoi...’
Lantas diketuk-ketuknya pintu bilik persalinan itu. “Lin,” panggilnya, tenang.
Tiada jawapan.
“Lin, dah ke belum tu?”
“Kejap, kejap.” Sayup-sayup suara Salina dari dalam.
“Kalau dah, keluarlah.”
Senyap semula.
Ashriq kembali berpeluk tubuh. Tidak mampu lagi mengawal kebosanannya, dia mula melangkah-langkah. Berjalan-jalan tanpa hala tuju di sekitar bilik persalinan itu.
Apa juga yang hinggap di mata, dicapainya. Dibelek-belek. Kemudian dilepaskan. Dia capai pula pakaian berikutnya, melakukan perkara yang sama seperti tadi.
Tidak lama kemudian, ekor matanya yang dilapisi kaca mata hitam itu terlihat pintu bilik salinan terkuak dari dalam. Dia menoleh, tapi terus terkaku langkahnya. Tanpa sedar, tangannya menanggalkan kaca mata dari wajah.
“Lin.” Bibir menggumam perlahan.
“Hah, bakal suami you pun dah terdiam tu. Maknanya mata I ni tak salahlah.” Ceria suara pemilik butik itu. Kagum dengan penampilan Salina yang sangat jauh berbeza dari sebelumnya.
Salina pula hanya bisu menahan wajah yang hangat. Terpaksa diberanikan diri untuk menentang pandangan Ashriq. Pura-pura tenang. “Mak ngah mana?”
Ashriq bagaikan tersedar. “Err... hmm... jawab call... hmm...” Tiba-tiba saja gagap.
Salina menoleh pada pemilik butik itu bila Ashriq tidak juga mengalihkan pandangan darinya. Sungguh, dia malu sangat bila direnung begitu.
“Okey tak dengan saya?”
“Okey sangat! I suka! Pertama kali I jumpa perempuan jadi secantik you bila pakai hasil tangan I. Bertuahnya I...” Mula bernada membodek kali ini, sekadar mahu melariskan jualan.
Salina tunduk, memandang pakaian yang tersarung di tubuhnya. Makin hangat wajahnya.
“Lin tak rasa nak beli tudung yang sesuai ke?”
Kata-kata Ashriq membuatkan Salina segera mengangkat kepala. Agak berdebar hati bila mendengar cadangan itu. Seakan ikhlas saja nada lelaki itu.
Ashriq pula, bila bertembung anak mereka, dia hanya mengangkat keningnya penuh selamba. “Boleh pakai raya ni. Tadi Lin yang kata, nak tudung baru.”
Tanpa mampu lagi dikawal, bibir Salina mengukir senyuman. “Tak apa ke?”
Ashriq menggeleng, tersenyum sebelah bibir. “Tak apa, abang belanja.” Lembut, menusuk ke hati Salina, membuatkan wajahnya merah padam.
Si pemilik butik pula, bila mendengar saja cadangan itu, terus ligat benaknya memikirkan tudung yang sesuai dengan Salina. “You nak your future wife ni pakai tudung yang macam mana? I bagi you peluang memilih, mana tahu kalau taste you lebih menarik.”
Ashriq menggeleng. “I mana tahu bab-bab ni semua.”
Berderai tawa si pemilik butik. “It’s okay then, I boleh tolong...” Lantas ditariknya lengan Salina, mengheret gadis itu ke bahagian tudung dan aksesori kepala.
Ashriq tenang mengikut dari belakang.
“Kalau boleh saya nak yang simple je, Kak Mas,” pinta Salina.
Okay, no problem. You nak yang langsung tak tak ada corak pun boleh.”
“Nak yang satu warna je.”
“Pun boleh...” Sambil mengeluarkan koleksi tudungnya.
Salina tersengih. Sempat ekor matanya hinggap di wajah Ashriq. Lelaki itu tenang saja, tidak lagi memandangnya.
Sesekali saja Ashriq menoleh, bila Kak Mas bertanya sesuai atau tidak Salina dengan tudung yang dipilihnya.
Ashriq menggeleng setiap kali diminta pendapat. Terang sangatlah, gelap sangatlah, crowded sangatlah. Semua tak kena.
Dalam hati, Kak Mas mula merungut-rungut. ‘Hai... habis tu apa yang sesuainya!’
Tiba-tiba Ashriq mencapai sehelai tudung yang masih berlipat, sebelum dihulurkan pada Salina. “Yang ni macam okey je dengan Lin.”
Terdiam kedua-duanya. Salina memandang Ashriq, agak serba-salah. “Tapi warna tudung ni tak sekata dengan warna baju...”
“Sekarang kan memang trend tudung kontra dari warna baju?”
Salina terdiam.
Kak Mas pula tersenyum lebar. “Superb! I agree with you.” Lantas tangannya menyambut tudung dari tangan Ashriq, diletakkan di kepala Salina. Dibetul-betulkan sedikit kedudukannya, kemudian menoleh pada Ashriq. “How?”
Ashriq senyap sesaat memandang Salina.
Salina pula segera menjatuhkan anak mata. Dia sedar, Ashriq bukan sedang memerhati tudung yang sedang dipakainya, sebaliknya menatap ke dalam matanya. Tak tahu kenapa, tiba-tiba saja Ashriq bagaikan bertukar alam.
“Okey.” Tenang nada Ashriq sambil mengangguk kecil.
Puas hati Kak Mas. Lebar senyuman di bibirnya.
“Lin nak beli baju lain tak? Kalau berkenan ambik ajelah. Abang pun ingat...”
“Wah... cantiknya Salina!” suara Datin Rozie kedengaran tiba-tiba, memintas kata-kata Ashriq.
Serentak semua yang di situ menoleh.
Terpancar riak kagum di wajah Datin Rozie. Laju langkahnya menghampiri mereka. Tiba di sebelah Salina, dia pegang bahu gadis itu. Menarik Salina agar menghadapnya.
Salina cuma akur.
Makin lebar senyuman di bibir Datin Rozie. “Siapa pilihkan tudung ni?” soalnya pada Salina.
“Abang Ashriq.” Perlahan suara Salina.
Datin Rozie serta-merta menoleh ke arah Ashriq, sedikit terkejut.
Ashriq pula terus tenang. Terangkat sedikit keningnya. “Mungkin dah memang jodoh kitorang, jadi Ash boleh tahu apa yang sesuai untuk dia.” Selamba, sambil mengenakan semula kaca mata hitam ke wajahnya.
Hangat muka Salina. Tak tahu nak kata apa. Tiba-tiba saja Ashriq romantik tak tentu pasal. Macam orang dah buang tabiat aje gayanya.
Hati Datin Rozie pula semakin kembang. Tak sangka, lembut pula hati anak terunanya itu kali ini. Bagaikan usahanya untuk merapatkan mereka telah berhasil.
Cuma sekarang, dia perlu melembutkan hati Salina pula. Dia menoleh ke arah Kak Mas. “Ni dah macam baju nikah pulak kan, Mas?”
“Iyalah, Datin. Tapi okey je kalau nak pakai waktu raya. Nikah nanti tempahlah yang baru. I boleh buatkan, eksklusif untuk you all.”
Datin Rozie ketawa. ‘Hai... pantang dipuji. Laju aje mulutnya.’
“Nak tempah sekarang?” Kak Mas memberi tawaran.
Salina terbungkam.
“Orang kata, sunat bernikah dalam bulan Syawal ni. Kalau you all tempah persalinan sekarang, I rasa sempat lagi ni.”
Menelan liur Salina dibuatnya. Lantas dipandangnya Datin Rozie. ‘Aa... apa ni?’ Tapi tak terkeluar suara.
“Macam mana, Salina?” Datin Rozie menyoal mesra. Pura-pura tak sedar raut muka terkejut Salina. “Nak tempah sekarang?”
Salina terdiam. “Erkk...”
Datin Rozie menoleh pula pada Ashriq. “Macam mana, Ash? Salina nampak macam segan nak bagi kata putus ni.”
Ashriq di belakang Salina hanya mengangkat bahu. “It’s up to you, Lin. Kan abang dah cakap waktu kat sofa tadi, abang tunggu je Lin setuju...” Tenang.
Salina membisu. Hati di dalam menyumpah-seranah. Entah bila masanya Ashriq cakap macam tu waktu diorang di sofa tadi!
Nampak sangat Ashriq sengaja meletakkan beban atas bahu dia. Sengaja paksa dia buat keputusan sendiri.
“Hah, macam mana, Salina?”
Salina terdiam juga. Rasa macam mahu saja mengalir air matanya.
Kalau menolak, takut pula jika tindakannya itu bakal memalukan Datin Rozie dan Ashriq di hadapan Kak Mas dan para pekerjanya. Tapi... takkan pulak dia nak terima.
Makkk... ayah... tolonglah... apa Ina nak jawab ni!
Tiba-tiba kedengaran tawa halus Datin Rozie. “Dia serba-salah ni... Malu agaknya, Mas.”
Kak Mas ketawa. “Tak apa, kalau nak tempah sekarang tapi pakai lambat lagi pun okey. I boleh simpankan untuk you all. Dah rasa nak bernikah nanti, baru I start buat kerja. Macam mana?”
Salina terdiam juga. Bila merasakan semua mata terus bertumpu ke arahnya dan seakan memaksa dia bersetuju, akhirnya teragak-agak dia zahirkan anggukan dalam hati yang tak rela.

‘Tak apa kut. Dia cuma simpan ukuran, bukan nak jahit terus. Kalau tak jadi kahwin pun, tak ada apa yang kurangnya...’ Hatinya berbisik. Mengharap supaya dengan tindakannya itu, dia boleh lepas dari kesempitan yang ada ini. Sekurang-kurangnya untuk kali ini.

7 861 komen:

juridah said...

Makin menarik cerita ni

juridah said...

Makin menarik cerita ni

baby mio said...

best.

Shaze Alma said...

Hahaha... sambungan.minggu depan insyaAllah :)

Shaze Alma said...

Tq ;)

Mika M said...

Awkk... nak req n3 baru speed metal romantic bley? Huhu.. ;)

Shaze Alma said...

Hahaha... ok xde masalah...

Post a Comment

Assalamualaikum. Hai!
Terima kasih baca.
Cer komen sikit?

.

.