Monday, 27 April 2015

Memo 2

TERHENTI serta-merta langkah kaki bila terpandang saja mejanya pagi itu. Patah terus semangatnya. Tak sangka awal-awal waktu lagi dia dah terpaksa berdepan hakikat ini. Padahal cahaya matahari belum pun sempat menyentuh dinding kaca firma guaman itu.
Terlepas nafas lemah dari bibirnya. Buntu, lebih-lebih lagi bila teringat memo semalam.
“Buat derk aje...” Terngiang-ngiang pesan Syira. “Apa aje yang dia boleh buat? Kalau dia buli kau, suruh kau buat kerja bukan-bukan... kau sebut ajelah pasal skop kerja kau kat sini. Lagipun dia ada P.A kan?”
‘Betul jugak...’ Hati berbisik-bisik, cuba cari kekuatan.
Mahu tak mahu, dia melangkah semula ke mejanya. Cuba berlagak tenang sepertimana yang dia lakonkan di kafe semalam.
Mata tak putus-putus memerhati sesusuk tubuh yang sedang bersantai di kerusinya. Selamba saja jasad itu bersandar sambil jari-jari mengetuk-ngetuk perlahan tempat rehat tangan.
Dan pemilik susuk tubuh itu bagai dapat menghidu kehadirannya di tempat itu. Tika itu juga wheelchair berpusing dan mata mereka bertentangan.
Terhenti semula langkahnya, terkaku. Teragak-agak dia ukir senyuman. “Encik...”
Lelaki itu cuma senyap. Selamba, tak sedikit pun rasa bersalah duduk di situ. Apalagi mahu bangkit atau beredar.
Tuan punya meja pula yang dah jadi macam pesalah.
Cuba untuk tak menampakkan gementar yang dirasa, Aylin melangkah semula. Letakkan beg tangan di atas meja walau lelaki itu masih tak berganjak dari kerusi. Terus juga Aylin berlagak tenang, konon tiada apa yang patut digusarkan dengan cara pandangan lelaki itu.
“Awal encik sampai? Dah sarapan?” soalnya mesra tanpa memandang lelaki itu.
“Awak nak temankan?”
Terdiam dia dengan balasan selamba itu. Nyaris menggigit bibir. ‘Erkk...’
Sah, dia dah tersalah cara. Niatnya tadi cuma mahu berbahasa. Cuma mahu tunjukkan yang dia tak takut dengan lelaki itu.
Tapi sekarang, tak tahu kenapa jauh benar tersasarnya.
“Saya belum sarapan lagi. Roti canai mana paling sedap kat sini?”
Berderai lamunannya. Lelaki itu seperti sedang menuntut jawapan darinya, lantas dia tersenyum. Tapi cukup ketara riak serba salah di dalamnya. “Err...” Perlahan. Dalam teragak-agak dia menoleh.
Bersatu pandangan mereka. Tajam renungan lelaki itu menikam anak matanya, menusuk terus ke dalam dirinya.
Dub! Dab!
Waktu itu juga dia rasa jarak antara mereka ini terlalu hampir dan dia tak mampu langsung menanggung debarnya. Walhal tadi boleh pula dia berpura-pura tak perasan.
“Err...” Argh, tak tahulah kenapa susah sangat dia bila dengan lelaki di hadapannya ini. “Secretary encik kan ada... bukan skop kerja saya temankan encik makan...” Keluar juga ayat itu selepas separuh nyawa dia mengerah diri. Sebijik macam budak kecik yang dah terkantoi mencuri-curi makan dalam bulan puasa.
Lelaki itu senyap.
Dia ikut membisu, menanti reaksi.
Dia akan ditengking? Atau dipaksa?
Atau dalam benak lelaki itu sekarang, ada muslihat lain. Tapi apa?
Tiba-tiba mekar senyuman terukir di bibir lelaki itu.
Dia nyaris tercengang. ‘Sah! Memang dia ada muslihat lain!’
“Tahu pun...” Lembut jawapan lelaki itu.
Dia senyap, dalam diam menelan liur. Dipaksa bibirnya tersenyum walau susah yang amat melakukannya.
She’s my P.A., dear...” Lelaki itu menyambung.
Dia senyap juga.
“Jadi awak tak ada hak nak masuk campur hal saya. Bukan skop kerja awak.” Terhenti sesaat di situ, sebelum bangkit dari sandaran dan menghampirkan diri padanya. Berbisik di telinganya, “tak payah jaga tepi kain orang.”
Dia tersenyum. Walhal nada sinis yang kedengaran dalam kata-kata lelaki itu saja sudah mula buat telinganya berdesing. Dia tahu semua itu sebenarnya satu ungkitan terhadap apa yang berlaku semalam.
Ikutkan hati, mahu saja dia terangkan hal sebenar.
‘Syira tersalah orang. Saya cuma nak tolong tapi tak tahu pulak kembar pada kawan lelaki tu akan masuk semalam.’
“Ada ke orang nak jumpa girlfriend pagi-pagi buta?”
Terdiam dia bila memikirkan kemungkinan akan keluar pertikaian sebegitu dari lelaki itu.
“Pakaian formal macam nak pergi bersidang, lepas tu bawak briefcase bagai. Ada ke?”
Terdiam lagi. Cuba merangka jawapan terbaik kalau betul itu soalan lelaki itu. “Memanglah tak... tapi Syira sendiri kata pada saya yang lelaki tu nak datang semalam. Lagipun memang betul yang lelaki tu datang satu kereta dengan encik, kan ?”
“Okey, apa hak awak nak malukan kembar saya tu depan orang ramai?”
“Sebab dia playboy!”
“Bukti?”
Bukti? Duh, kalau itu yang diminta, mana dia nak cekau jawapan?
Dan dia dapat bayangkan senyuman sinis bercampur dendam yang akan melirik di bibir peguam itu. “Tak ada bukti pun yang kembar saya tu playboy, tapi awak boleh sesuka hati malukan dia depan orang ramai?”
Dah tentu dia akan terdiam.
Terbayang-bayang pula ketegangan demi ketegangan yang biasa ditunjukkan peguam bela ketika menyoal saksi pendakwa raya di mahkamah.
“Saya ada saksi yang nampak awak sengaja campak sudu tu ke meja sebelah. Maknanya bukan saya yang buat sudu tu terjatuh.”
Terdiam.
“Awak nak saya bawak saksi tu?
Terdiam lagi.
“Tapi lepas tu boleh awak hilangkan tittle ‘peguam gatal’ tu dari saya?”
Terdiam lagi.
“Awak tahu tak saya cukup anti dengan benda-benda macam tu?”
Terdiam lagi.
“Awak tahu tak saya cukup pantang dicabar?”
Terdiam!
“Tahu tak!”
Mahu terkencing sudahnya dia!
Warghh... baik tak usah! Tak usah!
Daripada nanti bertambah rumit krisis tu, lagi susah. Baik dia diam saja, anggap saja semua itu salahnya. Senang, tak payah banyak-banyak cerita.
So.”
Berderai lamunannya, berpijak semula di bumi nyata.
Peguam itu masih tenang memandangnya, menatap lembut anak matanya. “Jangan kacau lagi kerja saya.”
Hampir-hampir saja terlepas keluhan lega dari bibirnya.
‘Mestilah lega, dowh! Dah dia tak bagi aku kacau kerja dia. Maknanya dia takkan suruh aku buat benda merepek-repeklah!’
Maknanya semua yang berlegar dalam khayalannya tadi tidak akan berlaku. Sikit pun tak!
Jadi dia harap dia boleh terus aman di sini!
“Dengar tak?”
Berderai lagi lamunannya. Cepat-cepat pandang lelaki itu. Tersengih sumbing lantas mengangguk. “Faham, encik!”
Lelaki itu tersenyum. Mengangguk juga. “Bagus.”
Dia semakin tersenyum.
“Jangan sekali pun awak bercakap dengan P.A saya.”
Dia semakin lega. Senyum, angguk lagi. “Alright.”
“Kalau hari ni awak berani-berani bercakap dengan secretary saya tu, esok awal-awal pagi lagi awak akan cari saya.”
Dia terdiam. Luput senyuman serta-merta. Pusatkan lebih tumpuan ke wajah lelaki itu, cuba faham maksud sebenar yang cuba disampaikan padanya.
“Depan semua orang awak akan melutut depan saya. Mintak saya maafkan awak.”
Terdiam lagi. Makin tak sedap hati.
Dan di bibir lelaki itu waktu ini, mula ada senyuman penuh erti yang mula bermain-main. “Tapi saya takkan senang-senang maafkan awak...”
Oh, no!
Nampaknya lelaki itu tidak menyerang secara terang-terangan seperti yang dia sangka. Tapi lebih teruk dari tu!
Serangan psikologi!
“Waktu tu baru awak akan tahu, siapa sebenarnya lelaki yang awak main-mainkan semalam.”
Pandangannya segera bertukar kepada sebuah jelingan tajam. Tak puas hati. ‘Kau ingat kau tu siapa?’
Tapi lelaki itu tersenyum saja. Nakal. “Saya handal bab-bab meramal masa depan ni, tau?”
Dia makin tak puas hati.
Dan lelaki itu terlebih dahulu bangun tanpa memberi ruang dia bersuara. Ditayangkan beberapa keping memo padanya, sebelum kertas-kertas berwarna hijau dan kuning itu diletakkan di atas mejanya. Renungan lembut berisyarat dendam itu tak langsung dialihkan dari matanya.
Dia gerun tapi terpaksa juga melawan.
Settlekan all these tasks before seven P.M. today. Jangan sesekali libatkan P.A saya, kalau tak...”
“Tapi semua tu bukannya skop kerja saya! Saya cuma student U yang tengah buat praktikal!” Dia membentak, cuba tegakkan hak.
Lelaki itu tersenyum. “Settlekan.”
“Kalau saya tak buat?” Tegang nadanya, sengaja mencabar.
Lelaki itu tersenyum juga. Tunduk sedikit, hampirkan bibir ke telinganya. “Settlekan...” Romantis berbisik.
Dub! Dab!
Dia terpaku. Cepat-cepat larikan anak mata ke arah lain.
Lelaki itu tersenyum kemenangan dengan reaksi sebegitu. Tenang beredar, meninggalkannya di situ tanpa sedikit pun kompromi. Bagaikan salahnya semalam terlalu besar.
‘Padahal aku tersalah orang aje kut! Yang dia nak berdendam sangat ni apahal!’
Tapi seperti biasa, semuanya cuma tertahan di dalam. Sebab dia tahu, dia langsung tiada hak bersuara.
‘Ergh! Menyusahkan betul!’

BERPELUK tubuh saja yang dia mampu bila Syira terus tergelak besar.
“Apasal lurus sangat kau ni, hah?” Dalam gelak yang berbaki Syira menyoal.
Aylin menjeling.
“Kau pergi cakap terang tang-tang pasal skop kerja? Huh, memanglah dia makin galak sakat kau, dowh!”
“Hah?” Berkerut dahi, spontan terlerai tangan yang memeluk tubuh. ‘Semalam dia sendiri yang suruh cakap macam tu!’
“Ye ar! Kau cakap gitu, marah-marah gitu kat dia. Kau ingat dia takut? Hei, tu maknanya kau tak suka tapi tak boleh nak melawanlah. Itu nada orang kena buli, kau tau?”
Aylin terdiam. Berpaling, pandang dokumen di dalam ringfile yang terbentang di atas meja. Dia telan liur yang tawar, sedar salah diri. Sehelai kertas diselak. “Memang dia buli aku pun.” Perlahan suara.
Meledak lagi gelak Syira. Terkekeh-kekeh, tergeleng-geleng kepala hingga tersandar badan di wheelchair. Digosok-gosok dadanya yang tak cukup nafas. “Hadoi...”
Aylin senyap. Selak lagi helaian kertas, tapi tiada apa pun yang dibuatnya. Cuma membelek dan memandang ayat-ayat yang terpampang depan mata. Sepintas lalu. Tak ada mood, sebab hati dan fikiran masih tertumpu pada memo kedua yang diterima pagi tadi.
“Hari ni kalau awak berani-berani bercakap dengan secretary saya, esok awal-awal pagi lagi awak akan cari saya.” Terngiang-ngiang lafaz itu.
“Depan semua orang awak akan melutut mintak saya maafkan awak...” Terngiang-ngiang lagi.
Welcome to the world of real game!
Terbayang-bayang pula memo semalam.
‘Kalau la aku bawak benda ni ke tengah... mesti menang punya. Sesuka hati dia je nak peras ugut orang, padahal bukan salah aku pun.’ Akal singkat cuba bela diri, cuba cari jalan selesai.
“Saya handal bab-bab meramal masa depan ni, tau?” Berdengung lagi bisikan itu dalam benaknya.
‘Betul ke?’
Dah...
Tak sedap hati dah dibuatnya. Tak sangka ada jugak muslim yang mengaku percaya pada tilik-tilik nasib macam tu.
“Oi, kau dengar tak ni?” Serentak bahunya ditepuk seseorang.
Dia tersedar, kembali berpijak di bumi nyata. Di ruang pejabat yang sedang sibuk.
Syira berdecit. “Oi, dengar tak...”
Dia menoleh, tapi nak tak nak saja. “Kalau aku dengar pun, apa aje yang kau boleh tolong?”
Syira tergelak semula bila reaksi begitu yang diterima. ‘Sah, mak cik ni tengah runsing!’ Tergeleng-geleng kepalanya. “Dia ni la kan...”
Aylin diam saja.
Come on la, weh... dia tu peguam, kan.”
“Apa masalahnya?”
Syira tergelak lagi. Menggeleng-geleng lagi sebelum akhirnya menghempas keluhan. “Lawyer, weh! Dah biasa jumpa orang! Dah biasa jatuhkan orang. Nak-nak lagi bila emosi orang tu dah tak terkawal.”
So?
Syira tepuk dahi. “Aduhai...”
Senyap.
“Kau ni sejak bila jadi budak tadika, hah? Aku cakap pun tak faham-faham jugak.”
Diam.
“Dah tentulah kau kena beat dia dengan emosi jugak, dowh!”
“Masalahnya dia suka pandang mata aku.” ‘Padahal itu memang kelemahan aku...’
“Hah, tulah yang aku cakap dari tadi!”
Aylin kerut dahi. Alih badan, berpusing sedikit menghadap Syira. “Punyalah berjela mukadimah kau, itu aje isi dia?”
“Kau tu yang lembab!”

JAM enam lima puluh lapan minit petang.
Lagi dua minit menghampiri ke pukul tujuh.
Dia terus pandang jam dinding. Saat demi saat jarum jam yang berdetik kedengaran cukup jelas berdengung di gegendang telinga. Makin lama makin buat dia berdebar. Semua staf sudah bersurai dari pejabat itu dan dia perlu berdepan situasi ini sendirian.
Sungguh, tak mampu dijangka apa akan berlaku seterusnya.
Tapi dia segera kawal kebimbangan itu. Berusaha sehabis mungkin meletakkan diri dalam keadaan paling tenang.
Yang dia tahu, dia mesti menang. Tak kiralah apa pun juga yang akan jadi.
Sebaik saja jarum saat menunjuk ke angka sepuluh, dia segera rapatkan kelopak matanya. ‘Sepuluh... sembilan... lapan...’ Perlahan terbisik di bibir. Menghitung bersama.
Dirapatkan lagi kelopak matanya. Dia hela nafas dalam, kemudian perlahan-lahan melepaskannya. Benar-benar memastikan terkawal pernafasannya.
“Dah tentulah kau kena lawan dia dengan emosi jugak, dowh!” Terngiang-ngiang pesan Syira.
Dia mengangguk. ‘Okey, okey. Boleh. Mesti boleh!’
‘Empat... tiga... dua...’
“Satu.” Terungkap di bibirnya.
Jam dinding berdenting. Tujuh kali.
Pada dentingan terakhir, pintu bilik yang terletak paling hampir dengannya kedengaran terkuak.
Dia celikkan kelopak mata.
Keluar sekujur tubuh. Melangkah setapak melepasi pintu dan secara automatik bertemu anak mata dengannya.
Dia senyap. Balas pandangan lelaki itu. Lembut saja riak wajah lelaki itu, tapi entah kenapa anak mata yang sedang bertembung dengannya itu bagaikan sebuah renungan tajam. Boleh jadi memang itu biasanya seorang peguam.
Selama ini dia tak perasan sebab dia tak terasa perlu mengambil tahu.
So.” Pecah kesunyian ruang pejabat dengan sapaan itu.
Dia tahu lelaki itu sedang menuntut segala dokumen yang diserahkan padanya pagi tadi.
Tak segera dijawabnya soalan itu sebaliknya mengekalkan riak kosong pada wajahnya. “So?
Lelaki itu diam. Tapi sesaat kemudian tersenyum sendiri. Penuh dengan maksud tersembunyi.
Dia senyap.
Lelaki itu menapak ke arahnya.
Dia senyap juga. Rapatkan semula kelopak matanya dan meletakkan kepala di penyandar kerusi. Konon tak peduli lantas mahu menyambung semula rehatnya. Walhal setiap derap kasut yang kedengaran menghampirinya itu berada cukup jelas dalam kiraannya.
Terlalu lengang ruang pejabat itu hinggakan rentak jantungnya sendiri dapat dia dengar. Berdegup serentak dengan derap kasut yang semakin jelas itu. Setapak demi setapak.
Tapi dia kawal sehabis-habisnya diri agar tidak ditewaskan lagi. Dia hela nafas dalam. Lepaskannya perlahan-lahan. ‘Tenang, Ai... tenang...’
“Baca mantera apa?” Bisikan yang terlalu hampir di telinga. Serentak dia terhidu haruman tubuh lelaki yang cukup kuat menggetar kewanitaannya.
Berderau darahnya. Cepat-cepat dia tahan diri dari mencelikkan mata. Dikakukan juga dirinya di situ walau tahu terlalu bahaya keadaan ini.
Dapat dirasakan, lelaki itu tersenyum dengan reaksi yang dia berikan. “Tahu tak... disebabkan perjanjianlah ramai manusia yang menyesal.”
“Saya tak pernah berjanji.” Datar tetapi tegas.
Semakin mekar senyuman di bibir lelaki itu. Senyuman nakal, dia dapat rasakan.
“Tak pernah?”
Dia diam. Tak terasa perlu untuk menjawab.
“Dalam kontrak awak sepanjang berpraktikal dengan company ni?”
Dia diam.
“Saya berhak laporkan prestasi awak pada pihak universiti...”
Tersentak. Serta-merta tercelik kelopak matanya. Renung tajam sepasang mata yang berada benar-benar hampir dengannya itu. Dan lelaki itu tersenyum semakin mekar, buatkan dia serta-merta tersedar.
Dia tahu dirinya sudah terjerat. Ohh... no!!!
Tak semena-mena pesanan Syira pagi tadi menjelma dalam benak.

“KAU tu yang lembab!”
“Kau tolong jangan peningkan aku lagi boleh tak?”
Syira menggeleng-geleng. ‘Dia nilah...’ Mengeluh dalam, bangun dari sandaran akhirnya. “Dia tu peguam. Kalau nak kalahkan dia, janganlah lawan style beli sayur kat pasar! Dah sah-sahlah kau takkan menang!”
Straight to the point!” Separuh terjerit suaranya bila Syira terus juga berlegar-legar kata.
Syira terdiam dengan bentakan tiba-tiba itu. Beberapa perhatian tertarik ke arah mereka. Dia tersengih sedikit, cuba tutup rasa bersalah. “Sorry.” Pandangan beralih pada Aylin di hadapannya.
Tapi gadis itu tetap juga dengan wajah tegangnya. Tak mahu peduli lagi pada manusia sekitar.
Yang dia tahu, dia mesti kalahkan peguam tak sedar diri tu! Titik!
Straight!” arahnya lagi bila Syira masih terkaku.
Melihat ketegasan itu, Syira mengeluh akhirnya lalu bangkit dari sandaran. Mengalah, tidak lagi berani berlengah-lengah. “Cari kelemahan dia.”
Aylin diam. Tunggu penjelasan.
“Semalam kau keluar makan dengan dia, kan? Kau kata dia diam aje memanjang, kan?”
“Dah tu?”
Syira tergelak sinis. “Kau ingat dia diam memanjang tu sebab dia memang tengah diam ke? Tak biasa dengan kau, so seganlah. Macam tu? Huh, not in a million years, ‘kay!
“Habis?”
“Dia diam tu sebab dia tengah baca diri kau sebenarnya, kau tahu? Semua benda yang kau buat, semua dia nilai. Dari situ dia boleh tahu apa kelebihan kau, apa kelemahan kau.”
Berderau serta-merta darah mendengarnya. Terus hilang perwatakan tegas dalam dirinya. “Maknanya...”
Syira mengangguk. “Dia tahu kau lemah bila orang pandang mata kau.”
Terdiam.
Syira angkat kening. Hempas satu nafas dalam. “Well...” Rebahkan tubuh pada penyandar, buatkan kerusi separuh terbaring. Sebatang pen bermain-main di jarinya. Meniru lagak korporat. “His nature as a lawyer. Setiap masa dia cari kelemahan orang sekeliling, supaya tak ada orang boleh main-mainkan dia.”
Aylin terdiam lagi. Teringat pada sepanjang pertemuan mereka di kafe itu.
Memang sesekali dia sedar, lelaki itu sedang memerhati dirinya. Tapi keadaan itu tidak langsung nampak mencurigakan. Bahkan lelaki itu nampak bersahaja setiap masa. Sungguh!
Tak langsung ada tanda-tanda kelemahan dirinya sedang diselongkar lelaki itu. Bagaikan suatu pandangan biasa terhadap orang yang baru pertama kali dikenali saja. Tenang dan santai. Malah ada waktunya lelaki itu nampak lebih menghormati dirinya sebagai wanita. Tidak ralit memandangnya atau berkelakuan yang buat dia rasa tak selesa.
Seingat dia, dia yang meneliti tindak-tanduk lelaki itu. Menilai sama ada benar lelaki itu bersikap seperti yang dicanangkan Syira.
Alih-alih? Macam ni jadinya!
Dia yang menyelidik, dia pula yang diselidik!
“Kelemahan kau bila orang pandang mata.” Syira bersuara lagi. “Jadi kau kena pastikan dia tak boleh pandang mata kau. Sambil-sambil tu kau cari kelemahan dia!”

MASIH segar wajah serius Syira di pandangan. Syira nampak bersungguh mahu membantu, buatkan dia pada waktu itu jadi cukup yakin untuk berdepan ‘si musuh’ itu.
Tapi sekarang?

Ohh... tolonglah!

5 861 komen:

Fara Alicia said...

Hihi.. Sian Aylin

Fara Alicia said...

Hihi.. Sian Aylin

sa zam said...

Tertunggu2 4 new ntry
Tq n aylin jgn cepat mengalah....

sa zam said...

Tertunggu2 4 new ntry
Tq n aylin jgn cepat mengalah....

Siti Hanisah said...

Tq jugak... ^_^

Post a Comment

Assalamualaikum. Hai!
Terima kasih baca.
Cer komen sikit?

.

.