Thursday, 30 April 2015

Kahwin Dengan Dia 4, 5

~ BAB 4 ~


PINTU bilik mandi dikuak. Dia mahu menapak keluar tapi terhenti tiba-tiba dengan apa yang sedang dilihatnya.
Di atas hamparan tikar di dapur itu, Datin Rozie sedang terkial-kial menghidangkan juadah untuknya. Daripada cara pun dia dah boleh agak, mak datinnya tu tak reti buat kerja. Habis tumpah-tumpah kuah kari dikerjakannya, berciciran atas lantai. Tak reti pegang senduk punya pasal.
Tapi disebabkan ini rumah Salina, lepas tu ada pulak orang tua yang nak dipujuk dan diambil hati... nak tak nak kena jugaklah berlagak baik, kan. Kalau tak nanti takut kena reject.
Dia tersenyum sinis. Menggeleng jelek sambil melangkah keluar dari bilik mandi. ‘Tak sudah-sudah!’
Melintas di hadapan Datin Rozie. Tapi wanita itu bagai tak sedar langsung dunia sekitarnya. Terus juga dengan kerja yang serba tak menjadi tu. Terus tertonggek-tonggek menyusun juadah.
Dia pulak yang malu ada mak serupa itu.
Lantas dia matikan langkah ketika tiba di hadapan sebuah pintu. Dia ketuk sedikit.
Terkuak pintu dari dalam. Tapi sebaik saja terpandang dirinya, terus gadis itu tutup semula pintu.
Pantas dia menahan. Terkepit jari manisnya di celah pintu. Menjalar kesakitan di seluruh tubuh. Dia tolak daun pintu. Gadis itu menolak lebih kuat. Hempap pula tubuh ke pintu.
“Arghhh!” Terlepas erangan.
Terhenti tolakan dari dalam. Dia tolak kasar daun pintu. Terbuka luas. Tercegat Salina di hadapannya. Jelas riak tak suka di wajah gadis itu.
Dia hisap jarinya yang bengkak. Jeling tajam gadis itu.
“Kenapa?” Serius nada Salina.
Sakit hatinya dengan soalan itu lantas dikeluarkan jari dari mulutnya. “Sakitlah tahu tak!” Sambil melibas-libas jari. Cuba tahan sakit. Dia belek-belek jarinya. Bengkak. Berdenyut-denyut. Dia libas-libas lagi jari. ‘Mak oii... sakitnya!’
“Kacau orang buat apa?”
Tertarik serta-merta mata ke arah Salina. Selamba saja gadis itu tunjuk muka tak bersalah.
Bulat matanya spontan terhenti jari yang melibas-libas. Dia ketap gigi lantas merentap tangan Salina.
“Mak! Tolong Ina!” Tak semena-mena gadis itu melaung.
Terhenti pergerakan Ashriq.
Pantas Salina rentap semula tangannya. Terlepas dari genggaman Ashriq. Selamba Salina lempar senyuman mengejek.
Ashriq terdiam, tak sangka serangannya tak menjadi kali ni. Bahkan gadis itu bagai sudah bersiap sedia pula. Lebih berani melawan!
Terketap giginya makin ketat. Jarinya pula makin berdenyut-denyut. Ikutkan hati yang bengkak, nak saja diciumnya Salina. Biar senyap sikit budak tu. Biar hilang muka selamba tu dari matanya.
“Kau ni tuan rumah jenis apa, hah?” Terpaksa ke topik sebenar akhirnya.
Salina tak membalas, cuma menjeling tajam.
Makin sakit hati dibuatnya. “Kau biar mak aku sorang-sorang buat kerja. Yang kau tu buat apa?”
Salina tak membalas juga.
Makin berdenyut-denyut jari Ashriq. ‘Wargh... sakit!’ “Pergilah tolong!” Menengking akhirnya dalam suara tertahan. Dilibas-libas kembali jarinya.
Salina buat tak tahu. Dengan muka bosan dia tolak daun pintu, mahu menutupnya semula.
Ashriq sukar percaya. “Weh, aku cium kau nanti!”
Salina tak peduli, terus saja dia rapatkan lagi daun pintu. Tahu Ashriq takkan berani.
‘Kalau dia nak buat apa-apa nanti, jerit ajelah. Apa susah!’
“Weh, kau paham tak ni?”
Tak dilayan juga.
“Ada anak dara tapi apa pun tak boleh buat! Orang tua tu jugak yang bersusah payah. Entah macam manalah aku nak hadap kalau ini gaya bini aku. Pemal...”
Dum!
Berdentum pintu dihempas. Terlambat mengelak sedikit saja, nescaya penyeklah hidung dia dihentak papan. Angin jurus menampar muka. Seakan-akan satu amaran yang mengarahkan dia diam. Memperlekeh kelelakiannya.
Menyirap darah hangat ke kepala. Dia hempuk pintu. “Salina!”
“Aduh!” Jeritan kecil dari arah dapur.
Makin terbakar hatinya. Hempuk pintu lebih keras. “Salina!”
“Kenapa bising-bising ni?”
Dia terhenti, menoleh pada laluan yang memisahkan dapur dan ruang tamu.
Siah yang masih bertelekung sedang menghampiri dirinya. Jelas kerisauan di wajah. “Kenapa, Ashriq?”
“Salina.” Tegang nada di dalam perlahan suaranya.
Siah makin kerut dahi. Pandang pintu bilik yang rapat tertutup. Tak faham juga, dia pandang Ashriq semula. “Kenapa dengan Salina?” Lembut.
Sakit hati Ashriq dengan soalan itu. Mengeluh, tahan bengang. “Nothing.” Tanpa menanti, dia berlalu. Menghala ke arah dapur, begitu saja.
Siah terdiam.
“Luka?” soal Ashriq sebelum sempat sekujur tubuhnya menghilang di balik dinding dapur.



“KARI tertumpah, terkena tangan...” Datin Rozie menunjukkan tangan yang merah. Lemah perlakuannya.
Ashriq diam di tepi singki. Cuma memerhati air paip yang mengalir membasahi tangan wanita itu.
Sesaat kemudian, Datin Rozie pulas kepala pili. Air paip berhenti mengalir. Ditiupnya lembut jari-jari yang pedih. Berkerut sedikit dahi menahan sakit.
“Biar lagi budak tu terperap dalam bilik.” Pecah kesunyian dapur dengan suara yang bergetar tegang itu.
Datin Rozie berhenti meniup jari. Pandang Ashriq.
Ashriq terus serius. “Nak jaga sangat hati orang.”
Datin Rozie mengeluh runsing. “Kita cuma nak berbaik, Ash. Lama sangat diorang menghilang...”
“Kalau diorang tak nak ikut wasiat tu?”
Datin Rozie terdiam.
Ashriq mula pamer kesinisan. Lebih tahu apa sebenarnya niat orang tuanya- bukan semata-mata mahu berbaik atas dasar darah daging, tapi lebih. Dan semuanya kerana kepentingan peribadi.
Mummy nak guna jari yang dah melecur tu? Nak ungkit, nak buat diorang serba salah?”
Datin Rozie terdiam lagi.
Ashriq mendengus sinis. Menggeleng-geleng akhirnya. “Kalau setakat kahwin boleh buat daddy dapat harta, then janganlah suruh Ash... please, suruhlah abang... Ash bukannya anak tunggal.”
Datin Rozie semakin resah. “Ashraf belum habis belajar, Ash...”
“Tapi musician tak pernah ada masa depan, kan?” Tajam Ashriq memintas.
Datin Rozie terdiam.
Ashriq semakin sinis. “Music is the best way to zina, right? Mummy sendiri cakap macam tu. Kan?”
Datin Rozie berdecit. Mengeluh lemah. “Bukan macam...”
So mummy nak tengok Ash lacurkan si Salina tu nanti?”
Terhenyak Datin Rozie mendengarnya.
“Kan lebih baik bawak that Al-Azhar’s student datang sini? Boleh membimbing. Sekurang-kurangnya terjamin masa depan budak tu.”
Lemah keluhan Datin Rozie.
Ashriq hempaskan nafas dalam bila terdengar bunyi kepingan-kepingan lantai papan yang dipijak, menghala ke dapur itu. Dalam lagak tenang bercampur sinis dia bangkit dari sandaran, berlalu dari situ.
Datin Rozie terusan-terusan membisu. Hanya nama Datuk Kamil mengisi benak waktu ini. Resah.



MENAPAK saja selangkah memasuki ruang tengah rumah itu, automatik pandangan Ashriq bertembung dengan Salina. Mencuka gadis itu, jelas dengan riak terpaksa. Malah segera memalingkan pandangan ke arah lain.
            Siah yang melangkah di hadapan gadis itu pula seperti tak langsung mengesyaki apa-apa. Mesra saja tersenyum. Hinggakan Ashriq jadi tertanya.
Siah memang jenis yang tak ada perasaan ke?
Tak ke takut bila tengok bakal menantu dia jenis yang macam ni?
Takkan sebab wasiat aje, semuanya jadi okey? Takkan sebab amanah tak masuk akal tu aje, semua orang jadi reda? Padahal dah tahu yang semua tu akan menyusahkan diri.
Bodoh sangat ke orang tua Salina?
“Salina memang nak tolong mak kamu tadi, Ashriq.”
Berderai lamunannya bila terasa bahu dipegang seseorang. Segera dia bawa pergi anak mata dari Salina. Beralih, jatuh pada Siah yang kini berdiri di hadapannya. Tersenyum ramah padanya.
Dia diam saja. Tak terasa mahu membalas.
“Tapi mak kamu tu yang beria sangat nak siapkan semuanya sendiri. Jenuh mak su larang tadi, tak dilayannya. Dihalaunya pulak Salina, suruh Salina masuk bilik.” Ketawa kecil di hujungnya.
Dalam hati, Ashriq tergelak sinis. ‘Memanglah! Nak ambik hati, halaulah masuk bilik. Cuba kalau budak tu cuma nak dibuat kuli? Huh!’
“Katanya, kamu terlampau cerewet. Salah sikit, kamu mengamuk. Tu yang beria dia nak siapkan sendiri.” Siah menambah.
Ashriq diam saja kali ini. Sudah penat dengan penipuan demi penipuan orang tuanya.
Siah leraikan tangan dari bahu Ashriq. Berpusing pandang Salina yang tercegat di belakangnya. “Siapkan nasi untuk Abang Ashriq ni, Na.”
Salina diam. Bersama wajah yang masih ketara mencuka gadis itu berlalu. Sedikit berjingkut langkahnya dek luka di telapak kaki.
“Sakit lagi kaki?” Sempat Ashriq menyapa ketika Salina melintasi dirinya.
Salina menjeling tajam.
Ashriq membalas dengan senyuman kemenangan. Menang kerana akhirnya berjaya membuat Salina keluar dari bilik itu dan patuh pada arahannya.
Jelas riak menyampah pada wajah gadis itu. “Huh!” Paling muka arah lain. Lajukan langkah ke rak pinggan.
Ashriq tergelak nakal, hanya mereka berdua memahami.
Siah tersenyum sendiri. “Dah, pergi pakai baju. Sekejap lagi bila dah siap semua, boleh makan.”



“PISAU tak ada?”
Salina menjeling Ashriq yang nampak canggung bersila di atas tikar. “Nak buat apa pisau?” soalnya tanpa berhenti menyendukkan nasi ke dalam pinggan.
Ashriq tunjuk pada kari di dalam mangkuk. “Potong ayam. Macam mana nak makan kalau tak ada pisau?”
Salina diam. ‘Mat salleh tak sedar diri!’
Berkerut dahi Ashriq, seperti memikirkan sesuatu. Sesaat kemudian dia petik jari. “Oh, eureka!” Segera dicapainya garfu.
Salina menjeling saja perlakuan itu, terus juga dengan kerjanya. Tapi serta-merta dia terdiam sebaik melihat Ashriq mencucuk garfu pada paha ayam di dalam mangkuk kari.
Terus Ashriq bawa ketul ayam yang besar tu ke mulutnya. Belum sempat mengigit, meleleh kuah kari ke pergelangan tangan.
“Oh, no!” Terkial-kial Ashriq letak semula ketul ayam ke dalam mangkuk. Lap kuah kari di tangan. “Kan dah cakap, susah makan macam ni!”
Salina terdiam lagi. Mula nampak pelik.
Ashriq pandang Salina, nampak bingung. “Orang Malaysia takut pada pisau?” Langsung tak hilang slanga mat salehnya tu.
Menyampah Salina mendengarnya!
Tapi ditahannya juga hati yang mahu merengus. Cuma mengeluh halus, cuba tahan perasaan. “Tu bukannya Chicken Chop yang nak dipotong-potong dengan pisau. Carik-carik ajelah dengan tangan.”
Ashriq terdiam. Jelas dengan riak tak percaya.
Salina kerut dahi, makin geram. “Orang Jerman makan roti pun guna garfu dengan pisau jugak ke?”
Ashriq diam sesaat. “I wonder...” Perlahan suara seperti musykil.
Salina makin cuba bertahan.
“Kat Malaysia ni apa yang bagus, ya? Semuanya tak ada. Sudu tak ada, pisau tak ada...”
Sah, Ashriq tak menjawab soalannya!
“Tapi banyak bercakap.”
“Nak makan tak ni!” Membentak akhirnya.
“Salina!” Siah melaung dari arah ruang tamu. Tegas.
Salina membungkam. Sakit hati dengan semua ini.
Sekarang ni, semua yang dia buat semuanya tak betul! Semua salah!
Padahal yang salah bukannya dia! Tu, budak yang berlagak mat salleh depan dia tu. Budak tu yang salah! Budak tu!
Kalau tak disebabkan kerenah melampau budak tu, tak adanya dia anti sampai macam ni. Dia pun tahu, budak tu orang luar. Belum biasa dengan budaya tempat ni.
Tapi bila budak tu berani-berani sentuh dia, ingat dia boleh lupa macam tu aje?
Ikutkan hati, nak aje dia mengadu hal sebenar pada Siah, tak pun pada Mail. Biar orang tuanya halau budak yang berperangai tak senonoh tu. Dia nak nikmati balik perasaan selamat duduk dalam rumah sendiri.
Tapi nak ke orang tua dia tu percaya?
Budak bandar tu nampak macam pandai benar belakon, berperangai baik bila depan orang tua.
Huh! Sekarang ni yang pasti, dunia dia dah kiamat!
“Hah, dengar tu. Mak awak pun larang awak marah kita.” Selamba suara tak bersalah Ashriq menyiat-nyiat ruang dengarnya.
Salina menjeling. Tajam, rasa macam mahu saja ditelan-telannya lelaki itu.
Tapi Ashriq terus juga berlagak selamba. Bahkan mengambil pinggan berisi nasi yang berada di tangan Salina. Letak di hadapannya. “Sebenarnya kita memang dah tahu orang sini memang tak reti makan guna pisau...”
Salina diam bersama hati mendongkol. ‘Dah tahu, tapi buat-buat tak tahu. Sengaja menyusahkan orang!’
“Takut mulut luka...” Selamba Ashriq menambah, sambil mencedok kuah kari dengan sudu. Dicurah ke atas nasi di dalam pinggan. “Kita dah dengar dari kawan-kawan kita kat sana. Orang Malaysia cuma banyak bercakap, tapi penakut walau cuma dengan pisau tumpul.”
Berdesing telinga Salina dengan ayat terakhir itu.
“Jadi kita pun belajarlah cara orang sini makan. Siap praktis makan guna tangan lagi.” Sambil menggaul-gaul nasi dengan tangan kanan. Disuap nasi ke mulut. Nampak ketara kekoknya dan kuah kari terlekat sedikit di hujung bibir lelaki itu.
Tapi lelaki itu nampak puas dapat melakukan perkara itu. Konon dah berjaya menjatuhkan musuh yang memandang rendah padanya.
“Hah, kan?” Bangga saja Ashriq tergelak. “Mujur ada kawan-kawan kita tu, boleh jugak diorang bagitau semua benda pelik pasal tempat ni. Kalau tak, entah-entah nak bercakap dengan orang sini pun saya tak reti.”
Salina diam.
“Nak tahu sebab apa mak awak larang awak marah kita?” soal Ashriq bila selesai menelan nasi.
Salina tetap juga membisu.
Ashriq tersenyum, bermaksud mengejek. “Sebab mak awak nak awak layan kita baik-baik bila dah kahwin dengan kita nanti...”
“Merepek apa ni?” Tegang Salina memintas.
Ashriq pura-pura terkejut. “Awak tak tahu?”
Salina diam. Terus tajam merenung Ashriq.
Ashriq tersenyum lagi. “Okey... biar kita yang bagitau...”
Salina terdiam. Mula rasa tiada yang palsu dalam kata-kata lelaki itu. Lagipun akhir-akhir ini memang orang tuanya nampak berlainan sedikit dengannya. Semacam merisik-risik dan menasihatkan tentang indahnya berkahwin di usia muda.
Cuma waktu itu dia hanya terfikirkan Hafiz. Dia menganggap orang tuanya merestui dia rapat dengan ketua pengwasnya itu.
Tapi sekarang?
Ashriq betulkan duduk. Menghadap Salina yang masih duduk bersimpuh tidak jauh darinya. Ditatapnya lembut anak mata gadis itu, memberitahu betapa benarnya berita yang bakal dia sampaikan.
Dia hela nafas dalam. Berbisik, “once upon a time...”
Tak semena-mena tumpah air mata Salina.
Ashriq tergelak, buat-buat terkejut lagi. “Menangis?”
Salina cepat-cepat menyeka pipi serentak bingkas berdiri. Segera menapak ke ruang tamu. “Makkk... apa nii...”
Ashriq tergelak lagi. Memerhati hingga hilang sekujur tubuh gadis itu dari pandangan.
Mula terdengar esak halus dan sedikit kekecohan di ruang tamu. Yang pasti, suara Datin Rozie tidak langsung kedengaran.
Ah, tentu saja cemas mak datin itu bila Salina menolak mentah-mentah.
Beransur reda tawa Ashriq, sebelum akhirnya hanya senyuman sinis yang tersungging di bibirnya. Menggeleng-geleng. ‘Kan aku dah kata. Benda ni senang aje!’







~ BAB 5 ~

“KAHWIN? Dengan dia?!”
Resah Siah mengusap-usap bahu Salina, cuba menenangkan.
Ashriq di serambi cuma berpeluk tubuh. Tersenyum sinis menghadap laman rumah, tenggelam dalam kesuraman malam.
Tadi, tak lama lepas Salina mencari Siah di ruang tamu, Datuk Kamil dan Mail pulang dari surau. Bertambah kecoh keadaan bila Salina meninggikan suara pada Siah. Mail semacam hilang sabar. Ditengkingnya Salina depan-depan datuk dan datin tu.
Ashriq tersenyum sinis. Situasi itu sebijik saja dengan situasi dalam drama-drama melayu yang biasa dia tonton sebelum pulang ke sini dulu.
Waktu tu dia tak tahu apa-apa tentang tanah air orang tua dia tu. Jadi nak tak nak, terpaksalah dia belajar.
Drama-drama itulah yang mengajarnya bertutur. Dari drama-drama itu juga dia boleh tahu yang orang Malaysia ni kuat bercakap.
Cuma dalam drama-drama tu, dia tak pernah nampak orang Malaysia makan guna tangan. Biasanya guna sudu dan garfu. Dan tak pernah dia nampak dalam drama tu, kalau bersalam mesti cium tangan orang yang lebih tua.
Sebab tu petang tadi dia terkantoi.
Serius, tak puas hati betul dia dengan drama-drama tu. Rasa tertipu kut!
Dan dia biasa nampak, kebanyakan drama tu berkisarkan babak di kelab malam dan pejabat mewah. Rumah besar, kereta besar. Perempuan cantik plus seksi. Sampaikan dia pernah terfikir, kenapa selama ni dia tak pernah dengar nama Malaysia kalau betul peratus rakyat terkaya dalam dunia dipegang negara tu.
Oh, dulu adalah jugak dia dengar orang sebut-sebut pasal Malaysia. Waktu heboh pasal P.M. dari satu negara kecil di Asia nak buat menara tertinggi di dunia. Dan dia antara yang paling kagum bila tahu betapa uniknya menara berkembar tu.
Waktu tulah baru dia tahu yang dia sebenarnya ada keluarga di Asia, itupun nenek yang bagitau.
Masa tu kagum gila dia. Bangga. Sampaikan dia dengan excitednya menandakan tarikh tu dalam kalendar- tarikh yang dia mula bercita-cita nak jadi engineer. Lebih tepat, civil engineer. Inspirasi dari menara berkembar tu.
Lepas tu dia jugak yang paling kagum bila seorang muslim engineer dari Jerman boleh dapat tender nak renovate Masjidil Haram kat Mekah. Bila diselidik, baru tahu rupanya engineer tu Malaysian.
Dia sendiri pun kalah nak rebut tender tu, padahal dia pun engineer jugak. Kerja di Jerman sana jugak.
Seluruh dunia heboh pasal menara jam tu. Ajaib, unik, bla... bla... bla...
Well, makin naiklah graf respect dia pada negara kecil tu.
Tapi bila sekali dia sampai sini, dia tercengang. Terkebil-kebil, sampaikan Datin Rozie terpaksa menampar dulu bahu dia untuk buat dia sedar.
Waktu tu baru dia tahu, semuanya jauh berbeza daripada yang dia tengok dalam drama-drama itu.
No kereta besar, no rumah besar. Sungai tercemar ada. Rumah setinggan ada. Traffic jam dengan accident banyak.
“Tak baik buat macam ni, Na...”
Dia tersedar. Terdengar sayup-sayup suara Siah cuba memujuk Salina di bilik. Sama juga macam dalam drama yang biasa dia tonton dulu.
Okeylah, yang ni dia boleh terima sebab memang ini realitinya.
Tapi dia tersenyum sinis juga waktu tu. Geli-geleman dengan orang yang tak reti nak fight for justice. ‘Sikit-sikit menangis. Harap orang lain datang pujuk.’
Di ruang tamu, dia terdengar sayup-sayup suara Datin Rozie memberitahu pada Datuk Kamil tentang punca semua ini berlaku. Nama dia disebutkan.
Apa lagi. Dia yang tengah makan waktu tu pun dipanggil ke ruang tamu, dengan alasan nak berbincang. Padahal dia tahu, orang tua dia tu tak setuju dengan apa yang dia dah buat ni. Dia bagitau pasal rancangan tu pada Salina waktu semuanya masih terlampau awal. Dah tentulah makin susah nak tunaikan wasiat tu.
Tapi dia peduli apa?
Lagi Salina menolak, lagi puas hati dia. Memang ini yang dia nak. Lebih puas kalau dapat buat orang tua dia tu malu dengan diri sendiri. Biar sedar sikit.




“SEMUA ni wasiat arwah nenek, Na...”
Berderai lagi lamunan dia. Kembali pada suasana serambi dan malam yang kelam. Angin lembut sesekali menyapa tubuh. Menyejukkan sikit dia yang tengah bergelumang dengan suasana tegang lagi hangat ni.
Bunyi-bunyi unggas dari hutan kecil belakang rumah semacam bernyanyi. Sesekali pula, terdengar sayup-sayup bunyi letupan. Seolah-olah ledakan peluru kereta kebal, tapi dari jauh bunyi itu.
Tak lama selepas itu, terdengar lagi bunyi letupan. Lebih kuat kali ini dan disertai sorakan megah budak-budak lelaki.
Dia boleh agak situasi itu. ‘Lawan dengan kampung sebelah. Lawan me...’ Terhenti. ‘Me...’ Dia cuba ingat istilah itu. Dua tiga hari lepas dia pernah baca tentang budaya itu. ‘Me... me...’ Berkerut dahi, cuba ingat lagi. ‘Merami? Merima? Mermia?’ Dia berdecit. ‘Mumia! No!’ Dia usap belakang tengkuk, cuba ingat lagi istilah itu.
‘Meriam!’
Dia petik jari. ‘Yeah, that’s it! Meriam!’ Mengangguk-angguk sendiri. ‘Meriam...’
Dia cuba bayangkan rupa meriam itu. Adakah mirip kereta kebal? Menyesal pula dia tak Google gambar meriam tu dulu.
Dia yang bengang sebab makan malamnya tadi terganggu, cuba jugaklah tenggelamkan diri dalam nyanyian unggas dan letupan-letupan meriam dan mercun tu. Lagi tenang buat macam tu sebenarnya, lebih okey daripada dengar suara-suara manusia kat dalam rumah tu.
Di jalan kampung hujung sana, ternampak sayup-sayup budak-budak dan orang tua baru balik dari surau. Bersembang-sembang, bergelak-gelak. Ada yang berbasikal, ada juga yang berjalan kaki.
‘Kenapalah tak ada scene malam macam ni kat dalam drama. Okey jugak apa. Taklah aku kena tipu kaw-kaw. Taklah juga aku pergi cium tangan orang tua tu macam cium Sarra.’
“Ashriq.”
Segera dia tersedar dengan panggilan Datin Rozie. Menoleh. Kesemua yang berada di ruang tamu sedang memusatkan tumpuan padanya.
“Salina dah setuju. Kamu macam mana?”
Nyaris dia tersedak air liur sendiri. Segera kawal. “Setuju?”
Datin Rozie tersenyum mesra. Tapi riak resah jelas masih terbayang di matanya. Bimbang untuk menerima jawapan pihak lelaki pula.
Ashriq terdiam. Mata beralih pada Salina.
Duduk di antara Mail dan Siah, gadis itu senyap saja bersama wajah yang ditundukkan. Riak berputus asa dan menahan tangis jelas terpampang di situ.
Terbit curiga dalam dirinya. ‘Mustahil itu tanda setuju!’
Tika itu juga anak matanya seperti ditarik ke arah Datuk Kamil yang duduk di hujung ruang tamu. Bila bertembung renungan, ada senyuman sinis terukir untuknya. Isyarat amaran, jangan sesekali cuba melawan akal panjang lelaki korporat itu. Apa pun juga yang berlaku, dia takkan pernah dapat mengalahkan Datuk Kamil.
Dari situ saja dia tahu, Salina tidak rela dengan rancangan itu sebaliknya dipaksa untuk setuju. Dan dia semakin tak faham dengan orang tua Salina. Mail dan Siah langsung tak nampak berfungsi untuk melindungi anak gadis sendiri.
Tapi disebabkan enggan egonya dilanyak-lanyak Datuk Kamil, dia kawal juga hatinya yang sedang marak terbakar. Mesra saja dia ukir senyuman. Pandang semula Datin Rozie yang sedang menanti jawapannya. “Terpulang. Ash tak kisah.” Tenang.
Datin Rozie tercengang. Salina pula nampak semakin patah hati. Semakin tunduk wajahnya, sebelum kemudiannya terlihat ada air jernih yang bertitisan pada jari-jemari di pangkuan.
Yang pasti di mata Ashriq saat ini, Datuk Kamil semakin mekar tersenyum. Penuh dengan maksud muslihat, megah dengan pengaruh dan kekuasaannya.




HINGGA ke sudah, mata gagal juga untuk dilelapkan. Seakan-akan semuanya sudah musnah. Langsung tiada ruang untuk membebaskan diri.
Ketika mahu beredar dari ruang tamu tadi, secara tak sengaja anak matanya bertembung dengan Ashriq. Dapat dibacanya riak kemarahan di mata itu. Tentu saja kerana dia menerima rancangan itu.
Dari situ saja dia boleh tahu, Ashriq sendiri tak pernah setuju dengan semua itu. Dan perlakuan jelek Ashriq terhadapnya sepanjang berada di rumah ini juga sebenarnya bertujuan mencipta benci dalam dirinya. Ashriq sengaja memberi dia ruang membetulkan keadaan.
Tapi ternyata dia juga gagal.
Dan kini masa depannya bakal tergadai di tangan lelaki seperti itu.
Pecah lagi esakannya di tengah-tengah keheningan malam itu. Terbayang-bayang wajah Hafiz. Hafiz yang ketawa, Hafiz yang kuat mengusik... Hafiz yang seringkali memandangnya dengan tatapan yang meresahkan...
Hafiz itu jugalah yang tak pernah mahu menjelaskan duduk sebenar hubungan mereka, tapi dalam masa yang sama terus memberi harapan.
Dia sakit dengan semua ini!
Ketukan di pintu kedengaran tiba-tiba. Dia tersedar, segera akhirkan tangisannya. Sapu air mata di pipi lalu bingkas. Sempat mata hingga pada jam dinding.
Empat pagi.
Siah yang sedang menanti di hadapan pintu itu, dia tahu. Memanggil dia bangkit untuk menyediakan juadah sahur bersama. Cuma hari ini awal sedikit daripada biasa. Mungkin kerana ada tetamu di rumah ini.
Ya, tetamu. Tetamu yang menyusahkan.



TERBUKA saja kunci, terus daun pintu ditolak dari luar. Dia terundur ke belakang. Cemas serta-merta bila sekujur tubuh itu menerpa masuk.
“Awak buat apa ni?”
Ashriq rapatkan daun pintu, kunci pintu sekemasnya sebelum bersandar di situ. Tajam merenung Salina. “Raya ni kita kahwin, kan?”
Salina terdiam. Makin cemas.
“Lebih kurang dua minggu lagi, kan?”
Salina mahu menjerit. Tika itu juga Ashriq merangkul tubuhnya, pusing, tolak tubuhnya ke pintu.
Pecah semula tangisan Salina dengan amaran itu. Mahu saja luruh jantungnya dengan semua ini.
Tapi belum sempat dia melarikan diri, Ashriq segera menahan dua tangan di sisi tubuhnya. Mengepung, dan nafas hangat lelaki itu terasa menampar wajahnya.
Berhamburan lagi air matanya. Meremang bulu tengkuk dengan kehangatan tubuh lelaki itu yang mula dapat dirasakannya. Begitu kuat penangan lelaki itu yang sedang menggegarkan hati wanitanya. Buatkan dia akhirnya hanya mampu menjatuhkan wajah.
Sesaat dua ruang bilik itu sunyi tanpa sedikit pun suara dari lelaki itu. Dia mahu berusaha memujuk lelaki itu, lantas dalam terketar-ketar bercampur esakan dia bersuara. “Tolonglah jangan salahkan saya...”
Ashriq diam.
Salina menggeleng lemah. “Saya tak nak... tapi mak ayah saya suruh terima jugak...”
Dalam samar-samar lampu jalan yang menyelinap masuk ke bilik itu, kelihatan basah wajahnya dengan air jernih.
“Awak boleh pujuk mak ayah saya kalau awak nak...”
“Aku tak nak.” Bergetar suara dalam itu memintas. Pasti saja berupaya membuat hati wanitanya berkocak.
Makin dijatuhkan wajahnya. Makin berusaha menguatkan hati.
“Aku pun tak salahkan kau.” Lelaki itu menambah, lebih lembut suaranya.
Salina memberanikan diri memandang Ashriq.
“Dah jodoh aku dengan kau... dah kau tu yang serahkan diri pada aku...”
Cemas semula Salina mendengarnya. Nada Ashriq cukup jelas memberitahu tujuannya bertandang ke bilik ini.
Ashriq terus tajam merenung wajahnya, sebelum akhirnya terukir seulas senyuman nakal di bibir. Mengiyakan apa yang ditelah benak gadis itu.
Pecah kembali esakan Salina. Tak sanggup berdepan kenyataan ini.
“Dua minggu aje lagi, kan? Kalau kau mengandung sekarang pun takkan ada orang tahu.”
Salina menggeleng, masih enggan.
“Mmm?” Serentak bibir Ashriq cuba mencapai bibir Salina.
Salina segera berpaling. Semakin galak tangisan.
Ashriq terhenti. “Takut?” Berbisik romantis.
Berderau darah Salina mendengarnya.
I’ll be gentle.” Berbisik lagi.
“Tak boleh...” Salina bersuara akhirnya. Berusaha selamatkan diri.
Ashriq diam sesaat. “Kenapa?”
Salina membisu. Dalam keadaan ini, dia tahu dia perlu bijak berdiplomasi. Ego Ashriq amat perlu dijaga. Jangan sampai lelaki itu terasa dipandang rendah.
“Saya tahu awak boleh bersabar sampai kita dah kahwin nanti...” Perlahan suara, tidak langsung berani membalas renungan lelaki itu. “Saya tahu awak buat semua ni cuma sebab tertekan...”
Ashriq diam. Merenung Salina semakin dalam. Tak sangka dalam keadaan ini pun gadis itu masih mampu menolak. Sedangkan gadis-gadis lain yang pernah ditemuinya sebelum ini, mudah saja dia tangani. Sekali ayat saja, rebah begitu saja dalam dakapannya.
Ini pertama kali dia ditolak begini. Dan kelelakiannya tentu sajalah tercalar-balar. Semakin terangsang pula malahannya, walhal bukan ini tujuan sebenar dia bertandang ke sini.
“Saya akan layan semua kehendak awak nanti... asalkan waktu tu kita dah sah...” Salina bersuara lagi, merayu.
Ashriq tersenyum sinis akhirnya. “Perasan.”
Salina terdiam.
Ashriq semakin sinis bahkan mula bermaksud jelek. Dileraikan tangannya dari pintu, berundur setapak. “Kita kalau tak boleh nak terang-terangan melawan, kena buat cara haluslah pulak, kan.”
Salina semakin terdiam. Bertukar cemas semula wajahnya.
That’s all.” Dan dengan ayat terakhir itu, Ashriq mengisyaratkan dengan tangannya, mengarah agar Salina beredar dari pintu itu.
“Awak nak cuba buat mak ayah saya salah faham?”
Ashriq memandang semula gadis itu.
Salina semakin cemas. “Awak nak cuba buat mak ayah saya reject awak?”
“Habis tu?”
“Bodoh!” Serentak itu berhamburan semula air mata.
Ashriq terdiam. Berkerut dahi dengan apa yang baru saja keluar dari bibir gadis itu.
“Lain kali belajar dulu budaya tempat ni, baru buat keputusan! Faham!”
“Apahal ni?”
“Awak buat macam ni, lagilah mak ayah saya nak awak bertanggungjawab! Diorang mesti risau kalau saya mengandung nanti! Mana diorang nak letak muka!”
Ashriq terdiam. Baru tersedar betapa salahnya tindakan ini.
Makin mendayu-dayu tangisan Salina. “Awak pandang rendah pada kitorang. Tapi awak tak tahu, awak tu yang lagi bodoh sebenarnya! Tahu!”
Hangat telinga Ashriq. “Kau...”
“Keluar sekarang.” Serentak itu Salina berkalih menghadap pintu. Pulas tombol dan terus menarik daun pintu.
Terkuak saja, Siah sudahpun tercegat di hadapan mereka. Sudah siap mengangkat tangan mahu mengetuk pintu dan mengejutkan Salina. Dalam masa yang sama, Datin Rozie pula kelihatan muncul dari arah ruang tamu. Terhenti serta-merta langkah sebaik terpandang keadaan itu.




KEADAAN di ruang tamu gelap-gelita. Lengang, hinggakan jam dinding yang berdetik itu pun dapat didengari dengan jelas. Ashriq yang sedang berbaring terlentang di atas Toto, tersenyum-senyum sendiri sejak tadi. Bumbung rumah kampung itu dipandang, sambil dua tangannya yang mengalas kepala itu dikemaskan. Puas hati kerana taktiknya berhasil.
Tak tahu kenapa tiba-tiba dia rasa macam lawak gila semua ni.
Waktu bersahur tadi, Siah dengan mak datin tu senyap semacam. Yang Siah, sekejap-sekejap pandang Mail. Macam nak cakap satu benda tapi tertahan. Yang mak datin tu pulak nampak benar takutnya. Yang si Salinanya tunduk aje memanjang. Macamlah betul-betul jadi babak blue tu!
Yang dia pulak?
Macam nak tergelak besar!
Tak sangka, tak adalah bodoh sangat dia rupanya walaupun dua tiga kali Salina menyumpah dia dengan perkataan tu.
Siah dah mula nampak ragu-ragu nak bermenantukan dia. Padahal dia dah terangkan hal sebenar pada Siah.
“Tak ada apa-apa jadi pun. Salina ni penakut, nak cium sikit pun tak bagi. Tu tengok, merah muka dia. Menangis!”
Merah padam muka Siah mendengar ayat tu. Marahlah gamaknya. Sudahnya dia dihalau dari dapur tu. Cuma dipanggil untuk bersahur bila dah siap terhidang semua. Tapi muka Siah tetap masam. Langsung tak sudi pun pandang dia.
Dia berani jamin, sikit lagi mesti dibagitaunya jugak benda tu pada Mail. Waktu tu, habislah semua kehendak datuk dengan datin tu.
Semuanya sebab tindakan dia yang Salina tuduh bodoh tu.
Heh, kalau tak sebab ‘benda bodoh’ tu, tak adalah seberjaya ini hasilnya. Sepatutnya Salina puji dia, bukannya kutuk!
Bercakap soal Salina, dia tersenyum lagi. Kali ni menggeleng-geleng. Mata tak langsung dilarikan dari memandang bumbung rumah yang cuma samar-samar menyentuh pandangan. Terbayang-bayang ketakutan budak tak cukup umur tu waktu dia mengacah tadi.
‘Pelik. Orang biasa kalau umur macam dia, sedih bila belum ada lelaki yang nak sentuh. Yang dia pulak takut. Siap menangis pulak tu! Ceh! Potong stim betul.’
Ashriq tertawa halus. Geli hati mengingatkan kekalutan Salina.
‘Tak normal agaknya budak tu.’
Dia tergelak lagi. Tergeleng-geleng kepala. Makin lama bila dia kenangkan penolakan tu, makin terangsang pula kelelakian dia.
Salina jenis yang susah didekati, buat dia rasa nak lebih mendesak sampai sudahnya nanti budak tak cukup umur tu sendiri terlentok dalam pelukan dia. Waktu tu, barulah dia boleh rasakan diri dia betul-betul mentap. Sekarang ni belum cukup!
Seronok permainan ni, kalau nak dibandingkan dengan Sarra dan gadis-gadis lain yang rela saja sepenuhnya. Inilah kali pertama dia diajak supaya menguji skillnya.

Dan dia... dah tentulah dia akan menyahut seruan.

4 861 komen:

Fara Alicia said...

Yesss! Akhirnye.. Bengong btl Ash ni. Sian Salina. Hihi.. Mujur dpt bce je. Kalau jd dpn mate, sye tlg Ina wat side kick. Aci x? Heh heh.. tb2 nk interfere plak

Fara Alicia said...

Yesss! Akhirnye.. Bengong btl Ash ni. Sian Salina. Hihi.. Mujur dpt bce je. Kalau jd dpn mate, sye tlg Ina wat side kick. Aci x? Heh heh.. tb2 nk interfere plak

Anonymous said...

Bila nak sambung lagi ye? Xsabar nak tau apa jadi seterusnya...

Ibu Anita said...

Assalamualaikum.wr.wb. perkenalkan nama saya Ibu Anita Tki Malaysia, saat menulis ini saya teringat memory masa lalu.saya sangat tergugah hati melihat coretan hati yang Ibu tulis. saya jadi teringat tentang masa-masa sulit dulu,karena iktiar dan usaha , seolah2 menjadi dendam bukan lagi motivasi, cuma satu tujuan saya pada saat bagaiman caranya untuk bangkit..singkat kata berbagai macam iktiar dan cara yang saya lalui, mengingat pada saat itu hutang saya 1,2m yang tidak sedikit, belum lagi bunga renternir yang bertambah. karena usaha, kesungguhan hati, akhirnya menemukan jalan /solusi . saya percaya ALLAH ITU TIDAK DIAM MAHA PENYAYANG , cobaan itu bukan lah ujian tapi hadiah yang tersilmut untuk kebahagiaan yang sebenar2nya. Sudah banyak para normal yg kami mintai angka togel dan uang gaib cuma Ki Witjaksno yg berhasil alhamdulillah itu betul-betul terbukti tembus. jika anda ingin seperti saya silahkan hubungi Ki Witjaksno: +62852_2223_1459. ingat kesempatan tidak akan datang untuk yang kedua kalinya
UNTUK LENGKAP SILAHKAN KLIK-> PESUGIHAN TOGEL DAN PELARI USAHA

Post a Comment

Assalamualaikum. Hai!
Terima kasih baca.
Cer komen sikit?

.

.