Thursday, 1 January 2015

Memo 1

“AKU nak kau kerjakan dia kaw-kaw nanti, Ai.” Separuh berbisik suara Syira. Daun-daun pokok ru di hadapannya diselak sedikit. Dalam keadaan terhendap-hendap itu dia mengintai lif. Masih rapat tertutup, petanda sasaran yang dinanti masih belum tiba. “Belasah sampai lunyai!”

Aylin angkat ibu jari tanpa menoleh. “Beres.” Hampir kepada bisikan juga.

“Kalau boleh biar malam ni jugak dia mintak putus.”

Angkat lagi ibu jari. “Beres...”

“Lepas tu kalau kau nak kat dia, ambiklah. Aku tak kisah.”

“Ber...” Tertahan di situ lalu menoleh.

Syira yang sedang bertinggung sama di sebelahnya itu mengukir sengihan sumbing. Telan baki cheese cake di dalam mulut. “Fine. Memang kau betul-betul tengah dengar.”

“Habis tu?”

Syira sengih lagi. “Kau duk ralit sangat tengok lif tu. Aku ingat kau cuma angguk aje apa aku cakap!”

Aylin terdiam. “Suka hati dia aje.”

Sengih juga.

Aylin senyap. Selak semula daun-daun ru di hadapan mereka. Kembali mengintai. “Lambat lagi ke mamat tu nak sampai?”

Syira pandang jam tangan. “Patutnya waktu-waktu macam sekarang nilah. Malam tadi mak aku bagitau.”

“Ni tak sampai-sampai pun?” Laju memintas. Mula bosan. “Dah dekat setengah jam kita terhendap-hendap kat sini. Dah macam apa aje.”

Syira senyap kali ini.

“Kalau kena tangkap ni, naya aje.”

Syira senyap juga, tidak seperti biasa. Cukup membingungkan Aylin lalu dia menoleh.

Dalam payah dan sempit mereka menyorok di celah-celah pasu bunga itu, Syira berusaha menyuap sesudu kek ke dalam mulut. Bila sedar diri dipandang, gadis itu menoleh. Tersengih sumbing. “Heh...” Keanak-anakan. Tunjuk lambang peace. “Aku lapar.”


TING!

Teralih perhatian kedua-duanya.

Keluar seorang lelaki dari lif yang terbuka.

“Tu ke?”

“Hah, tulah!”

“Aku pergi dulu!” Serentak itu Aylin bingkas dan terus meluru ke lif.

All the b...” Tertahan. Tersedar sesuatu. “Eh, Ai!”

Tapi gadis itu sudah tidak lagi mendengar.

Syira telan liur. Pahit, sedangkan kek masih berbaki dalam mulut.


“SELAMAT pagi!”

Lelaki itu berhenti melangkah. Menoleh dan kemudian terlepas keluhan lega di bibir. Balas senyuman yang dihadiahkan padanya. “Selamat pagi.”

“Encik Khai?”

“Saya.”

Lebar senyuman Aylin. Tiba berhampiran, dia matikan langkah. Hulur tangan. “Saya Mas Aylin.”

Lelaki itu teragak-agak tapi segera melindunginya dan tersenyum. Huluran tangan disambut.

Pantas Aylin mengelak. “I meant your briefcase.” Hulur semula tangan.

Lelaki itu terdiam. Merah muka bila sedar beberapa pandangan sedang tertumpu ke arahnya. “Err...” Seperti tadi, dia segera lindungi isi hati. Tersenyum lagi, tapi kali ini mula terlihat riak tak selesa. Dia hulurkan apa yang diminta.

Aylin menyambut, kemudian tersenyum semula. “Orang yang encik nak jumpa tu belum sampai, jadi sekarang kita pergi sarapan dulu. Jom?” Tanpa menanti jawapan, dia berpusing dan mula melangkah ke dalam lif.


DALAM diam, tiap satu perlakuan lelaki itu diteliti. Ditilik sedalam-dalamnya. Daripada cara lelaki itu memesan makanan, membelek telefon bimbit hinggalah pada jari-jari lelaki itu yang perlahan mengetuk-ngetuk meja sementara menunggu pesanan makanan tiba. Tak terlepas satu pun dari pandangan.

Lama-kelamaan, mula berkerut dahinya. ‘Macam tak ada gaya playboy aje...’

Teringat pada reaksi spontan lelaki itu yang serba salah tadi sewaktu dia menghulur tangan. Dari awal dia tahu lelaki itu akan tersalah faham, tapi memang itu yang mahu dia lihat. Sebab itu dia sempat mengelak bila lelaki itu mahu menyambut salamnya.

‘Kaki perempuan takkan teragak-agak macam tu.’

“Kau tak tahu, Ai!” Terbayang-bayang raut wajah bersungguh Syira di benaknya. “Dia tu talam dua muka. Kalau tak, tak adanya orang tua aku boleh teringin nak buat menantu!”

‘Betul ke?’ Terus berbolak-balik hati.

Tiba-tiba lelaki itu menoleh. Bertembung pandangan dengannya. Dia tersedar, cepat-cepat bangkit dari sandaran sambil berdehem kecil. Betul-betulkan duduk di kerusi, cuba tutup perasaan.

Well...” Putus di situ. Akal tiba-tiba buntu, tak tahu apa patut sebut. Dia kerah-kerah benak. Argh... “Ah, ya. Encik boleh panggil saya Mai aje. Sebagai tanda saya ni bersemangat patriotik.”

Lelaki itu tersenyum, tertarik. “Patriotik?”

Dia angkat kening. “Patriotik.” Capai sekuntum bunga ros dari gelas kristal yang terletak di tengah-tengah meja. Dibelek-belek seketika sebelum kuntum bunga dihala ke arah lelaki itu. “Biasa guna Malaysia Airlines?”

Lelaki itu mengangguk.

“Mas Aylin dengan Malaysia Airlines tak jauh beza, kan?”

Lelaki itu tidak segera menjawab kali ini sebaliknya meletakkan sudu yang di tangannya ke pinggan. Makin tertarik. “Awak nak bagitau yang nama awak tu lambang negara?”

Aylin menggeleng. “Saya lahir masa tengah flight.”

Pecah tawa lelaki itu akhirnya. Menggeleng-geleng. “Kreatifnya...”

Tersenyum saja Aylin mendengarnya, sambil jari-jarinya kembali membelek-belek kelopak ros. ‘Menjadi nampaknya. Ulat bulu dah mula naik daun.’

“Biasanya orang panggil saya Ai tapi saya tak suka. Sebab nama tu tak ada ciri-ciri melayu.”

Lelaki itu tidak menjawab. Menanti dia menyambung.

Dia kerling lelaki itu, bersatu renungan. “M untuk Malaysia. Jadi boleh panggil...”

“Aylin.” Lembut nada lelaki itu memintas.

Dia terdiam. Semakin kemas renungan terikat dengan lelaki itu.

“Saya lebih suka nama tu.” Dalam suara lelaki itu kali ini.

Berdebar jantungnya tiba-tiba. Segera dia larikan pandangan dan berpura-pura tenang meletakkan semula bunga ros di tempat asal. ‘Kuat betul aura playboy.’

Sesudah itu dia lepas nafas dalam. Capai sudu, kacau-kacau kopi panas di hadapannya.

Hati di dalam mula tak keruan. Dia cuba lagi berlagak tenang tapi sukar kali ini. Entah apa puncanya.

Boleh jadi aura penggoda lelaki itu sudah mula menguasainya.

‘Ah, masak aku!’

Tapi untuk segera mengakhiri pertemuan, dia bimbang lelaki itu mengesyaki apa-apa. Lagipun ada perkara penting yang masih belum diselesaikan. Mana mungkin separuh jalan saja kerjanya.

Masa depan Syira perlu diselamatkan. Biarlah. Pilihan orang tua atau pilihan sesiapa juga, kaki perempuan tetap tak layak dijadikan suami. Titik!

Suara-suara ketawa hinggap di telinga, memecahkan lamunannya. Dia menoleh.

Sekumpulan wanita baru saja memenuhi meja di sebelah. Rancak berbual sesama mereka tanpa mempedulikan pengunjung lain.

Muncul idea di benaknya waktu itu juga. Dalam diam dia menjeling lelaki di hadapannya. Senyap saja lelaki itu mengacau-ngacau air di dalam cawan sambil pandangan terlempar ke luar kafe. Jauh, bagai memikirkan sesuatu.

‘Peluang baik.’ Perlahan-lahan dia bawa jari-jemarinya menghampiri pinggan lelaki itu. Capai sudu yang terletak di situ tanpa menghasilkan sebarang bunyi. Berhati-hati.

Dia jeling meja sebelah, mencari lokasi terbaik. Sebaik saja pasti tiada mata sedang memandang, terus dia campak sudu. Jatuh tak jauh dari kaki seorang wanita.

Cepat-cepat dia capai cawan kopi di hadapannya. Hirup, konon tiada apa-apa berlaku.

Lelaki itu seperti tersedar dari lamunan bila sudu berdenting memukul lantai. Segera menoleh. Terpandang saja objek logam itu di lantai, terus dia tunduk.


“LELAKI GATAL!”

Pang!

Jatuh terduduk dia di lantai kafe. Terpinga-pinga pandang wanita-wanita yang bangun dari situ. Masing-masing kasar menolak kerusi dan terus meluru keluar. Tidak sempat langsung ditahan pelayan yang baru tiba.

Tegang wajah pelayan itu memandangnya.

Dia gelabah. Segera ditunjuk ke arah sudu yang kaku di lantai, cuba bela diri. “Ss... saya...”

“Tak payah berlakon.” Satu suara tiba-tiba menyela.

Dia menoleh.

Aylin di meja sedang merenungnya tajam. Sesaat kemudian, tersungging senyuman sinis di bibir gadis itu. “Macam ni aje cara nak ajar kaki perempuan.”

Dia terdiam. Merah padam muka sebaik faham maksud yang disampaikan.

Aylin selamba juga. Malah dengan lagak sinis mengeluarkan sekeping not dari beg tangan. Diletakkan atas meja dan bangun. Melangkah setapak sebelum bertinggung di hadapannya. Berbisik, “seronok belajar benda baru hari ni, kan?”

Mencerlung renungannya.

Gadis itu tak mempedulikan bahkan tersenyum mengejek. Berbisik lagi, “tinggalkan Syira. Kalau tak, lepas ni saya terbangkan pulak awak ke planet lain. Saya kan Mas Aylin yang bersemangat patriotik?” Kenyit mata sesudah itu, tersenyum manja kemudiannya. “Bye, bye.”

Tanpa menanti reaksi, gadis itu bingkas. Berpusing dan melangkah tinggalkan tempat itu. Membiarkan sendirian dirinya yang terus jadi perhatian.

Dia bangun. Duduk di kerusi, sentuh pipi dan bibir yang perit ditampar. Dia pandang jarinya sesudah itu. Melekat cecair merah di situ, petanda benar-benar marah wanita-wanita tadi terhadapnya.

Dia pandang semula Aylin yang baru keluar melepasi pintu.

“Tinggalkan Syira.” Terngiang-ngiang amaran itu.


DALAM tawa yang masih gagal dihentikan, Aylin tarik wheelchair di sebelah Syira dan terus duduk di situ. Lepas nafas dalam. Puas!

“Dah?” Datar suara Syira menyoal. Tidak langsung dialih mata dari monitor. Tidak juga dihentikan jari-jarinya yang berlari di atas keyboard.

Aylin ketawa semula sebaik mendengar soalan itu. Tersandar kepalanya di kerusi, pandang Syira yang sibuk dengan kerja. “Rugi kau tak ikut tadi.”

Syira senyap.

“Kau tak nampak masa dia jatuh terduduk kat kafe. Dah tu, berdarah bibir dia kena tempeleng dengan akak-akak tu semua.”

Terhenti jari-jari Syira yang menaip. Teragak-agak. Sesaat dua begitu, dia menyambung semula kerja. Tapi kali ini mula nampak serba salah.

Aylin ketawa lagi. “Aku pun apa lagi? Aku tibai dia cukup-cukup. Dia pandang aku macam nak telan aje.”

“Dah tu kau buat apa?”

“Aku lari ar cepat-cepat dari situ!”

Syira senyap.

“Lawak gila, weh... kali ni confirm mak ayah kau give up nak kahwinkan korang.”

Senyap juga.

Aylin mula tersedar kelainan pada Syira. Bangkit sedikit dia dari sandaran, cuba intai wajah gadis itu. “Apahal kau ni? Tak nak ucap tahniah kat aku ke?”

“Takziah.”

Aylin ketawa semula. Tersandar semula di kerusi, geleng-geleng kepala. “Bertuah punya kawan.”

“Kita dah salah orang.”

Mati serta-merta tawa Aylin lantas menoleh.

“Tu abang kembar dia.”

“Hah?” Spontan bangkit dari sandaran.

“Aku tak tahu abang dia tu start masuk hari ni. Patutlah beria dia nak datang jumpa aku. Rupanya diorang datang satu kereta.”

“Aku kena pranklah ni?”

Syira menggeleng. “Lepas aje kau pergi, dia sampai. Aku pulak baru keluar dari belakang pokok bunga tu.”

“Habis tu?”

“Entahlah...” Mengeluh berat. Hentikan kerja menaip, menoleh pandang Aylin. “Jodoh aku memang dengan dia agaknya... tu yang jadi sampai macam ni. Tetap tak boleh lari walau macam mana pun aku cuba.”

“Kembar dia pun player jugak, kan?” Minta kepastian. Cuba untuk tak rasa bersalah dengan tindakannya di kafe tadi.

Syira angkat bahu. Berpaling semula menghadap komputer. Kembali menaip. “Aku tak kenal dia. Sebab tu aku tak tahu dia ada kembar.” Perlahan. Tapi nadanya cukup jelas dengan kesakitan yang cuba ditahan. “Dahlah, Syira... restu orang tua tu penting...” Lebih perlahan kali ini, bahkan mula bergetar suara.

Aylin terdiam akhirnya. Tak tahu apa patut buat. Syira dengan masalah yang tak selesai. Dia pula dengan masalah yang baru timbul.

Semacam dihempap langit saja rasanya. Lemas! Sesak!

‘Habislah kau, Ai...’ Terjatuh kepalanya ke atas meja. Tersadai. Longlai tangan terlepas ke bawah. ‘Macam mana ni...’

Dia yang berniat mahu menolong, alih-alih sekarang dia pula yang terheret sama.

‘Mana adil macam ni.’

“Okey, perhatian!” Serentak terdengar bunyi seseorang menepuk-nepuk tangan meminta tumpuan.

Penuh terpaksa dia kerah diri untuk bangun. Tapi tika itu juga mata terpandang sesusuk tubuh lelaki di sebelah Peguam Hasyim. Terbeliak biji matanya. ‘Dia!’

Sepantas kilat dia berbongkok.

Dang!

Kepala terhantuk meja. “Duh!” Terjerit kecil. Cepat-cepat dia tekup mulut. Wheelchair berpusing. Dia hilang imbangan. Terjatuh, terduduk di lantai. Dia gigit bibir. Tahan diri dari menjerit lagi walau pinggang rasa nak patah. Cepat-cepat dia merangkak ke bawah meja. Duduk di situ memeluk lutut.

Syira tunduk mengintai. Berkerut dahi. “Kau okey tak ni?”

Dia menoleh. Serba salah tersengih, sorok hati yang kelam-kabut. “Tt... tu kembar Khai, kan?”

“Haah.” Mengangguk.

Dia senyap semula. Telan liur.

Syira terdiam. Mula faham maksud kekalutan itu.

“Assalamualaikum, semua.” Suara garau Peguam Hasyim mengalih perhatian. Syira terpaksa bangun, kembali beri tumpuan pada pengumuman.

Aylin terus juga menyorok di situ. Di ruang sempit bawah meja itu. Kecilkan diri seboleh mungkin. Cuma mendengar satu demi satu pengenalan diri oleh peguam baru itu.

‘Peguam baru... peguam baru...’ Merenik peluh di dahi walau berkali-kali dia menyapunya.

Tiba-tiba terdengar derap tapak kasut menghampiri mejanya.

Dia tarik nafas dalam. Terkumat-kamit bibir mendoakan keselamatan. ‘Janganlah... janganlah...’

Tapi hampa. Derap tapak kasut semakin jelas di telinganya.

Semakin hampir...

Hampir...

Dan akhirnya dia dapat melihat dengan jelas lelaki itu berdiri di hadapannya.

Lelaki itu tunduk mengintai. Bertembung saja pandangan mereka, tersungging terus senyuman di bibir lelaki itu. Di dalam satu nafas halus mula berlutut di hadapannya. Santai.

Merah padam wajahnya, lebih-lebih lagi bila sedar beberapa mata sedang terintai-intai ke arah mereka.

Nyata, dia sedang terjerat dalam permainan yang diciptanya sendiri.

“Mas Aylin.” Berseru lembut namanya di bibir lelaki itu sebelum menyua tangan padanya. “Saya Khair Asya, sebab dulu saya lahir dalam flight Air Asia.” Mesra, tapi nada sinis dan geram cukup jelas terselit di situ. Cuma dia yang mampu dengar.

Dia kaku membisu. Lesap segala watak yakin dan berani yang dia lakonkan di kafe tadi. Bahkan kini di matanya, lelaki itu bagaikan pendakwa raya yang nekad mahu hukuman gantung mandatori dijatuhkan padanya. Penuh dendam mengambil alih penguasaan permainan darinya. Dia cuma menunggu waktu ditewaskan saja kini.

Lelaki itu angkat kening, suakan lagi jari-jari untuk disambut. “Terjatuh kerusi, kan? Saya tolong?”

Dia semakin serba salah. Tahu lelaki itu cuma berpura-pura. Tapi jika dia enggan mengalah, boleh jadi lebih teruk dia dimalukan. Lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang- perhatian seluruh pejabat sedang tertumpu ke arah mereka.

Pasti dia saja yang nampak pelik dan salah waktu ini.

Lantas dalam teragak-agak dia cuba menyambut tangan lelaki itu.

Seperti yang diduga, lelaki itu mengelak. “I meant this love letter.” Suakan semula tangan dan kali ini sudah terselit sekeping kertas memo di celah-celah jari. Sekelip mata.

Hangat wajahnya.

Lelaki itu tersenyum semula. “Magic.” Romantis berbisik.

Dia telan liur. Sedikit menggigil jari-jemari menyambut memo itu.

Lelaki itu tersenyum lagi, senyum kemenangan. Tanpa mempedulikannya lagi, lelaki itu berdiri. Beredar dari situ.

Perlahan-lahan dia keluar dari bawah meja. Kerah juga tubuh yang sengal. Semakin hangat wajahnya menahan malu. Lebih-lebih lagi bila perhatian semakin tertumpu padanya.

Mahu tak mahu, dia terpaksa berlagak tenang. Duduk di kerusi dan mula membaca memo pemberian lelaki itu.


WELCOME TO THE WORLD OF REAL GAME!


Mengalir peluh di dahi. Mula ternampak gelap masa depannya di firma ini.

‘Mana kau nak lari sekarang, Ai...’


9 861 komen:

baby mio said...

Best

Hajar Zulaikha said...

Ini la yg awk pernah cakap kat saye dl ttg mas tu ye? Menarik!

Eijan said...

Best intro

Siti Hanisah said...

Haah. Mas Aylin aka MAS Airlines... hahaha

Anonymous said...

best...lama x bkak blog ni..

Siti Hanisah said...

Hehe... saya pun dah lama tak update blog ni.

sa zam said...

Best n nice....

lia pak din said...

Best... Jalan cerita nampak lain dari yang lain... Tak sabar nak tggu N3 berikut nye

Fara Alicia said...

Kreatif nama die. Haha

Post a Comment

Assalamualaikum. Hai!
Terima kasih baca.
Cer komen sikit?

.

.