Monday, 25 November 2013

Teaser Hati Yang Kau Sentuh


RASA jauh hati, tapi dalam masa yang sama benak tetap terfikirkan keselamatan Farhah di rumah. Dia pandang jam di bahagian hadapan masjid, sudah menghampiri tengah malam. Mahu atau tidak, dia pulang juga.

Sewaktu kaki memijak serambi, dia terdengar sayup-sayup suara dari peti televisyen. Bererti Farhah masih belum tidur. Barangkali sedang menjahit.

Belum sempat memberi salam, pintu sudah terlebih dahulu terkuak dari dalam. Tercegat Farhah di hadapannya dengan wajah mengantuk. Mungkin disebabkan terpaksa menunggu dirinya yang pulang lewat. Itu rumah kampung, mana boleh buka pintu dari luar. Farhah pula memang cukup bermasalah untuk dikejutkan kalau sudah terlena. Jadi mungkin sebab itulah Farhah terpaksa menonton televisyen sementara menantinya.

Ada sedikit kesal dalam hati Azrul. “Terima kasih.” Itu saja yang mampu terungkap sebagai tanda maaf. Dia menapak ke dalam rumah, kemudian berlalu ke bilik. Farhah yang menutup semula pintu cuma dibiarkan. Dia salin pakaiannya, mahu tidur.

Tidak lama bersendirian, Farhah masuk ke dalam bilik itu. Tapi senyap cuma antara mereka. Bagai terlalu asing antara keduanya. Farhah duduk di birai katil, sementara Azrul terus menyalin pakaian.

“Abang dari mana?” soal Farhah akhirnya setelah agak lama suasana lengang menguasai mereka.

“Tak ke mana.”

“Habis tu kenapa lambat balik?”

Senyap.

“Abang marahkan Farhah?”

Kata-kata itu membuatkan Azrul mengerling sekilas wajah Farhah. “Nak buat apa marah?”

“Habis tu kenapa abang senyap?”

“Abang nak cakap apa?”

Farhah terdiam, sakit hati bila diaju begitu. “Kenapa dengan abang ni… Balik-balik terus nak marah je. Kalau Farhah ada salah, abang bagitaulah. Abang senyap macam ni, buat Farhah macam kayu tau tak?”

Senyap. “Tak ada apalah. Tidurlah, dah malam ni.” Lantas dia duduk di atas katil. Mahu tidur. Tapi Farhah tidak semena-mena menarik tangannya, membuatkannya terhenti. Dia pandang wajah Farhah.

“Apa salah Farhah sebenarnya ni? Tak boleh ke abang terus-terang?” Sudah mula kedengaran tegang. Geram bila Azrul terus juga dingin terhadap setiap soalannya.

Azrul senyap. Terlepas keluhan lemah dari bibirnya sebelum berdecit kecil. “Sudahlah, abang dah letih ni Farhah.”

“Abang!”

Azrul pandang Farhah semula. Sudah mula merah wajah isterinya itu. Azrul duduk semula, mengeluh lagi. “Okey, Farhah nak cakap apa?”

Diam. Farhah nampak geram memandang Azrul.

“Tengok, Farhah tak nak cakap apa-apa pun. Habis tu abang nak cakap apa lagi?”

Farhah senyap. Berpaling ke arah lain. “Cuma sebab Farhah tak tahan dengan bau kain baru, abang dah buat Farhah macam ni.”

“Kalau kain lama pun, Farhah tetap jugak akan buat macam tu.” Tenang, tapi terlalu sinis. Farhah tersiat.

“Farhah tak fahamlah dengan abang ni. Abang marah sangat dengan Farhah ni kenapa? Macam besar sangat salah Farhah!”

“Siapa yang jumpa Farhah semalam?” Masih tenang, tapi nadanya seakan mencabar.

Farhah yang mendengar pula terus mengembalikan pandangan ke wajah Azrul. Azrul tersenyum sinis, sudah mengagak reaksi itu. “Kalau Farhah jujur dengan abang, Farhah akan ceritakan sendiri. Tak payah tunggu abang sebut.”

Terdiam.

“Sudahlah Farhah… Asalkan Farhah jujur dengan diri sendiri, abang takkan halang apa-apa keputusan Farhah. Yang penting Farhah jangan main-mainkan abang. Abang tak suka.” Sedikit nada amaran.

Farhah terdiam lagi. Azrul berkalih, berbaring membelakangi Farhah.

“Sebab itu aje?”

Meruap darah hangat ke kepala Azrul. Bengang bila Farhah menyebut ‘aje’. Lantas dia bangun semula, tajam memandang Farhah. “Habis tu ada lagilah?”

Farhah mendengus kasar. “Maknanya abang dah tahu dari awallah yang dia nak jumpa Farhah?”

Pandangan tajam Azrul bagai mengiyakan. Makin bengkak hati Farhah.

“Jadi abang marah ni sebab dia bagitau yang Farhah jemput dia naik rumah ni?” Dia ketap gigi. “Tapi abang tak tanya pun Farhah, dia betul-betul masuk rumah ke tak. Tahu-tahu nak marah aje.”

“Abang nampak sendirilah, Farhah.”

“Okey, sekarang Farhah dah tahu! Abang dah balik sejak semalam rupanya kan? Tapi tak jadi jumpa Farhah sebab ternampak dia kat rumah ni.” Senyap sesaat. “Tapi abang ada tanya Farhah tak, kenapa dia datang sini? Abang ada tanya Farhah tak, dia betul-betul masuk rumah ke tak? Ada tak!” Meledak di hujungnya.

“Nak tanya apa lagi?”

“Hah, tengoklah sekarang!”

Azrul diam. Tidak langsung mengalih pandangan yang tajam dari wajah Farhah.

“Punyalah abang ni tak percayakan Farhah!” bentaknya. “Dia nak datang jumpa Farhah, tapi Farhah langsung tak tahu.”

Azrul senyap.

“Farhah ingat semalam abang yang balik, tapi rupanya dia je yang keluar kereta. Abang sengaja nak jerat Farhah kan?” Dihela nafas yang sesak akibat geram. “Abang tu yang tak percaya kat Farhah. Jangan salah-salahkan orang tak jujur, tapi abang tu sendiri!”

“Dia jumpa Farhah buat apa?” soal Azrul.

Farhah tidak menjawab sebaliknya bingkas dan melangkah keluar. Dia mendengus kasar, membuatkan Azrul tercabar. “Farhah!”

Namun Farhah tidak mempedulikan. Azrul pantas bingkas.

“Dia jumpa Farhah buat apa semalam!” Makin tegang nadanya sebaik berjaya menggenggam tangan Farhah. Ketat pegangannya, membuatkan Farhah semakin sakit hati.

“Baru sekarang abang nak tanya?”

“Jawab soalan abang, Farhah!” Meledak tengkingan.

“Dia cuma datang bagi surat tawaran kerjalah!”

“Habis tu kenapa sampai nak naik ke rumah segala? Hah?”

“Sebab Farhah tak nak jumpa dia!”

“Kenapa mesti dia naik!” Makin tegang.

“Manalah Farhah tahu, abang tanyalah dia!” Meledak tengkingan Farhah akhirnya.

Azrul terdiam. Turun naik nafas Farhah, mencerlung anak matanya merenung Azrul.

“Farhah tak seteruk yang abang fikir selama ni, tahu. Jahat-jahat Farhah, Farhah takkan izin orang lain masuk dalam rumah abang waktu abang tak ada.” Terputus sesaat. “Kenapa teruk sangat Farhah ni pada mata abang? Sampai abang sanggup tuduh Farhah macam ni!”

Azrul terdiam lagi.

“Sudahlah!” Serentak Farhah merentap tangan yang digenggam Azrul, terlepas. Tapi hati di dalam masih terbakar. “Rimas macam ni!” Dia merengus lagi.

Azrul senyap. Bengkak hati Farhah melihatnya, lantas dia lepaskan rengusan kasar dan masuk semula ke dalam bilik. Berdentum pintu dihempasnya. Dalam perasaan yang serba menyesakkan itu, dia paksa dirinya untuk tidur. Bantal ditekup ke telinga, marah!

Tapi hati yang sakit semakin tertekan bila rasa bersalah tiba-tiba muncul dan mencucuk-cucuk perasaan. ‘Tengking suami. Isteri derhaka!’ Terngiang-ngiang, membuatkannya tidak sedap hati. Tapi dia cuba juga paksa benaknya agar melupakan segalanya dan segera berehat. Dia dah penat!

Bagaimanapun, mata yang terpejam terus terbayang-bayang perlakuan kasarnya dan wajah Azrul sewaktu ditengking tadi. Nampak sangat terkilannya lelaki itu bila dia meninggikan suara. Dia mendengus, sesak. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia boleh jadi begini. Kenapa dia boleh jadi terlalu emosi, hingga Azrul pun sudah berani dilawannya.

‘Ya Allah…’ Berpeluh-peluh dahi. Makin tidak selesa. Tapi bila dia terdengar pintu bilik dibuka, rasa marah kembali menyerbu hati. Dia makin ketat menekup bantal ke telinga. Enggan mendengar sebarang suara. Sakit hati!

Bila terasa Azrul duduk di birai katil di belakangnya, dia mematikan diri. Nafas yang sesak masih gagal dikawal.

“Farhah.” Perlahan suara Azrul. Farhah tidak peduli. Bila Azrul menyentuh jari-jemarinya, dia tetap juga kaku. Ikutkan hati, mahu saja dia menepis tapi takut semakin menyesal dengan tindakan sendiri.

“Abang salah faham dengan Farhah.”

Diam.

“Abang pun tak tahu yang dia nak datang jumpa Farhah…”

“Habis tu nak puaskan hati abang, abang tuduhlah Farhah macam-macam? Nak tunjukkan yang Farhah ni teruk sangat?” pintas Farhah laju.

Azrul terdiam. Kesal dengan salahnya sendiri.

Farhah merengus. “Dahlah, bang. Farhah dah tak tahu nak cakap macam mana lagi. Abang fikirlah sendiri, setakat mana kepercayaan abang pada Farhah. Farhah dah tak kuasa lagi dah nak ambik tahu.”

Terdiam lagi. Perlahan-lahan, akhirnya Azrul bangun dari situ. Keluar dari bilik. Farhah terus kaku. Terus dipaksanya mata agar lena.

 

DALAM marah, hati masih bersisa kelembutan. Dia mula berasa serba-salah bila Azrul tidak juga muncul di bilik itu. Tertanya-tanya benaknya, di mana lelaki itu saat ini.

Sudahlah Azrul baru saja pulang dari berjalan jauh, sekarang berselisih faham dengannya pula. Yang dia pula tadi, tidak berupaya langsung mengawal marah. Seakan-akan menjunjung ego bila kesetiaannya dicurigai.

Tapi Azrul yang melulu! Sedangkan dia cukup setia selama ini. Siapa yang boleh bersabar jika begitu tuduhannya?

Tapi... ah!

Bila Azrul api, dia sepatutnya jadi air! Bukannya minyak yang memarakkan lagi kemarahan!

Dia mengeluh berat, keluh-kesah menanggung rasa bersalah.

‘Ya Allah...’

Dia raup wajahnya. Disebabkan tidak tahu hendak berbuat apa lagi, akhirnya dia bangkit dari perbaringan. Duduk di birai katil, jauh termenung. Melayan hati di dalam suasana bilik yang kelam. Bila rasa berdosa terus juga menyeksa perasaaan, akhirnya dia turun dari katil. Sudah tidak tertanggung lagi.

Dia sedar, perkara ini sepatutnya boleh dibincangkan. Dan dia juga sebenarnya risau memikirkan Azrul yang sedang penat itu. Terdetik dalam hatinya yang Azrul berkemungkinan keluar lagi dari rumah itu seperti petang tadi. Dia tahu petang tadi Azrul keluar untuk mencari ketenangan. Mungkin mahu memujuk hati yang celaru. Dia yang tidak mengerti pula sesuka hati menuduh Azrul melulu. Pasti saja Azrul terluka dengannya.

Terlepas lagi keluhan berat dari bibirnya. Merasakan betapa bodohnya dia. Gagal bertindak sebagai penyejuk hati bila diperlukan suaminya itu.

Pintu yang tertutup itu dia tarik. Keluar saja dari ruang bilik, terus anak matanya tertancap pada sekujur tubuh Azrul yang sedang duduk bersandar di dinding rumah. Bersendirian di situ dengan mata terpejam. Dia tahu Azrul masih belum tidur, kerana lelaki itu nampak seperti sedang kusut memikirkan sesuatu. Semakin berat rasa kesal dalam hatinya. Dia hampiri lelaki itu.

Di hadapan Azrul, dia duduk. Teragak-agak dia sentuh lengan lelaki itu. “Abang.” Perlahan.

Tercelik kelopak mata Azrul, bertemu anak mata mereka. Terusik hati Farhah bila menyedari cara pandangan Azrul yang lesu. “Kenapa duduk kat sini? Masuk biliklah, rehat.” Pura-pura tenang.

Namun Azrul tidak menjawab, bahkan memejamkan semula matanya. Seakan-akan Farhah tidak wujud di hadapannya.

Farhah terdiam. Mengerti maksud Azrul yang sedang membuang dirinya. Makin serba-salah dia dengan keadaan ini. Tertunduk dia di hadapan lelaki itu. “Abang...” panggilnya perlahan. Bila Azrul tidak langsung bereaksi, dia menambah dengan nada bersalah, “tadi Farhah tinggikan suara Farhah pada abang.” Perlahan.

Kali ini kelopak mata Azrul terbuka, namun pandangannya kosong.

“Farhah kasar dengan abang.” Farhah menambah.

Tapi Azrul tidak langsung menjawab, membuatkan Farhah berasa terbuang. Mula mengalir sebak dalam dadanya.

“Farhah minta maaf...”

Tapi Azrul terus-terusan senyap, membuatkan Farhah semakin terhukum. Serba tidak kena dia dibuatnya. “Farhah tahu Farhah salah, tak cuba faham waktu abang tengah letih.”

Senyap juga. Farhah memberanikan diri mencapai tangan Azrul. Dia tunduk mencium tangan suaminya. “Farhah betul-betul minta maaf dengan abang…” Sebak.

Bila Azrul tetap membisu, Farhah sudah tidak tertahan lagi menanggung rasa berdosa. “Abang… janganlah senyap macam ni. Farhah tak boleh tenang selagi abang tak maafkan Farhah…” Berderai akhirnya air mata. Tidak tahan digonggong rasa bersalah. “Tolonglah ampunkan Farhah, abang...” Mula teresak halus.

Azrul senyap juga, tapi hakikatnya hatinya tidak seperti yang disangka Farhah. Dia sebenarnya tersentuh melihat Farhah bersungguh meminta maaf, sedangkan dia yang bersalah. Ternyata dia gagal bertindak sebagai ketua keluarga.

Pesan Haji Daud yang terngiang-ngiang di telinga membuatkan dia makin rasa bersalah. Dia sentuh bahu Farhah. Dia tarik tangannya yang masih dicium Farhah, memaksa isterinya itu bangun. Mata Farhah yang basah itu dia pandang. Lemah. “Abang yang salah dengan Farhah.”

Farhah terdiam, tertunduk sebak. Merintih hati Azrul melihatnya. Betapa sabarnya Farhah melayan kerenahnya, hinggakan ketika dia bersalah pun Farhah yang terlebih dahulu memohon maaf. “Abang yang salah, Farhah.” Perlahan.

Dia tarik Farhah. Dia kucup ubun-ubun Farhah, sebelum menarik isterinya itu ke dalam dakapannya. Erat. “Abang yang salah,” bisiknya.

Pecah tangisan Farhah di dada Azrul. Sayu. Semakin kemas dakapan Azrul, cuba memujuk.

“Abang tak faham kenapa dia buat macam tu...” luah Azrul lemah. “Abang tak sanggup kehilangan Farhah, sayang. Sebab tu abang keliru, kenapa dia sampai boleh naik ke rumah ni...”

“Farhah tak jemput dia naik pun...”

“Abang tahu.” Perlahan suara Azrul memintas. “Dia macam sengaja pecah-belahkan kita.”

Farhah senyap, teresak-esak dalam dakapan Azrul. “Farhah dapat tahu dia yang datang. Tapi masa tu Farhah dah bukak pintu, takkan nak tutup balik? Dia pulak, dia cuma datang nak bagi surat tu.”

 Azrul diam, diusapnya lagi bahu Farhah sebelum meleraikan dakapan. Wajah Farhah yang basah ditatapnya. Jarinya menyeka air mata isterinya itu. “Nampaknya kita kena lebih berhati-hati lepas ni.”

Farhah mengangguk. “Maafkan Farhah, bang.” Pilu.

Azrul senyap. Dalam anak matanya menatap Farhah. Dia mengangguk sedikit. “Farhah tak salah...” Lantas, dia tarik semula Farhah ke dalam dakapannya. Lebih kemas.

 Perlahan-lahan, bibirnya melepaskan keluhan halus. Mula curiga dengan niat sebenar Firdaus. Entah kenapa, lelaki itu seakan memiliki agenda tersembunyi. Berselindung di sebalik budi.
 

5 861 komen:

Azilah said...

Menggetar jiwa btul la.. ble nvel ni nk kuar...

Siti Hanisah said...

Insya-Allah, tak lama lagi. Sekarang tengah urusan design2 tu semua. Sabar sikit je lagi ek. Dah tahu tarikhnya nanti, insya-Allah saya umumkan kat blog. ;)

baby mio said...

X sabar tunggu novel keluar.

Siti Hanisah said...

Saya pun tak sabar jugak ni. Hehe. Harap2 okeylah...

Doa2kan la, biar lancar semua... :)

Azilah said...

Berakhir jgak pnantian. Tak sabor da ni! ;-)

Post a Comment

Assalamualaikum. Hai!
Terima kasih baca.
Cer komen sikit?

.

.