Thursday, 10 October 2013

Hati Yang Kau Sentuh (Cerpen: Sempena Raya)


Assalamualaikum, hai!

Ingat lagi Azrul dengan Farhah? Dua orang budak yang kuat sangat bertekak, tapi tup-tup boleh terkahwin... lepas tu jatuh cinta pulak!

Okey, sempena musim perayaan ni, saya hadiahkan satu cerpen untuk semua.

Tapi nak kata cerpen pun tak sangatlah. Sebab kisah ni saya petik balik daripada novel asal.

Jadi kalau nak faham cerita ni, kena baca dululah bab 1 – 22. Untuk lebih senang faham.

Dalam novel ada diterangkan, siapa Adilla, siapa Firdaus, siapa Dato’ Razali... Macam mana Azrul boleh tak tinggal sama dengan Farhah, dll...

Dalam cerpen ni saya cuma sebut je nama dan peristiwa, sebab saya anggap you all dah fasih dengan cerita asal.

Mungkin lebih tepat kalau saya kata, cerita ni sebenarnya sedutan novel. Cuma babak dalam cerita ni saya tak masukkan dalam novel. (Faham ke penerangan saya ni? Harap-harap fahamlah ye.)

Okey! Selamat membaca.

Semoga terhibur. Hadiah istimewa daripada saya, atas sokongan semua. :D










~ BABAK SATU ~


“MOSHI, moshi.” Lembut suara nakal Farhah menerpa ruang dengar, membuatkan Azrul tersenyum sendiri.

“Iya, sayang...” Lembut juga suara Azrul. “Tengah buat apa?”

“Baru lepas tengok pengumuman raya. Bila abang nak balik sini?”

“Kenapa?”

Ye la... Kalau abang ada, boleh Farhah mintak abang bakar lemang, buat panjut. Nak sambut raya tahun ni tak best langsung tau! Tak meriah sebab abang tak ada.”

Azrul senyap, makin lebar senyuman di bibirnya.

“Helo? Abang?” Suara Farhah kedengaran di hujung talian, bernada hairan.

“Mmm?”

“Kenapa senyap tiba-tiba? Tak balik langsung ke raya ni?”

Azrul senyap juga. “Kalau abang tak balik, Farhah boleh siapkan semuanya sendiri dengan mak tak?”

Terus terdiam Farhah sebaik mendengarnya. “Oh...” Teragak-agak. “Memang tak balik langsunglah maknanya ni?” Ada kehampaan yang terselit.

“Kenapa, dah rindu sangat ke?”

Terdiam lagi Farhah, membuatkan Azrul makin tersenyum. Dia tahu Farhah sedang menanggung rasa malu. Dan dia juga tahu, Farhah sengaja beralasan mahu dia pulang untuk melengkapkan persiapan raya, sedangkan isi hati sebenar isterinya itu cukup-cukup ketara di ruang dengarnya.

Memang, pengajian yang jauh di tempat orang memaksa mereka terpisah. Walau baru beberapa bulan berjauhan, bagi mereka setiap saat yang berlalu ini terlalu lambat. Hinggakan ada waktunya, tidak tertanggung rindu di hati.

“Abang baliklah, Farhah,” lafaz Azrul akhirnya, bila Farhah terus membisu di hujung talian.

“Ye ke?” Perlahan suara Farhah, masih cuba melindungi hati yang malu diusik Azrul.

“Mmm...” Azrul angguk sedikit. “Insya-Allah, esok.”

“Okey, nanti Farhah bagitau mak.”

Senyap semula.

“Farhah,” panggil Azrul setelah agak lama talian sunyi.

“Mmm?”

“Tengah sibuk ke?”

“Tak. Kenapa?”

“Malam ni abang nak bersembang lama sikit dengan Farhah.” Lembut suara Azrul, makin ketara getar di dada. Dan dengan satu nafas, dia meluahkan, “rindu, sayang.” Dalam suaranya, membuatkan Farhah terdiam. Berderau darah.


“LAMA sangat kita tak jumpa. Tak tentu arah hidup Farhah dibuatnya, macam orang tak betul je.” Lembut tutur Farhah sebaik kakinya menapak melepasi pintu. Beg pakaian Azrul dia letakkan di penjuru bilik. Sesudah itu dia tanggalkan tudung dari kepala dan menggantungnya.

Kemudian tanpa memandang Azrul, dia bersuara semula, “abang bertolak pukul berapa dari sana?” Lembut, sambil tangannya lincah mengeluarkan pakaian dari almari untuk digosok.

Tapi Azrul hanya senyap, membuatkan Farhah tertanya-tanya lantas berpusing.

Azrul sedang duduk di birai katil, menatap dirinya entah sejak bila. Bila bertemu anak mata mereka, Azrul tersenyum penuh erti.

Berderau darah Farhah sebaik menyedari kelainan pada cara tatapan Azrul. Berkerut dahinya. “Kenapa pandang Farhah macam tu?”

Makin lebar senyuman di bibir Azrul. “Farhah sedar tak ayat yang Farhah cakap tadi?” soal Azrul kembali, membuatkan Farhah makin keliru.

“Mmm?”

Azrul angguk, mengiyakan kata-katanya.

“Ayat yang mana?”

“Yang mula-mula, masa kita baru masuk bilik ni tadi.”

Terdiam Farhah. Berkerut-kerut dahi cuba mengingat, dan sesaat kemudian dia pandang Azrul semula. Azrul sudahpun tersenyum nakal. Merah padam wajah Farhah. “Hisy! Perasanlah abang ni!”

Pecah tawa Azrul, serentak bingkas dan menghampiri Farhah. Dirangkul pinggang Farhah tanpa sempat isterinya itu mengelak. Dia cuit hidung Farhah. “Rindu sangat pada abang ke?”

Farhah mencemik, malas menjawab.

“Baik jawab, Farhah.”

“Tak nak... abang tu kuat sangat perasan.” Ada kemanjaan yang terselit dalam suara rajuknya, sambil melontar pandangan ke arah lain.

Azrul tertawa kecil. “Makin nakal dia sekarang ni, ya?”

Farhah senyap, berdebar jantungnya mendengar suara dalam Azrul. Lantas tangan Azrul yang berlingkar pada pinggang dia leraikan. “Abang rehatlah, Farhah nak memasak.” Serentak dia melangkah ke pintu.

Tapi tidak semena-mena Azrul menarik semula tangannya. Drastik. Terpusing dia, Azrul pantas merangkul semula pinggangnya. Bertemu pandangan mereka, Azrul tersenyum romantis. “Tak payah masak dululah, abang nak jumpa Farhah ni. Rindu, sayang.”

Farhah terdiam, berderau darah. Gagal dibalasnya tatapan Azrul. Jatuh anak matanya. “Kita ni dalam bulan puasa lagi, bang.” Perlahan suara. “Esok baru raya.”

Azrul diam. Sesaat kemudian, tersungging senyuman penuh erti di bibir, sebelum akhirnya tertawa kecil. “Apa pulak fikir ke situ?” Nakal.

Farhah terdiam, bertambah hangat wajahnya. Tidak sangka pula dia boleh terperangkap. Argh! Malu!

Azrul yang menyedari kelainan pada wajah Farhah, akhirnya tertawa halus. Puas kerana dapat mengenakan Farhah. Serentak dia leraikan tangan dari pinggang isterinya itu.

Melihat Farhah terus-terusan senyap, Azrul tersenyum lapang. Sudah lama dia tidak melalui saat ini. Indah pula dia rasakan. “Dahlah. Jom, abang temankan Farhah memasak.”

Farhah masih senyap. Makin nakal senyuman di bibir Azrul, faham maksud diamnya Farhah. Lantas dia hampiri Farhah semula, halus dia bisikkan di telinga isterinya itu, “abang betul-betul rindu ni, sayang.”

Farhah senyap lagi. Tidak langsung mengangkat pandangan.

“Tapi nak mintak Farhah temankan abang berehat dalam bilik ni, takut mak dengan Ila fikir yang bukan-bukan. Jadi abang temankan Farhah memasak ajelah.”

Farhah senyap juga. Satu demi satu bicara Azrul membuatkan dia semakin terasa berdebar. Bergetar perasaannya, hinggakan untuk mengangkat pandangan pun dia tiada keberanian. Perpisahan yang terlalu lama ini membuatkan dia terasa seolah Azrul cukup berlainan saat ini. Romantis. Ah, cairnya hati!

Azrul yang makin dikuasai rindu, bertambah suka bila melihat Farhah begitu. Dia tahu Farhah terlalu merindui sepertimana hatinya saat ini meronta-ronta untuk tidak langsung jauh dari Farhah. Akhirnya dia tunduk mengucup dahi Farhah. “Miss you, sayang,” bisiknya halus. Sesudah itu dia tarik Farhah ke dalam pelukan. Kemas, seperti tidak mahu langsung dilepaskan.


~ BABAK DUA ~


“MACAM mana belajar kamu kat sana, Rul?” soal Mak Dah yang sedang menggubah bunga di dalam pasu. Ketika itu mereka baru saja selesai menyiapkan juadah untuk berbuka.

Azrul yang sedang menonton televisyen, menoleh sekilas. “Okey, alhamdulilllah.”

Mak Dah mengangguk sedikit. “Duit dalam bank banyak lagi?”

“Mmm.” Mengangguk. “Insya-Allah, cukup je sampai Rul habis belajar nanti.”

“Pandai-pandailah berjimat, kita ni bukannya orang senang...”

Azrul senyap saja tanda akur. Anak matanya beralih pada Farhah yang sedang menggantung langsir disertai Adilla. “Farhah.”

“Mmm?” Tanpa menoleh.

“Dah siap kerja tu nanti, bersiap.”

Barulah Farhah kelihatan tertarik, lantas menoleh. Ada kerutan di dahinya. “Nak ke mana?”

“Kita pergi masjid, berbuka kat sana. Lepas tu terus join orang kampung bertakbir raya.”


~ BABAK TIGA ~


DI masjid, riuh dengan orang kampung. Antoi yang ketika itu baru selesai mengambil wuduk, terus terbeliak biji mata sebaik terpandang Azrul.

“Kau ke tu, Yoi?” laungnya.

Azrul tersenyum meleret. Dibiarkan Farhah yang bersama-sama Mak Dah dan Adilla berlalu ke bahagian wanita. Dia segera mendapatkan Antoi.

“Woho! Apa khabar, orang Jepun?”

Pecah tawa Azrul mendengarnya. “Banyaklah kau.”

Antoi tersengih. Laju saja menyambut huluran tangan Azrul, bersalaman dan berpelukan. Dia tepuk-tepuk bahu Azrul. “Woo... Aku nak dekat dengan kau pun dah naik segan ni. Almaklumlah, orang dah belajar tinggi.”

“Weh, cakap bebaik sikit ar!” pintas Azrul. Ditumbuknya bahu Antoi.

Berderai tawa mereka.

“Kau apa citer sekarang? Berapa orang anak dah?”

“Aku maintain je, tak ada yang berubah pun...” Lantas Antoi berpusing. “Jom, kita jumpa Pak Aji.” Lantas kaki mula naik ke ruang beranda. “Pak Aji!” laungnya. “Ni, anak murid kesayangan Pak Aji dah balik ni.”

Azrul tersenyum saja. Antoi masih tidak berubah. Masih kuat bergurau seperti dulu.

“Pak Aji! Oh, Pak Aji!” laung Antoi lagi bila panggilan pertamanya tidak bersahut.


“LAMA kamu cuti?”

Azrul menggeleng mesra dengan soalan Haji Daud. “Tak lama mana pun, pak cik.”

“Biasalah, dah jadi orang Jepun ni. Makin kuat kerjalah jadinya!” sampuk Pak Mail, memecahkan tawa jemaah yang hadir.

Azrul tersenyum, menggeleng-geleng kecil. Suka benar mereka menyakatnya. Tak habis-habis!

“Orang rumah kamu tak ikut ke mari?”

Beralih semula tumpuan Azrul pada Haji Daud. “Ada... mak saya pun ada sekali kat belakang tu.”

“Eh, buah hati mana boleh tinggal, Pak Aji.” Antoi mencelah. “Kalau boleh, ke Jepun nanti pun nak dibawaknya!”

Pecah lagi tawa seisi jemaah. Gamat ruang makan itu. Azrul hanya mampu melayan saja satu demi satu usikan yang ditujukan buatnya.

Selesai majlis malam itu, mereka bersurai. Mak Dah dan Adilla berjalan kaki ke rumah sambil berbual-bual dengan penduduk kampung yang lain. Azrul pula sengaja meminta Farhah agar berjalan beriringan dengannya, agak jauh terasing dari penduduk kampung. Farhah hanya akur.

“Nak dating ke tu?” laung Antoi, membuatkan mereka menoleh serentak. Merah padam wajah kedua-duanya, membuatkan Antoi semakin galak. Dia angkat ibu jari, tanda bagus. Azrul dan Farhah tersenyum, berjalan semula ke rumah.

Senyap antara mereka. Hanya bunyi unggas dari belukar di kiri dan kanan jalan saja yang menemani.

“Seronok study kat sana?” soal Farhah setelah agak jauh mereka tinggalkan kawasan masjid.

Azrul yang sedang memandang hadapan, menoleh sekilas. “Seronok.”

Farhah angguk, faham. Dia lepaskan nafas dalam, tidak tahu untuk bertanya apa lagi. Tiba-tiba saja dia terasa lain. Berjalan berduaan begini sudah terlalu lama tidak mereka rasa, membuatkan dia agak kekok saat ini.

Azrul yang menyedari maksud diam Farhah, menoleh semula. “Farhah ingat lagi tak tempat ni?”

“Mmm?” Farhah turut menoleh.

“Tempat ni, waktu kita baru nikah dulu.”

Mendengar saja soalan itu, terus merah wajah Farhah. Lantas dia lontar semula pandangan ke hadapan. Dia angguk kecil. “Ingat. Kita bergaduh pasal kasut tumit.”

Azrul tersenyum, turut sama memandang jalan. “Kita memang dari dulu lagi kuat bergaduh.”

Farhah tersenyum. “Abanglah, suka sangat buli Farhah.”

Azrul menoleh. “Iya ke?”

Di bawah sinaran kekuningan lampu jalan itu, Farhah mencemik. Tapi di mata Azrul, Farhah nampak semakin cantik pula bila begitu. Lantas untuk mengawal hati yang berdebar, Azrul tertawa nakal. “Masa tu abang tak tahu pun yang Farhah sakit kaki...”

“Eleh, kalau tahu pun, abang tetap akan belikan...” Perlahan suara Farhah mengomel. “Macamlah Farhah tak kenal abang tu.”

Azrul senyap. Ada baki senyuman di bibirnya. “Farhah makin kuat membebel sekarang.”

“Mmm?” Serentak menoleh, namun Azrul sudah tidak memandang wajahnya. Mencuka Farhah. “Oh, abang dah tak suka dengar suara Farhah la maknanya ni? Kenapa? Dah ada orang lain kat sana, eh?”

Pecah tawa Azrul mendengarnya, lantas membalas pandangan Farhah. “Apa pulak fikir ke situ?”

Tapi wajah Farhah masih serius. “Baik cakap, bang.”

Tergeleng-geleng kepala Azrul, lantas dia peluk bahu Farhah. “Mana adalah.”

“Habis tu? Sebelum ni abang tak pernah kisah pun. Farhah banyak cakap ke, tak ke... Abang layan je.”

Azrul menggeleng lagi. Semakin erat tangannya di bahu Farhah. “Abang bergurau ajelah. Janganlah terasa sangat.”

Farhah terdiam. Entah mengapa, kata-kata Azrul membuatkan dia rasa jauh hati tiba-tiba.

‘Janganlah terasa sangat...’ Ertinya Azrul menuduh dia terlalu emosi, sedangkan dulu tidak pernah begini.

Azrul seperti sudah berubah.

‘Apa salah aku?’

“Farhah.”

Farhah senyap, enggan menjawab panggilan itu.

Azrul yang menanti, pelik bila tiada jawapan dari Farhah. Dia menoleh. Dan sebaik melihat Farhah seakan tenggelam dalam dunia sendiri, terlepas keluhan dari bibirnya. “Kenapa ni...”

“Tak ada apa.”

“Farhah macam tak percayakan abang dah sekarang. Kenapa ni? Abang salah apa dengan Farhah?”

Farhah menggeleng. Melihat begitu, Azrul ikut senyap akhirnya. Enggan mendesak lagi Farhah bersuara.

Dia leraikan tangan dari bahu Farhah. Senyap sesudah itu, lengang di sepanjang jalan. Mak Dah dan Adilla pula semakin jauh ke hadapan, membuatkan mereka semakin bisu.

“Abang.” Perlahan suara Farhah kedengaran, setelah agak lama kesunyian bermaharajalela.

Azrul menoleh. “Mmm?”

“Jujur dengan Farhah. Abang dah tak suka ke bila Farhah bercakap banyak?”

Terdiam Azrul mendengarnya. Itu rupanya yang membuatkan Farhah jauh darinya. Akhirnya dia mendengus halus, kesal dengan diri sendiri.

Terlajak kata, inilah padahnya. Walaupun sebenarnya dia tidak faham dengan Farhah yang terlalu sensitif saat ini.

Dia tarik semula Farhah, rapat dengannya. Dia peluk bahu isterinya itu. “Mana adalah. Abang gurau je tadi.”

“Betul?”

Azrul mengangguk. “Betul...” Lembut suara. “Farhah yang salah faham dengan abang.”

“Farhah ingatkan abang betul-betul dah tak suka dengar Farhah bercakap banyak.”

Azrul tersenyum sendiri. “Farhah terlampau cemburu ni.”

“Memanglah, sebab kita dah tinggal asing-asing sekarang ni. Abang pulak, kat sana tu tak sudah-sudah kena kejar dengan perempuan-perempuan tu semua. Mana Farhah tak risau.”

Azrul tersenyum lagi. “Farhah sorang je.” Lembut pujuknya. “Percaya cakap abang.”

Farhah membisu. Pujukan Azrul kedengaran tulus, tapi entah mengapa dia rasa kurang yakin. Namun enggan untuk merosakkan mood malam ini, akhirnya dia mengangguk sedikit. “Okey.” Perlahan.


~ BABAK EMPAT ~


TIBA di bilik, telefon bimbit milik Azrul sedang berlagu nyaring, tanda ada pesanan ringkas yang masuk. Farhah lantas mendapatkan meja kecil di tepi katil. Dicapainya objek berwarna hitam itu.

Terpampang nama Sarah di skrin, membuatkan Farhah tertanya-tanya. ‘Kawan sekelas dia kan?’

Entah mengapa, bisikan hati itu membuatkan dia rasa berdebar tiba-tiba. Tanpa menanti, dia segera buka pesanan ringkas yang baru masuk itu.


Miss you, Rul. Selamat hari raya, setulus maaf dari dasar hati I...

Sarah


Terdiam Farhah. Berderau darahnya.

Terjawab akhirnya rasa tidak enak yang dia rasakan sejak tadi. Memang rasa itu bukan mainan kosong rupanya.

Patutlah lain benar sikap Azrul bila bercuti kali ini. Rupanya ada perkara lain yang disembunyikan.

Tiba-tiba terkuak pintu bilik, spontan teralih anak matanya ke arah itu. Bertemu anak mata mereka, dan wajah Azrul terus berubah sebaik terpandang telefon bimbit di tangan Farhah.

Farhah senyap, dengan hati yang hangat dia alihkan pandangan dari wajah Azrul. Telefon bimbit dia hulurkan. Sebaik saja Azrul menyambut, dia terus menjauh. Menuju ke tingkap, berpeluk tubuh membelakangi Azrul. Hati yang berperang hebat di dalam cuba dia tahan.

“Kawan sekelas ke macam tu?” Tajam suara.

Azrul terdiam, memandang Farhah yang nampak sedang mengawal marah itu. Jatuh tangannya yang menggenggam telefon bimbit itu ke sisi.

“Farhah percayakan abang selama ni.” Perlahan suaranya, sedikit bergetar. “Tapi ini yang abang buat.”

Senyap.

“Tolong jangan buat Farhah macam ni la, bang. Abang bohong Farhah macam mana pun, sudahnya Farhah akan tahu jugak...”

 Senyap juga. Farhah rasa terlalu rendah harga dirinya di mata Azrul. Akhirnya dia mengeluh, tidak tahu bagaimana mahu meredakan rasa sakit dalam hatinya. Diam Azrul itu seakan mengiyakan segala yang berlaku.

Lantas dia berkalih. Keluar dari bilik yang tiba-tiba rasa berbahang. Tidak langsung memandang Azrul.


SEDAR tengah malam itu, dia memandang-mandang sejenak keadaan sekitar. Kelam, hanya samar-samar saja cahaya lampu dari dapur terbias ke ruang tamu itu.

Dia bangun, kemudian bersandar lemah di sofa. Nafas dalam terlepas dari bibir. Dia rapatkan kelopak mata. Sakit hati bila mengingati kejadian selepas pulang dari masjid tadi.

Tidak disangkanya, Azrul terlalu mudah berubah hati.

Pedihnya rasa ini...

Hampir saja mengalir air matanya.

Tapi untuk terus melayan perasaan, dia tidak sanggup. Bukannya ada sesiapa yang peduli pun jika dia merajuk begini.

Tengoklah. Azrul boleh membiarkan dia lena sendirian di atas sofa ini, sedangkan dulu tidak pernah begini. Bahkan saat ini lelaki itu enak saja tidur di bilik, hanyut dibawa mimpi.

‘Jangan-jangan dia tengah mimpikan Sarah.’

Ergh, makin sakit hatinya!

Akhirnya dia celikkan semula mata, benci untuk terus membiar diri diperbodohkan.

Tapi sebelum sempat bangkit, terhenti pergerakannya tiba-tiba. Terdiam, sebaik terpandang sekujur tubuh Azrul sedang lena di sofa tidak jauh darinya.

Berderau darah Farhah.


DADA Azrul disentuh. “Abang.”

Senyap.

“Abang...” panggilnya lagi, lebih jelas. Barulah tercelik mata Azrul, spontan bertemu pandangan mereka.

“Farhah.” Perlahan suara Azrul sambil bangun. Duduk bersandar di kepala sofa.

“Kenapa tidur kat sini?”

Azrul terdiam mendengarnya. Dalam samar-samar ruang tamu itu, anak matanya menatap Farhah. “Abang tengok Farhah tidur kat sini. Nak angkat masuk bilik, takut Farhah belum habis marah.”

Farhah terdiam. Mendengar saja kata-kata itu, tidak semena-mena ada perasaan aneh yang menyelinap halus ke dalam hatinya. Bila jari-jemarinya terasa digenggam Azrul, dia angkat wajah. Membalas pandangan lelaki itu.

“Farhah marahkan abang lagi?” Lembut suara Azrul.

Farhah cuma senyap, jatuh semula pandangan ke lantai.

Azrul mendengus halus. Bahu Farhah dipegangnya, meminta Farhah naik ke sofa. Farhah yang mengerti hanya akur. Tapi masih membisu setelah duduk menghadap suaminya.

“Abang cuba untuk terangkan tadi, tapi tak ada yang nak mendengar.” Lembut suara.

Farhah membisu juga.

Lembut jari-jari Azrul membelai rambut Farhah. “Farhah sendiri dengar dia panggil nama abang, waktu Farhah call abang hari tu. Memang dia sengaja buat macam tu untuk buat Farhah cemburu. Tapi masa tu Farhah okey je, sebab tu abang tak terfikir yang Farhah akan marah sampai macam ni.”

“Maknanya betullah abang dah ada yang lain?” pintas Farhah tiba-tiba. Makin sakit hati di dalam. Rasa seperti dicincang-cincang. Lumat.

Azrul terdiam, mendengus lemah. “Sarah tu nekad orangnya. Selagi tak dapat, selagi tu nak.” Senyap sesaat. “Tapi bukanlah maknanya abang akan ikut kehendak dia. Abang dah ada Farhah, buat apa abang cari yang lain.”

“Habis yang sms dia hantar tadi tu, apa bendanya? I miss you, I miss you segala?”

“Dia yang nak hantar macam tu, tak upayalah abang nak halang.”

“Takkan berbunyi kalau bertepuk sebelah tangan, bang.” Serentak Farhah berpaling ke arah lain.

Azrul terdiam. “Kalau betul abang ni ada orang lain, abang takkan biarkan phone abang atas meja. Abang akan bawak phone tu, ke mana je abang pergi.”

Farhah terdiam kali ini. Tapi rasa curiga masih menguasai hati.

Azrul mengeluh lemah. “Farhah...” Sudah hampir merayu. “Tolonglah jangan buat abang macam ni. Dari dulu sampai sekarang, Farhah je isteri abang. Abang tak pernah terfikir pun nak ada yang lain.”

“Habis tu tadi kenapa abang tak jawab apa-apa, masa Farhah bagi handphone tu pada abang? Susah sangat ke nak susun ayat?”

Tersungging senyuman di bibir Azrul kali ini, penuh erti. Farhah yang menanti, segera menoleh bila Azrul tidak menjawab. Hangat hatinya melihat senyuman Azrul. “Tengok tu! Farhah serius ni, abang!”

“Abang pun serius ni.” Masih tersenyum.

“Habis yang tersenyum-senyum ni kenapa?”

Makin lebar senyuman Azrul. “Farhah cemburu.”

“Memang Farhah cemburu!”

“Sebab sejak sekolah lagi Farhah tengok budak-budak perempuan kejar abang.”

Senyap. Farhah berpeluk tubuh, melontar pandangan ke arah lain. ‘Tahu takpe,’ bisik hati.

“Tapi sudahnya abang kahwin dengan Farhah jugak.”

Farhah terdiam, mengeluh lemah akhirnya. Terlerai tangan yang memeluk tubuh, dia pandang Azrul semula. “Farhah takut lama-lama nanti abang berubah hati tau.” Kendur nadanya kali ini.

“Tujuh tahun Farhah menghilang, berubah ke hati abang?”

Farhah menoleh, membalas pandangan Azrul. “Masa sekolah dulu, abang tu budak nakal. Sekarang ni level abang dah lebih tinggi. Makin ramai orang yang akan kejar abang, abang tahu tak...”

Azrul senyap.

“Farhah kat sini tunggu abang. Apa yang jadi pada abang kat sana, Farhah tak tahu.” Perlahan. “Tiap-tiap masa Farhah fikirkan abang... Kalau abang sia-siakan harapan Farhah, Farhah tak tahu nak cakap apa.” Mula kedengaran sebak.

Bila Azrul senyap juga, Farhah menjatuhkan pandangan. Dia beranikan diri mencapai tangan Azrul. Dia genggam kemas, cuba memberitahu isi hatinya. “Tolong jangan sia-siakan kepercayaan Farhah, bang.” Pilu. “Farhah sayang abang...” Gugur akhirnya air jernih dari tubir mata.

Azrul senyap, tersentuh. Genggaman tangan Farhah dia leraikan. Dia kucup dahi isterinya itu, sebelum menarik Farhah ke dalam pelukan. Lembut tangannya mengusap bahu Farhah, cuba menenangkan. “Kalau abang tak sayangkan Farhah, abang takkan balik jumpa Farhah.”

“Tapi Sarah tu...”

“Abang tak pernah layan dia.” Tenang pintas Azrul. Dia usap-usap lagi bahu Farhah. “Kalau Farhah tak percaya jugak, Farhah ambiklah handphone abang tu. Bukan sms Sarah je ada dalam tu. Semua sms dari perempuan-perempuan lain pun ada. Tambah-tambah dah nak raya ni.”

“Kenapa abang simpan nombor diorang?”

“Senang. Bila abang tahu itu sms atau call dari diorang, abang tak payah layan.”

Farhah senyap.

“Abang dah rasa cukup dengan Farhah, sayang. Tak pernah pun abang terfikir nak ada orang lain.” Tulus.

Farhah senyap.

“Percayakan abang ya, sayang?”

Farhah senyap juga. Tapi akhirnya, perlahan-lahan dia zahirkan anggukan. “Farhah percayakan abang, tapi Farhah takut dengan perempuan-perempuan tu semua...”

“Tak...” Lembut bisikan Azrul menerpa telinga Farhah. “Macam mana abang buat waktu sekolah dulu, macam tu jugak sekarang. Abang cuma nakkan orang yang betul-betul dah ikat ketat hati abang ni, bukan orang lain.”

Farhah terdiam terus. Mengalir semula air mata di pipi. Dia balas akhirnya pelukan Azrul.

“Percayakan abang. Mmm?” bisik Azrul lagi.

Farhah tidak menjawab kali ini. Hanya mengangguk.


~ BABAK LIMA ~


PULANG saja dari masjid pagi itu, riuh-rendah rumah kampung itu dikerjakan Adilla. Lebih-lebih lagi bila keluarga Dato’ Razali bertandang. Ada saja permintaannya. Teruk Azrul dan Farhah disakatnya.

“Eh, kekok je nampak? Pegang tangan akak tu biar betul-betullah, bang.” Sambil memberi tumpuan pada kamera di tangannya.

Azrul mengeluh bosan. “Makin galak pulak anak dara yang sorang ni aku tengok.” Lantas dia pandang Mak Dah. “Kahwinkanlah dia, mak!”

Merah padam wajah Adilla serta-merta. Mencuka wajahnya. “Apa ni!”

“Habis tu dah gatal sangat!”

“Orang cuma nak ambik gambar je la, buat kenangan!”

Azrul mencebik.

“Cepatlah, pegang tangan Kak Farhah tu!”

Azrul mengeluh akhirnya, kemudian berdecit. “Hei...” Dia raih jari-jemari dari pangkuan Farhah, dia letakkan di atas pahanya dan menggenggamnya kemas. “Hah, cepat.”

“Senyumlah sikit!”

Azrul mengeluh lagi. Penuh terpaksa dia ukirkan senyuman.

“Huh, macam iklan Colgate, nampak gigi je tapi bukan senyum!”

“Banyak bebellah kau ni! Cepatlah, orang dah tak larat ni!”

“Iyalah, tapi senyum tu betul-betullah sikit!”

Mak Dah, Farhana dan Datin Safiyah sudah tertawa-tawa memerhati gelagat Adilla dan Azrul. Azrul yang duduk di atas sofa di samping Farhah, terpaksa juga mengukir senyuman.

“Okey, satu... dua...”

Klik!

“Hah, dapat pun...” Penuh kepuasan, sambil mata memerhati gambar di dalam kamera. Sesaat kemudian, dia halakan kembali kamera ke arah Azrul dan Farhah.

Mencuka semula wajah Azrul. “Ada lagi?”

Adilla angguk acuh tak acuh. “Peluk pinggang Kak Farhah.”

“Ah, makin merepek pulak dia ni.” Serentak dia bingkas, mahu menuju ke arah Firdaus dan Dato’ Razali yang sedang berbual-bual dengan Haji Daud di serambi rumah. Farhah pula menghilang ke dapur, mahu menyambung semula kerja yang tadinya terbengkalai.

Adilla mencuka. “Alah, satu gambar je lagi!”

Azrul buat tidak tahu. Adilla makin mencuka, lantas dipandangnya Mak Dah. “Mak ngah, tengok Abang Azrul tu!”

“Rul...”

Azrul yang sedang menghampiri muka pintu, tidak menoleh. “Melalut-lalutlah kau, Ila. Orang nak datang beraya, engkau sibuk nak bergambar segala.”

“Bukan selalu pun,” Datin Safiyah mencelah. “Kamu pun dah lama tak balik...”

“Pergi je la, Rul...” Firdaus pula menambah.

Azrul terdiam, terhenti akhirnya langkah sebelum sempat melepasi pintu. Dia mengeluh, mengubah arah dan menghilang ke dapur. Sesaat kemudian, dia muncul semula di ruang tamu itu bersama-sama Farhah. Azrul duduk di sofa, membiarkan Farhah menghidangkan air untuk tetamu.

“Jangan nak banyak-banyak songeh lagi dah, Ila. Aku ketuk kepala kau nanti.” Sempat Azrul memberi amaran.

Adilla ketawa mengejek saja. Kelakar bila mendengar Azrul membebel.

Azrul yang sedang bersandar di sofa segera bangkit bila Farhah semakin hampir dengannya. Pantas dia tarik Farhah agar duduk di sebelahnya. Tanpa sengaja membuatkan kerongsang yang dipakai Farhah terjatuh ke lantai.

Spontan, kedua-duanya tunduk untuk mengutip dan tidak semena-mena kepala mereka terhantuk.

“Aduh!” Farhah memegang kepala.

“Farhah!” Serentak Azrul mengusap-usap kepala Farhah. Bertemu pandangan mereka. Azrul tersengih meminta simpati. “Tak sengajalah...”

Klik!

“Hah, cantik!”

Serentak kedua-duanya tersedar, lantas menoleh. Pijar wajah Azrul. “Merepeklah kau ni, Ila!”

Adilla sudah ketawa besar, disambut seluruh isi rumah kecuali Azrul dan Farhah. Merah padam wajah kedua-duanya.

“Okey, okey. Gambar last. Peluk Kak Farhah!”

Azrul berdecit. “Last... last. Entah apa-apa je la dia ni.”

Adilla tersengih nakal. “Alah, cepatlah...”

Azrul diam, tergeleng-geleng kepalanya. Dengan penuh terpaksa dia rangkul pinggang Farhah. Malu sebenarnya kerana jadi perhatian semua yang berada di situ. Perlu memeluk Farhah pula, sesuatu yang terlalu janggal untuk dia lakukan di hadapan umum.

Tapi Adilla seakan sengaja menyakatnya. Lagi dia kekok, lagi dia dipaksa. Hingga berlapis-lapis tebal wajahnya. Ergh!

Dia paksa bibir agar tersenyum walaupun nipis, mahu segera sudah sesi bergambar itu. Dan sebaik saja Adilla selesai mengambil gambar terakhir mereka, Azrul bingkas.

“Eh, mai la tengok gambar ni, bang?”

“Kau tengoklah sorang-sorang.” Penuh malas nada Azrul.

Adilla semakin galak ketawa. Azrul hanya pekakkan telinga. Malas melayan lagi kerenah gadis itu.

“Jom, Farhah. Temankan abang makan.”


ALARM yang berbunyi membuatkan Farhah tersedar. Tercelik matanya dalam kelam ruang bilik itu, lantas mencapai telefon bimbit Azrul yang terletak di atas meja.

Tapi sebelum sempat menekan butang, tangannya terhenti.

Pada skrin telefon, sedang terpampang gambar Azrul memeluk pinggang Farhah. Gambar yang diambil Adilla siang tadi. Farhah tersenyum sendiri tanpa mampu mengawal hati yang syahdu. Entah bila Azrul mencuri-curi ambil gambar itu dari Adilla, dia sendiri tidak tahu. Sedangkan siang tadi, bersungguh Azrul merungut bila Adilla mahu mengambil gambar mereka.

Dalam hati ada taman rupanya Azrul! Heh!

Dalam suasana bilik yang lengang, Farhah menoleh Azrul yang masih lena di sebelahnya. Nampak terlalu penat lelaki itu, hinggakan tidak sedar telefon bimbitnya berbunyi.

Dia pandang semula telefon bimbit. Hati yang membuak-buak di dalam dia turuti. Peti pesanan ringkas dia selongkar. Satu persatu sms yang ada di situ dibacanya.

Bukan dia tidak percayakan Azrul, dia cuma mahu hatinya benar-benar yakin.

Memang, bermacam jenis nama yang tercatat di situ. Menghantar mesej pada Azrul, berbunyi rayuan. Hangat juga hati Farhah dibuatnya. Cemburu.

Dia buka pula peti keluar.

Dalam banyak rayuan gadis-gadis tadi, hanya dua saja balasan Azrul. Lantas Farhah buka.

So sorry, saya dah berkeluarga.

Sms kedua,

Cuba tanya Amir, ni nombor dia. 0147532464.

p/s: jangan campurkan emosi dalam hal kerja. Saya dah berkeluarga.

Sms lain, semuanya tentang kerja semata. Jika ada pun, cuma soalan pada rakan-rakan lelaki tentang cara untuk menolak gadis-gadis itu. Mungkin Azrul sudah terlalu penat selama ini kerana terus-terusan diganggu.

Dan bila mengingati semula sikap Azrul sewaktu zaman sekolah mereka, hati Farhah semakin yakin.

Ya, kejujuran Azrul sememangnya tidak wajar diragui. Bahkan dialah yang perlu berterima kasih pada suaminya itu, kerana masih berpijak di bumi nyata hingga ke saat ini.

Semenjak berjauhan ini, Azrul nampak semakin matang menjaga hatinya. Semakin tenang menakhoda rumahtangga mereka. Lantas apa lagi yang dia mahukan dari lelaki itu?

Ya, memang salahnya sendiri malam semalam, kerana terlalu mudah menuduh Azrul berubah hati. Sedangkan cukup jelas selama ini, Azrul kelihatan berusaha untuk jujur terhadapnya dan menjaga hubungan mereka. Tidak pernah berahsia, sekalipun soal diganggu pelajar wanita di pusat pengajian.

Akhirnya Farhah letakkan semula telefon bimbit itu di tempat asal. Dia berbaring, menghadap Azrul. Ralit menatap wajah suaminya. Seperti anak kecil saja wajah lelaki itu sewaktu tidur.

Dia tersenyum lagi. Perlahan-lahan jari-jemarinya naik di wajah lelaki itu. Bermain-main di situ.

Rasanya seperti baru semalam dia dibuli pada hari pertama dia di sekolah baru. Baru semalam juga rasanya dia diselamatkan Azrul, dibawa pulang ke rumah, diusik, dinikahi...

Ah, semuanya terasa seperti baru saja berlaku!

Rasa seperti mimpi semua ini.

Dia bangkit sedikit, mengucup pipi Azrul sebelum berbaring semula. Tersenyum sendiri sambil merapatkan kembali kelopak matanya. Sukar menggambarkan isi hatinya saat ini.

Tidak sangka, seseorang yang terlalu nakal dan cukup dibencinya dulu, akhirnya kini jadi peneman malamnya. Jadi teman hidupnya. Sungguh, dia benar-benar tidak menyangka.

Betapa hebatnya kuasa Allah. Jika mahukan sesuatu itu terjadi, maka dengan mudah saja dapat dilakukan-Nya.

5 861 komen:

nuraain said...

bestnyer!!!!

Anonymous said...

truskan berkarya...best best best

>>k<<

Siti Hanisah said...

Insya-Allah...

Terima kasih sokongan! #^_^

Siti Hanisah said...

Terima kasih nuraain... ;)

Ibu Anita said...

Assalamualaikum.wr.wb. perkenalkan nama saya Ibu Anita Tki Malaysia, saat menulis ini saya teringat memory masa lalu.saya sangat tergugah hati melihat coretan hati yang Ibu tulis. saya jadi teringat tentang masa-masa sulit dulu,karena iktiar dan usaha , seolah2 menjadi dendam bukan lagi motivasi, cuma satu tujuan saya pada saat bagaiman caranya untuk bangkit..singkat kata berbagai macam iktiar dan cara yang saya lalui, mengingat pada saat itu hutang saya 1,2m yang tidak sedikit, belum lagi bunga renternir yang bertambah. karena usaha, kesungguhan hati, akhirnya menemukan jalan /solusi . saya percaya ALLAH ITU TIDAK DIAM MAHA PENYAYANG , cobaan itu bukan lah ujian tapi hadiah yang tersilmut untuk kebahagiaan yang sebenar2nya. Sudah banyak para normal yg kami mintai angka togel dan uang gaib cuma Ki Witjaksno yg berhasil alhamdulillah itu betul-betul terbukti tembus. jika anda ingin seperti saya silahkan hubungi Ki Witjaksno: +62852_2223_1459. ingat kesempatan tidak akan datang untuk yang kedua kalinya
UNTUK LENGKAP SILAHKAN KLIK-> PESUGIHAN TOGEL DAN PELARI USAHA

Post a Comment

Assalamualaikum. Hai!
Terima kasih baca.
Cer komen sikit?

.

.