Sabtu, 1 Jun 2013

Hati Yang Kau Sentuh Bab 22

“KALAU Farhah terasa lain macam je, terus cari abang. Boleh?”

Berkerut dahi Farhah mendengarnya lalu menoleh, memandang Azrul yang duduk di birai katil. “Lain yang macam mana?”

“Kita tak boleh nak jangka fikiran orang. Tambah-tambah pulak, semua orang dalam rumah ni akan sibuk. Lebih-lebih lagi kita berdua sebab nak kena layan orang. Abang takut nanti, dalam ramai-ramai tu, ada yang menyamar jadi tetamu kita. Jadi Farhah jangan jauh sangat dari abang, takut susah abang nak perhatikan Farhah nanti.”

Terdiam. Berderau darah Farhah mendengarnya, lantas anak matanya jatuh. Dia mengeluh kecil seraya mengangguk.

“Orang macam tu, makin dikalahkan makin dia tercabar. Sebelum dia teruskan dengan cara lain, baik kita bersedia.”

Farhah senyap juga. Hanya menzahirkan anggukan kecil. Melihatkan keresahan itu, Azrul bangun menghampiri Farhah. Bahu Farhah dipegangnya. “Jangan takut, okey? Insya-Allah, semuanya akan selamat. Abang cuma nak kita berjaga-jaga.”

Farhah angguk juga.

“Bukan apa, abang tak boleh tidur kalau orang tu tak ada kat sebelah.”

Kata-kata itu membuatkan Farhah segera mengangkat wajah, bertemu dengan pandangan Azrul yang nakal. Terukir senyuman di bibirnya. “Sempat lagi tu nak menggatal.”

“Okey apa.” Selamba jawapan Azrul. Mata kirinya dikenyitkan, penuh erti. Farhah tersenyum malu.

 

BAHU jalan di sekitar kawasan rumah kampung itu masih banyak yang kosong. Tapi Firdaus sengaja mahu memarkir keretanya agak jauh dari rumah. Mudah jika dia mahu keluar semula nanti.

Tiba di laman rumah yang mula kelihatan sibuk, Firdaus agak terjenguk-jenguk. Cuba mencari kelibat Azrul. Tapi tidak berjaya ditemuinya. Akhirnya dia menuju ke arah kelompok kaum Adam yang sedang sibuk memasak. Tapi sebelum sempat dia menyapa mereka, tiba-tiba ekor matanya seakan terpandang satu kelibat yang melintasi kawasan itu. Dia segera menoleh. Serta-merta bertukar perlahan langkah kakinya. Berkerut dahi.

 

TERSUNGGING senyuman Azrul sebaik terpandang Firdaus yang sedang tercegat di laman rumah, nampak seakan sedang khusyuk memerhati sesuatu. Segera dia keluar dari ruang tamu dan bersegera mendapatkan majikannya itu. Di benaknya sudah tersusun kemas ayat-ayat yang bakal diucapkannya nanti.

Setelah menimbang-nimbang sepanjang malam tadi, dia fikir ada baiknya jika dia minta Firdaus izinkan dia bawa Farhah bersama-samanya ke Jepun nanti. Mudah sedikit, tenang sedikit hatinya bahkan dengan cara itulah dia dapat menyelamatkan Farhah dari Encik Fauzi sekaligus membolehkannya lari dari Maya.

Ya, memang dia mahu mengelat dari membiarkan dirinya dikongsi-kongsi. Sungguh, dia tak rela!

“Dah lama sampai ke, encik?”

Firdaus bagaikan tersedar. Dia berkalih dan terus mengukir senyuman pada Azrul. “Baru je sampai. Cari awak tadi.” Tenang nadanya sambil menghulurkan tangan.

Azrul tersengih. Tangan Firdaus disambut dan bersalaman. “Awalnya encik sampai?”

“Tak adalah… Kan saya yang beria-ia suruh awak buat kenduri ni? Takkan saya nak datang makan je?”

Azrul mengangguk. “Okey, tak apalah kalau macam tu.”

Okay. Hari ni awak pulak jadi ketua saya. Biar saya jadi kuli.”

Berkerut dahi Azrul bersama senyuman tidak percaya. “Encik dah lari dari tajuk ni…”

“Alah, tak kiralah. Saya dah penat jadi bos! Biar hari ni saya jadi pekerja pulak.” Bersahaja seraya menepuk bahu Azrul. “Okey, cakap je Rul. Apa kerja saya hari ni.”

Azrul masih lagi tersenyum. Entah apa kenanya, ceria benar Firdaus hari ini.

“Okey, saya tahu awak takut baju saya ni kotor. Jangan risau tau Rul. Ini baju bibik saya. Malam tadi saya rembat!” Usai mengucapkan, berderai tawa besar Firdaus, membuatkan Azrul hanya mampu menggeleng-geleng kecil. Firdaus menambah lagi, “dalam kereta saya ada baju spare. Agak-agak dah tengah hari nanti, saya tukarlah.”

Azrul mengangguk kali ini. “Okeylah…”

“Eh, Rul. Dalam kampung ni ada sesiapa yang jadi engineer tak?”

Spontan pandangan Azrul berpusat ke wajah Firdaus. Tidak faham bila soalan itu tiba-tiba saja diajukan. “Setahu saya, tak ada.”

Firdaus terdiam. Kelihatan agak musykil hingga tertunduk memandang tanah, bagai memikirkan sesuatu. Tapi sesaat kemudian dia menggeleng-geleng kecil. “Tak apalah. Mungkin dia nak berehat dulu.” Lantas dia berpusing untuk menuju ke arah kanopi.

“Ada apa sebenarnya?” soal Azrul, cuba membantu.

Terhenti langkah Firdaus lantas memandang Azrul semula. Tangannya menunjuk ke satu arah. “Awak nampak tak adik tu?”

Azrul menoleh ke arah yang dimaksudkan. Dalam kesibukan di bahagian wanita, kelihatan Adilla dan Farhah sedang berbual-bual sambil memegang jag di tangan masing-masing. Azrul mengangguk.

“Junior saya waktu kat UK dulu. Dialah adik yang saya selalu ceritakan tu. Adik comel yang pemalu sangat tu, sampaikan dengan bakal tunang sendiri pun tak berani nak jumpa.”

Tidak semena-mena tergelincir rentak jantung Azrul.

“Itulah bakal tunang saya.”

 

DENGAN rasa berat, Azrul mengekori langkah Firdaus yang bersungguh-sungguh meminta ditemani. Kata lelaki itu, tidak sabar mahu memberi kejutan pada Farhah. Beberapa meter sebelum Firdaus berhenti, Azrul terlebih dahulu mematikan langkah. Tidak sanggup menjangka apa yang bakal terjadi selepas ini. Cuma yang pasti, saat ini dia terasa kerdil.

Rupa-rupanya hati Farhah pernah dimiliki sebelum ini, oleh seseorang yang bukan calang-calang pula. Antara suka dan tidak, Azrul terpaksa juga menerima hakikat yang dia sememangnya terlalu kecil berbanding Firdaus. Entah-entah selama ini, setiap masa dirinya dan Firdaus dibanding-bandingkan Farhah. Ah… sudah tentulah dia saja yang nampak buruk. Dan kini, setelah mereka bertemu kembali… adakah Farhah akan meminta dilepaskan seterusnya kembali pada lelaki itu? Dia pula? Sanggupkah dia berdepan saat itu?

‘Ya Allah…’ Tiba-tiba dia terasa betapa rumitnya bila sudah terjebak ke dalam soal hati dan perasaan.

 

“AIR untuk orang kat dalam rumah dah habis. Ila tunggu kat sini, biar akak yang hantar ke dalam,” beritahu Farhah dan Adilla mengangguk. Farhah menyambut dua buah jag berisi sirap ais dari tangan Adilla sebelum menapak ke pintu belakang rumah.

“Assaalamualaikum.”

“Waalaikumussalam…” Serentak Farhah berpusing, namun tika itu juga degup jantungnya bagaikan direntap. Hampir terlepas jag di tangan. Tidak jauh di belakang Firdaus, ekor matanya menyedari pula kehadiran Azrul. Lelaki itu sedang menatap tajam wajahnya. Dia semakin hilang arah. “Yy… you…”

Firdaus tersenyum. “Tak sangka you tinggal sekampung dengan Azrul.”

Farhah gugup. Liur yang pahit perlahan-lahan ditelannya. Semakin resah bila melihat Azrul mula berkalih dan berlalu dari situ. Farhah tidak keruan. Lantas dia ukirkan senyuman tipis. “I tengah sibuk ni. Pergi dulu.” Gugup, dan sejurus itu dia terus menghilang ke dalam rumah.

Firdaus tersenyum sendiri. Gelengan kecil terzahir. ‘Fatin Farhah… tak habis-habis dengan perangai pemalunya!’

 

“SAYA tak tahu kenapa dia tiba-tiba menghilang. Tapi saya yakin, dia buat macam tu sebab salah faham. Dia ingat saya ada affair dengan kawan baik dia sendiri.”

Azrul sekadar tersenyum nipis mendengarnya, hambar.

“Ambiklah course engineering ke, course apa ke… Kalau dah perempuan tu, memang takkan boleh lari dari emosi.”

Azrul tersenyum lagi.

Firdaus menoleh. “Isteri awak mana Rul? Dari tadi lagi saya tak nampak?”

Azrul menoleh, terdiam sesaat. Kemudian dia tersenyum nipis. “Orang rumah saya tu pemalu sikit orangnya.”

Firdaus tersenyum lebar. “Bagusnya kalau dapat isteri yang asal dari kampung ni. Pemalu je semua, sama macam Fatin.”

Azrul hanya mampu menelan liur yang pahit. Ikutkan hati, mahu saja dia terangkan hal sebenar. Tapi pelbagai perkara datang mengasak hatinya. Dia serba-salah. Bimbang jika Firdaus berubah emosi pula selepas ini. Elok saja ceria, tiba-tiba bertukar mendung. Lebih teruk jika Firdaus terus meminta diri untuk pulang. Ah… dia buntu!

Untuk membuka cerita mengenai hasrat membawa Farhah ke Jepun lagilah dia tidak berani. Terus hilang begitu saja perkara itu dari benaknya. ‘Huhhh…’

Akhirnya, mahu tidak mahu, terpaksa juga dia tadahkan telinga mendengar insan yang dia pandang tinggi selama ini memuji-muji dan bercerita mengenai isterinya sendiri yang telahpun memiliki hatinya. Betapa terseksanya.

 

DAUN pintu yang tidak berkunci ditolak perlahan. Azrul menoleh sekilas, sebelum kembali memberi tumpuan pada sampin yang sedang dikemas-kemaskan kedudukannya di pinggang. Farhah menapak masuk, menghampiri Azrul. Namun setelah dia berada benar-benar di belakang Azrul, lelaki itu tidak langsung menoleh.

“Abang,” panggilnya perlahan.

Azrul tidak mengendahkan. Farhah resah lantas tangan Azrul dipegang, membuatkan pergerakan lelaki itu terhenti. Namun Azrul terus kaku, tidak langsung menoleh.

“Selama ni abang minta Farhah percayakan abang. Kali ni abang tolonglah percayakan Farhah pulak…”

Senyap juga, dingin. Farhah tertunduk kecewa. “Farhah tahu, abang tengah fikir yang bukan-bukan pasal Farhah.” Perlahan suaranya. “Memang kalau diikutkan, dia nampak lebih layak untuk Farhah minta tolong. Dia lebih berharta, lebih berpengaruh. Dia jugak tak pernah ada masalah bermusuh atau apa-apa masalah lain dengan Farhah.”

Senyap.

“Tapi Farhah ada alasan Farhah sendiri. Bukannya senang kita nak buat keputusan waktu keadaan tengah genting. Farhah pulak tak kenal sesiapa yang boleh Farhah percaya, termasuk dia. Sedangkan abah angkat yang nampak cukup baik selama ni pun boleh buat Farhah macam ni, inikan pulak orang lain.”

Senyap. Bibir Farhah bergetar perlahan. “Farhah cari abang sebab…” Terhenti. “Sebab Farhah tahu, Farhah percayakan abang.”

Langsung tiada reaksi daripada Azrul. Hatinya beremosi. Memang Farhah mencarinya kerana ketika itu Farhah sedang salah faham dengan Firdaus. Cuba nanti setelah terungkai segala penerangan dari bibir Firdaus. Adakah Farhah akan terus memilihnya? Dia tidak pasti, dan dia tidak yakin langsung Farhah akan bertindak begitu. Pipit mana padan terbang sama dengan enggang.

Melihat kehambaran Azrul, Farhah semakin terseksa. Semakin kuat dia genggam tangan suaminya itu. “Tolonglah yakin dengan Farhah, bang…” Sebak. “Bukannya Farhah nak berahsia apa-apa dari abang. Dia cuma masa silam Farhah. Farhah memang tak pernah terfikir langsung untuk cari dia…”

Perlahan-lahan, akhirnya Azrul mengeluh perlahan. Dia berpusing, menghadap Farhah. Senyuman tawar terukir di bibirnya seraya menyentuh kepala Farhah yang masih tunduk di hadapannya. “Abang tak salahkan Farhah. Apapun juga keputusan Farhah, baik sekarang atau lepas ni… yang penting Farhah jujur dengan diri sendiri. Abang cuma tolong yang mana abang mampu.”

Gugur air mata Farhah mendengarnya. Betapa tulusnya Azrul. Tangan Azrul dicium, cuba memberitahu perihal hatinya yang memilih Azrul. “Tolonglah percayakan Farhah…” Sayu. Bila Azrul mengusap lembut ubun-ubunnya sebelum mengucupnya, dia sedikit tertanya. Dia tautkan anak mata dengan lelaki itu.

Azrul tersenyum tenang. “Tak apa, abang percayakan Farhah.”

Semakin gugur air mata Farhah, lantas dipeluknya lelaki itu. Pecah tangisannya. Tiada kata-kata yang mampu dia lafazkan. Hanya mengharap pengertian dan kepercayaan dari seorang suami.

 

BILA-bila masa saja majlis bacaan doa akan dimulakan. Firdaus yang duduk semeja dengan kaum keluarganya, sesekali meliarkan pandangan. Tercari-cari kelibat seseorang yang amat dirinduinya. Hasratnya, hari ini juga dia mahu memperkenalkan calon isterinya itu pada orang tuanya, selepas bertahun-tahun dia memberi janji pada mereka.

Dia memang tidak langsung menjangka. Rupanya jodoh mereka cukup kuat hingga dipertemukan semula di majlis bermakna seperti ini. Adakalanya dia hampir tersenyum sendiri mengenangkan betapa kembang hatinya. Tidak sabar-sabar mahu memiliki gadis itu.

Lamunannya berderai sebaik saja Adilla yang berada di serambi mencuba-cuba alat pembesar suara. Seketika kemudian majlis dimulakan dengan pembuka kata yang serba ringkas oleh gadis itu. Mata Firdaus terus meliar, namun Farhah tidak langsung kelihatan berada di mana-mana. Bingung Firdaus memikirkannya. ‘Malu sangat ke dengan aku?’

Bila Antoi mengambil alih microphone, suasana jadi sedikit gamat dengan jenaka-jenaka yang diselitkan. Farhana yang duduk di sebelah Firdaus pula sudah mula menegur. “Abang cari siapa?”

Firdaus hanya menggeleng. Mahu tidak mahu, dia terpaksa menghentikan perbuatan itu. Tumpuan yang terganggu dia berikan pada Antoi di atas serambi rumah yang dijadikan pentas.

“Jadi… rasanya kita dah boleh jemput Tuan Haji Daud kita… untuk memulakan bacaan doa bagi pengantin yang kita raikan hari ni. Silakan, Tuan Haji.”

Kata-kata itu membuatkan Firdaus terpaksa juga memberikan sepenuh tumpuannya pada majlis yang sedang berlangsung. Berdebar hatinya, tidak sabar untuk melihat Azrul dan pasangannya mengisytiharkan masjid yang telah mereka bina. Dalam masa yang sama, dia masih mengharapkan agar Farhah sudi untuk muncul semula di hadapannya. Sebentar saja pun sudah memadai, agar reda sedikit rindu yang menggigit-gigit tangkai hatinya.

Dia berjanji pada dirinya sendiri. Sekiranya bertemu Farhah semula, dia mahu terangkan perkara sebenar. Dia mahu Farhah sedar salah faham yang berlaku itu, dan dia mahu Farhah menerima lamarannya. Sungguh, dia berdebar menanti saat itu. Berdebar!

Kelihatan Haji Daud naik ke serambi. Microphone dari Antoi disambut sebelum berdiri menghadap laman rumah yang dipenuhi para tetamu. “Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum.”

Salamnya berjawab.

“Al-Fatihah.”

Seketika ruang itu senyap. Tidak lama kemudian, Haji Daud kelihatan bersedia untuk memulakan bacaan doa. Nafasnya dilepaskan perlahan-lahan. “Rasanya, lagi molek kalau kita panggil pengantinnya sendiri yang bacakan doanya, ya tak?” Ada nada seloroh di situ. Para tetamu menyokong. Ada juga yang ketawa, terutama kaum ibu.

Antoi meminta microphone dari tangan Haji Daud. “Hah, Yoi! Keluar kau Yoi. Bawak orang rumah rumah kau tu sekali.” Bagaikan memanggil anak kecil saja bunyinya, menambah gamat suasana. “Meh sini, baca doa meh. Biar kekal bahagia, sampai ke anak cucu! Kalau boleh, sampai bila-bila la ye? Dulu masa kat sekolah, sampai menangis-nangis kau buli dia Yoi. Tahu-tahu je sekarang ni dah jadi orang rumah. Hah, ambik kau! Haha!”

Hadirin ikut ketawa. Haji Daud tersenyum sambil menggeleng-geleng.

Sewaktu Azrul keluar dengan sut baju melayu warna kuning air di tubuhnya, tika itu juga Antoi menambah, “hah, dah keluar dah Hang Tuah! Handsome kau hari ni ye Yoi!” Gamat. “Hah, Puteri Gunung Ledangnya mana? Nak kena tanya jugak, berapa banyak mangkuk darah nyamuk yang dimintaknya dari si Yoi ni.”

Hadirin ketawa lagi.

“Jangan lupa ceritakan sikit, macam mana korang boleh terkahwin pulak ni. Padahal dulu beria sangat bermusuhnya!”

“Haaa…” Serentak suara hadirin menggiat.

Azrul ketawa kecil seraya memberi isyarat meminta pembesar suara. Antoi menurut dan sesudah itu mengambil tempat di hujung serambi.

“Assalamualaikum.” Tenang suara Azrul. “Apa-apapun, saya nak berterima kasih dulu pada semua yang datang hari ni. Juga untuk tetamu yang cukup penting hari ni. Majikan saya, Dato' Razali dan keluarga yang banyak membantu untuk majlis hari ni. Kepada anak lelaki tungalnya, Encik Firdaus. Terima kasih banyak-banyak…”

Mereka mengangguk-angguk.

“Saya jemput mak saya naik, sebab dia yang paling banyak bersusah-payah menyiapkan kenduri hari ni. Kalau tak disebabkan dia, agaknya sampai ke hari ni saya dok membujang lagi kut.”

“Oi, Yoi! Kau malu ke tu? Apasal skema gila ayat?” laung satu suara tiba-tiba, membuatkan Azrul tertawa kecil. Tidak disangkanya, mukadimah yang dituturkan itu mampu menterjemah isi hatinya. Merah padam wajahnya. Semakin galak para tetamu mengusik.

Azrul menanti Mak Dah naik ke serambi sebelum menyambung, “tak apalah. Biar saya perkenalkan terus orang rumah saya. Rasanya tak ramai yang kenal, sebab dia bukan orang sini. Dulu kitorang satu sekolah. Tapi bukan sekelaslah, sebab dia datang dari bandar, budak pandai. Kelas paling depanlah maknanya. Kita ni budak kelas belakang je…”

“Dah tu macam mana boleh tersangkut pulak?” laung satu suara lain.

Azrul tersenyum. “Macam mana boleh tersangkut?” Dia kerling Farhah yang berada di dalam rumah memerhati dirinya. Isterinya itu mengenakan jubah berwarna kuning air juga seperti warna baju melayu di tubuhnya. “Macam mana ya?” Penuh erti nadanya. Hadirin tersenyum simpul. Azrul menghela nafas dalam, pandangannya kembali pada laman rumah. “Tak apalah. Nak cerita pun… dah tak tahu nak cakap apa lagi. Terus perkenalkan ajelah.” Pandangannya kembali pada Farhah. Dia menggamit mesra.

“Alamak, Yoi! Takkan pakai panggil macam tu je?”

Azrul tersenyum mendengar laungan itu. Tak habis-habis mereka mahu menyakatnya! Lantas langkahnya diatur mendapatkan Farhah yang berada di muka pintu. Diraih tangan isterinya itu dan dibawa ke tengah-tengah serambi. Galak tepukan menggamatkan suasana. Namun dalam riuh-rendah itu, Azrul sempat melihat Encik Firdaus yang tadinya ketawa bersama-sama tetamu lain terus terbungkam bahkan kelihatan terpanar. Langsung terhenti tangannya yang bertepuk. Tidak berani Azrul biarkan anak matanya bertembung dengan majikannya itu.

“Eh, eh. Dia menyorok pulak belakang cik abang dia!” laung seorang tetamu di laman bila melihat Farhah sedikit terlindung di belakang Azrul. Farhah tersenyum, sedikit tertunduk lantaran malu dan berganjak sedikit ke sisi Azrul.

Tiba-tiba Antoi mara ke arah Azrul. Dada kiri Azrul dibeleknya dengan dahi berkerut. “Apasal basah ni?” Tempias suaranya masih mampu diserap pembesar suara.

‘Erkkk…’ Terus Azrul terdiam, sempat berpandangan dengan Farhah sebelum isterinya itu tertunduk. ‘Aduh… kantoi!’

Hadirin sudah mula tersenyum-senyum sebelum akhirnya ada yang ketawa nakal! Merah padam wajah Azrul dan Farhah.

“Hah! Jawab, jawab!”

‘Erkkk…’ Azrul tersengih sumbing. “Terkena air sikit tadi.”

“Tapi kenapa nampak macam bukan air biasa ni?”

Azrul terdiam lagi dengan kata-kata Antoi. Bila para tetamu semakin galak mengusik, dia akhirnya menjawab, “rezeki agaknya, Toi. Farhah ni manja sikit. Asal sedih je, memang habislah bahu ni aku dicarinya. Aku pun layanlah, apa lagi?”

Meledak tawa nakal seisi yang hadir, bagaikan itulah jawapan yang mereka nantikan. Semakin merah wajah Farhah. Azrul pula sudah tidak terkata apa lagi. Bila bertemu pandangan dengan Haji Daud, imam masjid itu tersenyum penuh erti. Azrul menggaru sedikit belakang tengkuknya, tersipu-sipu.

 

SEBAIK saja wajah wanita yang dipimpin tangan oleh Azrul itu hinggap pada anak mata, degup jantungnya terasa nyaris mati. Hilang senyuman di bibir, serentak tangan yang bertepuk juga terus kaku. Dia hampir tercengang melihat Farhah bersama-sama Azrul serambi. Benar-benar tidak percaya.

Alam yang riuh bertukar sunyi tika itu juga. Para tetamu yang gamat seakan bersorak tanpa suara. Bisu. Dia hanya mampu mengeluh berat akhirnya, tanda musnah segala yang dia impikan selama ini.

Tapi untuk bertindak melarikan diri dari majlis itu, dia tidak tegar. Bimbang merosakkan imej diri dan keluarga. Lantas terpaksa juga dia akur pada atur cara majlis yang diakhiri dengan sesi bertemu mempelai. Mahu tidak mahu, dia paksa juga hatinya.

Tidak sanggup dia pandang Farhah yang kelihatan bahagia di sisi Azrul. Sesekali timbul dengki dalam hatinya, apalagi setiap kali matanya melihat Azrul dan Farhah yang sesekali mesra berpegangan tangan tanpa sedar. Kemudian bila tiba-tiba Farhah nyaris tergelincir sewaktu menuruni tangga, Azrul secara spontan merangkul pinggang Farhah.

Betapa terseksa hatinya melihat keintiman itu walaupun kedua-dua mereka nampak malu. Hadirin yang sporting pula terus galak mengusik, membuatkannya semakin berasa hangat hati. Tidak pernah dia lihat Farhah semesra itu dengan mana-mana lelaki lain sebelum ini. Tapi Azrul boleh dapat kemesraan dan kemanjaan itu? Huh, beruntung sungguh Azrul, bisik hatinya. Membuak-buak rasa jelek pada pekerjanya itu, namun segera dia buang jauh-jauh perasaan itu.

Memang dia terluka, dan memang dia terasa hilang separuh nyawanya. Tapi dia takkan sesekali bersikap tidak matang. Bodohlah dia jika menampakkan kekecewaan di hadapan anak buahnya sendiri. Jatuhlah egonya sebagai seorang yang berkedudukan. Dia mana boleh kalah, apatah lagi dilihat kecewa. Disebabkan itu, dia pendamkan saja isi hatinya. Biarlah Farhah berbahagia dengan pilihan sendiri. Dia masih banyak waktu untuk mencari calon lain yang jauh lebih baik daripada Farhah. Itu bisik hatinya yang sedang bengkak.

Terpaksa dia jauhkan diri daripada pasangan itu. Sewaktu orang tuanya mahu bertemu keluarga itu pun dia meminta diri untuk ke kereta. Ada hal penting katanya, sedangkan dia cuma mahu meredakan sakit dalam hati. Berperang hebat perasaannya tika itu. Jenuh dia lawan bisikan-bisikan jahat. Akhirnya dia ambil keputusan untuk menyendiri seketika. Permainan iblis bukannya boleh dilayan!

Lama-kelamaan, bila telah reda hatinya, baru dia gagahkan diri menemui Azrul dan Farhah. Farhah tidak langsung mengangkat pandangan. Dia biarkan saja, seolah tidak langsung mengenali gadis itu. Selamba dia hulurkan tangan pada Azrul. Dan sebaik saja Azrul menyambut salamnya, dia peluk pekerjanya itu. Mesra, bagaikan tiada apa yang berlaku.

“Tahniah, Rul. Selamat pengantin baru.” Dia leraikan pelukan sesudah itu. Azrul tersenyum nipis, nampak sedikit resah.

Firdaus tersenyum. “It’s okay. Saya takkan menentang takdir. Tadi saya tak tahu yang Farhah ni isteri awak. Awak pulak tak bagitahu apa-apa pada saya. Kalau saya tahu, memang saya akan tutup mulut awal-awal.” Ada tawa kecil di hujungnya.

Azrul tersenyum nipis. Kenyataan itu walaupun berbunyi tulus, tapi riak cemburu kedengaran amat ketara di anak telinganya.

“Jaga dia baik-baik, okey? Saya tahu awak memang yang terbaik untuk dia.” Tulus.

Azrul mengangguk sedikit. “Terima kasih banyak-banyak, encik.”

“Hal kecik je.” Pendek. Dia kerling Farhah yang terus-terusan membisu di sebelah Azrul. Mahu ditegurnya gadis yang sudah terlalu lama dinanti dan dicintai itu untuk kali terakhir. Dia juga mahu meleraikan segala rindu dendam dalam hatinya.

Ya, rasa cemburu membuatkan dia terasa seperti mahu merosakkan emosi pasangan itu. Dia mahu mereka terluka sepertimana dia kecewa saat ini. Dia mahu Azrul tahu yang Farhah adalah haknya yang telah dirampas. Dan dia mahu Farhah merasakan perit yang sedang dia rasai.

Tapi dia segera berpijak di bumi nyata. Pantas dia bisikkan istighfar di dasar hati. Dia bukanlah jenis yang suka merosakkan kebahagiaan orang lain, walaupun hakikatnya dia berkuasa melakukannya. Lantas sebaik saja mengucapkan tahniah untuk kali terakhir, dia segera meminta diri. Farhah di sebelah Azrul terus membisu.

 

TAMAT majlis petang itu, tiba-tiba saja Azrul yang sedang sibuk mengemas itu dipanggil. Segera dia menoleh. Tercegat Mak Dah di hadapannya. Tidak jauh dari wanita itu, Mak Uteh berdiri bersama raut wajah yang sukar ditafsirkan. Berkerut dahi Azrul.

‘Apahal ni? Pasal Maya ke?’

Tapi mahu tak mahu, dia akur juga pada arahan Mak Dah yang mahu berbincang sesuatu dengannya.

 

“RUL bersungguh ke nak ambil Maya jadi isteri? Tak takut?” Penuh dengan nada hati-hati dalam kata-kata yang dilontarkan Mak Uteh, membuatkan Azrul yang mendengar jadi sedikit resah.

Dia serba-salah sebenarnya, tidak tahu apa yang patut dijawab. Kepala yang tidak gatal digaru sedikit. “Rul pun tak tahu nak buat macam mana lagi dah, mak lang. Kalau ikutkan, memang Rul takut tak mampu. Lagipun Rul anggap Maya tu macam adik je sebenarnya.”

Mak Uteh terdiam. Senyap-sunyi antara mereka di bawah kanopi itu. Mak Uteh nampak termenung jauh, bagaikan runsing memikirkan sesuatu. Beberapa ketika dia begitu, akhirnya dia pandang Azrul semula.

“Mak lang tak tahu nak mintak tolong pada siapa lagi dah sebenarnya, Rul. Kamu aje sedara lelaki yang tinggal dalam keluarga kita ni. Pak long kamu tu entah menghilang ke mana. Kalau dia ada, mungkin senanglah sikit mak lang mintak tolong dia carikan calon untuk Maya. Boleh dia walikan terus, senang juga.”

Azrul terdiam. Nampaknya Mak Uteh seakan berkias, benar-benar mengharapkan agar pertunangan itu diteruskan walau antara dia dan Maya tiada siapa yang rela. Lemah semangat dia mendengarnya.

“Mak lang dah mati akal ni, Rul. Kalau kamu tak ambil Maya jadi orang rumah kamu, takut dia makin teruk nanti. Sekarang ni pun dah macam tu. Esok lusa tak tahulah macam mana jadinya dia.”

Azrul terdiam lagi, hanya mampu mengeluh dalam diam. Hati membantah tidak rela. Tapi keadaan cukup mendesak hingga dia langsung tiada pilihan. Dia memang sayangkan Maya sebagai keluarga, dan mahukan yang terbaik untuk gadis itu, tapi untuk mengorbankan kebahagiaan dirinya sendiri dia tidak sanggup. Lebih-lebih lagi bila memikirkan Farhah. Dengan hadirnya Firdaus dalam rumahtangga mereka, dan tadi dia dan isterinya itu nyaris saja salah faham, membuatkan dia semakin rasa tidak senang duduk. ‘Ya Allah… tak ada ke jalan keluar…’

“Tolong mak lang ya, Rul?” Suara Mak Uteh mematikan lamunan.

Azrul senyap. Mak Uteh pandang pula Mak Dah di sebelahnya. Senyap saja wanita itu dari tadi. Dia pegang jari-jemari Mak Dah, mengharap simpati. “Tolong Uteh ya, kak? Uteh cuma kesiankan Maya. Dahlah dua orang tu je anak Uteh…” Sebak, pecah empang matanya. Dia tertunduk.

Azrul yang memerhati hanya diam. ‘Ya Allah…’

4 comments:

  1. sambungan dia bila? please. nak lagi

    BalasPadam
    Balasan
    1. sambungan die, kena tunggu novel. hehe :D

      Padam
    2. salam kak..nak sangat beli novel ni..agak2 bila kluar erk...best...good work..

      Padam
    3. salam... setakat ni yang akak tahu, katanya insya-Allah Februari nanti akan terbit novel tapi tarikh tak tahulah bila.

      Terima kasih menyokong... ;)

      Padam

 

~ Follow by Email ~

Kongsi Info

Sebarang info, cadangan atau komen boleh sampaikan melalui:


2) Email: siha_syazrina@yahoo.com.my