Monday, 6 May 2013

Hati Yang Kau Sentuh Bab 9

AZRUL sedang mengemas meja ketika menyedari kehadiran ustazah dan Farhah di gerai itu. Serta-merta pergerakannya dipantaskan dan dia segera menghilang ke dapur bersama-sama pinggan mangkuk. Kemudian dia mencuri-curi pandang dua beranak yang baru mengambil tempat di meja yang kosong. Dia berpura-pura sibuk dengan harapan terlepas dari tugas mengambil pesanan.
‘Lan takde pulak hari ni. Kalau tak, biar dia je yang pergi ambik order.’
“Yoi, ada orang tunggu order tu.” Suara majikannya kedengaran.
Azrul mengeluh. Tidak dapat lagi mengelak.
 
“NASI goreng kampung satu, mi hailam satu. Minum… teh ais dua.”
Azrul senyap mencatat. Kemudian dia melangkah meninggalkan meja.
“Azrul.”
Terhenti langkah lalu berpusing. Menanti pesanan seterusnya.
“Saya nak cakap sikit boleh tak?”
Senyap. “Saya tengah kerja ni, cikgu.”
Ustazah tersenyum seraya mengangguk. “Okey…”
Azrul terus berlalu. Ustazah tersenyum sendiri.
 
“AWAK dah sedia, Azrul? Minggu depan dah mula SPM.” Ramah ustazah bersuara sewaktu Azrul meletakkan makanan di atas meja.
Terukir senyuman sinis di bibir Azrul. “Nak usaha apanya? Dah terlambat.”
“Eh, tak semestinya juga. Kadang-kadang study last minute lebih berkesan!”
Azrul membisu. Kerjanya diteruskan, membuatkan ustazah faham apa yang cuba disampaikannya. “Awak tak nak sambung belajar, Azrul?”
Pandangannya hinggap sekilas di wajah ustazah. “Jauh sangat tu.”
“Sekurang-kurangnya kalau ada sijil kemahiran, boleh jugak awak kerja dengan pendapatan yang baik sikit. Ilmu pengetahuan penting sangat zaman sekarang ni.”
Senyap. Azrul seperti enggan untuk terus memperkatakan soal itu. “Tak apalah. Saya ada kerja sikit dekat dalam.”
 
“BERAPA semuanya ni?”
“Sembilan ringgit.”
Ustazah senyap membelek dompetnya. Azrul memerhati dua biji gelas yang telah kosong dan ditindankan bersama. Terlintas sesuatu di benaknya. “Kau minum air tu, Farhah?” soalnya dengan nada terkejut.
Farhah membalas pandangan Azrul. Berkerut dahinya. “Kenapa?”
“Aku ingatkan kau tak nak minum. Jadi aku letak straw yang aku dah guna tadi dalam gelas kau!”
“Hah???” Pucat wajah Farhah, terasa hampir tersembur segala isi perut. Farhah segera menakup mulutnya, mual. Ustazah pula nampak terkejut.
Namun wajah cemas Azrul bertukar nakal. Azrul tiba-tiba ketawa. “Kau percaya jugak rupanya!” Bersambung lagi tawanya. Besar! Farhah mencuka lalu merengus. Kerusi merah ditolak kasar ke bawah meja dan terus berlalu dari situ. Semakin galak tawa Azrul. ‘Padan muka kau!’
Ustazah pula terkebil-kebil. “Nnn… nah Azrul, duitnya.”
Azrul mematikan tawa yang bersisa lalu menoleh. Not-not seringgit dari tangan ustazah disambut. ‘Cukup-cukup sembilan ringgit.’
“Saya balik dulu, ya.”
Azrul angguk bersama sisa tawa. Kemudian meja dikemas sebelum berlalu ke dapur. Pinggan mangkuk diserahkan pada Man yang sedang mencuci.
“Cikgu sekolah hang?”
Azrul angguk, acuh tak acuh. Terus dengan kerjanya memotong sayur. Masih terbayang-bayang di ruang matanya riak wajah Farhah yang terkejut. Sangat menggelikan hati, membuatkan dia puas kerana berjaya mengenakan lagi gadis itu.
“Eh, Yoi!”
Spontan Azrul menoleh pada Man, sebelum beralih anak matanya pada tangan lelaki itu. “Mana dapat?”
“Dalam gelas cikgu hang.”
Azrul terdiam. Berdetak kencang jantungnya. ‘Patutlah tadi dia bayar cukup-cukup!’ Lalu dirampas wang kertas dari tangan Man. Dia bergegas keluar melalui pintu belakang.
“Oi, Yoi!” laung Man namun tidak dipedulikan. Azrul meliarkan pandangan sebelum terhenti pada satu arah. Keluhan lega terzahir sebaik melihat kereta ustazah baru mula bergerak keluar dari kawasan parkir. Dia segera berlari ke situ.
Tingkap kereta diketuk-ketuk sebaik tiba. Spontan terhenti kereta yang sedang berundur itu. Ustazah menurunkan cermin tingkap. “Kenapa?”
Azrul pantas menghulurkan dalam nafasnya yang turun naik. “Cikgu tertinggal tadi.”
Ustazah tersenyum penuh erti. “Takkan saya nak ‘tertinggal’ duit dalam gelas.”
Azrul terdiam. Agakannya tepat lantas satu keluhan terpacul. “Saya tak nak duit ni. Cikgu bagi la pada orang lain yang lebih layak.”
Ustazah terus tersenyum. “Awak memerlukan.”
“Tapi saya boleh kerja.”
“Awak tetap memerlukan,” tekan ustazah. Azrul terdiam. Ustazah menggeleng-geleng kecil diiringi senyuman. “Saya tahu awak cukup berdikari dan takut untuk meminta-minta. Sebab tu awak sanggup berkerja untuk sara mak dan sepupu-sepupu awak yang masih bersekolah… Walaupun awak sendiri terpaksa korbankan masa depan awak.” Ustazah senyap seketika sebelum menyambung. “Tak mudah perkara tu, saya tahu. Jadi awak ambillah duit tu, memang awak berhak.”
Senyap.
“Kadang-kadang, rezeki kita tak semestinya hasil usaha kita semata-mata, Azrul. Boleh jadi Allah akan kirimkan rezeki tu melalui orang lain. Jadi dalam duit gaji saya, boleh jadi ada terselit rezeki untuk awak.”
Terdiam juga. Ustazah tersenyum lagi. “Lepas ni, bolehlah Farhah cari awak lagi kalau dia susah.”
Azrul makin tidak betah. “Cikgu, saya…”
Ustazah memintas dengan tawa kecil. “Tak… Awak dah buktikan yang awak betul-betul boleh dipercayai. Kalau tak, awak takkan bimbing diri awak untuk jadi ketua keluarga yang baik. Dah tu, awak boleh lagi tolong Farhah waktu dia susah hari tu. Semua tu dah jelas, kan?”
Terdiam. Angguk tidak, geleng pun tidak.
Ustazah tersenyum lagi. “Saya minta diri dulu.”
Kata-kata itu membuatkan Azrul teragak-agak menarik tangannya. Ustazah menaikkan semula cermin tingkap sebelum meninggalkan kawasan itu. Seketika, alam bagaikan sepi. Kenderaan yang lalu-lalang tidak langsung memberi kesan pada Azrul yang termangu. Dipandangnya not-not berwarna hijau kebiruan yang tebal berlipat di genggaman. Terzahir keluhan lemah dari bibir.
 
“AWAT? Cuai betui cikgu hang tu!” soal Man sebaik Azrul masuk.
Azrul diam dan hanya menggeleng sedikit. Man bingung. “Dia tuduh hang mencurik ka?”
Azrul senyap juga dan menggeleng lagi. Kerja memotong sayur disambung semula. Man terdiam melihat reaksi itu. Gilirannya pula menggeleng-geleng, tidak mampu mengerti.
 
SEBELUM pulang ke rumah, ustazah mengambil keputusan untuk singgah di rumah Mak Dah. Seperti biasa, mereka berbual cukup mesra. Farhah pula selesa dengan Mak Dah yang kelihatan berhati lembut itu. Setelah beberapa ketika di rumah itu, ustazah meminta diri. Mereka bersalaman dan berpelukan. Namun pelukan Mak Dah yang erat membuatkan ustazah terasa sesuatu. Dileraikan pelukan sambil memandang wajah wanita itu. “Kenapa ni kak?”
Mak Dah kelihatan menahan sebak. “Tak ada apa…”
Ustazah senyap. “Saya balik dulu ya, kak…”
Mak Dah mengangguk perlahan. Rasa tidak sanggup untuk berpisah dengan ustazah. Lantas dia raih tangan wanita itu, membuatkan ustazah terhenti seraya berpusing semula. Wajah Mak Dah dipandang penuh soalan. Aneh pula wanita itu hari ini. Sebelum-sebelum ini, Mak Dah tidak pernah bergelagat begitu. Lancar saja pertemuan dan perpisahan mereka.
“Terima kasih banyak-banyak, ustazah. Akak tak tahu nak balas budi baik ustazah ni macam mana.”
“Kenapa ni kak?” pujuk ustazah. Berdebar hatinya melihat kelainan pada diri Mak Dah.
Mak Dah tersenyum tawar, cuba melindungi hati di dalam. Air jernih di tubir mata disekanya. “Azrul…” Senyap. Ustazah angguk sedikit, meminta Mak Dah meneruskan. “Kali terakhir ustazah datang sini… waktu Azrul mula sekolah balik kan…”
“Haah.”
Mak Dah telan liur. “Akak tak tahu apa yang mengubah Azrul. Dia nampak… nampak lain.” Tangan ustazah digenggam. “Satu pagi tu sebelum dia pergi sekolah, dia jumpa akak.”
Ustazah terus memberi ruang bila Mak Dah kelihatan pilu untuk menuturkan. Kolam mata wanita di hadapannya itu pula kelihatan ditakungi air, membuatkan ustazah semakin tertanya-tanya. Apa sebenarnya yang telah berlaku? Selama ini dia memang tahu yang Azrul sudah tidak lagi ponteng, bahkan telah berubah perwatakan. Tapi apa kisah di sebaliknya, dia tidak tahu.
“Tiba-tiba ustazah… dia minta nak salam akak ni.”
Ustazah tergamam. Degup jantungnya bagaikan tergelincir.
Mak Dah seka air mata. “Dah lama dia tak buat benda tu, ustazah. Dia berubah sejak abah dia meninggal. Dulu dia rapat dengan arwah sebab akak ni tegas sikit dengan dia. Tapi tak sangka pulak bila abah dia pergi, dia jadi macam tu.” Mak Dah mula teresak-esak. “Sekarang bila dia dah jadi balik macam dulu, akak rasa macam hidup balik, ustazah. Sejuk hati…” Pecah tangisan Mak Dah. Ustazah turut ditarik rasa sebak. Dipeluknya Mak Dah dan diusap-usap bahu wanita itu.
“Saya tumpang seronok, kak…”
 
SETELAH reda perasaan Mak Dah, ustazah meminta diri. Sebaik saja kereta yang dipandu menyusuri jalan raya, ustazah mengerling Farhah di sebelah. Anak gadisnya itu membisu saja sejak tadi. Ada waktu bagaikan termenung jauh pula.
“Kenapa ni, Farhah?”
Bagaikan tersedar, Farhah menoleh. Berkerut dahi gadis itu.
Ustazah tersenyum nipis. “Fikirkan apa?”
Farhah kembali memandang hadapan. Duduknya diselesakan. “Betul ke Azrul dah berubah?”
Spontan mekar senyuman ustazah. “Macam tak percaya kan?”
Farhah angguk. “Memang tak percaya. Dah la pagi tadi dia marah Farhah.”
“Marah?”
“Haah.” Laju jawapannya. “Dia kata Farhah ni selalu menyusahkan dia.”
“Tapi yang tadi dia mengusik tu?”
Farhah mencemik. “Depan umi, memanglah…”
Ustazah ketawa kecil tiba-tiba, berbaur kenakalan. “Mungkin dia nak mintak maaf.”
“Hah?” Farhah menoleh.
Ustazah mengangguk. “Orang lelaki ni, susah sangat nak mintak maaf. Jadi bila kita bertekak dengan dia, lepas tu dia buat baik dengan kita… ha, tanda maaf la tu.”
“Oh, macam tu ek?”
“Kenapa?”
“Maknanya abah pun buat macam tu la jugak pada umi?”
Ustazah terdiam seraya memandang jalan raya di hadapan. Hangat wajahnya.
“Hah, hah. Tengok. Muka umi dah merah. Malulah tu!”
“Isy, ada-ada je la!”
Pecah tawa kedua-duanya. Tiba-tiba sebuah kereta melintas sedangkan lampu hijau berada di pihak mereka. Ustazah tersentak lantas membunyikan hon. Pedal brek dipijak.
Srrreekkk… Dumm!!!

0 861 komen:

Post a Comment

Assalamualaikum. Hai!
Terima kasih baca.
Cer komen sikit?

.

.