Friday, 3 May 2013

Hati Yang Kau Sentuh Bab 8

“BOLEHLAH, Farhah. Dah sebulan lebih Azrul dalam wad, Farhah tak pernah jenguk dia. Kalau bukan hari ni, bila lagi. Petang ni dia dah boleh keluar…” Ustazah hampir merayu.
Farhah menggeleng laju. “Farhah malulah umi. Kalau orang nampak macam mana?”
“Biarkan je. Orang memang takkan berhenti bercakap…”
“Tapi semua orang dah fikir bukan-bukan,” pintas Farhah sambil melempar pandangan ke luar tingkap. “Diorang ingat, Azrul dah buat bukan-bukan dengan Farhah. Nanti kalau diorang tahu Farhah jenguk Azrul dekat hospital, mestilah diorang akan fikir yang tak elok.”
Ustazah terdiam. Dia faham penderitaan yang dialami Farhah. Dia sendiri sudah mati akal untuk berdepan prasangka warga sekolah. Tapi masalah yang mereka depani sekarang hanyalah berkenaan sangkaan manusia. Dia perlu ingat budi Azrul yang jauh lebih besar terhadap mereka sekeluarga. Mana mungkin dia lupakan semuanya begitu saja. Baginya, tanggungjawabnya terhadap Azrul masih belum selesai.
Tapi… tanggapan masyarakat terhadap mereka akan semakin buruk. Farhah pula akan menduduki peperiksaan akhir tahun. Tahun depan SPM pula. Ah, runsingnya dia!
“Farhah rasa macam nak gila dah umi,” luah Farhah, perlahan suaranya.
Ustazah mengeluh. Dia pegang bahu Farhah. “Umi tahu Farhah dah tak tahan dengan semua ni. Tapi semua tu kan benda yang tak betul? Kenapa kita nak bagi respons pada benda yang salah, sedangkan kita ada tanggungjawab untuk balas kebaikan orang?” Ustazah cuba berdiplomasi, membuatkan Farhah terdiam. “Macam mana kalau Azrul kena pukul pun sebab Farhah?”
Spontan Farhah pandang ustazah. “Kenapa umi cakap macam tu? Jahat sangat ke Farhah sampai orang lain pun boleh bergaduh?”
Ustazah pantas menggeleng. “Kita tak tahu hal sebenar!”
Farhah mengeluh. Dalam keadaan begini pun ustazah masih mahu berpusing-pusing kata dengannya.
“Okey. Sehari sebelum Farhah ikut Azrul balik, Farhah kata Azrul tolong Farhah waktu kawan-kawan dia nak buli Farhah. Esoknya pulak, Azrul tolong lagi Farhah. Waktu Farhah ternampak Geng Si Yoi kat tepi jalan tu, Azrul ada sekali tak?”
Farhah hanya menggeleng. Dia masih ingat dengan jelas. Setelah begitu lama menunggu Syuhada, dia mahu kembali ke sekolah. Tapi terbantut sebaik saja ternampak Geng Si Yoi melepak di tepi jalan. Waktu itu, bayang Azrul tidak kelihatan sama sekali.
“Tapi boleh jadi diorang berpakat!” Terpacul di bibir Farhah. “Manatau, Azrul suruh budak-budak dia buat semua tu sebab dia memang nak kenakan Farhah.”
“Sampai patah-patah kena pukul pun dikira berpakat lagi?”
Farhah tergamam. “Itu…” Terhenti. “Itu… hisy, entahlah!” Dia menggenggam kuat rambutnya yang tidak terurus sambil menghempas tubuh ke katil. Tubuhnya terlentang, kosong anak mata memandang siling. Kalau begini terus, boleh hilang ingatan dia dibuatnya!
“Tolonglah umi. Jangan desak Farhah. Farhah tak nak ada apa-apa lagi urusan dengan Azrul. Dah banyak hidup Farhah susah disebabkan dia, umi. Farhah tak nak tambah masalah baru…” Perlahan suaranya, benar-benar merayu kali ini.
‘Kalaulah umi boleh faham…’
Ustazah melepaskan keluhan berat. Ketara benar serabutnya fikiran Farhah. Nampaknya dia tidak boleh memaksa lagi. Takut semakin teruk jadinya.
Dia mengeluh lagi. Serba tidak kena dengan keadaan mereka sekarang. Dia cuba adil, bertindak berdasarkan hakikat tapi situasi antara Farhah dan Azrul membuatkannya tersepit di tengah-tengah.
Akhirnya dia keluar dari bilik itu. Senyap sunyi dunia Farhah. Hanya bunyi kipas siling yang kedengaran sesudah itu.
 Farhah terkebil-kebil memandang kipas yang ligat berputar. Dia sudah cukup berserabut. Otaknya sudah tepu dengan segala kerumitan yang semakin galak menghimpitnya. Belum selesai masalah yang ada, muncul pula soal baru. Entah bilalah akan selesai semua ini.
‘Kenapalah Azrul tu tak habis-habis menyusahkan aku?’
Dia berdecit, serba salah sebenarnya. Bukan dia mahu lupa diri. Pertolongan Azrul tempoh hari benar-benar membuatkannya terharu. Tidak sangka lelaki yang dianggap kejam itu yang akhirnya menghulurkan bantuan.
Tapi dia serik. Ada saja masalahnya sepanjang berada di sini. Semuanya berkisarkan Azrul. Bila Azrul berkasar dengannya, dikatakan salah. Bila Azrul berbuat baik pun salah juga. Semuanya serba tak kena!
‘Kuat sangat ke jodoh aku dengan dia?’ detik hati, tapi sesaat kemudian dia tersedar. Giginya menggigit hujung lidah. ‘Jodoh? Ergh, tak kuasalah aku!’
Akhirnya dia bangkit sambil mendengus kasar. Nampaknya dia memang sudah tidak boleh lari lagi daripada lelaki itu. Ke mana saja dia pergi, pasti Azrul akan mengekori. Kalau dulu, di sekolah. Tapi sekarang, sampai ke rumah pun Azrul masih tidak mahu hilang dari ingatannya.
‘Memang jahat kau, Azrul!’
Dia segera berkemas. Mungkin Azrul yang dia anggap mereng lagi sewel itu menuntut agar dia pergi menziarah. Selagi tidak, selagi itulah hidupnya tidak akan tenteram.
‘Betul ke? Ke aku ni sebenarnya yang dah tercabut wayar?’
Makin berserabut otaknya. Ergh!
 
SEWAKTU Mak Dah dan ustazah berbual-bual, Farhah tersedar pandangan Azrul yang berlainan padanya. Dia balas dengan riak menyoal. Dalam senyap, dia hampiri katil Azrul bila lelaki itu menggamitnya. Kalau boleh, dia tidak mahu ustazah mahupun Mak Dah menyedari perlakuannya itu.
“Kenapa?” soal Farhah dengan suara perlahan. Tidak langsung memandang Azrul.
“Apasal setiap dua hari sekali mak kau datang sini? Tak jemu ke?” soal Azrul semula.
Farhah jungkit bahu. “Manalah saya tahu.”
“Yang kau pun datang sama hari ni apasal?”
“Mak saya tu yang paksa.”
“Kau tak malu ke? Aku tak pernah suka langsung apa yang kau dengan mak kau tu buat. Nampak sangat terhegeh-hegeh.”
Tersiat-siat hati Farhah mendengar kata-kata itu. Tersungging senyuman sinis di bibirnya seraya berpeluk tubuh, berlagak selamba. “Suka hati la awak nak suka ke nak benci. Kitorang tak rugi apa-apa pun. Saya pun bukannya nak sangat datang sini. Baik saya duduk je kat rumah, study.” Sebutir demi sebutir jawapan pedas itu dituturkannya. Biarkan, dia memang mahu membalas rasa sakit hatinya terhadap lelaki itu. ‘Orang dah susah payah datang, dia bukannya nak berterima kasih. Menyombong pulak tu!’
“Dah tu yang kau menyemak depan aku ni buat apa kalau dah tahu terpaksa?” Azrul nampaknya masih mahu menyakitkan hati.
“Hai, bukan ke tadi awak yang panggil saya berdiri kat sini? Bukan salah saya, okey?”
Wajah Azrul bertukar tegang. Mujur mereka di hospital. “Mentang-mentang aku tengah terlantar ni. Sesuka hati kau je nak cakap apa, Farhah.” Berbaur ancaman, namun Farhah tertawa kecil yang sinis.
“Awak nak buat apa? Geng-geng awak semuanya dah kena buang sekolah kecuali Antoi sebab dia tak join waktu korang bergaduh. Huh, rupanya awak ni boleh la jugak memimpin anak buah untuk jadi setia. Baguslah sebab Antoi senyap-senyap report polis pasal plan bergaduh tu. Tak pasal-pasal anak-anak buah awak yang belot tu dah disumbat ke pusat serenti, dengan kes dadahnya lagi.” Penuh dengan nada menyindir. “Jadi sekarang ni siapa lagi yang awak nak arahkan? Antoi mesti dah cuci kaki. Lagipun, semua orang dah tahu yang Geng Si Yoi dah berkubur. Zaman awak dah habis, tahu?”
“Oh, maknanya kau datang sini semata-mata untuk bagitau benda ni pada akulah?”
Farhah kerling Azrul sedikit. Tersungging senyum tipis di bibir. Dia jungkit bahu. “Zaman gelap dah sampai. Hurm… itu salah satu silibus dalam subjek Sejarah. Hah, bagus! Sekurang-kurangnya saya boleh study sambil-sambil melawat orang sakit. Tak adalah buang masa sangat kan.” Farhah ketuk-ketuk dagunya dengan jari telunjuk. Sindiran halus yang benar-benar menyakitkan mata yang melihat.
Azrul ketap gigi. Tidak sangka Farhah yang nampak lembut itu boleh bertukar dalam masa tidak sampai dua bulan dia berada di hospital ini. Sememangnya perkara itu yang dia cuba jauhi sejak dahulu, tapi itu juga yang berlaku. Barangkali benar gelaran yang baru saja diisytiharkan Farhah. Zaman kegemilangannya sudah berakhir. Dia kini sudah berada di bawah. Bahkan dengan keadaan dirinya yang bertongkat dan beranduh itu, boleh jadi selepas ini dia pula yang akan dibuli.
“Hah, lagi satu. Kalau awak nak tahu, sebenarnya awak cuma ada satu peluang je lagi. Itupun lepas puas mak saya fight dengan Cikgu Roslan. Kalau tak, dengan awak-awak sekali kena buang sekolah tau? Kesian mak awak. Mujur ada mak saya tu.” Farhah bersuara lagi, sengaja membakar hati Azrul.
“Oi, oi!” pintas Azrul dengan suara yang ditekan. “Aku tak perlukan belas kasihan orang-orang macam kau la!”
Ye ek?” Selamba balasan Farhah, menggigit hati Azrul. “Sampai bila awak nak sombong macam ni? Padahal nak berjalan pun bertongkat. Ada hati lagi nak menyusahkan orang? Huh, peliklah awak ni!” Sejurus mengucapkan, Farhah terus meninggalkan tempat itu. Ustazah yang sedang berbual dengan Mak Dah diganggu. Merah menyala mata putih Azrul. Tidak lama kemudian, dua wanita itu melangkah ke arahnya sambil tersenyum-senyum.
“Betul ke awak dah janji nak tumpukan perhatian pada pelajaran, Azrul?”
Azrul terdiam, tapi ekor matanya dapat melihat Farhah yang sedang tersenyum puas. Bertambah bengkak hatinya terhadap gadis itu. Namun terpaksa ditahan di dalam. ‘Bertuah punya Farhah! Nanti kau!’
“Syukur, alhamdulillah. Tak sia-sia pihak sekolah letak kepercayaan yang tinggi pada potensi awak. Akhirnya sekarang Allah dah tunjukkan pada saya yang awak memang anak yang baik, Azrul!”
Azrul terdiam lagi. Wajah berseri-seri Mak Dah tidak sanggup dipandangnya. Tapi untuk membiarkan soalan itu berlalu, dia tertekan. Akhirnya antara rasa rela dan terpaksa, dia mengangguk juga sedikit. Semakin lebar senyuman ustazah. Wanita itu memandang jam tangannya. “Eh, rasanya tak apalah dulu, kak. Dah lama sangat saya mengganggu akak anak beranak ni.”
Kata-kata itu membuatkan Mak Dah menampar lembut bahu ustazah. “Apa pulak cakap macam tu!” Ustazah tertawa kecil disambut Mak Dah. Kedua-dua mereka kelihatan cukup mesra, hinggakan Azrul berasa tidak selesa. Tapi bila dia mengerling Farhah, dia hairan melihat gadis itu tersenyum sendiri. Dia pandang semula ustazah dan Mak Dah dengan benak yang keliru.
Kemesraan itu terlalu menghiburkan Farhah?
 
SETELAH lama bercuti, akhirnya antara rasa rela dan terpaksa, Azrul ke sekolah semula seperti biasa. Wajah pertama yang dilihatnya adalah Farhah. Gadis itu bertugas menjaga pintu masuk utama sekolah. Jelingan sinis gadis itu saja sudah cukup untuk menimbulkan rasa jelek dalam hatinya.
Azrul tahu, jelingan Farhah itu bermaksud dendam. Gadis itu bagaikan cuba mencabar, kononnya sudah tiba gilirannya pula untuk membuli. Dengan jawatan pengawas yang sedang disandang, apa juga tindakan Farhah takkan dianggap bersalah oleh pihak sekolah. ‘Nyawa’ Azrul di sekolah itu pula sememangnya sudah di hujung tanduk. Silap sedikit, dia pasti ditendang dari situ. Farhah pula memang ternanti-nantikan peluang begini.
‘Huh, memang bodoh la dia kalau lepaskan aku macam tu je!’
Mahu tidak mahu, terpaksalah dia tahan keegoannya. Baik di hadapan Farhah, mahupun warga sekolah yang lain. Dia harungi hari-hari yang berbaki sebagai seseorang yang tidak lagi dijadikan bualan hangat seperti dahulu. Surat-surat masih lagi diterimanya bahkan lebih banyak. Ada yang mengaku setia menanti, kasihan dengan nasibnya malah ada juga yang mengaku doanya untuk melihat Azrul sembuh sudah termakbul. Maka dengan doa yang sudah termakbul itu, si pengirim mahu Azrul membalas dengan menerima ‘lamaran’ mereka.
Azrul hanya mampu mengeluh. Walaupun dia bukan lagi ketua Geng Si Yoi, tidak bererti dia sudah berubah personaliti. Dia tetap Azrul yang sama, bahkan dia semakin tidak suka diganggu.
Kini, setiap pagi, tanpa perlu mengintai laci meja, dia terus menyeluk tangannya di ruang kecil itu. Segala isinya dikaut dan dihumban ke dalam tong sampah. Sesudah itu, barulah dia tarik kerusinya dan duduk. Dia sudah jemu dengan rutin itu.
“Cikgu tak ada ke hari ni?” Satu suara kedengaran tiba-tiba. Azrul pusatkan anak matanya ke hadapan. Tapi sesaat kemudian keluhannya terpacul sebaik terpandang Farhah yang tercegat di muka pintu kelas. Dia alihkan semula pandangannya ke arah lain.
“Azrul datang tak hari ni?” tanya Farhah lagi. Azrul tidak menoleh, tapi hatinya rimas bila mendengar namanya meniti di bibir gadis itu.
‘Mesti ada la yang dia nak tu!’
“Yoi.”
Baru Azrul menoleh. Pelajar perempuan di meja hadapannya dipandang kosong.
“Ustazah Kamalia nak jumpa.”
Azrul senyap. Dengan hati yang merengus rimas, dia bangun lantas keluar melalui pintu di sebelahnya. Farhah kelihatan menantinya, tapi dia tidak pedulikan. Dia terus mengatur langkah ke Blok A yang menempatkan bilik guru dan pejabat pentadbiran sekolah.
“Apasal kau tak habis-habis menyusahkan hidup aku?” soal Azrul akhirnya sewaktu melalui kawasan makmal yang lengang. Dia tahu Farhah masih mengekorinya.
Berkerut dahi Farhah bila mendengar soalan itu. “Eh, bukan awak ke yang selalu menyusahkan hidup saya? Sejak mula-mula saya masuk sekolah ni, sampailah sekarang. Tak habis-habis kena uruskan pasal awak.”
“Kau tu yang lebih banyak menyusahkan aku,” tekan Azrul.
Hangat hati Farhah mendengarnya, tidak faham dengan apa yang cuba ditegakkan lelaki itu. “Apa masalah awak ni? Tak sudah-sudah lagi nak tunjuk lagak?”
Azrul tersenyum sinis, “kalau tak sebab aku, kau dah kena rogol pun.”
Farhah terkedu. Azrul masih melangkah tenang di hadapannya.
“Sekarang kau nak lupa diri pulak.”
“Eh, yang kena serang tu awak. Bukannya saya. Apasal pulak awak kata yang awak bersusah-payah untuk saya?”
“Huh, diorang serang aku pun sebab aku bawak kau balik rumah.”
Farhah terdiam.
“Aku berkuasa kat tempat ni selama ni. Datang je engkau, habis hancur semua!”
“Jadi awak bangga dengan semua benda jahat yang awak dah buat selama ni?”
“Sekurang-kurangnya aku tak kacau orang.”
Tersirap darah ke kepala Farhah. “Tak kacau orang awak kata?” Farhah segera luaskan langkah sebelum memintas dan berhenti di hadapan Azrul. Tertahan kaki Azrul, serta-merta tersirap darahnya. Mata bertemu mata, saling ‘berentap’ rasa tidak puas hati.
“Yang awak buli budak-budak perempuan tu apa bendanya? Tak kacau orang ke namanya tu?”
Azrul diam. Matanya dilempar ke arah lain, membuatkan hati Farhah semakin berbahang.
“Dah tu, bila budak-budak tu semua dah suka kat awak, awak tak nak layan. Awak tahu tak yang awak ni sebenarnya dah merosakkan hati budak-budak tu?”
“Habis tu kau nak aku buat apa dengan budak-budak tu?” pintas Azrul, membuatkan Farhah kehilangan kata. Tajam mata Azrul merenung Farhah. “Kau nak aku ambik diorang jadi girlfriend aku? Ataupun kau yang sebenarnya nak kat aku?”
“Eh, helo!”
“Apa?”
“Awak jangan nak balikkan salah awak tu pada saya!”
“Habis tu kenapa kau tahan aku kat tempat ni? Kau tau tak yang aku ni dah muak hari-hari kena hadap muka kau?”
“Awak yang cari pasal dengan saya!”
“Kau tu yang menyusahkan hidup aku!”
“Apasal awak tak habis-habis nak salahkan saya ni!” Meledak akhirnya tengkingan Farhah. Kembang-kempis hidungnya menahan rasa. Kemarahannya sudah tidak tertanggung. Mujur dia masih sedar saja di mana dia kini. Jika tidak, entah-entah sudah ditamparnya mulut lancang Azrul.
Azrul senyap tapi tiba-tiba bibirnya menyungging senyuman sinis. “Kau tu yang menyusahkan hidup aku. Kau tu yang buatkan hidup aku tak tenang.” Perlahan suaranya, cukup-cukup untuk Farhah saja yang mendengar. “Kau yang dah mainkan hati aku sebenarnya, Farhah.”
Farhah terkelu. Tidak semena-mena hatinya hilang arah. Azrul tersenyum nipis, sinis. Dia berpaling ke arah lain sebelum berlalu dari tempat itu.
“Tahu pun senyap.” Sayup-sayup kata-kata itu hinggap di ruang dengar Farhah.
 
SENYUMAN ustazah tidak langsung dipedulikan. Malah Azrul hanya membiarkan saja kerusi yang tersedia untuknya. Dia berdiri tidak jauh dari wanita itu.
“Kenapa?” soalnya dingin. Dia mahu selesaikan segera urusannya di situ. Selagi Farhah ada dengannya, selagi itulah hidupnya takkan pernah tenang. Tak pernah!
“Awak kerja dekat restoran yang sama lagi, Azrul?” Lembut suara ustazah. Sempat anak matanya mengerling Farhah yang berdiri beberapa meter di belakang Azrul. Dia dapat rasakan, pasti telah berlaku sesuatu antara dua anak muda di hadapannya ini. Riak wajah Farhah yang seakan-akan resah gelisah membuatkannya pasti mengenai hal itu.
“Haah.”
Ustazah kembali mendongak, memandang Azrul. Dia tersenyum. “Awak masuk kerja pukul berapa?”
“Lepas habis sekolah la.” Mula kedengaran riak tidak suka.
“Habis waktu kerja?”
Kali ini Azrul senyap. Ustazah dipandang curiga. “Macam biasa.” Lambat-lambat jawapannya.
Ustazah tersenyum. “Tak menjejas gaji awak ke, Azrul?”
Tajam anak mata Azrul menikam wajah ustazah, membuatkan wanita itu segera membetulkan kata-katanya, “errr… kan awak masuk lambat sikit dari dulu. Maknanya waktu kerja awak dah berkurang.”
“Dah orang nak bagi banyak tu jugak.”
“Ohhh… okey…” Ustazah tersenyum simpul. “Kalau macam tu tak apalah. Awak boleh masuk kelas.”
Hampir saja dia merengus kasar bila mendengar kata-kata itu. Ustazah memanggilnya hanya untuk bersoal jawab tentang perkara yang remeh-temeh begitu? Benar-benar menyusahkan! Letih-letih dia berjalan jauh ke tempat ini, kemudian terpaksa bertekak dulu dengan Farhah di tengah jalan tadi. Alih-alih, itu saja yang ustazah mahu tanya? Mahu saja dia hamburkan rasa tidak puas hati. Tapi dia cepat-cepat sedarkan diri yang dia sedang berada di hadapan guru-guru lain. Dia berpusing.
“Azrul.” Panggilan ustazah membantutkan langkahnya. Dia terpaksa berpusing semula dan memandang ustazah dengan riak tidak senang. Namun ustazah tetap mengukir senyuman, bahkan senyuman paling manis di mata Azrul. “Terima kasih sebab awak dah dekat tiga bulan tak ponteng.”
Azrul terdiam. Terkesan hatinya dengan penghargaan yang diberikan tapi dia enggan pamerkan perasaannya. Tanpa membalas walau dengan sepatah kata, dia berpusing semula dan terus berlalu.

0 861 komen:

Post a Comment

Assalamualaikum. Hai!
Terima kasih baca.
Cer komen sikit?

.

.