Friday, 31 May 2013

Hati Yang Kau Sentuh Bab 21

DADA yang senak dan pedih dia gosok-gosok perlahan, cuba melegakan kesakitan. Berkerut-kerut dahinya, sambil pandangan matanya terlempar jauh merentasi tingkap bilik yang terbuka. Terbayang-bayang ketewasan yang menimpa dirinya tempoh hari. Tidak disangkanya, anak muda itu jauh lebih berani sekarang.

Dia fikir, Azrul akan menyerah kalah sebaik saja berdepan dirinya. Tujuh tahun lalu dia sendiri yang membelasah anak muda itu sewaktu peristiwa kehilangan Farhah. Dia ingatkan Azrul akan mengingati perkara itu tapi rupanya jangkaannya meleset.

‘Tak guna,’ celanya. Hampir sebulan dia merancang penculikan itu. Sebenarnya dari awal lagi dia sudah tahu Farhah menyorok di rumah kampung itu. Dari awal lagi dia sudah mengagak, Farhah pasti akan mencari Azrul. Tapi sewaktu dia bertanya cara baik tempoh hari, Azrul berbohong mengatakan tidak pernah melihat Farhah. Sedangkan dia tahu, mereka baru pulang dari hutan. Sengaja dia pilih waktu itu untuk memudahkan kerja dan dia sendiri sebenarnya tidak mahu bermain kasar.

Bila cara lembut tidak memberikan sebarang hasil, kemarahan mula menguasai hati. Lantas sebaik saja mendapat tahu berkenaan Farhah yang bakal ditinggalkan bersendirian di hari pertunangan itu, dia segera mengatur strategi baru. Tapi kali ini, dia gagal lagi. Bahkan dia pula yang nyaris diserang!

‘Celaka!’ Giginya diketap, jari-jemarinya pula digenggam kejap. Dendam masih tidak tertunai, malah kian berapi!

‘Jangan ingat aku akan senang-senang lepaskan kau.’ Bergema saja kata-kata itu di dalam hati, senyuman dendam tersungging di bibirnya. Dia tahu masanya akan tiba juga nanti. Dia yakin dan dia akan pastikan semuanya berlaku. Tepat seperti yang dia mahu!

 

MALAM itu, suasana di rumah kampung itu meriah dengan gelagat tetamu yang hadir untuk aktiviti rewang. Hampir setiap warga desa itu menghadirkan diri kecuali Maya. Selepas peristiwa menyerang Farhah tempoh hari, dia sudah tidak lagi menunjukkan dirinya. Hanya sesekali saja pulang ke rumah, itupun untuk meminta wang daripada Mak Uteh. Waktu-waktu lain dia lesap.

“Eh, kenapa warna dia gelap je ni? Hangus ke?”

Spontan Farhah pandang Azrul. Berkerut dahi. “Dah nama pun kek coklat, gelaplah.”

Azrul balas pandangan Farhah, berkerut juga dahinya membuatkan Farhah kebingungan. “Kenapa?”

“Kek coklat?”

“Iyalah?”

“Kenapa tak buat warna cerah sikit?”

“Abang nak warna apa?”

“Putih.”

“Kalau putih, abang kena cari barang dia dekat kedailah jawabnya.” Selamba. Ekor mata sudah mula menangkap beberapa pasang mata yang sedang tersenyum-senyum melihat mereka. Farhah menjeling Azrul. ‘Menghalau’ dengan pandangan!

Tapi Azrul bagaikan tidak memahami. Kerusi yang terletak tidak jauh dari Farhah dicapai dan dia duduk di situ menghadap kek. “Baru masak ke ni?’

Farhah terdiam. ‘Kan berasap lagi kek tu?’ detik hati.

“Untuk makan malam ni ke?”

Farhah terdiam lagi. “Abang nak makan malam ni ke?” Mula teragak-agak nadanya. Dia sebenarnya pelik dengan Azrul yang tiba-tiba muncul di situ sedangkan dapur itu kawasan wanita. Lelaki sepatutnya di luar rumah, bukannya di dalam.

“Tak adalah.”

Farhah diam sesaat. “Kek tu untuk esok…”

“Tak basi ke?”

Farhah terbungkam terus. Apa ke pelik sangat Azrul saat ini?

Akhirnya beberapa wanita di situ gagal menahan tawa. “Dia nak benda lain sebenarnya tu, tapi malu nak bagitau depan kami ni, Farhah!” ujar Mak Piah, jiran sebelah.

Farhah menoleh tapi tetap senyap. Masih tidak mampu faham.

“Sudah, tinggalkan kerja-kerja tu semua. Ikut Azrul tu hah, ada la yang dia nakkan sangat tu.” Isteri pak imam pula menambah. Tapi bunyinya terlalu nakal!

Farhah tidak berani memandang Azrul walaupun masih kebingungan. Entah, mendengar saja kata-kata isteri imam, tiba-tiba wajahnya jadi hangat! Tapi mahu tidak mahu, dia terpaksa akur yang dia saat ini masih pengantin baru yang sedang diraikan. Normallah jika disakat dan diusik. Takkan dia mahu melarang, apa pula kata mereka nanti.

Akhirnya dia berlalu ke sink. Tangan dicuci dan bila berpusing semula, dia lihat Azrul sudahpun bangun dari tempatnya. Lelaki itu sedang menapak ke ruang tamu. Farhah mengeluh kecil. Adakala dilihatnya perangai Azrul mengalahkan anak kecil pula. ‘Hesy… baru sekarang aku tahu siapa dia yang sebenar!’

Azrul menapak ke bilik. Farhah akur juga. Dia rapatkan daun pintu dan menguncinya, tapi tiba-tiba tubuhnya ditarik. Sekelip mata dia sudah berada dalam dakapan Azrul hingga dia tergamam. Senyap-sunyi ruang kamar tanpa sedikitpun dijejaskan bunyi riuh rendah di luar rumah.

“Farhah…” bisik Azrul di telinga Farhah. Manja kedengaran.

“Mmm…” sahut Farhah perlahan.

“Letihlah…”

Farhah senyap. Dia faham maksud Azrul. Kasihan pula mendengarnya. Apa tidaknya, sejak pulang dari kerja petang tadi, Azrul tidak langsung berpeluang untuk berehat. Makanan yang disediakan Farhah pun tidak sempat dijamahnya. Selesai solat maghrib, barulah dia mampu menikmati juadah. Itupun tanpa ditemani Farhah. Mana tak penat.

“Kalau letih, rehatlah. Tak mau paksa-paksa diri…” Lembut.

Azrul senyap. Hembusan nafasnya mengena pipi Farhah. “Abang tak boleh rehat sekarang, nanti apa pulak diorang kata.”

“Habis tu?”

“Abang nak jumpa Farhah, sekejap aje pun jadilah.”

Farhah tertawa kecil. “Takkan jumpa Farhah terus hilang rasa letih?”

Azrul tersenyum, Farhah dapat merasakannya. “Memanglah tak… tapi sekurang-kurangnya abang boleh top up balik tenaga dalaman.”

Farhah tertawa lagi, lunak kedengaran di anak telinga Azrul. “Kalau macam tu, peluklah Farhah selama mana yang abang nak.”

Azrul tersenyum sendiri. Semakin erat dakapannya. “Tapi Farhah… abang tak boleh lama-lama. Nanti apa pulak orang cakap.”

“Abang kan letih dengan kerja…”

Azrul tersenyum nipis. “Kalau abang ni ada kerja yang bagus-bagus, mungkin orang akan suruh abang rehat. Tapi abang ni cuma buruh je, Farhah.”

Farhah terdiam. Sedikit tersentuh mendengarnya. “Abang cakap pasal Farhah ke?”

“Mmm?”

“Abang terasa dengan Farhah?”

Azrul senyap. Farhah terdiam, mengerti maksud bisunya lelaki itu. Lantas dia leraikan tangan Azrul dari pinggangnya. Dia berpusing, membalas pandangan Azrul. “Kenapa abang fikir macam tu?”

“Habis tu nak fikir macam mana lagi?”

“Farhah tak suka abang ungkit lagi pasal kelulusan.”

Senyap.

“Rezeki masing-masing bukannya bergantung pada ijazah tu semua. Kalau betul macam tu, Farhah takkan ada kat sini.”

“Tapi Farhah menjahit sebab dah tak ada pilihan lain. Kalau sekarang ni tak ada apa-apa masalah, Farhah memang takkan ada kat sini.”

Farhah terhenyak mendengarnya. “Sampai hati abang cakap macam tu.”

Azrul senyap. Farhah menjauh, menuju ke arah rak pakaian mereka. Seketika kemudian, dia kembali dengan pakaian milik Azrul. Dihulurkan. “Kalau abang dah terlampau penat, berehatlah. Jangan paksa diri.”

“Kenapa ni?” Berkerut dahi Azrul memandang Farhah.

“Tukar baju. Abang tu dah terlampau letih, sebab tu merepek yang bukan-bukan.”

Tapi tiba-tiba Azrul ketawa kecil. Lantas pinggang Farhah dirangkulnya, membuatkan Farhah terdiam. Semakin keliru dengan sikap Azrul malam ini. Bila Azrul mengucup dahi dan pipinya, dia terus diam. Sesekali terbit pula risau dalam hatinya. Bagaikan ada yang tidak kena saja.

“Memang abang letih hari ni. Letih sangat-sangat.” Perlahan, bagai meluah isi hati. “Bertambah tak larat badan abang ni selagi tak jumpa Farhah.”

“Kalau iya pun, janganlah sampai merepek yang bukan-bukan.” Perlahan nada rajuknya kedengaran. Dia benar-benar berjauh hati dengan Azrul. Tidak sudah-sudah lelaki itu memikirkan soal darjat.

Azrul tersenyum nipis. “Abang cakap benda betul. Kita memang jauh sangat berbeza. Tak salah kalau abang peringatkan Farhah.”

“Tapi Farhah tak pernah kisah pun siapa abang.”

“Walaupun sekarang ni Farhah tak ada masalah dengan abah Farhah?”

Laju saja Farhah mengangguk, membuatkan Azrul terdiam. “Betul?”

Farhah pantas mengangkat pandangan, menemukan anak mata dengan Azrul. “Teruk sangat ke kerja buruh kasar tu?”

Giliran Azrul terdiam. Seakan sukar pula dipercayai yang Farhah rupa-rupanya berfikiran begitu. Sangkanya, selama ini Farhah hanya mahu melepaskan rasa tersepit.

Tapi… benarkah apa yang diberitahu itu?

“Farhah sendiri pun anak yatimlah, bang. Mak ayah Farhah pun Farhah tak pernah kenal. Semua tu buatkan Farhah rasa yang abang ni jauh lebih bertuah dari Farhah, tahu?”

Senyap. Farhah mengeluh berat seraya membawa pergi anak matanya. Tangan Azrul pada pinggang dia leraikan. “Kalau abang betul-betul sayangkan Farhah, abang takkan fikir lagi pasal darjat-darjat tu semua.” Perlahan ucapnya. Pintu yang berkunci dia buka sebelum keluar dari situ.

 

“DAH, puas dah dapat jumpa buah hati?” soal Mak Piah sebaik saja Farhah muncul di dapur itu. Tapi matanya tidak langsung memandang Farhah. Bila Farhah menoleh, dia lihat Azrul sedang melangkah tidak jauh di belakangnya. Lantas dia senyap, sekadar membiarkan.

“Ada-ada ajelah, Mak Piah.” Azrul menjawab mesra. Tapi nada lesunya tidak berjaya langsung dilindungi. Farhah hampir saja melepaskan keluhan. Geram! Suruh rehat, tak mahu. Lepas itu barulah nak merepek-repek sampai menyakitkan hati orang lain!

“Aik, dah berjangkit pulak pada orang rumah kamu Rul?”

Kata-kata itu membuatkan Farhah tersedar lantas memandang Mak Piah. Beberapa wanita yang turut berada di situ pula sudah tersenyum-senyum nakal. Barangkali melihatkan wajah Farhah yang mencuka memikirkan Azrul. Farhah yang malu sendiri, akhirnya tersengih sumbing. ‘Tak pasal-pasal aku pulak yang kena!’

Menjelang jam sepuluh malam, para tetamu beransur pulang. Keadaan di rumah kampung itu mula lengang. Tapi Farhah tidak juga menunjukkan sebarang tanda untuk tidur. Berpusat tepat anak matanya pada kaca televisyen. Azrul yang menanti mula kepenatan.

“Farhah,” panggil Azrul akhirnya.

“Mmm.” Datar.

“Tidurlah. Esok dah sibuk pulak…”

Senyap. Azrul diam. Dia tahu, Farhah merajuk! Tapi dia mana tahu memujuk. Meminta maaf jauh sekali. Mahu tidak mahu, dia tunggu saja di dalam bilik walaupun tahu apa kesudahannya. Dan tepat seperti yang dijangka, menghampiri jam satu pagi pun Farhah tidak langsung masuk. Akhirnya Azrul terpaksa kerahkan diri untuk bangun.

Dan… memang betul. Farhah sudahpun terlena di hadapan televisyen yang telah dimatikan. Mengeluh berat saja Azrul melihatnya. Tergeleng-geleng. Akhir-akhir ini, semakin sensitif pula Farhah. Entah apa kenanya, dia sendiri tidak tahu. Nak kata mengandung, mustahil. Baru semalam ‘bendera merah’ isterinya itu berakhir.

‘Agaknya memang semua orang perempuan macam ni.’ Itu saja kesimpulan yang dia mampu fikir akhirnya.

Dia atur langkah penatnya. Farhah dihampiri. Bahu isterinya itu diusap lembut, cuba menyedarkan. Namun seperti yang biasa berlaku, Farhah bila sudah dapat tidur memang cukup payah untuk dikejutkan. Azrullah yang perlu bersabar selama ini. Adakala hingga lenguh tangannya menggoncang bahu Farhah, barulah isterinya itu bangkit. Kemudian bila sudah terjaga, Farhah akan meminta Azrul mengejutkan awal sedikit.

“Nak abang kejutkan pukul berapa?”

“Lima…” Sambil meraup-raup wajah.

Azrul biasanya terdiam setiap kali mendengar permintaan itu. Sedangkan kejut jam enam pagi pun payah, inikan pula seawal itu. Tapi nak buat macam mana, liat-liat bangun pagi pun isteri sendiri. Terima sajalah…

Azrul melempar pandangan pada jam dinding. Sudah hampir lima minit dia berada di situ. Tubuhnya sudah semakin penat. Dia tidak mampu berfikir panjang lagi. Lantas diangkatnya Farhah ke bilik. Sesudah itu, dia sendiri berbaring di sebelah isterinya itu. Doa tidur berbisik perlahan di bibir. Kemudian dia peluk erat tubuh Farhah, hingga akhirnya dia turut hanyut dibawa lena.

 

TERJAGA jam dua tiga puluh pagi, Azrul lihat Farhah sedang menyidai telekung di ampaian kecil. Terus segar matanya. Pelik, tiba-tiba pula Farhah boleh bangun awal? Tapi dia cepat-cepat pejamkan matanya, enggan disedari Farhah.

Sewaktu Farhah duduk di sebelahnya, dia masih pura-pura lena. Tapi bila tiba-tiba hinggap satu kucupan di pipinya, dia tersentak hingga tidak sengaja mencelikkan mata. Mereka sama-sama terkejut. Azrul dengan dahi yang berkerut, sementara wajah Farhah merah padam. ‘Argh… malu!’

“Farhah buat apa tadi?” soal Azrul, pura-pura baru terjaga.

“Erkkk… tak ada apa.” Gelengan kecil terzahir, tapi anak matanya tidak langsung membalas pandangan Azrul.

“Habis tu apa yang sejuk tadi?”

Farhah menggeleng lagi. Bahu dijungkit, sedangkan wajah sudah berinci-inci tebalnya. Bagaikan cuba melindungi hati yang hilang arah, Farhah segera berbaring membelakangi Azrul. “Mungkin tadi Farhah mengigau kut.” Perlahan suaranya. Bibir digigit. Janganlah Azrul perasan kegelabahannya saat ini!

Azrul terdiam. Ditariknya tubuh Farhah hingga menghadap dirinya. Farhah pura-pura tenang. Azrul menyoal, “mengigau apanya? Ni rambut basah. Farhah dah lama bangun sebenarnya kan?”

Farhah terbungkam. Meruap-ruap kehangatan ke wajahnya. ‘Argh… mana aku nak pergi ni! Tempat menyorok… mana tempat menyorok!’

“Kenapa lain sangat Farhah ni?”

Senyap. Farhah menggeleng kecil. “Mana ada.”

Azrul senyap lagi. “Abang ada buat salah apa-apa ke?”

Farhah menggeleng lagi.

“Habis kenapa jadi macam ni?”

Senyap juga. Azrul ikut membisu, sudah tidak tahu untuk bertanya apa lagi. Hanya dinanti Farhah bersuara. Namun tidak juga kedengaran, membuatkan Azrul penat menunggu. Barangkali Farhah berdebar dengan majlis esok, itu saja kesimpulan di benaknya. Memang dia masih penat, lantas dia enggan memberatkan akalnya dengan perkara-perkara sebegitu. Segera dia lingkarkan tangannya di pinggang Farhah, berhajat tidur semula.

“Farhah tak tahu kenapa Farhah tiba-tiba rasa tak sedap hati…”

 “Mmm?” soal Azrul acuh tak acuh. Matanya masih terpejam.

“Bila abang cakap soal darjat dengan kelulusan tu semua, nampak sangat yang abang terpaksa kahwin dengan Farhah. Abang tak sepenuh hati sebenarnya.” Kata-kata itu segera mencelikkan mata Azrul, terusik. Rupa-rupanya itu perkara yang mengganggu Farhah.

“Abang sendiri yang minta Farhah percayakan abang. Bila Farhah dah betul-betul sayangkan abang, tiba-tiba abang buat macam ni. Abang nak main-mainkan Farhah ke?”

“Farhah rasa macam tu?”

Farhah mengangkat pandangan. “Abang yang buat Farhah rasa macam ni.”

“Kalau betul abang terpaksa kahwin dengan Farhah pun apa masalahnya?”

Remuk perasaan Farhah mendengarnya. Lantas dia berkalih, kembali membelakangi Azrul. “Suka hati abanglah. Farhah tak tahu.”

Senyap. Farhah menyeka tubir mata yang mula digenangi air. Sememangnya dia sensitif saat ini, lebih-lebih lagi bila kepercayaannya terasa seakan dikhianati. Jauh dia layan rasa kecewa di dasar hati, sebelum kemudiannya pinggangnya terasa dirangkul semula. Tapi dia cuma kaku kali ini.

“Kalau abang cuma nak main-mainkan Farhah, abang takkan kahwin dengan Farhah. Tak sanggup abang nak pikul tanggungjawab dengan Farhah,” lembut suara Azrul di telinga Farhah. Rambutnya dibelai-belai lembut.

“Habis tu kenapa abang beza-bezakan lagi diri abang dengan Farhah?”

Sesaat Azrul membisu. “Abang tak ada niat pun nak membeza-bezakan. Memang masa tu abang penat, tapi dunia hari ni memang macam tu. Lagi tinggi darjat kita, lagi tinggi manusia agung-agungkan kita. Sejak abang kahwin dengan Farhah ni lah, abang perasan perhatian orang-orang kampung pada abang jadi baik sikit. Sebelum ni, pandang sebelah mata pun payah. Yalah, sampah masyarakat. Siapa yang berani dekat?”

“Abang bukan sampah, tahu!” tekan Farhah tiba-tiba. Sebak.

“Apa pulak taknya?”

“Kalau sampah, abang takkan kerah kudrat abang untuk sara keluarga. Abang takkan tolong anak dara orang sampai dia selamat balik pada keluarga dia.”

“Tapi orang tetap tuduh abang ni menyusahkan orang lain,” pintas Azrul tenang.

Farhah membisu. Kemudian dia bersuara dengan nada yang lebih kendur. “Tolonglah jangan fikirkan lagi kata-kata orang. Kita takkan mampu ke mana-mana selagi kita risau pada apa yang orang akan cakap tentang kita.”

Azrul tersenyum. “Sebab tu sampai sekarang ni abang tak ke mana-mana.”

“Tengok tu, ungkit lagi benda yang sama.”

“Tapi kenyataan dia memang macam tu.”

Tiba-tiba Farhah berpusing. Laju saja dada Azrul ditamparnya. “Lagi Farhah tak suka, lagi abang nak ungkit. Abang ni tak kesian langsung pada Farhah!”

Azrul senyap. Dalam kelam ruang bilik itu, wajah Farhah nampak benar-benar keruh. Terluka sangatkah?

Perlahan-lahan dia ukirkan senyuman, kemudian menggeleng kecil. “Sudahlah, Farhah. Jangan dilayan sangat perasaan tu.”

“Abang yang buat Farhah macam ni…”

Semakin lebar senyuman Azrul. Farhah memandang Azrul bila tiada suara yang kedengaran. Tapi Azrul terus tersenyum, membuatkan Farhah semakin terluka.

“Agaknya kalau satu hari nanti abang tak ada, siapa pulaklah yang Farhah nak marah-marah?”

Farhah senyap. Hatinya memberontak dengan Azrul yang tidak langsung cuba memahami perasannya. Satu demi satu patah kata yang diucapkan Azrul semakin membuatkannya jauh hati.

“Farhah tak boleh macam ni, tau. Farhah kena kuat.”

“Tengok tu, sengaja nak ubah-ubah topik. Abang memang sengaja kan, suka tengok Farhah susah hati.”

“Tak adalah… Abang cakap benda betul. Sampai bilalah sangat abang boleh ada dengan Farhah. Abah Farhah tu, langsung kita tak tahu apa ceritanya. Kita tak tahu takdir kita. Buatnya nanti abang terpaksa keluar ke mana-mana, Farhah kena tinggal sorang-sorang kat sini. Kalau Farhah tak kuatkan diri dari sekarang, susahlah nanti.” Satu demi satu diungkapkannya. Memang itu yang sebenarnya dia mahu bincangkan dengan Farhah.

Firdaus sudah mula bertanyakan jawapannya, sama ada sudah bersedia untuk menemani ke Jepun. Kalau ikutkan, Azrul memang mahu sebenarnya. Lebih-lebih lagi bila diberitahu yang dia bakal didedahkan lebih meluas tentang dunia pembinaan. Memang itu yang dia mahukan. Tapi bila melihat keadaan Farhah yang masih lemah begini, nampaknya terpaksalah dia tahan hasrat hati.

Farhah masih cengeng, masih emosi. Sengaja dia buka soal darjat pada Farhah untuk menguji. Ternyata tempoh empat bulan berumahtangga ini masih belum mampu membuatkan Farhah menjadi seorang yang lebih kuat. Lantas, apa lagi pilihan yang Azrul ada terhadap tawaran itu? Masakan dia tegar meninggalkan Farhah bersendirian terkapai-kapai di sini.

“Kenapa abang cakap macam tu?”

Pecah lamunannya, lantas dipandangnya Farhah. Terukir senyuman mesra di bibir. “Abang dah buktikan yang Farhah ni cengeng lagi. Baru kena usik sikit, dah marah-marah.”

Farhah terdiam.

“Kalau macam ni, memang abang takkan boleh ke mana-manalah jawabnya.”

“Abang nak pergi mana?”

Azrul senyap cuma. Ditatapnya wajah Farhah, penuh erti. Dia tahu, Farhah sedang menahan malu yang amat. Beria-ia Farhah beremosi, rupa-rupanya cuma diuji. Kemudian diisytihar gagal pula. Siapa yang tidak malu!

“Sudah-sudahlah tu, Farhah. Jangan nak sorok-sorok lagi diri sebenar Farhah dari abang. Allah akan buatkan abang tahu jugak, tak kira walau macam mana pun caranya.”

Farhah terdiam. Ingatkan, usahanya selama ini mengubah diri untuk kelihatan lebih tenang telah berhasil. Rupanya tidak juga.

“Kan dah banyak kali abang ingatkan, hati Farhah tu sebenarnya hati abang juga. Jadi abang boleh senang-senang je tahu apa yang ada dekat dalam tu.” Kata-kata itu membuatkan Farhah terus terdiam bersama wajah yang menghangat. Azrul tersenyum penuh erti. Dikucupnya dahi Farhah. “Tidurlah. Esok kita akan sibuk.”

0 861 komen:

Post a Comment

Assalamualaikum. Hai!
Terima kasih baca.
Cer komen sikit?

.

.