Thursday, 30 May 2013

Hati Yang Kau Sentuh Bab 20

“BIASALAH, musim cuti sekolah. Mujur Sabtu Ahad je pejabat cuti. Kalau tak, alamatnya tiap-tiap harilah kita makan lauk kenduri.” Sejurus mengucapkan, Mak Dah terus menuruni anak-anak tangga serambi. Pokok-pokok bunga di laman rumah mahu disiramnya.

“Huhu… kesian, kena tinggal kat rumah…” Adilla mengejek.

Azrul mendengus, malas melayan. Kaca televisyen terus ditatapnya walaupun hati di dalam sudah meronta-ronta kebosanan.

“Itulah. Masa Kak Farhah ada, tak habis-habis abang nak sakat sampai menangis-nangis akak abang kerjakan. Sekarang ni baru nak kempunan!” Meledak tawa Adilla sebaik Azrul memandangnya tajam.

“Dah melebih tu…”

“Lantaklah… Nanti Ila bawak balik ayam masak merah tu ek? Tapi bau dia je la.”

Azrul pantas mencapai bantal dan membaling Adilla. Pecah tawa Adilla seraya mengelak.

“Tunggu kau, Ila. Malam ni kau tidur kat luar.”

Adilla ketawa besar. Bila Azrul mahu mencapai bantal seterusnya, Adilla segera melarikan diri ke serambi bersama tawa yang masih bersisa. ‘Bukan selalu dapat buli dia. Selalunya dia buat muka tertelan cuka getah je. Sementara dah ada peluang ni, apa lagi, gunakanlah!’

Azrul yang bersandar di dinding papan itu akhirnya gagal menahan senyuman lantas menggeleng-geleng kecil. ‘Mengada-ngadalah kau Ila!’

Tiba-tiba pintu biliknya terkuak, spontan Azrul menoleh. Keluar Farhah yang sudah siap berbaju kurung dan bertudung labuh, serba hijau. Terserlah seri pada dirinya walaupun hanya bedak asas yang tertempek di wajah, membuatkan Azrul segera bersuara, “Farhah tak payah pergi.”

Kata-kata itu membuatkan Farhah menoleh, dan Adilla di serambi spontan menjerit tidak puas hati. “Alah, apa ni? Tak aci la!”

Azrul buat muka selamba. “Tiba-tiba aku rasa tak nak bagi dia pergi, lantak aku la.”

Adilla memuncung. “Sukati dia je nak kongkong-kongkong orang. Kesian Kak Farhah…” Wajah Farhah dipandang simpati. ‘Kenapalah Abang Azrul yang akak pilih. Kan tak pasal-pasal dah jadi kera sumbang! Kera sumbing, kera sumbung, kera macam-macam! Aduh… teruk ah!’ bentak hati. Tapi dia mencuba lagi. “Kan semua orang dah tahu yang akak ni Kak Farhah? Nak buat apa abang sorok dia lagi?”

“Biarlah. Boleh dia temankan aku kat rumah ni.” Selamba. Dia kembalikan pandangan pada kaca televisyen. Dia sememangnya tidak boleh ke mana-mana disebabkan luka-luka yang ada pada wajah dan tubuhnya. Mata, pipi, bibir, tengkuk dan perutnya… semuanya masih perit!

Adilla mencuka, semakin panjang muncungnya.

Azrul menoleh sekilas, kemudian tersenyum nipis. “Kak Farhah tu tak sihat.”

Berkerut dahi Adilla. Kakinya melangkah, masuk semula ke ruang tamu. “Apasal pulak tak sihat? Abang buat apa kat akak malam tadi?”

“Woi, bebel apa ni!” Azrul pantas memintas. Dahi Adilla masih berkerut tanda tidak faham. Dan memang Azrul tak mahu Adilla faham langsung! Biarlah kisah rumahtangganya yang baru bermula itu terbiar sebagai rahsia sampai bila-bila. Cukup dia dan Farhah saja yang tahu. Sungguh, setiap kali mengingatkan yang dia dan Farhah sama-sama telah memungkiri janji mereka sendiri, dia jadi malu. Lebih-lebih lagi bila dia menyedari erti pandangan Farhah padanya.

“Orang macam bapak dia tu, selagi tak dapat selagi tu nak. Kau boleh buat apa kalau tiba-tiba terserempak orang tu nanti?”

Adilla terdiam. Berkerut-kerut dahi. Tidak lama kemudian, perlahan-lahan gadis itu mengangguk faham. Dalam diam Azrul menghela nafas lega. ‘Fuh, selamat!’ Azrul kembali mengalih pandangannya ke kaca televisyen.

“Dah ke belum tu, Ila, Farhah? Kita dah lambat ni. Nak tolong diorang memasak lagi. Nanti tak sempat pulak!” laung Mak Dah dari laman rumah.

Adilla yang berdiri berdekatan pintu terus terkocoh-kocoh keluar ke beranda dan menuruni anak-anak tangga. Kasut tumit disarung. “Okey, okey.”

“Kak Farhah mana?”

Adilla mencemik. “Abang Azrul tak bagi ikut. Dia suruh Kak Farhah temankan dia kat rumah.” Adilla mendengus. “Huh, dia tu yang jealous tak dapat ikut, Kak Farhah pulak yang jadi mangsa. Orang nak bawak Kak Farhah sebab nak bagi akak tu release tension. Dia pulak yang sibuk-sibuk tak bagi.”

“Alah, biarlah orang tu laki bini. Kamu tu nanti bila dah sampai kat rumah orang, bawak-bawak menolong. Jangan tau nak mengacau pengantin bersolek je.”

“Hah, dengar tu! Jangan nak banyak berangan. Kang pisau ke mana, bawang ke mana. Sudahnya tangan tu yang luka. Baru padan muka!”

Adilla terdiam. Memuncung semula. Azrul dengan Mak Dah, sama saja. Dua-dua kuat membebel! Tak sporting langsung! Huh!

“Pergi dulu, Farhah.”

Farhah yang berdiri di serambi hanya menzahirkan anggukan sambil tersenyum. Pemergian Mak Dah dan Adilla dihantar dengan pandangan. Sesudah itu dia melangkah masuk. Ingatannya terimbau-imbau kejadian semalam. Dia trauma, takut untuk membiarkan pintu terbuka lagi. Lantas pintu utama dikuncinya dan sesudah itu dia masuk ke dalam bilik.

Sepanjang dia menyusun pakaian miliknya dan Azrul di atas rak, rumah itu lengang. Azrul terus berada di ruang tamu, dia pula berkurung di dalam bilik. Tidak tahu kenapa, dia tiba-tiba merasakan hari ini terlalu berlainan berbanding hari-hari sebelum ini. Hari ini, mahu pandang Azrul pun dia rasa malu. Azrul pula senyap memanjang, bagaikan baru pertama kali mereka berkenalan. Akhirnya mereka membawa haluan masing-masing.

Menjelang tengah hari, Farhah ke dapur untuk memasak. Tidak mengapa walaupun dia kurang mahir. Sekurang-kurangnya dia berusaha untuk menyediakan yang terbaik. Dalam keadaan Azrul yang masih cedera itu, boleh jadi emosi lelaki itu lebih mudah terusik dan memerlukan rehat yang lebih banyak. Farhah keberatan meminta bantuan daripada lelaki itu. ‘Eh… betul ke? Bukan sebab aku malu ke?’

“Masak apa?” bisik satu suara tiba-tiba. Hampir terlepas bekas berisi ikan dari tangannya. Dia pantas menoleh. Sebaik bertemu pandangan dengan Azrul yang berdiri benar-benar di belakangnya itu, dia mengeluh lega. Azrul tersenyum nakal. “Terkejut.”

Farhah membawa pandangannya pergi. Dia berpusing semula, menghadap kuali berisi minyak panas yang terjerang di atas dapur. Dimasukkan ikan. Sedikit meletup-letup minyak, dia berusaha agar tidak terlalu mempamer ‘kegedikannya’ saat itu. Yang sebenarnya, dia sendiri tidak tahu kenapa mesti dia serba-salah untuk bergerak saat ini. Ah, malu sangat!

Dia pura–pura sibuk. Kulit bawang besar dia kupas sebelum dihiris nipis-nipis.

“Nak masak apa ni, Farhah?” Soalan Azrul kedengaran lagi.

Pura-pura tenang, Farhah menjawab, “masak taucu ikan tu.”

“Kalau nak masak taucu, bukan macam tu cara potong bawang besar.”

Serta-merta tangan yang menghiris itu terhenti. “Macam mana?” Perlahan suara tanpa mengalih pandangan dari bawang di atas landas cincang.

“Bagi sini pisau tu.”

Farhah akur. Pisau bertukar tangan serentak dia berganjak sedikit. Diperhati cara Azrul. Tapi-tapi lama-kelamaan hati di dalam semakin tidak keruan. Sesak. Akhirnya dia bersegera meninggalkan tempat itu. ‘Aduhai… semuanya serba tak kena!’

Tapi tiba-tiba terhenti langkah bila tangannya diraih. Dia berpusing, menyoal dengan pandangan. Namun Azrul sudah tersenyum penuh erti. “Farhah malu dengan abang ke?”

Soalan itu membuatkan Farhah segera melarikan pandangan bersama wajah yang tidak semena-mena terasa berbahang. Hangat! Tidak sangka pula Azrul boleh membaca bahasa tubuhnya. Argh!!!

Azrul ketawa halus. Farhah dihampiri. Dirangkul pinggang isterinya itu. Dagu Farhah dicuit mesra. “Baru hari ni abang jumpa diri Farhah yang sebenar.” Lembut. Dahi dan pipi Farhah dikucupnya. “Selama ni Farhah cuba jadi orang lain untuk sorokkan rasa susah hati tu. Betul?”

Senyap. Farhah terus juga tunduk di hadapan Azrul. Azrul tersenyum sendiri. Dia faham benar maksud diam isterinya itu. Tapi dia masih mahu mengusik. “Baik jawab. Kalau tak abang cium lagi…”

“Nak jawab apa?” pintas Farhah tiba-tiba. Pecah terus tawa Azrul. Nampak sangat gugupnya Farhah!

“Tak ada apa pun sebenarnya.” Tika itu juga merah padam wajah Farhah. Azrul ketawa lagi, seronok dapat melihat Farhah malu begitu. “Jangan malu sangatlah, abang bukannya nak apa-apakan Farhah pun.”

Senyap. Azrul tersenyum cuma melihat Farhah terus tunduk begitu.

Puup! Tiba-tiba minyak dalam kuali meletup.

“Aduh!” Azrul memegang belakang tengkuknya. Farhah terkejut lantas memandang Azrul.

“Kenapa?”

“Terkena minyak…” Ada nada rungutan di situ.

Farhah diam. Azrul mengusap-usap belakang tengkuk. ‘Ya Allah…’ Sakit dichop semalam belum hilang lagi, dapat pula habuan baru. Pedih tengkuknya. ‘Tak sporting betullah kau ni ikan!’ Hatinya berdetik geram. Tapi bila dia pandang wajah Farhah, isterinya itu sudahpun tersenyum-senyum, hingga akhirnya ketawa kecil. “Kenapa gelak pulak ni?”

“Ikan tu jealous tengok abang peluk-peluk Farhah.”

Azrul mencuka. “Apa pulak? Isteri abang. Dahlah abang rugi sebulan dengan Farhah!”

Farhah terus tersenyum. Geli hati. Memang suaminya itu tidak pandai control macho! Dilihatnya Azrul masih mencuka, mencapai sudip untuk membalikkan ikan di dalam kuali.

Spontan Farhah memaut bahu Azrul sebelum hinggap satu kucupan di pipi, membuatkan Azrul terpanar lantas memandang Farhah tidak percaya. Farhah tersenyum manis seraya mengerdip dua matanya. Berderau darah Azrul. Farhah berlalu ke singki sesudah itu.

 

SETELAH beberapa hari mendapat pelepasan cuti daripada pihak hospital, hari Khamis itu Azrul berkerja semula seperti biasa. Firdaus kelihatan tenang saja, tapi sebaik tamat waktu berkerja, tiba-tiba dia dipanggil. Tertahan hasrat yang mahu segera pulang ke rumah.

“Saya belanja makan?” pelawa Firdaus mesra.

Azrul terdiam. Sudah mampu diagaknya, pasti akhirnya Firdaus mahu bertanya juga tentang kesan-kesam lebam yang masih jelas kelihatan di wajahnya itu. Sesaat dua, Azrul jadi serba-salah. Bukannya baru sehari dua dia kenal lelaki itu. Firdaus kalau menyoal, selagi tidak puas hati selagi itu akan dicungkilnya habis-habisan. Adakala perwatakan itu membuatkan para pekerja di situ takut-takut untuk mencuri tulang. Sebarang kesilapan, biasanya dengan mudah Firdaus dapat membongkarnya. Kadangkala tidak perlu langsung siasatan mendalam, cukup dengan perbualan saja dan Firdaus akan segera berjaya menjerat si pesalah.

Mengingatkan itu, Azrul jadi resah. Macam mana kalau Firdaus tahu tentang dirinya yang sudah lebih sebulan mendirikan rumahtangga itu? Bolehkah dia mengelak hingga akhirnya terjerat, atau dia sendiri yang perlu mengakuinya dengan mudah? Tapi bagaimana kalau Firdaus mempertikaikan tindakannya? Bolehkah Firdaus faham situasinya dan Farhah yang benar-benar tersepit dahulu?

Dia fikir, kalaulah sekarang dia masih tiada sebarang ikatan dengan Farhah, pasti dia masih lagi bermalam di rumah Haji Daud dan jarang pulang ke rumah lebih-lebih jika tiada Mak Dah. Jika itu berlaku, pasti dengan mudah saja Farhah dilarikan tempoh hari. Jika dia sempat tiba sebelum Farhah dibawa pergi pun, dia yakin dia takkan berupaya memujuk apatah lagi menenangkan Farhah disebabkan batas-batas yang ada antara mereka. Farhah berkemungkinan berdepan trauma hingga tidak mahu bertemu sesiapa. Tidakkah lebih teruk keadaan sebegitu?

“Hei, boleh tak ni Rul?” Serta-merta berderai lamunan, Azrul terpinga-pinga sesaat. Firdaus ketawa. “Jauh mengelamun?”

Azrul tersengih sumbing. “Rasanya kali ni tak bolehlah, encik. Badan saya sakit-sakit lagi ni.” Mungkin itulah alasan paling kukuh saat ini. Selama ini, Firdaus sangat mengambil berat soal kebajikan pekerja. Sakit teruk sedikit, terus diberi rehat atau disuruh ke klinik. Azrul bukan mahu mengambil kesempatan, tapi saat ini dia benar-benar tiada pilihan.

“Tak apa, sekejap je Rul. Lepas tu saya sendiri yang akan hantar awak, sampai ke tangga rumah lagi!” Sempat lagi Firdaus berseloroh.

“Habis tu macam mana dengan motor saya?”

“Alah, it’s not a big deal. Kita boleh minta tolong kawan awak hantarkan ke rumah. Bagi upah sikit, mesti okey punya. Boleh tak?”

Terdiam. Kesungguhan Firdaus cukup jelas terpamer. Azrul tersenyum tawar, mula berat untuk berkata tidak. “Erkkk…”

“Hah, saya tahu, saya tahu.” Laju saja Firdaus memintas.

“Apa dia?”

“Kalau erkkk… tu, tandanya awak nak ikut tapi segan. Betul tak?” Berbaur tawa di hujung kata. Azrul tersenyum sendiri. Memang dia betul-betul tewaslah kalau dengan Firdaus ini. Akhirnya, mahu tidak mahu, dia akur sajalah pada permintaan yang sebenarnya lebih kepada arahan itu.

 

BAGAI nak tersedak pun ada juga. Azrul pandang Firdaus yang tenang di hadapannya. Kesibukan di restoran itu tidak langsung menggugat hatinya yang serba-salah. “Dah lebih sebulan saya kahwin, encik. Takkan nak buat kenduri lagi kut?”

“Apa salahnya? Sebelum ni orang kampung tak tahu yang awak dah berpunya kan? Baik awak buat kenduri, sekurang-kurangnya tak adalah diorang tu terasa sangat.”

Azrul terdiam. Terzahir sengihan serba-salah di bibirnya. “Saya segan sebenarnya. Dulu kitorang kahwin pun sebab dah terpaksa sangat.”

“Tapi sekarang ni dah bertukar jadi rela kan?” pintas Firdaus laju, membuatkan wajah Azrul merah. Firdaus tersenyum. “Saya yakin sangat. Tengok cara awak sekarang ni pun dah boleh agak. Awak dengan isteri tak sengaja awak tu, masing-masing dah sama suka. Kan?”

Azrul terdiam. Akhirnya Firdaus tertawa, menggeleng-geleng. “Haihhh… kita ni semuanya sama ajelah. Kalau dah manusia tu, pergilah ceruk mana pun mesti fitrahnya itu jugak. Tak payah nak menyorok-nyorok dari sayalah,” ujarnya. “Apa, awak ingat kalau awak duduk rumah papan saya duduk rumah batu, Tuhan letak darjat kita berbeza-beza?”

Azrul senyap. Ada benarnya, tapi…

“Okey kalau awak rasa berat sangat, tak apa. Mungkin awak terbeban sebab kena buat kenduri segala. Tapi sebenarnya saya mintak ni sebab… kita ni kan kawan? Apa salahnya kalau saya nak raikan kawan saya yang baru mula ada teman hidup? Betul tak?”

Senyap juga.

“Sebenarnya saya tak nak menyusahkan awak pun, Rul. Orang tua saya yang beria-ia sangat nak sambut pengantin baru macam awak. Nak tunggu saya ni, entah bilalah agaknya.” Firdaus tertawa kecil. Sekeping sampul diletakkan di atas meja sebelum ditolak ke arah Azrul. “Ini ada duit sikit dari orang tua saya. Pandai-pandailah awak guna, asalkan walimah untuk awak dengan isteri awak tu ada.”

“Eh, bukan macam tu…” Resah hatinya. Takut pula kalau dia dianggap berkira hingga tidak sanggup mengeluarkan wang untuk majlis penting dan bermakna begitu. “Saya bukan nak minta duit…”

Nope! Anggap itu rezeki pengantin baru. Kalau awak nak buat majlis yang terlampau kecik pun takpe, asalkan ada. Duit tu kalau ada baki awak simpan. Okay?” Firdaus tersenyum, tapi ketegasannya jelas terpamer. Azrul terdiam serba-salah. Firdaus dipandang. Dia mahu menolak semula sampul itu, tapi bimbang Firdaus akan jadi lebih serius dengannya.

“Terima kasih.” Perlahan suara yang dilontar akhirnya.

 

TERBELIAK mata Adilla. “Fuih, dahsyatnya! Sepuluh ribu tu dia kata sikit? Kaya betul?” Seakan tidak percaya. “Eh, tapi yela… anak Dato' la katakan…”

Azrul tidak mempamer sebarang reaksi. “Macam mana? Kita nak buat tak kenduri tu?”

“Kalau tak buat, apa pulak kata Dato' dengan Datin tu nanti. Diorang tu baik dengan kita selama ni.” Kata-kata itu membuatkan Azrul diam. Memang keluarga Dato' Razali cukup baik. Tapi budi mereka terlalu banyak, takut tidak terbalas nanti.

“Farhah rasa, kalau kita nak buat… buat sederhana je. Tak payah pelamin atau set bilik tu semua. Cukup kalau kita pasang khemah, lepas tu buat rewang dengan doa sikit untuk bagitahu yang Azrul dengan Farhah pengantinnya. Okey tak, mak?”

Mak Dah memandang Farhah. Mekar senyuman di bibirnya. “Okey jugak tu. Kamu berdua pun mesti malu nak naik pelamin, ya tak?” Mak Dah ketawa sesudah itu, memerahpadamkan wajah Azrul dan Farhah. Masing-masing tersenyum segan. Mak Dah menggeleng-geleng penuh erti.

0 861 komen:

Post a Comment

Assalamualaikum. Hai!
Terima kasih baca.
Cer komen sikit?

.

.