Tuesday, 28 May 2013

Hati Yang Kau Sentuh Bab 18


ANTARA segan dan suka, Azrul terpaksa akur pada permintaan Firdaus yang meminta agar ditemani. Majikannya itu mahu bertemu pihak pembekal. Mulanya dia menolak, segan. Tapi bila kontraktor muda itu bersungguh mempelawa, akhirnya dia terpaksa bersetuju.

Lagipun tadi Firdaus beritahu, ada sesuatu yang mahu dibincangkan. Tidak pula mahu berbincang di tapak pembinaan itu, hal penting katanya. Azrul tertanya-tanya juga. Tapi tidak banyak soal. Rezekinya dapat naik kereta mewah, takkan mahu menolak? Azrul tersenyum dalam hati.

“Encik nak bincang apa tadi?” soalnya setelah agak lama kereta berada di atas jalan raya.

Firdaus yang sedang memandu bagaikan tersedar dari lamunan lantas menoleh, kemudian ketawa kecil. Barangkali malu dengan diri sendiri yang terlalu jauh dihanyut khayalan. “Oh, hal tu.” Dia berdehem kecil, tumpuan kembali pada pemanduan. “Tahun depan, insya-Allah saya akan ke Jepun. Melancong.”

Azrul senyap menanti.

“Awak nak ikut?”

Serta-merta Azrul ketawa, sebenarnya mahu melindungi rasa terkejut dalam hati. “Kenapa encik tanya macam tu?” Dalam diam, dia menjentik-jentik belakang tangan. Untuk memastikan yang dia tidak bermimpi!

“Sengaja saya tanya. Awakkan pekerja terbaik. Anggap pelawaan ni sebagai bonus.”

Azrul tersengih. “Saya mana pernah ke luar negara, encik. Keluar dari Perak ni pun rasanya mustahil.” Dia masih cuba memastikan yang Firdaus tidak tersalah orang.

Firdaus angguk. “Sebab tu saya ajak awak. Dekat sana nanti, boleh awak belajar banyak lagi tentang dunia contsruction ni. Saya tengok awak betul-betul berminat.”

“Minat je, encik. Dah memang kerja saya…” ‘Sama je semua kerja. Kalau aku penoreh pun, mesti aku minat pasal getah je!’

Firdaus sudah tersenyum sendiri. “Kalau awak risaukan masalah kewangan ke, pasport ke, apa ke… awak kena setuju jugak temankan saya ke sana. Sebab semuanya ditanggung.”

Kali ini Azrul terdiam. Dia sudah mula rasa, Firdaus serius dengan ajakan itu. Tapi dia tidak tahu apa yang patut dijawab. Lagi ditolak, lagi banyak alasannya dipatahkan.

“Kalau awak risaukan tentang siapa yang nak jaga keluarga awak pun… awak kena jugak setuju dengan saya. Sebab soal keluarga awak semuanya akan ditanggung jugak. Awak jangan risau. Saya dah fikir masak-masak sebelum buat keputusan mengajak awak ni, Rul.”

Itu dia! Maknanya sudah lamalah Firdaus berfikir-fikir untuk mempelawa ke Jepun? Tapi mahu buat apa? Dia bukannya tahu berbahasa selain bahasa melayu. Sudah sampai di sana nanti, apa yang mahu dicakapkannya? Lebih-lebih lagi di waktu kecemasan. Tambahan pula, dia biasa dengar rakyat Jepun sangat cintakan bahasa ibunda mereka. Bahasa Jepun. Lagilah masak. Kalau sudah bahasa inggeris yang dia belajar sejak tadika pun waktu SPM cuma setakat lulus, inikan pula bahasa yang tidak pernah langsung dia belajar itu!

“Kalau awak nak bagitahu saya yang awak tak faham bahasa inggeris, kali ini saya paling tak boleh terima.” Firdaus terus bersuara, bagaikan memaksa pula. Azrul pandang saja majikan yang berusia tiga tahun lebih tua dari dirinya itu. “Hari tu saya ternampak dari jauh, awak baca New Straits Times.”

Azrul terkedu tapi cepat-cepat melindungi di balik tawanya. “Encik salah orang tak ni? Saya ni BI waktu SPM cukup-cukup makan je.”

Firdaus jungkit bahu. “Cukup makan ke, tak cukup makan ke… Yang tu tak menjamin apa-apa. Jarak masa antara SPM dengan umur awak sekarang ni dekat-dekat sepuluh tahun. Kalau awak teruskan belajar, tak mustahil awak boleh mahir jugak.” Tenang. “Saya mula perasan sejak tahun lepas. Masa awak baru sudah mengecat. Awak lapik lantai dengan surat khabar. Mulanya saya ingat awak tengok apa pada surat khabar tu, sebab nampak awak fokus sangat berfikir. Bila awak dah pergi, saya tengok tempat tu. Dari situlah saya tahu.”

Azrul benar-benar kehilangan kata kali ini. Bertubi-tubi hatinya menyalahkan diri sendiri yang terlalu cuai. Sebenarnya, memang dia faham artikel dalam bahasa antarabangsa itu. Semenjak di giatmara lagi dia mempelajarinya perlahan-lahan. Itupun sebab dia benar-benar mahu melangsaikan rasa terkilannya atas kematian Ustazah Kamalia. Sebab itu dia bersungguh belajar hingga boleh membaca.

Tapi tidak terlintas langsung di benaknya untuk membiarkan sesiapa tahu berkenaan perkara yang satu itu. Dia cuma mahu menyimpan kebolehan itu untuk kepuasan sendiri, itu saja. Tidak sangka pula dia boleh terperangkap. Barangkali disebabkan sudah biasa dengan bahasa itu, dia jadi tidak sedar dengan kelakuannya sendiri yang membaca artikel tersebut. ‘Aduh… teruk ni!’ Malu pun ada!

Suara Firdaus yang ketawa panjang menyedarkan Azrul dari lamunan. Ketika itu kereta yang dipandu Firdaus sedang berhenti di lampu isyarat. Azrul menoleh pada lelaki itu. Firdaus perlahan-lahan mematikan tawa. “Kalau sekali dua, bolehlah saya katakan apa yang saya nampak tu mustahil. Tapi dah banyak kali tau awak buat benda yang sama. Takkan mata saya salah lagi kut…”

Perlahan-lahan Azrul telan liur yang kesat. Kelat! Dia cuba tersenyum, tapi tipis cuma yang terukir di bibir. “Setakat sikit-sikit bolehlah, encik…”

“Tak apa. Asalkan saya tahu, saya ada anak buah macam awak ni. Bagus untuk syarikat!” Firdaus ketawa. Bahu Azrul ditepuk. “Saya bagi awak masa. Balik ni, awak fikirkan betul-betul. Bila-bila nanti, saya tanya keputusan awak. Okey?”

Azrul tersenyum tipis. Hanya anggukan kecil terzahir darinya. “Insya-Allah…” Pasif. Bila Firdaus kembali memandang hadapan, Azrul berpaling ke arah lain. Entah kenapa, resah pula hatinya. Bukan dia tidak suka diberi tawaran begitu, tapi dia risaukan Farhah! Buatnya waktu itu masalah Farhah masih belum selesai, tidakkah mati dia mencari helah bila Firdaus menagih alasan! Firdaus pula memang sampai sekarang tidak tahu yang anak buahnya ini sudah beristeri. Jadi bila dapat tahu saja nanti, pastilah berdas-das pula soalan yang meluru keluar! Apa dia mahu jawab waktu itu?

‘Aduh, masalah!’

Tiba-tiba mata yang meliar itu tertancap pada kereta di sebelah. Berdetak kencang jantungnya, berkedip-kedip mata. Cuba dipastikan sama ada benar apa yang sedang dilihatnya. Tapi setiap kali dia celikkan mata semula, itu juga yang berada di hadapannya. Tanpa sedar dia mendengus.

“Kenapa?”

Azrul tersedar lantas menggeleng bersama tawa kecil. Firdaus hanya tersenyum sebelum menekan minyak. Dalam diam Azrul menghela nafas lega. Tidak pasal-pasal terperangkap pula dia.

Ini semua sebab Maya!

Mungkin Allah memang sengaja mahu menguji hatinya. Sama ada dia akan terus teguh dengan keputusannya atau tidak, selepas melihat adegan mesra tadi. Hampir terbeliak biji matanya melihat Haikal di kereta sebelah tadi mengucup Maya. Maya pula kelihatan merengek manja di dada Haikal yang berada di tempat memandu. Azrul benar-benar geram. Kelakuan tidak senonoh itu berlaku di hadapan matanya, di tempat awam, malah sehari sebelum pertunangan mereka pula! Walaupun dalam kereta, tapi Azrul masih boleh nampak!

‘Atau Allah memang sengaja nak aku berubah hati? Tinggalkan Maya, lepas tu teruskan hidup dengan Farhah…’ bisik hati. Tapi sesaat kemudian, ‘eh, apa aku merepek ni?’

Tanpa sedar, dia mengeluh lagi sambil menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Buntu! Firdaus yang menyedari perkara itu ketawa lagi. Tergeleng-geleng kepala dengan gelagat Azrul. “Awak ada masa lima bulan lebih, Rul. Jangan runsing-runsinglah, kawan…” Selamba.

Tapi Azrul terus membisu. Mujur Firdaus tidak faham punca kerunsingannya. Kalau tidak lagi rumit! Ohhh… cukup-cukuplah dengan segala kerumitan yang sudah sedia ada ini. Dia sudah tidak sanggup lagi.

 

LEWAT petang itu barulah dia memunculkan dirinya di rumah kampung itu. Farhah yang sedang menjahit segera berhenti lantas mendapatkannya. Beg berisi tupperware dari tangannya diambil. “Lambat balik hari ni?” Mesra.

Dia tidak mempamer sebarang reaksi. Entah kenapa, terlebih baik pula Farhah hari ini. Selalunya, tidak pernah gadis itu mengambil beg dari tangannya. Dia yang menyimpan sendiri begnya dan mengeluarkan tupperware. ‘Ini mesti ada apa-apa. Entah-entah dia nak bodek!’

“Tengok tu. Orang tanya, dia boleh buat derk je. Awak ni memanglah.”

Dia pandang Farhah yang kelihatan ceria itu. ‘Apa kena pelik sangat dengan dia ni?’ “Awak tanya apa tadi?”

Tidak semena-mena wajah Farhah berubah. Mencuka! Farhah terus pergi dari situ, menghilang ke dapur bersama beg. Mati kutu Azrul dibuatnya. ‘Aku buat salah apa?’ Tapi dia enggan melayan. Kepala sudah runsing, badan sudah penat. Dia mahu rehat! Terus dia menuju ke bilik.

Sewaktu dia menghala ke bilik mandi, dia lihat Farhah sedang mencuci tupperware miliknya tadi di sink. Senyap saja. Entah kenapa, Farhah kelihatan seakan merajuk. ‘Ah, dia ni nak merajuk? Dunia nak kiamatlah tandanya tu!’

Selesai mandi, dia keluar semula dari rumah itu tanpa memaklumkan pada sesiapa. Dia terus menuju ke rumah Haji Daud. Mahu meredakan ketegangan dalam kepala otaknya. Dia sendiri tidak tahu, kenapa semakin lama semakin runsing dia setiap kali memikirkan Maya. Hinggakan ada waktu dia rasa berbolak-balik dengan hati sendiri.

Benarkah keputusannya mengambil Maya sebagai teman hidup? Tegarkah dia menerima seorang gadis yang entah-entah sudah ditebuk? Sejahat-jahat dia dulu pun, tidak pernah dia bertindak seteruk itu.

Maya memang tidak membantah apa-apa selepas kejadian tempoh hari. Tapi Azrul tahu, Maya keras kepala. Ego. Mana mungkin Maya semudah itu akur pada apa yang dibenci. Pasti ada saja jalan yang dicari untuk menyelamatkan diri.

Entah-entah apa yang dia lihat pagi tadi itu merupakan salah satu rancangan Maya. Mungkin Maya menyedari kehadirannya dalam kereta Firdaus. Lantas beraksi mesra untuk menimbulkan benci dalam hatinya. Begitu?

Haihhh… semakin buntu benaknya! Akhirnya dia pulang ke rumah sewaktu jam menghampiri sepuluh malam. Ketika itu, Mak Dah dan Adilla sedang sibuk menguruskan persiapan untuk majlis pertunangan esok hari. Walaupun kecil-kecilan saja dan hanya dihadiri jiran sebelah rumah, tapi Azrul lihat Mak Dah seakan-akan bersungguh mahukan kesempurnaan majlis itu nanti. Mak Dah tidak tahu yang hati anak terunanya itu sedang berperang hebat.

“Kamu tak keluar ke mana-mana ke esok, Rul?” Soalan Mak Dah memecah lamunan. Azrul pandang wanita itu, menggeleng kecil sebelum memandang semula kaca televisyen. Entah siaran apa, dia tidak tahu. Perhatiannya lebih tertumpu pada fikiran yang sedang kusut.

“Kalau macam tu, mak nak mintak tolong Rul pergi rumah Haji Daud tu. Tanya dia pasal Rul dengan Farhah.”

Bila Mak Dah sebut saja nama Farhah, baru perhatian Azrul tertarik lantas memandang semula wanita itu. “Kenapa dengan kitorang?”

“Tak adalah… Kadang-kadang mak terfikir jugak. Sampai bila kita nak rahsiakan semua ni? Kamu dengan Maya tu dah nak kahwin. Buatnya nanti Maya dapat tahu pasal kamu dengan Farhah ni dari mulut orang lain, tak ke naya kita? Maya tu jangan dibuat main.”

Azrul terdiam bila memikirkan benarnya kata-kata Mak Dah. Sudah... bertambah lagi satu masalah. Makin sakit kepalanya! “Tengoklah esok macam mana.” Itu saja yang mampu dia jawab. Sebenarnya dia sudah malas untuk ambil tahu lagi satu demi satu perkara yang menyesakkan dadanya itu. Masalah yang ada pun masih belum selesai, timbul pula masalah baru. Lama-lama nanti, boleh hilang ingatannya dibuat stress.

Untuk melindungi isi hatinya, dia berbual-bual dengan Mak Dah dan Adilla. Mesra. Adakalanya mereka ketawa. Azrul enggan membiarkan hatinya mengingati apa yang dilihatnya siang tadi. Tak kisahlah walau apapun yang berlaku, kalau boleh, dia tetap mahu menyelamatkan Maya daripada permainan Haikal. Pengakuan Haikal tempoh hari saja sudah membuatkan hati lelakinya bergoncang. Inikan pula dengan perbuatan mereka. Nampak sangat yang Haikal cuma mahukan madu daripada Maya.

Dia tidak fikir akan ada lelaki lain yang sudi memperisterikan Maya, apatah lagi jika dia berimpian mencarikan lelaki ‘soleh’ untuk sepupunya itu. Dia yakin sungguh! Lantas, dia sajalah yang tinggal kini untuk menyelamatkan gadis itu.

“Kak Farhah, esok akak ikut kitorang tak?”

Azrul terus tersedar sebaik mendengar soalan itu. Baru dia sedari kehadiran Farhah di antara mereka. Dia segera memandang gadis itu yang duduk menjahit di hujung ruang tamu. Bagaikan membawa diri saja. Merajuk lagikah?

Farhah tersenyum lembut pada Adilla bersama-sama gelengan. “Tak kut. Akak rasa macam tak sesuai pulak…”

“Farhah duduk rumah ajelah,” pintas Azrul segera.

Farhah menoleh sebelum tersenyum lagi. Adilla kembali dipandangnya. “Abang Azrul pun tak bagi tu. Lagipun akak nak sudahkan jahit baju ni. Kalau cepat siap, boleh akak sambung jahit baju yang lain.”

Adilla nampak hampa. Ingatkan, esok dia boleh perkenalkan Farhah sebagai kawan baiknya pada ibunya, Mak Uteh. Dalam masa yang sama dia mahu menyindir Maya yang sombong lagi angkuh itu. Tapi nampaknya harapannya bakal hancur.

Perbualan seterusnya berlangsung lagi. Azrul membantu Mak Dah mengemaskan dulang-dulang hantaran untuk esok. Ada waktu mereka ketawa bila Adilla mengusik. Azrul pula melayan. Akhirnya gamat satu rumah dengan tawa mereka. Meriah, bagaikan tidak sabar menanti esok.

Dalam pada itu, Farhah terus bersendirian di hujung ruang tamu. Matanya sesekali tertancap pada kaca televisyen, tapi hati dan perasaannya melayang entah ke mana. Azrul yang dalam diam memerhati pun tidak tahu apa yang tidak kena dengan gadis itu.

Menghampiri jam dua belas malam, mereka bersurai ke bilik masing-masing kecuali Farhah. Terus juga memberi tumpuan pada jahitannya. Bila Adilla menasihatkan agar tidur awal, Farhah tersengih cuma. “Dah siap ni nanti baru akak tidur.”

Azrul hanya senyap melihat kelainan Farhah. Lama dia menanti di bilik. Hatinya berdebar tanpa dia tahu puncanya. Mungkin disebabkan esok dia akan menerima status baru-tunangan orang. Disebabkan keluh-kesah yang tidak henti-henti itu, dia gagal melelapkan mata. Akhirnya dia ambil keputusan untuk menunggu Farhah masuk ke bilik. Mungkin benar, Farhah merajuk dengannya.

Dia tersenyum sendiri. Bagaikan kelakar pula. Seumur hidupnya, Farhah tidak pernah mahu merajuk dengannya. Tapi hari ini? Betulkah merajuk? Atau dia saja yang terasa begitu?

Dia pandang jam dinding. Sudah hampir sejam dia menanti. Bosan begitu, akhirnya dia bangkit. Sebaik saja dia keluar dari ruang bilik, dia lihat Farhah sedang menggosok pakaian Mak Dah dan Adilla untuk dipakai esok. Terlalu khusyuk, hingga tidak sedar kehadirannya di situ. Bila dia menghampiri dan duduk di dinding hadapan Farhah, baru gadis itu mengangkat kepala. Bagaikan baru tersedar dari lamunan saja lagaknya. Farhah segera mengukir senyuman.

“Awak nak saya buatkan air ke?” Biasanya Azrul mengangguk. Lantas tanpa menanti, Farhah segera berlalu dari situ.

“Tak payah.”

Terhenti langkah Farhah lalu menoleh. Ada kerutan pada dahi gadis itu walaupun bibirnya masih mengukir senyuman. “Kenapa?”

“Saya tunggu awak siapkan kerja. Cepatlah, lepas tu boleh tidur.”

 

“AWAK tak suka saya bertunang ke?” soal Azrul setelah agak lama suasana malam diselubungi kesunyian.

Tapi tiba-tiba Farhah ketawa. Terhenti terus kerjanya menggosok baju. “Nak suka ke tak, bukannya hak sayalah. Awak tanya soalan pelik ni kenapa?”

Azrul tidak menjawab kata-kata tu, sebaliknya membuka soalan baru. “Awak ada nak bagitau apa-apa pada saya?”

Farhah cuma menggeleng sambil tersenyum sendiri. “Kalau saya nak bagitau, dari siang tadi lagi saya dah buat. Tak payah tunggu awak tanya.”

“Kenapa saya rasa awak macam lain sikit malam ni, Farhah?”

“Itu tandanya awak kena buat cermin mata. Sebab awak dah rabun!” Farhah tergelak. Tapi Azrul tetap tenang. Farhah menambah, “awak yang pelik sebenarnyalah… Saya okey je. Mungkin sebab esok awak akan jadi tunang orang, sebab tu awak berdebar sekarang ni.”

Azrul terdiam akhirnya. Rupa-rupanya Farhah masih tidak tahu yang pertunangan itu cuma atas dasar terpaksa, bukan suka sama suka. Hati Azrul merintih. Kalaulah masih berpeluang untuk menukar keputusan, dia takkan benarkan Mak Dah ke rumah Maya esok.

“Awak penat kut tu, sebab tu awak nampak saya lain. Padahal yang lain tu sebenarnya awak.” Farhah menambah sambil menyangkut baju kurung Adilla. “Baik awak tidur, dah jauh malam ni. Esok kalau terlepas subuh, saya tak tahu.” Farhah tergelak kecil. ‘Aku takpe… tidur lambat macam mana pun, tiap-tiap hari ada orang kejut aku.’ Hatinya nakal berbisik. ‘Habis kalau dah dia pun tidur lambat, tak ke dua-dua terlajak nanti?’ Hatinya tertawa. ‘Kalau dia ada, tak apalah jugak. Aku ni kan jenis yang tidur mati? Letak bom kat sebelah pun tak sedar-sedar jugak!’ Hati tertawa lagi, hingga terzahir senyuman di bibirnya.

“Awak tak percayakan saya lagi ke? Rahsia apa lagi yang saya belum tahu ni?”

Berderai terus lamunan Farhah. Bila dia angkat anak mata, pandangan tajam Azrul sudah tersedia menatapnya. Berderau darahnya. “Awak tu kan penat. Baik awak pergi tidur. Kalau tak nanti makin merepek soalan awak.” Mesra, pura-pura tenang.

Azrul mendengus akhirnya. Mungkin Farhah sudah terbiasa menanggung segalanya sendirian. Lantas Azrul bingkas dan masuk ke dalam bilik. Biarlah, jika Farhah masih belum mahu berkongsi dengannya. Dia mahu terus menanti dan bila tiba waktunya dia akan berusaha membantu, kerana memang itu tujuan asal perkahwinan mereka.

Berbaring atas tilam bersebelahan katil, Azrul terkebil-kebil memandang atap zink yang kelam. Agak lama dia begitu. Sedar tidak sedar waktu sudah berganjak ke jam tiga. Tapi Farhah masih juga tidak menunjukkan sebarang tanda untuk masuk tidur. ‘Kenapa? Aku ada buat salah ke?’ Setahunya, Farhah tidak pernah bersikap begitu. Selama ini Farhah sering tidur awal. Paling lewat pun jam dua belas. Perubahan ini membuatkan Azrul rasa berdebar. Digosok-gosok dada yang sesak. Entah kenapa tiba-tiba dia rasa tidak sedap hati.

Akhirnya dia bingkas, daun pintu ditarik dan dia menapak keluar. Automatik terhenti langkahnya sebaik terpandang sekujur tubuh Farhah yang tidur dalam keadaan duduk di sebelah mesin jahit. Azrul mengeluh berat, benar-benar dia tidak mampu faham fikiran Farhah. Dia cuba mengambil berat tapi setiap kali bertanya, Farhah mengelat. Lantas apalagi yang mampu dia lakukan?

Dia menggeleng-geleng kecil lalu menghampiri Farhah. Di hadapan gadis itu, dia bertinggung. Tika itulah dia tersedar kesan air mata di pipi Farhah. Dia semakin keliru. Lantas dia sentuh bahu Farhah. Digoyang-goyangkan perlahan. “Farhah.” Sepatah. Tiada respons. Dia menggoyang-goyangkan lagi, kali ini lebih kuat. “Hei, Farhah. Bangunlah.”

Farhah bergerak sedikit. Tidak lama kemudian matanya tercelik, memandang Azrul bagaikan tidak faham. Azrul berundur setapak. “Masuk biliklah. Kenapa tidur kat sini?”

Farhah senyap, mengangguk perlahan. Azrul bangun dan melangkah ke bilik. Tapi bila menoleh, terhenti semula langkahnya. Farhah bukannya bangun, bahkan sudah tidur berbaring berhampiran dinding. Tangannya melapik kepala. Azrul mengeluh perlahan. Farhah dihampiri semula, dan dia bertinggung kembali. Kali ini dia tepuk-tepuk perlahan tangan gadis itu. “Farh…”

Terbantut sebaik tangannya digenggam sebelum ditarik gadis itu bahkan dijadikan bantal. Farhah lena semula. Hanya dengkuran halus kedengaran, tanda terlalu penat. Berderau darah Azrul, tidak tentu arah perasaannya. Dia cuba tarik tangannya, tapi telapak tangannya sudahpun kemas ditindih. Agak berat kepala Farhah yang berbaring di atasnya. Dia terdiam. Hati di dalam semakin tidak keruan. Dia duduk di lantai.

Matanya tidak mampu dilarikan dari menatap wajah gadis itu. Wajah itu terlalu menarik hatinya. Bergelora perasaannya. Dia telan liur. Tanpa berdaya menahan hati, tangan kirinya menyeka rambut yang menutupi wajah Farhah, lembut. Kemudian dia elus pipi itu. Debaran di dada tidak kunjung padam, malah bertambah kencang. ‘Kenapa buat saya macam ni, Farhah…’

Dia pejam matanya. Dikuatkan hati, lalu melepaskan keluhan berat. Dia goncang bahu Farhah. “Hei, Farhah bangunlah.” Keras sedikit nadanya. “Bangun, Farhah. Kalau tak saya angkat awak masuk bilik.”

Senyap. Azrul terus berusaha mengawal hati yang semakin tidak tentu arahnya.

“Farhah!” Kuat sedikit nadanya. Gadis itu tersedar, bagaikan terkejut lalu bangun. Terpisat-pisat. Kesian pula Azrul melihatnya namun tidak dilayan rasa itu.

“Ada apa ni? Awak nak apa-apa ke?” Lemah nada yang kedengaran.

“Nak apa, apa? Pergi masuk biliklah. Tidur atas lantai ni nanti sakit badan!”

Farhah senyap. Azrul menanti sehingga Farhah bangun dari situ. Diekori langkah Farhah ke bilik. Masuk saja, Farhah terus rebah di atas tilam bersebelahan katil. Azrul tersentak. “Tidur ataslah, kenapa tidur kat situ pulak? Itukan tempat saya!”

Farhah merengek halus dengan mata yang terpejam. “Farhah tak laratlah, bang…” Sayup-sayup.

Azrul terdiam. Farhah terus terlelap di situ. Azrul hanya mampu melepaskan keluhan. ‘Mamailah tu,’ detik hati. Dia hampiri Farhah. Diselimutkan gadis itu, sebelum dia sendiri berbaring di atas katil. Sesekali, dia kerling Farhah yang berada di bawah. Dia masih belum mampu melelapkan mata. Akhirnya dia tatap wajah gadis itu. Lama. Damai hatinya. Mungkin disebabkan itu isterinya, jadi dia berasa begitu. Kerana Haji Daud seringkali menasihatinya, tataplah wajah isteri untuk beroleh cinta dan rahmat Allah.

Tanpa sedar, bibirnya mengukir senyuman. Senakal-nakal Farhah yang dituduh cengeng dan mengada-ngada itu, damai juga hatinya dengan gadis itu. Hingga kini, dia tidak pasti. Apakah dia menyakat Farhah selama ini disebabkan sifat semulajadinya, atau dia sebenarnya mahu rapat dengan gadis itu. Ah… akhir-akhir ini perasaannya seringkali merepek!

Akhirnya dia terlena dengan sendirinya.

0 861 komen:

Post a Comment

Assalamualaikum. Hai!
Terima kasih baca.
Cer komen sikit?

.

.