Sunday, 26 May 2013

Hati Yang Kau Sentuh Bab 17


SEDAR tidak sedar, sudah tiga minggu usia rumahtangga mereka. Dalam tempoh itu, Azrul dan Farhah benar-benar seperti sahabat. Buat kerja rumah bersama, ke kebun di belakang rumah bersama, bahkan bila tiba waktu Farhah ‘menggedik’, mahu ke jamban pada waktu tengah malam pun minta ditemani Azrul.

Pernah satu malam, Farhah sakit perut. Jenuh mengejut, Azrul tidak juga mahu bangun. Farhah semakin tidak tahan. Tubuh Azrul yang sedang lena di sebelah katil digoncang-goncangnya. Tapi Azrul terus tidak peduli disebabkan penat dengan kerja di tapak pembinaan.

 Bila Azrul merayu Farhah memahami kepenatannya, akhirnya Farhah terdiam. Liur ditelan. Pahit! Dia takut sebenarnya untuk ke jamban dalam waktu-waktu begitu, kerana pondok kecil itu terletak di luar rumah. Tapi, mahu tidak mahu, Farhah terpaksa juga pergi sendirian.

Sewaktu dia menahan ketakutan di dalam pondok kecil itu, tiba-tiba pintu kedengaran seakan-akan dicakar. Farhah tersentak. Menggigil tubuhnya ketakutan, tapi dia tidak tahu untuk berbuat apa. Lama-kelamaan, cakaran itu semakin mengganas. Mahu pengsan rasanya dia. Akhirnya sebaik saja selesai, Farhah terus keluar dari situ. Tapi terhenti langkahnya sebaik terpandang Azrul di hadapannya. Lelaki itu memandangnya bagaikan sedang menahan tawa.

Farhah apa lagi. Meletup kemarahannya di situ juga. Azrul dimarahi, tetapi lelaki itu hanya ketawa sambil menapak selamba ke dalam rumah. Tidak tahan dipermainkan, Farhah mengamuk. Langkah Azrul diekori hingga ke bilik bersama bebelan yang tidak putus-putus. Umpama peluru berpandu.

Namun Azrul sekadar buat bodoh di birai katil. Farhah semakin geram. Dipukul-pukul Azrul sekuat hati, hilang sabar. Baru Azrul berganjak dari katil, tetapi Farhah tidak juga berhenti malah semakin agresif menyerang dan menumbuk-numbuk Azrul. Farhah bagaikan histeria, membuatkan Azrul mula resah. Cuba ditenangkan Farhah namun tidak berjaya.

Akhirnya Mak Dah terpaksa campur tangan setelah mendengar kekecohan yang membuatkannya bimbang. Bila bersungguh-sungguh dia peluk sambil mengingatkan Allah pada Farhah, barulah gadis itu mengalah dan akhirnya menangis dalam pelukannya. Teresak-esak bagaikan sudah tidak tahan lagi dengan sikap Azrul. Mak Dah pujuk Farhah, sementara Azrul kelihatan serba-salah di penjuru bilik. Setelah reda tangisan Farhah dan tidur semula, Mak Dah ‘basuh’ pula Azrul. Azrul terlalu berkasar, katanya. Bergurau tidak kena tempat.

Azrul senyap. Mak Dah hanya mampu menggeleng-geleng kesal. Sejak itu, jarang dia lihat Azrul berbual dengan Farhah. Tapi lama-kelamaan, Azrul menyakat semula. Memang dasar pembuli! Tapi kali ini, Azrul kelihatan lembut sedikit berbanding dahulu. Mak Dah lega kerana sekurang-kurangnya Azrul menurut kata.

Farhah pula, semenjak peristiwa itu dia enggan berbual lagi dengan Azrul. Ada waktu terasa menyesal pula kerana bergelar isteri pada si pembuli. Tapi apakan daya, dia sendiri yang merayu dinikahi. Terpaksalah dia tanggung segalanya. Lebih kurang seminggu juga dia mogok suara di hadapan Azrul, hinggalah akhirnya Azrul datang padanya untuk meminta maaf. Farhah kaku. Jenuh juga Azrul memujuk sebelum akhirnya Farhah sudi memaafkan. Tapi bersyarat! Azrul perlu melutut di hadapannya.

Azrul telan liur waktu itu. Gila! Dalam hidupnya, tidak pernah sekali pun dia buat perkara itu. Farhah sudah melebih. Tapi bila Farhah mengugut mahu meneruskan mogok, mahu tidak mahu terpaksa jugalah Azrul akur. Lantas dengan wajah yang merah padam dan kelat, dia melutut di hadapan Farhah. Meminta maaf bagaikan orang bodoh saja baginya. Dia anggap, Farhah terlalu kuat berangan. Tapi salahnya juga. Kalau dia tidak melampaui batas, tidak akan jadi begini. Apa boleh buat…

Sejak itu, pulihlah sedikit hubungan mereka. Mereka rapat semula. Ada waktu, Azrul membantu memberi tunjuk ajar pada Farhah tentang cara memasak. Ada waktu, Farhah menyuruh Azrul pula yang memasak disebabkan tidak tahan mendengar bebelan lelaki itu. Azrul tidak sudah-sudah menyakatnya! Ada saja yang tidak kena. Kadang-kadang dia malas mahu melayan. Tapi bila tiba waktu Azrul serius, dia pula yang tidak keruan. Senyap-sunyi dunianya bila satu hari tidak mendengar suara lelaki itu.

Akhirnya mahu tidak mahu, terpaksalah dia mengalah bila Azrul membulinya. Maklumlah, sifat membuli sudah terlalu sebati dalam diri lelaki itu. Apa boleh dia buat lagi, sudah memang jodohnya dengan si pembuli. Sabar sajalah…

 

PAGI Sabtu itu, Mak Dah dan Adilla tiada di rumah kerana menghadiri jemputan perkahwinan. Azrul ditugaskan untuk menjaga Farhah. Azrul yang menerima arahan itu sekadar tersenyum sinis. Farhah yang sedang menjahit segera mengangkat pandangan lalu menunjukkan penumbuknya yang kecil bila Azrul menuduhnya budak lembik. Azrul menjeling sinis, tanda ada pembulian yang sedang dirancangnya. Farhah mencebik, kononnya menyampah. Kemudian dia menjahit semula sehinggalah Mak Dah dan Adilla beransur ke kenduri.

“Hari ni awak masak.”

“Haaa???” Terkejut besar Farhah, bahkan tercucuk sedikit jarum ke jarinya. Dia segera meniup-niup jari yang pedih. ‘Fuh… mujur tak luka.’

Azrul tersenyum sebelah bibir, sinis. Dia sudah mengagak, pasti itu reaksi Farhah. Farhah bukannya tahu memasak. Masih kaku dalam hal yang satu itu. Tapi kalau gadis itu tidak menyediakan makanan untuknya, takkan dia mahu beli di luar? Atau tunggu kalau-kalau Mak Dah bawa pulang lauk-pauk dari rumah kenduri? Oh, sangat tak waras namanya tu.

“Masaklah. Habis tu saya nak makan apa kalau tak ada makanan?”

“Awakkan tahu masak?”

“Saya nak awak yang masak.”

Farhah mencuka. “Awak ni sengaja kan…” ‘Mentang-mentanglah aku ni kayu, sesuka hati je dia nak buli. Karang kalau tak sedap, barulah dia bebel macam-macam! Serupa mak nenek!’

“Alah, masak ajelah. Untuk kita berdua je. Bukan suruh pergi masak untuk kenduri.”

Makan hati saja Farhah mendengarnya. Mahu tidak mahu, dia terpaksa patuh. Tapi dia minta Azrul membantu kerana dia benar-benar tiada keberanian. Mulanya Azrul buat tidak tahu, tapi bila dia hampir merayu, barulah lelaki itu akur. Itupun sempat lagi lelaki itu membebel. Farhah tidak peduli. Asalkan siap juadah untuk mereka hadap hari itu, sudah memadai. Takkan dia mahu suruh membeli lauk di luar pula. Sepanjang berada di rumah itu, rasanya tidak pernah dia lihat Azrul bermurah hati membelanja mereka makan di luar. ‘Huh, kedekut!’

“Apa awak cakap?”

“Ha?” Farhah tersedar, terkebil-kebil memandang wajah Azrul yang sudah mula serius. ‘Aku ada kata apa-apa ke?’

“Malas punya pasal, awak tuduh saya kedekut?”

Farhah terdiam. Telan liur. Macam mana pula Azrul boleh dengar apa yang hatinya katakan? ‘Isy, peliklah dia ni!’

“Nah, goreng ikan ni.”

Farhah termenung memandang ikan keli yang sudah bersalut serbuk kunyit dan garam di hadapannya. Dia telan liur lagi. Dia memang lemah bab-bab menggoreng. Takut terkena minyak panas.

“Tunggu apa lagi?” Azrul bagaikan sengaja menyindir. Farhah rasa diperlekeh. Akhirnya dia capai seekor ikan sebelum dimasukkan ke dalam kuali yang berisi minyak panas. Bila minyak mula meletup-letup, dia terjerit kecil lantas menjauh daripada kuali. Ikan seterusnya dia sekadar masukkan dengan hujung jari sementara dia terbongkok-bongkok. Takut tidak sempat mengelak minyak.

Azrul ketawa mengejek. “Anak dara apa macam ni, masak pun tak reti.”

Farhah mencebik, membalas ejekan. Azrul tersenyum sinis, kemudian berlalu ke peti sejuk. Seplastik bendi dia keluarkan dan diletakkan di hadapan Farhah. “Basuh dulu benda alah ni, lepas tu baru siang. Lepas tu masak.”

“Amboi, senangnya?”

Terhenti langkah Azrul yang menuju ke ruang tamu. Tajam anak matanya memandang Farhah, lalu dihampiri semula gadis itu. “Awak cakap apa?”

Farhah enggan mengalah. Renungan Azrul dibalas tajam. “Tolonglah saya. Jangan pandai arah je.”

Azrul mendengus sinis. “Awak tu perempuan. Kalau ikutkan, banyak lagi tanggungjawab awak pada saya yang belum tertunai. Kira saya ni baik jugaklah sebab banyak bertolak ansur.”

“Awak ni berkira sangatlah…” Farhah berpaling. Bosan berdebat dengan lelaki itu. Pasti dia saja yang akan kalah. Ergh, geram!

Bila Azrul menghilang ke ruang tamu, Farhah mencapai plastik bendi. Dengan rasa geram, dia masukkan bendi-bendi itu ke dalam bekas. Dicuci dan kemudian dipotong-potong. Masih belum terbalas lagi sebenarnya dendam pada lelaki itu. Untuk teruskan memasak pun dia sudah mula tiada mood. Akhirnya dia memotong bendi sekadar untuk melepaskan geram.

Tiba-tiba bendi tergolek. Tidak semena-mena jarinya terpotong!

 

“AZRUL!!!” panggilnya cemas sambil terkocoh-kocoh menghala ke ruang tamu. “Azrul!” panggilnya lagi bila tiada yang menyahut laungannya. Darah sudah mula menitik ke lantai rumah. Dia semakin hilang arah.

Muncul Azrul di muka pintu utama. “Kenapa?”

“Terkena pisau…” Dia tunjukkan tangan kirinya yang sudah bersalut cecair merah.

Azrul senyap. Berdecit dan mengeluh lemah. “Panggil orang macam rumah terbakar je.”

“Cepatlah, saya sakit dah ni!”

“Hei… yalah, yalah!” Akhirnya Azrul menapak ke bilik. Farhah mengikut. Plaster luka yang dihulurkan Azrul disambutnya. Dibalut terus jari telunjuknya. Berkali-kali dia telan liur yang pahit. Mual tekak melihat darah yang masih galak mengalir. Tapi masakan dia mahu tunjukkan rasa takutnya di hadapan lelaki itu. Pasti dia balik yang akan diperlekehkan.

Dia melangkah semula ke dapur, mahu menyambung kerja yang terbengkalai. Tapi sewaktu anak mata tertancap pada jari, berdetak kencang jantungnya. Plaster luka tadi tidak mampu menampung darahnya, bahkan lantai rumah juga sudah mula diwarnai titik-titik cecair merah. Dia bergegas semula ke ruang tamu. Mujur Azrul baru keluar dari bilik. Cepat-cepat dia tahan lelaki itu, hingga kehairanan jelas terpancar di wajah. “Apasal lagi ni?”

“Darah terlampau banyak ni…” Hati yang benar-benar kalut tidak mampu dilindungi. Dihulur tangan kanannya pada Azrul, meminta simpati. Azrul capai tangannya. Dibelek sesaat, sebelum menariknya semula ke dalam bilik. Azrul menghilang selepas itu dan kembali semula bersama kotak first aid. Pelik juga Farhah. Dalam rumah kampung ini ada perkakas keselamatan juga rupa-rupanya.

“Duduk.” Ringkas nada Azrul mengarah sambil dirinya sendiri duduk di birai katil. Farhah akur dan duduk menghadap Azrul. Hanya diperhatikan ketika Azrul membersihkan luka di jarinya. Lega sedikit hatinya. Setidak-tidaknya, peluang untuk melihat darah itu berhenti akan tercapai. Dia tidak mahu ke hospital!

“Awak ni cengeng tak habis-habislah.” Azrul memecah kesunyian. “Lukanya tak sebesar mana pun. Kecoh je lebih.”

“Tak besar awak kata? Darah dah meleleh kut ni!”

Azrul mencebik. “Saya pernah kena lebih teruk dari awak ni. Tak ada pun kecoh.” Tenang sambil terus mencuci jari Farhah. “Lagi banyak darah meleleh…”

“Tak nak dengar!” Serentak Farhah menutup telinga dengan kedua-dua belah tangannya. Mual tekaknya dan meremang bulu tengkuknya mendengar perkara itu. Azrul tertahan bersuara, tapi saat itu juga akalnya beroleh idea nakal.

Pura-pura dia seriuskan wajah. “Jangan banyak bergeraklah. Orang nak cuci luka tu!” Ditarik tangan Farhah yang menutup telinga. Luka di jari disambung cuci. Dia menambah, “awak ni baru sekali. Saya dah banyak kali. Bukan jari je, kaki, kepala, semua pernah. Lagi ngeri…”

“Dahlah, orang tak mau dengar!” Farhah membentak.

Senyuman yang hampir terukir ditahannya. “Jari dah terkulai-kulai masa tu, macam nak putus aje…”

Tiba-tiba tangan kanan Farhah menekup mulut Azrul. Azrul terkejut, tangan Farhah ditolak dan dia ketawa kecil. “Darah menitik je sepanjang jalan…”

Farhah makin geram. Dicubit-cubitnya tangan Azrul, Azrul makin galak ketawa dan terus mengelak. Farhah tarik tangan Azrul dengan niat mahu memukul tapi terhenti sebaik kesakitan mencucuk. Dia terlupa pada jari yang luka. Kini mengalir semula darah dari jarinya yang baru selesai dicuci itu. Farhah terhenti. Serba-salah dia perhati tangannya itu.

Azrul senyap. Kesian pula melihat Farhah yang seakan takut. Dia tarik lembut tangan gadis itu. “Bagi sinilah, saya balutkan.”

Farhah akur. Lega bila Azrul tidak marah seperti yang dijangka.

“Lembik! Luka sikit pun dah tak boleh tahan.”

‘Eh, eh. Ada lagi rupanya yang dia tak puas hati!’ Farhah mencuka. “Sebab sakitlah orang tak boleh tahan.” Ada nada rajuk.

Azrul mencebik. “Engineer spesies apa lembik macam ni.”

“Memanglah engineer lasak. Tapi kalau luka tetap sakitlah.”

Azrul ketawa sinis bernada gurauan. “Iyalah tu.”

“Memang iyalah, takkan saya nak tipu pulak? Kalau awak tu entahlah.”

Azrul tersenyum sendiri. ‘Mak nenek!’

Farhah yang memerhati senyuman itu semakin mencuka. “Ha, tu mesti tengah mengutuk!”

Berkerut dahi Azrul lalu mengangkat wajah. “Hai, awak boleh baca hati saya?”

“Mestilah! Dah awak tu laki kita.”

“Iya ke?”

Angguk Farhah laju sambil memerhati jari yang sedang dibalut.

Senyuman Azrul semakin nakal. “Oh, maknanya saya boleh tahulah yang awak sengaja menggatal nak suruh saya balutkan jari awak yang luka ni?”

‘Erkkk…’ Tidak semena-mena hangat muka Farhah.

“Sebenarnya tak sakit mana pun? Kan?” giat Azrul lagi.

Farhah mencuka, tarik muncung lima belas inci. Direntap tangannya dari pegangan Azrul. “Dahlah! Tak ikhlas!”

Namun Azrul tidak sedikit pun melepaskan tangan Farhah, bahkan mula tersenyum nakal. “Baru tahu, rupa-rupanya saya kahwin dengan perempuan gatal…”

Semakin berbahang wajah Farhah. Dia segera bingkas sebaik melihat jari sudah kemas berbalut. Azrul bukannya boleh dilayan!

“Eh, eh. Nanti dulu.”

Namun Farhah tidak mempedulikan, terus menarik daun pintu. Azrul pantas bingkas lalu meraih tangan Farhah hingga terhenti langkah gadis itu dan terpusing hingga menghadap Azrul semula.

“Kenapa?” Farhah semakin mencuka sedangkan hati di dalam benar-benar sudah hilang arah. Rasa macam hatinya sedang berkung fu!

“Petang ni jom temankan saya pergi jalan-jalan nak? Boringlah asyik duduk rumah.”

Membuntang mata Farhah. “Nak kenapa? Kalau orang kenal saya macam mana? Awak tu minggu depan dah nak bertunang dengan Maya!”

Azrul terdiam. Baru saat ini dia teringat pada seperkara itu. Rupanya tarikh pertunangannya sudah semakin hampir. Bagaimana dia sampai boleh terlupa perkara itu? Sibuk sangatkah menyakat Farhah?

“Awak tak rimas ke asyik terperap dalam rumah?”

“Mahunya tak!” ‘Tambah-tambah lagi, aku ni engineer. Mana reti duduk diam! Huh!’

“Kalau macam tu, awak tutuplah muka awak tu.”

Farhah menggeleng lalu berpusing dan melangkah semula. Malas dia melayan. “Awak banyak songeh, nanti saya je yang kena buli.” Selamba tuturnya tanpa dia fikirkan akibatnya.

Tiba-tiba Azrul memintas jalannya. Terhenti semula langkahnya. ‘Apa lagi yang tak kena ni?’

“Apa awak cakap tadi? Saya tak dengar.”

Farhah terdiam. Difikir-fikir semula apa yang telah diperkatakannya. Berkerut-kerut dahi. “Memang betul pun kan, awak memang banyak songeh?”

“Awak tu tak banyak songeh ke?”

“Tapi songeh saya tak seteruk awak.” Dia melangkah semula ke dapur. Nampaknya, semakin dia layan kerenah lelaki itu, semakin berserabut kepala otaknya.

“Okey, kita lawan.” Azrul tiba-tiba mencabar.

Terhenti lagi langkah Farhah. ‘Apa benda lagilah orang tua ni!’

 

“IKAN dah nak hangus tu!”

Farhah terkocoh-kocoh mendapatkan kuali yang sedang menggoreng. Azrul ketawa galak. Puas dapat membuli. Tetapi Farhah semakin tidak puas hati. Dia kancing gigi. Lantas dia hulurkan sudip pada Azrul. “Nah. Kalau awak tak banyak songeh, awak akan tolong saya jaga ikan ni sebab saya nak masak bendi.”

Azrul tersenyum penuh erti. “Okey…” Sudip disambut. Farhah terus berlalu ke sink. Ligat akal masing-masing mencari jalan seterusnya untuk saling menjatuhkan.

Tiba-tiba kuali panas berada di atas sink tempat Farhah memotong bendi. Bila menoleh, Azrul sekadar buat muka selamba. Benar-benar menyakitkan hati. Farhah mengancing gigi. “Awak ni dah melebih.”

“Okey, awak dah complain sekali. Tinggal dua peluang je lagi. Lepas tu saya menang.” Azrul angkat dua jarinya, sengaja mahu menambah sakit hati. Farhah bertambah bengang. Pisau memotong bendi diletakkan. Dia sentuh sedikit kuali. Masih terlalu panas. Dia gosok-gosok jarinya. Kemudian dia berlalu ke bilik. Kunci pintu, dan dia hempas tubuh di atas katil. ‘Awak tu tak banyak songeh kan? Hah, masaklah sendiri! Jangan banyak bebel.’

Dalam sakit hatinya itu, akhirnya dia terlena. Bangun semula, jam dinding sudah pun menunjukkan pukul dua petang. Dia segera bingkas. Lapar!

Suasana rumah yang masih lengang memberi tanda yang Adilla dan Mak Dah masih belum pulang. Hanya Azrul saja yang kelihatan khusyuk menonton televisyen. Farhah menuju ke dapur. Sesaat hatinya kagum melihat segalanya seperti baru dikemaskan. Pasti itu kerja Azrul, kerana seingatnya tadi mereka bermasam muka disebabkan bertanding siapa paling kurang songeh. Saat ini, Farhah tidak mampu menafikan, kerana Azrul sudahpun membuktikan padanya- memang lelaki itu lebih hebat.

Farhah segera mendapatkan tikar yang terhampar. Sebaik terbuka tudung saji, dia tercengang. ‘Tak ada apa? Habis tu aku nak makan apa?’

“Cari apa?”

Farhah pantas menoleh. Azrul sedang tercegat di muka pintu. Cukup selamba, membuatkan Farhah sakit hati semula. “Mana semua lauk yang awak masak tadi?”

Azrul tersenyum sinis. “Dah habis. Saya makan sikit, baki dia saya bagi jiran sebelah.”

Tersirap darah ke kepala Farhah. Azrul pula dengan selamba meninggalkan tempat itu. Kembali semula ke ruang tamu untuk menonton televisyen.

“Sampai hati awak buat macam ni!”

Terhenti kaki yang menapak. Azrul berpusing bersama-sama senyuman kemenangan. “Tinggal satu je peluang. Kalau awak complain lagi, saya menang.”

“Hie… awak ni, dengan saya pun nak berkira!”

Azrul ketawa mengejek. Tanpa mempedulikan wajah mencuka Farhah, dia terus pergi dari situ. Farhah semakin tidak puas hati. Mana adil, dia yang membantu memasak tadi. Takkan dia mahu kebulur!

“Azrul! Apa ni, janganlah melampau sangat. Dari pagi lagi saya tak makan kut.” Farhah mengekori langkah Azrul ke ruang tamu.

“Ada saya kisah awak nak makan ke tak?” Selamba.

Semakin sakit hati Farhah. Hampir-hampir mengalir air mata lantaran geram yang teramat sangat. Dia bersungguh-sungguh kelaparan, tapi Azrul masih boleh memperbodohkannya begitu. Terhenti langkahnya di muka pintu ke ruang tamu. “Teruklah awak ni.” Bergetar suaranya. Namun Azrul semakin galak ketawa mengejek, bagaikan merai kemenangan. Membuatkan Farhah akhirnya gagal menahan air mata. Akhirnya dia bergegas ke bilik dan menghempas daun pintu. Berdentum.

Azrul yang baru saja mematikan peti televisyen, memandang pintu bilik yang tertutup rapat. Membuak-buak hatinya untuk tahu apa yang sedang dilakukan Farhah. Tapi dia yakin, kali ini Farhah takkan lari lagi dari rumah itu. Farhah terlalu cengeng, mana berani berdepan ancaman di luar sana. Lebih-lebih lagi Farhah sebatang kara. Memang Azrul benar-benar pasti kali ini, Farhah takkan senekad itu.

Azrul menapak ke pintu bilik. Dia tolak sedikit, terkuak. Tidak berkunci rupanya. Dia intai keadaan di dalam. Tidak terlihat sesiapa, hanya kedengaran bunyi esakan halus. Azrul terdiam. ‘Menangis aje kerja dia tu. Tak ada benda lain ke yang dia boleh buat?’

Akhirnya dia tolak daun pintu hingga luas terbuka. Kelihatan Farhah sedang tunduk, melindungi wajah pada lutut yang dipeluk. Gadis itu berada di ceruk bilik, di ruang sempit antara katil dan dinding rumah. Benar-benar seperti anak kecil. Azrul terasa ingin ketawa tiba-tiba. Tersungging senyuman nipis di bibirnya. Dia hampiri dan duduk di hadapan gadis itu. Mahu melihat selama mana Farhah boleh menangis begitu. Disebabkan ruang itu agak sempit, dia bersandar di dinding bersama lutut yang ditegakkan juga.

Beberapa minit menanti, dia mula bosan. Akhirnya dia cuit lengan Farhah yang memeluk lutut. Gadis itu kaku. Azrul mencuit lagi. “Sudah-sudahlah tu.”

Senyap juga. Esakan Farhah tidak langsung berkurangan. Azrul mengeluh lemah. ‘Payah kalau dapat bini cengeng!’ Dia pegang sedikit pergelangan tangan Farhah. “Sampai bila nak menangis ni? Lauk-lauk tadi tu takkan datang baliklah.”

Senyap. Azrul sudah mula geram. Keluhan dilepaskannya. “Okeylah, saya masakkan yang lain. Jangan menangis lagilah. Buruk tahu tak, orang tua menangis macam budak kecik.”

Baru Farhah angkat kepala. Azrul tergamam. ‘Tu dia! Menangis bagai nak rak!’

Farhah lap hingus yang meleleh dari hidungnya dengan hujung lengan baju. Air mata yang lencun membasahi wajah dilap dengan tangan. “Kalau awak masak pun, mana sama dengan yang tadi! Letih-letih saya masak, walaupun tak siap. Awak senang-senang je bagi pada orang…” Teresak-esak.

“Habis tu awak nak masak lagi?”

“Tak adalah. Tapi awak buat saya ni macam orang bodoh je. Mentang-mentanglah saya menumpang je dekat sini.” Farhah teresak lagi. “Awak buat saya macam tak ada harga diri tau tak…” Berhamburan kembali air matanya. Azrul telan liur.

“Alah… janganlah macam ni. Sekurang-kurangnya awak dah masakkan untuk saya…”

“Habis tu saya?”

“Saya pulaklah yang masakkan. Tak nak?”

Farhah menarik tangan yang digenggam Azrul. Namun Azrul sudah menggenggam kemas. Farhah kehabisan daya, semakin sebak. “Awak main-mainkan saya tau. Awak buat saya macam ni…” Tersangkut dan teresak lagi. Entah apa yang membuatkan Farhah terlalu sedih saat ini. Terbit pula simpati di hati Azrul walaupun masih tidak faham isi hati sebenar gadis itu.

“Sudahlah. Tak mau menangis macam ni. Bukannya saya buang pun, saya cuma bagi orang.”

“Tapi sekarang ni saya nak makan.” Farhah berusaha lagi melepaskan genggaman Azrul. Namun seperti tadi, Azrul lebih berkudrat berbandingnya. Tidak terlawan dia.

“Awak sakit perut ke?”

Farhah terdiam. Anggukan kecil dizahirkannya.

“Kenapa pagi tadi tak sarapan?”

“Saya tengok nasi goreng dah tinggal sikit. Awak pulak belum makan masa tu…”

“Maknanya nasi dalam pinggan tu awak punyalah?”

Farhah cuma diam tanda mengiyakan. Serba-salah menerpa Azrul. Patutlah sewaktu dia pulang dari pasar tadi, nasi yang disediakan dalam pinggan cukup-cukup saja untuk dirinya. Rupanya Farhah yang tidak sampai hati membiarkannya kelaparan. Kebetulan beras sememangnya tinggal sedikit saja malam tadi. Baru pagi tadi dia pergi membeli. Kasihan pula dia pada Farhah.

“Okeylah, sayalah yang salah…” Perlahan suara Azrul. “Janganlah menangis lagi. Jom, temankan saya memasak pulak.” Lantas ditariknya tangan Farhah. Namun terhenti bila gadis itu tidak langsung bergerak. Dia pandang semula Farhah dengan soalan.

Farhah menggeleng perlahan bersama dahi yang berkerut. “Saya tak larat nak bangun. Sakit perut.”

Azrul terdiam. “Awak ada gastrik ke?”

Farhah angguk sedikit. Azrul terdiam lagi. Lantas menghadap Farhah semula. “Kenapa tak bagitahu saya? Sampaikan saya nak bergurau dengan awak pun susah, tau tak?”

Farhah balas pandangan Azrul dengan mata yang bengkak. “Tadi tu bergurau ke?”

“Kenapa? Kejam sangat ke?”

Diam. “Awak ni memang pembuli tegar kan?”  Ada nada rajuk di situ.

Azrul tersenyum sinis. “Sempat lagi tu nak kutuk orang.”

“Tapi itu kenyataan.”

Azrul tersenyum lagi. “Tolonglah lain kali jangan menangis dah.”

“Awak dah lemah semangat ke?”

“Dah tahu, tapi tanya lagi?”

Tiba-tiba Farhah tersengih lebar. Nakal! “Cepatlah, tolong masakkan untuk saya.”

“Eh, baru bagi muka terus nak ambik kesempatan?”

Farhah tersengih lagi. “Sebagai denda, sebab awak buat gastrik saya datang.”

“Mengada-ngada.”

Farhah ketawa kecil. Air matanya diseka. “Awak yang cari pasal.”

Tanpa sedar, tiba-tiba Azrul mencuit hidung Farhah. “Awak memang, dari dulu tak pernah berubah.” Sejurus mengucapkan, Azrul terus bangkit sementara Farhah terkelu. Pemergian Azrul membuatkan ruang bilik jadi lengang. Dalam hati yang hilang arah, Farhah menyentuh hujung hidungnya. Azrulkah yang mesra tadi?

 

SEWAKTU menikmati juadah yang disediakan Azrul, Mak Dah dan Adilla pulang. Melihatkan wajah Farhah yang masih merah dengan kesan tangis, bertubi-tubi soalan keluar dari mulut Mak Dah. Dan sebaik saja terpandang jari Farhah yang berbalut, berdas-das peluru berpandu dari bibir Mak Dah menembak Azrul.

Kali ini Azrul tidak mampu mengelat, kerana dia sajalah suspek yang mampu menderitakan Farhah selama ini. Farhah pula tidak langsung mahu membantu, bahkan seronok kerana ada yang membela. Akhirnya Azrul tersengih sumbing. Mengaku salah!

Mak Dah menggeleng-geleng kepala. Dia sendiri tidak tahu, apalah yang membuatkan Azrul gemar sangat membuli menantunya itu. Bahkan semenjak dari zaman sekolah lagi anak lelakinya bersikap begitu terhadap Farhah. Mujurlah Ustazah Kamalia tidak terlalu kisah mengenai hal itu.

Tiba-tiba hati Mak Dah bertukar sayu sebaik terngiang-ngiang nama wanita itu di ruang benaknya. Sudah terlalu lama dia mahu bertemu ustazah, tapi nampaknya sampai bila-bila pun dia takkan berpeluang lagi. Rindu yang membeku di dadanya seolah takkan ditemui penawarnya. Hanya Farhah saja yang tinggal untuk mengubat serba sedikit rindunya. Walaupun tidak banyak, sekurang-kurangnya dia tahu yang hatinya semakin hari semakin tenang dengan kehadiran gadis itu.

Dia sedar, bila-bila masa saja masalah Farhah akan dapat diselesaikan dan waktu itu, Farhah dan Azrul bebas menentukan hala tuju rumahtangga mereka seperti yang telah dipersetujui sebelum ini. Tapi kalau boleh, Mak Dah mahu Farhah berterusan terikat dengan Azrul. Ada waktu, timbul pula keinginan agar Azrul mencari saja calon lain untuk dijodohkan dengan Maya. Mak Dah tidak sanggup melihat Farhah memendam rasa gara-gara berkongsi kasih dengan wanita lain.

Azrul pula kelihatan semakin mesra dan ceria semenjak kehadiran Farhah dalam hidupnya. Mak Dah tidak pasti, sama ada Azrul dan Farhah sudah saling menerima. Tapi Mak Dah mampu merasai, antara keduanya ada keserasian yang terlalu sukar dijelaskan. Entahlah, adakala anganannya terlalu tinggi sedangkan dia sedar siapalah Azrul jika dibandingkan dengan Farhah.

0 861 komen:

Post a Comment

Assalamualaikum. Hai!
Terima kasih baca.
Cer komen sikit?

.

.