Friday, 24 May 2013

Hati Yang Kau Sentuh Bab 16


DENGAN pakaian yang serba ringkas, Farhah menapak ke belakang rumah. Entah hadiah apalah yang diperkatakan Azrul tadi. Jangan-jangan tipu saja.

‘Hah, kan betul?’ tekan hatinya sebaik tiba di belakang rumah. Azrul dilihat sedang mengeluarkan ayam dari reban sebelum dimasukkan ke dalam sangkar sederhana besar. Tiga ekor kesemuanya. Bagaikan menyedari kehadirannya, lelaki itu mengangkat wajah. Farhah cuba mengukir senyuman sebagai tanda maaf dengan kejadian di bilik tadi, tapi bibirnya tidak langsung mampu digerakkan.

“Mak suruh kita sembelih ayam-ayam ni.” Ringkas kata-kata itu tanpa sebarang riak. Farhah teragak-agak. Mana dia pernah buat kerja-kerja sebegitu. Nanti, belum sempat ayam disembelih, dia dulu yang lintang-pukang lari ketakutan.

“Dengar tak ni?”

Pecah lamunan, terkial-kial Farhah mengangguk. Azrul masih kelihatan serius. Dihulurkan kaki ayam pada Farhah. Farhah telan liur. ‘Ayam ni nanti mesti menggelupur. Macam mana kalau terlepas?’

“Jangan sampai terlepas. Siap kau nanti.” Bagai mengerti saja kerisauan Farhah. Azrul tanpa sebarang perasaan, sengaja menambah lagi rasa gementar di hati gadis itu. Kejam. Farah telan lagi liur yang pahit, kemudian teragak-agak menyambut huluran Azrul. Sekelip mata, kulit kaki ayam yang kasar menyentuh telapak tangannya. Meremang bulu tengkuknya, takut. ‘Macam manalah agaknya orang yang kerja kat pasar tu. Hari-hari sembelih ayam.’

Azrul mula menyembelih. Farhah hanya mampu memejamkan mata agar tidak terpandang darah yang memancut dari leher ayam. Mual tekaknya. Selesai seekor, Azrul capai lagi seekor. Farhah menurut lagi. Tiba giliran ayam ketiga, Farhah mula tidak keruan. Kali ini ayam jantan. Tentu lebih agresif. Dia tidak mampu membayangkan jika nanti ayam itu berkepak-kepak ganas.

“Cepatlah, apa lagi?”

Farhah tersedar. Azrul dipandang, cuba memberitahu rasa takutnya namun lelaki itu bagaikan tidak langsung memahami. Tak faham atau buat-buat tak faham?

Farhah capai akhirnya kaki ayam jantan itu. Lebih berat dan dia hampir tidak berdaya mengangkatnya. Bila putus dua urat di leher ayam, tidak semena-mena ayam berkepak-kepak ganas. Farhah kaget, hilang arah. Tiba-tiba kepak ayam melibas belakang tangannya, membuatkannya terkejut hingga terlerai genggaman. Dia hilang arah. Hampir saja merembes air mata.

“Farhah!”

Habis hilang segala kekuatannya bila mendengar ledakan suara Azrul. Berderai terus air mata. Disebabkan takut dimarahi lagi, dia segera menyeka pipi. Dia tahu Azrul tidak suka melihat tangisannya. Cengeng.

“Tengok! Tangan tu kan kotor!” tengking Azrul tiba-tiba. Farhah terdiam. Tangan yang bersalut darah ayam diperhati. Mual tekaknya. Dia tidak tahu kenapa kekuatannya boleh hilang sekelip mata begini.

“Saya tak reti buat benda ni…” esak Farhah perlahan akhirnya. Sungguh-sungguh dia mengharap agar Azrul tidak memarahinya lagi. Dia tidak biasa dengan kerja-kerja ‘ngeri’ seperti ini.

“Sini!” Masih tegang suara Azrul. Dalam masa yang sama, lelaki itu melangkah ke arah pili berhampiran. Farhah tiada pilihan selain terpaksa akur. Azrul berdiri benar-benar di hadapannya tidak lama kemudian. “Sini.” Reda sedikit nada lelaki itu kali ini. Farhah senyap. Azrul terus menarik dagu gadis itu. Tangan yang sudah dicuci mula menyeka pipi Farhah. Darah ayam dilap bersih, begitu juga dengan air mata.

Dia bukan tidak mahu menyuruh gadis itu mencuci sendiri, tapi dia yakin Farhah takkan sanggup melakukannya. Dia dapat mengagak, Farhah terlalu takut pada darah dan hospital. Jika tidak, mengapa selepas tergelincir dahulu, gadis itu tidak langsung mendapatkan sebarang rawatan?

Sedangkan kalau diikutkan daripada apa yang dibeleknya tadi, Farhah terjatuh agak teruk juga dulu. Barangkali tergelincir di tangga. Tapi gadis itu lebih rela menanggung kesakitan. Dari situ saja dia sudah mampu mengagak, sebab dulu dia juga begitu. Tapi dia bukan takut, dia cuma benci pada bau ubat.

Dalam pada itu, berkali-kali Farhah terpaksa melarikan pandangan bila saja bertembung dengan Azrul. Mungkin disebabkan tidak pernah diperlakukan begini, dia tiba-tiba rasa berdebar. Azrul juga dilihat cuba melindungi hati yang resah.

Akhirnya Azrul berganjak dari situ bila resah di dadanya semakin sesak. Entah, dia sendiri tidak faham. Mungkin memang ini fitrah manusia- akan terasa getar gelombangnya bila berada berhampiran seseorang yang berlainan jantina apatah lagi menyentuhnya. “Dah siap. Pergilah masuk.” Lembut sedikit nadanya.

Bila Farhah menghilang ke dalam rumah, Azrul pandang pintu yang terbuka luas. Semakin hari, dia semakin tidak faham dengan gadis itu. Emosi gadis itu boleh berubah dalam sekelip mata tanpa mampu dia jangka. Dia sendiri tidak tahu puncanya. Seingatnya, dulu Farhah bukan begitu.

 

MAJLIS pada malam itu merupakan majlis kesyukuran dan doa selamat. Sebuah majlis yang kecil dan hanya dihadiri oleh mereka yang tertentu. Mak Uteh, adik Mak Dah sekalipun tidak dijemput kerana bimbang berlaku perkara yang tidak diingini.

Farhah tenang membantu Mak Dah dan Adilla di dapur. Sesekali, tawa halusnya kedengaran bila disakat Adilla. Hinggakan Mak Dah pula ada waktunya terpaksa masuk campur untuk meredakan keadaan.

Tiba waktu makan, Azrul yang berada di ruang tamu masuk ke dapur itu. Dalam diam dia memandang Farhah yang sedang berbual-bual sambil menyusun juadah di atas dulang. Gadis itu bagaikan memiliki pelbagai personaliti. Azrul yang keliru semakin cuba mengagak apa yang sebenarnya berada dalam hati gadis itu. Kalau boleh, dia mahu tahu segalanya isi hati Farhah. Biar tiada langsung rahsia antara mereka.

“Sabar bang, sabar. Takkan ke mana pun Kak Farhah tu. Dah habis kenduri ni nanti, abang boleh jumpa dia lagi. Jangan takut.” Tiba-tiba Adilla menegur. Serentak Mak Dah dan Farhah menoleh ke arah Azrul. Tika itu, meruap kehangatan ke wajah lelaki itu. Namun dia tidak peduli. Adilla bukannya boleh dilayan.

“Sibuklah kau.” Dia capai dulang yang berisi lauk-pauk.

Adilla ketawa. “Habis tu yang abang pandang Kak Farhah macam orang jatuh cinta tu kenapa?”

Hangat hati Azrul. Lantas senduk yang berada tidak jauh dari situ dia capai dan diketuknya kepala Adilla. “Diamlah.” Sejurus mengucapkan, Azrul terus bingkas dan meninggalkan ruang dapur itu. Adilla yang merungut kesakitan sekadar dibiarkan. ‘Padan muka kau!’

Selesai majlis, masing-masing sibuk mengemas. Ada waktu, Mak Dah tersenyum sendiri bila melihat Farhah dan Azrul kelihatan kekok sesama sendiri. Ke mana saja Farhah pergi, Azrul akan berusaha supaya tidak hadir sama di tempat itu. Farhah juga begitu. Bila terpaksa juga mendapatkan Azrul, Farhah hanya berdiri di belakang Azrul. Azrul pula tidak langsung menoleh, pura-pura sibuk dengan kerja. Masing-masing bagaikan baru pertama kali berkenalan. Mak Dah hanya mampu menggeleng-geleng. Sekilas ikan di air, dia sudah tahu jantan betinanya.

 

“CUBA jangan berkasar sangat dengan Farhah tu, Rul,” tegur Mak Dah sewaktu baru selesai mengemas. Azrul yang sedang menonton televisyen menoleh sekilas. Tidak faham. Mak Dah tersenyum penuh erti. “Mak tengok, kamu tak ubah-ubah lagi cara kamu gelar diri kamu pada dia. Apa salahnya kalau gunakan gelaran yang baik sikit, sekurang-kurangnya mak yang mendengar ni pun terasa sejuk hati.” Sesudah itu, Mak Dah berlalu ke biliknya yang terletak di dapur. Azrul terdiam, tidak beralih anak matanya dari pintu yang sudah kosong itu. Dia cuba memikirkan kata-kata Mak Dah.

Sewaktu sedang ralit merenung pintu yang kosong, tiba-tiba muncul Farhah dari arah dapur. Bertemu pandangan kedua-duanya. Sekelip mata alam bagaikan mati. Malam bertukar hening. Farhah cepat-cepat melarikan pandangan dan menapak ke bilik tengah. Tangan yang masih basah setelah mencuci pinggan tadi dia lapkan pada T-shirtnya. Tidak lama berada di dalam bilik, dia keluar semula bersama-sama beg dan menapak ke bilik Azrul. Dia letakkan beg di tepi pintu, sebelum keluar semula dan menuju ke dapur untuk membancuhkan air buat Azrul.

Dia tidak tahu hendak berbuat apa sebenarnya. Segalanya serba tidak kena. Mahu tegur Azrul, malu. Mahu dibiarkan, lagi dia gelisah sebab Azrul dari tadi tidak sudah-sudah memerhati dirinya dalam diam. Walaupun tidak ketara cara Azrul memandangnya, tapi dia tetap terasa resah. Mana mahu dia sorokkan diri dari lelaki itu? Benarlah, dari dulu dia sudah mengagak, memang dia tidak mampu jauh dari lelaki itu. Ada saja yang membuatkan mereka dekat. Jika tidak Azrul yang mengekori, dia pula yang perlu mencari. ‘Hai, nasib… nasib…’

Sewaktu dia muncul semula di ruang tamu bersama-sama secawan kopi, Azrul sudah berdiri dan kelihatan seakan menanti dirinya. Televisyen sudahpun dimatikan lelaki itu. Farhah senyap, tidak tahu apa yang patut dia lakukan. Hanya diletakkan cawan di atas rak televisyen. Biar Azrul mengambilnya sendiri jika mahu nanti.

“Dah mengantuk?” Pecah kesunyian malam dengan suara Azrul. Farhah yang masih membelakangi Azrul, terdiam sesaat sebelum teragak-agak mengangguk. Azrul senyap sesaat. “Kalau macam tu, bawak ajelah air tu masuk bilik. Saya pun dah mengantuk jugak ni.”

Farhah terdiam. Janggal pula rasanya bila mendengar Azrul membahasakan diri begitu. Dia capai semula cawan tadi lalu mengekori langkah Azrul ke dalam bilik. Aduhai… gementarnya!

Tiba di bilik, dia letakkan cawan di atas meja. Azrul kelihatan menyelongkar almari pakaian. Sebuah tilam dikeluarkan dan dihamparkan bersebelahan katil. Kemudian Azrul duduk di situ sambil memandang Farhah yang masih tercegat di tepi meja. “Saya tahu tujuan saya kahwin dengan awak. Jadi jangan fikir saya akan ambik kesempatan.” Tenang. Farhah tunduk. Azrul tersenyum tipis, sinis. “Semua yang teruk-teruk saya pernah buat pada awak sebelum ni, awak halalkanlah.”

Farhah terdiam. ‘Halalkan?’

Azrul tersenyum lagi, kali ini penuh erti. “Jangan takutlah, Farhah. Apasal kalut sangat ni?”

Farhah menggeleng. Teragak-agak kakinya diatur ke arah Azrul. Dia duduk di hadapan lelaki itu. “Ermmm…” Gugup. “Terima kasih sebab banyak tolong saya.”

Azrul penuh bersahaja menjungkit bahu. “Sebab dulu mak awak banyak tolong saya.”

Farhah diam, faham maksud lelaki itu. “Insya-Allah, saya takkan kacau hidup awak. Selesai aje masalah tu nanti, awak bebas untuk buat keputusan.”

“Tapi bersyaratlah.”

Spontan Farhah angkat pandangan. Berderau darahnya bila mendengar nada Azrul yang berbau misteri itu. Azrul tertawa kecil. “Jangan banyak menangis depan saya. Awak buatkan saya lemah semangat.”

“Iya ke?” Farhah terkejut.

Azrul angguk, agak keanakan.

“Tapi dulu tu…”

“Itu dulu,” pintas Azrul penuh erti. “Sekarang ni dah tak macho lagi, sejak kena buli dengan orang tu.”

“Saya pernah buli awak ke?” Farhah kebingungan.

“Lepas saya kena belasah tu.”

Farhah senyap. Merah padam wajahnya, malu bila mengingatkan sikapnya yang seakan-akan sengaja mahu membalas dendam itu. Konon tidak mahu Azrul muncul lagi dalam hidupnya. Akhirnya dia sendiri yang sengaja mencari pasal, hingga tidak senang duduk lelaki itu dibuatnya. “Maknanya saya dah menanglah…”

Azrul tersenyum. Dahi Farhah disentuh dan diusap perlahan. “Tadi saya terpaksa.”

Farhah tersenyum nipis. “Biasalah tu.”

“Apa yang biasa?”

Kali ini nampak sedikit malu. “Orang baru kahwin, mesti kena paksa buat macam tu.”

“Adilla tu macam-macam perangainya. Jangan layan sangat.”

“Tapi kalau tak layan dia, saya tak ada kawan.”

“Sekarang ni saya kawan awak. Boleh?”

Berkerut dahi Farhah bersama hati yang berdebar tiba-tiba. Dia pandang Azrul yang sedang menatapnya penuh erti.

“Dulu kan kita bermusuh. Takkan dah kahwin ni pun nak bermusuh lagi?”

Akhirnya Farhah tertawa kecil lalu mengangguk. Dia menyambut bila Azrul menghulurkan tangan. Bersalaman. “Kosong-kosong.”

“Okey, kosong-kosong. Tapi kalau sekali awak buat salah kat saya, awak kena minta maaf dua kali.”

Berkerut semula dahi Farhah. “Tak acilah macam tu?”

“Acilah, apa pulak taknya. Sebab kita memang kawan, tapi hakikatnya saya suami awak.”

“Dah tu, apa kaitannya?”

“Awak bersalah sebab memang awak buat benda yang salah. Tapi dalam masa yang sama, awak juga buat salah pada suami.” Penuh bersahaja, membuatkan Farhah menampar tangan Azrul yang baru saja dilepaskannya. Mereka ketawa.

“Awak ambik kesempatan!”

“Alah, suruh mintak maaf je pun. Bukan kena bayar.”

Farhah mencebik. “Tapi awak tu, langsung tak pernah mintak maaf kat saya. Salah awak tu yang lagi banyak sebenarnya. Sebab awak membuli, dalam kawasan sekolah pulak tu. Lepas tu, awak bawak geng. Lima lawan satu. Lagilah tak aci. Lepas tu…”

“Okeylah, okeylah. Sayalah yang salah.” Azrul tersenyum penuh erti. Sediam-diam Farhah, bila sekali bersuara, boleh tahan juga rupanya. “Saya dah penat ni, nak tidur. Awak nak temankan?”

Merah padam wajah Farhah tika itu juga, lantas tangan Azrul ditampar kuat. Pecah tawa Azrul, nakal. Farhah segera memanjat katil dan berbaring di hujungnya, sejauh mungkin dari Azrul. Dia berselubung. Agak lama begitu, suasana malam semakin lama semakin lengang.

Farhah yang tidak mampu melenakan mata, akhirnya menarik selimut yang menutupi wajah. Penuh hati-hati dia bangun dan mengesot sedikit. Diperhati keadaan di bawah. Azrul sudahpun lena. Cawan kopi pula dipandangnya. Sudah ditutup dengan piring yang tadinya bertindak sebagai pengalas cawan itu. Pasti Azrul yang melakukannya. Nampak sangat lelaki itu teliti dalam setiap perkara. Lapang sedikit hatinya.

Farhah kembali ke tempatnya dan berbaring semula. Gurauan Azrul tadi bermain-main di ruang benak. Buat pertama kalinya, dia mampu melelapkan mata bersama-sama senyuman di bibir. Bagaikan itulah kerehatan yang cukup bererti setelah bertahun-tahun kepenatan menanggung segala keperitan. Entah kenapa, walaupun tahu siapa Azrul suatu masa dahulu, saat ini hatinya bagaikan yakin yang Azrul mampu menjaga dan melindunginya. Betapa tenang hatinya.

0 861 komen:

Post a Comment

Assalamualaikum. Hai!
Terima kasih baca.
Cer komen sikit?

.

.