Sunday, 19 May 2013

Hati Yang Kau Sentuh Bab 15


SUDAH hampir sebulan lamanya, Azrul lebih banyak membisu dan menyendiri. Bila sudah tidak tertahan menanggung segalanya seorang diri, ikutkan hati mahu saja dia luahkan pada Antoi. Tapi bila menimbang-nimbang semula, dia terpaksa pendamkan saja kemelut jiwanya.

Masakan dia mahu biarkan Antoi mentertawakannya. Antoi bukan boleh dipercayai. Sudah beranak dua pun masih boleh berfikiran seperti orang bujang. Nasihat Antoi tidak pernahnya bernas. Sentiasa bercanggah dari hati dan kehendak Azrul. Lantas daripada membazir air liur dan membiarkan hati sakit, lebih baik dia senyap. Dia kerah akalnya, dia pertimbangkan segala risiko seorang diri. Pada Mak Dah pun dia tidak kongsikan masalah. Bimbang wanita itu bertambah susah hati.

Mak Dah pula, semenjak kes Encik Fauzi mencari Farhah hingga ke rumah mereka tempoh hari, semakin tidak senang duduk jadinya. Setiap hari dia luahkan kerunsingan yang dirasakannya pada Azrul. Dia bukan mahu menghalau Farhah dari rumah itu, tapi dia risaukan keselamatan mereka sekeluarga. Sekiranya nanti Encik Fauzi tahu di mana Farhah, tidak boleh tidak, pasti terpalit kekotorannya pada mereka sekeluarga. Mereka dituduh terlibat sama. Lebih-lebih lagi, mereka tidak berharta. Apa yang boleh mereka bayar jika diugut dan diancam?

‘Haihhh...’ keluh Azrul akhirnya sambil menguak rambut yang berjuntai di dahi. Tersandar lemah tubuhnya pada belakang kerusi di Gerai Pak Tapa itu. Itu saja yang dia termampu.


MAHU ataupun tidak, keputusan perlu juga dibuat. Terbayang-bayang satu jalan di benaknya. Dia akur kali ini, kerana dia yakin hanya dengan cara itu segalanya boleh diselamatkan. Baik untuk dirinya, keluarganya mahupun sesiapa juga. Dia harapkan, moga inilah jalan terbaik. Dan moga Farhah mengerti niatnya. Akhirnya dia bangkit dari kerusi. Selesai membayar harga minuman, dia pulang ke rumah.

Sewaktu tiba di rumah, dia lihat Farhah sedang belajar menjahit dengan Mak Dah. Kedua-dua wanita itu ketawa, rancak bercerita mengenai jahitan. Sebaik menyedari kelibat Azrul yang baru naik ke serambi, Farhah terus mengangkat wajah. Bertembung pandangan ceria Farhah dengan anak mata Azrul yang lesu dan kepenatan. Farhah lempar senyuman. “Lambat balik?” sapa gadis itu, sekadar berbahasa.

Mak Dah menoleh. Tersenyum juga pada Azrul sebelum memberi tumpuan semula pada jahitannya. Azrul mengeluh lesu. Tidak sedikit pun senyuman terukir di bibirnya. Sebaliknya matanya memberi isyarat yang tidak mampu difahami Farhah. Berkerut dahi gadis itu.

“Ikut aku kejap.” Datar. Sejurus mengucapkan, Azrul terus berlalu ke dapur. Farhah pandang Mak Dah. Wanita itu pula sekadar mengangguk tanda mengizinkan. Farhah letakkan kain yang sedang dijahit lalu mengekori langkah Azrul namun tidak jauh. Dalam jarak beberapa meter dari Mak Dah, langkah Azrul terhenti. Farhah ikut mematikan langkah, berdiri di hadapan Azrul.

Dalam diam, hati Farhah berdebar sebenarnya dengan kelainan sikap Azrul hari itu. Di benaknya, berlegar-legar kemungkinan yang mahu diperkatakan Azrul. Sama ada berkenaan laporan polis yang dibuat mereka tempoh hari, ataupun Azrul mahu memintanya keluar dari rumah itu demi keselamatan mereka sekeluarga.

Farhah pura-pura mempamer ketenangan dalam debar hatinya. Jika kali ini Azrul memintanya pergi, maka dia takkan merayu lagi. Bantuan Azrul selama ini pun sudah cukup banyak. Bahkan dia kasihan pada Azrul yang terlalu dibebankan dengan masalah-masalahnya. Sedangkan mereka tidak memiliki sebarang pertalian darah. Azrul hanyalah rakan yang dikenalinya dahulu sebagai seorang pembuli bahkan mereka pernah bermusuhan.

Azrul yang berada tidak jauh dari Farhah, memasukkan tangannya ke dalam poket seluar. Agak resah. Dia pandang Farhah yang kelihatan tenang di hadapannya. Kemudian dengan nada gementar dia bersuara, “aku boleh tolong kau.”

Farhah yang mengelamun serta-merta tersedar. Azrul dipandang dengan dahi berkerut. Azrul pula berkalih sedikit. Kini menghadap tingkap yang terbuka luas sambil mengusap belakang tengkuk. Ketara benar resahnya. Sedikit sebanyak Farhah juga tertekan dengan situasi sebegitu. Sukar dijangkanya fikiran sebenar lelaki itu. Untuk menenangkan hati, dia pandang Mak Dah yang masih memerhati mereka. Dia cuba ukir senyuman pada wanita itu, tapi gagal. Dia benar-benar tewas dengan keresahan yang menggetarkan perasaannya.

“Kita kahwin.” Ucap Azrul tiba-tiba dengan suara yang hanya cukup untuk didengari Farhah. Farhah terkedu lantas memandang Azrul. Belum sempat menghilangkan rasa terkejut dalam hati, Azrul pantas menambah, “tapi bersyarat.” Tegas. “Kau sendiri tahu, aku akan bertunang dengan orang lain. Jadi aku nak, kita rahsiakan pernikahan kita nanti. Cukup orang yang sepatutnya aje yang tahu tentang kita.”

“Orang yang sepatutnya?” Farhah yang baru berdaya mengawal kalut di hati itu bersuara perlahan, menagih penjelasan.

Azrul mengangguk sedikit. “Kita berdua, mak aku, Ila dengan abah kau je. Orang lain tak boleh. Aku tak nak Maya minta putus nanti.”

Farhah diam.

“Bila dah selesai semuanya nanti, terpulanglah pada kau. Kalau kau nak aku lepaskan kau, aku takkan keberatan. Aku buat semua ni pun sebab nak tolong kau aje kan.”

Farhah terdiam lagi. Sukar dipastikan perasaan sebenarnya saat ini. Azrul memberanikan diri memandang Farhah. “Itupun kalau kau betul-betul nakkan bantuan aku. Kalau kau percayakan aku... aku akan cuba tolong yang mana aku mampu.”

Tanpa diduga, tiba-tiba berderai air mata Farhah. Azrul terkejut. “Kau ni cengeng la!” marahnya untuk melindungi rasa kaget.

Farhah cepat-cepat menyeka air mata seraya tersenyum sebak. “Sorry la sebab menyusahkan awak. Saya janji, saya takkan ganggu hidup awak dengan Maya. Diri saya pun, saya boleh tanggung sendiri.” Ceria kata-kata itu.

Berkerut dahi Azrul. Farhah tersenyum. Air mata yang berbaki di pipi disekanya lalu bibirnya menjuih ke arah Mak Dah. “Tu... Saya tengah belajar menjahit. Kalau dah makin mahir nanti, saya ingat nak tolong mak awak. Boleh jugak dapat upah sikit...”

Azrul menoleh. Mak Dah masih memandang mereka dengan dahi yang berkerut. Langsung tidak faham dengan perbincangan mereka yang terlalu perlahan itu. Azrul memandang Farhah semula. “Kalau pasal tu, kau tak payahlah berkira sangat. Bukannya kau tu gemuk pun, aku boleh tanggung kau la.”

Farhah tiba-tiba ketawa. “Okey!” Gadis itu tunduk sedikit. “Terima kasih.” Sejurus mengucapkan, Farhah segera mendapatkan Mak Dah. Terpinga-pinga wanita itu memandang Farhah yang terus duduk dan menyambung semula jahitannya. Bila dia pandang Azrul, anak lelakinya itu sudahpun menghilang ke dapur. Mak Dah pandang Farhah semula.

“Farhah dengan Rul bincang apa tadi, perlahan sangat suaranya?”

Farhah tersenyum tanpa mengangkat wajah. Terus juga menjahit sambil menjungkit bahu. “Azrul lebih patut bagitau mak cik.”

Mak Dah terdiam. Semakin tidak faham. Dia pandang pintu menghala ke dapur. Tapi kelibat Azrul tidak juga muncul, bagaikan tahu-tahu saja ada soalan yang sedang menantinya. Beberapa ketika kemudian, sebaik saja Azrul tiba di ruang tamu itu, Mak Dah terus memanggil Azrul. “Kamu bincang apa dengan Farhah tadi, Rul?”

Serta-merta terhenti langkah Azrul. Terkelu. Farhah dipandangnya, tika itu juga Farhah pura-pura khusyuk dengan jahitannya. Geram Azrul dengan gadis itu. Dia jungkit bahu. “Mak tanyalah Farhah. Rul bincang tadi pun hal dia je.” Terus Azrul menuju ke biliknya.

Bertukar keruh wajah Mak Dah, tidak puas hati. “Mana satu ni? Farhah suruh Rul. Rul suruh Farhah. Mengalahkan orang yang nak kahwin je!”

“Betullah tu,” sampuk Azrul pura-pura selamba, membuatkan Mak Dah terlopong. Azrul dengan muka pijar, terus menghilang ke dalam bilik. Enggan Mak Dah menyedari wajahnya yang sudah merah padam menahan kalut. Farhah pula terus menjahit, tidak mempedulikan dunia sekitar walaupun muka dah rasa tebal sekaki!


LENGKAP saja persiapan, terus majlis akad nikah diadakan di masjid kampung secara tertutup. Hanya Mak Dah dan Adilla yang menemani majlis itu, selain Haji Daud dan beberapa ahli jemaah masijd. Pada mereka juga telah Azrul maklumkan perihal Farhah. Kerjasama diminta agar merahsiakan segalanya, lebih-lebih lagi mengenai kewujudan Farhah di kampung itu.

Segalanya serba ringkas. Selain sebentuk cincin dan mas kahwin, Azrul menghadiahkan sepasang kasut untuk dipakai Farhah sempena hari perkahwinan itu. Sebagai tanda meraikan perkahwinan kononnya. Sedangkan mereka masing-masing terus dengan perangai lama. Azrul dengan marah yang tidak tentu pasal, Farhah pula dengan perangai suka menjawabnya. Semakin hampir dengan hari pernikahan, semakin kerap kedua-duanya bertekak. Selalunya Mak Dah biarkan saja, malas mahu masuk campur soal anak-anak.

Sudahnya masing-masing makan hati, bawa diri. Azrul menyepi di rumah Haji Daud. Farhah pula di rumah, membantu Mak Dah menyiapkan persalinan nikah mereka. Berlanjutan perang dingin mereka hinggalah ke hari bernikah. Masing-masing buat selamba, tidak pedulikan langsung hari apa hari itu.

Sewaktu Haji Daud meminta Azrul menyarungkan cincin ke jari Farhah pun, dengan selamba Azrul menolak. “Dia boleh pakai sendiri.” Kemudian dia ketawa mengejek disambut beberapa lagi orang masjid.

Farhah ketap gigi, geram. ‘Tak romantik langsung!’

Haji Daud menyudahkan sisa tawa. “Apalah salahnya, Rul. Bukannya orang lain lagi dah...”

“Tak payahlah, pak cik.” Azrul meluah perlahan.

“Tak apa, lama-lama nanti sayanglah tu!” sampuk seorang lelaki lain. Merah padam wajah Azrul. Farhah yang mencuka segera bingkas. Namun sebelum sempat melangkah, tiba-tiba Mak Dah menahan pergerakannya.

“Duduk dulu. Majlis belum selesai ni.”

Farhah terdiam, teragak-agak duduk semula. Azrul yang berdiri tidak jauh dari situ dipandangnya resah, bagaikan cuba meminta tolong. Sudah susah begini, pada Azrul balik yang dia minta simpati.

“Pergi sarungkan cincin tu, Rul. Penat-penat mak kamu gubah hantaran.” Haji Daud mencelah. Azrul telan liur. Teragak-agak dipandangnya Farhah yang hanya tunduk itu. Dia sudah terperangkap, tiada pilihan. Dalam terpaksa, dia hampiri Farhah. Duduk di hadapan gadis itu. Cincin yang dihulur Mak Dah disambutnya. Mak Dah menjauh sedikit sesudah itu lalu mendapatkan Adilla yang bertindak mengambil gambar sepanjang majlis. Azrul pandang semula Farhah, penuh debar.

“Nak tunggu sampai bila ni? Bagilah sini jari tu,” panggilnya perlahan bila Farhah terus kaku. Tanpa memandang Azrul, Farhah hanya menyuakan tangannya. Azrul laju saja menyarungkan cincin. Muat-muat di jari Farhah walaupun Azrul sendiri yang memilihnya. Dia cuma ikut nasihat yang pernah dia dengar dari Antoi tidak lama dahulu. “Kalau orang tu betul jodoh kita, kau tak payah susah-susah ajak dia pergi beli cincin nikah. Kau beli je sendiri, sukat guna kau punya jari kelingking.” Tapi tidak sangka pula cincin itu muat dengan Farhah. Seketika dia bersoal-soal sendiri. ‘Betul-betul jodoh aku ke?’

Dia pandang Farhah yang terus tunduk. Enggan mendedah diri pada usikan tetamu yang hadir, dia mengomel, “apa lagi? Tak nak salam ke? Kena sakat dengan diorang tu nanti baru tahu.” Masih perlahan suaranya dan hanya cukup untuk didengari Farhah.

“Hah, kan dah cakap! Tengok tu, dah pandai berbisik-bisik pulak dia!” Suara Pak Mail tiba-tiba kedengaran, memecahkan tawa semua yang berada di situ kecuali Azrul dan Farhah. Kedua-dua mereka terus diam.

“Cepatlah salam. Nanti kena sakat lagi!” tekan Azrul. Kali ini baru Farhah akur. Gadis itu tunduk mencium tangan Azrul. Sempat Adilla mengambil gambar.

“Okey, babak seterusnya. Cium dahi Kak Farhah tu, bang.” Adilla menokok. Seronok pula dapat melihat dua insan yang bertentangan peribadi itu bersatu. Nampak manis walaupun masing-masing buat muka tertelan cuka getah.

Azrul semakin mencuka bila mendengar arahan Adilla. “Ni semua kau yang punya kerja tau, Farhah. Tak pasal-pasal nak kena cium dahi segala.”

“Alah, kalau dah tak nak, buat derk ajelah. Buat apa layan?” balas Farhah tiba-tiba.

“Hah?”

“Tak payah nak berlagak romantik sangatlah.” 
Azrul mengetap gigi. “Bertuah punya Farhah!”

Farhah mencebik, mengejek. Mujur tiada siapa yang melihat reaksi wajahnya kerana terlindung di sebalik tubuh Azrul. Mereka sangkakan, Azrul sedang berbual dengan Farhah. Sedangkan sebenarnya Azrul semakin hangat bila dicabar begitu. Lantas dia tarik dagu Farhah lalu didaratkan bibirnya pada dahi gadis itu. Farhah tersentak. Hening tiba-tiba masjid itu.

Adilla pula tersenyum lapang melihat pasangan itu. Segera dia rakam detik itu dengan kamera yang disewanya. Bila Azrul bangkit semula, Farhah masih senyap. Dia pandang Farhah, namun pergerakannya terhenti. Dia lihat pada tubir mata gadis itu, ada air jernih yang bertakung. Berderau darahnya. “Eh, takkan itu pun nak marah?”

Farhah senyap, tunduk. Azrul mengeluh perlahan. ‘Payah kalau dapat bini cengeng.’ Dia sendiri tidak faham apa sebenarnya yang berada di fikiran Farhah.

Akhirnya bersurai majlis hari itu. Bersama-sama Mak Dah dan Adilla, Farhah keluar dari masjid. Kasut tumit tinggi yang dihadiahkan Azrul disarung ke kaki. Azrul pula hanya berjalan perlahan di belakang Mak Dah.

“Eh, takkan berjalan jauh-jauh lagi kut? Tak pimpin tangan?” tegur Haji Daud tiba-tiba. Ahli jemaah masjid sudah mula ketawa nakal. Merah padam wajah Azrul, lantas meluaskan langkah keluar dari situ. Malu!

Semakin galak tawa ahli jemaah masjid.


SEMAKIN lama, semakin perlahan langkah Farhah. Akhirnya ketinggalan di belakang Azrul. Mak Dah dan Adilla kian jauh meninggalkan mereka, laju saja menapak. Antara mahu dan tidak, terpaksalah Azrul perlahankan langkah untuk mengiringi Farhah. Sepanjang jalan ke rumah, hanya semak-samun di kiri kanan jalan. Bimbang juga jika berlaku sesuatu pada gadis itu. Tidak sanggup dia dipersalahkan.

“Boleh berjalan cepat sikit tak? Diorang dah jauh ke depan tu,” tegur Azrul akhirnya bila langkah Farhah semakin perlahan.

Farhah mencuka, lantas diluaskan langkah. “Kasut ni tinggi sangat, susah tau saya nak berjalan! Yang awak beli kasut macam ni kenapa? Dah macam pakai kaki kayu pulak saya.”

“Bukannya tinggi mana pun kasut tu la! Berdiri sebelah macam ni pun tinggi kau tu tak boleh nak lagi capai telinga aku. Auta betullah kau ni.”

“Dah orang memang tak reti, nak buat macam mana? Lepas tu bila orang berjalan lambat, baru nak marah-marah.”

Azrul mencebik, kemudian tersenyum sinis. “Memanglah... Engineer kan cuma reti pakai safety boot dengan helmet! Mana kenal kasut tumit!”

Tiba-tiba hinggap tamparan kuat pada bahu. Azrul terkejut. “Apasal ni?”

Farhah ketap gigi, tunjuk muka bengang. “Kutuk orang lagi.”

“Mentang-mentang dah boleh sentuh, sesuka hati kau aje nak tampar aku, Farhah?”

“Kalau awak nak penumbuk pun saya boleh bagi!” Farhah tunjuk buku limanya yang kecil. Tiba-tiba Azrul ketawa besar. Farhah merengus. ‘Orang serius, dia main-main!’

“Mak nenek.” Perlahan rungutan Azrul, namun Farhah tetap dapat mendengar. Lantas dipandangnya Azrul.

“Apa awak cakap?” soalnya. Berkerut dahi Azrul membalas pandangan Farhah. “Awak cakap apa tadi?” soal Farhah lagi, lebih tegang.

Namun Azrul tetap selamba. “Dah tahu tak reti berjalan guna kasut tu, tanggalkan je la. Tak payah membebel macam nenek kebayan.”


TERHENTI langkah Azrul bila tiba-tiba Farhah tiada di sebelahnya. Tahu-tahu saja, Farhah sudahpun bertinggung bersama kasut yang telahpun ditanggalkan. Tersirap darah Azrul ke kepala. “Kau buat apa ni?” tengkingnya.

Farhah mendongak. “Tadi suruh tanggalkan?”

“Yang kau lurus sangat tu apasal? Macam mana…”

“Ya Allah. Apa lagi tu, Rul! Yang kamu pergi buli Farhah tu kenapa?” Tiba-tiba laungan Mak Dah kedengaran. Azrul pantas menoleh. Serius wajah Mak Dah.

Azrul kalut. “Mana ada!”

“Dah tu yang Farhah sampai melutut depan kamu tu kenapa?”

Azrul pandang Farhah semula. “Pakai cepat kasut tu!”

Farhah merengus. “Tadi suruh tanggal. Ni suruh pakai balik.”

“Pakai je la, jangan banyak songeh!”

Farhah terdiam. Arahan itu dipatuhi penuh terpaksa. Sebelah kasut disarung ke kaki. Terlalu lambat di mata Azrul. Dia mengeluh lantas bertinggung. Kalut! Sebelah lagi kasut Farhah dicapainya. Sebaik saja Farhah selesai memakai sebelah, Azrul pantas menarik sebelah lagi kaki Farhah dan menyarungkan. Farhah hilang imbangan, terpaksa dipautnya bahu Azrul agar tidak terjatuh. “Ambik kesempatanlah dia ni!”

“Diam!”

Farhah terdiam. Seketika kemudian, Azrul melepaskan kakinya. “Dah, jom cepat.”

Farhah segera melepaskan bahu Azrul. Belum sempat bangun, tiba-tiba tangannya ditarik. Sekelip mata langkahnya sudah dipimpin lelaki itu. Farhah terus terbungkam bersama degup jantung yang tiba-tiba terasa hilang arah.


BILA Mak Dah mengarahkan menyembelih ayam sempena majlis makan-makan malam nanti, Azrul tersenyum meleret. Penuh muslihat. Dia mencari Farhah di dalam rumah namun tidak langsung terlihat kelibat gadis itu di mana-mana. Akhirnya dia dapatkan Adilla di dapur.

“Kat bilik dia. Dia cakap tadi sakit kaki,” jawab Adilla bila disoal. Tidak semena-mena Azrul tersengih. Adilla kerut dahi. “Tertelan ubat nyamuk ke malam tadi ni? Apasal senyum-senyum macam orang tak betul ni?”

Azrul terus tersenyum. “Tolong abang kejap, Ila.”


PINTU bilik diketuk dari luar. Farhah yang sedang mengemas beg pakaiannya terus menoleh pada pintu yang tertup rapat itu. “Siapa?”

“Ila.” Sayup-sayup. Terhenti tangan Farhah yang sedang mengemas lalu bingkas. Rambutnya yang panjang terurai dikemas-kemaskan. Tadi dia tidak sempat berbuat demikian, kerana sebaik saja dia tanggalkan tudung, dia terus terbaring di atas katil. Melayan hati yang masih keliru dan seakan bermimpi. Bagaikan tidak percaya dengan status dirinya sekarang.

Kunci dibuka sebelum dia tarik daun pintu. Namun tiba-tiba tersirap darahnya ke kepala bila tercegat Azrul di hadapannya. Terkejut bukan kepalang, spontan dia tolak semula daun pintu namun sudah ditahan dari luar, malah dengan selamba Azrul menapak masuk. Farhah terundur setapak. Merah padam wajahnya. “Awak buat apa ni?”

Azrul terus merapatkan daun pintu dan bersandar di situ sambil menatap Farhah tidak berkelip. Farhah telan liur. Dia teringat rambut yang terdedah. ‘Bahaya ni!’ Lengan baju nikah yang terselak cepat-cepat dia betulkan. Selama ini Azrul tidak pernah melihat dia berpenampilan begitu. Selama ini dia tutup segala hiasan yang ada padanya. Tapi saat ini… ‘Argh… malunya!’ Rasa macam mahu saja dia menyorok bawah katil!

“Mana Ila?” soalnya gugup, cuba melindungi getar di hati. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia perlu jadi begini!

“Aku dah suruh dia pergi sambung masak.” Bersahaja nada Azrul. Farhah terdiam, tidak tahu untuk berkata apa-apa lagi. Akhirnya dia berpusing, kembali pada beg yang sedang dikemasnya. Dia pura-pura sibuk, namun ekor matanya tidak henti-henti mengawasi lelaki asing itu. Ya, lelaki asing yang sudah ‘menceroboh’ bilik ini.

Dia lihat Azrul melangkah ke arah katil dan duduk di situ. Namun anak mata lelaki itu tidak langsung berganjak daripada memerhati dirinya. Terus tidak tenang Farhah dibuatnya. Suasana bilik yang lengang pula benar-benar menyeksa perasaan. Tapi dia tetap pura-pura tenang. Dimasukkan pakaian terakhir ke dalam beg itu.

“Kenapa dengan kaki tu?” Azrul akhirnya memecah suasana. Baru Farhah teringat, mungkin tadi Azrul menyedari yang dia berjalan terjingkut. Tapi dia hanya membisu. Malas menjawab, kerana dia tahu Azrul hanya mahu mencari pasal dengannya.

Tapi tidak disangkanya, tindakan mendiamkan diri itu akhirnya memakan diri. Bila Azrul bangkit dari katil dan menghampiri dirinya, dia kembali hilang arah. Pura-pura dia betulkan beg yang sebenarnya sudah siap dikemaskan.

Azrul duduk di sebelahnya, selamba. Farhah buat-buat serius. Azrul tersenyum tipis. “Ingat, awak tu bukannya kawan saya lagi dah.”

Farhah terdiam sebaik mendengar kata-kata itu. Hampir berkerut dahinya.

“Isteri wajib taat pada suami…” Penuh dengan sindiran.

Hangat wajah Farhah. Nampaknya Azrul sudah mula menyalahgunakan kuasa. Tiba-tiba dia terasa seperti mahu memutarkan semula masa. Dia tidak mahu dinikahi lelaki itu!

“Sakit.” Sepatah dijawab akhirnya. Langsung tiada minat untuk memesrakan suara.

“Kenapa?”

Farhah diam sesaat. “Dulu pernah jatuh masa dekat U.”

“Selama ni elok aje?”

“Salah kasut.”

Azrul tersenyum sinis tiba-tiba. “Salahkan akulah ni?”

Senyap. ‘Tahu sendirilah.’ Hati berbisik.

“Habis tu, kau nak aku buat apa? Bukannya aku boleh tukarkan kaki aku ni dengan kau.” Selamba bodoh Azrul menyakitkan hatinya. Sudahlah dia sedang menahan perit pergelangan kaki kiri yang bengkak. Kini Azrul pula yang cari pasal.

“Saya tak nak apa-apa. Awak senyap je dah baik. Sebab kaki saya tengah bengkek… je ni. Rasa macam nak tumbuk orang. Silap-silap nanti, awak dinner dengan penumbuk.”

Namun Azrul hanya tersenyum sinis mendengar amaran itu. ‘Macam iya je.’ Tanpa mempedulikan Farhah yang sedang bertinggung mengemas beg, dia capai kaki kiri gadis itu dan ditariknya. “Bagi sini aku tengok.”

Tersirap darah Farhah. Sekali lagi Azrul berkelakuan ‘tidak sopan’ begitu, malah kali ini lebih drastik. Dia terduduk di lantai gara-gara hilang imbangan. Dengusan kasar dilepaskan. “Awak kalau tak merepek boleh tak?”

“Suka hatilah. Aku nak buat apapun, kau kisah apa. Bini aku, bukannya masalah pun.”

“Masalahnya bini awak tu saya. Apa-apa hal, saya yang menanggungnya!”

“Habis tu?” Selamba sambil terus membelek kaki Farhah.

Farhah terbungkam mendengarnya. Bagai dicucuk-cucuk rasa hati. Eii… geram! “Malaslah layan awak ni. Lama-lama boleh kena barah otak saya ni tahu!” Farhah tidak jadi meneruskan kata bila pandangan tajam Azrul menembusi anak matanya tika itu juga. Farhah terpaksa melarikan pandangan.

“Kalau dah tahu nak mati awal, buat apa datang sini? Pergilah ikut bapak angkat kau tu.” Farhah terdiam. Azrul mengeluh kasar lalu melepaskan pergelengan kaki Farhah. “Mintak benda yang bukan-bukan. Ingat aku suka sangatlah tu.” Azrul bingkas, membiarkan Farhah terbelenggu dengan rasa bersalah. Daun pintu dikuaknya dan sebelum keluar, dia sempat meninggalkan arahan. “Lagi lima minit, pergi belakang rumah. Mak ada bagi hadiah sikit pada kita.” Farhah terus diam. Perkataan mak yang meluncur laju dari bibir Azrul meninggalkan kesan buat hatinya.

“Kalau lagi lima minit kau tak ada, tahulah aku nak buat apa.” Bersama-sama ugutan itu, Azrul menghilang di sebalik daun pintu. Senyap-sunyi semula bilik itu selepas ketiadaan lelaki itu. Farhah hanya mampu mengeluh perlahan.

0 861 komen:

Post a Comment

Assalamualaikum. Hai!
Terima kasih baca.
Cer komen sikit?

.

.