Friday, 17 May 2013

Hati Yang Kau Sentuh Bab 14

 
FARHAH nampak semakin tenang akhir-akhir ini. Semua mata di rumah itu mampu melihat perubahan itu, kecuali Azrul. Entah kenapa, dia lihat Farhah bagaikan cuba lari daripada sesuatu. Bagaikan takut-takut. Tapi dia tidak mahu lagi ambil tahu soal gadis itu. Biarkan saja Mak Dah yang menguruskan. Semenjak dia maklumkan berkenaan dirinya yang sudahpun berpunya, Farhah kelihatan faham.
Untuk seketika, tenang sedikit hati Azrul daripada kerenah-kerenah gadis misteri itu. Melihatkan Farhah yang sudah mula mahu membantu menguruskan hal-hal rumah, adakala hatinya tercuit. Geli hati juga bila mengingatkan Farhah yang langsung tidak tahu memasak itu.
Bayangkan, bancuh air pun kelam-kabut. Azrul hanya mampu menggeleng-geleng kepala mengenangkan perkara itu. Ada lagi rupanya anak gadis sebegitu dalam dunia ini. Seteruk-teruk Maya, tak adalah sampai tidak tahu membezakan mana gula mana garam.
‘Tapi tak apalah. Sekurang-kurangnya dia nak belajar.’
 
AZRUL sedang berkemas di dalam bilik untuk ke rumah Haji Daud sewaktu Adilla ketawa besar di ruang tamu. Perhatian Azrul tertarik, lantas dia mencuri-curi dengar dari dalam bilik.
“Eleh, lalat pun tahu jugak berbunyik apa!” seloroh Adilla.
“Tapi lalat cuma boleh buat satu bunyi je. Itupun waktu jumpa makanan!”
“Iya ke?”
Farhah jungkit bahu. “Tak tahu! Akak main agak je.”
Adilla ketawa. “Ho… maknanya akak ni jenis yang suka buat kesimpulan awal la…”
Farhah tersengih. “Tapi masa akak pergi kat tempat ikan tu, penuh dengan lalat je! Sampaikan akak tak nampak langsung dekat mana ikannya!”
“Agaknya kalau akak tangguk lalat-lalat tu, boleh dapat sekilo tak?”
“Boleh jadi jugak!”
Meledak tawa Adilla. “Kalau macam tu, baik akak cakap pada tauke kedai tu yang akak nak beli lalat dia je. Mungkin boleh dapat murah sikit!”
“Tapi nak buat apa beli lalat? Kalau bagi free pun akak tak mahu!”
Bersisa tawa Adilla. “Alah, apa nak kisah? Akak masak je macam kerang. Bagi Abang Azrul makan. Kalau dia tanya, akak cakaplah itu kerang!”
“Eh, tapi lalat tadi besar-besar! Warna hijau pulak tu!”
“Hah, kerang Brazil namanya tu!” Pecah lagi tawa Adilla.
“Banyaklah Ila punya kerang Brazil.” Farhah menggeleng-geleng geli hati.
Adilla menyudahkan tawa yang bersisa sebelum meneruskan kata, “tak kisahlah. Selagi tak ada sesiapa yang bagitau, maknanya rahsia kita ni selamat.” Nakal bunyinya. “Dulu masa akak jadikan bunyi lalat tu ringtone, ada tak orang kata pelik?”
“Ada jugak. Tambah-tambah lagi masa akak belajar dulu.”
“Ye ek?” Adilla yang tadinya bersandar di dinding terus duduk tegak. Segar matanya. “Eh, cuba akak cerita sikit pasal bidang akak masa kat U dulu. Macam best je?”
“Lah, tak nak dengar cerita pasal lalat dah?”
Adilla tersengih nakal. “Tak apalah. Esok lusa kalau Ila nak dengar, Ila tanya akak.”
“Okey, okey…” Farhah mengangguk penuh erti.
“Seronok tak kalau orang perempuan yang lembut macam akak ambik bidang yang lasak macam tu?”
Farhah mengangguk. “Seronok! Tapi kenalah tahan sikit. Tambah-tambah lagi, diorang ingat akak ni lembik. Masa first year dulu teruk akak kena torture.”
Adilla tertawa kecil. “Habis tu akak buat apa? Akak nangis?”
Farhah mencemik. “Kalau akak menangis, mesti lagi teruk diorang buli.”
“Mana akak tahu?”
Farhah tersenyum nakal. “Sebab dulu masa kat sekolah, akak dah pernah kena.” Hampir kepada bisikan, membuatkan Adilla ketawa mengekeh penuh erti. Farhah menambah, “sebab tu akak tak nangis. Akak masuk aktiviti, pegang jawatan penting. Ha, senyaplah mulut diorang.”
“Oo… bagus jugak ek? Kalau kita ada jawatan, itu bukti yang kita ni boleh memimpin. Kalau boleh memimpin, maknanya kita ni bukan jenis yang boleh dipijak-pijak.”
“Hah, betul. Kenalah pandai sikit.”
Adilla mengangguk-angguk faham. “Tapi Kak Maya tu… jangan kata memimpin orang. Diri sendiri pun tak terpimpin lagi. Sia-sia je belajar tinggi.”
Terungkap saja nama itu di bibir Adilla, Farhah terus terdiam. Tapi senyuman yang masih terukir di bibirnya itu berupaya melindungi isi hati.
Adilla terus bersuara, “sebab tu sampai sekarang dia belum dapat kerja lagi. Setakat ada ijazah je, tapi tak boleh pakai!”
Farhah hanya tersenyum nipis mendengarnya.
“Ila pun tak faham. Apasal la Abang Azrul tu boleh mintak mak ngah masuk meminang Kak Maya. Akak dah ada kat depan mata, dia nak jugak pada orang yang entah apa-apa tu. Mata dia dah rabun ke?”
“Kalau nak tahu dia rabun ke tak, Ila kena pergi tanya dia sendiri.” Farhah cuba mengalih topik, tapi kata-katanya itu membuatkan Adilla semakin galak mengadu.
“Tak payah tanya, Ila dah tahu yang dia tu rabun! Tapi orang ego terlampau macam dia tu mana nak mengaku. Sebab tu dia tak pakai-pakai spec sampai sekarang. Buta mata tu nanti baru tahu!”
Tiba-tiba terkuak pintu bilik Azrul, spontan Adilla dan Farhah menoleh. Kedua-duanya tercengang. “Dia memang ada dalam bilik ke, kak?” bisik Adilla di telinga Farhah.
Farhah yang tidak berkelip hanya menggeleng kecil. ‘Entah!’
Tapi yang pasti, mereka sudahpun terperangkap!
“Esok aku nak masuk hutan kat belakang rumah.” Serius suara Azrul sambil melangkah ke pintu utama. “Daripada korang mengumpat tak tentu pasal, baik ikut aku pergi cari rebung.”
Baik Farhah mahupun Adilla, kedua-duanya terus kelu. Mereka tidak mampu mengagak, apakah Azrul marah atau tidak. Tapi mereka tetap takut jika esok Azrul mengenakan mereka.
‘Aduh…’
 
“ILA jangan lepaskan tangan akak walau sesaat pun tau? Takut nanti Abang Azrul kenakan kita.”
“Okey, okey. Kalau ternampak dia macam cuba-cuba nak buli kita, kita sama-sama kerjakan dia balik. Ila back up akak.”
Okay! Beres!” Mereka ketawa kecil. Keanakan.
“Dah! Jangan nak mengada-ngada pulak kat dalam hutan macam ni.”
Mereka terdiam. Langkah Azrul terus mereka ekori. Tapi sepanjang mencari rebung dan ulam-ulaman dalam hutan itu, ada saja perilaku spontan Farhah yang keanakan hingga membuatkan Adilla pecah perut. Azrul pula adakalanya nyaris-nyaris tersenyum, tapi terpaksa ditahan ketat bibirnya. Penuh serius dia arahkan Farhah yang kepenatan itu meneruskan perjalanan. Terpaksalah Farhah bangun dan berjalan semula dengan wajah mencuka.
Sesekali Farhah merungut gara-gara digigit nyamuk. Azrul tersenyum sinis. Hatinya yang masih bersalut curiga itu terus meragui kejujuran Farhah. ‘Kalau betul-betul Farhah, dulu dia dah pernah bertenggek atas pokok. Takkan takut lagi dengan nyamuk?’
Sewaktu mereka berjalan keluar dari hutan, Adilla dan Farhah semakin rancak berbual. Ada saja yang mereka jadikan topik. Ada waktu terlalu keanakan. Azrul yang berjalan di hadapan tidak mampu menahan hati yang digeletek. Sesekali dia juga tertawa, tapi sedikit cuma. Enggan dibiarkan dua gadis itu mendengar. Jatuh maruahnya nanti.
“Okey, dah sampai pun kat rumah!” Adilla bersuara ceria. Farhah tersenyum lebar. Tapi sesaat kemudian langkahnya terhenti sebaik terpandang sebuah kereta memasuki laman rumah. Pucat lesi wajahnya tika itu juga. Adilla yang tidak menyedari perubahan pada Farhah terus juga melangkah. “Siapa tu, bang?”
“Entah.”
Farhah cepat-cepat bersembunyi di sebalik pokok-pokok hutan dan semak-samun di situ.
“Eh, Kak Farhah!” Spontan Adilla berpusing bila menyedari kehilangan gadis itu. “Kenapa menyorok kat situ?” Lantas dihampirinya Farhah yang sedang memeluk lutut.
“Pergi, Ila!” tekan Farhah, cemas. Adilla menyangka Farhah bergurau lantas berpusing dan dengan nakal melaung nama Azrul. Tapi Farhah segera memintas, “Shhh!”
Namun Azrul sudah pun menoleh. “Apahal?”
“Tengok Kak Farhah ni!”
Berkerut dahi Azrul bila terpandang Farhah yang sedang duduk memencil diri di dalam semak. Rasa geram bertamu dalam hati. “Main-mainlah kau dalam hutan macam ni!”
Farhah terus meletakkan jari telunjuknya di bibir. “Shhh! Pergi! Pergi!” tekannya lagi.
Azrul berdecit rimas. “Apahal lagi dengan kau ni?”
Namun Farhah tidak membalas, bahkan masih dengan raut wajah yang cemas. Azrul mula geram, lantas melangkah ke arah Farhah. Nampaknya dia perlu mengugut gadis itu. Kalau tidak, alamatnya sampai ke petang nantilah Farhah akan terus berada di situ. Ergh! Betul-betul menyusahkan!
“Kalau aku cakap sekali, kau tak reti-reti nak faham gamaknya. Kau nak aku guna bahasa Jerman pulak ke?”
“Tolong saya, Azrul!” Tiba-tiba suara cemas Farhah kedengaran. Azrul yang betul-betul berdiri di hadapan Farhah terus terhenti. Nada Farhah bukan mainan saat ini.
“Apahal kau ni?”
“Orang tu cari saya. Tolong jangan bagitau apa-apa pasal saya. Tolong saya Azrul, saya betul-betul mengharap pada awak…”
Berkerut dahi Azrul, tidak puas hati. “Aku kena bersubahat dengan kau pulak ke?”
“Cepat, Azrul! Nanti mak awak tersalah bagitau!” Tiba-tiba Farhah menengking dalam suara yang ditahan. Tubuh Azrul ditolak kasar sebelum kembali memeluk lutut. Menggigil-gigil gadis itu. Azrul terdiam, tidak faham dengan ketakutan Farhah yang nampak begitu ketara.
Azrul menoleh pada keadaan di laman rumah. Lelaki tadi kelihatan sedang berbual dengan Mak Dah yang baru turun ke kaki tangga. Sesaat Azrul membisu dalam rasa keliru. Tapi antara mahu dan tidak, Azrul terpaksa juga mengerah langkahnya ke laman rumah. Dia tatap wajah lelaki itu dari sisi. Semakin hampir dengan lelaki itu, dia semakin perasankan sesuatu.
Bila tiba berhampiran, baru dia benar-benar yakin. Dia pernah berjumpa lelaki itu. Tapi tidak pasti bila dan di mana. Dia cuba mengingati.
Oh! Itulah suami Ustazah Kamalia yang menumbuknya suatu masa dahulu. Tentu mencari anak gadisnya yang hilang itu. Tapi kenapa Farhah takut pula dengan kehadirannya?
Azrul cepat-cepat memanggil lelaki itu. Lelaki itu menoleh. Azrul tersenyum nipis. “Ada apa ni?”
Lelaki yang kemas berkemeja dan berseluar slack warna hitam itu membalas senyuman lalu menghampiri Azrul. “Ini Kampung Gunung Panjang, ya?” soalnya mesra. Azrul mengangguk. Lelaki itu menunjukkan sekeping gambar. “Encik pernah nampak tak adik ni? Dia hilang. Saya dapat tahu, ada orang pernah ternampak dia kat daerah ni.”
Azrul terdiam. Baru dia faham, ini rupanya punca ketakutan Farhah selama ini. Maknanya memang betullah gadis itu lari dari rumah. Tapi dalam masa yang sama, dia diterpa curiga. Setahunya, Farhah dalam keadaan yang tertutup wajahnya sewaktu dia temui dulu. Jadi bagaimana pula penduduk di daerah ini boleh beri maklumat tentang gadis itu?
Lagipun keadaan lelaki di hadapannya ini nampak seperti ada yang tidak kena. ‘Kenapa baju dia basah?’ Sedangkan kereta yang digunakannya mewah. Tak mungkin lelaki itu tidak memasang penghawa dingin. ‘Nampak agak tergesa-gesa…’ Curiga. Akhirnya Azrul menggeleng kecil. “Yang ni saya tak ada pulak nampak.”
Lelaki itu terdiam. Tersenyum hambar bagaikan hampa. “Oh… Kalau macam tu, tak apalah. Terima kasih.”
 
SEBAIK berlalu kereta mewah itu dari laman rumah, Azrul dan Mak Dah berpandangan. Masing-masing dengan perasaan yang tidak menentu. Enggan bersabar lagi, Azrul segera mendapatkan Farhah yang masih bersembunyi di belakang rumah. Tiba di situ, dia lihat wajah Farhah kelihatan benar-benar lega. Bagaikan baru terlepas dari bencana. Adilla yang menemani Farhah juga nampak kebingungan.
“Terima kasih banyak-banyak.” Sejurus mengucapkan, Farhah terus meninggalkan kawasan itu. Berkerut dahi Azrul, tidak puas hati. Lantas dia berpusing menghadap gadis yang semakin jauh melangkah itu.
“Siapa tadi tu?”
“Orang jahatlah, dia nak tangkap saya.” Selamba tanpa mematikan langkah. Azrul tercabar.
“Kau nak jawab, atau kau nak aku panggil balik lelaki tadi?” Tegang suaranya mengugut.
Serta-merta terhenti langkah Farhah. Berderau darahnya, namun masih tiada keberanian menghadap Azrul. Dia terus kaku di situ bersama degup jantung yang semakin hilang rentak. Dan bila dia dapat rasakan Azrul menghampiri dirinya, terlepas keluhan berat dari bibir. ‘Habislah aku…’
Kini Azrul berdiri benar-benar di hadapan Farhah. Direnung tajam wajah Farhah hingga gadis itu terpaksa melarikan pandangan. “Siapa lelaki tadi?” ulangnya dengan suara yang lebih ditekan.
Bagaikan berselindung isi hati, Farhah berkalih sedikit. “Abah saya.”
“Aku tahu,” pintas Azrul. “Tapi kenapa aku tak boleh bagitau dia pasal kau?”
Farhah diam. Azrul semakin hilang sabar. “Baik kau jawab, Farhah!”
“Itu ayah angkat saya!” Terpacul dari bibir Farhah. “Saya tak pernah ada keluarga kandung selama ni. Ustazah tu pun mak angkat saya je.”
“Maknanya kau menyamar jadi Farhah?”
Tersirap darah Farhah lantas menentang pandangan Azrul.
“Ustazah memang ada sorang je anak kandung,” tambah Azrul.
Tajam kata-kata itu menghiris hati. Farhah mendengus lemah. “Memang takkan pernah jadi, orang mati hidup balik kecuali atas kehendak Allah. Tapi kalau saya ikut abah saya tu, baru saya akan betul-betul mati.”
Azrul diam.
“Saya tak tahu kenapa awak susah sangat nak percaya apa yang saya bagitau. Saya dah tak larat dah. Semakin banyak yang saya terangkan, awak semakin menolak. Daripada macam tu, lebih baik saya senyap.”
Azrul diam juga. Masih belum terlihat riak percaya di wajahnya. Keluhan berat terlepas dari bibir Farhah. Ekor matanya sempat hinggap pada Adilla yang nampak tidak mengerti. Entahlah. Dia sendiri tidak tahu, apa lagi yang boleh dia buat supaya semua isi rumah itu benar-benar percaya apa yang diberitahunya.
Farhah berundur setapak bersama keluhan. “Mula-mula dulu saya sendiri pun tak percaya yang saya ni anak yatim. Hal ni saya dapat tahu bila saya balik dari luar negara. Itupun tak sengaja, sebab saya terdengar dia jawab call. Tapi apa yang saya boleh buat? Memang nama dia sama dengan nama ayah kandung saya, tapi dia tetap tak boleh jadi wali saya.”
“Itu aje sebab kau lari?”
Farhah menggeleng. “Saya nak selamatkan diri.” Perlahan sedikit suaranya. “Tolonglah percayakan saya… sebenarnya dialah orang yang rancang accident tujuh tahun lepas.” Hampir terzahir sebak di dada, dia segera menahan. “Dia buat macam tu sebab umi saya tak sanggup ikut kehendak dia. Dia nak jual umi saya untuk langsaikan semua hutang dia. Tapi saya tak pernah tahu langsung tentang semua tu. Umi terlampau berahsia dengan saya. Umi nampak bahagia, sedangkan hati dia…” Terputus kata-katanya bila getar pada suara makin ketara. “Apa lagi yang awak nak tahu sekarang ni supaya awak betul-betul percaya?”
Azrul membisu untuk sesaat. “Aku cuma nak tahu, kenapa kau lari dari rumah.”
Farhah terdiam untuk seketika. Keluhan berat terzahir perlahan-lahan dari bibir. Nyata, Azrul masih belum mahu mempercayainya. “Waktu dia jawab call tu, saya tahu dia akan jual saya untuk gantikan umi saya. Hutang dia tak selesai lagi. Kalau saya terus tinggal dalam rumah tu, saya tak tahu sekarang ni saya ada dekat mana.”
“Kau tak report pada polis?”
“Itulah benda pertama yang saya buat bila dapat lari dari dia. Tapi sampai sekarang tak ada apa-apa perkembangan. Dia orang yang berpengaruh. Kawan dia ramai, ke mana saya pergi pun, cepat je dia tahu.”
Diam.
“Saya tak kenal sesiapa selain awak. Saya tak ada saudara-mara…” Terhenti kata-katanya dalam hati yang semakin rapuh. “Bila… saya minta dinikahi pun… cuma alasan. Supaya awak tak dituduh menculik. Itu aje. Fikiran saya serabut sangat sekarang. Saya tak tahu, betul atau tak apa yang saya buat. Saya cuma buat apa yang terlintas dalam fikiran, Azrul… Kalau awak pun tak percayakan saya, mana lagi saya nak pergi?” Terhenti kata-kata bila akhirnya dia gagal mengawal sebak. Gugur air jernih dari tubir mata. Farhah segera menyekanya dan menapak ke pintu belakang rumah.
“Kau nak pergi mana?”
Terhenti langkah Farhah lantas menoleh.
“Aku belum habis cakap lagi.”
Farhah terdiam, pasrah. Biarlah. Kalau Azrul enggan juga percayakan dirinya, apa lagi yang dia patut buat. Encik Fauzi sudah mula mengesyaki lokasi persembunyiannya. Tiada guna dia menumpang lagi di sini.
“Kenapa kau tak report je pada orang yang patut tahu? Sekarang kan kerajaan dah sediakan macam-macam cara untuk selamatkan orang macam kau ni.”
Farhah terdiam, nampak semakin lemah. “Pengaruh dia kuat, Azrul…” tekannya.
“Tapi itu tetap bukan alasan.” Laju memintas. “Macam mana kau boleh percaya sangat dengan aku ni? Kau sendiri tahu siapa aku.”
“Dulu awak pernah tolong saya!”
“Tapi kali ni bukan sikit yang kau mintak tau. Kau nak kahwin kontrak ke dengan aku? Berapa lama?”
Farhah terdiam. Terus tunduk di hadapan Azrul. Sesaat kemudian, terungkap perlahan kata-kata mengalah di bibirnya. “Kalau terlampau berat permintaan tu, saya faham. Saya takkan sesekali mintak lagi benda-benda yang menyusahkan awak. Cuma saya mintak sangat… tolonglah jangan ungkit lagi tentang siapa saya yang sebenar. Saya dah tak larat sangat. Masalah yang ada ni pun dah terlampau berat.” Perlahan.
Bila Azrul membisu, Farhah menghela nafas panjang. “Mintak diri.” Dengan kata-kata terakhir itu, Farhah terus menapak dan menghilang ke dalam rumah.
Adilla yang hanya memerhati dari tadi, segera mengekori Farhah. Azrul semakin terbungkam. Dia sendiri keliru dengan apa yang baru didengarinya. Benarkah keceriaan dan sikap pelik yang ditunjukkan Farhah selama ini cuma topeng? Sekadar mahu melindungi isi hati.
Benarkah?
Azrul mengeluh berat. Dia sendiri tidak pasti perasaannya yang sebenar. Bagaikan mimpi semua itu. ‘Betul ke semua ni…’ Masih terselit ragu-ragu.
Tapi entah kenapa, hatinya membuak-buak memaksa agar percaya. Serentak dia tiba-tiba seakan terlihat-lihat wajah ustazah. Tika itu juga terngiang-ngiang kata-kata yang dilafazkan wanita itu pada pertemuan terakhir mereka dahulu.
“Maknanya lepas ni, bolehlah Farhah cari awak lagi kalau dia susah.”
Berdebar dada Azrul, makin resah. Wasiatkah itu? Adakah ustazah benar-benar bermaksudkannya? Adakah sememangnya wanita itu telah dapat menjangka kematiannya, hingga perlukan seseorang sebagai tempat mengharap. Benarkah?
Tapi kenapa mesti dia! Apalah sangat yang mampu dia bantu. Lebih-lebih lagi dalam keadaan dirinya saat ini. Dia bakal bergelar tunangan Maya.
‘Ya Allah… kenapa rumit sangat ni…’ keluh hati, gelisah.
Mengingatkan rasa terkilan yang ditanggungnya selama ini, dia makin tidak betah. Sekarang Farhah sudah datang semula dalam hidupnya bahkan kehadiran kali ini untuk meminta bantuan. Adakah dia akan mungkiri janjinya selama ini? Akan terlangsaikah rasa terkilan yang selama ini menyesak dadanya? Apa yang patut dilakukannya?
Perlahan-lahan, terlepas keluhan lemah dari bibirnya. Buntu.
 

0 861 komen:

Post a Comment

Assalamualaikum. Hai!
Terima kasih baca.
Cer komen sikit?

.

.