Tuesday, 14 May 2013

Hati Yang Kau Sentuh Bab 13

 
SUDAH hampir sebulan berlalu. Mula terselak peribadi sebenar Farhah pada seluruh isi rumah itu. Azrul yang kini menumpang tidur di rumah Haji Daud, terus resah bila Mak Dah mula kerap mengadu padanya. Kata wanita itu, Farhah tidak tahu langsung soal masak-memasak dan mengemas. Pegang sudip pun keras tangan. Goreng telur pun hancur. Akhirnya, terpaksalah Mak Dah dan Adilla yang siapkan setiap kerja di rumah itu. Sedangkan Mak Dah sudah semakin sibuk menerima tempahan pakaian.
Mak Dah bukanlah berkira sangat dengan Farhah. Tapi hairan juga bila memikirkan yang anak sebaik Farhah tidak pernah membantu ustazah dalam perihal rumahtangga. Azrul juga agak curiga dengan khabar itu. Tapi dia bimbang Farhah terluka jika dia mempersoalkan lagi tentang siapa diri gadis itu yang sebenar. Tidak pasal-pasal nanti Farhah lari lagi dari rumah itu. Masalah lagi!
Untuk menjaga hati kedua-dua pihak, terpaksalah Azrul memanipulasi keadaan. Pada Mak Dah dia katakan, golongan berada memang takkan terasa aneh jika anak gadis mereka ‘kayu’ dalam soal masak-memasak. Mungkin dulu pembantu rumah yang menguruskan segala soal berkaitan rumahtangga. Istilah bibik bukanlah sesuatu yang luar biasa bagi mereka. Mak Dah senyap bila mendengar tanggapan Azrul itu. Dia terima walau masih terasa kurang enak.
Azrul hanya mampu tersenyum sinis melihat Mak Dah yang terus dilanda kemusykilan demi kemusykilan berkaitan Farhah. Bagi Azrul, tiada apa yang perlu digusarkan. Jika suatu hari nanti terbukti yang Farhah menipu, mudah saja jalan yang dia akan ambil. Farhah akan dihalau serta-merta dari rumah itu. Senang! Dia tidak mahu memberat-beratkan benaknya dengan sesuatu yang tidak langsung memberi manfaat. Kerana dia kini sedang menanggung beban yang lebih berat.
Maya. Ya, sepupu yang muda setahun darinya itu. Sehingga kini, dia yang menyara keluarga Maya walaupun sudah bertahun Maya bergelar graduan. Alasan Maya, tiada kerja yang sesuai. Disebabkan tidak sanggup melihat darah dagingnya hidup melarat, terpaksalah dia sara keluarga itu. Barangkali itulah sebabnya Maya mengambil kesempatan.
Suatu hari, sewaktu ke gerai berhampiran untuk membeli makanan tengah hari, perhatian Azrul terganggu bila sepasang kekasih yang sedang hangat bercinta lalu di hadapannya. Dia seakan kenal gadis itu. Dan bila dia angkat kepala, tangan yang sedang memasukkan polisterin ke dalam plastik itu terus terhenti. Tersirap darah ke kepala.
Dia ekori pasangan kekasih itu dengan pandangan. Dari jauh, kelihatan mereka bercumbuan di tengah-tengah khalayak. Jengkel pula Azrul rasakan. Tidak lama kemudian, pasangan itu berpisah. Si gadis beredar pergi sementara si lelaki terus memerhati lenggok manja teman wanitanya itu.
Kesempatan itu segera digunakan Azrul. Lelaki bersusuk tubuh tinggi lampai ala-ala model itu dihampiri. Dan sebaik saja dia perkenalkan diri, lelaki itu kelihatan kurang percaya. “You? Sepupu Maya?”
Azrul angguk. “Boleh kita bercakap sikit?”
Lelaki itu tersenyum sinis. Azrul yang berpakaian lusuh dipandang jelek, tetapi kepalanya tetap mengangguk. “Bolehlah.”
 
HAIKAL ketawa besar sebaik mendengar tawaran yang diberikan Azrul. “Kahwin?”
Azrul senyap, menanti jawapan.
Come onlah. Aku ni kerja pun belum lagi.”
“Habis tu kenapa kau buat dia macam tu kalau tak mampu bertanggungjawab?”
Haikal tertawa sinis mendengarnya lalu bersandar di belakang kerusi. Bahunya dijungkit seraya memeluk tubuh. “Rezeki dah datang bergolek. Rugi kalau aku tolak!”
Berbahang hati Azrul mendengarnya, merebak hingga ke wajah. Haikal pula bangkit. Dengan selamba berlalu. Seolah-olah terlalu hina berbual dengan Azrul. Azrul mengeluh geram memerhati langkah Haikal.
Hasilnya, kualiti kerjanya sepanjang hari itu sedikit merosot. Emosinya juga agak terganggu. Sepatah kata rakannya, sepatah jawapan darinya. Ada waktu langsung tidak berjawab. Serius saja wajahnya. Bahkan di hadapan Firdaus juga dia gagal melindungi hati yang sedang tegang.
Firdaus yang menyedari kelainan itu, enggan menambah tekanan lalu membiarkan saja Azrul bersendirian. Selagi tiada perkara yang dilakukan Azrul dilihat berpotensi memudaratkan keadaan, selagi itu dia akan memberi ruang Azrul berfikir sendiri. Dia tahu, walau serapat mana pun dia dengan pekerjanya itu, Azrul bukanlah seperti anak muda lain yang dikenalinya. Azrul terlalu perahsia dan memendam rasa. Tiada guna jika dia mendesak.
 
DISEBABKAN hati yang sudah hilang sabar, Azrul ambil keputusan untuk bermalam di rumah Mak Dah. Mak Dah tidak menghalang, tapi agak terpinga-pinga dengan angin yang kurang baik daripada anak bujangnya itu. Azrul pula tidak berkata banyak. Terus saja masuk ke dalam bilik dan berkurung. Macam anak dara.
Sejam sebelum masuk waktu maghrib, baru Azrul keluar dari bilik. Ketika itu, televisyen di ruang tamu terpasang. Tapi tiada sesiapa yang menonton. Berkerut dahinya. ‘Membazir je tau!’ rungut hati. Punat pada badan televisyen itu ditekan, serta-merta hitam gelap kacanya. Ruang tamu bertukar lengang.
Tiba-tiba muncul Adilla dari arah dapur. “Lah… kenapa abang tutup tv tu?”
“Habis tu dah takde siapa yang tengok.”
Adilla mengeluh seraya menapak ke almari televisyen. “Ila yang tengoklah.”
Senyap. “Malam ni kau tidur kat mana?”
“Balik rumah sanalah, bukannya ada kelas tambahan pun malam ni. Kenapa?”
Azrul geleng kepala. Langkah menghala ke dapur. “Mak ngah mana?”
“Kat luar dengan Kak Farhah.” Kali ini nada yang kedengaran berbaur geram. Marah gadis itu kerana tumpuan pada drama kegemarannya terganggu.
Terhenti serta-merta langkah Azrul ke dapur, lantas dia menukar arah ke serambi. Laju saja dia menuruni anak-anak tangga. Mak Dah yang sedang berbual-bual dengan Farhah di laman spontan menoleh sebaik menyedari kehadiran Azrul. Belum sempat anak bujangnya itu bersuara, Mak Dah terus memulakan kata, “Rul, tolong repair sikit pangkin kat bawah pokok rambutan tu. Macam dah nak runtuh je mak tengok.”
“Erk…” Hasrat Azrul terbantut. Mak Dah pula segera berlalu dari situ, menghilang ke dalam rumah. Azrul pandang Farhah yang sedang menyiram pokok-pokok bunga. Gadis itu tidak langsung mempedulikan kehadirannya. Malah akhir-akhir ini, dia lihat gadis itu semakin pendiam. Ada waktu, bagaikan keresahan pula. Azrul tidak tahu apa puncanya, tapi dia memang tidak mahu ambil tahu. Buat apa? Menyusahkan!
“Jaga-jaga sikit, weh. Aku nak repair pangkin tu. Nanti kalau tersiram aku, siap kau.” Bersama amaran itu, Azrul menapak ke pokok rambutan yang dimaksudkan. Dibelek-belek dan diperhati kerosakannya. Kemudian dibetulkan mana yang patut. Khusyuk.
Farhah pula seakan tidak langsung mendengar peringatan Azrul tadi. Bagaikan tenggelam dalam dunia sendiri, Farhah terus menyiram pokok-pokok bunga di situ. Dari satu tempat ke satu tempat. Azrul pula terus khusyuk dengan kerja.
 
TIBA-tiba terpancut air deras ke tubuh Azrul.
“Woi!”
Farhah tersentak. Tanpa sengaja, semakin kuat dipicit muncung getah paip.
“Woi!!!”
Terus Farhah terlepas paip, terkejut. Terjatuh getah paip ke tanah. Azrul yang basah lencun segera menutup kepala pili sebelum berdiri menghadap Farhah. “Kau ni memang tak reti buat kerja rumah ke apa?”
“Ss…sorry…” Gagap.
Sorry! Sorry! Pergi masuk dalamlah! Menyusahkan aku tak habis-habis kau ni.”
Farhah serba salah.
“Pergilah!!!” Meledak tengkingan Azrul. Farhah tersentak dan segera berlalu. Azrul terus merungut sambil melangkah ke rumah. Adilla yang terpinga-pinga tidak dipedulikan. Azrul menuju ke dapur. Mak Dah yang bertanya-tanya tentang kekecohan di luar rumah tadi sekadar dia jawab dingin. Dia terus menuju ke sinki. Seketika kemudian, dia menapak ke bilik Farhah. Diketuk pintu bertalu-talu. Terkuak saja pintu dari dalam, terus dia simbah secawan air ke muka Farhah. “Balasan!”
Farhah senyap. Azrul agak pelik bila gadis itu tidak membantah. Tapi dia tidak peduli dan terus berlalu. Bagaimanapun, langkahnya terhenti di muka pintu utama. Hatinya semakin membuak-buak mahu tahu keadaan sebenar gadis itu. Lantas dia masuk ke biliknya sebelum kembali semula ke bilik Farhah yang terletak di antara biliknya dan bilik Mak Dah. Diketuk pintu. “Farhah!”
Senyap. Dia ketuk lagi dengan lebih kuat hingga mengganggu tumpuan Adilla terhadap televisyen. “Senyap sikitlah, bang!”
Azrul tidak peduli. Semakin kuat tangannya menghentak pintu bilik. “Weh, Farhah! Kau dengar tak ni?”
Tiba-tiba terkuak daun pintu dari dalam, serentak terhenti tangan Azrul. Sempat anak matanya terpandang wajah Farhah yang disaluti kesan tangis. Ada rasa bersalah menekan hatinya, tapi tidak dilayan. Dia hulurkan tuala yang diambil dari biliknya tadi. “Ambik ni.”
Farhah tidak melawan langsung. Terus menyambut dan menolak daun pintu untuk ditutup semula. Azrul pantas menahan, membuatkan Farhah terhenti namun masih tunduk. Azrul semakin bingung. “Aku nak tanya kau sikit.”
Farhah senyap.
“Apasal kau ni pelik sangat? Kejap-kejap menangis, kejap-kejap marah. Lepas tu tak tentu pasal, kau boleh tergelak-gelak pulak. Apasal ni? Kau ada rahsiakan apa-apa dari kitorang ke?”
Senyap juga. Azrul mendengus geram.
“Kalau kau senyap macam ni kan… lagilah susah aku nak percaya yang kau tu betul-betul Farhah, tau? Boleh tak kalau aku tanya, kau terus jawab? Boleh tak?” Tegas.
“Saya nak jawab macam mana, kalau semuanya awak tak boleh percaya?”
“Hah, lepas tu kalau kau jawab pun cuma akan menambahkan sakit kepala aku ni. Boleh tak kau bagi jawapan yang jelas sikit? Kau ni kenapa sebenarnya? Apa yang kau nak dari kitorang ni?”
“Saya tak nak apa-apa!”
“Habis tu apasal kau datang sini?”
Kali ini Farhah teragak-agak menjawab, “saya cari awak…”
“Nak buat apa cari aku?”
Farhah semakin teragak-agak, bahkan menelan liur sebelum bersuara, “ss… saya… nak kahwin dengan awak…”
 
“FARHAH???”
Tersentak kedua-duanya lantas menoleh. Azrul terus berlalu dari situ bersama dengusan kasar. Jauh dia lempar pandangan ke luar tingkap. Runsing. Adilla segera mematikan televisyen. Babak yang sedang berlaku di hadapannya kini lebih menarik daripada drama di televisyen. Farhah pula semakin tunduk bila Mak Dah menghampiri. “Betul ke apa yang mak cik dengar ni?”
Farhah kaku, lambat-lambat mengangguk. Betapa hangat wajahnya ketika itu, Tuhan saja yang tahu. Dia sendiri tidak pasti sama ada benar tindakannya kali ini.
“Kenapa terburu-buru sangat ni? Apa yang sebenarnya dah jadi dengan Farhah? Mak cik sendiri pun makin tak faham dah ni.”
“Farhah nak selamatkan diri…”
“Kau yakin kau akan selamat kalau kahwin dengan aku?” Azrul memintas. “Kau fikir tak apa yang kau dah buat ni akan menyusahkan orang lain? Dah la kau lari dari rumah. Kau tumpang pulak rumah ni. Lepas tu, kau mintak aku kahwin pulak dengan kau. Lepas ni apa!” Meledak tengkingan Azrul di hujung kata. Hatinya sudah cukup sesak dengan permainan Farhah! “Aku ingat kau ni memang betul-betul dah gilalah.”
Mak Dah yang kelihatan tidak percaya, menyentuh bahu Farhah. “Farhah lari dari rumah?”
Farhah makin tersepit. Tiada lagi pilihannya selain mengangguk. Mak Dah menggeleng-geleng kesal. “Ya Allah, Farhah… apa kamu buat ni nak… Kalau ayah kamu tuduh kami culik kamu nanti macam mana?”
Farhah terus diam. Benteng dirinya semakin rapuh. Dia terus diserang dari semua arah, bahkan tiada sesiapa yang sudi berada di pihaknya. “Tolonglah jangan halau Farhah dari sini, mak cik. Farhah boleh terangkan…”
“Banyaklah kau punya penerangan!” Azrul membentak lagi. Kali ini dia menghadap Farhah. “Kemas kain baju kau sekarang. Aku tak nak tengok lagi muka kau dalam rumah ni!” Azrul terus berlalu sebaik mengucapkan. Farhah hampir terjelepok mendengarnya. Berderai air mata tanpa mampu lagi ditahan.
Dia pandang Mak Dah yang nampak semakin jauh darinya. “Farhah memang tak pernah bagitau hal sebenar pada mak cik dengan Azrul… Sebab Farhah memang tak boleh bagitau…” Teresak-esak. “Mak cik tolonglah izinkan Farhah tinggal dekat sini. Farhah tak tahu nak pergi mana lagi dah…”
Dia raih tangan Mak Dah bila wanita itu tidak mempamerkan sebarang reaksi. Hatinya mula cemas. “Tak apalah kalau mak cik tak nak sara Farhah. Farhah boleh kerja. Farhah takkan menyusahkan lagi keluarga ni! Tolonglah Farhah, mak cik…” Tenggelam akhirnya suaranya di dalam tangisan. Dia perlahan-lahan terduduk di tepi pintu bilik.
Mak Dah pula terus diselubungi rasa serba-salah. Perlahan-lahan dia lepaskan keluhan berat. Tidak tahu keputusan apa yang harus dia buat. Akhirnya dia tinggalkan Farhah bersendirian di situ.
 
AZRUL menggaru-garu kepala. Wajahnya diraup sebelum melepaskan keluhan berat. Runsing!
“Menyesal pun ada jugak sebab bawak budak tu ke rumah ni. Tak habis-habis menyusahkan orang!” keluhnya di birai pangkin. “Mula-mula dulu, nak tumpang tidur. Lepas tu nak tumpang pulak lagi sebulan. Sekarang ni, mintak kahwin pulak. Lepas ni entah apa benda lagi yang dia nak agaknya!”
“Dia dah tarik balik kata-kata dia tadi, Rul. Dia takkan mintak kahwin. Cukup kalau kita tumpangkan dia dekat rumah ni…”
Kata-kata itu membuatkan Azrul semakin terbeban. Kenapalah susah sangat untuk dia fahamkan Mak Dah, yang dia tak percaya langsung pada gadis itu! Susah sangatkah untuk Mak Dah faham kecurigaan yang dirasakan anaknya sendiri? Dalam hati Azrul saat ini, dia tidak langsung percaya bahawa gadis yang muncul secara tiba-tiba di antara mereka itu adalah Farhah. Dia langsung tak percaya!
‘Ya Allah… kenapa berat sangat ni…’
Sekalipun terkilan dan terluka dengan berita kemalangan tujuh tahun lalu, dia masih waras untuk menilai. Mana mungkin Farhah yang terlalu baik itu boleh bertukar perwatakan hingga jadi seseorang yang terlampau pelik ini? Tapi kenapa dia masih tidak berjaya temui bukti-bukti yang mampu membuatkan dia benar-benar nekad untuk menghalau gadis itu dari sini? Alasan-alasan Mak Dah yang jelas bernada pembelaan itu hanya menggoyahkan kembali hatinya.
Argh… rumitnya!
“Mak tahu Rul tengah runsing. Tapi sekurang-kurangnya… cubalah berbincang dulu dengan dia. Mana tau kalau kita boleh tolong dia walaupun tak banyak…”
‘Tak habis-habis cakap pasal tolong! Aku tengah runsing ni ada siapa tahu? Huh!’ bentak hati.
“Cubalah, Rul. Berbincang dengan dia. Jangan berkeras sangat. Selama ni Rul kasar sangat dengan dia, sebab tu dia tak berani nak terangkan hal sebenar…” pujuk Mak Dah lagi, semakin menggoyahkan pendirian Azrul.
Azrul raup wajahnya. Kali ini dia hela nafas dalam sebelum melepaskannya perlahan-lahan. ‘Entahlah!’
Mahu tidak mahu, dia bingkas. Diatur langkah ke dalam rumah, diekori Mak Dah. Tiba di hadapan bilik Farhah, dia ketuk pintu. Kali ini penantiannya tidak lama. Mudah saja gadis itu membuka pintu.
“Ikut aku kejap.”
 
“KAU tak boleh salahkan aku, tau. Kau tiba-tiba datang… mengaku yang diri kau Farhah, sedangkan setahu aku orang tu dah lama tak ada. Lepas tu dengan perangai kau yang langsung tak macam Farhah yang aku kenal. Sekarang ni, tiba-tiba pulak kau mintak benda yang tak masuk akal macam tu. Kau ingat senang ke aku nak terima?”
Senyap. Azrul pandang Farhah yang terus tunduk di hadapannya. Beralih anak matanya pada Mak Dah yang duduk tidak jauh darinya. Mak Dah cuma menggeleng, tanda enggan masuk campur. Mak Dah hanya bertindak sebagai pendengar yang menemani mereka, itu saja.
Azrul mengeluh perlahan. “Bercakaplah, Farhah… Kau tak pernah langsung cuba fahamkan aku pasal keadaan diri kau yang sebenar. Yang kau tahu… mintak benda-benda tak masuk akal. Macam mana aku nak faham?”
Dengan kata-kata itu, Azrul lihat Farhah menyeka pipi. Itulah reaksi pertama dari gadis itu. Lega sedikit hati Azrul. Sekurang-kurangnya gadis itu sudah mula memberi respons.
“Kalau saya bagitau… saya takut keadaan akan semakin buruk.”
“Kalau kau senyap, kau buatkan keadaan bertambah berserabut. Kau faham tak?” pintas Azrul, sedikit tegang. Beralih anak matanya pada Mak Dah bila lengannya dicuit wanita itu. Mak Dah menggeleng perlahan, sebagai isyarat supaya dia berlembut. Azrul terdiam, kemudian mendengus perlahan. Dia bersandar di dinding papan rumah. “Aku dengan mak aku kena tahu jugak masalah kau. Kalau kitorang mampu, insya-Allah kitorang akan cuba tolong. Kau janganlah risau…”
“Saya cuma nak tumpang tinggal dengan keluarga ni.” Terlalu perlahan suara itu memintas.
“Okey. Kenapa kau lari dari rumah?”
Gadis itu diam. Azrul menanti tapi sia-sia cuma. Farhah tidak langsung menjawab soalan itu, membuatkan Azrul mengeluh semula. ‘Masalah… masalah!’ Akhirnya dia bingkas. “Terpulanglah. Kau sendiri yang tahu keadaan diri kau. Tinggallah dalam rumah ni seberapa lama yang kau nak. Asalkan kau tak mintak lagi benda yang tak masuk akal macam tadi.”
 Farhah senyap. Hanya titisan air mata yang jatuh ke pangkuan. Azrul menambah walau tidak faham maksud reaksi itu. “Cuma aku nak kau faham, aku bukan tolak permintaan kau sebab aku benci kau. Tapi sebab aku sendiri dah ada pilihan. Harap kau faham.”
Tersentak Mak Dah, spontan memandang Azrul. Bila Azrul berlalu, Mak Dah tergesa-gesa bingkas dan mengekori anak bujangnya itu ke luar rumah. “Siapa pilihan yang kamu cakap tadi tu, Rul?”
Azrul menoleh sekilas. Kemudian dia capai penukul paku dan menyambung semula kerja-kerjanya yang terbengkalai tadi. Dengan suara perlahan dia memberitahu, “Maya.”
 
PETANG Ahad itu, bergema rumah papan usang di hujung kampung itu. Berdentum pintu dihempas Maya yang baru pulang.
“Sesuka hati je nak buat keputusan! Dia ingat aku ni anak patung ke?” bentaknya. Peluh yang meleleh di dahi disapu kasar. Kemudian mencekak pinggang. “Aku ni dah ada degree, dah boleh buat keputusan sendiri! Mana masuk dengan dia yang cuma ada SPM tu!”
Daun pintu diketuk dari luar. Semakin meluap kehangatan di hatinya. “Apa?” tengkingnya.
“Kenapa marah-marah ni, Maya? Tak baik macam ni…”
“Diam! Mak tu tahu apa?” pintasnya. “Dah terdesak sangat nak bermenantu sampaikan anak saudara sendiri pun mak nak terima?”
Mak Uteh terdiam.
“Hei… bencilah!!!” pekik Maya dari dalam bilik. Serentak itu sebiji bantal dicampak sekuat-kuat hati ke dinding. Benar-benar angin. “Yang mak pergi pandai-pandai terima pinangan orang tu buat apa? Maya ni bukan pelacur yang boleh mak buat sesuka hati tau!”
“Ini untuk kebaikan Maya juga…”
“Kepentingan mak! Bukan Maya!”
Mak Uteh terdiam. Semakin tersiat-siat hatinya diherdik begitu. Sangkanya, kepulangan Maya yang secara tiba-tiba itu untuk berbincang secara baik dengannya. Namun hatinya sendiri yang terluka.
“Maya nak mak batalkan rancangan tu sekarang jugak. Kalau tak biar Maya je yang keluar dari rumah ni! Senang hati mak!”
“Maya!” Mak Uteh terguris. Tidak menyangka sejauh itu fikiran anak gadisnya. Belum sempat bersuara, tiba-tiba daun pintu terkuak. Terpacul wajah Maya yang bengis.
“Jangan pandai-pandai nak tentukan nasib aku.” Serius dan sesudah itu, Maya menghempas semula daun pintu. Hentaman yang kuat menjadikan Mak Uteh terkejut. Berderai kekuatannya. Mengalir air matanya.
 
AZRUL tersenyum sinis. “Nasib kaulah. Dari dulu lagi aku dah cakap, jangan cari pasal. Sekarang ni, dah lama sangat aku tunggu. Tapi tak ada siapa pun yang masuk meminang.” Azrul ketawa mengejek. “Betullah, memang tak ada orang yang nakkan kau.”
“Abang jangan berlebih-lebih boleh tak? Ingat kahwin ni benda main-main ke?”
Azrul menyungging senyuman sinis. “Pandai pulak kau matangkan fikiran? Kononnya kahwin tu benda serius. Tapi kau sendiri yang berperangai mengalahkan orang tak berotak.”
Maya mengetap gigi, menahan hati yang sakit.
“Terpulanglah. Kau nak lari dari rumah ke, nak apa ke, suka hati. Yang aku tahu, hidup engkau selama ni pun aku yang tanggung. Kau mana ada duit nak sara diri.”
Maya terdiam. Hiruk-pikuk di Gerai Pak Tapa itu tidak langsung mengganggu renungannya yang tajam menikam wajah Azrul.
“Berambuslah dari sini kalau pakwe kau tu boleh tolong. Aku nak tengok.” Tenang, namun cukup tajam menghiris.
Azrul berlalu sebaik mengucapkan. Dia tahu Maya tiada keberanian. Teman lelaki Maya yang ditemuinya tempoh hari memberinya keyakinan, bahawa Maya sekadar alat pemuas nafsu. Maya pula tentu terfikirkan kebenaran perkara itu, kerana selama ini, dia yang terhegeh-hegeh mengejar Haikal. Sekalipun Haikal menerima Maya, Azrul berani jamin yang lelaki pisau cukur itu takkan mampu menyara hidup Maya.
Kemungkinan untuk Maya menurut hati yang sedang marah memang ada, tapi Azrul tahu tindakannya tepat kali ini. Dia benar-benar kenal Maya yang telah dibelanya sejak kecil itu. Gertakan akan menjadikan gadis itu tersedar dan takut untuk bertindak.
“Abang buatlah apa yang abang nak. Tapi jangan harap Maya akan layan abang!” sayup-sayup kedengaran.
Azrul tidak mempedulikan kerana awal-awal lagi dia telah menjangka perkara itu. Dia akan hanya mampu mengikat Maya di atas sehelai kertas. Tidak lebih daripada itu.
 

0 861 komen:

Post a Comment

Assalamualaikum. Hai!
Terima kasih baca.
Cer komen sikit?

.

.