Friday, 10 May 2013

Hati Yang Kau Sentuh Bab 12

Bab 12
JAM dinding dipandang. ‘Tak bangun-bangun lagi ke dia?’ Dia ketuk-ketuk pintu bilik. Namun tiada yang menjawab. Dia ketuk lagi, kali ini lebih kuat dan bertalu-talu. Barulah pintu terkuak tidak lama kemudian. Tercegat Farhah di hadapannya dengan mata yang kelihatan bengkak dan terlalu berat untuk dibuka.
“Kau ingat ini rumah siapa?” soalnya tajam.
Berkerut dahi gadis itu. “Kenapa?”
Merah padam wajah Azrul. “Kau tanya ‘kenapa’? Eh, kalau menumpang tu buat je cara menumpang boleh tak? Dah pukul sepuluh ni, tak reti-reti lagi nak bangun ke? Kau nak tidur sampai pukul berapa?”
“Alah, ye la, ye la…” pintas gadis itu kerimasan. “Membebel je kerja.” Perlahan rugutannya hinggap di pendengaran Azrul sewaktu dia berlalu ke dapur. Azrul hanya pandang saja pemergian gadis itu. Geram pula dengan sikap kurang ajar itu.
‘Betul-betul Farhah ke dia tu?’ Makin kuat curiga mengasak hati. Prasangka bertambah kuat menguasai fikirannya. Dia yakin, pasti ada sesuatu yang cuba dilakukan gadis itu di dalam rumah ini. Dia tidak percaya sikap sebenar Farhah begitu. Farhah yang dikenalinya merupakan seorang gadis yang cukup sopan. Masakan tempoh tujuh tahun telah menjadikan gadis itu berubah hingga sebegitu.
Lantas dalam senyap, Azrul menyelinap masuk ke dalam bilik yang tidak berkunci itu. Dia rapatkan daun pintu. Sekitar ruang bilik itu diperhati sebelum anak matanya tertancap pada beg sandang milik gadis itu. Segera dia capai. Diselongkarnya.
 
FAIL warna biru berada dalam perhatian. Satu persatu dia teliti. Sijil-sijil penyertaan dari Maahad Muhammadi (Perempuan), Kota Bharu, Kelantan. Mulanya dia yakin sangkaannya tepat yang gadis itu cuba menipu mereka. Tapi bila dia belek ke muka seterusnya, dia ragu-ragu semula. Sijil berhenti sekolah dan sijil SPM dari SMK Seri Teja, Gopeng, Perak. Sijil-sijil penghargaan juga dari sekolah yang sama. Semuanya mencatatkan nama yang serupa: Fatin Farhah binti Fauzi. Sememangnya itulah nama sebenar Farhah.
‘Macam mana benda ni boleh ada pada dia?’ Dia benar-benar tidak faham. Dia tidak boleh terima langsung yang gadis itu Farhah. Kalau dibawakan seribu saksi lain pun, belum tentu hatinya akan berubah.
Gadis yang sedang menumpang di rumah mereka ini kelihatan terlalu pelik. Azrul yakin, ada sesuatu yang dimahukan gadis itu. Lebih menimbulkan kemusykilan di benaknya adalah imej gadis itu. Pemakaian hebat, tapi sikap teruk. Bangun lewat, bercakap kasar. Sesiapapun pasti akan curiga jika begini keadaannya.
Azrul cuba menimbang-nimbang segala kemungkinan. Tidak mungkin gadis itu mahukan harta. Pasti ada perkara lain. Ya, ada perkara lain yang membawa gadis itu ke rumah ini. Lebih-lebih lagi semalam, gadis itu memeluk Mak Dah. Sah, boleh jadi Mak Dah sudah dipukaunya. Sebab itulah Mak Dah dengan mudah saja menerima kehadirannya di rumah ini.
‘Huh, tak guna punya orang gila!’
Terhenti tangan Azrul di muka terakhir fail. Sijil itu ditatapnya. Satu demi satu kata yang tercatat di situ membuatkannya tidak keruan.
‘Fatin Farhah binti Fauzi… University of Manchester… Civil Engineering…’ Berdetak kencang jantungnya. ‘Bachelor?’
Dia terbungkam dia tepi katil itu. ‘Apa ni?’ Dia semakin keliru. Farhah masih hidup hingga sempat melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana muda? Benarkah apa yang dilihatnya ini? Atau sebenarnya semua itu hanya sijil-sijil palsu? Kenapa dia semakin terasa bercelaru?
Tiba-tiba daun pintu ditolak dari luar. Azrul tersedar lantas mengangkat kepala. Bertembung pandangannya dengan gadis itu yang sudah berubah riak wajah.
 
“AWAK buat apa ni?” Meninggi suara gadis itu. Benar-benar berbeza daripada diri yang dilihat semalam.
Azrul melangkah ke arah gadis itu yang masih tercegat di muka pintu. Fail biru digenggam ketat. “Siapa kau sebenarnya?” soalnya tajam. Dia enggan membiarkan kecelaruan mengganggu lagi hati dan hidupnya. Dan jika boleh, dia mahu menghalau gadis itu sekarang juga! Dia tahu, Farhah sudah lama mati dan takkan pernah hidup semula. Jangan pernah sesiapa pun cuba membohonginya!
“Siapa saya sekalipun, awak tak ada hak selongkar barang saya!” Meledak tengkingan.
Azrul mengancing gigi. “Ini rumah aku.” Sepatah demi sepatah kata disumbatkan ke telinga Farhah. “Selagi aku tak percayakan kau, selagi tu aku boleh buat apa je yang aku nak.”
Spontan anak mata gadis itu menikam pandangan Azrul. Nampak marah yang amat sangat. Dengusan kasar dilepaskan gadis itu sebelum meluru ke dapur. Berderau darah Azrul. Ingatannya tertumpu pada Mak Dah dan Ila yang sedang memasak. Berdetak kencang jantungnya.
Dia tidak tahu apa yang cuba dilakukan gadis itu. Tapi berkemungkinan besar keselamatan keluarganya sedang dalam bahaya!
 
TIBA di dapur, pandangan pelik Mak Dah dan Adilla menyambutnya. Tiada sesiapa yang lain di situ.
“Kamu cari apa?” Soalan Mak Dah mengalih perhatiannya.
“Farhah mana?”
“Dalam bilik air. Kamu bertekak apa lagi dengan dia sampai bising-bising tadi?”
Dengar saja perkataan bilik air, Azrul terus meluru ke arah itu. Tidak dipedulikan lagi soalan Mak Dah. Dia ketuk pintu bilik mandi yang tertutup rapat. “Farhah!”
Senyap.
“Weh, Farhah. Baik kau keluar sekarang!”
Senyap juga. Azrul menumbuk-numbuk keras pintu bilik mandi. “Keluar sekarang Farhah. Kalau aku pecahkan pintu ni, lagi teruk kau nanti!”
Tika itu juga pintu terkuak dari dalam. Tercegat gadis itu bersama wajah yang merah di hadapan Azrul. Namun herdikan yang hampir saja dihamburkan terus tertahan sebaik bertembung anak mata mereka. Wajah merah gadis itu bukan disebabkan amarah, sebaliknya kesan tangis.
Azrul terkedu, namun segera melindungi rasa terkejutnya. “Apasal? Kau nak tunjuk besar kepala pulak dalam rumah ni? Kau sedar tak kau kat mana sekarang ni?”
Gadis itu diam menahan amarah.
Azrul semakin hilang sabar. “Sudahlah, weh! Jangan ingat, kau ada bukti-bukti palsu tu aku akan percaya! Perempuan murah!”
“Okey, fine!” pintas gadis itu lantang. “Kalau awak kata awak berhak selongkar apa je untuk dapatkan kepastian, buatlah. Tubuh badan saya ni kalau awak nak selongkar pun, hah buat! Tapi saya tetap takkan berganjak! Saya tetap Farhah, faham!”
“Eh, apa kenanya ni?” pekik Mak Dah dari ruang memasak, risau melihat ketegangan antara dua anak muda itu. Bagaikan terlalu teruk bergaduhnya, hingga melalut sebegitu.
Farhah segera menyeka air mata yang hampir saja jatuh ke pipi. Sebelum sempat Mak Dah tiba di situ, Farhah mengungkapkan, “tapi nikahi saya dulu.” Tajam dan perlahan di pendengaran Azrul. “Lepas tu kalau awak dah puas, awak boleh lepaskan saya macam tu je.” Terasa begitu hina harga dirinya di mata lelaki itu. Gugur akhirnya air mata tanpa berdaya lagi ditahan. Dia segera menyekanya dan terus berlalu tanpa sempat ditahan Mak Dah.
Mak Dah yang tidak mengerti, menghampiri Azrul. “Apa kenanya ni, Rul… Sampai dia merepek-repek macam tu? Kamu tolong jangan buat mak ni susah hati boleh tak?”
Azrul senyap. Tanpa menjawab soalan itu, dia juga berlalu dari situ. Tergeleng-geleng Mak Dah. “Ya Allah, ya rabbi… Apa nak jadilah dengan budak-budak berdua ni.”
 
“MAK cik, terima kasih izinkan Farhah tumpang tidur kat sini semalam.” Tangan Mak Dah diraih dan disalami.
“Nak ke mana pulak ni, Farhah? Kata semalam, tiga hari nak tinggal dengan mak cik?” Mak Dah yang terpinga-pinga hanya mampu menyoal, tapi tidak langsung faham perkara sebenar.
Farhah tersenyum manis walau nampak ketara kepahitannya. “Kalau lama-lama nanti, takut orang kampung mengata pulak. Kesian mak cik anak beranak.”
Mak Dah terdiam, keberatan melepaskan.
Farhah tersenyum lagi. “Farhah mintak diri dulu mak cik. Assalamualaikum.” Tanpa menanti jawapan, Farhah bergegas meninggalkan kawasan itu.
Senyap-sunyi segenap ruang rumah, sebelum akhirnya Mak Dah berkalih. Azrul yang sedang bersendirian di ruang tamu itu dihampirinya. Anak bujangnya itu kelihatan benar-benar kusut. Berdiri memeluk tubuh sambil menghadap tingkap, membuatkan Mak Dah terasa bersalah.
“Dia ada masalah tu, Rul.”
“Kita sendiri pun tengah banyak menanggung masalah ni, mak,” pintas Azrul. “Dengan masalah Maya yang tak sudah-sudahnya. Ini nak tolong pulak budak yang entah datang dari mana tu.” Terlalu mendalam maksudnya, semakin menimbulkan simpati Mak Dah.
“Memanglah… Tapi mak dapat rasa, dia betul-betul nak kita tolong dia. Kalau tak, takkan dia sanggup bersusah-payah datang ke sini.”
Senyap.
“Mak takut kalau dia pergi pada orang yang salah untuk mintak tolong, Rul…” Bagaikan merayu pula.
Azrul melepaskan keluhan berat. “Kalau dia cari kita pun, apalah sangat yang kita boleh tolong dia. Bukannya kita ni berharta…”
“Manatau kalau dia cuma nakkan bantuan dalaman…”
Kata-kata itu membuatkan Azrul menoleh. Bingung.
“Kadang-kadang manusia ni Rul… bukannya perlukan orang lain untuk selesaikan masalah dia. Dia cuma nakkan kawan, nak semangat. Dia cuma nakkan sokongan. Manatau kalau bagi dia, kita ni je orang yang dia boleh percaya. Kita tak tahu hati manusia ni…”
Azrul membisu. Terlepas lagi keluhan dari bibirnya. Lemah.
 
MUJUR Farhah masih belum jauh. Lantas terzahir keluhan lega dari Azrul. “Farhah!”
Namun Farhah semakin memantaskan langkah sebaik mendengar laungan itu. ‘Eh, merajuklah pulak perempuan ni!’ Azrul terpaksa berlari anak sebelum memintas dan menghentikan langkah Farhah. Bila Farhah menjeling tajam, Azrul tersengih. “Kau nak pergi mana?”
“Suka hatilah nak pergi mana pun! Menyibuk apa?”
Tiba-tiba Azrul ketawa. “Muka dah buruk pun nak berlagak lagi!”
“Dah! Tepilah!” Farhah berganjak dan melangkah semula. Azrul sedikit terkejut, lantas menahan.
“Eh! Nantilah dulu!”
Terhenti semula langkah Farhah. Azrul dijeling tajam sambil berpeluk tubuh, membuatkan Azrul tertawa kenakalan. “Apasal angin kau berubah tak tentu pasal ni? Aku gurau-gurau je la…”
“Bergurau awak kata?” Mencerlung pandangan Farhah. “Awak buat macam-macam kat saya, saya boleh sabar lagi tau. Tapi bila awak berani selongkar beg saya, itu memang betul-betul melampau!”
“Kau marah ke?”
“Jangan tanya! Menyampah tau tak!” Farhah melangkah semula dan terus meninggalkan Azrul. Azrul berpusing, mengekori langkah gadis itu dengan pandangan.
“Kau tak takut ke berjalan sorang-sorang tu?”
Senyap. Azrul terpaksa mengerah otak mencari jalan agar dapat melembutkan hati gadis itu. “Oi, aku tahulah kau lari dari rumah…” Kata-kata itu membuatkan langkah Farhah hampir terhenti. “Kat mana kau nak tidur malam nanti? Tak takut ke kalau kena culik? Tempat ni bahaya tau?”
Dan seperti yang sudah dijangka, langkah Farhah terus mati lalu menoleh. Masih tegang wajah gadis itu. “Apa awak sibuk?”
“Saja suka-suka. Sebab semalam bila aku tanya, kau nyaris terlepas jawab yang kau tu tak ada rumah. Betul kan?”
Semakin tegang wajah Farhah, tapi Azrul semakin lega. Sekurang-kurangnya dia sudah berjaya menghentikan langkah gadis itu. “Handphone kau pun dah hanyut dalam longkang. Bahaya kalau kau berjalan sorang-sorang…” Sengaja ditakut-takutkan. “Baik kau ikut aku sebelum orang lain yang jumpa kau!” Serentak Azrul melangkah ke arah rumah. Farhah terdiam. Bisu memandang Azrul yang semakin jauh. “Ataupun kau nak tunggu aku heret kau, baru kau nak ikut aku balik?”
Farhah telan liur. Akhirnya mahu tidak mahu, terpaksa juga dia akur pada perintah itu. Sempat dia minta Azrul rahsiakan dari pengetahuan Mak Dah berkenaan dirinya yang lari dari rumah. Mujur Azrul mudah berlembut hati kali ini. Lega sedikit Farhah.
 

0 861 komen:

Post a Comment

Assalamualaikum. Hai!
Terima kasih baca.
Cer komen sikit?

.

.