Friday, 10 May 2013

Hati Yang Kau Sentuh Bab 11


DIA sedar, dia sudah terlepas segala kebaikan sebaik saja tahu yang dia telah kehilangan ustazah. Hidup yang sememangnya tiada apa-apa makna itu jadi semakin tidak bererti. Sebenarnya, hatinya sudah mula terdetik untuk mengubah nasib dan kehidupannya sebelum dia mendapat tahu tentang kemalangan yang meragut nyawa dua beranak itu. Pemergian ustazah dan Farhah menjadikan dia hilang arah semula.

Mujur ketika dia hampir-hampir saja kembali seperti dahulu, Encik Roslan hadir dan masih sudi membina semula semangatnya. Dia nyaris berputus asa untuk belajar lagi. Encik Roslan terlalu bersungguh mahu dia langsaikan rasa terkilan pada ustazah itu, dengan membuktikan yang dia juga boleh berjaya.

Dia pasif pada mulanya. Borang permohonan giatmara yang diisi sekadar untuk menjaga hati guru lelaki itu. Tapi tidak sangka pula dia terpilih dalam bidang pembinaan. Tawaran itu dia terima tanpa memikirkan langsung apa masa depannya. Dia mengikuti pembelajaran sekadar mengisi kekosongan hidup. Dan sesudah itu, dia berkerja seperti manusia lain.

 

ANTOI tepuk bahu Azrul. “Rilek la. Dah tujuh tahun kut benda tu. Aku ni, dah ada anak dua pun. Tak payah duk fikir-fikir lagilah pasal benda tu. Dah lepas pun.” Dia gosok-gosok sedikit bahu Azrul sebelum bingkas. Diteguk air putih dari mulut botol. Dia berkumur-kumur sebelum menutup semula mulut botol dan melangkah ke arah beg sandangnya. Sambil memasukkan botol ke dalam beg, dia menambah, “aku pun sebenarnya sampai sekarang ni duk serba-salah lagi dengan diorang dua beranak. Aku ni langsung tak sempat nak mintak maaf, lagi teruk dari engkau. Sekurang-kurangnya kau sempat berbaik dengan diorang, Yoi.”

Azrul yang bersandar kelesuan hanya melepaskan keluhan berat. Senyuman tawar tersungging di bibir sambil matanya dilepaskan bebas pada segenap ruang di tapak pembinaan itu. “Agaknya sebab tu hidup kita ni susah sampai sekarang.” Perlahan gumamnya. Antoi yang mendengar sayup-sayup luahan itu terus menoleh.

“Takkan masalah pasal dua beranak tu boleh buatkan kau susah hati sampai macam ni. Aku tau kau dah lama lupakan diorang tu. Aku rasa kau ni ada masalah lain sebenarnya, Yoi.”

Giliran Azrul pula yang menoleh. “Masalah apa?”

Tiba-tiba pecah tawa Antoi. “Hai, masalah kau kan? Takkan aku tahu pulak?”

Azrul tersenyum hambar mendengarnya. Kepala yang tidak gatal digaru-garu sedikit. Dia sebenarnya sedang dirunsingkan dengan kekusutan, tapi tidak tahu bagaimana untuk diberitakan. Dia serba-salah kerana sudah mampu mengagak jawapan yang bakal diterimanya. Lebih-lebih lagi jika Antoi yang memberi nasihat. Pendapat lelaki itu terlalu jarang menepati kehendaknya.

“Pasal Maya lagi ke?”

Azrul menoleh sebaik tersedar dari lamunan. Anggukan lemah terzahir bersama keluhan, membuatkan Antoi ketawa lagi. Azrul didekati dan duduk di sebelah. “Apa lagi masalah yang dia dah buat?”

Azrul mengeluh. “Macam biasa la.” Ditolak rambut yang terjuntai ke dahi, rimas. “Tapi kali ni, aku yang jadi mangsa.”

“Kenapa? Dia kena tangkap basah pulak ke?”

“Tak, tapi mak aku dengan mak dia dah bertanya-tanya kalau aku sanggup ambik dia jadi bini. Kerja gila tu kau tahu!”

Antoi ketawa lagi, tapi kali ini lebih besar hingga membuatkan Azrul mengeluh. “Sia-sia aku bagitau kau.”

“Alah, rilek la!” Bahu Azrul ditepuk kuat. “Kalau Encik Firdaus kita tu dengar yang kau ni ada masalah macam ni, mesti dia pun tergelak. Entah-entah gelak dia tu lebih kaw-kaw dari aku!”

“Itu kalau dia tahu yang aku ni bengang sebab Maya selalu buat perangai. Tapi kali ni, masalah aku dah bukan lagi pasal budak tu je. Aku sekali dah terpalit ni, kau tau! Tak adanya dia gelak kalau dengar benda-benda serius macam ni.”

“Alah, tak payah risaulah. Aku berani jamin, sepupu kau tu takkan setuju kahwin dengan kau. Percaya cakap aku!”

“Huh, cara kau bercakap ni… macamlah aku ni nak sangat dengan dia.”

“Hah, kau pun tak nak kan?”

Azrul diam tanda mengiyakan.

“Hah, dah tu apa masalahnya?”

“Masalahnya sekarang, kitorang ni dah dipaksa!”

“Eh, yang kahwin sekarang ni siapa?”

“Itu setakat apa yang kau boleh cakap, Toi. Cuba kalau kau kat tempat aku?”

“Aku cari orang lain. Biar mak aku senyap.”

Azrul mendengus rimas. “Kau memang. Dari dulu sampai sekarang, kalau bagi idea tak boleh dipakai langsung.”

“Eh, helo bro! Aku ni dah kahwin, aku tahulah bab-bab ni semua.”

“Tapi kalau aku cari orang lain, maknanya aku sengaja menambah lagi beban yang dah ada ni.”

“Hah, orang yang belum kahwin memanglah akan fikir singkat gini!”

Azrul terdiam tidak puas hati.

“Tapi aku rasa, baik kau pergi cerita sendiri pada Encik Firdaus kita tu. Kau pekerja kesayangan dia kan? Nanti waktu bagitahu dia pasal masalah kau ni, kau bagitahu dia sikit pasal kepakaran kau tu supaya dia lebih syok. Contohnya macam ni. Encik, saya dah cuba bancuh simen masalah saya dengan nisbah penggunaan air dan batu-batu akal dengan tepat. Tapi masalahnya encik, bila saya nak mulakan kerja, saya tengok kongkrit masalah saya tu mengeras dengan cepat sekali! Orang tua saya dan Maya dah merancang untuk menjodohkan kami dalam binaan rumahtangga yang kukuh lagi tahan haba. Apa yang boleh saya buat encik?”

“Ah, engkau!” Serentak Azrul bingkas. Tika itu juga tawa besar Antoi meledak. Azrul mengeluh. Dia terus menapak ke arah begnya yang tersandar di tepi tembok tempat para pekerja berehat. Dia mahu segera pulang, mahu merehatkan fikiran. Berbual dengan Antoi hanya akan menambahkan lagi sesak dalam hatinya!

“Aku rasa kan Yoi, dia mesti akan terus lantik kau jadi pembantu kontraktor bila kau cakap macam tu!” Laungan bersulam tawa Antoi kedengaran ketika Azrul mula meninggalkan kawasan itu. Azrul cuma pekakkan telinga.

 

DISEBABKAN malas untuk pulang ke rumah, Azrul singgah di Gerai Pak Tapa. Bukannya ada apa. Lagipun hari ni Isnin. Adilla ada di rumah menemani Mak Dah kerana malam nanti sepupunya itu perlu menghadiri kelas tambahan di sekolah.

Agak lama dia termenung di sana sambil memerhati gelagat manusia yang lalu-lalang sebelum menuju ke pasaraya berhampiran. Barang-barang dapur dibeli, sekadar mengisi kekosongan jiwa. Di rumah nanti, tentu Mak Dah akan buka lagi cerita tentang Maya dan hasrat menjodohkan mereka. Sedangkan dia langsung tidak terbuka hati, bahkan perkataan ‘kahwin’ bagaikan terlalu asing dalam hidupnya. Mujur Mak Dah yang timbulkan isu itu. Jika tidak, agaknya dia akan lupa terus tentang berumahtangga.

‘Bukan senang nak jaga anak orang ni. Kahwin dengan Maya pulak tu! Budak liar tu!’ Dia mendengus lemah. ‘Masalah… masalah…’

Jadi harapannya, dengan barang-barang yang dibelinya ini, dia akan mampu menyejukkan hati Mak Dah sekali gus melupakan Mak Dah berkenaan niat menjodohkan itu. Jika ibunya itu senyap untuk sebentar saja pun sudah memadai.

“Aiya, banyak lu beli barang ini hari apek?”

Azrul tersenyum nipis sebagai membalas kemesraan tauke kedai itu. “Sudah lalu ini tempat. Saya terus belilah, senang.”

“Oh… tak apa, tak apa. Awak punya mak mesti manyak suka!”

Azrul tersenyum cuma. Tauke Wong yang menekan-nekan butang pada mesin kira terus dinanti. Anak matanya melilau ke sekitar ruang itu. Sudah semakin maju nampaknya kedai itu.

Sesaat kemudian, perhatiannya tertarik ke luar premis bila bunyi hon tiba-tiba kedengaran. Kelihatan seorang wanita tua berada di tengah-tengah kesibukan jalan yang sempit di pekan Gopeng itu. Seorang lelaki keluar dari sebuah kereta. “Oi, tak nampak ke jalan tengah sibuk ni!” tengking lelaki itu dan disambut dengan anggukan oleh wanita itu sambil mengangkat tangan kanan. Tanda meminta maaf. Wanita itu dengan penuh kesusahan mengerah kudratnya untuk beredar ke tepi. Pemandu tadi masuk semula ke dalam kereta dan meneruskan perjalanan.

Azrul kembali memandang Tauke Wong di hadapannya. “Berapa tauke?”

“Pelanggan tetap punya pasai, ini hari wa kasi murah. 75 ringgit saja!”

Selesai membuat bayaran, Azrul membimbit plastik-plastik di tangan kanan dan kirinya menuju ke motorsikal yang diletakkan di hadapan kedai. Matanya melilau di sekitar kawasan itu, cuba mencari wanita tua tadi. Kalau boleh, dia mahu menghulurkan sedikit wang. Dia agak kepayahan kerana kedua-dua tangannya diberatkan oleh beg-beg plastik. Tapi dia terus berusaha mencari.

Dalam pada terjengul-jengul itu, tiba-tiba dia terlanggar seseorang yang sedang tergesa-gesa lalu di kaki lima itu. Terlepas plastik-plastik dari genggaman. Dia sendiri hampir terjatuh!

 

“YA Allah, handphone aku!” Satu suara kedengaran cemas. Perempuan! Serta-merta darah Azrul tersirap. Salah perempuan itu kerana terlalu tergesa-gesa hingga menyusahkan orang lain! Azrul segera menoleh, tapi sebaik terpandang pemilik suara itu, dia kematian kata.

Ketika itu juga gadis yang bertinggung di tepi longkang itu menoleh dengan pandangan tajam. “Tengok apa yang awak dah buat!”

Azrul terus terdiam. Entah kenapa, kekuatannya bagaikan lesap bila gadis yang sedang didepaninya ini rupa-rupanya berpurdah. Tanpa dia tahu puncanya, dadanya tiba-tiba berdetak kencang. Dia gementar!

“Sorry, cik. Saya tak sengaja…” Terkial-kial dia mengakui salah sendiri. Enggan jadi mangsa renungan tajam gadis itu, Azrul mengutip barang-barangnya yang berselerak.

“Aiya, apek! Apa pasai ini?”

Azrul mendongak, tercegat Tauke Wong di hadapannya. “Tak ada apa, tak ada apa.” Gugup.

“Aiya, sudah accident ka…” Lantas Azrul yang sedang terkial-kial itu dibantunya. Plastik besar yang koyak diganti dengan yang baru. Azrul meminta diri sesudah itu sebelum mendapatkan gadis tadi. Tapi rasa gementar terus membuatkannya berpeluh bila melihat gadis itu masih merenungnya tajam. Rasanya, itulah renungan paling tajam yang pernah diterimanya.

“Err… maaf cik. Cakap je berapa harga handphone tu.”

“Boleh bayar ke?” Serius.

Azrul terdiam. Seingatnya, dia sempat terpandang sepintas lalu rekabentuk telefon bimbit itu sewaktu terlambung ke udara tadi. Berdasarkan kecanggihannya, dia dapat mengagak harganya yang mahal. Sedangkan dia baru saja menghabiskan wangnya hari itu di kedai runcit milik Tauke Wong ini. Baki yang tinggal tidak langsung mencukupi. ‘Aduh… takkan dia nak terima kalau aku ganti dengan barang-barang ni pulak?’

“Hah, kenapa?” soal gadis itu lagi, membuatkan Azrul sedikit terkejut. Dia terangguk-angguk.

“Saya akan cuba bayar. Tapi sekarang ni tak boleh…”

Gadis itu diam. Azrul dapat rasakan aura kemarahan gadis itu. Dia semakin resah.

“Nak bayar macam mana? Handphone saya dah hanyut tu. Kalau awak nak contact saya pun dah tak boleh.”

“Alamat rumah?”

“Saya mana ada…” Terhenti tiba-tiba. Gadis itu mendengus kecil. “Dahlah. Tak payah bayar.” Terus gadis itu berlalu. Berkerut dahi Azrul, tapi bila dia cuba ekori langkah gadis itu, dia kehilangan jejak. Gadis itu sudah hilang di sebalik rak-rak yang memenuhi Mini Market Tauke Wong. Azrul telan liur, tidak faham dengan perasaannya sendiri.

Tapi yang pasti, dia lega kerana terlepas dari membayar ganti rugi.

 

DECITAN dan keluhan sudah terlalu kerap melepasi bibirnya. Dia menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Runsing. ‘Agaknya terjatuh waktu berlanggar tadi kut.’

Ikutkan hati, dia malas mahu kembali ke tempat tadi. Takut jika bertemu lagi dengan gadis bengis itu. Tapi dia sudah tiada pilihan. Jika yang hilang itu cuma barang-barang biasa, dia takkan runsing begini. Tapi yang jadi masalahnya, yang tercicir itu adalah beg duitnya. Di dalamnyalah dia letakkan kad pengenalan, lesen memandu, roadtax dan baki-baki wangnya.

Memang mustahil untuk senang-senang dia temui semula barang-barang berharga seperti itu. Tapi mahu tidak mahu, dia terpaksa juga kembali ke tempat tadi. Mana tahu nasibnya baik kali ini. Lagipun, di dalam beg duitnya itu bukannya ada wang yang terlalu banyak. Tidak sampai 50 ringgit pun. Jadi dia harap, orang yang menemui akan mencampakkan semula beg duit itu ke tempat asalnya. Besar harapannya.

Tapi bila tiba semula di hadapan kedai runcit Tauke Wong, dia kehampaan. Beg duit itu tidak langsung menyapa pandangannya. Puas dia mencari, sebelum akhirnya mengambil keputusan untuk masuk ke dalam kedai. Tauke Wong tiada di kaunter, kedai itu pula lengang saja. Lantas dia melangkah ke bahagian yang menempatkan makanan. Seperti yang telah dijangka, tiba saja di situ anak matanya terus tertancap pada sekujur tubuh yang sedang memerhati susunan barang-barang di rak.

Dia tidak pasti sama ada benar atau tidak apa yang sedang dia lakukan, tapi dia yakin gadis itu boleh membantu. Dia hampiri gadis yang berpakaian serba hitam itu. Berdiri bersebelahan, dia pura-pura membelek barang.

“Assalamualaikum.” Perlahan sapaan Azrul, tapi gadis itu bagaikan terkejut lantas menoleh. Kemudian sebaik terpandang diri Azrul, gadis itu melepaskan keluhan. Seakan lega pula, membuatkan Azrul bingung sedikit. “Buat apa kat sini?” soalnya sambil membelek tin-tin susu yang tersusun di rak.

Gadis itu menjarak sedikit. “Cari susu pekat.” Perlahan.

“Rasanya saya kenal beg duit yang awak pegang tu.”

Tika itu juga gadis itu bagaikan teringat semula apa yang sedang dipegangnya. Dipandang beg duit itu untuk seketika, sebelum disuakan pada Azrul. Azrul menyambut tapi sebelum sempat memegangnya, tiba-tiba gadis itu menarik semula. Azrul pantas memandang gadis itu dengan dahi yang berkerut. “Apa yang tak kena?”

“Saya boleh pulangkan, tapi bersyarat.”

‘Hai, itupun bersyarat?’

“Awak kena dengar cerita saya, lepas tu awak kena tolong saya.” Tegas. Bila Azrul kelihatan tidak berpuas hati, gadis itu segera memperingatkan, “sebagai bayaran ganti rugi handphone saya yang dah hanyut tu.”

Azrul faham maksud gadis itu, tapi sesuatu yang tidak enak mula menerpa hati. “Cerita apa?”

Gadis itu diam, bagaikan cuba mencari kekuatan. Kemudian dengan sekali nafas melafazkan, “awak percaya tak kalau saya bagitau yang saya ni Farhah?”

Azrul terpanar!

 

DIRAMPAS beg duit dari genggaman gadis itu, kemudian bersama dengusan kasar dia melangkah pergi. Menggelegak kemarahan ke kepala. Berani gadis itu mempermain-mainkannya!

“Ganti balik handpone saya!”

Terhenti langkah Azrul. Kemudian dengan penuh bersahaja menoleh. Gadis di hadapannya itu direnung tajam. “Setaraf handphone tu je harga diri awak?”

“Saya tak kira. Bayar sekarang!” Nampaknya gadis itu benar-benar nekad. Ketara benar permainannya. Azrul tersenyum sinis, berdiri santai di hadapan gadis itu.

“Apa lagi yang awak nak ceritakan pada saya?” Sinis. “Saya tak nak bayar, jadi awak boleh ceritakan semuanya pada saya. Silakanlah!”

Semakin jelas kemarahan yang terpamer melalui mata gadis itu. Nyata, harga dirinya sedang diperkotak-katikkan Azrul. Dia lepaskan dengusan kasar. “Okey, fine. Bawak saya jumpa mak awak!”

“Kenapa bukan bapak saya?” duga Azrul.

“Sebab abah awak dah tak ada!” Semakin tegang nada yang kedengaran. Tapi Azrul masih mahu menduga.

“Okey, awak tahu kat mana rumah saya kan? Kenderaan saya ke sini pun awak tahu kan?” Selamba anak mata dipusatkan pada gadis itu yang sedang menentang pandangannya. “Kalau saya nak bawak awak dengan motor kapcai saya tu, tak cantik dipandang orang. Lebih-lebih lagi bila tengok pakaian awak tu. Jadi kalau awak nak jumpa mak saya, pandai-pandai sendirilah.” Serentak, Azrul berpusing dan melangkah semula.

“Awak percaya ke tak sebenarnya ni?”

Terhenti semula langkah Azrul lalu berpusing. Berkerut dahinya memandang gadis itu sebelum terukir senyuman di bibirnya. “Kalau saya percaya pun, awak sanggup ke naik motor dengan saya?”

“Sanggup!”

Azrul tersentak. “Kau gila?” Terus bertukar panggilan yang digunakannya.

“Habis tu, saya datang ke sini pun naik bas je!”

“Ada aku kisah?”

“Azrul!”

“Weh, senyaplah. Kau tu kat kedai runcit je la, bukan kat pasar besar.”

Gadis itu mahu menghamburkan kemarahan, tapi tertahan gara-gara keselambaan Azrul yang terlalu menyakitkan hati. Akhirnya dia merengus kasar. “Kalau awak tak ganti handphone tu, saya akan report polis! Awak merosakkan harta benda orang lain!”

“Oi, siapa yang kelam-kabut tadi?”

“Masalahnya siapa yang berjalan macam orang tak ada mata tadi?”

“Huh, orang kalau nak cari mangsa memang senang.” Lantas Azrul berpusing. Rimas!

“Eh, kalau dah salah tu mengaku je la!” Meledak kemarahan dalam suara yang ditahan. Dia benar-benar sudah hilang sabar. Lantaklah kalau Azrul terus pergi dari situ. Lagi senang hatinya!

Tapi lain pula yang berlaku. Azrul berpusing semula menghadapnya. Kemudian dengan senyuman penuh erti, dilafazkan kata-kata yang semakin menyakitkan hati, “okey, sekarang aku dah percaya yang kau tu Farhah. Jom ikut aku balik!” Azrul terus berpusing dan pergi dari situ, membuatkan gadis itu terkelu. Terpinga-pinga. Lain yang disangka, lain pula yang berlaku. Apa sebenarnya yang berada di fikiran lelaki itu?

Tidak lama kemudian, Azrul muncul semula di situ. “Cepatlah, weh! Aku tak ada masa nak fikirkan hal kau je!”

 

“CEPAT sikit. Aku dah janji dengan dia, sebelum Isyak aku hantar balik kereta ni.” Serius nada Azrul sebaik memberhentikan kereta di laman rumah. “Kau jangan nak sembang lama-lama pulak. Aku bawak kereta ni tak ada lesen. Kang tak pasal-pasal lain pulak cerita,” tambahnya. Gadis yang kelihatan sedang berfikir itu tidak dipedulikan lagi. Dia menggeleng-geleng kecil sambil keluar dari perut kereta. ‘Pelik! Entah orang gila mana terlepas dari Tanjung Rambutan! Sesuka hati pulak tu mengaku Farhah.’

Tadi dia bersetuju untuk membawa pulang cuma untuk menyedapkan hati gadis itu. Dia sudah penat melayan celoteh yang semakin menyerabutkan otaknya. Lagi pula, senang sikit urusannya jika boleh mengalihkan perhatian Mak Dah. Tidaklah soal Maya lagi yang diungkit-ungkit. Untuk seketika, mungkin dia akan mampu hidup aman.

‘Hurm… amanlah sangat!’

Azrul hempas pintu kereta, serentak gadis itu tersedar. Tergesa-gesa dia keluar dari kereta dan mendapatkan Azrul yang sudahpun duduk di anak tangga menanggalkan kasut. Kemudian anak matanya beralih bila muncul seorang wanita di serambi. Dia ukirkan senyuman hingga kelihatan sepet matanya. Tapi wanita di atas serambi itu masih kelihatan pelik memandangnya. Segera dia teringat pada kain yang menutup wajahnya. Lantas dia rentap kain itu hingga mempamer wajah sebenarnya, lalu melemparkan senyuman pada wanita di atas serambi.

Tika itu juga Azrul mengangkat pandangan dan terus terpaku. ‘Farhah? Dia betul-betul Farhah?’

“Assalamualaikum, mak cik. Mak cik sihat?” Dengan selamba, gadis itu melambai-lambai Mak Dah. Cukup mesra!

Mak Dah pula semakin mengerutkan dahi. “Farhah ke ni?”

“Hah, kenal pun!” Ketara benar keanakannya, membuatkan Azrul terkejut. Cepat-cepat Azrul bangun bila Farhah meminta laluan untuk naik ke serambi. Kemudian terpinga-pinga dia pandang Farhah yang kelihatan terlalu seronok bertemu Mak Dah. Disalami wanita itu. Azrul melopong, tidak percaya. ‘Farhah ke ni?’

“Tapi mak cik dengar… dulu Farhah accident.” Perlahan ucap Mak Dah, keliru.

“Hah, itulah yang ramai sangat orang salah faham!” Terlalu ceria nada yang kedengaran. “Diorang ingat Farhah tak selamat. Tapi sebenarnya Farhah selamat, mak cik! Cuma arwah umi je…” Perlahan nada di hujungnya. “Allah nak bagi Farhah peluang kut…”

Mak Dah yang tadinya nampak keliru, mula mengangguk-angguk faham. “Oh… maknanya Azrul salah bagi maklumatlah ni?”

Gadis itu tertawa kecil. “Bukan salah dia pun…” Terpamer giginya. “Tak sangka Farhah boleh jumpa mak cik lagi.” Gadis itu tersengih. Mak Dah mengangguk-angguk. Tanpa diduga, tiba-tiba Farhah ditarik ke dalam pelukannya. Gugur air mata Mak Dah tika itu juga. Baik Azrul mahupun Farhah, kedua-duanya sama-sama terkejut.

“Lamanya mak cik tak jumpa Farhah, nak! Farhah sihat?”

Farhah yang terdiam, perlahan-lahan mengusap bahu Mak Dah. Bagaikan mengalir kepiluan wanita itu ke dalam dirinya. Seakan sudah terlalu lama dipendamkan wanita itu. Tapi Farhah terus tersenyum untuk meredakan suasana. “Alhamdulillah sihat…”

“Banyak budi umi kamu yang tak sempat mak cik balas. Tahu-tahu je, dia dah tak ada. Mak cik terkilan sangat…”

Pelukan Mak Dah dileraikan. Farhah seka air mata di pipi wanita itu dan dengan mesra menuturkan, “umi seronok bila sempat tengok Azrul sihat balik, mak cik. Bila masa depan Azrul mula nampak cerah, umi dah tak harapkan apa-apa lagi. Itu je pun dah cukup untuk puaskan hati dia. Mak cik jangan rasa bersalah, okey?” Senyuman ceria diukirkan. Diseka lagi air mata Mak Dah. “tak mau sedih-sedih lagi tau? Nanti cepat tua.”

Tiba-tiba hinggap tamparan Mak Dah pada bahu Farhah. Pecah tawa Farhah disambut Mak Dah. Azrul yang masih tercegat di kaki tangga mula terasa tidak enak. Dia perlu bertindak segera. “Dah? Dah habis semua yang kau nak bagitau mak aku?”

Kedua-dua mereka menoleh serentak. Baru mereka ingat kehadiran Azrul di situ.

“Cepat sikit. Aku dah tak larat nak tunggu lama-lama ni.”

“Eh, dah nak balik?” Beralih anak mata Mak Dah pada Farhah. Farhah tersengih, membuatkan Mak Dah hampa. “Lah… kan baru sampai? Tunggulah lama sikit kat sini. Mak cik ni, buat air pun tak sempat lagi.”

Farhah tersenyum penuh erti. “Farhah ni kan menumpang Azrul je mak cik…”

Lantas Mak Dah menoleh pada Azrul di kaki tangga. “Naik dulu, Rul. Biar mak bersembang lama sikit dengan Farhah ni.”

“Tapi Rul pinjam kereta orang, mak.”

“Alah, Tauke Wong tu bukannya berkira sangat! Dia tutup kedai pun tengah malam nanti.”

“Tapi motor Rul…”

“Motor tu takkan lari ke mana pun!” Laju pintas Mak Dah. “Dah. Naik dulu, naik. Hari pun dah nak maghrib ni.”

 

“MAK cik, kalau Farhah cakap sikit… mak cik marah tak?” Lembut soalan yang dilontarkan. Ketika itu mereka baru selesai menikmati juadah makan malam. Azrul yang sedang menonton siaran berita, sesekali menghantar isyarat mata pada Farhah. ‘Cepat sikit!’

“Eh, apa yang nak dimarahkan? Farhah tak pernah buat salah apa-apa pun dengan mak cik. Cakaplah, nak. Apa dia?”

Farhah tersenyum. Lega, tapi hatinya masih berbalut resah. Tidak diketahuinya penerimaan wanita itu bila dia suarakan niat hatinya. “Ermm… Farhah ingat kan mak cik… Farhah nak tumpang kat sini untuk dua tiga hari ni…”

“Tak boleh!”

Tersentak kedua-dua mereka dengan suara tegas Azrul lantas menoleh. Wajah Azrul kelihatan serius. “Apa lagi yang kau nak sebenarnya ni?”

“Rul… bagilah dia habis bercakap dulu…”

Azrul terdiam tidak puas hati. “Tapi dia ni dari kedai tadi lagi…” Tertahan. “Hisy… masalah la kau ni!”

“Hisy, tak baik cakap macam tu pada tetamu!”

Azrul mendongkol. Dikembalikan pandangan ke kaca televisyen sebagai tanda protes. ‘Percaya la sangat cakap perempuan gila tu! Entah orang jahat ke dia tu. Menyamar ke apa… senang-senang je nak percaya!’

“Tidur je la dekat sini. Lagipun mesti Farhah penat kan bila dah berjalan jauh?”

Kata-kata Mak Dah itu membuatkan bersinar-sinar pandangan Farhah. “Betul ke ni?”

Mak Dah mengangguk mesra. Diusap-usap bahu Farhah. “Nak tidur dua tiga bulan pun mak cik tak kisah. Mak cik lagi suka! Sekurang-kurangnya ada jugak kawan mak cik kat rumah ni.”

“Mak janganlah percaya sangat pada budak ni mak…” Azrul mencelah, cuba menerangkan isi hatinya yang tidak enak. “Mak senang sangat percaya kat orang, sebab tu orang senang pijak kepala mak.”

“Takkan Farhah ni pun kamu nak kata jahat, Rul?” Mak Dah kurang senang.

“Masalahnya betul ke dia ni Farhah? Setahu Rul, Farhah bukan macam ni. Farhah senyap, tak banyak membebel. Tapi dia ni tergedik-gedik, perangai mengalahkan budak-budak!”

“IC dia mak dah tengok tadi Rul…”

“Orang sekarang ni, IC pun boleh dibuat sendiri mak!”

Mak Dah mengeluh. “Kalau dia buat jahat sekalipun, dia takkan cari kita. Kita ni bukannya berharta!”

Azrul bersandar di dinding. Lemah. “Kita bukannya tahu hati manusia.” Perlahan rungut Azrul, terus menghamburkan rasa tidak sukanya.

“Hah, tahu pun hati manusia tak boleh dibaca. Habis tu mana Rul tahu yang Farhah ni ada niat tak baik?”

Azrul terdiam, semakin tidak bersetuju dengan sikap Mak Dah itu. “Rul cuma nak berjaga-jaga je.”

Mak Dah mengeluh lagi. “Dah. Tak apa, tak payahlah Rul risau. Biar je Farhah tinggal sehari dua dekat rumah ni.”

Azrul terdiam lagi. Sudah habis dayanya bila mendengar keputusan itu. Dia menggeleng-geleng kesal. “Terpulanglah. Rul tak tahu.” Dia kembalikan pandangan pada kaca televisyen. Entah apa yang disebutkan pembaca berita itu, dia sudah tidak mampu faham. Tindakan Mak Dah dilihatnya sengaja mencipta masalah baru untuk mereka. Entah sihir apalah yang digunakan gadis itu hingga terlalu mudah Mak Dah ditundukkan.

“Ila!” laungnya. “Ila!!!”

“Ya?”

“Sini kejap!”

 

“KAU tengah buat apa dalam bilik tu?”

“Tengah buat apa? Study je la. Kenapa?”

“Kemas barang-barang kau semua, bawak masuk bilik mak ngah. Biar Kak Farhah guna bilik kau malam ni.”

“Kenapa tak biar je Ila tidur dengan Kak Farhah?”

Azrul berdecit. “Jangan banyak cakaplah! Buat je. Kalau tak pun, malam ni kau balik je rumah mak kau. Habis cerita.” Sejurus mengucapkan, Azrul terus bingkas. Dia mahu bersiap-siap, mahu keluar. Selain berhasrat memulangkan kembali kereta Tauke Wong, dia juga mahu menenangkan fikiran. Duduk di dalam rumah ini, semakin berserabut otaknya!

“Orang tengah datang bulan memang macam tu, Kak Farhah. Jangan ambik hati sangat…” pujuk Adilla sebaik saja Azrul memecut kereta keluar dari laman rumah.

Farhah cuma tersenyum dan menggeleng-geleng. “Akak ingatkan orang perempuan je yang datang bulan!” Pecah tawa mereka.

0 861 komen:

Post a Comment

Assalamualaikum. Hai!
Terima kasih baca.
Cer komen sikit?

.

.