Wednesday, 8 May 2013

Hati Yang Kau Sentuh Bab 10

RESAH di dada hampir gagal dilindungi. Azrul terus memerhati tempat letak kereta yang selalu digunakan ustazah. Dia tertanya-tanya. Entah mengapa ustazah masih belum tiba di sekolah itu, sedangkan kertas Bahasa Melayu akan bermula bila-bila saja.
Bila pengawas peperiksaan mula mengarahkan calon masuk ke dalam dewan, Azrul mula rasa tidak enak. Ke mana dua beranak itu pergi?
Dia pandang guru-guru yang berada tidak jauh dari dewan peperiksaan. Mereka kelihatan serius membincangkan sesuatu. Boleh jadi berkaitan ustazah dan Farhah, boleh jadi juga tidak. Azrul benar-benar mahu tahu perkara sebenar. Tapi masakan dia mahu bertanya? Dia segan.
“Calon diminta masuk ke dalam dewan.” Suara pengawas peperiksaan ke udara lagi.
Azrul mengeluh berat. Akhirnya dia akur pada arahan itu.
 
DARI jauh, sudah kedengaran jerit-pekik yang datang dari rumah. Azrul yang mampu kenal suara Maya dan Adilla, hanya mampu menzahirkan decitan seraya mengeluh.
‘Inilah yang aku malas sangat nak balik. Memekak tak sudah-sudah!’
Sebiji batu kecil yang sempat hinggap pada pandangan disepaknya. ‘Tapi kalau tak balik, susah pulak. Hari ni restoran tutup. Ke mana lagi nak pergi?’
Dia terus melangkah ke rumah. Rasa malas semakin menebal dalam diri bila tangisan Adilla mula kedengaran. Dengan penuh terpaksa, dia duduk di serambi rumah lalu menanggalkan kasut sekolah yang lusuh dan agak koyak.
“Pergilah! Tempat ni Ila dapat dulu!” Adilla menjerit nyaring, semakin menyesakkan pendengaran. Azrul bangkit dan segera menapak ke muka pintu. Bosan mendengar kebisingan yang menyambutnya.
“Kau tu dah besar, Maya!” Tinggi suaranya, mematikan raungan Adilla yang sedang berusaha menolak tubuh Maya yang berbaring di hadapan televisyen. Tawa menyakat Maya juga terhenti serentak kedua-duanya menoleh ke muka pintu. Maya pantas bingkas, duduk.
“Maya dari tadi lagi baring kat sini. Ila ni yang menyibuk…”
“Tipu!!!” Adilla memekik sekuat hati. Bagaikan hampir terkeluar anak tekaknya. Adilla menolak semula tubuh Maya, mahu berebut tempat. Maya enggan mengalah. Bergelut kedua-duanya.
Patah semangat Azrul melihat keadaan itu lalu mengeluh. “Bangun, Maya!”
Tidak dipedulikan malah semakin rancak pergelutan dua beradik itu. Jerit-pekik kedengaran. Adilla menarik rambut Maya. Maya menjerit kesakitan lalu mencubit tengkuk Adilla dengan hujung kuku. Adilla memekik nyaring, semakin dikuasai perasaan. Bertambah kuat direntapnya rambut Maya.
“Hoi!!!” tengking Azrul seraya menghentak daun pintu. Serta-merta mati pergelutan mereka. “Kau nak gaduh sampai bila ni?” tengking Azrul lagi. Bergema hingga ke luar rumah. Merah wajahnya menahan marah.
Dua beradik itu senyap. Masing-masing tunduk memandang lantai. Mereka tahu, kemarahan Azrul usah sesekali dicari. Buruk padahnya. Namun tadi mereka leka dengan hati masing-masing yang sedang bengkak hingga terlupa seperkara itu.
“Dengan rumahnya tunggang-langgang. Apa nak jadi ni?”
Senyap.
“Bangun kau, Maya!” Masih keras intonasinya.
Maya bingkas dan menuju ke dapur. Kakinya dihentak-hentak tanda protes. Azrul mengalihkan pandangan pada Adilla yang masih kaku berhampiran televisyen. “Kau pun satu! Lembik!”
Senyap. Hanya bahu saja yang terhinggut-hinggut menahan esakan. Adilla seka air mata yang membasahi wajah. Melihatkan suasana telah stabil, Azrul menapak melepasi muka pintu. “Mak ngah mana?” soalnya.
Adilla mengawal sendunya sebelum memberanikan diri menjawab, “rumah Kak Kiah.”
“Buat apa?” Masih tegang nada.
“Belajar menjahit.”
Terdiam. ‘Nak pula Si Kiah tu ajar? Selama ni dia yang takut sangat kena pintas!’
“Dah lama?” soalnya lagi. Besar harapannya agar Mak Dah pulang segera. Dia ingin sampaikan sebuah berita pada wanita itu.
Adilla mengangguk. “Dah lebih dua bulan.”
Azrul terdiam. Lain soalannya, lain pula jawapan yang diterima. Tapi jawapan yang dilontarkan Adilla semakin menjadikannya terkejut. ‘Lebih dua bulan,’ bisik hatinya. ‘Tapi aku tak pernah tahu pun?’
“Yang abang balik awal hari ni kenapa?” Soalan Maya kedengaran sebelum sekujur tubuhnya terpacul dari arah dapur. Azrul tidak mempedulikan malah terus melangkah ke bilik dan mengunci diri. Maya tidak berpuas hati lalu menuju ke pintu bilik Azrul yang telah rapat. Ditepuk-tepuknya.
“Maya tanya ni, bang! Kenapa balik awal hari ni?”
“Yang kau sibuk apahal?” Tegang suara Azrul hinggap di pendengaran Maya.
“Habis tu Maya tak boleh ambik tahu?” pintas Maya.
“Selama ni kau tak pernah kisah pun.”
“Abang balik kerja bila semua orang dah tidur. Mana sempat Maya nak tanya.”
Azrul di dalam bilik senyap sebentar. “Tak payah sibuklah.”
Maya terdiam.
“Aku dah bagi kau duit tiap-tiap bulan. Belajar je, jangan nak masuk campur hal aku.”
Terdiam lagi. Maya hampa dengan reaksi Azrul. Fikirnya, Azrul benar-benar berubah seperti yang diberitahu Mak Dah. Namun sebaliknya pula yang berlaku, indah khabar dari rupa. Akhirnya Maya berlalu dari situ.
Di dalam bilik, Azrul mencapai baju yang kemas tersusun di dalam raga pakaian. Disarung pada tubuh. Dia terpandang seluar sekolah yang membaluti kakinya. ‘Kalau pakai pergi restoran pun boleh jugak ni.’ Terukir senyuman nipis di bibirnya.
Kemudian, kemeja putih sekolah yang tadinya digantung pada paku di tepi tingkap, dia capai. ‘Elok lagi. Kalau bagi orang pun tak apa.’ Hatinya berbisik. ‘Baru bulan lepas ustazah belikan baju ni.’
Berderau darahnya bila nama ustazah terlintas di ingatan. Namun dia malas melayan, lantas kunci pintu dibuka. Dia keluar dari situ dan terus ke bilik mandi mencuci kemeja.
“Maya!” laungnya sebaik selesai menyidai kemeja yang siap dicuci. Beg sandang yang padat dia bawa ke serambi rumah.
“Kenapa?” Maya membalas laungan dari dalam bilik.
“Kalau mak ngah tanya, bagitau dia yang aku memancing kat sungai Gua Tempurung.”
“Dengan siapa?”
“Man Tobey!”
Terkuak pintu bilik sebelum terpacul wajah Maya. “Yang kerja sekali dengan abang tu?”
Azrul angguk tanpa bersuara bila mendengar suara Maya berbunyi lebih jelas. Dia tahu Maya sedang melihatnya. Tenang dia sarung boot pada kaki yang sudah dibalut stoking.
“Kalau mak ngah tanya kenapa abang balik awal?”
“Dia tahu hari ni aku last SPM.” Datar. “Pergi dulu.” Serentak Azrul bangkit sambil menyandang beg pancingnya. “Jaga Ila baik-baik. Jangan buli dia pulak!”
 
“Oi, berangan!” jerkah Man, menjadikan Azrul tersedar lalu memusatkan perhatian pada joran di tangannya. Batang besi itu masih kaku tanpa sebarang tanda umpan telah berjaya memerangkap mangsa.
“Hang dok ingat lagi kat cikgu tu ka?”
Azrul diam. Entah mengapa, tepat pula tembakan Man. Tapi dia tidak tahu menjawab apa, kerana bimbang rakannya itu salah faham. Man pula tersenyum nipis lalu mengeluh. “Sudah-sudahlah… Orang kaya memang lagu tu.”
Azrul senyap. Tidak begitu faham maksud yang cuba disampaikan padanya.
“Ustazah ka, cikgu ka, guru besaq ka, apa ka… kalau dah kaya tu, mana depa suka dengan kita ni. Ingat.” Tenang kata-kata itu. “Dulu aku beghenti sekolah pun sebab macam hang ni la. Aku tak suka orang dok kata mak pak aku macam-macam. Daripada dok kumpui dendam, baik toksah lagi aku hadap muka-muka penipu tu semua. Depa tu bukannya nak faham masalah orang. Kalau faham pun cuma buat-buat. Ada udang sebalik mi.”
Berkerut dahi Azrul. Sah, Man telah salah faham.
Bagaikan bersimpati, Man menepuk bahunya. “Sabaqlah bebanyak no. Dia tuduh hang mencurik pun, bukannya hang rugi apa-apa. Hang balik yang untung. Sekurang-kurangnya lepas ni dah tak dak lagi orang yang terhegeh-hegeh duk kejaq hang.”
“Aku tak kisah pun kalau dia dah tak nak pergi gerai tu.” Azrul akhirnya bersuara. “Tapi aku pelik sebab tiba-tiba je dia senyap.”
“Alah, yang hang dok ingat lagi pasai dia tu awatnya?”
“Dia dah banyak tolong akulah.” Mendatar suaranya, namun Man tiba-tiba ketawa. Azrul mengeluh. Dia tahu, Man masih belum faham perkara sebenar.
“Setakat tolong menyusahkan adalah!” Berbaur benci bunyinya. “Sudah-sudahlah tu. Tak pi mana pun jasa-jasa yang cikgu hang dok taboq tu. Buat apa menolong kalau lepas tu pi ungkit-ungkit balik?”
“Eh, kau dah jauh melalutlah,” Azrul memintas.
Man menoleh sekilas. “Tang mana yang aku salah? Hah? Habaq mai kat aku!”
“Dia tak pernah ungkit semua benda yang dia bagi selama ni.”
“Ah, hang dok tengok dengan mata kasaq. Memanglah dak! Tapi kalau hang pikiaq bebaik, awat dia tuduh hang mencurik? Dak pelik ka tu?”
“Dia bukan macam tu la!”
Man menggeleng-geleng sinis. “Lepaih aja kes yang aku jumpa duit dalam gelas tu, aku dah tak pernah lagi nampak batang hidung dia kat gerai. Itu tanda dia dah tak mau tolong hang lagi, hang tau? Menuduh hang mencuri tu cuma alasan, biaq bersebab!”
“Memang itu last aku jumpa dia. Tapi dia tak pernah tuduh aku mencuri.”
Man tersentak lalu menoleh. “Dah tu yang hang senyap lepas pulangkan duit tu?”
“Duit tu dia bagi pada aku.”
Man terlopong.
“Memang dia sengaja letakkan duit dalam gelas tu. Sebabnya, bila aku jumpa duit tu nanti, aku dah tak sempat pulangkan pada dia. Bukan dia nak jerat aku.”
“Habis tu yang hang dok senyap hari tu awatnya?”
“Sebab aku tak tahu nak kata apa! Dah banyak sangat dia tolong aku. Sebab tu bila dia bagi duit banyak sangat, aku serba-salah. Tak percaya yang dia sanggup tolong sampai macam tu.”
Man terdiam. Namun sesaat kemudian bersuara semula. “Dah tu, awat dia tak pernah lagi datang gerai?”
“Itulah yang aku pelik.” Serentak Azrul mengeluh perlahan. “Waktu SPM pun dia tak ada.”
“Anak dia pun?” Man semakin terkejut.
Azrul angguk.
“Dah tu dia ambik SPM kat mana?”
Azrul sekadar jungkit bahu.
“Cikgu hang tu jadi pengawas kat sekolah lain kut?” Man mengubah arus perbualan.
“Dia tu cuma penyemak kertas jawapan. Mana ada penyemak kertas jadi pengawas.”
Man senyap. Dia tidak tahu mengenai perkara itu, namun meyakini apa yang diberitahu Azrul sebagai sesuatu yang benar. Barangkali hubungan yang rapat dengan ustazah telah menjadikan Azrul maklum tentang hal itu.
“Sampai sekarang ni aku dah tak jumpa dia lagi,” keluh Azrul. Terbayang-bayang di ruang matanya, betapa hampanya dia di pagi hari pertama SPM.
Setiap kali memandang tempat letak kereta ustazah yang masih kosong, harapannya semakin luntur. Dia terlalu ingin mendengar kata-kata semangat daripada wanita itu, satu-satunya manusia yang sudi mempercayai dan menggilap potensi yang ada padanya. Dia sendiri tidak pernah sedar kepentingan ilmu jika tidak ustazah yang bersungguh memujuk dan menerangkan padanya.
Tetapi bila ustazah tidak muncul-muncul pagi itu, dia akhirnya pasrah. Sepanjang peperiksaan berlangsung, dia hanya masuk ke dewan bersama-sama baki semangat yang masih ada padanya. Setiap kali buntu, dia berusaha mengingati pesan ustazah sekaligus menguatkan kesungguhan. Dia tuliskan juga jawapan di atas kertas walaupun tidak yakin. Hatinya benar-benar pasrah. Kehilangan ustazah menjadikannya hilang arah dan terasa kosong.
Namun dia sedar, siapalah dia dalam hidup wanita itu. Ambil berat bagaimana sekalipun terhadapnya, Farhah sudah tentu lebih utama. Harapan dan ingatan terhadap Farhah pasti lebih menggunung. Lantas, ustazah tentu tidak mampu faham betapa Azrul amat mengharapkan kehadirannya di setiap saat.
Tanpa disedari, Azrul mengeluh lagi. Kali ini diiringi gelengan kecil untuk memujuk hati sendiri. Man yang berada tidak jauh darinya hanya mampu memerhati. Man tidak benar-benar faham, tapi dia masih mampu menjiwai harapan Azrul yang musnah bila orang yang diharapkan akhirnya pergi begitu saja. Antara dia dan Azrul, lebih kurang saja situasinya. Hatinya juga kosong tanpa kasih sayang. Harapan untuk memajukan diri juga cukup tinggi menggunung, namun terpaksa dilupakan lantaran hidup yang serba tidak mampu.
Lantas sepertimana Azrul, dia juga tentu akan kecewa jika masa depan yang baru mula terlihat cerah, tiba-tiba bertukar malap semula.
 
DI bawah pokok ketapang itu, dia semakin tenggelam dibawa lamunan. Dia hanya sedar bila bahunya terasa ditepuk seseorang. Dia segera menoleh dan sebaik bertemu pandangan dengan Encik Roslan, dia pantas merenyuk kertas di tangan dan memasukkannya ke dalam poket seluar.
Encik Roslan mengukir senyuman sebelum duduk di sebelah Azrul. “Tahniah.”
Azrul tersenyum tawar. ‘Cuma untuk menyedapkan hati.’
“Saya tak sangka awak akan sampai ke tahap ni.”
“Tapi saya tetap takkan ke mana-mana.” Perlahan suara Azrul.
Encik Roslan menoleh.
“Bukan boleh sambung belajar pun.”
“Siapa kata?”
Azrul terdiam.
“Boleh saya tengok transkrip awak?”
Azrul membatu. Untuk apa menunjukkan sesuatu yang akan memalukan diri sendiri?
“Bagilah saya tengok?”
Azrul lepaskan keluhan halus. Dia terpaksa akur. Kertas yang renyuk di dalam poket dikeluarkan dan dihulur. Encik Roslan menyambut. Sesaat kemudian, senyuman mekar terukir di bibir lelaki itu. Azrul terasa kerdil, rasa tersindir.
“Kan betul apa yang saya dah cakap? Awak boleh ambik tingkatan enam.”
Azrul hanya menggeleng. Minatnya untuk belajar sudah lama padam.
Encik Roslan menoleh bila tiada suara dari Azrul. “Awak suka kemahiran?”
Azrul senyap juga, tapi hatinya sedikit lapang mendengar soalan itu. Encik Roslan tersenyum. “Kalau macam tu, cuba mohon politeknik atau giatmara.”
“Boleh ke?”
“Insya-Allah… Kita cuma berusaha. Kalau awak tak nak jauh dari keluarga, awak boleh ambik giatmara je. Lagipun awak dari kelas sains ikhtisas. Ada akaun, add math dengan fizik. Insya-Allah tak jadi masalah. Mesti cikgu-cikgu yang lain pun akan sokong.”
Azrul terdiam sebaik mendengar perkataan ‘cikgu’. Ingatannya tiba-tiba berbalik pada ustazah. Dia pandang rumput hijau di hadapannya. Patutkah dia tanyakan perihal wanita itu pada Encik Roslan?
“Saya nak bagitahu satu benda pada awak, Azrul.” Suara Encik Roslan mematikan lamunan Azrul. “Tentang Ustazah Kamalia.”
Azrul terdiam. Encik Roslan bagai tahu-tahu saja isi hatinya. Tidak semena-mena berderau darahnya. Dia sendiri tidak tahu mengapa. Apa yang telah berlaku sebenarnya?
Encik Roslan seolah memberitahu perasaan serba salah ketika tangannya hinggap pada bahu Azrul. Digenggam erat bagaikan cuba memujuk, membuatkan Azrul semakin resah. Pandangannya terus jatuh pada rumput di hujung kaki.
“Sebenarnya… ustazah dengan Farhah accident seminggu sebelum awak SPM. Dah empat bulan ustazah meninggal dunia.”
Seakan terhempap rasanya. Azrul sukar percaya, tapi dia tidak langsung berani mengangkat pandangan. Dalam diam dia cubit lengannya. Sakit. Tapi apa yang baru dia dengar seolah pekikan-pekikan syaitan!
Entah kenapa dia terasa kehilangan. Entah kenapa dia perlu rasa ingin menangis. Dan entah kenapa dia rasa hidupnya sekali lagi musnah!
“Kami tak bagitau dari awal sebab kami tak mahu awak susah hati. Awak dah nak SPM waktu tu. Sebenarnya harapan kami pada awak cukup tinggi, sebab tu kami bersyukur bila awak dapat berubah balik macam dulu. Sebab tu juga kami tak sampai hati nak bagitau awak. Saya tahu macam mana hubungan awak dengan dia. Jadi saya harap awak faham.”
Azrul terus membisu. Tidak sanggup mendengar lagi.
Genggaman Encik Roslan semakin kemas pada bahu Azrul. “Sabar banyak-banyak. Teruskan belajar. Insya-Allah, kejayaan awak akan mampu membahagiakan arwah…”
 
ESAKAN Mak Dah membuatkannya semakin sayu. Dia melangkah ke biliknya. Ditutup pintu, sebelum dia duduk dan tersandar di situ. Gugur akhirnya air jernih dari tubir mata. Dia benar-benar tidak mampu bertahan lagi.
Kalaulah masa yang lepas boleh dikembalikan, dia akan hargai ustazah sebenar-benarnya. Dia akan berbaik dengan Farhah.
Tapi hakikatnya, dia sudah terlepas segalanya. Cuma satu saja yang dia ada kini. Amanah.
Ya, dia perlu tunaikan amanah yang ustazah sempat tinggalkan buatnya. Dia perlu terus belajar. Jika tidak, dia akan semakin dihukum rasa bersalah. Biarlah walau apa pun masa depannya. Dia tidak peduli. Asalkan dia mampu langsaikan rasa terkilan dalam dirinya.
Dia seka air mata. Nampaknya cadangan Encik Roslan perlu dipertimbangkan. Dia akan sambung belajar.
Tapi… rasanya dia mahu ke giatmara saja.
 

0 861 komen:

Post a Comment

Assalamualaikum. Hai!
Terima kasih baca.
Cer komen sikit?

.

.