Wednesday, 29 May 2013

Hati Yang Kau Sentuh Bab 19


TIDAK lama selepas Mak Dah dan Adilla berangkat ke rumah Mak Uteh, Azrul pula meminta diri untuk ke rumah Haji Daud. Sempat dia tinggalkan pesan agar Farhah berhati-hati dan seperti biasa, Farhah hanya menjawab, “okay, beres bos!” Sambil ketawa. Sangat keanakan.

Azrul mencebik. “Jangan okey, okey je. Buat! Kalau apa-apa jadi pada Farhah nanti, abang tak tahu.”

“Iya, orang tahu…” Farhah yang sedang menjahit, mula menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Tanda dia rimas. Entah apa yang merasuk Azrul, tiba-tiba hari ini menggunakan gelaran itu.

Ini pasti ada pembulian yang sedang dirancang! Nampaknya dia perlu bersedia.

Azrul tersengih melihat Farhah yang kegeraman. Sengaja dia mahu mengusik, kerana dalam diam, hatinya cukup terkesan dengan gelaran yang digunakan Farhah semalam. Walaupun dalam keadaan tidak sedar, entah kenapa dia terlalu yakin yang gelaran itulah yang digunakan Farhah buatnya selama ini.

Ah, mekar pula hatinya tiba-tiba!

Dia menuruni anak-anak tangga selepas mengucapkan salam. Farhah hanya menjawab acuh tak acuh sambil terus memberi tumpuan pada jahitannya. Khusyuk. Keadaan rumah yang lengang membuatkan dia semakin menyibukkan diri, enggan membiarkan apa-apa perasaan tidak enak mengganggunya hari itu.

Agak lama bersendirian, dia semakin tenggelam dalam dunianya. Dalam pada menjahit itu, dia terdengar derap kaki Azrul mendaki tangga. Bagaikan terhendap-hendap. Suka sangat menyakat! Tapi Farhah malas melayan. Suka hati Azrullah. Lama-lama nanti, bila sudah penat pasti Azrul akan berhenti sendiri. Jadi dia sekadar buat tidak tahu dan terus menjahit. Tapi dalam hati dia sudah tersenyum-senyum. Agaknya pembulian apa pulalah yang mahu dilakukan Azrul hari ini. Mak Dah tidak ada. Seronoklah lelaki itu!

‘Hurmm… banyaklah dia punya seronok. Orang tengah susah hati ni dia tak tahu.’

“Farhah.”

Serta-merta dia menoleh. Sekujur tubuh sedang berdiri di muka pintu. Tidak semena-mena detak jantungnya bagaikan direntap. Terlepas kain dari tangan!

 

“PAK cik tengok kamu makin ambil berat pasal orang rumah kamu.”

Azrul tersengih mendengar usikan itu. “Biasa-biasa je pak cik. Ini pun mak saya yang mintak saya tanya pada pak cik. Saya sendiri tak tahu nak buat macam mana.”

Terukir senyuman di wajah tua Haji Daud. “Tak apa, tak apa. Pak cik faham.”

“Jadi macam mana dengan kitorang ni?”

Soalan itu membuatkan Haji Daud membisu sejenak. Jauh pandangannya terlontar pada alam yang terbentang di luar serambi rumah. Dia hela nafas dalam sebelum kembali memandang Azrul. “Kata orang lama-lama, kalau menarik rambut dalam tepung, biar berhati-hati. Rambut, jangan sampai terputus. Tepung, jangan sampai berselerak. Ada baiknya kalau kamu terangkan sendiri pada yang empunya badan… Orang rumah kamu tak kata apa?”

Azrul menggeleng. “Dia ikut je, pak cik.”

Haji Daud tersenyum. Anak matanya merenung jauh ke dalam mata Azrul, membuatkan anak muda itu keresahan. “Kenapa, pak cik?”

Haji Daud menggeleng. Anak matanya beralih, kini terarah pada jalan kampung yang terletak di belakang Azrul. “Tolong panggilkan kawan kamu tu.”

Azrul menoleh. Kelihatan Antoi sedang menapak di bahu jalan sambil mendukung seorang anak kecil. “Toi!” laung Azrul.

Antoi menoleh. Wajahnya seakan memberitahu yang dia sedang memikirkan sesuatu. Azrul menggamit. Antoi akur. Langkah kaki bertukar arah.

“Assalamualaikum.” Tenang Haji Daud menyambut tetamu. Antoi tersenyum mesra seraya menjawab salam itu. Kemudian dia duduk di anak tangga serambi. Anak kecil diletakkan di pangkuan.

“Aku pergi rumah kau tadi, Yoi. Tapi kau takde.”

“Sebab aku ada kat sini.” Azrul memintas, berseloroh.

Haji Daud tersenyum. “Sorang pun tak ada kat rumah?”

Dahi Antoi kembali berkerut. “Siapa lagi yang ada kat rumah tu? Ila dengan Mak Dah kan pergi rumah Maya?”

“Betul tak ada sesiapa?” pintas Azrul laju. ‘Mana Farhah?’

Antoi terbungkam, keliru lalu mengalih semula pandangan pada Haji Daud. “Ingatkan tadi kita yang tersalah pandang, Pak Aji.” Dia pandang pula Azrul yang mula nampak serba-salah. “Kau kata kat aku, Farhah dah tak ada? Apa citer ni?”

“Aku nak cerita kat kau, tapi panjang. Kau kena dengar lama, sebab kalau tak nanti kau salah faham.”

“Maknanya betul Farhah hidup lagi?” Antoi tiba-tiba menekan, nampak cemas.

“Apasal?”

“Baik kau balik cepat Yoi. Entah-entah orang tu dah pecah masuk rumah kau.”

“Apa kau ni!” Tersentap.

“Betul!” tekan Antoi lagi. “Tadi masa aku sampai, ada satu kereta besar kat depan rumah kau. Lepas tu aku nampak Farhah tengah bertekak dengan sorang lelaki kat serambi.”

“Tua?”

“Tak tua sangatlah. Baya-baya mak kau. Tapi tadi aku ingat itu jelmaan Farhah, sebab tu aku…”

“Pergi dulu, pak cik!” Tiba-tiba Azrul bingkas dan terus terjun ke tanah.

Antoi kaget. “Oi, Yoi!” laungnya. Tapi Azrul sudahpun berlari meninggalkan laman rumah. Antoi terdiam, berpeluh dahinya.

 

“BAIK abah pergi. Kalau tak Farhah jerit lagi.” Tegang nadanya bersama nafas yang turun naik. Dia sudah tidak tahu lagi, bagaimana untuk menghalau lelaki itu. Puas dia menengking, tapi Encik Fauzi cuma berganjak sedikit saja ke serambi.

Encik Fauzi tersenyum sinis. “Ini hari yang terancang. Aku takkan saja-saja datang mencari bala. Aku cari jalan.” Dia jungkit kening. “Ikut aku, sebelum…” Tangan yang berada di belakang dia keluarkan. Berderau darah Farhah sebaik terpandang pisau Rambo di tangan lelaki itu. Hilang arahnya.

Encik Fauzi tersenyum lagi. “Nak mana satu, ikut atau…”

Tiba-tiba jatuh air jernih dari tubir mata Farhah tanpa mampu lagi diempang. Farhah segera menyeka dan cuba bertahan. Encik Fauzi tersenyum sinis. “Jom. Tak ada masa aku nak menunggu.”

Farhah terdiam. Menggigil tangannya mencapai tudung di sebalik pintu bilik. Disarung ke kepala lambat-lambat. Dia cuba melengahkan masa. ‘Baliklah cepat, Azrul. Baliklah…’

“Cepat!” Meledak tengkingan membuatkan Farhah terkejut. Merembas lagi air mata. Dia kemaskan tudungnya. Tapi tiba-tiba tangan Encik Fauzi melingkari tengkuknya dari arah belakang. Tubuhnya ditarik kasar ke luar rumah. Dia tidak berupaya melawan!

 

TERHENTI langkah Azrul sebaik tiba di laman rumah. Tersirap darah melihat tubuh Farhah diseret dan dihumban ke dalam kereta. “Lepaskan dia.” Bergetar suaranya menahan marah.

Encik Fauzi yang baru menutup pintu kereta segera menoleh. Tersungging senyuman sinis di bibir, mencabar. “Baik kau senyap kalau nak hidup lama.”

Azrul bungkam, membuatkan Encik Fauzi berlalu ke bahagian pemandu. Tapi sebaik saja lelaki itu duduk di kerusi, Azrul pantas bertindak. Pintu kereta bahagian belakang dibuka. Farhah ditarik, dipeluk erat. Tika itu juga Encik Fauzi keluar semula bersama wajah bengis. “Lepaskan dia!” Bergema pekikan. Dia meluru ke arah Azrul.

Azrul pantas berundur, terus menghampiri tangga. “Farhah naik dulu, kunci pintu!” Serentak dia lepaskan gadis itu. Tika itu juga satu chop ala karate hinggap di tengkuknya. Azrul tersungkur di tangga. Farhah terkaku di serambi. Serba-salah antara mahu dan takut untuk menolong Azrul.

Dalam kesakitan itu Azrul bingkas. Encik Fauzi sudah menanti dengan tumbukan. Azrul mengelak, membalas dengan tendangan di dada. Encik Fauzi terundur, memegang dada sambil terbatuk. Azrul diam di tepi tangga. Cuba mengawal nafas yang tersekat-sekat. Mata terus tajam mengawasi Encik Fauzi. “Pergi sekarang.” Bergetar suara.

Encik Fauzi membengis. Amaran Azrul tidak dipedulikan bahkan menyerang lagi. Lebih kemas langkahnya, bagaikan terlatih. Kali ini Azrul gagal melawan. Berkali-kali hinggap tumbukan di wajah dan perutnya. Dia tewas, akhirnya tersungkur di tepi tangga. Cemas dia lihat Encik Fauzi yang merentap tangan Farhah. Gadis itu diheret kasar hingga hilang imbangan dan terjatuh di tangga.

Peluang terbuka, Azrul pantas bingkas. Sekuat tenaga dikerah, menendang tepat dada Encik Fauzi. Terlepas genggaman lelaki itu pada tangan Farhah. Segera Azrul tarik Farhah semula. Esakan halus Farhah mula kedengaran. Azrul peluk lebih erat tubuh itu. Dibawa Farhah jauh dari Encik Fauzi. Dia tahu keadaan akan lebih genting jika Farhah dilepaskannya.

Encik Fauzi mahu meneruskan serangan tapi terbantut sebaik terdengar kekecohan menghampiri laman rumah. Dia pantas menoleh.

Terbeliak biji matanya. Orang kampung sedang menyerbu kawasan itu. Ada yang berkayu malah ada juga yang berparang!

Lantas dia masuk ke perut kereta. Terburu-buru memecut keluar dari situ. Hampir melanggar beberapa penduduk kampung. Mujur mereka sempat mengelak. Cemas keadaan.

Azrul di tepi rumah melepaskan lelah. Dia mahu leraikan pelukannya, tapi tika itu juga tangannya terbantut. Esakan Farhah! Dia pandang gadis yang masih menyembam wajah di dadanya itu. Cukup sayu bunyinya, membuatkan dia tersentuh. Gadis itu bagaikan bersungguh-sungguh mengharap perlindungan. Bergetar perasaan Azrul. Baru saat ini dia faham ketakutan gadis itu. Baru kini dia mampu mengerti. Sememangnya keadaan benar-benar genting. Memang bukan khayalan semua ini.

‘Ya Allah…’

“Kau tak apa-apa, Yoi?”

Soalan Antoi membuatkan Azrul terpaksa juga melepaskan tangannya dari tubuh Farhah. Dalam rasa cemas yang masih belum surut, dia malu. Entah apalah yang akan diperkatakan Antoi jika tahu siapa sebenarnya Farhah.

Azrul mengangguk sekali. “Okey. Farhah pun okey.” Dia terhenti bersuara bila menyedari Farhah berlalu dari situ. Dia pandang Antoi semula. “Terima kasih banyak-banyak. Tapi aku kena naik dulu, dia tengah takut lagi tu.”

Antoi mengangguk. Azrul mendaki tangga. Antoi akhirnya menyoal, “kenapa dia ada dengan kau?”

Terhenti langkah Azrul di muka pintu seraya menoleh. Dia cuba tenangkan hati. “Kau dah nampak yang dia dalam bahaya. Aku nak tolong dia, jadi aku ambik dia jadi orang rumah aku.” Perlahan suaranya, tapi cukup untuk didengari semua orang kampung yang berada di situ dan mengejutkan mereka. Antoi pula terdiam.

Tanpa berkata apa-apa lagi, Azrul menghilang ke dalam rumah.

 

DAUN pintu yang rapat ditolak. Terkuak. Dia melangkah masuk. Kelihatan Farhah sedang memasukkan pakaian ke dalam beg. Mulanya Azrul hampir mengeluh kerana tahu, Farhah mahu pergi lagi. Tapi bila dia perhatikan betul-betul, dia terdiam.

“Farhah buat apa ni?”

Farhah tidak menoleh. “Untuk awak, senang kalau nak pergi rumah Maya nanti.” Hampir saja tidak kedengaran.

Azrul semakin keliru. “Abang kahwin lambat lagilah, nak kumpul duit dulu. Takkannya Maya tu nak kalau buat kenduri kecik-kecik ni, Farhah.” Masih dia kekalkan gelaran yang digunakan sejak pagi tadi itu. Farhah senyap. Terus juga mengemas. Azrul dapat rasakan, Farhah sedang berusaha melawan perasaan. Dia hampiri gadis itu, tapi tiba-tiba Farhah bingkas dan terus keluar dari situ. “Farhah.”

“Mmm?” Masih tidak menoleh apatah lagi berhenti melangkah.

“Duduklah dulu.”

“Saya sibuk ni.” Datar.

“Ada hal penting yang abang nak cakap dengan Farhah ni.”

Farhah terhenti melangkah lalu berpusing. Sempat ekor matanya melihat keadaan di laman rumah. Orang kampung sudah bersurai, lantas dia pandang Azrul semula. “Apa dia?”

“Takkan kita nak berbincang macam ni? Farhah kat sana, abang kat…”

“Saya sibuk ni, awak faham tak?” Tegang tiba-tiba nada Farhah.

Tersirap darah Azrul. “Sibuk apanya sangat?”

“Kalau nak cakap tu cakap jelah, apa pulak nak suruh saya pergi sana?”

“Jangan degil sangat boleh tak!” pintas Azrul lantang.

Farhah terdiam. Tersentap kekuatannya ditengking begitu.

“Abang susah payah tolong Farhah, macam ni balik yang Farhah buat pada abang?”

Terdiam lagi.

“Abang nak bercakap sekejap pun tak boleh? Apa masalahnya ni!”

Senyap. Farhah memandang sejenak wajah Azrul yang tegang. Akhirnya keluhan terlepas dari bibir lalu menapak ke arah Azrul yang masih berdiri di muka pintu. Dia lintasi lelaki itu. Sampai di birai katil, dia duduk. Tapi sebaik saja tubuhnya menyapa tilam, tidak semena-mena air matanya merembes. Azrul terkejut.

Farhah segera menyeka pipinya, tapi air mata terus degil dan semakin galak berhamburan. ‘Cukuplah! Jangan menangis, Farhah!’ Dia seka lagi pipinya. Rasa menyesal pula kerana membiarkan diri terikat dalam sebuah perkahwinan. Kini dia terpaksa menyusahkan Azrul malah seluruh penduduk kampung terpaksa masuk campur. Azrul yang tidak langsung faham pula terus dengan perangai mengongkongnya. Argh… kusutnya!

“Farhah…” Suara Azrul kedengaran begitu hampir di hadapannya, berbaur serba-salah. Entah bila lelaki itu duduk di situ. “Kenapa ni…” soal Azrul lagi. Farhah menggeleng, cuba menguatkan hati.

“Kan kita dah janji, susah senang kita tanggung sama-sama, Farhah. Sebab tu abang jadikan Farhah isteri abang…”

“Tapi sampai bila saya nak susahkan awak, Azrul…” Sayu.

Azrul terdiam. “Farhah tak boleh tanggung semuanya sorang-sorang. Nak tak nak, Farhah kena kongsikan jugak dengan abang, biar beban yang Farhah rasa tu berkurang.”

Farhah ketawa sinis dalam rasa sebak. “Cuma rasa je yang berkurang. Tapi masalah sebenar… makin teruk.” Diseka air mata yang menterjemahkan pilu yang semakin mencarik-carik perasaan. Semakin lama dia semakin terseksa, makin terhukum dan menjadikan dia semakin lemas. “Mana saya nak pergi lagi, Azrul…” Diluah juga akhirnya tanpa disedari. “Saya akan terus menyusahkan semua orang…” Terputus kata dalam esakannya. Dia tertunduk, pasrah. Jatuh air mata pada tangan di pangkuan. Dia mengagak, mungkin inilah yang menyebabkan dia berasa tidak enak malam tadi.

Azrul senyap. Tidak tahu bagaimana untuk membantu gadis itu. Esakan Farhah semakin membuatkannya lemah. Dia tidak betah melihat air mata gadis itu. Tapi dia sendiri tidak tahu, apa cara terbaik untuk menyelesaikan kerumitan ini. Dia buntu.

Dia tidak tahu benar atau tidak apa yang dilakukannya. Tapi mahu tidak mahu, dia gagahkan juga tangannya menggenggam jari-jemari di pangkuan Farhah, cuba memberi kekuatan. Dia juga mahu Farhah sedar kehadirannya untuk membantu dalam masalah itu. Tidak disangkanya, Farhah membalas genggamannya bahkan lebih kejap. Seolah cuba mengharapkan pengertian dan tempat bersandar. Azrul menghela nafas dalam, semakin simpati.

“Saya takut, Azrul…” Suara halus itu kedengaran lagi. Air mata jatuh di belakang tangan Farhah, mengalir dan mendarat di atas tangan Azrul. Farhah menyeka pipinya tanpa mempedulikan tangan Azrul yang masih menggenggam jari-jarinya. Bagaikan tidak kisah lagi pada segala-galanya. Sedangkan selama ini, mereka tidak pernah berada dalam situasi serapat itu. Terdetik juga keresahan dalam hati Azrul, bimbang berubah perasaannya.

Dia lepaskan nafas sesak lalu bangkit sedikit, duduk di atas tumit yang ditegakkan agar ketinggian mereka setara. Air mata Farhah disekanya. “Semuanya akan selamat, insya-Allah. Percaya cakap abang ni, Farhah.”

Farhah tetap tunduk. Terus melindungi merah dan basah wajahnya yang disebabkan tangisan. Kata-kata Azrul masih belum mampu menenangkan perasaannya. Dia tahu, Azrul sekadar mahu menyedapkan hati. Hakikatnya, Azrul sendiri tidak yakin dengan apa yang diperkatakan.

“Farhah…” panggil Azrul lembut. Farhah membalas pandangan. Di seakan dapat merasakan, hati lelaki itu sedang bersuara dan berbisik, ‘Percayalah, Farhah… Abang ada…’ Tapi dia semakin nanar. Entah kenapa, bibir Azrul yang luka, pipi Azrul yang biru dan pandangan Azrul yang sayu menusuk hati itu membuatkan Farhah sebak semula. Rasa pilu mencucuk-cucuk, membuatkan dia semakin lemah dan pasrah. Mengalir lagi air matanya. Dia semakin tertunduk di hadapan Azrul, hinggakan helaan nafas lelaki itu pun mampu dirasakannya.

Azrul terdiam sesaat dua. Simpati. Dia hampiri Farhah, dipegang lembut bahu gadis itu untuk menenangkan. Tapi Farhah kelihatan semakin tenggelam dalam tangisan hinggakan tidak menyedari apa dilakukannya. Azrul terdiam bila tiba-tiba Farhah menghampiri lantas menyembamkan wajah di bahunya. Menangis Farhah di situ. Sesaat dua Azrul terkaku. Menderu nafas resahnya.

Teragak-agak dia memeluk Farhah. Diusap-usap bahu gadis itu. “Farhah tak boleh mengalah macam ni. Farhah kena kuat.” Lembut ujarnya. “Tak selamanya dia akan lepas bebas macam tu. Siapa tahu kalau kita terus usahakan, satu hari nanti dia terima jugak balasannya.” Lembut bisikannya. “Kita usahakan sama-sama. Ya?”

Ada anggukan kecil dirasakan. Dalam diam, Azrul mengeluh. Ini kali pertama dia memujuk seorang wanita. Dia sendiri tidak tahu, dari mana dia peroleh segala kata-kata yang diucapkannya tadi. Mungkin memang Allah yang mahu begitu. Jika bukan dia sebagai suami, manusia mana lagi yang boleh Farhah jadikan tempat bersandar?

Tapi kenapa dia semakin terseksa? Sedangkan dahulu dia yang berjanji untuk membantu saja dan tidak lebih langsung dari itu. Tapi saat ini, hati dan perasaannya semakin bercelaru. Entahlah… Dia semakin tidak faham dengan hatinya sendiri.

 

MELEDAK amukan Maya sebaik terbongkar rahsia pernikahan Azrul dan Farhah. Malam itu juga diserbunya rumah Mak Dah. Terkuak saja pintu, Maya terus merempuh masuk tanpa mempedulikan Mak Dah yang tidak sengaja ditolaknya. “Ya Allah, apa kena ni Maya?”

Maya mencekak pinggang di tengah-tengah ruang tamu. “Abang Azrul mana!”

“Ada…”

“Abang!” Dipintas laju kata-kata Mak Dah. Pintu bilik yang rapat ditepuk-tepuknya kasar. Benar-benar hilang sabar!

Terkuak saja daun pintu, terpacul wajah Azrul yang amat dibencinya. Maya mendengus kasar. “Abang ikat Maya ni sebab apa sebenarnya? Nak menghina?”

“Nak menghina apanya?”

“Jangan buat-buat tak tahulah!” Meledak tengkingan. “Tu, sapa yang dalam bilik tu?” Sebelum sempat Azrul menjawab, Maya pantas menyambung. “Bini abang kan?”

Azrul terdiam. Sudah dijangkanya. Pasti orang kampung akan menghebahkan segera perkara ini. Dan sekarang, masalah baru sudah timbul.

“Ohhh… Abang ingat abang tu baik sangatlah. Nak kahwin dengan Maya, kononnya nak bimbing Maya. Sebab tu abang kahwin dengan perempuan lain! Kan! Abang buat Maya ni sebijik macam gundik!”

“Habis tu Maya nak kahwin dengan siapa? Haikal?”

Giliran Maya terbungkam.

“Maya ingat dia tu serius ke?”

“Habis abang tu serius sangatlah?”

“Sekurang-kurangnya abang tahu apa yang abang buat.”

“Pergi mampuslah dengan apa yang kau tahu tu!” Tidak semena-mena tubuh Azrul ditolak. Terundur lelaki itu. Maya merempuh masuk. Sepantas kilat, Farhah yang sedang lena di atas katil ditempeleng. Terkejut Farhah lantas bangun. Dan sebaik saja menjauhkan diri ke hujung katil, air mata ketakutan berhamburan keluar.

“Maya!”

“Apa Maya, Maya!” tingkah Maya nyaring. Farhah dipandang kembali sesudah itu. Jari telunjuk menujah ke arah gadis itu. “Hari ni kau dah boleh tergelak besar tengok aku macam ni,” ujarnya. “Esok, giliran kau pulak yang mampus, kau tahu!”

“Akak!” Serentak, tubuh Maya dicempung dari arah belakang. Maya meronta, Adilla lebih kemas mempergunakan kemahiran silatnya. Tubuh Maya ditarik keluar.

“Kau jangan ingat kau boleh lepaslah!!!” Turun naik nafas Maya menghambur dendam.

Azrul mengikut Adilla dan Mak Dah yang menarik Maya keluar. Dibiarkan Farhah bersendirian untuk seketika. “Kalau bencikan abang sekalipun, jangan sampai babitkan Kak Farhah.”

“Oh, nama dia Farhah?” Sinis ucapnya dalam pelukan Adilla. “Aku benci kau. Siapa jugak yang buatkan kau bahagia, aku akan benci jugak kau tahu!” ucapnya dengan gigi yang diketap. “Sebelum kau nak betulkan aku, betulkan dulu diri kau tu. Dua tahun bertunang ni pun aku rasa takkan cukup.” Tajam. Lantas dia lepaskan tubuhnya dari pelukan Adilla dan terus keluar dari rumah itu. Panggilan Adilla dan Mak Dah tidak dipedulikan. Dendam kesumat benar-benar telah menguasai diri.

Azrul hanya mampu menggeleng lemah. Semakin bertimpa-timpa masalah mereka. Runsing fikirannya. Dia masuk semula ke dalam bilik. Dikunci kemas daun pintu sebelum duduk di birai katil. Farhah yang terus memencil diri itu dipandangnya. “Dia dah balik.”

Farhah senyap, masih teresak-esak di hujung katil. Azrul mengeluh lagi. Kepala yang tidak gatal digaru, serba-salah dengan segalanya. Dia tarik tangan Farhah hingga gadis itu terpaksa akur menghampirinya. Air mata Farhah disekanya. “Farhah kena tahu, Farhah tak pernah buatkan abang rasa susah. Abang memang nak tolong Farhah…”

Farhah tetap bisu melayan tangisan. Esakan sedikit berkurang, tapi air mata terus galak berhamburan. Azrul terdiam sesaat, buntu. “Maya tu terpaksa kahwin dengan abang. Sama jugak dengan abang, terpaksa. Farhah jangan rasa bersalah dengan apa yang dia buat tadi. Dia takkan berani buat apa yang dia katakan. Abang tahu, sebab dari kecik lagi abang jaga dia.”

Senyap juga. Azrul semakin resah. “Farhah…” panggilnya perlahan, hingga terdengar seakan merayu pula. Dia benar-benar lemah melihat tangisan gadis itu. Farhah membalas pandangannya, sayu. Tiba-tiba Azrul terasa gugup. Tidak pasti sama ada benar apa yang sedang dilakukannya ini. Perlahan-lahan dia ungkapkan, “salah ke… kalau kita tolong orang yang kita sayang…”

Serta-merta jatuh semula pandangan Farhah. Azrul cuba mengawal hati yang berdebar. Dicapai jari-jemari Farhah dan digenggamnya kemas. “Percayakan abang, Farhah.” Lembut kata-katanya bernada pujukan. “Abang buat semua ni sebab abang sayangkan Farhah.”

Tanpa diketahui sebabnya, air mata Farhah bertambah galak merembas. Sendu halusnya mula kedengaran semula di ruang dengar Azrul. Azrul diam, tahu Farhah pilu sepertimana dia tersentuh mendengar tangisan isterinya itu. Air mata Farhah disekanya penuh kasih.

“Sudahlah. Jangan takut…” Tapi tiba-tiba terhenti pergerakannya bila tangan yang menyeka itu dipegang Farhah. Dia tatap wajah gadis itu, cuba memahami maksud perlakuan itu.

Farhah menarik tangan Azrul hingga jatuh ke pangkuannya. Digenggam kemas jari-jemari lelaki itu dengan kedua-dua belah tangan.

“Farhah…” Hampir tenggelam suara Azrul, cuba meredakan detak kencang jantung yang semakin tidak terkawal.

“Abang…” Farhah berseru dalam sebak. Kata-kata yang cukup bererti. Memberi makna yang terlalu dalam. Jari-jemari Azrul digenggam semakin kemas. Azrul merenung wajah Farhah, seakan tidak percaya dengan apa yang didengarinya. Sangkanya, hanya dia yang merasai. Betapa berderau darahnya mendengar panggilan itu.

Bila Farhah mengangkat anak mata hingga bertemu pandangan mereka, Azrul tidak langsung membawa pergi anak matanya. Bagaikan hati mereka terikat ketat ketika itu. Bibir Farhah bergetar perlahan. “Tolonglah terus sayangkan Farhah…” Usai melafazkan, tubir mata Farhah melimpah. Azrul terpempan dan tanpa berfikir panjang lagi, dia tarik Farhah ke dalam pelukan. Pecah semula tangisan gadis itu. Semakin kemas dakapan Azrul.

“Abang buat sebab abang betul-betul sayangkan Farhah, bukan sebab nak balas kebaikan umi. Rasa terhutang budi je tak cukup untuk buatkan abang sanggup tolong Farhah…”

Farhah semakin pilu. “Jangan tinggalkan Farhah. Farhah sayang abang…” Teresak-esak.

Azrul mengangguk, tenang mengusap-usap bahu Farhah, “tak… abang akan terus ada untuk Farhah, insya-Allah,” pujuknya lembut, memberi janji. “Kita mula dari awal ya, sayang,” bisiknya.

Farhah tidak menjawab lagi. Hanya mengangguk dan membalas pelukan Azrul.

 

1 861 komen:

Anonymous said...

Azrul <3 Farhah
Farhah <3 Azrul

Post a Comment

Assalamualaikum. Hai!
Terima kasih baca.
Cer komen sikit?

.

.