Monday, 18 March 2013

Hati Yang Kau Sentuh Bab 1


“FUH, sedap gila! Macam chicken chop!” Pejai menghembus-hembus telapak tangannya yang perit sambil melangkah di kaki lima pejabat.

“Oi, chicken chop tak cukup sedap tau.” Antoi mencelah, menarik perhatian Pejai.

“Dah tu, kau rasa macam apa?”

“Seluar dalam basah!”

“Pergh!!! Hampeh!” Pejai kembali menghembus telapak tangannya, lebih kuat dari tadi. Bengang dia bila anggota yang lain ketawa bersama-sama Antoi. Rasa macam mahu saja dilanyak-lanyak muka guru kanan yang merotannya tadi. Tapi jika dia berbuat begitu, dia sendiri yang akan terima padahnya. Dia mungkin akan dibuang sekolah.

“Adoiyai… apa barang gengster merengek!” Poji mencelah. “Cuba tengok Yoi, selamba je. Tak berbunyik langsung!” Dia pandang Azrul yang berjalan paling belakang. Azrul sekadar tersenyum sinis.

“Yoi lain la. Tangan dia dah kematu.” Pejai masih mahu mempertahankan diri. “Aku ni belum habis menuntut!”

“Hah, menuntut la lagi!”

“Kalau gitu, lepas ni kita cari ‘ikan’ lain pulak.”

“Tak payah…” Azrul tiba-tiba bersuara, mematikan bebelan-bebelan mereka. Spontan mereka menoleh. Azrul memandang ke satu arah. “Tu…”

Mereka mengalih anak mata ke arah yang dimaksudkan. Serta-merta tersungging senyuman di bibir masing-masing.

“Uih, cantik ‘ikan’ kita kali ni Yoi…” Baha menggumam perlahan. Nampak tidak sabar menjalankan operasi.

“Kali ni kalau kena sebat kaw-kaw pun aku dah tak kisah. Berbaloi kalau selalu dapat pancing ikan macam ni!” Pejai ketawa disambut anggota lain.

“Bereh boh! Buntut aku ni pun dah kematu jugak. Kalau si Roslan botak tu belasah lagi nanti, aku kentut sekali je gerenti dia kojol punya.” Antoi menambah sambil mengusap-usap buntutnya.

“Macam biasa, Jai.” Azrul mengarah.

“Okey, bos!” Pejai menunjuk aksi tabik sebelum berlalu. Langkahnya menghala ke arah gadis yang kelihatan terkial-kial menyandang beg besar dan buku teks yang memenuhi tangan. Azrul dan anggota lain memerhati dari jauh, tapi dalam masa yang sama mereka perlahan-lahan mengekori Pejai. Drama pendek bakal berlangsung dan mereka perlu menanti.

“Macam nak tercabut je tangan tu abang tengok?” sapa Pejai sewaktu tiba berhampiran. Mesra dan sopan gayanya.

Gadis itu mengangkat wajah sebelum teragak-agak mengukir senyuman. “Err… saya budak baru kat sini, sebab tu dapat buku…”

“Nak abang tolong?”

Gadis itu bagaikan serba-salah. Tapi tetap menghulurkan buku-bukunya bila Pejai menyuakan tangan. Senyuman tipis diukirkannya dan berjalan di belakang Pejai.

“Nama adik ni apa? Kelas dekat mana?” tanya Pejai lagi, cuba memancing kemesraan.

Gadis itu mengerling sekilas. “Saya Farhah, kelas Empat Sains Tulen…”

“Oh, dekat je dengan kelas abang…” Mesra. Gadis itu hanya mengangguk walau tahu Pejai tidak melihatnya. Dia terus menundukkan wajah.

Tiba-tiba Pejai dilanggar hingga terjatuh buku-buku yang dibawa, membuatkan Farhah terkejut. Terkaku langkahnya di tepi bilik seni itu.

“Woi, tarak mata ka!” tengking Baha.

Pejai kelihatan kalut. “Err… sorry bang, sorry…”

“Apa sorry, sorry!” Baha menggenggam kolar baju Pejai dan ditarik ke atas. Pejai nampak takut. Farhah kecut. Selama ini dia dengar, sekolah di luar bandar penuh dengan masalah disiplin. Inikah salah satu masalahnya? Buli?

Dia pandang Pejai. Bahu lelaki itu terhinjut-hinjut kecil. Hinjutan itu semakin jelas sebelum akhirnya tawa lelaki itu tersembur. “Muka kau tu buat aku rasa nak muntah!”

Farhah keliru. Baha semakin tajam merenung Pejai, tapi lama-kelamaan Baha juga ketawa besar disambut tiga lelaki lain. Telerai genggaman Baha pada kolar baju Pejai, membuatkan Farhah mula cemas. Siapa sebenarnya yang baik? Siapa pula yang jahat ni?

“Eh, kesianlah buku-buku tu weh!” Antoi tiba-tiba bersuara sambil terkangkang-kangkang mendapatkan buku yang berselerak. Dikutipnya, tapi kemudian dia pura-pura terlepas. “Alamak! Alamak!” Kelam-kabut dia kutip, namun buku-buku yang sudah di tangan terlepas semula hingga ada yang terjatuh ke dalam longkang. Lebih kurang badut saja lagaknya. Anggota yang lain semakin galak ketawa. Pejai dan Poji sampai tertunduk-tunduk menahan perut.

Farhah yang mula faham keadaan sebenar cuba berundur, tapi tubuhnya tertahan di dinding. Dia cuba meminta tolong, tapi kawasan itu nampak terlalu lengang. ‘Mana semua orang ni…’ Tanpa mampu ditahan, air matanya mengalir. Tidak sangka, baru hari pertama dia sudah diduga begini.

“Alamak, Yoi! Dia nangis tu!” Baha pura-pura terkejut. “She is kerayinggg la!” Serentak Azrul ditolak ke hadapan untuk menyempurnakan sesi membuli. Azrul pula memusatkan pandangan ke wajah Farhah sambil tersenyum nakal. Puas dapat melihat Farhah menyeka air mata.

Azrul melangkah penuh bersahaja dan tika itu juga Farhah kelihatan menggigil. Hampir pecah tawa Azrul. ‘Ikan’ yang mereka pancing kali ini terlalu naif. Penakut!

Dia hentikan langkah sebaik tiba benar-benar di hadapan Farhah. Gadis itu menghimpit diri ke dinding, bagaikan terlalu takut dihampiri. Azrul semakin suka begitu. Mekar senyuman di bibirnya. Sebuah buku teks basah yang dihulurkan Antoi disambutnya, serentak rakan-rakan yang lain mematikan tawa. Masing-masing menanti penyempurnaan yang bakal dilakukan Azrul. Mereka tahu memang itu kepakaran ketua mereka.

“Selamat datang ke sekolah baru…” Lembut dan hampir berbisik. Farhah makin gugup, makin menjauhkan wajahnya dari Azrul. Azrul tersenyum lagi. Buku teks diangkat tinggi hingga berada di atas kepala Farhah. Air yang menitik dari buku, jatuh setitik demi setitik di atas tudung Farhah. Serentak esakan halus gadis itu kedengaran.

Azrul berhenti. Buku dicampak berhampiran kaki Antoi sambil terus memandang Farhah. “Memang macam ni abang-abang kat sini sambut orang baru. Jangan takut…” Bagaikan memujuk, tapi Farhah semakin terseksa. Bertambah jelas esakannya.

“Farhah ni mesti dari sekolah agama kan? Nampak baik je ni.” Azrul menambah. Farhah tidak langsung mengangkat wajah. Azrul tersenyum sinis akhirnya. Wajah yang lembut bertukar serius. “Jangan nak tunjuk lagak dengan aku tau? Lantak la kau dari sekolah agama ke apa.” Berbaur amaran. “Siap kau kalau ada sapa-sapa tau pasal benda ni.” Sebaik mengucapkan, Azrul berundur setapak. Dia berpusing dan menghampiri konco-konconya.

“Woi, buat apa tu!” laung satu suara tiba-tiba. Kesemua mereka menoleh kecuali Farhah. Ketua pengawas kelihatan sedang meluru ke tempat itu.

Berubah serta-merta wajah Azrul. “Dah! Blah, blah!” arahnya pantas. Lintang-pukang mereka melarikan diri sebelum hilang di sebalik dinding Blok C itu.

“Tak guna punya Yoi!” pekik ketua pengawas itu sebaik tiba di tempat Farhah. Buku-buku teks dilihat berselerak, malah ada yang basah. Ketua pengawas itu mengeluh dan menggeleng-geleng geram. Dikutip buku-buku itu sebelum mendapatkan Farhah semula. Gadis yang terus tertunduk itu dipandang kasihan.

“Dah, ikut saya pergi pejabat. Kita report.” Sejurus mengucapkan, gadis itu melangkah tapi terhenti semula bila menyedari Farhah tidak bersama-samanya. Dia segera menoleh.

Farhah masih kaku di tempat tadi. Ketua pengawas itu mengeluh lagi. “Jangan takut kalau diorang ada ugut. Sebab diorang takkan berani apa-apakan awak.”

Senyap. Perlahan-lahan, Farhah dilihat mula mengesat pipi walau masih tunduk.

“Dah, jomlah.”

 

“ERKKK! Erkkk!” Terjungkit-jungkit badan Antoi menahan sakit. Wajahnya berkerut sambil menggenggam bucu meja.

“Dah, bangun!” arah Encik Roslan. Antoi bangkit sambil mengusap-usup punggungnya. Dia terpaksa berhati-hati melangkah kerana bimbang kain seluar dalam bergeser dengan kulitnya yang berbirat. Tiba di sebelah Azrul, dia berhenti.

Encik Roslan menghempas rotan atas meja. Kemudian dia duduk dan memandang seorang demi seorang anggota Geng Si Yoi di hadapannya. “Makin melampau korang ni.” Serius. “Jangan sampai saya ambik tindakan! Tahu!”

Mereka senyap.

“Baru pagi tadi dah kena. Tak sampai sejam, buat perangai lagi! Apa masalahnya korang ni?”

Senyap juga. Encik Roslan memandang Azrul. “Rekod kamu paling teruk, tau Yoi!”

Azrul senyap. Riak wajahnya kosong, bagaikan kata-kata Encik Roslan bukan untuknya. Encik Roslan yang memerhati mula bosan. Sakit hati. Tidak tahu, apa lagi caranya untuk memahamkan mereka supaya berubah. Akhirnya dia mengeluh. Buntu!

 

“HARI ini dunia mengisytiharkan bahawa Geng Si Yoi telahpun memecah rekod mereka sendiri. Mereka membalas dendam terhadap Guru Kanan Hem, kepada anak perempuan seorang guru yang baru berpindah ke sebuah sekolah luar bandar. Kemudian mereka pecah keluar dari kawasan sekolah. Ini bermakna, mereka melakukan dua jenayah dalam masa kurang daripada sejam. Bla… bla… bla…” Tergoyang-goyang kepala Pejai meniru perwatakan pembaca berita, sebelum tawanya pecah tanpa mampu dikawal.

Anggota lain ikut ketawa. Azrul hanya tersenyum tipis.

“Kali ni Yoi makin gila, weh! Sampai meleleh hingus budak perempuan tu dia tibai.”

“Huh, tengok kaki la!” Antoi menyokong kata-kata Poji.

“Hah, buntut kau apa macam?” Baha mencelah. “Tadi jerit mahu kentut sama itu Roslan?”

 “Aku tak tahu dia nak sebat kita kaw-kaw kali ni. Nak kentut pun dah tak ada lubang angin.”

Baha mencemik, sinis. “Kau memang tong kosong!”

“Perghhh!” Antoi memintas, tidak puas hati. Dia pandang Azrul. “Kau dengar tu Yoi? Padahal aku yang tolong kau lengkapkan kerja membuli budak baru tu! Ajar dia ni sikit Yoi!”

Tapi Azrul yang berada di hujung meja cuma tersenyum sinis. “Lantak la nak bertumbuk ke nak apa. Korang takde pun aku boleh hidup.”

Mereka terdiam, saling berpandangan. Mereka tahu Azrul jenis yang tidak gemar pada perkara remeh-temeh begitu. Mereka tertangkap tadi pun disebabkan Antoi yang bertubuh debab itu tersangkut di lubang bawah pagar sewaktu mereka kelam-kabut melarikan diri.

“Arr…” Pejai cuba meredakan keadaan. “Tapi kau jangan tendang kitorang, Yoi. Aku tak nak masuk Geng Mat Der.”

Azrul membisu dengan wajah yang serius. Mereka terdiam lagi. Azrul bagaikan sedang memikirkan sesuatu.

“Apahal kau ni Yoi?” Pejai memberanikan diri untuk mengambil tahu.

Azrul masih senyap. Kemudian bibirnya melontarkan perlahan, “aku tak puas hati dengan budak baru tu.”

Mereka berpandangan. Poji mengangkat kening sebagai tanda setuju. Pejai kembali memandang Azrul. “Dia anak ustazah baru tu. Aku gerenti dia takkan berani jauh dari ketiak mak dia dah lepas ni. Dah tu, apa yang kita nak buat?”

“Bukan kita,” pintas Azrul. “Tapi aku.”

“Habis tu kitorang ni nak buat apa?”

“Duduk diam-diam. Aku panggil baru gerak.”

Senyap. Sewaktu memandang ahli-ahli yang lain, Pejai lihat mereka sedang mengangguk-angguk setuju. Pejai diam. Dia dapat rasakan dendam yang cukup marak membakar hati Azrul.

“Kita tengok,” ucapnya ringkas, mengakhiri ‘mesyuarat’ pada hari itu.

 

USTAZAH Kamalia mengerutkan dahi sebaik terpandang murid di hujung kelas. Sesaat kemudian, anak matanya beralih pada pelajar perempuan di meja terhampir dengannya.

“Siapa nama kawan awak tu?”

Murid itu menoleh ke arah yang dimaksudkan. Kemudian memandang ustazah semula. “Azrul.”

Semakin berkerut dahi ustazah. “Azrul Hafizi?”

Murid itu angguk. Ustazah terdiam, menoleh semula ke hujung kelas. Memandang Azrul yang sedang tidur. ‘Maknanya inilah ketua Geng Si Yoi yang selalu orang perkatakan tu?’ bisik hati. ‘Dia jugak ke yang buli Farhah kelmarin?’

Entah mengapa, apa yang terdetik dalam hati itu membuatkannya sedikit resah. Namun dia enggan mengendahkan, lalu melangkah ke belakang kelas. Tiba di tempat Azrul, dia ketuk sedikit papan meja. “Azrul?”

Tiada respons. Dia ketuk-ketuk lagi. “Azrul…” Lebih jelas nadanya. Barulah anak muda itu mencelikkan mata dan bangkit. Terus bersandar di belakang kerusi, mempamer raut wajah tidak puas hati kerana mengganggu tidurnya.

Ustazah tersenyum. “Penat ya?”

Senyap tidak berjawapan. Ustazah tersenyum lagi lalu menambah, “pergi cuci muka. Kalau awak ambil air sembahyang terus lagi baik.”

Azrul senyap juga. Ustazah mahu memberi ruang Azrul membuat keputusan. Lalu ustazah berkalih dan menapak ke hadapan kelas semula. Sesi pembelajaran yang terganggu mahu diteruskan.

Tiba di hadapan kelas, dia berpusing. “Saya tung…” Namun terbantut bila melihat meja yang telah kosong. Baik Azrul mahupun begnya, kedua-duanya sudah tiada lagi dari pandangan. Ustazah hampir terlopong, tidak percaya.

“Gu.” Keluar sebutir suku kata terakhir dari bibir. Pelahan-lahan dia telan liur yang terasa pahit.

Sudah tiga hari di sini. Selama ini dia hanya mendengar. Tapi hari ini, dia berdepan sendiri situasi itu. Sungguh, dia benar-benar terasa seolah di dalam mimpi.

‘Ini ke yang aku dengan Farhah akan dapat sepanjang kat sini?’ keluh hati kecil. Dia mula bimbangkan Farhah. Anaknya itu tidak biasa bergaul dengan lelaki. Sekolah sebelum ini juga cukup menjaga interaksi sesama jantina. Lantas bila kejutan sebegini yang diterima Farhah, dia tidak tahu selama mana anaknya itu mampu bertahan.

 

FARHAH tersentak. Serta-merta berderau darahnya. “Jj… jadi pp… pengawas?” Tergagap-gagap.

Ustazah angguk tanpa menoleh dari buku yang sedang disemak. Dia tahu sememangnya reaksi sebegitu yang akan diterimanya. Disebabkan itulah dia enggan memandang anaknya itu. Bimbang hatinya berubah, sedangkan dia hanya mahukan yang terbaik.

“Nanti Farhah akan bertambah banyak jumpa Azrul, umi…”

Ustazah senyap, hanya mengukir senyuman di bibir. Jawapan itu juga telah dijangkanya. Dia membalas, “selagi Farhah jauhkan diri dari Azrul, selagi tu dia akan kacau Farhah. Tapi kalau Farhah beranikan diri, insya-Allah dia akan tahu yang Farhah ni tak boleh dibuat main.”

Farhah terdiam. Dia akui, ada benarnya perkara itu. “Tapi Farhah tak reti… Kat sekolah tu ramai lelaki. Lepas tu, bermasalah pulak. Kalau diorang terus buli Farhah macam mana?”

Barulah ustazah menoleh. Berkerut dahinya, lalu menanggalkan kaca mata. Diletakkan atas buku tulis yang terbuka. “Farhah nak tolak peluang?”

“Diorang mesti dah tahu kelemahan Farhah, umi,” terangnya. “Satu sekolah dah tahu yang Farhah menangis bila kena buli minggu lepas. Itu maknanya yang Farhah ni lembik, kan?”

Tiba-tiba ustazah tersenyum. Kaca mata dipakai semula dan kembali menanda buku-buku pelajar. “Orang yang berjaya tak jadikan kekurangan diri sebagai beban. Bila ada masalah, dia akan anggap itulah peluang untuk jadi lebih hebat.”

Farhah terdiam lagi.

“Tapi umi tak paksa. Terpulang pada Farhah, sama ada nak terus larikan diri, lepas tu dipandang cengeng… atau isi borang permohonan pengawas tu. Dari situ, belajar sikit-sikit cara nak berdepan orang terutamanya Azrul.” Penuh erti kata-katanya. “Masalah yang datang bukan untuk dikeluhkan, tapi untuk diselesaikan.”

Kata-kata itu membuatkan Farhah terus terbungkam.

 

ESOKNYA, Farhah melangkah ke kelas seperti biasa. Waktu perhimpunan baru saja berakhir ketika itu.

“Farhah!” laung satu suara. Spontan dia terhenti melangkah lalu berpusing. Laluan yang agak sibuk dengan pelajar yang sedang menuju ke kelas masing-masing tidak menghalangnya dari mencari Syuhada, kerana pengawas itu bersusuk tubuh tinggi lampai. Terbit senyuman di bibir bila melihat gadis itu melambai-lambai.

Farhah segera mengambil tempat di tepi dinding kelas untuk mengelak daripada mengganggu laluan. “Kenapa?” soalnya sebaik Syuhada tiba berhampiran.

Syuhada tersengih. “Saya dengar awak nak isi borang pengawas. Betul ke?”

Farhah ikut tersengih. “Kenapa? Tak sesuai ke?”

Syuhada melindungi tawa kecilnya di sebalik telapak tangan. “Saya tak kisah. Kalau awak nak tahu apa-apa, saya boleh tolong. Tapi awak kena kuatlah.”

“Ohh… Okey, okey.” Penuh erti.

Mereka berbalas anggukan. Kemudian tersenyum, tanda faham isu yang sedang dibangkitkan. Syuhada menambah, “terutamanya Geng Si Yoi.”

“Kalau dia boleh buli saya, kenapa saya tak boleh buli dia balik?” Laju saja memintas.

Syuhada menepuk bahu Farhah. “Bagus, bagus. Good luck!”

Farhah tersengih lagi. Dalam diam, dia menimbang-nimbang kata-kata yang baru saja dilontarkannya. Kedengaran pendirian itu seperti tegas, sedangkan hakikatnya dia langsung tidak yakin sama ada mampu melaksanakan seperti apa yang dihujahkannya itu ataupun tidak. Dia hanya menyatakan begitu untuk meyakinkan Syuhada, yang dia tidak senaif disangka.

“Okey, saya nak pergi tapak perhimpunan balik ni. Ada perjumpaan pengawas. Nanti kita jumpa lagi, ek?” Suara Syuhada mematikan lamunan. Farhah angguk saja dan tersenyum. Syuhada menepuk lagi bahu Farhah sebelum berlalu. Laluan yang sudah lengang itu membuatkan Farhah segera melangkah ke kelas.

“Assalamualaikum!”

Terhenti semula langkahnya. Dia hampir menjawab salam itu sewaktu berpusing, namun lidahnya serta-merta terkelu. ‘Azrul!’ Berdetak kencang jantungnya. Hilang arah.

Azrul yang tercegat di hadapan Farhah tersenyum. “Kenapa?” Mesra.

Farhah gugup, lalu menggeleng dan tertunduk. Dalam waktu-waktu begini, dia mengaku yang dia tidak mampu menunaikan apa yang baru saja diperkatakannya tadi. ‘Pergilah… Pergi, jangan kacau aku…’

“Nak jadi pengawas ke?”

Farhah terkedu. ‘Dia dengar…”

“Nak buli Geng Si Yoi balik ye? Nak sambung filem Buli Balik ke?” tanya Azrul lagi. Farhah semakin tidak keruan.

“Kenapa diam? Farhah tak sudi bercakap dengan saya ke?”

Senyap.

“Kenapa? Farhah tahu yang saya nak tuntut hak saya ya?”

Kata-kata itu membuatkan Farhah mula ketakutan. Tanpa sedar dia berundur setapak. Tapi dia segera berhenti bila memikirkan yang Azrul sudah merancang rapi segalanya. Dia tahu, jika dia berundur lagi, rakan-rakan Azrul pula yang akan keluar dan mengepungnya. Dia tiada jalan lain. Menggigil lututnya.

“Farhah, dengar tak apa yang saya cakap ni…” Terus kedengaran suara-suara Azrul. Walaupun lembut, cukup menggerunkan Farhah. Dia tidak tahu apa yang sebenarnya cuba dituntut Azrul. Dan dia semakin cemas bila akalnya menjangka perkara yang tidak-tidak. Dia semakin tertekan. Tidak semena-mena air matanya merembes.

“Eh, kenapa menangis ni?” Azrul pura-pura terkejut lantas menghampiri Farhah untuk menyeka air mata. Farhah semakin takut. Pecah esakan akhirnya.

“Tolonglah jangan buat macam ni, Azrul…” rayu Farhah.

Azrul berhenti melangkah. Sesaat kemudian, dia tersenyum semula. “Ermmm… saya suka cara Farhah. Memikat hati!”

Meremang bulu tengkuk Farhah. Dia terus menangis di kaki lima itu.

“Macam ni ke cara Farhah nak buli saya? Kalau betul macam ni, maknanya Farhah dah menang. Sebab saya dah terjatuh hati.” Kemudian, Azrul sendiri ketawa dengan apa yang diucapkannya. Kembang tekak. ‘Come onlah. Apa barang gengster jatuh cinta!’

Farhah terus tertunduk, sudah tidak sanggup lagi. Kata-kata Azrul semakin lama semakin membuatkannya takut. Namun untuk melarikan diri, dia bimbang pula sekiranya Azrul bertindak lebih kasar.

‘Tapi sampai bila nak duduk kat sini? Lepas ni dia nak buat apa lagi?’ Hati yang takut seakan-akan dibisik. Dia tidak tahu patut atau tidak untuk akur pada naluri itu. Bercelaru fikirannya. Namun akhirnya dia nekad. Biarlah apapun juga yang bakal berlaku, dia tidak peduli.

Jika rakan-rakan Azrul mengepungnya, dia akan menjerit sekuat-kuat hati. Apa peduli, ini kawasan sekolah! Sebaik beroleh ilham itu, dia terus merasakan kekuatan. Azrul yang kembali menapak menghampirinya dipandang sekilas. Lantas tanpa menanti lagi, dia segera berpusing dan melarikan diri. Terhenti langkah Azrul.

Farhah pelik bila tiada yang menghalang laluannya. Namun dia tetap berjaga-jaga. Azrul yang memerhati Farhah hanya membisu. Perlahan-lahan, akhirnya dia tersenyum sendiri. Dia tahu, Farhah semakin takut mendepaninya. Jadi, kemungkinan untuk Farhah menerima jawatan tersebut akan semakin kecil. Dia takkan sesekali benarkan Farhah menentangnya, kerana dia tahu dia bakal tewas dengan kebijaksanaan gadis itu. Sebelum terjadi perkara itu, lebih baik dia mencegah.

Tersungging senyuman sinis di bibir. Dia berpusing dan berlalu dari tempat itu.

0 861 komen:

Post a Comment

Assalamualaikum. Hai!
Terima kasih baca.
Cer komen sikit?

.

.