Monday, 29 April 2013

Hati Yang Kau Sentuh Bab 7


“NAK kata datang bulan, tak kena dengan jantina.” Poji ketawa dengan kata-katanya sendiri. Baha yang berwajah tegang di hadapannya dipandang. “Apahal kau ni?”

“Ha, aku tahu! Aku tahu!” Antoi menarik perhatian mereka. Dia tepuk bahu Baha. “Kau berasap sebab kes Yoi tu kan?”

“Kes apa weh?” pintas Pejai dengan dahi berkerut. Puntung rokok yang terselit di jari-jari tangan kanan dicampak ke lantai. Dipijak dan ditenyeh untuk mematikan apinya.

“Eh, boleh pulak kau tak tahu?” Poji menyindir.

Pejai berdecit rimas. “Aku cukup pantang kalau orang loyar buruk!”

“Ala, rilek la.” Antoi segera mencelah. “Ni hah, itu hari satu sekolah kecoh!”

“Apasal?” pintas Pejai laju. Dia benar-benar tidak tahu mengenai perkara yang sudah hampir sebulan berlalu itu kerana sudah agak lama ponteng sekolah.

“Yoi la. Budak baru tu dah jadi ulam dia.”

“Woi!” Pejai tidak percaya.

“Lantak kau la nak percaya ke tak, benda dah jadi!”

“Mana kau tahu benda tu? Budak tu dah buncit ke?”

Antoi mencebik. “Tak tau lagi. Tapi itu hari budak tu ikut dia balik. Heh, satu malam!” Ditegakkan jari telunjuk.

“Senangnya budak tu ikut?”

Antoi angkat kening. “Memang dia lelaki idaman semua budak sekolah tu kan?”

Pejai semakin tidak percaya. “Dia nak dabik dada dengan kita ke apa?”

“Itulah pasal! Dulu dia yang ustaz sangat!” Poji mencelah.

“Huh, dia nak tengok aku pandai melawan ke tak.” Baha yang sedari tadi membisu tiba-tiba bersuara.

Mereka terdiam spontan beralih perhatian. Baha kelihatan mengancing gigi, seakan menahan dendam yang semakin mencengkam hati. Jari-jarinya digenggam ketat.

“Dah tu kau nak buat apa? Takkan nak diam je?”

“Uih, jadi macam tisu jamban la maruah aku kalau biar je dia pijak kepala kita!” Poji menyampuk, menyokong kata-kata Pejai.

Baha kelihatan semakin tercabar dengan duri yang dicucuk konco-konconya itu. Renungan pada meja di hadapannya semakin tajam, bagaikan tembus. Seolah-olah ada wajah Azrul di situ yang sedang ketawa besar mengejeknya. Dia semakin berapi. Meluat melihat musuhnya itu memperlekehkan kejantanannya.

“Kita kasi hancur itu taiko,” ucapnya perlahan.

“Eh, kau berani? Macam mana kalau dia dah ada adik baru?” Pejai memintas.

Baha mengejapkan gigi yang diketapnya. “Itu abang suka makan sendiri, tak suka ada adik baru. Itu pasal dia suka sangat buat kerja sorang-sorang.” Datar suaranya, tidak mahu ada telinga lain yang mendengar perbincangan itu. “Dulu, aku yang beria cari budak. Dia tak suka.”

Pejai dan Poji berpandangan. Saling berbalas senyuman sinis. “Aku suka kerja kita kali ni,” ucap Pejai.

“Kelemahan dia ada kat hujung kuku aku.” Baha tersenyum sinis. “Aku tak sabar mahu tengok itu abang mampus.”

Kata-kata terakhir Baha membuatkan Pejai tersenyum puas. Ruang matanya sudah terbayangkan pertempuran yang paling hebat dalam hidupnya. Siapa sangka, dia bakal memerangi bekas ketuanya sendiri. Sungguh hebat hidup ini baginya.

“Tapi untuk berjumpa buku dengan ruas, aku mau kau rehat puas-puas, Toi.” Baha menambah. “Yoi mesti akan lari walaupun tak boleh jauh. Aku tak nak lemak-lemak dalam badan kau tu menyusahkan.”

 

ANAK-anak batu yang berada di laluan kecil itu disepaknya sambil berjalan. Tercampak batu itu ke hadapan dan bila bertemu semula, dia sepak lagi. Kepalanya masih galak mengingati apa yang baru saja berlaku hari ini.

Terngiang-ngiang di ruang matanya, pengakuan terbuka ustazah di tapak perhimpunan sempena Tazkirah Jumaat pagi tadi. Dia tidak suka sebenarnya bila perkara yang sudah lebih sebulan berlalu itu diungkit-ungkit lagi. Dan dia lebih tidak suka bila dua beranak itu menaikkan namanya di hadapan khalayak. Baginya, asalkan tiada yang mengganggu hidupnya, itu sudah cukup baik. Khabar-khabar angin dan sangkaan orang sepatutnya dibiarkan saja.

Memang, gosip mengenai mereka terus hebat diperbincangkan. Lebih-lebih lagi bila gadis selembut dan sebaik Farhah ‘diculiknya’ untuk satu malam. Satu sekolah juga maklum yang dia tidak pernah melayan mana-mana gadis yang selama ini dambakan dirinya, hinggakan guru-guru juga sudah maklum tentang seperkara itu. Bagi mereka, Azrul sedang menanti gadis terbaik untuk dijadikan pasangan. Lantas dengan kejadian yang telah berlaku, mereka beranggapan Azrul telah menemui gadis ‘terbaik’ itu.

Tapi walau apa pun juga, Azrul tetap tidak suka perihal dirinya disebut-sebutkan lagi. Dia tidak mahu wujud lagi dalam ingatan dan perhatian warga sekolah. Dia mahu bersendirian. Entah, dia sendiri tidak faham dengan dirinya kini. Dulu, dia yang rasa gah sangat bila kekejaman yang dilakukannya jadi bualan.

Adakah kejadian malam itu telah membuatkannya hilang ingatan? Tidak kenal lagi dirinya yang dulu?

Dia terhenti menyepak bila tiba-tiba beberapa biji batu terlempar ke arahnya. Dia angkat pandangan seraya mematikan langkah. Sekelip mata, dunia yang berkisarkan sekolah terpadam begitu saja. Wajah yang tenang bertukar serius sebaik bertemu pandangan dengan Baha yang berdiri tidak jauh di hadapannya. Dia alihkan sekilas anak mata pada Pejai dan Poji. Kayu di tangan mereka bagaikan memberi jawapan pada soalan yang timbul di benaknya.

“Apahal?” soalnya selamba.

Baha tersenyum sinis. “Apahal?” ejeknya. “Tanya aku ke?”

Azrul senyap. Daripada nada itu, dia tahu pasti ada sesuatu yang mahu mereka tuntut daripadanya. Lebih-lebih lagi bila mereka menunggunya di kawasan yang agak tersorok ini. Tidak salah lagi, mereka telah merancang ‘aktiviti’ untuknya.

“Aku nak tanya kau sikitlah, Yoi.” Pejai mencelah. “Siapa yang kacau daun sebenarnya ni? Setahu aku, polisi kau selama ni… kita cuma boleh pancing ikan je. Makan tak boleh. Termasuklah engkau. Apasal sekarang dah tukar?”

“Kau nak kasi tau yang kau tu lebih handal cuci berak ke?” Baha menambah.

Azrul mengukir senyuman sinis akhirnya. “Goyang ke?”

“Aku yang goyang ke… engkau yang takut ulam kena curi?”

Kata-kata Baha membuatkan Azrul terus tersenyum mengejek. “Sebab aku beranilah aku tak serang pakai kayu. Satu lawan satu, baru bukan pondan namanya.” Tajam sindirannya, menghangatkan hati mereka. Semakin kuat mereka genggam kayu di tangan.

Baha tertawa kecil, cuba menahan hati yang semakin berbahang. Rahangnya sudah mula kelihatan bergerak-gerak. “Engkau dari dulu kalau bercakap tak pernah mau duduk bawah.”

“Sebab aku memang tak pernah duduk bawah sana.” Diangkat tangannya dan menunjuk ke arah Baha.

Kata-kata Azrul membuatkan Baha diam. Diangguk-anggukkan kepala seraya tersenyum dendam. Dan tanpa sebarang amaran, dia tiba-tiba meluru ke arah Azrul sambil melibas kayu di tangannya. Azrul yang sudah mengagak serangan itu segera merentap tali beg sekolah di bahunya. Libasan Baha dielak. Dia balas dengan melibas pula beg sekolahnya. Menghentam kepala lelaki itu. Kesempatan yang ada dia gunakan segera. Dada Baha ditendang.

Baha terdorong ke belakang, serentak itu juga Pejai dan Poji masuk campur. Azrul enggan memikirkan soal bertahan atau menyerang lagi. Dia segera larikan diri.

“Biar, weh!” larang Baha bila melihat Pejai dan Poji cuba mengejar. Dua lelaki itu terhenti langkah lalu menoleh. Baha yang kelihatan cuba melindungi sakit di dada itu dipandang.

Baha mengutip kayu yang tadinya tercampak di tepi semak. Dihampiri dua konconya itu sambil menghela nafas yang sesak. “Aku dah buatkan dia guna kaki kanan dia.” Terselit nada kepuasan yang berbaur dendam. Gigi geraham diketap seiringan peluh jantan mengalir di dahi. Kayu digenggam kejap. “Dia dah tak boleh pergi jauh.”

 

KESAKITAN semakin mencengkam pergelangan kaki. Dia terpaksa perlahankan larian sebelum berjalan. Tapi kesakitan tidak juga berkurang, malah semakin menggigit. Dia menyalahkan diri sendiri.

Habislah dia. Sepatutnya tadi dia gunakan kaki kiri untuk menendang Baha. Sekarang deria sakit di pergelangan kaki kanannya sudah terangsang. Mana dia mampu untuk berlari lagi.

Dua tahun lalu dia pernah terjatuh sewaktu melepaskan diri dari kawasan sekolah. Tulang kaki kanannya terjejas, tapi egonya melarang dari pergi ke hospital. Dia urut sendiri kakinya. Sejak itu, memang dia tidak pernah terasa sakit di bahagian itu. Tapi tadi dia sudah hentakkan tapak kakinya di dada bidang Baha. Boleh jadi tulang yang tidak betul letaknya itu jadi punca kesakitan yang dia rasakan sekarang.

Kini dia sudah terjerat. Tapi mengalah hanya akan menjatuhkan egonya. Bahkan nasibnya pula yang jadi taruhan. Geng Baha nampaknya sedang menggila. Dia tiada pilihan, kecuali meminta bantuan. Lalu dia mendongak ke langit. Matahari ketika itu sedang terik memancar di atas kepala. Dia segera menganggar waktu.

Kalau benar jangkaannya, bererti keadaan di sekolah masih sibuk. Lantas dia ambil keputusan untuk membelok sewaktu tiba di satu simpang. Dengan kaki yang terjingkut-jingkut, dia susuri laluan ke kawasan tasik yang terletak bersebelahan sekolah.

Tiba-tiba sesuatu yang keras menghentam kepalanya. Perit. Dia cuba berpusing tapi pukulan yang bertalu-talu hinggap pula di belakang badannya, membuatkannya tewas. Berpinar-pinar pandangannya. Akhirnya dia rebah!

 

“APA tu, umi?”

Soalan Farhah menarik ustazah untuk menoleh ke arah yang sama. Dia kecilkan bukaan mata untuk mengawal cahaya. Kawasan luar sekolah yang terletak di seberang padang diperhati penuh teliti. Berderau darahnya bila hati berdetik yang bukan-bukan, tapi dia enggan melayan. Terus diperhati tempat itu.

“Tengah bergaduh ke tu?” soal Farhah lagi, membuatkan ustazah berasa semakin tidak enak. Dia segera menoleh bila beberapa pelajar lain turut perasankan perkara itu.

“Eh, itu bukan Geng Si Yoi ke?”

“Entah!”

“Weh, diorang bergaduh la!”

“Ustazah!” laung satu suara di celah-celah keriuhan yang mula tercetus. Ustazah kehilangan kata. Apa yang didengarinya mengesahkan kata hati. Dia segera menoleh, pucat wajahnya.

“Pergi panggil Cikgu Roslan!”

 

TANPA diduga, sekelip mata saja kawasan tasik itu sudah jadi perhatian. Azrul yang teruk dibelasah diserbu mereka. Pelbagai soalan kedengaran sesama mereka, namun tidak ada satu pun yang berjawab.

Mereka bingung bagaimana anak buah sendiri sanggup mengkhianati ketua. Mereka juga tidak faham, apa yang menjadi punca pergaduhan itu. Dan mereka semakin tertanya-tanya bila pihak polis tiba di tempat itu serentak dengan mereka.

“Kau call diorang ke?”

“Takde la! Aku terus datang sini kut!”

“Habis tu sapa?”

“Cikgu kut!”

Bualan itu menyebabkan ustazah menoleh. “Cikgu yang report ke?”

Encik Roslan yang berdiri tidak jauh darinya membalas pandangan. Berkerut dahinya. “Saya ingatkan ustazah yang report?”

Ustazah terbungkam. Habis tu siapa?

“Apa-apa pun, saya nak bawak Yoi ke hospital dulu. Ustazah tolong bagitau keluarga dia pasal benda ni.”

 

“KITA terus pergi rumah dialah, Farhah.”

Farhah yang sedang memandang ke luar tingkap kereta bagaikan tersedar. Ustazah dipandang. “Kenapa kita tak call je?”

“Umi nak jumpa keluarga dia. Sebab hari tu Farhah dah tumpang tidur kat rumah Azrul. Takkan kita nak lupakan macam tu je?”

Farhah diam tanda faham.

“Lagipun umi rasa mesti mak ayah dia terkejut bila dengar cerita ni. Dah la diorang tu susah.”

Terdiam. “Kesian.” Terpacul perlahan dari bibir Farhah.

Ustazah menoleh sekilas. “Kesian kat siapa?”

“Keluarga dia.” Tenang. “Hari tu Farhah tidur dengan mak dia. Mak dia nampak macam tak sihat je.”

Berkerut dahi ustazah. “Ayah dia mana?’

Farhah jungkit bahu. “Kerja kut.”

“Adik beradik dia ramai tak?”

“Tak tahulah. Masa pergi hari tu, semua orang dah tidur. Tapi dia kata sepupu dia ada kat rumah.”

Ustazah diam. Rasa tidak sabar pula untuk menemui keluarga itu. Kerana selama ini dia tidak pernah tahu satu apa pun tentang latar belakang Azrul. Mungkin ini hikmahnya anak itu cedera.

 

USTAZAH tercengang. Hampir tidak percaya dengan apa yang didengarinya. Wajah Mak Dah, ibu Azrul dipandang. “Maknanya Azrul la yang sara isi rumah ni?”

Mak Dah mengangguk sebak. “Habis tu, dah tak ada siapa yang akak boleh harapkan lagi, ustazah. Abah dia meninggal waktu dia kecik sangat lagi. Akak ni tak boleh buat kerja yang berat-berat sangat. Sepupu dia yang berdua tu pulak sekolah lagi.”

Ustazah terdiam. ‘Patutlah Azrul kuat kerja,’ bisik hati.

“Dia jadi macam tu pun sebab akak yang cuai. Anak sorang tu pun akak tak reti nak didik.” Perlahan-lahan mengalir air jernih di pipi Mak Dah. Raut kekesalan jelas terpamer di wajahnya, menarik simpati ustazah dan Farhah. Farhah terus tunduk memandang lantai rumah tempat mereka bersimpuh, sementara ustazah mengusap-usap lembut belakang tangan Mak Dah. Seakan cuba menitipkan ketenangan.

“Sekurang-kurangnya dia anak yang bertanggungjawab. Tak ramai anak muda boleh buat sama macam dia. Entah-entah di sisi Allah, dia jauh lebih hebat kak…”

Mak Dah bagaikan semakin pilu mendengar pujukan itu. Dia seka air matanya sebelum bingkas. “Tunggu kejap ya, ustazah.”

Ustazah angguk saja. Mak Dah menghilang ke dapur dan muncul tidak lama kemudian. Dia duduk bersimpuh dan terus menyelitkan sesuatu di tangan ustazah, membuatkan ustazah terpinga-pinga. “Apa ni kak?”

“Ambillah. Itu aje yang akak mampu.”

“Tapi kk… kenapa…”

“Akak tak ada apa-apa nak bagi pada ustazah. Tapi akak harap sangat, ustazah boleh tolong jagakan Azrul waktu dekat sekolah. Dengan akak, dia dah tak boleh dibentuk lagi.”

Ustazah resah dengan luahan itu. “Tak baik cakap macam tu kak. Dia kan anak akak. Kasih sayang akak paling penting untuk dia…”

“Tapi akak dah gagal,” tekan Mak Dah dan tidak semena-mena luruh air matanya. Dia kelihatan terlalu kecewa dengan dirinya sendiri. “Akak tak tahu nak jawab apa depan Tuhan nanti. Dah la sorang tu je anak akak, macam tu pulak jadinya. Sebab tu waktu dia bawak anak ustazah ni balik, akak takut. Takut kalau dia buat yang bukan-bukan,” luahnya sambil menggenggam jari-jari ustazah.

Ustazah perlahan-lahan melepaskan nafas halus. Dibalas genggaman Mak Dah. Dia faham perasaan wanita di hadapannya itu. Rupa-rupanya, ketegasan dan raut serius yang dipamerkan Mak Dah tidak langsung menggambarkan hati sebenarnya. Hakikatnya, jiwa Mak Dah terlalu rapuh dan penuh dengan emosi yang halus. Ustazah tersentuh.

“Ambillah rantai ni ustazah. Akak nak pakai pun dah tak ada makna lagi.”

Ustazah mengangguk-angguk saja akhirnya. “Baik, baik.” Lembut suaranya sambil mengeratkan genggaman pada jari-jari Mak Dah. “Saya terima. Terima kasih la banyak-banyak, kak.”

0 861 komen:

Post a Comment

Assalamualaikum. Hai!
Terima kasih baca.
Cer komen sikit?

.

.