Monday, 22 April 2013

Hati Yang Kau Sentuh Bab 6


TIBA di sebuah pondok menunggu bas berhampiran jejantas, Azrul mematikan langkah. Farhah yang kepenatan hanya menurut dan terus menjatuhkan pandangan. Dia menanti lelaki itu bersuara, sekaligus memberitahunya cara untuk pulang ke rumah.

Azrul pandang Farhah sekilas. “Kau dah dapat fikir cara nak balik?” Serius nadanya menyoal. Farhah hanya mampu menggeleng. Dalam keadaan penat begitu, mana mampu dia gerakkan lagi otaknya.

Azrul mendengus malas. Menyesal pula rasanya menanggung beban begini. Silap-silap nanti, habis hancur hidupnya. Farhah bukan calang-calang orang. Waktu ini, tentu saja keluarga gadis itu sedang giat mencari. Masakan ustazah betah untuk duduk selesa dalam keadaan begini. Kalau duduk pun, punggung pasti akan segera hangat!

Dan jika dia ditemui dalam keadaan berdua-duaan dengan Farhah, apakah keluarga gadis itu akan memilih untuk bersangka baik? Sedangkan dia suspek utama terhadap penderitaan Farhah sepanjang gadis itu berada di sini.

“Aku tak boleh nak buat apa-apa lagi dah.” Sejurus mengucapkannya, Azrul menapak ke arah jejantas.

Farhah kalut. “Macam mana saya nak balik?”

Azrul menghentikan langkah lalu berpusing. “Kau takut ke?” soalnya. Namun hati di dalam begitu dahsyat menyumpah seranah. ‘Bangang punya soalan!’

Farhah yang agak bingung dengan soalan itu pula mengangguk sedikit. Robot sangatlah dia kalau tak takut.

“Dah tu kau nak aku buat apa? Aku bukannya ada transport nak hantar kau balik? Tengah-tengah malam macam ni, bukannya ada sesiapa yang aku boleh mintak tolong.”

Farhah terdiam. Liur ditelan, kelat di tekak. “Tak apalah. Terima kasih tolong saya.” Perlahan. Dia sudah mula mengalah.

Azrul senyap. Tanpa berkata lagi, langkahnya diatur semula ke arah jejantas. Farhah terus kaku di pondok menunggu bas. Jalan raya yang semakin lengang di hadapannya dipandang.

‘Macam mana kalau ada orang jahat nampak aku? Aku nak lari ke mana? Nak mintak tolong siapa?’ Bisik-bisik curiga mula terngiang-ngiang di ruang dengar. Berderau darahnya. Dia duduk di bangku yang tersedia. Berpeluk tubuh.

Dalam keadaannya yang masih berpakaian sekolah, pasti lebih mudah perhatian tertarik ke arahnya. Dia bertambah resah. Untuk kali yang entah ke berapa, dia mengeluh berat. Tidak tahu apa kesudahan nasibnya.

“Farhah!”

Dia tersedar. Spontan wajahnya diangkat. Berkerut dahinya sebaik bertemu pandangan dengan Azrul. Dia bingung, tetapi tanpa sedar dia sendiri bangun. Wajah Azrul yang serius itu dipandang penuh harap. Moga-moga lelaki itu sudah terfikirkan cara untuk menghantarnya pulang.

“Jomlah ikut aku balik.”

Bagaikan terhempap langit ke atasnya. “Ha???”

Azrul kelihatan semakin serius. “Dah tu, kau nak duduk kat sini sampai esok?”

‘Tapi takkanlah nak ikut dia balik!’ bentak hati. Mula timbul prasangka terhadap niat sebenar lelaki itu.

“Mak dengan sepupu aku ada kat rumah.” Bagaikan memahami hati Farhah, Azrul bersuara. Reda sedikit intonasinya kali ini.

Namun Farhah masih sangsi. “Macam mana kk… kalau awak tipu?” Teragak-agak.

Tegang semula wajah Azrul. “Yang kau ikut aku sampai ke sini ni? Tak takut pulak kena tipu?”

Farhah terbungkam. Perkara itu memang ada benarnya, tapi…

“Kau jangan takutlah. Kalau aku rogol atau bunuh engkau sekalipun, aku takkan terlepas ke mana. Mesti semua orang akan cari aku.” Selamba ucapnya.

Meremang bulu tengkuk Farhah mendengar pengakuan itu. Ngeri bila diingatkan. Dia telan lagi liurnya. ‘Kenapa dia boleh cakap pasal benda tu…’ Hampir mengalir air matanya.

“Kalau kau tak percaya dengan aku, sepatutnya dari tadi lagi kau jangan ikut aku. Duduklah atas pokok tu sampai esok, tunggu orang lain bawak kau turun.” Azrul bersuara lagi. Farhah resah. Bagaikan setiap isi hatinya mampu dibaca lelaki itu. Misteri pula dirasakan. Hinggakan akalnya yang semakin penat itu mula bertanya-tanya, ‘dia ni betul-betul Azrul ke… orang jadian?’

“Oi, kau faham bahasa tak ni? Tak ada masa aku nak tunggu jawapan kaulah!”

Farhah tersedar. Azrul sudah mula kelihatan bosan dan rimas. Lelaki itu berpusing lalu melangkah semula bersama dengusan kasar. “Sukati kau la. Bukan masalah aku pun.” Perlahan kedengaran.

Farhah hilang arah bila Azrul benar-benar meninggalkannya. Saat ini, apapun juga keputusannya, pengakhirannya tetap sama. Jika mengikut Azrul, dia mungkin akan dikhianati. Tapi jika terus berada di pondok menunggu bas itu, dia juga tidak akan selamat. Jadi?

Tanpa berfikir panjang lagi, dia segera membuka langkah. Dia tiada pilihan, selain mengikut juga lelaki itu pulang. Terserahlah pada Tuhan untuk menentukan kesudahan nasibnya.

 

‘NAK panggil… takut dia marah…’ luah hati. Azrul di hadapan sudah semakin jauh meninggalkannya. Mahu tidak mahu, dia kerahkan juga tenaga yang hanya tinggal sisa.

Bila Azrul singgah di stesen minyak Petronas, dia akur saja. Tidak bertanya apa-apa lagi. Terpulanglah pada lelaki itu. Dia sudah terlalu penat.

Sewaktu Azrul mengarahkannya masuk ke tandas, dia curiga. Tapi bila Azrul berkeras memaksa, dia terpaksa juga akur. Ikutkan hati, mahu saja dia menangis di situ. Dia mahu meminta bantuan daripada pekerja di situ. Tapi dalam masa yang sama, dia terasa bagaikan dirinya telah dikuasai. Hati enggan, namun jasad tetap akur.

Setelah beberapa ketika di dalam tandas, kedengaran daun pintu diketuk. Berdetak kencang jantungnya, pucat lesi wajah. Dia membisu, takut kalau yang mengetuk itu kenalan Azrul. Siapa tahu kalau dirinya telah dijual.

Ketukan kedengaran lagi. “Farhah!” panggil suara itu.

Mengalir peluh di dahinya. Terketar-ketar tangan membuka pintu. Tercegat Azrul di hadapannya. “Keluarlah, apa tunggu lagi?”

Dia tidak menjawab. Dalam rasa takut-takut yang masih menguasai hati, dia akur. Langkah Azrul diekori dan dia hanya mematikan langkah bila lelaki itu berhenti tidak jauh dari tandas itu. Satu plastik berisi roti dan air kotak diletakkan di atas lantai kaki lima. “Makanlah.”

Farhah terdiam. Azrul dipandang penuh keliru. Namun lelaki itu sudah tidak lagi memandangnya. Lelaki itu terus berpeluk tubuh dan bersandar di dinding bangunan. “Cepat sikit, aku dah tak larat nak fikir pasal kau je.”

Farhah masih kaku di tempatnya berdiri. Dia benar-benar tidak faham fikiran lelaki itu. Dalam masa yang sama, rasa curiga terus kuat bercambah dalam hatinya. Air kotak dan roti di dalam plastik dipandang kosong.

“Eh, kau dengar tak ni?” sergah Azrul tiba-tiba, membuatkan Farhah tersedar.

“Kau tu berjalan pun terhegeh-hegeh. Sepatutnya kita dah sampai rumah sekarang ni. Kau punya pasal la, dah berjalan dekat sejam pun kita tak sampai-sampai lagi.”

Farhah terdiam. ‘Patutlah dia belikan makanan tu…’ Dalam tidak sedar, dia mengeluh lega. Akhirnya dia patuh. Sementara menghabiskan roti dan air, dia lihat Azrul terus berpeluk tubuh di dinding. Sesekali lelaki itu berjalan-jalan sebelum kembali bersandar seperti tadi. Kemudian menggaru-garu kepala, seolah kebosanan.

Lima minit kemudian, mereka berjalan semula. Azrul tetap mendahului beberapa langkah. Farhah membiarkan dan terus mengekori. Sempat juga dia melayan rasa keliru dan bingung dalam hatinya.

‘Itu betul-betul Azrul atau jadian je? Ataupun dia dah kena sampuk?’

Tetapi sesaat kemudian… ‘Eh, apa aku melalut ni?’ Ditampar-tampar mulut yang cabul.

Tiba-tiba Azrul berhenti melangkah. Farhah terkejut dengan tindakan drastik itu. Nyaris tubuhnya melanggar lelaki itu.

Spontan Azrul menoleh. “Kau ni apa kena?” Tegang

Farhah terkelu. Tertunduk dan segera berundur.

“Dah bagi makan pun tak habis-habis lagi mamai?”

“Ss…sorry…” Farhah segera menjauhkan lagi dirinya dari lelaki itu.

Azrul diam. Dia turut mencipta jarak antara dirinya dan Farhah. Berderau juga darahnya bila keadaan seperti tadi berlaku. Ini kali pertama dia terpaksa berdua-duaan begini dengan seorang gadis, dan getaran yang dirasakannya cukup hebat. Dia takut pendiriannya selama ini tewas hanya kerana seorang gadis yang dilihatnya terlalu lembik itu.

“Azrul…” Panggilan Farhah kedengaran.

Azrul diam, tidak menoleh. Buntut mangga di pagar dia cucuk dengan anak kunci.

“Ini ke rumah awak?”

“Apahal?” pintas Azrul.

Farhah terdiam sesaat. “Awak nak kejutkan mak awak dulu?”

“Dah tu? Kau nak menonong masuk rumah ni pulak?” pintas Azrul lagi.

Farhah cepat-cepat menggeleng walau tahu Azrul tidak melihat dirinya. Dia berundur dua tapak ke belakang, menjauhkan lagi dirinya dari Azrul yang masih berusaha membuka pintu yang berkunci itu. Dia mahu berjaga-jaga sebenarnya. Takut kalau yang keluar menyambutnya nanti bukan seperti yang diberitahu Azrul.

“Esok kita keluar awal. Pukul 5.50 mesti dah siap semua. Aku tak nak ada orang nampak kau,” ucap Azrul tidak lama kemudian.

Farhah angguk saja. Tak kisahlah apapun, asalkan malam ini dia ada tempat berehat, itu sudah mencukupi.

Sebaik terbuka pintu, Azrul masuk ke dalam rumah. Lampu di ruang tamu menyala tidak lama kemudian. Azrul menghilang entah ke mana. Farhah terus berhati-hati. Keadaan yang agak dingin memaksanya berpeluk tubuh.

“Dah tengah-tengah malam macam ni baru nak balik?” Suara menengking tiba-tiba kedengaran. Farhah menoleh keadaan di dalam rumah. Masih kosong.

“Eh, masalahnya yang penat sekarang ni sapa?” Nada tegang Azrul pula kedengaran.

Wanita itu terdiam.

“Tu, ada orang nak jumpa kat luar tu.”

“Sapa?”

“Tengok sendiri la.”

Senyap. Tidak lama kemudian, muncul seorang wanita di muka pintu. “Eh, anak sapa yang kamu bawak balik malam-malam buta ni?” pekik wanita itu mengejutkan Farhah. Spontan kakinya terundur setapak.

“Yang kau ni, tak malu ikut jantan?” jerkah wanita itu pada Farhah pula sambil mencekak pinggang.

 “Orang tu datang nak mintak tolonglah!” Suara dari dalam rumah kedengaran.

Wanita itu terdiam sesaat. Namun wajahnya masih tegang merenung Farhah. “Nak mintak tolong apa?”

Kali ini Azrul tidak membantu menjawab. Terpaksa Farhah menerangkan. Hanya satu  saja reaksi yang terpamer di wajah wanita di hadapannya itu- curiga. Farhah resah bila wanita itu terus membisu setelah dia selesai bercerita.

“Tak cuba telefon mak kau?”

“Err… Farhah tak ingat nombor telefon mak dengan abah Farhah…” Perlahan.

Wanita itu senyap sesaat. Hatinya masih belum mahu percaya. “Berani pulak kau ikut anak aku balik?”

Farhah terbungkam. Dia sendiri tiada jawapan untuk soalan itu.

“Kau bukan bohsia ke?”

Tersirap darah ke kepala Farhah. Ditelan liur yang seperti pasir. Gelengan dizahirkan. “Farhah tak tahu nak mintak tolong pada siapa lagi dah.”

Wanita itu senyap. Tangan yang bercekak di pinggang turun ke sisi. Dia berkalih. “Dah, masuk la.”

Serta-merta kelegaan menerpa hati Farhah. Dia tersenyum. “Terima kasih, mak cik.”

“Hurm.” Masih serius. “Kamu tidur dengan mak cik,” ujar wanita itu sambil melangkah ke dapur. Farhah akur, semakin lega. Walaupun wanita itu kelihatan masih sangsi padanya, dia tetap bersyukur. Sekurang-kurangnya bahasa yang digunakan wanita itu telah berubah. Bukan lagi berkau dan beraku.

‘Muka ada iras-iras. Memang mak dialah kut.’ Sempat akal Farhah menilik. Tapi sesaat kemudian dia mencela diri sendiri. ‘Bila masa pulak aku tilik muka Azrul ni?’

‘Err…’

‘Ah… lantaklah. Aku dah penat!’

 

‘EH, azan.’ Serentak dia pandang Azrul yang berjalan tenang tidak jauh di hadapannya. Dia segera luaskan langkah untuk mendapatkan lelaki itu.

“Azrul. Kita singgah masjid dulu boleh? Saya nak sembahyang kejap.”

Lelaki itu senyap tanpa menghentikan langkah. “Kat sekolah nanti tak boleh?”

Farhah terdiam, spontan perlahan semula langkahnya.

“Kalau tertinggal bas nanti, aku yang susah. Mak bapak kau mesti tengah tunggu kau kat sekolah. Entah-entah diorang siap bermalam kat situ.”

Farhah terdiam lagi. Dia tidak tahu berapa lama masa yang diambil untuk tiba di sekolah nanti. Bimbang juga kalau terlepas waktu solat.

“Semalam kau sembahyang macam mana atas pokok tu?”

Farhah terkelu. ‘Nak bagitahu apa ni? Aku baru pagi ni mandi hadas.’

“Engkau kalau aku tanya sekali, memang tak reti-reti nak menjawab ke?” rungut Azrul tiba-tiba.

“Err… kalau dalam keadaan darurat, kita boleh guna keringanan. Sembahyang duduk ke…”

“Kau?”

Terdiam, tidak faham.

“Semalam tu darurat ke? Padahal kau boleh je turun dari pokok tu? Tak payah pun aku panggil bomba.”

Farhah telan liur yang kelat. Entah kenapa, banyak pula soalan lelaki itu hari ini. “Err… semalam saya tak… boleh sembahyang. Uzur…”

“Pasal tu la kau beria sangat takut dengan aku semalam?”

Farhah terdiam kebingungan.

“Aku pernah dengar, perempuan biasanya subur waktu-waktu macam kau sekarang.”

Hampir terhenti langkah Farhah, serentak wajah menghangat. ‘Apa Azrul cakap ni?’

Azrul tertawa sinis. “Tak payah cakap, aku dah tahu. Selalu memang orang-orang macam kau akan anggap macam tu. Sebab otak orang-orang macam kau dah terlampau sempit, cuma berfikir kat takuk yang sama je. Kerek.”

Farhah terus membisu. Dia tidak langsung berupaya faham apa yang cuba disampaikan Azrul. Lelaki itu terlalu berkias, menjadikan Farhah keliru dengan perwatakan sebenarnya.

Farhah terus memandang Azrul yang tenang melangkah. Melihatkan lelaki itu yang agak ramah hari ini, dia fikir ini waktu yang sesuai untuk dia dapatkan kepastian. “Azrul.”

Senyap. Farhah menganggap diam itu tanda menanti kata-kata seterusnya. Lalu dia menyambung, “kenapa awak suruh saya masuk tandas semalam?”

Azrul tersenyum sinis. Dengusan kecil kedengaran. “Tak ada pasal la aku nak kena fikir banyak-banyak kalau kau hilang. Orang duk pandang kau yang tengah pakai baju sekolah tu je pun dah menyusahkan aku.”

Farhah terdiam terus. Nada Azrul kedengaran hambar, tetapi setiap satu kata-kata lelaki itu semakin memperlihatkan warna sebenar dirinya pada Farhah. Rupa-rupanya masih ada sifat baik dalam diri Azrul. Kebenaran itu tidak langsung mampu dinafikan, membuatkan bibir Farhah perlahan-lahan mengukir senyuman tanpa disedarinya.

 

NAIK ke dalam bas, Azrul mengarahkan Farhah mengambil tempat di satu sudut. Azrul pula duduk di kerusi hadapan Farhah dan membayarkan tiket untuk dua orang. Farhah tidak banyak menyoal kerana kali ini dia yakin, tindakan Azrul tidak lain hanyalah untuk kebaikannya. Malah dia lega kerana Azrul seakan faham dirinya. Akhirnya disebabkan tidak mampu menahan kantuk, Farhah tertidur di sepanjang perjalanan.

 

“OI, bangun.”

Farhah mencelikkan mata bila terasa bahunya dipukul perlahan. Saat menoleh, anak matanya terpandang sebuah buku yang dipegang Azrul. Dia mendongak. Azrul yang sudah berdiri dengan bersahaja menambah, “dah sampai.”

Farhah angguk. Dia terpisat-pisat sedikit sebelum bangkit. Azrul yang sudah melangkah diekori. Dan sebaik saja dia menjejakkan kaki di atas tar, anak telinganya mendengar namanya dilaung seiring dengan bunyi enjin bas yang mula bergerak. Dia pantas menoleh.

Berderai air matanya bila melihat ustazah meluru ke arahnya bersama-sama Encik Fauzi. Pantas dia dapatkan orang tuanya itu dan terus berpelukan dengan ustazah. Tidak tergambar kelegaan yang sedang dirasainya. Dia rasa bagaikan diberi peluang hidup semula.

“Nak ke mana kau?” tengkingan Encik Fauzi membuatkan pelukan Farhah terlerai.

Encik Fauzi tiba-tiba menarik kolar baju Azrul sebelum melayangkan tumbukan ke muka lelaki itu. Farhah panik. “Abah!”

Namun Encik Fauzi tidak mempedulikan, malah melayang satu lagi tumbukan ke wajah Azrul. Pecah tangisan Farhah bila Azrul terjatuh di bahu jalan. Ustazah yang menyedari reaksi Farhah, segera menahan Encik Fauzi yang mahu mendapatkan Azrul. “Sudah-sudahlah tu, bang. Tak baik!”

“Tak sudah-sudah orang macam kau ni menyusahkan masyarakat! Dasar sampah!” tengking Encik Fauzi sambil menuding jari telunjuknya ke arah Azrul. Merah padam wajahnya.

“Abang!” Ustazah terus menahan bila Encik Fauzi seakan masih mahu melepaskan amarah pada Azrul. “Kita tak tahu hal sebenar!”

“Tak tahu apanya! Dah memang dia yang punya kerja semua ni!”

Ustazah kalut, lantas berpusing menghadap Azrul. “Azrul, awak pergi masuk.”

Azrul yang baru saja bangkit kelihatan mengutip beg yang tadinya tercampak di tepi jalan. Bibir yang berdarah tidak dipedulikan. Bersama dengusan benci, dia tinggalkan kawasan itu.

“Azrul!” panggil ustazah bila melihat Azrul melangkah ke jalan raya. Hatinya cemas. Namun Azrul tidak mempedulikan, bahkan berlari anak ke seberang jalan, menuju ke satu simpang sebelum menghilang di sebalik semak-samun dan kegelapan subuh.

Ustazah resah. Terasa bersalah.

 

SEMAKIN bertimpa-timpa rasa bersalah dalam hati ustazah. Segala yang diceritakan Farhah membuatkannya hampir mengalirkan air mata. Dia tidak mampu membayangkan, apa yang akan terjadi pada Farhah jika orang lain yang menemui anaknya itu. Dan dia sendiri tidak tahu kenapa dia percaya yang Azrul boleh melakukan segala kebaikan itu pada Farhah.

Seluruh sekolah pula kecoh hari itu terutama di bilik guru. Tiada seorang pun yang percaya pada apa yang diberitahu ustazah dan Farhah, bahkan mereka menganggap dua beranak itu sengaja mahu menjaga nama Azrul daripada dikenakan tindakan disiplin. Mereka menyangka ustazah telah diugut Azrul supaya merahsiakan hal sebenar. Hinggakan wujud khabar angin yang mula mempersoalkan kesucian Farhah.

Sepanjang hari itu, ustazah terus memendam rasa. Rasa terluka dengan prasangka itu dan juga rasa bersalah pada Azrul semakin membuak-buak. Dia bagaikan terhempap, hingga sukar untuk bernafas. Bila diingatkan apa yang telah dilakukan suaminya pada anak itu, dia semakin terasa pilu. Kasihan Azrul. Betapa terlukanya anak itu bila diperlakukan sedemikian rupa.

Akhirnya petang itu, dia sendiri memandu keretanya ke bengkel tempat Azrul berkerja.

“Oh, dia tak ada ma. Sudah lama berhenti,” ujar tauke bengkel, membuatkan ustazah hampa dan tertanya-tanya. Bila ditanya pula pada rakan-rakan Azrul yang lain, jawapan yang diterima tetap negatif.

“Mana kitorang tahu dia kerja kat mana. Bukan hal kitorang.” Acuh tak acuh jawapan Pejai. Ustazah terlepas keluhan. Puas dia berfikir. Apa yang sedang berlaku pada Geng Si Yoi? Bagaimana mereka boleh tidak tahu mengenai rakan baik sendiri? Dan apa sebenarnya yang telah berlaku pada Azrul? Mengapa tiba-tiba saja berhenti kerja? Ke mana dia?

Penat berlegar-legar di sekitar pekan kecil itu, akhirnya ustazah kembali ke sekolah. Baru dia teringat yang dia tertinggal buku-buku pelajar yang perlu disemaknya. Setelah mengambil buku-buku itu, dia pelawa Farhah singgah di sebuah restoran berhampiran. Dia tidak berhasrat untuk memasak hari itu. Fikirannya sedang kusut. Encik Fauzi pula baru saja berlepas ke Langkawi atas urusan kerja. Bertambah malas rasanya untuk ke dapur.

Farhah pula sekadar akur. Gadis itu mula kelihatan murung dan pendiam. Sakit kepala katanya.

Selesai membayar harga makanan di restoran, ustazah melangkah tenang ke kereta. Dari jauh, Farhah dilihat sedang lena di tempat duduk penumpang. Ustazah melepaskan nafas. Apa saja yang dilihat dan dilalui sepanjang hari itu, pasti akan mengingatkannya pada Azrul.

“Oi, Yoi! Apron aku mana hah? Kau ada nampak tak?”

Entah mengapa, dalam kesibukan suasana, telinganya tiba-tiba tertangkap suara itu. Berdetak kencang jantungnya, lantas dia menoleh. Dan bila dia tujukan pandangan ke bahagian dapur, anak matanya bertembung sesaat dengan Azrul yang kelihatan resah. Anak itu bagaikan tidak suka bila dia tahu berkenaan perkara itu.

‘Azrul kerja kat sini?’

Tanpa berfikir panjang lagi, dia masuk semula ke dalam restoran. Namun Azrul sudah menghilangkan diri dan sibuk dengan kerja. Seolah sengaja melarikan diri daripada ustazah. Ustazah terpaksa meminta izin daripada tauke restoran dan mujur, si majikan mengizinkan.

“Boleh duduk kejap tak Azrul?” Lembut suaranya sebaik tiba di salah sebuah meja.

Azrul mempamer riak wajah kurang selesa. “Saya tengah kerja ni.”

Ustazah terdiam. “Saya mintak maaf bagi pihak suami saya. Dia salah faham tadi.”

Azrul tertawa kecil, namun kedengaran sinis. “Siapa yang tak akan buat macam tu?”

“Tak, awak jangan salah faham!” pintas ustazah. “Farhah tu tak reti langsung berdikari. Dia aje anak saya. Mestilah ayah dia risau bila benda-benda macam tu jadi.”

Azrul berdecit, kemudian mengeluh. “Dah la, menyusahkan diri je fikirkan lagi…”

“Tapi kenapa pagi tadi awak lari?”

“Dah tu? Saya dah bukan budak sekolah tu lagi kan?”

Terguris perasaan ustazah mendengarnya. Kata-kata Azrul walaupun sinis, tetap menceritakan perihal hati yang terluka.

“Awak ke sekolah aje macam biasa, Azrul. Tak ada mana-mana cikgu yang boleh buang awak, selagi awak dalam jagaan saya.”

Azrul senyap.

“Saya betul-betul terhutang budi dengan awak, Azrul. Dengan mak awak jugak. Terima kasih banyak-banyak. Saya tak tahu nak balas dengan apa…”

“Saya tengah kerja ni cikgu.” Azrul tiba-tiba memintas, membuatkan ustazah terdiam. Azrul segera berlalu dari situ. Ustazah hanya mampu menghantar pemergian anak itu dengan pandangan. Entah kenapa, di matanya, Azrul kelihatan sudah sedikit berbeza berbanding dahulu. Anak itu bagaikan sudah berubah warna. Semakin pendiam dan menyendiri. Dan… anak itu juga bagaikan sudah tidak lagi bergaul dengan rakan-rakannya di bengkel. Apakah sebenarnya yang telah berlaku?

0 861 komen:

Post a Comment

Assalamualaikum. Hai!
Terima kasih baca.
Cer komen sikit?

.

.