Monday, 15 April 2013

Hati Yang Kau Sentuh Bab 5

“AKAK dengar, semalam Farhah kena buli lagi,” sapa Puan Ida sebaik saja tiba di pejabat.
Ustazah yang sedang mengesahkan kehadirannya di sebuah mesin khas, menoleh sekilas. Ada senyuman nipis di bibirnya. “Budak-budak…”
“Tapi akak tengok, budak-budak tu dah makin melampau sekarang ni, Lia. Berani-berani diorang guna nama Lia untuk perangkap si Farhah tu. Padahal semalam mana ada Lia suruh Mia panggil Farhah?”
Ustazah cuma tersenyum nipis.
Puan Ida mendengus bimbang. “Baru-baru ni, akak dengar yang Lia dah tak nak kaunselingkan Azrul. Betul ke?”
Barulah ustazah memberi tumpuan pada Puan Ida. “Akak dengar dari mana?”
“Roslan.”
Ustazah tersenyum kembali. “Saya tengok, Azrul tak macam budak-budak lain. Jadi kalau kita kaunselingkan dia macam yang kita buat pada budak-budak lain, tak ada kesan.”
“Habis tu Lia nak buat apa?”
“Biarkan.”
“Biarkan aje?” Puan Ida terkejut.
Ustazah mengangguk.
“Lia akan buatkan keadaan Farhah makin bahaya, tahu tak.” Jelas nada tidak puas hati dalam kata-katanya. “Lagi dibiarkan, lagi berani budak-budak tu, Lia.”
“Tapi kak, kalau kita makin tekan dia, dia akan rasa makin tercabar. Lagi dia memberontak.”
Puan Ida terbungkam. Ustazah tersenyum lembut lalu mencapai beg tangannya dari bangku berhampiran. “Insya-Allah, saya akan pastikan Azrul dengan Farhah dapat hak masing-masing.”
 
PERUT di dalam sudah lama berkeroncong. Lapar! Tapi untuk membeli makanan, dia tiada wang. Pagi tadi dia sengaja mahu meneruskan rajuknya. Duit belanja yang ustazah hulurkan, dia ambil tapi sekadar diletakkan atas meja belajar di bilik.
‘Dah la sejak semalam lagi aku tak makan apa-apa. Mogok lapar kononnya. Hah, sekarang baru padan muka!’
Dia mengeluh kesal. Mahu minta wang daripada ustazah dalam waktu-waktu begini, bimbang pula jika mengganggu kesibukan wanita itu. Hari anugerah cemerlang baru saja selesai. Tentu banyak perkara yang perlu diselesaikan oleh guru-guru yang terlibat. Lebih-lebih lagi ustazah merupakan antara tulang belakang majlis itu. Pasti lebih tinggi kesibukannya.
Farhah mengeluh lagi. ‘Hai… itulah. Lain kali kalau nak mogok, pilih dulu masa yang betul. Jangan ambik time macam ni. Kan dah makan diri!’
“Termenung, eh!” sergah seseorang sambil menepuk bahunya. Dia terkejut spontan menoleh. Pecah tawa Syuhada sebaik terpandang wajahnya yang pucat lesi. “Sorry, sorry,” pinta gadis itu sambil mengambil tempat di kerusi bertentangan.
“Lain kali sergah biar lagi kuat,” sindir Farhah bernada gurauan.
Syuhada tersengih, mengaku salah. Dia angkat tangan kanan tanda mengalah. Nampak comel pula begitu, membuatkan Farhah gagal mengawal bibir dari tersenyum. “Okey…”
“Awak tengah boring, ek? Apa kata kalau awak ikut saya pergi jalan-jalan kejap?”
Berkerut dahi Farhah. “Nak ke mana?”
“Kawasan perumahan kat sebelah sekolah ni. Kat sana ada kedai runcit tau, bolehlah kita shopping sikit. Saya pun ada benda nak beli ni.”
Farhah tersengih sumbing, serba-salah. “Tak apalah, kut…”
“Alah, tak apa. Saya belanja!” Laju Syuhada memintas.
“Err…” Farhah ketawa kecil, melindungi rasa bersalah. ‘Perut aku memang tengah berjoget lambak ni. Tapi segan pulak!’
Belum sempat memberi jawapan, Syuhada sudah terlebih dahulu menarik tangannya. “Alah, kejap je. Nanti kita datanglah sini balik!”
 
KECUR liurnya memandang pelbagai jenis asam yang bergantungan. Dia capai sepaket dan terus menapak ke kaunter.
“Eh, beli ni je?” tegur Syuhada. “Ambik la banyak sikit. Tak apa jangan risau, saya belanja.” Selesai mengucapkannya, Syuhada melangkah ke rak lain pula.
Farhah membisu. Tawaran itu ditimbang-timbang seketika. Tidak sampai sesaat, dia sudah melangkah semula ke rak makanan ringan. ‘Rezeki jangan ditolak!’
Lima minit kemudian, dia selesai membuat pilihan. Sewaktu mengendong paket-paket makanan ke kaunter, Syuhada sedang membuat bayaran. Melihat saja dirinya, terbeliak biji mata Syuhada. Namun gadis itu kelihatan segera melindungi rasa terkejutnya. “Err… letaklah. Biar akak ni kira…” Gagap. Syuhada telan liur. ‘Tengah lapar ke dia?’
Selesai membuat bayaran, mereka bersantai di pondok menunggu bas berhampiran. Tanpa menunggu lebih lama, Farhah terus menyumbat asam ke dalam mulut. Air liur yang sedang berkocak-kocak di dalam mulut bertukar tenang. Nikmat.
Sewaktu mencucuk straw pada kotak air, tiba-tiba perutnya memulas. Serta-merta pergerakannya terhenti. Dia menoleh pada Syuhada yang sedang mengunyah keropok. “Syu, awak tahu tak tandas kat mana?”
Syuhada bagaikan tersedar dari lamunan. Pandangan dari jalan besar di hadapan mereka, dialihkan ke wajah Farhah. “Kenapa?”
Farhah tersengih sumbing. “Sakit perutlah.”
“Oh, perut awak tengah kosong ke?”
Terdiam sesaat sebelum teragak-agak mengangguk. “Ha’ah…”
“Agaknya awak makan asam waktu perut tengah kosong. Sebab tu sakit perut…”
 
JAM di pergelangan tangan semakin kerap dipandang. Sudah lebih sepuluh minit Farhah ke tandas. Tapi hingga saat ini, bayangnya tidak juga muncul-muncul di pondok menunggu bas itu. Syuhada mula resah.
Akhirnya dia bangkit. Keluhan dilepaskan. Bersama-sama makanan mereka di dalam plastik, dia melangkah ke gerai makanan berhampiran. Lapar pula dirasakan.
Tidak lama kemudian, Farhah pulang dari tandas. Sebaik terpandang pondok menunggu bas yang kosong, dia segera liarkan pandangan. Resah bila kelibat Syuhada tiada di sekitar kawasan itu. ‘Agaknya lama sangat dia tunggu tadi,’ detik hati.
Dia duduk di bangku tersedia. Beberapa minit menanti, Syuhada belum juga tiba. Farhah semakin resah. Benaknya mula mengandaikan, Syuhada sudah pulang semula ke sekolah.
Dia telan liur. Jalan raya di hadapannya dipandang. Dari tempat itu ke sekolah memang tidak jauh. Hanya mengambil masa lima minit jika berjalan kaki.
Dia berkira-kira sejenak. Tapi semakin lama di situ, dia semakin resah. Boleh jadi ustazah sedang mencarinya. Tempat itu pula kelihatan merbahaya. Akhirnya dia bingkas, melangkah ke sekolah.
Cahaya matahari yang terik membakar kulitnya. Merah wajahnya dan dibasahi peluh. Sesekali dia seka air jernih di dahi namun tiba-tiba tergelincir degup jantungnya serentak mati pergerakan. Dia segera bersembunyi di kawasan semak di tepi jalan. Cemas. ‘Geng Si Yoi! Apa diorang buat kat situ?’
Lantas tanpa berfikir panjang, dia berpatah semula ke belakang. Kelam-kabut, bimbang kehadirannya di situ disedari. Jika dalam kawasan sekolah pun mereka sudah berani menyentuh kulitnya, di luar sekolah apatah lagi. Itu membuatkannya semakin hilang arah.
Dia segera mencari laluan pintas yang pernah diberitahu Syuhada. Seingatnya, jalan itu terletak tidak jauh dari pondok menunggu bas. Dia terus mencari.
‘Ini ke?’ soal hati. Dia kini sedang menghadap sebuah lorong kecil yang dikelilingi semak-samun. ‘Selamat ke jalan ni?’ bisik hatinya lagi. ‘Tapi Syu kata, budak-budak sekolah suka guna jalan ni sebab lebih dekat.’
Dia terus berkira-kira. Semakin lama, dia semakin resah. Anak matanya terus mengawasi, bimbang jika Geng Si Yoi yang tadinya melepak di tepi jalan sudah muncul di kawasan itu. Takut pula dia bila memikirkan segala kemungkinan.
Dia pandang semula lorong kecil di hadapannya. ‘Harap-harap selamatlah, amin…’
Perlahan-lahan, dia beranikan diri melalui kawasan itu. Setapak… dua tapak… Sedikit demi sedikit dia mula yakin. Dia tenangkan diri dan terus melangkah. Semakin lama semakin jauh ke dalam kawasan semak-samun. Antara lega, mengharap dan takut, dia tidak tahu mana satu perasaan yang sedang menguasai dirinya kini. Segalanya berbaur, menjadikan fikirannya bertambah celaru.
‘Ya Allah!’ Termati tiba-tiba langkahnya. Serentak degup jantungnya bagai direntap.
Tidak jauh di hadapannya, beberapa ekor anjing liar sudah mula mengejar!
Dia benar-benar kecut, sudah tiada pilihan kini. Hilang segala kewarasannya. Dia tidak tahu apa yang dia sedang lakukan. Tahu-tahu saja, dia sudah berada di atas pokok!
“Haa? Macam mana boleh ada kat sini ni???”
Liur yang kasar ditelan. Dia peluk sekuat-kuat hati dahan pokok, sebelum memberanikan diri melihat-lihat keadaan di bawah. Tinggi! Anjing-anjing itu pula masih berada di situ. Garang menyalak. ‘Ya Allah…’ Meremang bulu tengkuknya. Semakin kuat pelukannya pada dahan pokok. Dalam pada itu, matanya melirik jam tangan.
‘Dah lambat sangat ni. Tak lama lagi waktu asar. Jangan-jangan umi dah balik.’ Semakin tidak terkawal detak jantungnya. ‘Ya Allah… tolonglah…’
 
“ADA, ustazah?”
Ustazah menoleh. Dengan wajah yang keruh, dia menggeleng. Lemah. “Kat tandas pun tak ada jugak…” Perlahan suaranya. Penuh dengan nada resah.
Puan Ida terdiam. Dia mahu bersuara, tapi tertahan bila mengingatkan kemungkinan perasaan ustazah yang bakal terguris. Masakan dia mahu memburukkan keadaan walaupun dia memang tidak bersetuju dengan tindakan ustazah. Kini bila berlaku perkara seperti ini, tiada lain di fikirannya. Pasti Azrul puncanya. Dia pula sudah tentulah menyalahkan ustazah!
“Kita cari kat luar pulak?”
Ustazah yang sedang berfikir itu memandang pula Cik Nadia. Cuba menagih alasan. Cik Nadia yang memahami erti pandangan itu segera menambah, “err… mungkin tadi dia keluar untuk beli makanan.”
“Tak tahulah, Nadia…” Ustazah membisu sesaat. “Farhah tu sebenarnya dari semalam lagi merajuk dengan akak. Duit belanja yang akak bagi pun tak diambilnya pagi tadi. Takkan dia nak keluar pulak…”
Mereka terdiam.
“Akak takut…” Tertahan sesaat. “Dia buat benda bukan-bukan…”
“Eh, takkanlah Farhah nak buat macam tu, Lia.” Pantas Puan Ida memintas.
“Tapi saya rasa, mungkin kita kena jugak keluar. Takut kalau jadi apa-apa.”
Ustazah terdiam. Ada benarnya perkara itu. Jika sudah tidak berjaya ditemui di seluruh kawasan sekolah, lantas ke mana lagi gadis itu?
“Jomlah kita cari sama-sama.” Puan Ida menawarkan bantuan bila melihat ustazah menarik pintu di bahagian pemandu.
Ustazah menoleh sekilas. Senyuman kelat tersungging di bibirnya lalu mengangguk. Mereka segera masuk ke perut kereta. Ustazah mula memandu keluar. Tiba di pintu utama sekolah, mereka terpandang Syuhada yang sedang berjalan seorang diri. Kelihatannya, gadis itu mahu masuk semula ke dalam kawasan sekolah. Ustazah segera menghampiri gadis itu.
“Syuhada, ada nampak Farhah tak?” tanya Puan Ida sebaik cermin tingkap diturunkan.
Berubah wajah Syuhada. Berkerut dahi. “Farhah tak balik lagi ke?”
“Kamu keluar dengan dia ke tadi?” celah Cik Nadia.
Syuhada mula gagal melindungi rasa takut. Pucat wajahnya. “Tadi saya bawak dia pergi kedai kat kawasan perumahan tu. Tiba-tiba dia sakit perut. Sementara tunggu, saya pergi makan kejap. Tapi bila balik dekat bus stop, saya tengok dia dah tak ada. Saya tunggu lama, tapi dia tak ada jugak. Saya ingatkan dia dah balik…”
 
DENGAN tangan kiri yang semakin kemas memeluk dahan pokok, tangan kanannya menyeka air mata yang terus mengalir. Dia benar-benar buntu saat ini. Tidak tahu untuk berbuat apa lagi. Keadaan yang gelap di bawah membuatkannya semakin takut. Entah-entah ada binatang buas yang sedang menanti. Siapa tahu.
Dia teresak-esak. Entah apalah nasibnya. Tidak pasal-pasal terpaksa bermalam di atas pokok. Sungguh, tidak pernah dia terfikir untuk jadi begini!
Kalau diikutkan, waktu ini sepatutnya dia baru selesai mengulangkaji dan sedang bersiap-siap untuk tidur.
‘Ya Allah…’
Pasrah. Bila difikirkan, mungkin ini balasan di atas sikapnya terhadap ustazah. Barangkali uminya terluka dengan apa yang telah dia lakukan, hingga dia ditimpa musibah sebegini.
Dia seka lagi air mata. Benar-benar dia minta agar hati uminya itu lembut semula. Biarlah dia segera keluar dari bala ini. Dia sudah tidak sanggup lagi berada dalam keadaan begini. Sesekali dia mendongak dan memandang sekitar kawasan itu. Memang dia takut untuk meliar-liarkan pandangan, manatahu kalau-kalau ada makhluk lain yang sedang menemaninya di sini dengan rupa yang menyeramkan. Tapi dia lebih takut jika di atas ranting-ranting pokok berhampirannya ada ular yang sedang menjalar. Kalau dia berhati-hati, mungkin dia boleh bersiap-sedia untuk terjun juga dari pokok itu walau terpaksa.
Meremang bulu tengkuknya. Rasa macam mahu saja menjerit meminta tolong. Tapi bila memikirkan yang dia sedang berada di dalam hutan, maka dia terpaksa tahan hasrat itu. Kata orang, pantang jika menjerit di dalam hutan. Takut ada yang menyambut.
Lagilah tegak bulu tengkuknya!
Bertambah galak tangisannya. ‘Nak balik…’ esaknya tersedu-sedu.
Prappp!
Serentak dia tahan esakan, lantas menyeka air mata. Terkejut bila mendengar bunyi ranting yang patah ditimpa benda berat. Dia telan liur, mengalir lagi air matanya. Dia tidak mampu mengagak, apakah benda yang sedang bermain-main di atas tanah sekarang ini. Tapi yang nyata, bunyi daun-daun kering yang pecah kedengaran semakin hampir dengan pokok tempatnya bertenggek. Kecut perutnya memikirkan, kalau-kalau ada ular yang sedang menjalar mencari mangsa.
Dia tidak sanggup!
Tiba-tiba anak matanya terpandang satu cahaya kuning, tidak jauh dari pokok itu. Dia terdiam. Cahaya itu semakin hampir, seiringan dengan bunyi daun-daun pecah dan ranting patah yang semakin jelas kedengaran. Berdebar-debar jantungnya. Bila cahaya itu semakin hampir, dia memberanikan diri memanggil, “pak cik.”
Tiada jawapan. Dia telan liur. “Pak cik!” panggilnya lebih lantang. Kali ini bunyi derapan kaki terhenti betul-betul di bawah pokok. Dia segera membetulkan kedudukan kainnya, supaya kakinya selamat dari pandangan. Bila cahaya kuning itu dihalakan ke arahnya, dia silau. Terpejam matanya.
“Buat apa kat atas tu, woi!” sergahan lembaga di bawah pokok membuatkan Farhah tersentak. Dahan pokok yang hampir terlepas segera dipeluk kemas. Mengalir peluh jantan di dahinya sebaik mengenali suara itu. Dia telan liur. ‘Ya Allah…’
“Woi, kau dengar ke tak ni? Ke kau dah jadi beruk kat atas tu?” sergah lelaki itu lagi. Farhah cuba bertenang. Sedangkan hakikatnya dia tahu, keadaannya sama saja seperti masuk ke dalam mulut buaya selepas berjaya keluar dari mulut harimau.
“Err…Aaa… Azrul… tadi saya kena kejar dengan anjing.” Tergagap-gagap.
“Dah tu?”
Farhah terdiam. Gugup. “Sekarang saya tak tahu macam mana nak turun balik…”
“Dah tu, kau nak suruh aku panjat bawak kau turun pulak ke?” pintas Azrul lagi.
Farhah terdiam lagi untuk seketika. Meremang bulu romanya mendengar kata-kata lelaki itu. Daripada didukung Azrul, dia lebih rela tidur saja di situ.
“Kau tunggu apa lagi kat atas tu, weh?”
Farhah tersedar. Kainnya dibetul-betulkan lagi. “Errr… macam mana saya nak turun…”
“Tak tahu? Ha, tidur ajelah kat situ. Aku nak balik.” Sejurus mengucapkan, Azrul buka langkah. Farhah kalut.
“Azrul!”
Terhenti semula lalu menoleh. Azrul nampak rimas. “Tak reti-reti nak turun sendiri ke?”
“Memang saya tak reti…”
“Habis tu kau nak tunggu situ sampai bila? Aku tak ada masa nak tunggu kau tau!”
Farhah diam. Telan liur lagi, takut-takut untuk menjawab. “Telefonlah bomba…”
“Yang kau bangang sangat ni apasal?” pintas Azrul membuatkan Farhah terkelu. Nampaknya Azrul sudah mula hangat hati. Berdebar jantung Farhah.
“Turun sekarang, Farhah. Kalau tak, biar aku sendiri yang panjat!”
Farhah tergamam.
“Cepat!” Lebih kuat gertakan itu, membuatkan Farhah semakin gelabah.
“Okey, okey, saya turun!”
Azrul senyap, kemudian memadam lampu suluhnya. Gelap-gelita kawasan itu. Farhah risau dengan tindakan Azrul. Apalah yang sedang difikirkan lelaki itu terhadapnya. Dan apa pula yang bakal berlaku terhadap dirinya? Adakah kehidupannya benar-benar setakat di sini? Atau ada perkara lain yang Azrul mahukan daripada dirinya? Apa? Kegadisannya?
‘Astaghfirullah…’ Tiba-tiba dia terasa menyesal. Dia tidak tahu, kenapa Azrul yang datang dalam keadaan begini. ‘Tolonglah, ya Allah…’
Tapi dia tiada pilihan. Ugutan Azrul menjadikannya semakin takut, lalu dia kerahkan dirinya agar patuh. Daripada atas dahan, perlahan-lahan dia turun dan bergayut di situ. Tapi telapak tangannya terlalu pedih untuk terus berpaut. Akhirnya dia terlepas dahan dan tubuhnya terhempas ke tanah. Sakit seluruh badannya, namun dia gagahkan diri untuk segera bangkit. Bimbang pula jika diapa-apakan Azrul.
Bila Azrul menghidupkan semula lampu suluh, Farhah menghela nafas lega. Dia tidak faham kenapa Azrul buka dan tutup lampu suluh tadi, tapi dia harap Azrul tidak berniat buruk. Dia cukup risau dengan keadaan mereka sekarang.
“Aku nak balik.”
Farhah pandang Azrul yang sudah mula melangkah. “Kat mana saya boleh dapatkan teksi?”
Soalan itu membuatkan Azrul terhenti lagi melangkah dan berpusing semula. “Kau merepek apa benda ni?” Semakin tegang nadanya, mula hilang sabar dengan kerenah Farhah. “Kau ingat tempat ni bandar ke? Tengah-tengah malam buta nak dapat teksi?”
Farhah terdiam.
“Kalau bapak kau tu ada syarikat teksi lain cerita la!” Ditekan perkataan bapak. Farhah terus senyap, kecut ditengking begitu. Azrul mendengus kasar dan menapak semula.
Farhah gelisah. “Habis tu macam mana saya nak balik?”
“Apahal aku pulak yang nak kena fikir?” bangkang Azrul tanpa menghentikan langkah. “Kau yang pandai-pandai pergi panjat pokok tu! Tanggung sendiri la!”
Farhah terkelu. ‘Macam mana ni…’ Termangu di situ.
“Cepat la, weh!”
Farhah pandang Azrul yang sudah memandang semula dirinya. Pelik dia bila lelaki itu berhenti semula, bahkan mengarahkan begitu. ‘Apa yang cepat?’
“Aku hantar sampai kat jejantas depan tu. Sementara tu kau fikirlah cara nak balik.”
Baru Farhah faham maksud ‘cepatlah’. Tapi… patutkah dia ikut?

0 861 komen:

Post a Comment

Assalamualaikum. Hai!
Terima kasih baca.
Cer komen sikit?

.

.