Monday, 8 April 2013

Hati Yang Kau Sentuh Bab 4


“SAMPAI bila kau nak perap kitorang ni, Yoi? Otot-otot aku dah habis kebas semuanya ni!” Antoi memicit-micit lengannya yang berlemak.

Azrul yang bersandar malas pada belakang kerusi membisu sesaat. Jalan raya di hadapan Gerai Pak Tapa dipandang jauh. “Aku belum habis dengan budak baru tu.” Datar.

“Dah tu sampai bila aku kena ternak lemak nih?”

Berkerut dahi Azrul, tegang. “Sekarang ni kita tak boleh banyak gerak. Orang tua tu tengah terhegeh-hegeh dengan aku.” Azrul menekan perkataan ‘orang tua’, merujuk kepada Ustazah Kamalia. “Kalau kita gerak jugak, nanti dia gerak lebih banyak.”

“Hah, kan bagus tu? Biarlah dia gerak banyak, barulah tak makan gaji buta!”

“Ingat aku bangang?” Azrul memintas Poji. “Yang sesak nafasnya nanti, dia. Yang terlungkupnya sapa? Kau kalau nak mampus sorang aku tak kisah. Asalkan tak sapu lumpur kat baju aku ni!”

“Apasal? Kau takut?”

Sepantas kilat Azrul menoleh pada Baha yang mencabar. Dia tertawa kecil, sinis. “Anak soleh… mana lawan orang tua.” Tajam.

Mereka terbungkam.

“Bukan cara aku berperang dengan perempuan tua doe. Baik tutup mulut dari buang masa layan sampah,” tambah Azrul.

“Habis yang kau 24 jam dok buli anak dia tu?” Pejai mencelah.

Azrul terus memandang jalan sambil tersenyum sinis. “Aku nak halau dua beranak tu.”

“Kau fikir apa sebenarnya ni, Yoi?” pintas Baha, keliru.

Azrul senyap. Mereka terbungkam lagi.

“Sampai masa nanti aku sendiri bagitau. Baru korang gerak.”

“Kau nak buat kerja sorang lagi la ni?”

Azrul tidak menjawab soalan Baha.

Antoi  mempamer riak tidak puas hati. “Kempunanlah aku macam ni!”

Azrul mendengus sinis. “Kau dah kasi busuk nama aku tau?” Dia mengungkit peristiwa Antoi tersangkut pada lubang bawah pagar sekolah beberapa bulan lalu.

“Tapi janganlah sampai camni!”

“Apa jaminan yang kau boleh buat kerja?”

Antoi terdiam.

Baha hangat hati. “Dah tu nanti kalau bapak angkat kau si Roslan tu tangkap, kau nak tuduh aku tibai sekaki ar? Padahal engkau yang sedap-sedap makan sorang!”

“Apahal, nak bertumbuk? Satu lawan satu ar!” cabar Azrul tiba-tiba.

Baha yang mahu bangkit tertahan bila Pejai menghalang. Merah padam wajah Baha, tidak puas hati. Azrul menentang pandangan Baha, tajam. “Kau abang ke aku?”

Baha mencebik. Buku lima digenggam ketat. Hangat hati!

“Adik kecik tak baik lawan abang tau?” Bertukar lembut nada Azrul sebelum tersenyum sinis, memarakkan api di dada Baha. Pandangan lelaki itu yang tajam tidak dipedulikan Azrul, malah dia menolak kerusi ke belakang dan bingkas. Terus pergi dari situ.

Baha menumbuk keras meja di hadapannya. Meja plastik itu dan hidangan di atasnya hilang imbangan, segera ditahan Antoi. “Ala, rilek la bro!”

Baha masih mencebik. Memeluk tubuh sambil bersandar. “Abang tak abang.” Serius. “Boleh blah ar!!!” Dia tumbuk lagi meja. Terkial-kial Antoi mengawalnya dari tumbang.

“Aku tak kira. Kalau suka itu abang makan sorang, sukati. Aku pun tau jugak lapar!” Sejurus mengucapkan, Baha terus bingkas. Kakinya melangkah pantas meninggalkan gerai itu, tapi berlawanan dari arah Azrul.

“Oi, kira nih!” laung Pejai pada pekerja di situ.

 

MATAHARI sedang terpacak di atas bumbung blok ketika Syuhada masuk ke kelas Empat Sains Tulen yang sedikit riuh itu. Di tangannya terdapat sehelai kertas memo dan marker pen. Kemudian tanpa bersuara walau sepatah, dia menyalin semula memo itu pada papan putih. Pelajar-pelajar kelas itu beransur senyap.

Study pasal cell, lepas tu jawab exercise dalam textbook. Esok saya nak bagi ujian.

Teacher Lina

Sesudah itu, Syuhada terus mengambil tempatnya yang terletak di sebelah Farhah.

“Cikgu-cikgu semua memang takde yang free ke, Syu?” sapa Farhah. Syuhada mengerling sekilas sebelum menjungkit bahu.

“Ramai yang terlibat dengan raptai. Hari anugerah cemerlang tu esok. Makin sibuklah diorang.”

Farhah mengangguk-angguk. Dia tahu berkenaan majlis yang dimaksudkan, kerana akhir-akhir ini ustazah agak kerap bercerita berkenaan perkara itu. Uminya itu juga terlibat dan mereka semakin lewat pulang ke rumah akhir-akhir ini.

Tiba-tiba pintu kelas diketuk. Mereka menoleh serentak. Tercegat seorang gadis di muka pintu. “Kak Farhah ada?”

“Saya.” Farhah mengangkat sedikit tangannya. Gadis itu menoleh lalu mengukir senyuman.

“Ustazah Kamalia nak jumpa.”

“Kat mana?”

“Padang.”

Farhah terdiam. ‘Tengah-tengah hari buta ni jumpa kat padang?’ detik hati. Dahinya berkerut, namun dia tetap bangun. Gadis itu diekori. Sepanjang jalan mereka menyepi.

“Kita lalu belakang makmal komputerlah. Dekat sikit,” cadang gadis itu sebaik saja mereka turun dari tangga di hujung Blok D. Farhah akur saja dan mereka senyap lagi.

“Adik ni tingkatan berapa?” tanya Farhah akhirnya.

Gadis itu menoleh, kemudian tersenyum. “Tiga.”

Farhah mengangguk faham. “Nama?”

“Mia. Akak panggil je Mia.”

Farhah mengangguk lagi. Dia meluaskan sedikit langkahnya bila agak ketinggalan di belakang. ‘Lajunya dia jalan.’

“Eh? Farhah?” tegur satu suara tiba-tiba. Ketika itu juga langkah Farhah dan Mia terhenti serentak. Farhah sempat melilaukan anak matanya. Sekarang mereka sudah berada betul-betul di belakang makmal komputer. Kedudukan makmal yang agak terceruk menyebabkan mereka terlindung daripada pandangan warga sekolah. Di luar pagar pula, hanya ada semak-samun dan itu membuatkan Farhah gementar tiba-tiba. Dia jadi curiga pada Mia, tapi bila dikerlingnya, wajah Mia juga pucat.

Farhah menelan liur. Mereka sudah dikepung Geng Si Yoi!

“Kitorang tengah lapar ni. Tauke bengkel tu terlupa nak bayar gaji.” Mesra kata-kata Pejai. “Ada duit tak?”

“Bb… ber… rapa?” Mia tergagap-gagap.

“Nanti kejap, nanti kejap.” Antoi kelihatan bersungguh-sungguh menghitung dengan jarinya. Kemudian dia mengangkat kedua-dua tangannya. “Sepuluh ringgit sorang.”

“Ada?” Poji mencelah.

Mia yang ketakutan, terketar-ketar menyeluk saku. Farhah menelan lagi liur bila melihat sekeping not berwarna merah dikeluarkan gadis itu. Meleleh peluh jantan di dahinya. Mana dia ada wang sebanyak itu!

“Hah, Farhah? Ada tak?” tanya Pejai sewaktu menyambut huluran Mia.

Farhah memberanikan diri membalas pandangan lelaki itu. Dia menggeleng.

“Tak ada???” Antoi pura-pura terkejut. Tangannya memberi isyarat supaya Mia berlalu segera dari situ. Sesak dada Farhah bila melihat Mia akur.

“Takkan anak orang kaya tak boleh sedekah sepuluh ringgit pun?” Poji menyampuk. “Bapak kau arkitek kan? Arkitek kan kaya-raya? Millionaire!” Digawang-gawangkan tangan, seakan-akan dihujani wang.

Farhah berundur setapak. “Betul… tak ada.” Gugup. Rasa cemas dalam dada mula menggila. Dia tidak tahu untuk lari ke mana.

“Eh, boleh percaya ke?” Poji masih mengacah.

“Cuba cek baju dia!” Baha yang sejak tadi membisu tiba-tiba bersuara. Farhah tersentak dan mereka ketawa besar sebaik melihat wajah pucatnya.

“Meh sini, biar abang cek!” Pejai menghampiri Farhah. Farhah segera berundur tetapi tertahan bila Poji dan Antoi sudah bersedia di belakangnya. Liur yang kasar terasa bergeser di tekak sewaktu ditelan. Dalam hati, dia mengharap agar Mia segera menghebahkan mengenai perkara itu. Tetapi sesaat kemudian dia menyumpah diri sendiri. ‘Takkan senang-senang diorang lepaskan dia kalau tak dengan ugutan! Mestilah dia takkan bagitahu orang lain!’

Tanpa sebarang amaran, tidak semena-mena Baha yang bengis menerkamnya. Dia tersentak. Namun tiba-tiba tangannya direntap dari belakang. Sepantas kilat tubuhnya ditolak dan dia tersungkur. Tergolek-golek di atas tanah. Dia pantas menarik kain baju kurung yang sedikit terselak. Berhambur air mata ketakutan.

Serentak satu tumbukan melayang ke wajah Baha. Terundur dia dua tapak. Suasana tiba-tiba bertukar hening.

Keperitan yang terasa menyebabkan Baha menyentuh hujung bibir. Melekat cecair merah di jarinya. Tersirap darah ke kepala Baha, lalu mengangkat wajah. Bengis pandangannya ditemukan dengan Azrul yang entah bila muncul di kawasan itu.

“Kau apahal?” soalnya bersama nada tegang yang ditahan-tahan. Dia segera ingat di mana dirinya kini, menyebabkannya tidak jadi menghamburkan amarah.

“Kau jangan nak busukkan nama aku.”

“Masalahnya sekarang ni kitorang bukan anjing kau, Yoi!” Pejai memintas. Pertarungan kini seolah sudah bertukar arah. Perhatian mereka sudah beralih pada Azrul. Farhah yang sedang kesakitan di tepi makmal komputer diserbu rasa keliru.

Fikirnya, Azrul muncul di saat-saat begini untuk menyempurnakan lagi pembulian, sepertimana yang dilakukan sebelum ini. Tetapi kini, dia lihat Azrul dan anggota Geng Si Yoi bagaikan tegang. Seolah ada konflik dalaman antara mereka.

Farhah tidak faham, tetapi dalam masa yang sama dia tidak mahu ambil peduli. Perhatian mereka yang sudah beralih membuka jalan untuknya. Dia segera bangkit walau seluruh tubuh masih digigit kesakitan. Kesempatan itu perlu digunakan sebaiknya. Dia senyap-senyap melarikan diri.

“Dulu sapa yang jilat tapak kaki aku?” Azrul membalas dengan suara tegang sebaik saja ekor matanya melihat Farhah menghilangkan diri di sebalik dinding makmal.

“Ah, itu dulu! Sekarang ni kau ingat kau sorang tau makan?”

“Sekurang-kurangnya aku makan beradab.”

“Najis punya adab!” Hampir terpekik suara Baha memintas. Giginya diketap. “Kepala aku ni…” Ditunjukkan ubun-ubunnya dengan jari telunjuk. “Bukan untuk sembah taiko second hand macam kau tau.” Hujung bibirnya menyungging senyuman sinis. “Setakat nama, Geng Baha boleh tegak sendiri ar!” Ditolak kasar bahu kanan Azrul. Azrul menahan kaki dari terundur.

“Boleh blah la polisi kolot kau tu!” tambah Baha.

Azrul menggenggam buku lima. Dia mengangguk-angguk kecil, mencabar. “Aku kasi can.” Perlahan nadanya. “Tapi jangan merengek kalau Geng Mat Der cincang kau hidup-hidup. Kau tu nak basuh berak sendiri pun tak reti.”

Merah menyala mata Baha melawan pandangan Azrul. Azrul tersenyum sinis. Kemudian dia berundur setapak dan berlalu.

“Ikut ar kalau rasa nak mampus!” Pantas Baha memberi amaran bila Antoi cuba mengekori Azrul. Spontan terhenti langkah Antoi. Dia tidak sangka, sebegini akhirnya percaturan hidup yang dia perlu hadapi.

Tanpa sedar, meleleh peluh jantan di dahinya. Degupan jantung hilang arah.

 

“EH, kenapa kotor-kotor baju ni?” tanya ustazah sebaik saja masuk ke dalam kereta. Baru dia perasan baju kurung dan tudung Farhah yang dicemari lumpur. Tadi anak matanya tidak menyedari perkara itu kerana sewaktu kerjanya pada hari itu selesai, Farhah sememangnya sedang menanti dirinya di pintu bahagian penumpang. Terlindung pakaiannya yang kotor. Barangkali anak gadisnya itu cuba mengelak dari berbincang mengenai perkara itu di luar kereta.

“Jatuh.” Hambar jawapan yang terlontar dari bibir Farhah. Pandangannya tidak langsung dialihkan ke wajah ustazah. Terus juga memandang hadapan. Wajah Azrul yang bermain-main di ruang mata membuakkan lagi rasa benci dalam hatinya.

“Jatuh kat mana?”

Farhah membisu sesaat. “Atas rumput.” Sinis.

Ustazah terdiam. “Macam mana boleh jatuh?”

Kali ini Farhah tidak lagi bersuara. Wajahnya serius. Ustazah melepaskan dengusan lembut. Dia bagaikan mampu mengagak maksud kebisuan Farhah. Senyuman kelat terukir di bibirnya. “Azrul buat?”

“Mungkin umi boleh terus puji dia sebab dia dah makin berani sekarang.”

Ustazah terdiam. Tidak pernah Farhah bersikap begitu terhadapnya selama ini. Tapi kini… Adakah peribadi Farhah sudah diracuni persekitarannya?

“Azrul buat apa pada Farhah?”

Farhah senyap. “Umi boleh lagi tanya Farhah. Lepas tu apa yang Farhah bagitau,  sikit pun umi tak nak percaya,” luahnya, penuh dengan nada sakit hati. “Umi nak tunggu Azrul buat apa lagi, baru umi nak percaya yang Farhah ni tak mengada-ngada?”

“Kenapa Farhah cakap macam tu?” pintas ustazah. Terluka hatinya bila dilabelkan begitu. Sedangkan dia hanya mahu adil terhadap kedua-dua insan itu. Azrul dan Farhah sama-sama tanggungjawab yang perlu dipikul.

“Tak apalah, mi. Farhah tahu yang Farhah ni belum cukup sabar…” Sinis.

Ustazah terdiam lagi. Bila dilihatnya Farhah mula memeluk tubuh dan melempar pandangan ke luar tingkap, dia mengeluh berat, kemudian berdecit kecil. Dia tahu, anak itu benar-benar marah saat ini.

Tiada apa lagi yang mampu dia lakukan. Mungkin dengan membiarkan untuk seketika, emosi anak itu akan pulih. Lalu ustazah pulas kunci yang sudah dicucuk pada leher stereng. Kereta dipandu keluar dari kawasan itu.

Sepanjang jalan, hanya kebisuan yang bermaharajalela. Ustazah cuma membiarkan. Kemudian sebaik saja tiba di rumah, Farhah terus berkurung di dalam bilik. Tidak langsung keluar hingga malam menjelang. Ustazah akhirnya mengetuk pintu bilik Farhah. Namun tidak berjawapan. Tiada pilihan lagi, dia terpaksa menggunakan kunci pendua. Tidak dinafikan, dia mula risau. Farhah tidak pernah bersikap begini. Dia bimbang jika anak itu bertindak melulu.

Terbuka saja pintu, dilihatnya Farhah sedang memeluk tubuh menghadap tingkap bilik. Ustazah melepaskan keluhan lega. “Farhah tak sembahyang ke?” soalnya lembut.

“Uzur.” Datar.

Ustazah membisu sesaat. Terlupa pula dia berkenaan perkara itu. “Tak nak makan?”

Farhah kaku. Ustazah membisu lagi untuk seketika. Kemudian dia menapak perlahan ke dalam ruang kamar. Farhah yang terus kaku di tingkap itu dia hampiri. Bahu anak itu disentuh lembut, kemudian dipeluk penuh kasih.

Namun Farhah tetap kaku. Ustazah mengucup ubun-ubun anak itu. “Umi mintak maaf sebab abaikan Farhah.” Lembut. Namun Farhah tetap juga dingin. Ustazah menambah, “umi ingatkan, umi akan berat sebelah kalau salahkan Azrul dan bela Farhah. Umi ingat, usaha umi untuk betul-betul bertanggungjawab dah cukup. Tapi rupanya tak.”

Farhah tetap diam, tapi dalam diam kata-kata ustazah membuatkannya terguris.

“Umi tak mampu jugak untuk adil. Baik pada Farhah, ataupun Azrul. Kedua-duanya dah teraniaya. Umi mintak maaf…”

“Farhah dah tak tahan asyik kena buli, umi…” luah Farhah akhirnya. “Farhah nak tukar sekolah.” Gugur air mata di pipi. Dia segera seka. Dalam rasa tewas, dia tidak mahu ustazah terus-terusan menyalahkan diri. Kerana dia terasa seolah terlalu mementingkan diri. Dia hanya mahu ustazah faham ketakutan yang dirasakannya.

Kini, bangun pagi setiap hari, dia terus berasa terancam dengan sikap nekad Geng Si Yoi. Dia takut untuk ke sekolah. Tetapi dia tiada tempat untuk melarikan diri. Jika ustazah juga tidak mahu berada di pihaknya, ke mana lagi dia mahu pergi?

Ustazah mengusap-usap bahu Farhah. Sebak hatinya. Dia faham perasaan anak itu, tapi dia sendiri sudah mati akal.

“Umi cuma mintak, Farhah bersabar sikit je lagi. Hujung tahun ni kalau Azrul tak berubah jugak, umi akan tukarkan Farhah ke sekolah lain. Umi janji.”

Farhah membisu. Hujung tahun! Bererti dia perlu menunggu sekurang-kurangnya empat bulan lagi. Arghhh… masalah!

Pecah keluhannya. Dia mengangguk lemah seraya meleraikan pelukan ustazah dari bahunya. Sudah tidak tahu untuk berkata apa lagi. Apa yang dia tahu kini, ustazah tidaklah faham benar situasinya walau bersungguh mengaku faham. Tapi untuk terus mendesak, dia tidak mampu. Perit hatinya bila mendengar ustazah menyalahkan diri sendiri.

Entahlah, dia sudah cukup tersepit.

0 861 komen:

Post a Comment

Assalamualaikum. Hai!
Terima kasih baca.
Cer komen sikit?

.

.