Monday, 1 April 2013

Hati Yang Kau Sentuh Bab 3


“FARHAH!” Terngiang-ngiang panggilan Puan Ida sewaktu di kelas tadi. Dia masih ingat lagi keadaan waktu itu, malah sangat jelas. Dia bangun dari kerusi dan menuju ke arah guru matematik tambahan itu. Dari raut wajah wanita itu saja dia sudah rasa tidak sedap hati. Bagaikan ada yang tidak kena saja dengan markahnya.

Dia sambut kertas ujian dari tangan Puan Ida. Dan sebaik mata terpandang tulisan berdakwat merah di atas kertas itu, semangatnya terus runtuh bertimpa-timpa. Dia kembali ke meja bersama perasaan yang hancur.

“Alah, okeylah ni. Bukan senang subjek ni nak dapat B3 tau.” Nada Syuhada seperti memujuk, tapi Farhah tetap juga kecewa. Pujukan itu bahkan makin memusnahkan semangatnya.

Dia tatap kertas ujian yang sudah agak renyuk di atas meja di hadapannya. Hampanya Tuhan saja yang tahu. Entahlah… tak tahu apa lagi yang patut dia lakukan. Ustazah bukannya mahu dengar luahannya. Balik-balik menyuruh bersangka baik. Itu saja yang ustazah tahu!

Tiba-tiba kertas ujian hilang dari pandangannya. Musnah lamunan. Dia pantas mendongak, serentak tergelincir degup jantungnya. Bibir yang sedang menyungging senyuman itu dipandang kecut.

“Eh, pandainya dia…” puji Azrul sambil menatap markah pada kertas ujian. Sesaat dia kerling Farhah penuh erti, membuatkan Farhah pantas menjatuhkan pandangan. Azrul tersenyum penuh erti. “Macam nilah baru betul anak soleh…” Mesra nada itu tapi terlalu menjengkelkan. “Boleh ni kalau jadi isteri solehah.”

Farhah terdiam keresahan. ‘Ya Allah… apa lagilah yang dia ni nakkan…’

Tiba-tiba Azrul duduk di hadapannya di bawah pokok ketapang itu. Dia tersentak lantas semakin membatu. Azrul tersenyum bertambah lebar. “Cik Farhah sayang… Ini markah tertinggi yang awak akan dapat selagi awak duduk kat sekolah ni tau? Awak tak tahu, sekolah ni sebenarnya ada sial.”

Meremang bulu tengkuk Farhah mendengar suara dalam Azrul. Melihat Farhah terus-terusan membisu, Azrul akhirnya ketawa. “Jom, sayang! Farhah jadi pengawas, boleh kita main kejar-kejar.” Azrul bingkas. “Tapi Farhah pakai kain, takkan lepas kalau nak lompat pagarlah, sayang…”

Farhah terus membantu. Azrul ketawa lagi. Kertas Farhah dilempar dan sebelum sempat kertas tersebut mendarat atas meja, dia terlebih dahulu berlalu. Farhah mendengus lemah. ‘Buli… buli…’

 

SIAP mengisi borang, dia melangkah pantas ke bilik guru. Ustazah yang sedang khusyuk menyemak buku dihampiri. “Umi.” Serentak borang tersebut diletakkan di atas meja. Ustazah yang terganggu terus mengerutkan dahi lantas memandang Farhah. “Maknanya Farhah dah tak takut lagi dengan Azrul?”

Farhah mengekalkan riak serius pada wajahnya. “Orang dah ajak main kejar-kejar, takkan nak tolak.”

Ustazah akhirnya tersenyum mendengar nada yang dilontarkan Farhah. Jelas, anak gadisnya itu sedang emosi. Pasti disebabkan keputusan ujian bulanan yang baru saja diperoleh. Apapun, dia tetap lega dengan keputusan itu. Lantas borang permohonan itu dia masukkan ke dalam fail. Kepala Farhah dia usap-usap lembut.

“Bagus anak umi!”

 

“CIKGU Ida cakap makanan kat sini sedap,” terang ustazah sewaktu memarkir kereta. Farhah di sebelah menoleh.

“Gerai mamak ke ni?”

Ustazah menggeleng. “Taklah. Tapi makanan dia lebih kurang macam kat gerai mamak.”

Farhah senyap. Mereka keluar dan melangkah ke sebuah meja yang terletak di kaki lima gerai.

“Orang tengah ramai ni. Farhah tunggu kat sini kejap, biar umi pergi pilih lauk.”

Farhah angguk saja. Dia duduk sambil memerhati ustazah yang masuk ke bahagian dalam gerai. Bosan begitu, dia lilaukan anak matanya pada sekitar kawasan itu. Gerai itu agak besar. Pengunjung juga ramai meskipun waktu sudah berganjak ke jam tiga petang.

‘Memang betul-betul sedap kut makanan kat sini…’

Tiba-tiba anak matanya terhenti pada sebuah meja yang tidak jauh dari tempatnya. Serentak darahnya berderau. Hilang arah bila menyedari anak mata Azrul sedang berpusat ke arahnya. Entah sejak bila dia diperhati begitu.

Tiba-tiba Azrul tersenyum seraya mengenyit mata padanya. Farhah tersentak, lantas menjatuhkan pandangan. Pantas fikirannya kembali pada ustazah. ‘Cepatlah umi, cepatlah…’ Jam di pergelangan tangan dibelek-belek resah. ‘Lamanya…’

Tapi dia enggan membiarkan Azrul melihat gelabah di hatinya. Dia mahu nampak berani di hadapan lelaki itu. Akhirnya dia bangun. Berpura-pura tenang, dia melangkah ke dalam gerai yang agak sibuk. Ustazah yang masih memilih lauk dihampiri.

Sebaik menyedari kehadirannya, ustazah menoleh sekilas seraya tersenyum. “Kenapa?”

Farhah senyap. Hanya menzahirkan gelengan. Setelah selesai membuat bayaran, Farhah mengekori ustazah keluar dari situ. Kembali resah hatinya bila ustazah singgah di meja tadi. Farhah berdiri membelakangi tempat Azrul dan rakan-rakannya. Tidak sanggup berdepan lelaki itu.

“Kenapa umi?”

“Kejap. Umi nak masukkan duit dalam beg duit.”

“Kita buat dalam keretalah, umi.”

“Banyak ni. Bahaya. Tadi umi tak ada duit kecik. Nak buat dekat kaunter tadi, orang ramai sangat…”

“Tak apa, biar Farhah yang buat.”

“Hah, Farhah buat.”

Farhah pantas menyambut. “Jom, jom, umi. Kita pergi dekat kereta.”

“Eh, boleh ke ni?”

Farhah mengangguk laju. Berkerut dahi ustazah lalu memandang Farhah. Dan anak matanya bagaikan ditarik pada sebuah meja yang terletak selang beberapa meja di belakang Farhah. Barulah dia faham. ‘Lah… Azrul rupanya. Patutlah!’

Anak-anak muda itu sedang rancak berbual. Ustazah sempat melemparkan senyuman bila pandangan Azrul beralih sekilas padanya. Azrul tidak segera membalas, sebaliknya memanggil rakan-rakannya. Kesemua mereka menoleh. Ustazah tersenyum lagi. Namun mereka ketawa mengekek. Ustazah tenang saja walau terasa diperlekeh. Bila Farhah mempelawa lagi ke kereta, kali ini dia akur.

“Umi nampak Azrul tadi,” ujar ustazah sewaktu mereka sudah berada di dalam kereta. Farhah membalas pandangan ustazah sekilas, lalu menghulurkan beg duit.

“Farhah tak perasan?”

Farhah senyap. Nampak tegang wajahnya sambil mengalihkan pandangan ke luar kereta. Ustazah tersenyum tipis. Anaknya itu bagaikan sudah mula mempemer kebencian pada Azrul dan rakan-rakannya.

“Jomlah balik, umi.”

Ustazah senyap. “Okeylah, kita balik…” Kunci pada leher stereng dipulas, namun belum sempat mengundurkan kereta, pergerakannya tiba-tiba terhenti. Anak matanya dikecilkan, memberi tumpuan pada Geng Si Yoi di hujung Gerai Pak Tapa.

‘Apa tu?’ detik hati sebaik melihat Pejai mengeluarkan sepana bersaiz besar dari beg lusuhnya. Semakin kuat curiga dalam hati bila melihat Poji pula menyerahkan penukul besi pada Antoi. Kemudian kelima-lima mereka berlalu dari gerai itu. Tidak semena-mena hatinya digoncang rasa tidak enak.

“Jomlah umi?”

Perhatiannya terganggu. Sekilas dia pandang Farhah, kemudian memberi tumpuan semula pada anak-anak muda itu. Dia segera mengundurkan kereta dan menuju ke satu arah.

“Eh, kita nak ke mana ni?”

“Kejap. Umi nak ikut Azrul.” Acuh tak acuh.

Farhah terdiam lantas berpeluk tubuh. ‘Sayangnya umi pada Azrul.’

Selepas itu, hanya kebisuan mengiringi mereka. Ustazah mengikut dari jauh untuk memastikan perlakuannya tidak disedari. Dia bimbang jika Azrul dan rakan-rakannya terlibat dalam masalah lain. Tidak senang duduk dibuatnya.

Dia lihat, kumpulan itu melangkah ke sebuah premis. Segera dia berhentikan kereta di tepi jalan, agak terlindung dari pandangan anak-anak muda itu. Dia perhati setiap perlakuan di situ. Pejai meletakkan sepana di atas sebuah meja, sebelum menghilang ke dalam bangunan. Azrul pula mendapatkan sebuah kereta yang terbuka di bahagian depan. Sesuatu disentuh-sentuh dan dibelek-belek sebelum menoleh ke belakang, kemudian berkata sepatah dua. Muncul Antoi menghampiri Azrul sebelum menyerahkan sesuatu. Azrul kembali memberi tumpuan pada kereta mewah di hadapannya.

Tidak lama kemudian, muncul seorang lelaki berbadan tegap menghampiri Azrul. Perlakuan Azrul diperhati sebelum menepuk bahu anak itu, membuatkan Azrul tersengih sumbing. Pejai pula muncul tidak lama kemudian dengan sepasang sut berwarna biru gelap, tersarung di tubuhnya. Kemudian berbaring di atas sesuatu lalu masuk ke bawah kereta.

Perlahan-lahan ustazah lepaskan nafas. ‘Ya Allah… Diorang kerja kat bengkel tu rupanya,’ keluh hati kelegaan. ‘Ingatkan nak bergaduh tadi.’

Dia menoleh. Mekar senyuman di bibir bila melihat Farhah juga sedang merenung ke arah kumpulan itu. “Tak sangka, kan?”

Farhah bagaikan tersedar lalu menoleh. Mengangguk kecil. “Mmm.”

“Mungkin kita kena guna cara lain untuk cuba dekat dengan Azrul dengan kawan-kawan dia tu.”

Farhah terkejut. “Nak dekat dengan Azrul?”

Ustazah ketawa kecil. Geli hati bila melihat wajah tidak percaya Farhah. “Kalau kita sabar sikit, insya-Allah mesti kita akan dapat bongkar rahsia lain pulak.”

“Err…”

“Tak apa. Kalau kita tak boleh buat kat dalam sekolah, kita buat kat luar.”

Farhah terbungkam. Ustazah ketawa lagi. “Itu cara Azrul yang Farhah pernah bagitahu dulu, kan?” duganya.

Farhah terdiam juga. Ustazah tersenyum mekar lalu menghidupkan kereta. Dalam diam dia memasang tekad. Peribadi seunik Azrul menjadikannya lebih bersemangat untuk terus berusaha membongkar. Pasti ada yang tersembunyi di sebalik perwatakan Azrul dan rakan-rakannya yang berbeza sewaktu di sekolah dan di luar.

Ustazah tersenyum lagi.

 

FARHAH membuang pandangan ke luar tingkap kereta. Kata-kata ustazah membuatkannya semakin berjauh hati. Hari ini, ustazah meminta izin untuk menggunakan kereta Encik Fauzi yang tidak berapa elok itu. Bila Farhah menegur, selamba saja ustazah memberitahu; mahu hantar kereta itu ke bengkel setelah tamat waktu sekolah nanti.

Bila ustazah beritahu begitu, serta-merta Farhah teringat pada Azrul. Laju saja bibirnya mengeluh sebaik faham maksud yang cuba disampaikan ustazah.

‘Tu tak lain… nak bagi Azrul repairlah tu,’ rungut hati. Memang dia semakin tak faham apa sebenarnya yang difikirkan ustazah. Entah apa yang terlalu menarik tentang Azrul hingga uminya itu bersungguh-sungguh mahu mendekati. Sedangkan mereka sendiri tahu, ketua Geng Si Yoi yang terlalu misteri itu takkan mungkin membiarkan dirinya didekati.

‘Haihhh… entahlah…’ Farhah menggeleng-geleng kesal.

“Hai, mengeluh?”

Berderai lamunan. Farhah menoleh. Ustazah dipandang kosong, sebelum melemparkan semula pandangannya ke luar kereta. Bibirnya mendengus perlahan.

Ustazah tersenyum. “Jomlah turun.”

Teguran itu membuatkan Farhah tersedar. Rupa-rupanya mereka sudahpun berada di kawasan letak kereta. Terlalu jauh menungannya hingga tidak sedar apa yang berlaku di alam nyata. Tanpa sedar, Farhah mengeluh lagi.

“Keluhkan apa tu, Farhah?” sapa ustazah lagi.

Farhah hanya menggeleng dan tanpa menoleh lagi, dia membuka pintu.

“Nanti dulu.”

Pintu yang baru terbuka sedikit bagaikan tertahan. Farhah merapatkannya semula, namun tidak langsung berpusing. Dia bosan. Entah apa lagi yang mahu ditegur ustazah. Sedikit sebanyak, dia mula geram. Ustazah tak habis-habis menegurnya salah sedangkan Azrul yang terang-terangan membuli itu dibela pula. Mendongkol hati Farhah, namun sekadar dipendamkan.

“Tak baik benci-benci sangat. Takut nanti, itulah orang yang kita akan sayang.”

‘Ah, umi tu kalau Azrul semuanya betul!’ bentak hati yang mendongkol.

“Bila dah tahu hal sebenar nanti, mungkin kita pulak yang akan kagum pada dia.”

Farhah mencuka. ‘Aku pun tak tahu la macam mana umi boleh bersangka baik sangat dengan budak tu!’

“Dahlah, jom keluar. Nanti orang pelik pulak, tengok kita duduk lama-lama kat sini.”

Farhah tetap senyap. Mogok. Dia terus menolak pintu dan melangkah pantas dari tempat itu. Dia geram lantaran terasa diabaikan. Atau mungkin juga dia cemburu kerana kini kasih ustazah bagaikan sudah beralih separuh pada ‘musuhnya’ itu. Ah, geram! Cukup geram!

Dia menoleh ke belakang. Ustazah sedang terkial-kial menggalas beg komputer riba dan beg tangan di bahu kiri dan kanan. Tangannya pula dipenuhi buku-buku. Farhah yang pada asalnya menjeling tidak puas hati, tiba-tiba terasa simpati. Rasa bersalah. Tidak pasal-pasal disebabkan Azrul, hubungannya dengan ustazah terjejas.

Terhenti langkahnya. Namun sewaktu dia mula melangkah ke arah ustazah, tiba-tiba wanita itu berpatah balik ke kereta. “Umi!” panggilnya.

Spontan ustazah terhenti menapak seraya berpusing. Farhah meluaskan langkah. “Umi nak pergi mana?” soalnya sebaik tiba di hadapan ustazah.

“Umi tertinggal buku dalam kereta.”

“Tak apa, biar Farhah pergi ambik.” Tanpa menanti sebarang jawapan, Farhah terus mengambil kunci kereta dari genggaman ustazah dan berlalu. Ustazah senyap, tidak faham dengan perubahan anak gadisnya itu. Tapi dia enggan menunggu lama lagi di situ. Beban yang sedang dipikul menyebabkannya kelenguhan. Dia perlu letakkan segera barang-barang itu, lantas dia biarkan saja Farhah kembali semula ke kereta. Dia melangkah ke pejabat.

Di kereta, Farhah menarik pintu di bahagian pemandu. Dia menjenguk-jenguk namun gagal menemui buku yang dimaksudkan. Dia lilaukan pula matanya ke bahagian belakang dan terpandang buku-buku pelajar di hujung kerusi belakang. Agak jauh untuk dia capai. Dia tutup pintu di bahagian pemandu. Tika itu juga dia terpandang Azrul. Lelaki itu sedang melangkah masuk ke dalam kawasan sekolah. Serta-merta berdetak kencang jantungnya.

‘Alamak, dia ni lagi!’

Lantas untuk mengelak daripada disedari, terkocoh-kocoh dia tarik pintu belakang. Terus melompat masuk dan pantas menutup semula pintu. Dia mengecilkan diri di dalam kereta. Berwaspada. Mengalir peluh jantan di dahi. Dia mematikan diri untuk beberapa ketika. Terkumat-kamit bibirnya mendoakan agar selamat dari lelaki itu. Dia benar-benar berharap agar takdirnya pada hari itu takkan melibatkan Azrul langsung. Dia fobia!

Beberapa waktu begitu, dia bangkit perlahan-lahan. Terhendap-hendap. Akalnya mencongak-congak. Kalau ikutkan logik, dalam waktu begini Azrul tentu sudah berlalu dari kawasan itu. Melalui tingkap belakang, dia mengintai. Kosong. ‘Dah pergi.’ Dia mengeluh kelegaan.

Pintu belakang ditolak hati-hati. Dia turun. Buku-buku yang ustazah mahukan, dia capai dan memeluknya erat. Pintu kereta ditutup semula dan menguncinya. Tiba-tiba beg sekolah yang disandangnya terasa melanggar sesuatu. Dia pantas berpusing dan terus tergamam. Terlepas buku-buku dari pegangan!

 

“TENGAH menyorok ke?” tegur Azrul mesra.

Farhah terdiam. Cuma mampu menelan liur sebelum berundur dan teragak-agak turun. Terketar-ketar tangannya mengutip buku tanpa mampu berselindung. Dia cuba pantaskan pergerakan. Dalam fikirannya saat ini, dia mahu cepat-cepat pergi dari situ.

Tiba-tiba Azrul bertinggung di hadapannya. Sebuah buku dikutip. Farhah gelisah. Bila Azrul menghulurkan buku itu, Farhah teragak-agak menyambut. Dia menarik, namun Azrul tidak melepaskan. Farhah kecut. Nampaknya Azrul mahu membuli lagi.

Dia segera bertahan agar tidak terpamer ketakutan di hadapan lelaki itu. Dia cuba menarik lagi buku itu, namun Azrul tidak juga melepaskan malah menarik lebih kuat hingga Farhah sedikit terdorong ke depan. Farhah segera melepaskan buku itu dan berpaut pada tayar kereta. Azrul tertawa kecil, menggerunkan Farhah.

Tawa Azrul kini bertukar senyuman lalu berdiri. Farhah senyap dan terus tunduk. Bila Azrul berlalu, dia pandang dengan ekor mata. Perlahan-lahan, keluhan terlepas dari bibirnya. Dalam rasa resah kerana buku yang telah diambil Azrul itu, dia tetap lega. Sekurang-kurangnya gangguan Azrul tidak terlalu ‘ekstream’ untuk hari itu.

Hilang saja kelibat Azrul daripada pandangan, Farhah memantaskan pergerakannya. Buku-buku yang masih di atas tar dikutip sebelum bergegas meninggalkan kawasan itu.

 

BERATUR panjang begini memang amat merimaskan. Kalau boleh, dia lebih gemar mengisi waktu rehat begini dengan membaca buku di perpustakaan. Tetapi pada waktu Pendidikan Islam tadi, buku tulis miliknya tiada pada ustazah sewaktu uminya itu memulangkan kembali buku-buku yang telah disemak pada pelajar kelasnya. Dia saja yang tahu ke mana perginya buku itu, kerana dia saja yang melalui situasi didatangi Azrul tadi.

Bila ustazah bertanya di mana bukunya, dia sekadar tersengih. Berpura-pura menjawab terlupa hantar. Dia tahu jika dia menuduh Azrul yang mengambil pun, tiada makna. Ustazah akan terus membela lelaki itu. Jadi daripada membiarkan hatinya disakiti lagi, lebih baik dia mengalah awal-awal. Kini, terpaksalah dia beratur panjang untuk membeli sebuah buku yang baru.

Menyusahkan, malah menjadikan dia makan hati. Tapi dia tahu dia tiada pilihan.

“Eh, tak pergi perpustakaan ke hari ni?”

Berderai lamunannya lalu menoleh. Dia tersengih seraya menggeleng. “Nak beli barang sikit.”

“Ohhh…” Syuhada mengangguk-angguk. “Eh, awak dah setuju nak jadi pengawas ek? Saya dengar permohonan awak tengah disemak. Mungkin tahun depan awak akan jadi pengawas.”

Farhah senyap mendengar. “Baguslah kalau macam tu.” Tenang jawapannya. Dia tidak mahu menjawab lebih, apatah lagi meluahkan rasa geramnya terhadap Azrul. Bimbang kalau-kalau perbualan mereka didengari lelaki itu. Selama beberapa bulan di sini, lelaki itu bagaikan CCTV. Ke mana saja dia pergi, lelaki itu pasti tahu. Jemu pula dirasakan kerana setiap hari perlu menghadap muka yang sama. Bosan!

“Okeylah. Saya nak bagitahu tu je.”

Lamunannya berderai lagi. Dia tersenyum tipis.

“Tak sabar nak bertugas dengan awak.” Syuhada ketawa kecil, penuh erti dan nakal. Farhah sekadar tersenyum tawar. Bila Syuhada berlalu, dia mengeluh. Hidupnya kini setiap masa berkisarkan Azrul. Azrul! Azrul! Azrul!

Anehnya, dia hanya dikuasai rasa geram dan marah bila di belakang lelaki itu. Bila Azrul muncul di hadapannya, dia terus terkaku, terkelu, terpanar dan terkesima. Langsung tak berkutik!

Itulah yang menjadikannya runsing. Entah apa jampi Azrul hingga dia terasa aura lelaki itu terlalu hebat.

Dia mengeluh lagi dan menggeleng-geleng. ‘Berat… berat…’

 

FARHAH hanya mengikut saja sewaktu ustazah memandu kereta menghala ke bengkel tempat Azrul berkerja. Sewaktu uminya itu memberhentikan kereta di hadapan bengkel, Azrul kelihatan sedang sibuk mengetuk-ngetuk dinding sebuah kereta. Lelaki itu menoleh. Kecil bukaan matanya melawan cahaya matahari yang terik. Bagaikan terganggu perhatiannya pada kerja.

Kemudian, kelihatan Azrul memanggil seseorang sebelum anggota Geng Si Yoi yang lain menoleh sama ke arah mereka. Pejai yang tadinya mengepam tayar motor terus mengangkat tangannya tinggi separas kepala. Wajahnya yang dibakar cahaya matahari dilindungi. Berkerut dahi masing-masing. Barangkali mereka cuba mengenal pasti pemilik kereta itu.

“Farhah tunggu sini kejap.” Sapaan ustazah mematikan lamunan Farhah lalu menoleh. Farhah segera mengangguk. Ustazah keluar. Dari dalam kereta, Farhah melihat Antoi yang berada di luar bengkel mendapatkan ustazah. Mereka berbual-bual seketika. Sesekali kelihatan Antoi menoleh ke arah kereta. Bagaikan cuba memahami apa yang diperkatakan ustazah.

Kemudian, Antoi mengekori ustazah ke kereta. Farhah terus senyap, membatu di sebelah tempat pemandu. Penutup boot hadapan kereta diangkat tinggi, melindungi pandangan Farhah.

“Saya tak pandai sangat pasal benda ni.” Sayup-sayup suara Antoi. “Yoi tahulah. Yoi!” laungnya. “Yoi!”

“Haaa?”

“Sini kejap!”

Senyap seketika.

“Apahal?” Suara Azrul kedengaran berhampiran kereta. Farhah segera mengunci pendengaran. Enggan dia biarkan anak telinganya mendengar lagi suara yang dibenci itu. Lantas dia capai sebuah majalah dari dalam dashboard dan bersungguh memberi tumpuan pada pembacaan.

Tiba-tiba cermin tingkap di sebelahnya diketuk. Dia terkejut lalu menoleh. Azrul yang berwajah serius mengarah dengan tangan agar keluar. Dia hanya akur.

“Mengada-ngada! Orang nak repair kereta, dia sibuk-sibuk nak membaca.” Suara Azrul yang tegang itu kedengaran perlahan sewaktu kaki Farhah mencecah tar. Farhah senyap dan hanya tercegat di situ. Azrul melangkah semula ke arah Antoi dan ustazah. Farhah memerhati sewaktu Azrul menyentuh-nyentuh isi di dalam boot itu. Senyap saja lelaki itu bersama wajah yang kekal serius.

“Siap dah?” Ustazah bagaikan terkejut, membuatkan Farhah tersedar. Entah berapa lama dia memerhati Azrul. Serentak anak matanya bertembung dengan pandangan tajam lelaki itu. Dia segera melarikan pandangan.

“Sikit je, bukannya masalah banyak pun.” Ringkas jawapan Azrul lalu mengalih pandangan dari Farhah. Boot ditutup semula. “Cuba hidupkan.”

Ustazah angguk lalu masuk ke dalam kereta. Semakin terserlah riak kekaguman di wajahnya sebaik enjin kereta dihidupkan. Ustazah keluar semula.

“Berapa harganya ni?”

Azrul tersengih sinis. “Bukannya masalah apa pun.”

“Eh, tapi saya dah ambik masa awak!”

“Alah! Seminit dua je.” Sejurus mengucapkan, Azrul terus meninggalkan tempat itu.

Ustazah terdiam. Bila Antoi juga mahu berlalu, ustazah segera menahan. “Nah ambik ni, saguhati.”

Berkerut dahi Antoi. Namun sesaat kemudian tersengih sumbing. “Rezeki jangan ditolak ye tak?” Lantas sebaik menyambut pemberian ustazah, Antoi juga berlalu. Ustazah dan Farhah berbalas pandangan untuk sesaat. Namun Farhah tidak langsung mempamerkan reaksi. Ustazah menjungkitkan bahu akhirnya sebelum masuk ke dalam kereta.

“Dahsyat betul Azrul. Sentuh sikit-sikit je terus baik!” ucapnya sebaik kedua-dua mereka sudah berada di dalam kereta.

Namun Farhah senyap cuma. Anak matanya berpusat pada Azrul yang sudah kembali memberi tumpuan pada kerja. Gadis itu tenggelam di alam sendiri, membuatkan ustazah tersenyum meleret. Dia tahu, Farhah juga kekaguman hingga terkelu begitu. Kini dia berjaya sampaikan pada anak gadisnya itu, bahawa Azrul tidaklah sejelek yang disangka.

Perlahan-lahan, ustazah memandu kereta keluar dari kawasan bengkel. Azrul memberhentikan kerjanya sesaat kemudian. “Toi!” laungnya.

Antoi menoleh. “Apa?”

“Orang tua tu kasi apa tadi?”

Berubah wajah Antoi, kehampaan. “Alah, rilek la bro! Sekali sekala nak jugak santap lebih sikit!”

“Woi, tak rock la makan gaji buta!” Pejai tiba-tiba mencelah.

“Entah! Kasi malu tujuh keturunan tau!” Poji pula menambah.

“Aduh…” Penuh malas Antoi bingkas. Meja tauke Dol dihampiri, lalu sekeping not sepuluh ringgit diletakkan di situ.

Tanpa mereka sedari, ustazah sedang memerhati gerak-geri mereka dari jauh. Ustazah tersenyum sendiri. Azrul dan rakan-rakannya tidak menerima pemberiannya. Itu bererti anak-anak muda itu bukan tagihkan wang, sebaliknya kepuasan. Boleh jadi mereka bermasalah di sekolah lantaran tiada ‘jiwa’ untuk belajar teori. Mereka lebih menghayati kerja-kerja teknikal. Lantas kini, ustazah tahu. Dia tidak perlu memberi nasihat panjang lebar, kerana dia telahpun menemui jalan yang lebih memberi jaminan.

Ustazah semakin tersenyum. Puas hati.

0 861 komen:

Post a Comment

Assalamualaikum. Hai!
Terima kasih baca.
Cer komen sikit?

.

.