Monday, 25 March 2013

Hati Yang Kau Sentuh Bab 2


MASUK ke dalam kelas melalui pintu belakang, dia lemparkan beg yang kempis ke atas meja. Kemudian dia berbongkok memeriksa lacinya. Diseluk tangan dan mengeluarkan segala kertas yang memenuhi ruang kecil itu. Dia letakkan atas meja. Satu persatu ditolak ke tepi. Kemudian dia tersenyum sinis. ‘Dua puluh tiga orang yang merayu untuk hari ni.‘

Dia terus duduk di kerusi, bersandar. Salah satu sampul dikoyak, isinya dikeluarkan. Sebelum membuka lipatan, dia jauhkan sedikit kertas itu daripada dirinya. Seperti yang telah dijangka, terbuka saja lipatan, terus terjatuh serbuk-serbuk bedak yang berbau harum ke lantai. Azrul sudah lali dengan perkara itu lantas dibacanya isi surat.

 

Hai, saya tahu abang tak kenal saya. Tapi saya antara orang yang setiap masa ambil tahu tentang perkembangan abang. Apapun, abang boleh panggil saya Gadis Bunga…

Ermmm… Abang Yoi, saya tahu abang ada ramai peminat. Tapi abang tak pernah layan diorang tu semua. Saya tahu, abang tengah cari seseorang yang paling sepadan dengan abang kan?

Hurmm… saya tahu jugak, walaupun abang ketua Geng Si Yoi, tapi perwatakan abang yang misteri tu dah buatkan ramai gadis terjatuh hati… (termasuklah saya…)

Walaupun abang tak pernah pakai minyak rambut dan kadang-kadang orang tuduh abang selekeh, tapi itulah kekuatan abang. Muka abang macam orang Cina. Chinese look. Abang ni kacukan ek? Kalau pakai cermin mata mesti lagi handsome.

Abang jugak sangat romantik sebenarnya, saya tahu. Sebab dulu abang pernah buli saya. Waktu tu saya takut dengan abang, tapi lama-lama bila teringat balik cara abang bercakap… saya tak boleh tipu perasaan saya.

Besar harapan saya supaya abang boleh terima saya. Kalau abang tak nak orang lain tahu pasal hubungan kita, tak apa. Saya boleh rahsiakan. Asalkan abang sudi terima saya…

Balaslah surat ni kalau abang sudi. Saya tunggu. Letakkan je dalam laci meja paling dekat dengan pintu Kelas 2 Amanah.

Gadis Bunga.

 

Tersungging senyuman sinis di bibir Azrul. Setiap hari dia menerima surat yang hampir sama isinya. Ada waktu hampir penuh laci mejanya, dan itu membuatkannya semakin geli hati. Dia menggeleng-geleng, cuba menahan tawa yang hampir meletus. Ingatkan bila dia sudah semakin ekstream dalam dunia gengster ini, tiada siapa yang mahukan lagi dirinya tapi rupanya meleset.

Dia tidak pernah terfikir untuk mengambil mana-mana gadis sebagai teman wanita. Gadis-gadis itu semua dibuli hanya kerana dia mahu melihat tangisan mereka. Air mata yang berjaya dia titiskan jadi lambang kemegahannya. Dia tidak perlu gunakan kekerasan terhadap gadis-gadis itu. Cukup dengan kata-kata, mereka akan mengaku kalah di hadapannya. Kehebatan itu jugalah yang membuatkan guru-guru mati akal untuk menangani mereka. Namun dia bangga. Bangga kerana caranya dalam menguasai tempat ini amat jauh berbeza daripada kumpulan-kumpulan lain yang biasa menggunakan kekerasan, pukulan dan sebagainya. Dia menggunakan aset yang ada pada dirinya, bukan cuma perasan bagus.

Apapun, tidak pernah langsung niatnya dalam membuli itu untuk mencuri hati. Tangannya tidak pernah menyentuh walau seinci pun kulit mana-mana gadis. Kerana dia cuma mencari ketakutan dalam hati gadis-gadis itu. Lantas untuk mengambil mereka sebagai teman lagilah dia tidak mahu. Remeh dan bakal menyusahkan dirinya. Kelebihan rupa paras yang dimilik ada waktu dirasakan menyusahkan pula. Dia rimas diganggu begini.

‘Buatnya termengandung anak orang tu, lagi menyusahkan! Nak kena naik turun mahkamah segala, lari ke sana sini. Baik tak payah!’

Baginya, apa yang sedang ‘diperjuangkan’ oleh empayar yang dimilikinya kini sudah cukup baik. Dia tidak perlukan gadis-gadis itu semua. Jika dia bermasalah di sekolah lantaran membuli dan ponteng, paling keras tindakan yang bakal dia hadapi hanyalah rotan atau buang sekolah. Tidak seteruk membuntingkan para gadis. Jadi, istilah berteman wanita merupakan keharaman yang dia tetapkan pada setiap anggota kumpulannya.

Sampul-sampul yang bertimbun atas meja dia kaut. Semuanya dihumban ke dalam tong sampah. Dia tidak perlu membaca banyak, kerana isinya sama saja. Buang masa jika terus membaca.

 

USTAZAH kasihan melihat Farhah yang semakin kerap termenung. Terasa bersalah pula kerana menukarkan anaknya ke sekolah itu. Sedangkan Farhah sudah cukup tenteram di sekolah lamanya.

Tapi dia bukan sengaja. Dia terpaksa kerana mengikut Encik Fauzi yang bertukar tempat kerja. Dia tidak betah meninggalkan Farhah sendirian di sekolah lamanya. Farhah anak tunggal yang manja. Sentiasa di sisinya dalam setiap perkara. Lantas bila berlakunya perkara sebegini, dia risau.

Borang permohonan di atas meja belajar diambilnya. Masih bersih kertas itu, membuatkannya menoleh ke arah Farhah. “Farhah betul-betul menolak tawaran ni?”

Farhah yang duduk di birai katil bagaikan tersedar. “Ha?”

Ustazah tersenyum. Ditunjukkan surat di tangannya. “Tak nak isi?”

Farhah terdiam sesaat. “Tadi Azrul jumpa Farhah.” Perlahan.

Giliran ustazah pula terdiam. “Dia buat apa pada Farhah?”

“Dia tak buat apa-apa. Tapi Farhah tahu, dia akan semakin teruk kerjakan Farhah kalau Farhah jadi pengawas. Kalau tak boleh dalam sekolah, dia buat kat luar.”

Ustazah terdiam lagi. “Dia cakap macam tu?”

Farhah menggeleng sambil tunduk memandang karpet. “Dia cakap baik-baik tadi. Tapi Farhah tahu, dia akan berkeras kalau Farhah tak ikut apa yang dia nak.”

“Kan Farhah tak keluar dari kawasan sekolah kecuali dengan umi?” Ustazah cuba menenangkan.

Farhah diam, kelihatan masih dikuasai kegelisahan. “Farhah tak nak jadi pengawas, umi…” Dia menerangkan isi hati sebenar. Akhirnya, perlahan-lahan mengalir air jernih dari tubir mata. Dia sudah tidak sanggup lagi ditekan. Tumpuannya terhadap pelajaran semakin terganggu dan dia benar-benar risau. Jika ustazah juga tidak mahu memahami gejolak jiwanya, dia tidak tahu lagi apa jalannya.

Ustazah terdiam. Hatinya tersentuh. Serentak itu, dia mula memikirkan tawaran yang sedang menanti persetujuannya. Pihak sekolah mahu menyerahkan Azrul di bawah kawalannya. Mereka bukan mahu mengambil kesempatan, sebaliknya mereka kasihan pada Encik Roslan yang terlalu banyak menguruskan masalah disiplin pelajar. Perihal Azrul semakin membebankan, kerana Azrul terlalu unik berbanding murid lain.

Ustazah tahu, dia hanya akan berdepan risiko jika menerima tawaran itu. Tapi dia tidak mahu membiarkan Farhah rasa keseorangan. Masalah disiplin Azrul berkait rapat dengan anak gadisnya itu.

‘Patut ke aku terima?’

 

PAGI Isnin itu, Azrul senyap-senyap masuk ke kelas Empat Sains Tulen ketika semua pelajar berada di tapak perhimpunan. Dia cepat-cepat mencari tempat Farhah, memasukkan sesuatu ke dalam bekas pensel gadis itu dan berlalu sesudah itu. Kemudian dia keluar dari kawasan sekolah melalui lubang bawah pagar.

Tidak lama kemudian, perhimpunan bersurai. Masing-masing masuk ke kelas kerana ujian bulanan bakal dimulakan pada pagi itu. Farhah mengambil tempatnya dan mengeluarkan bekas pensel dari beg. Ketika itu kertas soalan mula diedarkan.

‘Basah?’ detik hati. Namun dia tidak memikirkan apa-apa dan terus menarik zip. Kertas soalan di atas mejanya dibaca sambil sebelah tangan menyeluk bekas pensel. Dia tersentak bila tiba-tiba terasa sesuatu yang melekit dan dingin melekat di jari-jarinya. Pantas dia keluarkan tangan.

“Uwerkkk!!!”

Serta-merta kelas itu bertukar suasana. Masing-masing terkejut. Ada yang membuat andaian buruk, ada juga yang terus meninggalkan tempat duduk dan menyerbu Farhah.

“Eiii… apa ni!” Syuhada memegang pergelangan tangan Farhah. Farhah sendiri tidak sanggup membiarkan lendir itu berada di telapak tangannya. Kembang tekaknya.

“Apahal ni?” Puan Ida menyoal.

Syuhada menoleh. Bekas pensel milik Farhah dicapai dan ditelungkupkan. Bertaburan isi-isinya yang bersalut lendir sebelum jatuh seekor siput babi.

“Yerkkk!!!” pekik pelajar perempuan automatik menjauhi tempat itu. Geli geleman.

“Tak apa, tak apa. Awak semua balik ke tempat masing-masing.” Puan Ida tegas memberi arahan. Mereka akur.

“Pergi cuci tangan tu, Farhah. Temankan Farhah, Syu. Bawa sekali pencil box ni.”

Syuhada menoleh. “Tangguhkan masa kitorang, eh?”

Puan Ida mengangguk. Serius. Sebaik Farhah dan Syuhada berlalu, dia kembali ke meja guru. Dia seakan dapat mengagak kerja siapa semua ini, namun terpaksa menahan dari menuduh. Dia tiada bukti, dan bukan Azrul saja yang bermasalah di sekolah ini.

Sementara itu, Azrul yang sedang bertinggung di dalam semak di luar pagar sekolah akhirnya tertawa mengekeh. Dia benar-benar puas kali ini. Jelas, dia bersendirian pun mampu melaksanakan kerja. Bahkan jauh lebih sempurna. Betapa senang hatinya mendengar jeritan murid perempuan dan kekecohan dari kelas Empat Sains Tulen. Memang inilah yang dia mahukan selama ini.

 

TIDAK sanggup untuk menggenggam batang pen. Bagaikan terasa-rasa lagi lendir siput babi di tangannya. Tekak yang loya dan menolak-nolak isi perut semakin mengganggu tumpuan. Tangannya menggigil-gigil untuk menekan kalkulator dan menulis. Dia hampir menangis gara-gara gagal menjawab soalan dalam kertas putih itu.

Pulang saja ke rumah, dia terus mengunci diri. Ustazah terdiam. Dia faham apa yang sedang dirasai anak gadisnya itu. Puan Ida sendiri memaklumkan perkara itu padanya tadi. Itu membuatkannya semakin kasihan terhadap Farhah.

Pintu bilik Farhah diketuk. “Farhah…” panggilnya lembut. Namun tiada jawapan. “Farhah, tolong bukak pintu ni sayang. Umi nak masuk…”

Senyap juga. Ustazah mengambil keputusan untuk menanti. Tidak lama kemudian, pintu terkuak dari dalam. Anak matanya terpandang wajah Farhah yang merah. Dia tahu, tadi Farhah menangis dan sekarang cuba melindungi perkara itu daripada pengetahuannya. Dia usap lembut kepala Farhah lalu tersenyum. Dibawa Farhah masuk semula ke dalam bilik.

Farhah didudukkan di birai katil. Ustazah bertinggung di hadapan gadis itu. Wajah Farhah ditatap lembut. “Azrul buli Farhah lagi ya?”

Tidak semena-mena berderai air mata Farhah. “Farhah nak tukar sekolah, umi…” Terungkap perlahan dalam nada sebak berbaur rayuan.

Ustazah tersenyum. Air mata Farhah diseka penuh kasih. “Tak mahulah macam ni…”

“Tapi Azrul makin kacau Farhah,” tekannya.

“Dia nak berkawan dengan Farhah tu…”

Farhah bisu, tidak bersetuju. ‘Kenapalah umi ni tak nak cuba faham!’ bentak hatinya.

Ustazah tersenyum juga. “Umi ada dengar dari cikgu-cikgu lain. Sebelum ni, Azrul tak pernah kacau orang yang sama untuk masa yang lama.”

“Tapi dia buat macam tu pada Farhah!” tekan Farhah lagi.

“Kan? Bukan ke itu tanda dia nak berkawan?”

Farhah diam, semakin menangis. “Farhah dah tak reti nak bersangka baik lagi, umi…” rintihnya.

Ustazah senyap sesaat. “Cikgu Roslan jangka, esok Azrul akan ponteng. Kalau dia dapat tangkap, umi akan bagi kaunseling pada Azrul. Nanti kita bincang baik-baik dengan dia ya?”

“Farhah tak nak sekolah kat situ dah, umi… Tolonglah tukarkan Farhah…”

Ustazah mengusap-usap kepala Farhah. “Sabarlah sikit. Siapa tahu, Azrul akan berubah kalau kita berlembut dengan dia…”

Farhah tidak mampu lagi melawan. Dia tahu, semakin dia mendesak, semakin terseksa hatinya. Ustazah tidak mahu langsung membelanya. Sedangkan selama ini uminya itulah tempat dia berkongsi rahsia.

Ustazah mengusap lagi kepala Farhah. “Kita jumpa dia esok.”

 

“FARHAH?”

Farhah menoleh. Ustazah mengangguk penuh erti. Farhah hanya diam. Dia akur dan mengekori ustazah ke bilik kaunseling, tidak tahu apa yang sebenarnya difikirkan wanita itu. Ustazah sudah berubah sedikit sekarang. Tidak seperti dahulu yang amat mudah bertimbang rasa dengannya. Kini, ustazah bagaikan lebih membela Azrul berbanding anak sendiri.

Farhah mengeluh dalam diam.

 

‘TINGKAP… bucu meja… bingkai gambar… Itu aje yang dia pandang. Dia dengar ke tak apa yang aku cakap ni?’ Hati kecilnya bersoal-soal sendiri. Azrul bagaikan tidak langsung endah terhadap patah kata yang dilontarkannya.

“Saya ada satu rahsia nak kongsikan dengan awak. Biasanya, untuk sempurnakan kebaikan kita pada orang tua, kita kena selalu dekat dengan diorang. Cuba awak salam mak ayah awak sebelum datang sekolah, Azrul. Saya berani jamin, hidup awak akan jadi lebih baik lepas ni.”

Senyap sunyi bilik kaunseling itu. Azrul masih begitu, tidak langsung mempamer sebarang reaksi. Hangat juga hati ustazah bila diperlakukan sedemikian rupa. Bagaikan tunggul saja.

“Mak awak kerja apa, Azrul?” Ustazah mengubah cara. Fikirnya, dengan menyoal akan mampu mewujudkan perbincangan dua hala. Namun bila Azrul dilihat mengembung-kecutkan pipi, ustazah mula terasa geram. Serta-merta akal memberi peringatan. Ustazah segera mengawal hati. ‘Astaghfirullah, sabar Lia… Sabar…’

Ustazah tersenyum lagi walaupun sudah mula terasa kelatnya. Dia tidak pasti, setahap mana kesabarannya berbaki. Anak itu bagaikan sengaja mencabar, seperti yang diberitahu Encik Roslan. Kini bila dia pula yang terpaksa berdepan situasi itu, baru dia tahu betapa sukarnya bertindak bila hati mula dikuasai rasa marah.

“Awak dengar tak soalan saya, Azrul?” Dia masih cuba berlembut namun nyata, nada tegang sudah mula kedengaran dalam suaranya. Jika Azrul terus berlagak selamba, dia tidak pasti berapa banyak pula kesabarannya yang bakal terhakis.

Seperti yang dijangka, Azrul masih dengan dunia sendiri. Bahkan mula bermain-main dengan batang pensel sambil sesekali mengeluh dan menggeleng-geleng. Bagai memperlekeh ustazah yang hampir terjegil biji mata memerhati.

Ustazah mengetap gigi lalu menghela nafas dalam. Gelengan kecil dizahirkan seraya berkata, “kalau macam inilah sikap awak, saya betul-betul kesian pada orang tua awak. Sia-sia mak ayah berhabis duit, berhabis tenaga membesarkan awak. Tapi hasilnya? Sikitpun awak tak fikirkan kesusahan tu, Azrul!”

Senyap. Azrul terus bermain batang pensel, semakin memarakkan api di hati ustazah.

“Saya tahu kebanyakan pelajar kat sini, berlatarbelakangkan ekonomi keluarga yang sangat rendah. Itu buatkan saya bertambah kesian fikirkan orang tua awak, Azrul. Awak tahu tak, dekat luar sana ramai lagi manusia yang bercita-cita untuk bersekolah? Tapi diorang tu semua tak mampu sebab nasib diorang lebih teruk. Awak yang bernasib baik ni, cubalah menghargai. Itu pun tak boleh?”

Senyap. Azrul menggaru-garu pula telinganya bersama-sama decitan dan keluhan kemalasan, bagaikan memberi isyarat bosan dileter.

“Azrul, awak dengar tak ni?” Tegang suara ustazah. Namun Azrul tetap juga bermain dengan pensel di tangannya. Gagal untuk menahan lagi hati, ustazah akhirnya bangkit dan merampas batang pensel dari tangan Azrul.

“Hei, dengar tak ni!” Dihempas kasar pensel ke meja. Berapi pandangannya pada Azrul yang masih berlagak santai itu. Semakin geram bila anak muda itu mula mengukir senyuman sinis.

“Apa yang ada dalam fikirkan awak tu? Keseronokan? Benci belajar? Bagitahu saya sekarang! Apa dia!” bentaknya.

Azrul mengeluh sambil tersenyum sinis. “Aku yang jahat ni pun boleh lagi tahan marah.”

Ustazah menjegil biji mata. Rasa terhina. Azrul ketawa kecil bernada sindiran. “Konon baik sangatlah… Kalau tak tahu, jangan berlagak pandailah.”

“Awak sedar tak apa yang awak katakan, Azrul?”

Azrul menggaru-garu belakang telinganya dan ketawa lagi. “Haihhh… sudahlah… Tak payah nak hipokrit depan manusia lain.”

Ustazah terdiam sakit hati. Sedikit turun naik nafasnya.

“Teruskanlah. Aku tahu gelaran tu memang topeng korang.”

Bagaikan ditampar rasanya mendengar kata-kata itu. “Keluar sekarang.”

Azrul bingkas dari kerusi. Kemudian tersenyum sinis lagi. “Terima kasih buangkan masa untuk pekakkan telinga.” Sejurus mengucapkan, Azrul pantas keluar dari bilik kaunseling. Hampir saja tubuhnya terlanggar Farhah yang tidak menyedari kemunculannya. “Tepilah, woi!!!” tengkingnya.

Farhah tersentak, spontan menoleh. Serta-merta kakinya berundur dan tertunduk. Azrul segera menyarung kasutnya. ‘Gila! Aku dah lambat ni!’

Setelah hilang sekujur tubuh Azrul dari pandangan, baru Farhah memberanikan diri mengangkat kepala. Kemudian dia memandang ustazah yang sedang mengunci pintu. Wanita itu bagaikan sedang memendam rasa.

“Macam mana, umi?”

Ustazah membalas pandangan Farhah. Hampir saja dia lepaskan keluhan, namun segera ditahan. Dia tersenyum. “Kita boleh usahakan lagi.” Tenang ucapnya untuk menenangkan hati Farhah.

Farhah membisu. Dia tahu, ada sesuatu yang sedang disembunyikan ustazah. Bukan dia tidak dengar tengkingan ustazah di dalam bilik kaunseling tadi. Setahunya, uminya jadi begitu jika hati benar-benar telah hilang sabar. Boleh jadi Azrul menyusahkan uminya itu pula. Dia terasa masalah dihadapi mereka semakin berat. Akhirnya dia lepaskan keluhan.

0 861 komen:

Post a Comment

Assalamualaikum. Hai!
Terima kasih baca.
Cer komen sikit?

.

.