Friday, 5 February 2016

Scarlet Cinta Raya (Bahagian Akhir)

~ Bab 5 ~


MALAM itu setelah selesai solat isyak, dia hampiri aku yang sedang bersiap-siap di bilik.


“Sya, abang keluar kejap.”


Terhenti pergerakanku menyarung jam pada pergelangan tangan. Dalam rasa bingung aku berpusing, menghadap dirinya. “Abang nak pergi mana?” Perlahan suara.


Sememangnya aku masih belum mampu mengembalikan kemesraan terhadapnya. Masih terkesan dengan perselisihan semalam.


“Kita kan dah nak bertolak?”


Soalan itu membuatkan dia tersenyum penuh erti. Tenang dia raih jari-jemariku. Menggenggamnya kemas dan menarikku lebih hampir ke arahnya.


Aku yang tak mengerti apa-apa hanya akur.


Dia rangkul pinggangku. Kucup dahiku sebelum kemudiannya dia temukan anak mata denganku. “Sekejap aje, sayang.” Perlahan berbisik.


Aku membisu, sedikit bingung dengan kelainan sikapnya saat ini. Bagai ada sesuatu di benaknya. “Abang nak pergi mana?” Kusoal lagi. Masih perlahan suara.


Dia diam. Aku dapat menangkap riak teragak-agak di matanya. Tapi dia segera melindunginya dengan senyuman di bibir.


“Isya tunggu abang. Mmm?” Tak langsung dijawabnya pertanyaanku, membuatkan aku kecewa.


Susah sangat agaknya berterus-terang.


“Boleh?” soalnya lagi. Jelas nada mengharap di situ. Membuatkan aku bertambah yakin pada kata hati.


Ya, sememangnya ada sesuatu yang dia cuba rahsiakan.


Makin kuat rasa ingin tahu tapi segera kutahan dari bertanya lagi.


Jika dia anggap aku ini isteri yang layak mendengar isi hatinya, dia sendiri yang akan terlebih dahulu menceritakan. Tak perlu kutanya-tanya apalagi mendesak. Tak perlu terhegeh-hegeh.


Mahu tak mahu aku mengangguk saja. Mengalah dalam rasa jauh hati.


Dia tersenyum semula. Bagaikan lega. Mendarat lagi kucupan, kali ini di pipiku. “Thanks, sayang.”


Aku cuma tersenyum hambar.




WAKTU terus berlalu. Anak-anak yang riuh di laman sudah mula penat. Masing-masing bersurai. Tinggal beberapa orang saja yang terus bermain. Kesibukan beralih ke dalam rumah. Di ruang tamu dan di dapur.


Tapi Shah tak juga menunjukkan tanda untuk pulang. Entah di mana dia sekarang. Dia keluar atas tujuan apa pun aku tak tahu. Yang aku tahu, Khairul menemaninya. Itu pun sebab tadi aku menghantar pemergiannya melalui tingkap bilik.


Sampai sekarang, kedua-dua sepupu itu senyap. SMSku tak dibalas, panggilan tak dijawab. Resah aku dibuatnya. Perasaan untuk pulang ke kampung pun sudah mula tawar.


Entah apa yang berlaku sebenarnya.




LAMUNANKU berderai bila terdengar pintu bilik dikuak dari luar. Seseorang melangkah masuk ke bilik ini. Tapi aku tidak sedikit pun menoleh. Terus juga berdiri menghadap tingkap yang terbuka luas.


Aku tahu, Shah yang sedang menghampiriku. Tadi aku melihat keretanya memasuki perkarangan rumah.


Terasa pinggangku dirangkul dari arah belakang. Kemas, serentak nafas hangatnya menampar pipiku. “Sorry, sayang.” Lembut bisikannya.


Aku senyap, masih tak menoleh. Cuma tersenyum pahit.


Maaf. Mudah saja bayaran untuk semua rasa risau yang kutanggung sejak tadi.


Dia kemaskan rangkulan. Seperti bersungguh mahu sampaikan rasa bersalah di hatinya. “Tadi abang ada hal sikit.”


Kulepaskan nafas dalam, cuba sabarkan hati. “Isya call abang tadi.” Datar.


Dapat kurasa dia tersenyum dan mengangguk sedikit. “Tahu.”


“Kenapa tak angkat?”


Dia tak segera menjawab sebaliknya makin tersenyum. Penuh erti. “Memang Isya tengah marahkan abanglah ni?”


Aku senyap kali ini, enggan menjawab. Dia boleh faham sendiri semuanya, aku tahu.


Dia kemaskan lagi rangkulan. Kucup pipiku. “Kalau dah siap semua, kita...”


“Tak payahlah,” pintasku.


Dia terdiam.


Kuleraikan pelukan di pinggang. Berpusing menghadap dirinya, tapi tak langsung balas pandangannya. “Dah jauh malam ni. Abang pun mesti dah letih.”


Dia diam.


Tanpa menanti persetujuan, aku segera capai tangan kanannya. Mahu tanggalkan jam tangannya, tanda aku benar-benar nekad dengan keputusanku.


Tapi terhenti pergerakan sebaik terpandang telapak tangannya yang berbalut.


Dia tercedera?


Kuangkat kepala. Dia senyap. Faham maksud pandanganku, tapi tiada sebarang jawapan meluncur dari bibirnya.


“Kenapa tangan ni?” Terpaksa juga aku bersuara. Mula rasa ada yang tak kena. Dan bila dia nampak seperti enggan menjawab, aku jadi bertambah yakin. “Accident ke tadi? Dengan apa?”


Dia menggeleng. Ada senyuman kecil di bibir. “Ada kerja sikit.”


“Kerja apa?” Laju memintas. Dalam masa yang sama aku semakin cuba mengawal hati yang mahu meletup.


Makin tak mampu bersabar dengan sikapnya yang terlalu berahsia.


Dia tersenyum lagi sambil melepaskan sebuah dengusan halus. Berkalih untuk pergi. Jelas, dia sengaja melindungi perkara sebenar. “Dahlah, Sya. Jauh malam dah ni.”


Musnah kesabaranku tika itu juga. Pantas kutarik tangannya. “Abang! Isya...” Terhenti bila dia tiba-tiba menautkan bibir denganku.


Aku terpanar. Bertemu pandangan kami. Anak matanya menghantar isyarat menggoda, membuatkan seluruh tubuhku berbahang.


Terlerai kucupan sesaat kemudian. Mekar senyuman nakal di bibirnya. “Rindu lagi?” Penuh erti.


Bertambah hangat wajahku. Lesap segala keberanian tapi segera kulawan. Kutajamkan renungan.


“Mmm?” Dia hampirkan semula wajah padaku.


Aku gelabah. Cepat-cepat berpaling. “Tak payahlah!”


Ekor mata melihat dia tersenyum semakin nakal, merai kemenangan. Membuatkan aku makin tak betah untuk berada lagi di sini. Tapi sebelum sempat aku berlalu, tangannya sudah terlebih dahulu berlingkar di pinggangku. Kemas, bagai tahu isi benakku.


Aku semakin tak keruan. Semakin berwaspada dengan sebarang ‘serangan’.


Senyap antara kami. Dia menatapku, tapi aku tetap juga melempar pandangan ke arah lain.


Beberapa ketika begitu, akhirnya dia mendengus kecil. Halus nafas hangat menampar wajahku. Dia kemaskan rangkulan. “Kenapa marah sangat ni...”


Aku membisu. Hati masih berbahang dengan sikapnya.


Dia elus wajahku. “Mmm?”


Merasakan dia sedang memberi ruang, aku beranikan diri melawan pandangannya. “Abang keluar, tapi Isya tak tahu abang pergi mana.” Serius. “Dah jauh malam macam ni baru balik. Isya call pun abang tak jawab. Siapa yang tak risau?”


Dia berhenti mengelus wajahku. Tersenyum. “Itu aje?”


Hangat hatiku dengan respons sebegitu. Rasa diperlekeh. “Tangan abang luka teruk, kan? Tapi bila Isya tanya, abang tak nak jawab jugak.”


Dia tak menjawab.


“Sekarang ni Isya dah tak layak tahu apa-apa pasal abang. Macam tu sebenarnya, kan?”


Mekar senyuman di bibirnya. Langsung tak anggap penting kerisauanku.


Bertambah sakit hati dibuatnya. “Abang!”


Semakin jelas riak nakal di wajahnya. “Bahagianya rasa bila ada orang sayang...” Dalam suara.


Aku terdiam. Berbahang semula wajah. Lebih-lebih lagi bila menyedari diri telah terperangkap.


Akhirnya tercetus tawa halus di bibirnya. Tanda aku sudah tewas dengan dugaan ciptaannya.


Hinggap sebuah kucupan di dahiku. “Abang okey aje ni. Tak payah risau apa-apa.”


Aku masih tak puas hati. “Tapi tangan abang...” Terbantut kata bila dia mahu menautkan semula bibir denganku. Aku makin tak puas hati, segera tentang pandangannya.


Dia tersenyum nakal. “Abang tengah letih ni. Kalau Isya melawan lagi, abang cium.”


Mendongkol hatiku lantas berpaling ke arah lain. Ekor mata melihat dia tersenyum. Puas agaknya dapat mendiamkan aku.


“Dah. Jom, jauh malam dah ni.” Serentak dia leraikan rangkulan.


Aku tak peduli.


Dia melangkah ke arah bagasi di hujung bilik. “Kalau lambat sangat nanti takut mengantuk.”


Berkerut dahiku kali ini lantas menoleh.


Bertolak sekarang? Betah ke tak dia tu sebenarnya? Kalau dia tak kusutkan kepala aku ni tak sah gamaknya.


Bila dia mula membimbit bagasi ke pintu, aku terus juga tercegat di situ. Tak yakin, dalam masa yang sama makin tak faham dirinya.


Tadi kata penat, sampai tak mahu dengar lagi aku kata apa-apa. Tapi sekarang?


Permainan apa yang tengah dia langsungkan ni?


Terhenti tangannya yang mahu memulas tombol pintu lalu menoleh ke arahku. Angkat kening penuh nakal. “Nak abang cium lagi?”


Bertambah sakit hati aku!


Malas aku membantah lagi lantas beredar dari situ.


Terdengar tawa kemenangan darinya.


Ya, memang! Aku sajalah yang kalah!



~ BAB 6  ~

AKHIRNYA sampai ke sudah kami menyepi sesama sendiri. Ketika mula bertolak ke Georgetown pun aku membiarkan saja dia memasukkan barang-barang kami ke dalam kereta.


Memang, aku yang menjauhkan diri. Tidak lagi mahu terhegeh-hegeh terhadapnya.


Biarlah. Aku dah tak terlarat lagi melayan sikapnya.


Jika dia fikir berahsia itu lebih membahagiakan daripada berkongsi dengan aku, maka silakan saja. Aku takkan bersuara apa-apa lagi.




TIDAK jauh memandu, dia berhentikan kereta di bahu jalan.


Aku senyap. Terus juga lempar pandangan ke luar tingkap, melayan perasaan. Tak kupeduli suasana sawah padi yang gelap gelita di sebelahku.


Tiba-tiba pintu kereta di bahagianku terbuka. Aku mendongak.


Shah. Tenang dia sua tangan padaku. “Jom.”


Aku kebingungan. Teragak-agak bangkit dari sandaran tanpa mengalih mata darinya. “Nak pergi mana?”


Dia tersenyum nipis. “Pondok arwah nenek.”


Aku terdiam. Tengah-tengah malam begini?


Mahu kusuarakan rasa tak bersetuju. Tapi bila memikirkan hati akan sakit semula dengan kuasa veto yang bakal dia gunakan, terpaksa kutahan hasrat. Kusambut juga jari-jemarinya dan menapak keluar dari kereta.


Patuh saja pada segalanya walau hati sakit tak terkata.


Dia genggam kemas jari-jemariku. Mula melangkah. Aku mengikut. Bersama-samanya meniti batas sawah, di tengah malam yang berangin.


Semakin lama langkah kami semakin jauh ke tengah kawasan bendang. Suasana makin gelap. Hanya lampu suluh di tangan Shah yang memandu langkah kami. Angin pula bertiup makin galak. Kesejukan mula menggigit tubuhku.


Tiba-tiba Shah leraikan genggamannya pada jari-jemariku. Aku tertanya-tanya tapi belum sempat menoleh, tangannya sudah berlingkar di pinggangku. Aku terdiam.


Dia tarik aku semakin hampir dengan tubuhnya dan memelukku erat.


Aku terdiam lagi.


Dia usap-usap bahuku, kemudian mendaratkan sebuah kucupan di dahiku. Aku hanya membisu bila bertemu anak mata kami selepas itu.


“Sejuk?” Lembut suaranya.


Aku tak mampu menjawab.


Dia usap-usap lagi bahuku. Tersenyum kecil. “Dah tak jauh ni. Kita jalan sikit aje lagi, lepas tu sampailah.”


Aku diam juga.


Mendarat lagi kucupan di dahiku sebelum bertemu semula anak mata kami. Dia tersenyum kecil. Rangkul pinggangku dan berjalan semula kemudiannya. Seperti tadi, aku tetap juga mengikut.


Dalam diam, hati berbelah-bagi sesama sendiri.


Dia seolah cuba menghangatkan tubuhku. Seolah faham apa yang kurasa. Seolah setiap masa aku berada dalam perhatiannya. Tapi dalam masa yang sama, dia terlampau sukar menjawab setiap kali aku bertanya soal dirinya.


Dalam kebingungan itu, aku pandang wajahnya dari arah sisi.


Apa sebenarnya yang dia fikirkan...


Kenapa seaneh ini dirinya sekarang?




MENDARAT bibirnya di pipiku, membuatkan aku tersedar. Langkah kami sudah terhenti dan waktu ini dia sedang berdiri di hadapanku.


Jauh benar lamunanku tadi.


Kutemukan pandangan dengan Shah dan dia mengukirkan senyuman untukku.


Bergetar hatiku dengan senyuman itu tanpa kutahu puncanya.


“Termenung apa?” soalnya perlahan. Dalam suara, hampir kepada bisikan.


Aku tersenyum nipis untuk cuba menyorokkan rasa janggal yang tiba-tiba muncul dalam diri. Tunduk, menggeleng sedikit.


“Marahkan abang lagi?”


Soalan kali ini membuatkan aku segera menemukan semula anak mata dengannya. Dia sedang menatapku. Dalam. Jauh menembusi ruang mataku, dan aku tidak berupaya lagi melarikan pandangan.


Sungguh, aku tak tahu mengapa tiba-tiba saja aku jadi begini. Bagaikan tenggelam di dalam dunia romantis yang entah di mana hujungnya.


Barangkali suasana kawasan ini yang membuatkan aku rasa begini. Cahaya-cahaya api yang kekuningan tertumpah pada wajahnya. Sesekali terang, sesekali malap mengikut rentak tiupan angin malam. Membuatkan renungannya nampak luar biasa.


Sungguh, tak mampu kunafikan kecantikan cahaya api yang menerangi kami.


Eh... cahaya api?


Pantas aku menoleh dan terus terdiam.


Kami sedang berdiri berhadapan di tengah-tengah laman pondok, di bawah pokok kelapa yang berjuntai daunnya. Di sekeliling kami, cahaya-cahaya pelita sedang menerangi malam. Meliuk-lentok apinya ditiup angin. Aroma bendang pula meresap lembut ke dalam peparu bila kuhela nafas.


Hening...


Damai...


Terhenti anak mataku yang berlegar pada ukiran di dinding pondok. Berdasarkan sifatnya yang nampak segar, aku yakin tulisan itu masih baru dipahatkan di situ.







Aku terdiam.


Entah mengapa, seperti terhembus tiba-tiba rasa sebak ke dalam hatiku. Baru memahami maksud semua ini.


“Dah berapa hari Isya tidur dengan abang?” Terngiang-ngiang soalan darinya semalam.


Bererti ukiran di dinding itu memang ditujukan khas untuk pertemuan malam ini. Kerana dua Rejab merupakan tarikh kami disatukan.


Boleh jadi semalam dia sengaja menyoal aku begitu. Sengaja memberiku tanda.


Sayangnya, waktu itu aku tak langsung mengesyaki apa-apa. Disebabkan tarikh dalam kalendar Hijrah yang lebih singkat berbanding Masihi, aku jadi terlepas pandang pada seperkara ini.


Dalam rasa yang aku sendiri tak mampu tafsirkan, kubawa anak mata pada lelaki itu. Dia sedang menatapku dalam, entah sejak bila. Seakan-akan dia sedang meneliti tiap satu reaksiku setelah dibentangkan dengan perkara sebenar.


Sedikit sebanyak aku jadi teragak-agak untuk bersuara. “Semua ni...” Kugantung kata di situ, menanti pengesahan darinya.


Dia tak menjawab, membuatkan aku semakin yakin telahan hatiku. Kucapai tangan kanannya. Sentuh balutan di telapaknya tanpa sedikit pun mengalih mata dari wajahnya. Semakin mengharap. Dalam masa yang sama semakin mengerti, ada pemahamanku yang silap sepanjang dua hari ini. “Abang luka...” Terhenti sesaat. “Sebab siapkan semua ni?”


Dia tak juga menjawab. Tapi daripada sinar di ruang matanya, aku tahu segala telahanku benar belaka. Dan daripada riak sayu yang mula gagal dia sorokkan itu, aku tahu- sememangnya aku telah tersalah anggap terhadapnya.


“Abang...” Kutekan sedikit suara, cuba mendesak. Tapi tanpa mampu dikawal, air hangat bertakung di tubir mataku. Mula rasa berdosa.


Dia tak juga menjawab. Cuma tangannya yang mula memaut pinggangku. Dia tarik tubuhku semakin hampir pada dirinya. Aku akur. Mara setapak.


Semakin jauh tatapannya menembusi ruang mataku. “Kita raya kat sini tahun ni.” Benar-benar perlahan bisikannya. Mengulangi kata-kata yang dia ucapkan semalam. “Sebab ini tempatnya waktu mula-mula abang kenal Isya.”


“Kenapa abang tak terangkan dari awal?” Bergetar suaraku menahan sebak.


Dia senyap sesaat. Tersenyum nipis. “Sebab kejutan ni khas untuk isteri abang.”


“Tapi Isya dah salah faham...” Dengan kata-kata itu, merembas air hangat di pipi. Segera kujatuhkan wajah. Tak mampu membayangkan betapa terlukanya dia bila aku mencurigai dirinya.


Dia tenang mengukir senyuman. Lembut jemarinya menyapu air mataku. “Semua ni cuma rasa terima kasih. Sebab Isya tak pernah mengalah untuk terus hidup dengan abang.” Senyap sesat. Dia bagaikan sayu untuk mengungkapkan baris kata terakhir. “Terus sabar, walaupun dugaan untuk kita terlampau kuat, sayang.”


Tersiat-siat hatiku mendengarnya. Malu dan terhukum. Lebih-lebih lagi bila mengingati segala yang kami lalui sepanjang tiga bulan ini.


“Isya salah dengan abang...” Pecah esakan tanpa mampu kukawal.


Dia tersenyum lagi. Ditariknya tubuhku ke dalam dakapan. Hangat, tanda dia mengerti celaru yang mengusutkan benakku selama ini. “Janganlah menangis...”


“Tapi Isya dah tuduh abang bukan-bukan!” Berhamburan air mata.


Dia senyap. Diusap-usap lembut belakangku. Beberapa ketika kemudian, dia berbisik, “jangan ragu-ragu pada kasih sayang abang lagi, sayang,” Terselit riak rayuan di situ. Nyata, dia sememangnya terluka dengan prasangkaku semalam.


Bersusah-payah dia berusaha menyiapkan semua ini hingga tercedera. Cuma kerana mahu membuktikan ketulusannya.


Tapi aku? Apa yang aku balas?


Merembas lagi air mataku. Mengangguk dalam pilu.


Dia kucup pipiku, kemudian meleraikan dakapan. Aku mendongak sedikit, balas pandangannya.


Ada senyuman nipis di bibirnya. “Jadi sekarang ni Isya dah faham semua?”


Aku mengangguk dalam tangisan. “Faham...” Serak sedikit.


“Selain Isya, siapa lagi yang abang perlukan sebagai isteri?” Lembut.


Bergetar bibirku dengan soalan itu. Cuba kutahan dan menggeleng. “Tak ada...”


“Siapa Isya dalam hidup abang?”


Aku diam kali ini. Makin tak kuat menahan sebak.


Berbalas sesaat tatapan kami. Dia senyap, menanti.


Cuba kukuatkan diri. Lantas dengan satu nafas aku menjawab, “nyawa abang.” Tapi pecah juga esakanku akhirnya. Tak tertahan lagi.


Dia membisu.


Aku selindung bibir dengan belakang tangan, cuba kawal tangisan.


Sungguh, aku tak tahu apa caranya untuk menghilangkan rasa berdosa dari hatiku ini.


Dia tarik semula tubuhku ke dalam dakapannya. Kemas dan hangat.


Tapi entah mengapa, satu demi satu tindakannya ini membuatkan aku semakin tak sanggup.


Air mataku membasahi dadanya. Degup jantungnya bagaikan cuba memberitahuku soal hatinya yang sedang merintih pedih. Dan segala sakit yang dia rasakan itu disebabkan aku.


Dia usap-usap lembut belakangku. “Kemaafan abang selalu ada untuk Isya, sayang.”


Berhamburan lagi air mataku. Mengangguk pilu dalam pelukannya.


“Lagipun semalam abang pun ada salah juga.”


Aku tak membalas kali ini. Menagih penerangan.


“Semalam tempat ni tak siap apa pun lagi, padahal masa dah suntuk.” Terhenti lagi. Dia leraikan pelukan.


Aku angkat wajah, balas pandangannya. Menanti dia meneruskan, dalam masa yang sama cuba faham maksud tindakannya ini. Dan juga aku cuba menjangka, apa kesalahan yang dia maksudkan.


Dia seka air mataku. “Malam tadi abang cuba contact sesiapa yang ada kat rumah tu untuk mintak tolong. Tapi semua orang sibuk. Kak Mas pulak dah sibuk call-call abang, bertanya-tanya ke mana abang pergi. Adik Liza hilang malam tadi pun sebab dia sengaja nak umpan abang. Bila tahu hal sebenar, abang tertekan sampai tak sedar dah tinggikan suara pada Isya.” Dia diam sesaat, mengeluh halus. “Sudahnya terpaksa jugak abang mintak tolong Khairul untuk siapkan tempat ni.”


Berlegar-legar ingatanku pada situasi semalam dan pagi tadi- ketika dia sibuk berbalas SMS hingga aku rasa tersisih.


Selama ini Shah yang aku kenal memang teliti dan bersungguh dalam segala perkara. Tapi entah kenapa, malam tadi aku boleh tak terfikir kemungkinan itu. Hanya menurutkan hati yang cemburukan Liza.


“Tak salah pun bila Isya rasa tersisih macam tu,” tuturnya, bagai dapat membaca benakku.


Aku temukan semula anak mata dengannya.


“Boleh maafkan abang, sayang?”


Aku tersenyum mendengarnya. Terharu. “Semua yang abang buat ni pun dah buat Isya rasa malu. Niat abang baik, Isya je yang terlampau fikir bukan-bukan.”


Mekar senyuman di bibirnya. “Betul?”


Aku tersenyum lagi, kali ini bersama anggukan yakin. Kusapu sisa air mata di pipi.


“Jadi sila bayar.”


Aku terdiam. Lenyap serta-merta rasa terharu diganti kebingungan. “Mmm?”


Dia tersenyum juga, kali ini mula terlihat riak nakal di wajahnya. Penuh erti mengerlingku. “Well...” Mesra berbisik. “Malam tadi Isya tak tunaikan janji...”


Berderau darahku lantas kutampar dadanya. “Abang!”


Semakin nakal senyuman di bibirnya, membuatkan aku hilang keruan.


Pura-pura kuseriuskan wajah. “Sekarang pun nak cakap pasal tu jugak ke?”


Dia mengangguk. “Janji tetap janji.”


“Mengada-ngadalah abang ni!”


Pecah tawanya.


Bertambah hangat wajahku.


Sikit-sikit upah, sikit-sikit upah! Teruknya!


Bila dia terus juga nampak nakal, aku segera berhujah. Cuba membela diri. “Tapi malam tadi abang tidur peluk Isya, kan? Pastu masa Isya tengah tidur, entah apa lagi yang abang dah buat pada Isya. Sama jugaklah tu, kira Isya dah tunaikan janjilah.”


Dia akhirkan tawa. Temukan semula tatapan nakalnya ke mataku. “Ye ke?”


“Ye la!” Laju. Kuacukan jari telunjuk pada bahagian kiri leher. “Yang merah kat tengkuk Isya ni apa?”


Dia tak menjawab. Selamba tersenyum nakal sebagai jawapan.


Hangat wajahku menahan malu tapi segera mengawalnya. “Abang punya kerja, kan?”


Berkerut dahinya kali ini, tapi masih ada senyuman di bibir. “Ye ke salah abang?”


“Habis tu?”


“Isya kira kesan merah kat tengkuk Isya aje. Kesan merah kat dada abang? Tak nak kira?”


Aku terkaku.


Dada dia?


Dia tersenyum. Gigit sedikit hujung bibirnya penuh kenakalan. “Dah rezeki malam raya, abang terima aje. Lagipun malam tadi Isya yang tak lena tidur. Padahal angah hantar SMS macam tu aje pun.”


Aku terdiam lagi.


“Abang tarik Isya sebab nak peluk macam biasa je, nak buat Isya betul-betul lena. Tapi tiba-tiba Isya yang...” Sengaja dia gantung ayat di situ. Hanya menghantar isyarat dengan pandangan. Sah, bayangan nakal sedang berlegar-legar di mindanya.


Berbahang-bahang wajahku.


“Tapi nak berlebih-lebih memang taklah, kan? Isya tengah marahkan abang lagi masa tu.”


Senyap.


“Cuma masa tu, abang ada jugak terfikir nak...”


“Sudahlah! Tak nak dengar!” pintasku laju lantas berpaling. Tak sanggup lagi.


Ekor mata melihat dia tersenyum semakin nakal. “Magnet Isya pun memang kuat sangat malam tadi...”


Aku jeling tajam wajahnya. Menghantar amaran supaya berhenti.


Dia membalas dengan kerlingan. Angkat kening penuh erti. “Jeling apa? Tahu tak Isya nampak makin seksi macam ni?”


Ergh!


Aku mendengus kasar lantas meleraikan tangannya dari pinggangku. Malas melayan lagi.


Tapi dia segera merangkulku semula, serentak pecah tawa halus dari bibirnya. Tawa yang jelas bermaksud menyakat. Sengaja mahu buatkan aku makin malu dan tak keruan.


Makin hangat seluruh tubuhku. Kukerah tenaga lebih kuat. Berusaha lawan kudratnya.


Tiba-tiba dia kejapkan rangkulan. Drastik. Kemas memeluk hingga aku tiada ruang melepaskan diri. Aku tak terlawan, segera menahan dadanya dengan tanganku.


Berbalas pandangan kami, dan dia mula tersenyum menggoda. Berdetak tak tentu arah jantungku.


“Nak pergi mana?” Romantis bisikannya, menggetar perasaan.


Aku pura-pura serius, cuba selindung hati yang tak keruan. “Nak balik Penanglah. Dah jauh malam ni. Kalau lambat sangat nanti abang jugak yang mengantuk.”


Dia tak menjawab. Cuma tersenyum nakal, tanda dia tahu gelabah yang sedang cuba kusorok. Membuatkan aku semakin tak tahu mana mahu kuhalakan wajah.


Cuba juga kututup perasaan sebenar. Tolak sedikit dadanya untuk cuba meleraikan pelukan.


Tapi dia semakin mengemaskan rangkulan. “Isya ingat abang boleh lepaskan Isya macam tu aje?”


Terlepas keluhan lemah dari bibirku. Terpaksa beranikan diri menentang pandangannya. “Apa-apa pun, tunggulah kita sampai kat Penang dulu...”


Dia tersenyum nakal. Entah apa yang bermain di benaknya.


Aku tak puas hati. “Isya serius ni, bang. Semalam tu abang sendiri yang tak nak berterus-terang dengan Isya. Isya salah faham macam tu pun abang biarkan aje. Bukan nak pujuk.”


“Kalau abang pujuk?”


Aku terdiam. Tentang semula pandangannya.


Jelas riak nakal di wajahnya. Sengaja menjerat, memaksa aku bersuara mengenai hal itu. Sedangkan dia sendiri tahu aku masih terlalu malu untuk menyebutkannya.


Tempoh tiga bulan pernikahan ini masih terlalu muda untuk aku jadi seberani itu.


“Kalau abang pujuk, sayang?” Dia mengulang. Menanti.


Tubuh dan wajahku sudah rasa berbahang yang entah tahap apa. Aku hanya mampu menjatuhkan wajah akhirnya. Mengangguk sedikit. “Bolehlah abang dapat.” Perlahan.


“Dapat apa?”


Aku terdiam. Bertemu semula anak mata dengannya. Bila senyuman di bibirnya nampak semakin nakal, perlahan-lahan pecah rengekanku akhirnya. Tak mampu lagi sorok isi hati.


Dengan rasa malu kutenggelamkan wajah di dadanya. “Abang...” Perlahan suara merayu. Enggan diusik lagi.


Dia senyap. Dapat kurasakan dia sedang tersenyum sendiri dengan tingkah-lakuku. Membuatkan aku bertambah malu untuk berdepan dirinya.


Beberapa ketika begitu, mendarat sebuah kucupan hangat di pipi kananku. “It’s okay, sayang.” Romantis berbisik, tanda mengerti.


Hampir saja terlepas keluhan lega dari bibirku. Mujur...


Mendarat sebuah lagi kucupan, kali ini di pipi kiriku. “Jom. Kita bertolak sekarang.” Serentak dia leraikan rangkulan.


Dan aku... tentu saja bertambah-tambah lega dengan situasi ini.



~ BAB 7 ~




TIBA di Georgetown tengah malam itu, keadaan rumah gelap-gelita. Masing-masing sudah hanyut dalam lena. Terpisat-pisat Kak Farah membuka pintu.


Berkerut dahinya sebaik terpandang kami.


 “Angah kata Isya dengan Mi tak jadi balik?” Perlahan suaranya menyoal sewaktu menyambut huluran tanganku. Antara yakin dan tidak saja nadanya. Boleh jadi dia masih sukar percaya semua ini lantas cuba memastikan dirinya tidak bermimpi. “Kenapa tiba-tiba balik pulak ni? Pastu tak bagitau apa-apa pun?”


“Isya menangis.” Shah di boot kereta segera menjawab, mendahului aku.


Segera aku menoleh padanya. Seperti yang sudah kujangka, ada senyuman di bibirnya. Tapi dia tidak langsung memandang aku. Terus juga mengeluarkan barang-barang dari boot. Selamba.


Aku mencebik. Pandang semula Kak Farah. “Bilik Isya okey aje, kan? Tak ada orang guna, kan?”


“Okey...” Terhenti sesaat. “Tapi kitorang ingat Isya memang tak balik langsung raya ni. Jadi semalam angah guna bilik tu, buat bilik dobi. Pagi tadi pulak saudara-mara datang beraya. Bersepah sikit bilik tu dikerjakan budak-budak.” Terhenti kata-katanya. Dia menguap, sesudah itu berkalih. “Tak apalah, biar akak kemaskan dulu. Mi dengan Isya kalau lapar terus ke dapur ajelah. Semua ada, cuma panaskan aje.” Tanpa menanti jawapan, dia menghilang di sebalik pintu.


Aku pula sememangnya sudah penat. Tidak langsung terasa mahu menolak pertolongan itu. Kuatur langkah ke arah Shah yang masih mengeluarkan barang-barang dari boot.


“Kalau kita tidur aje dalam bilik yang bersepah tu pun boleh rasanya.”


Aku kerling lelaki itu sambil tangan mencapai bagasi. “Isya tak kisah... takut abanglah yang tak selesa.” Lemah suara, penat. Sejurus, aku tarik bagasi ke pintu rumah.


“Orang lelaki kalau dah ada orang yang peluk waktu dia tidur, benda lain dia tak kisah sangat.”


Terhenti langkahku. Berkerut dahi cuba mentafsir maksud ayat itu lantas menoleh.


Dia sedang mengangkat kotak-kotak berisi kuih raya. Tenang melangkah ke arahku bersama senyuman penuh erti di bibir. “Pandang apa?” soalnya sewaktu berselisih dan terus menuju ke pintu.


Aku ekori dirinya dengan pandangan. “Ye ke abang tak kisah?”


Dia menoleh. Tersenyum. “Takkan ada perempuan yang boleh bahagiakan lelaki selain orang yang dia sayang.”


Aku senyap.


“Perasaan tu yang buatkan hati jadi lupa pada semua benda lain.”


Aku senyap juga. Tapi entah mengapa, ada kesyahduan menyelinap halus dalam diri. Rasa mengantuk bagaikan terubat dengan ungkapan itu.


Dia tersenyum lagi, menyerlahkan kekacakannya. Kenyit mata kiri penuh erti sebelum menghilang tubuhnya di sebalik daun pintu.


Aku senyap juga di situ. Tak tahu apa sebenarnya yang kurasa. Tapi dalam diam, perlahan-lahan ada senyuman yang terukir di bibirku.


Bahagia.




SETELAH agak lama menanti, Shah tak juga masuk ke bilik. Aku sudah semakin penat. Mata pula memberat. Akhirnya kukerah diri mendapatkan dia di ruang tamu.


Terlepas nafas halus bila melihat sekujur tubuhnya sedang lena di atas sofa. Remote control dan telefon bimbit terletak di atas dadanya. Televisyen dibiarkan terpasang.


Dalam tubuh yang semakin lesu aku melangkah ke arahnya. Matikan televisyen, kemudian duduk di sofa tempat dia berbaring. Ambil remote control dan telefon bimbit di dadanya, letak atas meja kopi berhampiran.


Kusentuh dadanya. “Abang.”


Tercelik matanya. Bawa pandangan padaku, bertanya melalui anak mata.


“Tidur kat biliklah, selesa sikit.” Lemah suara.


Dia senyap. Pandang jam di tangannya, sebelum terlepas nafas dalam dari bibir. Dia bangkit sedikit. Tanggalkan kaca mata, letakkan di atas meja kopi.


Tapi sesudah itu dia berbaring semula. Rehatkan tangan kirinya di atas dada dan dia lena kembali.


Aku terdiam. Mengeluh berat, makin tak larat.


Kuraih tangan di dadanya itu. “Abang...” Tapi terhenti bila dia tiba-tiba menggenggam jari-jemariku. Kukerut dahi.


Tercelik semula kelopak matanya. Ada senyuman nipis dihadiahkan bila bertemu anak mata. Dia tarik tanganku. “Isya tidur sini ajelah, sekali dengan abang.”


Aku terbungkam. Dia ni betul-betul dah sedar ke tak?


“Tidur dalam biliklah, bang. Kat sini tak muat...”


“Muat...” pintasnya, membuatkanku terdiam semula. Terukir lagi senyuman nipis di bibirnya sebelum dia rapatkan semula kelopak mata. Selesakan letak kepalanya di atas kusyen. “Untuk kita berdua aje...”


Aku terdiam semula, berkira-kira.


“Lagipun kalau sempit macam ni, Isya takkan lepaskan abang langsung.” Dia bersuara lagi. “Boleh abang peluk Isya sampai pagi.”


Aku diam.


“Kalau tidur asing-asing nanti takut tak lena pulak.” Ada riak menyindir di situ.


Aku mengeluh.


Dah penat macam ni pun sempat lagi buli orang!


“Kalau abang nak tidur jugak kat sini, abang tidurlah. Isya nak masuk bilik.” Sejurus aku bingkas.


Tapi tertahan bila dia mengemaskan semula genggaman pada jari-jemariku. Aku terduduk semula. Pantas menoleh, tak puas hati.


Dia tersenyum tanpa mencelikkan mata. “Bagi alasan kukuh kalau betul-betul nak masuk bilik.”


Aku berdecit. Geramnya...


“Isya dah letih.”


“Lagi?”


“Isya tak nak orang lain nampak kita tidur kat sini.”


Ada senyuman di bibirnya kali ini. Penuh erti, tak mampu kutafsir. “Sebab?”


Aku terdiam tak puas hati kali ini. Tak habis lagi?


Dia kemaskan lagi genggaman. “Sebab apa, Sya?”


Aku diam.


Bila tak terlihat tanda-tanda untuk dia mengalah, aku terpaksa juga akur. Lepaskan keluhan lemah dari bibir. “Sebab kalau kita tidur kat sini, nanti Isya buat abang susah.”


Tercelik kelopak matanya. Terbit senyuman nakal di bibir. “Susah?”


Aku mengangguk. “Sebab nanti Isya tak sedar apa yang Isya buat. Tengok-tengok esok, ada love bite baru kat leher Isya.”


Pecah tawa dia akhirnya.


Berbahang wajahku. Rasa dipermainkan. “Isya dah jawab betul-betul, kan?”


Dia mengangguk, sambil itu bangun dari perbaringan. Dikemaskan genggaman pada jari-jemariku. “Jadi sekarang Isya dah betul-betul fahamlah?”


Aku mengangguk, jujur saja. “Isya tak boleh dekat dengan abang, sebab nanti mesti akan jadi benda-benda macam tu. Tapi Isya tak boleh jugak jauh dari abang, sebab susah nak rasa tenang.”


“Abang pun macam tu sebenarnya, sayang...” Dalam suara yang kedengaran kali ini.


Aku terdiam. Rasa sedikit berdebar dengan jawapan itu. Kutemukan anak mata dengannya, meminta penjelasan.


Redup tatapannya untukku, mengiyakan. “Bila Isya jauhkan diri dari abang, abang jadi tak kuat.”


Aku terdiam lagi.


Sedikit demi sedikit, genggaman pada jari-jemariku semakin dikemaskannya. Mengalirkan satu rasa yang luar biasa ke dalam diriku.


Dia menatapku semakin dalam. “Ya... memang dah terlampau lama kita kenal. Dah kenal hati budi sesama kita.” Senyap sesaat. Dia tersenyum kecil. Lembut jemarinya mengelus wajahku. “Tapi semakin lama, semakin banyak yang abang nak tahu. Lebih-lebih lagi bila Isya dah jadi isteri abang. Setiap waktu yang berjalan, semuanya baru bagi abang.”


Dia pandang telapak tangannya yang berbalut. Tersenyum kecil lagi. “Hari ni bila dapat tengok Isya terkejut dengan apa yang abang tuliskan pada dinding pondok tu, rasa sakit pada luka ni hilang macam tu aje. Rasa macam bertuah pula, sebab luka ni jadi tanda untuk tarikh hari ni.”


Pecah tawa kecilku tapi serentak dengan itu, menitis air hangat dari tubir mata. Kujatuhkan pandangan tanpa mampu melindungi perasaan terharu. Air mata kuseka.


Dia turut menyeka air mataku. “Jangan jauhkan diri dari abang lagi ya, sayang?” Lembut, bagai anak kecil merayu enggan ditinggalkan.


Aku mengangguk bersama tangisan. Semakin sayu.


“Abang perlukan Isya.”


“Isya juga perlukan abang...” Serentak itu pecah esakan.


Dia menarikku ke dalam dakapan. Kemas, bagai enggan lagi dilepaskan. Aku membalas, hamburkan sepuas-puasnya tangisan di dadanya. Membiarkan malam mengiringi detik-detik yang berlalu ini.


Jauh di dalam hati, aku berjanji pada diri sendiri. Mahu lebih menghargai dirinya dan kasih sayang yang tak pernah bosan dia pamerkan.


Ya, saat ini aku sedar. Dialah satu-satunya lelaki yang aku perlukan dalam hidupku.


Dia saja.


Tuhan sengaja menguji aku dengan perpisahan lapan tahun lalu. Supaya aku sedar, betapa berharganya anugerah cinta yang kemas bertaut di antara dua hati ini.


Hatiku dan hatinya. Suamiku.


----------------



Pada yang dah baca novel Scarlet Cinta sampai abes, harap tak keliru. Rujuk m/s 630, selepas pertempuran tu.






.

.